Wednesday, February 19, 2020

Kaku dipelukan mayat

.
Sudah lama aku tak menulis berkenaan mimpi. Bukanlah aku tak bermimpi, cuma tak berapa rajin nak tulis tentangnya. Tapi mimpi alam tadi membuatkan aku mengigau, jadi aku rasa elok juga dituliskan di sini.

Setting: Di kampung kelahiran aku. Berflorakan sawah padi yang sudah disabit (dituai). Rumput-rumput melata di dalam sawah. Air kering tetapi ada lopak-lopak basah akibat hujan monsun. Ada juga air mengalir kecil di parit-parit tohor di tepi sawah.

Ceritanya: Lewat senja itu, aku dan Mama pun pulang dari sawah untuk beradu. Tetapi bukan di atas tilam empuk di dalam rumah. Kami berbaring di atas rumput basah di atas batas sawah. Batas itu agak lebar juga, boleh memuatkan kami berdua. Maksudnya, di kanan dan kiri kami adalah sawah, manakala ada lubang air menembusi batas tadi, betul-betul di bawah tempat kami berbaring. Ada air kecil mengalir dari sawah sebelah sana ke sawah sebelah sini melalui lubang air tadi.

Aku baring mengiring di atas lambung kanan, tidak mengadap Mama. Dalam samar-samar malam, aku lihat rumput2 basah dan dengar bunyi air mengalir. TETAPI aku ada tercium bau busuk! Pada mulanya aku sangkakan cuma bau jerami-jerami padi yang mereput selepas disabit. Tapi busuknya bukan seperti bau itu. Kemudian aku fikirkan puncanya mungkin dari bangkai tikus atau ikan yang mati. Tapi tidak juga.

Aku mula rasa sangsi. Aku gerakkan tangan kiri aku mencari tangan Mama. Bila tersentuh lengan Mama, aku terasa sungguh halus tetapi sangat sejuk. Aku mula berfikir yang bukan-bukan. Untuk kepastian, aku baca Ayatul Kurysi. Aku dapat rasakan Mama gelisah di sebelah. Aku teruskan baca 4 Qul. Semakin kuat gelisah Mama.

Kemudian aku cuba untuk berpaling, mengiring ke arah Mama. Pada masa itulah tiba-tiba lengan kiri aku di genggam kuat oleh tangan Mama yang sejuk. Aku cuba berpusing tapi tak boleh sebab ditolak tangan Mama. Bukan itu sahaja, bahu kiri aku pula digigit oleh Mama dengan kuat. Sejurus itu juga Mama menjerit amat nyaring sehingga bingit telinga kiri aku. Nyaringnya bukan seperti jeritan manusia tetapi seperti bunyi enjin jet yang kuat, atau seperti bunyi cerek air (whistling kettle).

Amat bingit. Tak tertahan dibuatnya. Hendak berpusing, tak boleh. Maka aku cuma teruskan zikir dalam hati dan berharap segala-galanya berakhir. Perlahan-lahan suara zikir aku mulai keluar dari mulut...Laailaha illallaah... ketika itulah Mama menolak-nolak bahu untuk kejutkan aku. Sempat juga Mama dengar zikir aku (yang juga mengejutkan dia dari tidur). Ketika itu dalam pukul 1 pagi.

Mama tanya, adakah aku takut? Aku kata aku tak takut tetapi sedih. Sedih sangat hingga suara aku serak dan ada sedikit air di hujung mata. Kerana apa? Kerana dalam mimpi itu Mama telah tiada...

.

2 comments:

Granny Hani said...

Mujur hanya di alam mimpi saja..

Nizam.Ariff said...

Mujurlah, teacher..

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com