Tabung dah menguncup?
Insan-insan yang dah terlanjur dan keluar awal macam aku ni memanglah 'concern' sangat....bila dah keluar sebelum waktunya, sebelum cukup haul 55 tahun, jumlah nisab dalam rizab jangka panjang pula tak cukup.
Apabila pendapatan telah bertukar mod daripada Aktif kepada Pasif, gegaran-gegaran manja pada ekonomi Malaysia dan Dunia boleh sebabkan mengigau meracau-racau. Lebih-lebih lagi keadaaan politik Dunia seolah-olah dah capai kemuncak klimaks dan rancaknya ekonomi dah mula mengendur, menuju ke tahun 40-50an.
Aku tak lah panik sangat, sekali-sekala ada juga kena panic attack tapi cepat2 istighfar...sebabnya aku dah rancang bertahun sebelum keluar dari sistem buruh di Malaysia. Ya, aku dah berjaya keluar dari sistem gaji, sistem insuran berkelompok dan sistem cukai di Malaysia. Borang BE baru-baru ni aku hantar dengan sifar pendapatan.
Aku tak panik sebab aku dah buat kira-kira. Aku tak panik sebab aku dah rancang dan mulakan sejak umur 30an dulu. Cuma nilai Alpha dalam kunci kira-kira aku tu menjadi tak stabil, jadi nampak gayanya aku kena sumbat lubang tu dengan sedikit pendapatan aktif. Kalau tidak, payah nak merasa Kepsi atau Mekdi sebulan sekali.
Cuma baru-baru ni ada pakar ekonomi dah mula bukak mulut nak anjakkan pengeluaran KWSP dari umur 55 kepada 60 tahun. Gatal sungguh lato-lato mereka itu! Yang sekarang ni pun berduyun rakyat nak keluarkan KWSP untuk tampung hidup, pakar ekonomi pula nak anjakkan lagi. Memanglah tak sensitif dengan isu semasa. Hidup di zaman mana mereka itu?
Jadi, kepada adik-adik yang masih muda-belia dan kuat tubuh badan, belajarlah untuk merancang hari pencen anda. Lakukan sesuatu sejak muda, sejak umur 30an lagi. Janganlah berharap kepada simpanan KWSP sahaja.
Senang kira-kira beginilah: Kalaulah masa pencen nanti perlukan RM4000 sebulan, dengan purata dividen 5% setahun, kamu perlu ada RM 1 Juta. Boleh capai? Kalau nak RM2000 sebulan, perlukan RM500K. Ini kalau nak makan duit dividen tanpa usik duit pelaburan.
Kalaulah nak hidup dengan makan duit simpanan, kita kira lagi: Kalau perlukan RM4000 sebulan, akan guna RM48K setahun. Nak senang kira, kita ambil RM50K setahun. Kalau hidup 10 tahun lagi i.e. umur 65 tahun, akan gunakan hampir2 RM500K. Soalannya: Boleh capai RM500K sebelum umur 55 tahun? Dan kalau ditakdirkan umur lebih panjang sampai 70-80 tahun, nak cekau duit mana? Umur dah tua, badan dah tak larat nak kerja.
Kesimpulannya, simpanan KWSP semata-mata mungkin tak mampu nak tampung. Tapi mungkin ramai yang kata, rezeki Allah yang bagi, kenapa perlu risau? Kita kena risau sebab kita tak tahu bila kita mati, tak tahu apa ujian ekonomi yang Allah akan turunkan dan adakah kita lulus dalam ujian itu? kalau kita tak lulus ujian, apa akan jadi? Neraka?
Oleh sebab itulah kita kena berdoa dan berusaha. Jangan senang-senang nak petik ayat itu-ayat ini tanpa lihat keseluruhan konteks.
No comments:
Post a Comment