Thursday, March 15, 2012

Juliet dan segelas Sirap Limau...

.


" Perkenalkan, inilah Tuan Sinister..." kata si Pujangga Malam, memperkenalkan lelaki yang memakai bush-jacket berwarna kelabu 'taik hanjing' kepada Juliet.


Tuan Sinister pun menghadiahkan senyum simpulnya kepada Juliet yang merenung Tuan Sinister dari atas matanya sambil menyedut air sirap limau lama-lama dan perlahan-lahan. Tiada reaksi dari Juliet. Tuan Sinister labuhkan punggung tebalnya ke kerusi plastik murah dengan rasa sangat beruntung kerana Pujangga Malam upahannya itu telah berjaya memujuk Juliet keluar ke dunia nyata dari alam khayal. Bangga sungguh dia!


" Tuan Sinister ini mampu menelanjangi kamu dengan fikirannya...!" kata Pujangga Malam dengan bangga sekali sambiol menaik-naikkan keningnya kepada Tuan Sinister. Tiada reaksi balas dari Juliet. Dia hanya bermain-main dengan penyedut minuman sambil tersenyum menyindir.


" Bukan itu sahaja, dia juga mampu menjilat seluruh tubuh kamu dengan lidah fikirannya....!" tambah Pujangga Malam lagi. Senyum Tuan Sinister melebar, seperti pipi tembamnya ditarik-tarik oleh bidadari dunia.


Tiba-tiba Juliet berdiri sambil matanya tepat memandang Tuan Sinister. dalam sekelip mata tubuh Juliet menjadi kemerah-merahan sebelum menjadi lutsinar. Seperti ketulan ais di dalam gelas sirap limaunya itu. Juliet meliuk-lentukkan tubuhnya di depan Tuan Sinister yang kini sedang melopong keghairahan.


Satu persatu pakaian Juliet menipis dan lenyap selapis demi selapis, menyerlahkan tubuhnya yang lutsinar dan mulus, memberikan segala kelok dan lekuk untuk dinikmati oleh mata. Pujangga Malam hampir tersedakkan kopi panasnya melihat aksi Juliet itu. Di gerai kopi itu, semua pelanggan menjuruskan pandangan mata kepada Pujangga Malam dan Tuan Sinister yang terkulat-kulat keghairahan. Hanya berdua kerana Juliet telah *plop* hilang dari dunia nyata dan kembali ke alam khayal.


" eh... fikiran aku juga mampu menelanjangi Juliet..." bisik Pujangga malam kepada Tuan Sinister, seperti tak percaya.


".. huh! Gay..!" kata mereka-mereka yang melihat Tuan Sinister dan Pujangga Malam.




Juga fikiran kamu, kamu dan kamu yang sedang membaca...






.

Wednesday, March 14, 2012

Kapas-kapas yang bertaburan di angkasa...

.


Umpama kapas-kapas yang tertabur ditiup angin monsun di langit biru.
Mari kita lihat birat-birat langit berawan melalui lowongan bingkai besi pula...






Awan itu umpama kapas-kapas yang digumpal dan disumbatkan ke hidung mayat... satu peringatan kecil dari lowongan bingkai besi itu...





.

Tuesday, March 13, 2012

Dari balik bingkai besi.......

.




Di satu subuh yang cerah tetapi penuh dengan awan gemawan di atas sana, aku lihat satu keindahan yang tiada tara dari balik bingkai besi. Ya, keindahan yang berbingkaikan besi. Apalah keindahan itu jika hanya dikecapi hanya dari hirupan angin wangi.


Pecahan yang menyerlahkan mega jingga... umpama belahan dari belati,  tangkasnya Sapurba melayang ke langit lalu mencarik layar awan. Satu tindakan yang membolehkan mimpi-mimpi indah beraduk ngeri membolos lepas ke langit atas, membawa cerita-cerita karut dan fana.


Aku.

Aku yang memangku kepala melihat segalanya dari bingkai besi, mencari ungkapan yang sesuai untuk merungkai ikatan subuh sepi pada kepak-kepak gagak. Malang sungguh apabila kesepian itu ranap dihenyak riuh gagak-gagak berebut bangkai. Malang sungguh apabila subuh itu dirodok dan diperkosa oleh mereka.


Aku masih di balik bingkai besi, mencari ungkapan yang sesuai untuk warna-warna subuh sepi... tolong aku kerana aku hanya bisa menggapai keindahan itu dari jauh.






.

Recent Visitors

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com