.
Apabila melihat seorang nelayan menjinjing bakul menggalas jala, pulang dari laut, dari sampan tertambat pada tiang ijuk, dari deru ombak lepas, dari bebas laut luas, aku dapat bayangkan dia membawa pulang sedikit kebebasan, secubit demi secubit, hari demi hari. Sebab itulah dia sanggup keluar ke laut lepas hari-hari, itu yang aku fikirkan.
Berbanding aku yang sehari hari memandu ke pejabat dengan kereta empat segi, ke petak kerja empat segi, ke meja empat segi, buka komputer riba empat segi, segalanya sama, alangkah kaya hati dia dengan alam organik. Tidak seperti aku, dikelilingi alam plastik.
Alangkah bebasnya dia. Alangkah gembiranya dia, dapat bersatu dengan alam nyata, berpijak di atas bumi nyata, berdayung di dalam laut nyata, hari demi hari.
Kemudian.....
Aku terus berfikir...
Benarkah dia bebas?
Mungkinkah dia terpasung di dalam jeriji maya, berhari-hari ke tempat sama, sedangkan hatinya mahu keluar, mahu cari duit untuk mengumpul nikmat hidup?
Mungkinkah ada belenggu memasung kakinya, kesempitan yang memasung tangannya pada dayung, pada jala?
Ada kalanya aku terfikir untuk jadi dia.
Tapi aku terfikir mungkin dia mahu jadi aku.
Dari celah-celah jurai cahaya, jari-jari aku menahan teriknya. Namun bahang masih terasa, perit menggigit kulit. Benarkah aku mahu bebas menari dengan alam?
Benarkah?
.
4 comments:
mungkin dia ingin jadi seperti kau sekali sekala. dan kau juga ingin menjadi dia hanya utk sekali sekala.
Rap.
Hmmm.....betul juga tu
benarkah?
MS
Mungkin benar...
Post a Comment