Tuesday, January 24, 2012

Siri bercakap tentang syaitan yang direjam...

.

"Jom..." kata abang aku ringkas apabila aku turunkan cermin kereta.

Maka aku pun pandulah kereta aku membontoti motorsikalnya. Jalan tar ada sedikit berlubang, jadi aku gunakan ketangkasan aku untuk mengelak lubang benam yang berselerak dan tak menentu kedudukannya. Ternyata ia bukanlah satu kerja yang mudah ditengah-tengah malam begitu. Ada 2-3 lubang benam yang aku tak sempat elak, lalu berhenjutlah aku dan kakak aku.


Lebih kurang 300 meter dari sekolah tadi, aku lihat abang aku membelok ke kiri lalu masuk ke satu lorong yang lebih kecil. Aku ekorinya dengan suluhan lampu kereta yang sengaja aku dongakkan. Jelas kelihatan lalang dan pokok pisang di sebelah kanan manakala di sebelah kiri pula adalah parit yang selebar 6 kaki dan sedalam 4-5 kaki. Aku kenal binaan parit sebegitu kerana semasa aku kecil-kecil dulu parit seperti itulah tempat aku dan kawan-kawan aku bermain 'aci terjun'. Kalaulah mainan 'aci' itu adalah bermain kejar-cuit dan sesiapa yang kena cuit akan mengejar orang lain, begitulah juga dengan mainan 'aci-terjun' cuma bezanya kami akan terjun dan berenang ke tebing sebelah apabila kena kejar.


Lorong itu memang kecil dan tak beraspal. Kelihatan dua lorong tak berumput kesan tayar kereta. Jika tayar kereta aku tak masuk ke dalam lorong yang berlurah itu, tayar kereta aku akan memanjat tebing kerana lorong itu berlekuk. Oleh kerana siang tadi hujan, lorong (yang lebih tepatnya, lurah) itu menakung air. Maka, tayar kereta aku pun dimandikan dengan air lecak dan berlumpur. Tiada pilihan lain kerana kalau tayar menaiki tebing lurah itu, pasti kereta akan terhoyong - hayang dan jatuh ke dalam parit di sebelah kiri itu bukanlah sesuatu yang baik, lebih-lebih lagi di kampung orang dan di tengah-tengah malam begitu.


Lebih kurang 150 meter dari smpang jalan beraspal itu, aku dapat lihat cahaya lampu kalimantang tersimbah dari sebuah rumah papan satu tingkat yang kecil. Setibanya aku di depan rumah kecil itu, aku di sambut oleh 2 batang pokok cempedak dan sebatang pokok nangka di laman rumah. Laman rumahnya sungguh kecil, sesuai dengan tuan rumah yang hanya bermotorsikal sahaja. Laman rumahnya hanya cukup untuk meletak sebuah kereta dan itu pun sudah boleh mengganggu kenderaan lain yang lalu-lalang di jalan itu. Jadi, aku terpaksa menghimpit kereta aku serapat yang boleh ke pokok cempedak supaya tak menghalang pengguna jalan yang lain.


Rumah kecil berdinding papan, berbumbungkan zink dan berlantaikan simen itu boleh dikategorikan sebagai rumah yang dhaif dalam konteks lelaki bandar seperti aku. Namun aku rasa binaan rumah seperti itu adalah umum di kampung itu, cuma mungkin ada yang lebih besar tanah dan ruangnya. Di bawah verandah yang berstruktur 'pisang sesikat' seluas 6x8 kaki tanpa dinding itu terdapat 2 buah mesin penyembur racun yang menggunakan kuasa motor petrol 2 lejang dan juga beberapa peralatan membuat rumah. Abang aku kata, tuan rumah itu mengambil upah kerja-kerja tani di kampung disamping mengambil upah membuat rumah. Patutlah, kataku dalam hati.


Abang aku sudah menyelinap masuk ke dalam rumah itu sedangkan aku dan kakak aku masih terkial-kial menyusun langkah di depan pintu agar tak terpijak barang-barang tuan rumah dan kasut-kasut tetamu yang sudah pun berada di dalam rumah. Ada kayu pagar melintangi pintu itu, jadi sesiapa yang mahu masuk perlu melangkah pagar kayu itu. Aku lihat kakak aku terkial-kial melangkah pagar itu kerana dia berbaju kurung. Dia mahu pastikan betisnya tidak dililhat oleh tetamu yang kesemuanya adalah lelaki. Tak semua berhajat yang sama dengan kakak aku kerana dari butir bicara mereka itu sedang bersembang tentang kerja tani mereka, tentang hasil yang sedikit, tentang skim pelaburan kerajaaan yang baru (pelaburan RM5,000 dan dapat dividen bulanan RM140) dan beberapa cerita lagi. Sebuah TV usang menayangkan rancangan yang sebenarnya cuma menjadi penyegar telinga dan mata sahaja kerana mereka itu lebih rancak bersembang daripada menontonnya.


Setelah bersalaman dengan tetamu yang ada, aku cari tempat bersila aku di ruang tamu seluas 8x12 kaki dan terus bersambung ke dapur yang mengunjur di sayap kiri rumah beberapa kaki lagi. Ada 2 bilik yang bersambung dengan ruang tamu dan aku sandarkan belakang aku di antara keduanya. Lantai simen itu hanya berlapikkan tikar getah yang bercorak bunga merah, yang tepi-tepinya bergerigi kerana dimakan reput.


Abang aku telah pun tenggelam dengan sembang-bicara tuan rumah dan kawan-kawannya sambil menggulung rokok tembakau cap kapal terbang. Mereka bersembang dengan dialek Perak yang agak pekat, dialek Perak Hilir walau pun aku tahu ada beberapa diantara mereka itu berketurunan Jawa, termasuklah abang aku itu. Malah, sebab abang aku turut serta dalam 'majlis' perubatan di situ kerana dia boleh bertutur dan memahami bahasa Jawa halus. Tuan rumah masih muda yang aku agak dalam usia lewat 30an, berwajah campuran Melayu - Jawa, kelihatan merendah diri dan lebih banyak mendengar daripada bersembang. Aku biarkan sahaja kelompok itu bersembang walau kadangkala mereka turut bercerita kepada aku. Aku tak tahu isu semasa di kampung itu jadi aku lebih banyak mengangguk dan ketawa daripada bercakap.


Seketika kemudian, tuan rumah itu melihat jarum jam yang menunjukkan 12.20am lalu dia bergegas ke dapur dan terus keluar ke bilik air yang berada di luar dapurnya sambil menjinjing sepasang selipar. Tidak lama kemudian, dia masuk semula ke dalam rumah dengan muka dan tangan yang basah dengan wudhuk lalu terus masuk ke salah satu bilik. Dia bersolat sunat. Usai bersolat sunat, dia teruskan ibadatnya dengan berzikir pula...


"Asalamualaikum..." terdengar tuan rumah itu memberi salam dengan agak kuat lalu disambut oleh kawan-kawannya, termasuk aku yang duduk bersandar tidak jauh dari pintu bilik itu.


Sebaik sahaja menjawab salam itu, abang aku pun bergegas masuk ke dalam bilik, meninggalkan rokok daunnya yang masih berbaki...





.

7 comments:

ckLah @xiiinam said...

Tuan rumah aje yang solat...? Yang datang 'disambut dua batang pokok cempedak' tu?


Enggeh mawon mriku...

:D

ckLah @xiiinam said...

Abang yang mana ni? Bukan cikgu Haji kan!

Nizam.Ariff said...

Cklah,
aku tetamu je... kalau ikut sekali nanti takut kata ada tarekat baru pula... hahaha


Bukan.

aza ni said...

cer sambung cer sambung...

Nizam.Ariff said...

Azani,
lenguh menaip la...

aku sambng kat tempat lain la..
aku nak sambung kat MerungMahawangsa...

di sini cepat sangat nanti entri ke bawah.... banyak benda lain nak diceritakan....

sepa said...

menarik, brader.
cam criter dak Tamar Jalis. aku pernah baca part cam gini.
dia criter : sambil tggu, dia tgk lubang d dinding, cicak kejar2, dan sambil picit2 jerawat.
:)

Nizam.Ariff said...

Sepa,
menceritakan suasana dan situasi masa tu... penting tu...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com