Saturday, November 8, 2008

SusTra: Kelkatu Terbang Malam (18SXSG)

[Tadi. Aku selak fail-fail lama. Aku terjumpa satu cerita yang aku tulis, aku syak, pada 1995. Aku juga syak aku tulis, masa tu, dalam bilik kuliah. Aku taip balik dan aku buang sebahagian besar ceritanya sebab aku malas nak taip semuanya. Aku harap jalan ceritanya tak pincang.
Kategori: 18SXSG - Sex Separa Ganas]]
----------------------------------------------------------------------


 Kelkatu Terbang Malam


Aku:

Sinar cahaya Purnama 14 menyuluh hamparan tanah dingin berkabus di sini. Makhluk alam kebanyakkannya sedang tidur nyenyak, sedikit yang masih aktif berkeliaran mencari makanan untuk teruskan hidup. Makhluk Tuhan yang kerdil ini pula seolah-olah telah lali dengan tidur. Cahaya Purnama 14 itu membantu aku memerhatikan si Kerdil-si Kerdil ini.

Tanah yang lembab selepas hujan petang tadi menjadikan malam ini lebih dingin, menjadikan mata aku cepat layu, lebih-lebih lagi apabila gebar tidurku meliliti leher dan sebahagian badan. Aku tunduk, tangan aku menguis-nguis beberapa helai daun basah di bawah pokok Rambutan di depan rumah. Si Kerdil-si Kerdil itu berlari-lari kerana ketakutan. Aku bukan musuh, cuma aku tertarik untuk melihat mereka dengan lebih dekat.

Aku turuti salah satu daripadanya sehingga ia menyorok ketakutan di balik sehelai daun. Aku selak daun itu. Ia berlari lagi sehingga ke satu lubang kecil di atas tanah. Aku sudah ketemui pintu rumahnya!

Aku turuti yang seekor itu ke dalam lubang. Gelap. Aku hairan bagaimana mereka boleh hidup di dunia penuh gelita seperti ini. Agak lama aku berkejar-kejaran dengannya, hingga akhirnya aku sampai ke satu lorong yang agak luas daripada tadi. Kemudian, aku dapati dia telah menyelinap entah ke mana.

Aku teruskan berjalan, menggunakan cahaya hijau dari kulat-kulat pada dinding itu, hingga ke hujung lorong besar itu, dimana aku terlihat si Ratu yang sedang duduk berlangir diri. Tidak lama kemudian si Ratu, diiringi beberapa ekor dayangnya, bergerak menuju ke satu anjungan.



Ucapan si Ratu:

”Salam Rahmat kepada semua Pahlawan-Pahlawan Bersayap sekalian. Beta menumpang bangga kerana kamu semua telah terpilih untuk meneruskan perjuangan untuk pergi ke Tanah Emas, seperti yang telah dilakukan oleh para pejuang yang terdahulu”

”Beta telah mendengar daripada Nenda Beta, seperti yang telah diberitakan oleh moyang-moyang kita dahulu, bahawa di Tanah Emas itu duduk bersemayam si Ratu Besar di atas peterakna yang berkilau-kilauan. Ratu Besar itu memerintah satu kerajaan yang besar dan jajah takluknya jua amatlah luas. Dikatakan orang bahawa Ratu Besar itu mempunyai rahsia dan petua-petua yang menjadikan Tanah Emas itu maju. Adalah menjadi satu kebanggaan jika ada kerajaan di Bumi yang boleh bersahabat dengannya”.

”Adapun Tanah Emas itu duduknya di balik Purnama 14. Oleh itu, terbanglah kamu semua menuju ke Purnama 14 itu. Semoga cahayanya dapat memberi petunjuk kepada kamu semua”.

”Beta perlukan rahsia dan petua-petua itu untuk membangunkan kerajaan ini. Tetapi, bukanlah satu pekerjaan yang mudah untuk ke sana. Telah banyak pahlawan sebelum kamu yang habis berhambalangan sebelum sempat sampai ke Tanah Emas itu. Dugaan dan cabaran akan datang kepada kamu timpa bertimpa. Kamu akan teruji dengan tipu muslihat Duniawi. Bayang-bayang Duniawi pasti akan cuba mengelirukan kamu sekalian. Oleh itu, Beta nasihati kamu semua supaya berhati-hati”.



Aku:

Serentak dengan itu juga, semua pejuang menjerit-jerit penuh semangat. Kemudian, aku lihat si Ratu berundur dan bergerak masuk ke kamarnya. Sempat juga aku mencuri pandang dan melihat si Ratu tersenyum tawar dan aku rasa ia tersenyum kepada dirinya sendiri.

Suasana di ruang besar di luar kamar si Ratu menjadi bising. Aku tahu para pejuang telah bersedia untuk terbang menuju ke Tanah Emas itu, berpandukan cahaya Purnama 14 sebagai lampu suar. Aku keluar melalui lorong kecil dan berlindung pada sehelai daun. Aku tak mahu mereka sedar kehadiran aku. Seekor demi seekor para pejuang itu terbang. Lama kelamaan, ruang malam itu dipenuhi oleh mereka.



Monolog Si Ratu:

Jauh di sudut kalbu, Beta berasa kurang yakin dengan cerita Nenda. Kalaulah benar seperti yang diceritakan, tentulah ada berita tentang kerajaan Bumi yang bertemu dengannya. Telah beribu-ribu, mungkin berjuta pahlawan-pahlawan dari kerajaan Bumi pergi mencarinya, tiada satu yang bertemunya.

Beta masih ingat lagi, pada malam Purnama 14 itu, Beta juga adalah pahlawan seperti mereka itu. Sebaik sahaja Tok Ketua memberi isyarat melepaskan kami untuk terbang, Beta telah terbang dengan satu tekad: bertemu dengan si Ratu Besar. Beta hanya diberikan sedikit panduan, iaitu agar terbang menghala cahaya emas dari Purnama 14. Beta pun terbang bersama rakan-rakan membelah dada malam yang dingin. Semakin jauh Beta terbang, semakin sukar pendakian Beta. Dari ketinggian, Beta dapat lihat banyak cahaya lain yang bersinar-sinar di bawah sana. Beta teringatkan pesanan Tok Ketua akan segala tipu daya duniawi yang cuba mengabui padangan Beta. Cahaya-cahaya palsu.

Sekilas angin sejuk menghembus Beta dan membawa Beta entah ke mana. Beta keliru dan terpisah dari kawan-kawan. Dalam kepayahan, Beta lihat samar-samar cahaya keemasan yang Beta sangkakan dari Tanah Emas. Beta berasa amat gembira, lantas Beta terus turun ke bawah menuju cahaya itu. Sebaik sahaja hampir, barulah Beta sedar yang Beta telah tertipu dengan cahaya palsu. Beta telah tertipu dengan helah Duniawi. Beta terus berjalan-jalan di sekeliling cahaya palsu itu, mencari-cari arah yang baru, tapi tak ketemu.

Tiba-tiba Beta terlihat kelibat seperti Beta yang sedang tertunduk di hujung cahaya sana. Beta hampiri Wira Pejuang itu. Dia perasan kehadiran Beta lantas menoleh ke arah Beta. Kami berbalas pandangan. Ketika itulah Beta rasakan sesuatu yang aneh menjalar dalam badan Beta. Beta menoleh ke arah lain dan cuba lari daripadanya tetapi dia mengekori Beta sehingga Beta penat dan berhenti.

Wira Pejuang itu menghampiri Beta. Dia nampak sungguh sasa. Tampan. Sayapnya hitam berkilat, lebih besar dan tersusun kemas. Kaki-kakinya kukuh memasak Bumi dan... dan ... ah! Beta sedar dia juga menelanjangi tubuh Beta dengan fikirannya.

Kemudian dia tersenyum. Aduh! Malunya Beta. Dia mulai menyentuhi leher dan bahu Beta. Beta tunduk kerana malu yang teramat. Namun begitu, Beta biarkan sahaja. Sentuhan itu kemudian turun lebih ke bawah. Mulut Beta terkunci dari menegahnya. Beta tak tahu kenapa. Perlahan-lahan Beta pejamkan mata dan ianya seolah-olah satu isyarat kepada Wira Pejuang itu untuk meneruskan sentuhannya. Tanpa Beta sedari, sayap-sayap Beta telah ditanggalkan dan dia juga sama. Kemudian dia merangkul erat tubuh Beta dan nafas kami pun bersatu. Dan... dan... 


Tuttttttttttt.......

{ PARAGRAPH SETERUSNYA DIPUTIHKAN AGAR MASIH 18SXSG. HARAP MAAF.  NASKAH ASAL ADA CERITA PENUH BAHAGIAN INI}
 

Beta tersedar. Beta teringat semula pesan Ratu dan Tok Ketua. Beta menangis semahu-mahunya. Hati Beta hancur luluh apabila melihat sayap-sayap beta telah tertanggal dan berselerakkan. Beta telah tertipu dengan helah duniawi lagi. Beta sesali segalanya. Beta telah hancurkan impian semua. Melihatkan keadaan Beta yang bercelaru dan sedih, Wira Pejuang menjadi serba salah, lantas memujuk Beta.

Kerana peristiwa itu, Beta telah mengambil keputusan untuk tidak pulang dan terus menetap di situ bersamanya, hingga sekarang ini. Barulah Beta tahu, bukan mudah untuk mencari laluan ke Tanah Emas. Kini, Beta sandarkan harapan Beta kepada para pejuang Beta namun Beta dapat rasakan yang nasib mereka itu nanti tidak jauh bezanya dengan nasib Beta ini.



Aku:


Angkasa seolah-olah dilitupi oleh berjuta-juta sayap para pejuang itu. Hampir-hampir cahaya Purnama 14 tidak mencecah Bumi. Kalaulah begitu keadaannya tentu sekali mereka tidak keruan arah di atas sana.

Di ufuk Timur, langit mulai kemerah-merahan. Burung-burung Ciak yang tidur di ranting-ranting tinggi pokok Rambutan mula terjaga dan memberikan siulan awal pagi yang merdu. Aku pulang ke rumah. Aku hayunkan langkah aku dengan lebih berhati-hati pada kali ini kerana aku tahu si Kerdil-si Kerdil itu masih merayap di balik daun-daun basah itu.

Sesampai sahaja aku di pintu rumah, aku terlihat sesuatu di bawah. Aku tersenyum sambil memerhatikan seekor kelkatu tanpa sayap sedang berlari di pinggir dinding batu rumah aku sambil diekori oleh pasangannya yang juga tiada bersayap lagi. Aku tahu, mereka telah gagal dalam perjuangan mencari ’Tanah Emas’ dan aku rasa mereka itu sedang menyesali perbuatan mereka sebentar tadi...






.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com