Man RELA berjalan ke hulu dan hilir longkang konkrit selebar dua depa itu.
Sesekala, matanya melingas ke kiri dan kanan, kalau-kalau nampak kelibat kerbau 16 Sept [Kampung Seberang yang naik minyak] yang tak [jadi] disembelih minggu lepas. Man RELA sesekala membetulkan kayu cota pada pinggangnya. Senapang patah dua larasnya telah diambil oleh Tok Penghulu selepas peralihan portfolio [juga] pada minggu lepas. Kini, Man RELA hanya berjaga-jaga dengan [hanya] sebatang cota pendek.
Di seberang sana longkang selebar dua depa itu [yakni, daerah Kampung Seberang], Mat Kacang dan Wak Kamal, penghuni Kampung Seberang juga sedang berkawal untuk keselamatan kampungnya [tapi] sedang duduk-duduk di bawah teduhan pohon pisang sambil mengipas bara api yang memanggang dua ekor ayam gemuk dan keledek.
Sesekala, Mat Kacang sengaja mengibas asap ke arah Man RELA [agar] hidung Man RELA tercium bau manis keledek dan ayam golek gemuknya.
"Mari le ke sini, kita makan ayam sama-sama" Mat Kacang.
Man RELA jeling [dan serba salah] tapi tetap teruskan kawalan kampungnya.
"Wak Kamal pun macam tu minggu lepas, tapi dia dah LOMPAT ke sini. Hah, sekarang kami boleh makan sama-sama ayam golek gemuk ni"
"Tak boleh! kampung kita [dalam] bahaya. Ada kerbau naik minyak"
"Tak adanya. Tok Penghulu kamu yang naikkan minyak kerbau tu"
Wak Kamal diam [sambil] matanya hanya terkebil-kebil memerhatikan bara yang mulai terpadam. Mat Kacang cekau peha ayam golek gemuk tu.. Dipatahkan [dan] dicabut dari sendi lesung. Kemudian, dia mengunjukkan ke arah Man RELA.
"Nah! Ambik [rasa] la sepeha. Tapi, kamu kena la LOMPAT ke seberang sini. Takkan aku nak hantar peha ayam golek gemuk ke sana" Mat Kacang.
"Cepat la LOMPAT ke sini, dah sejuk peha ayam tu" Wak Kamal.
"Tak boleh! Aku tengah bertugas. Itu rasuah namanya"
Tapi, Man RELA serba salah. Dia akui, berdecap air liurnya.
"Apa pulak rasuah? Ini sedekah namanya. Takkan nak tolak sedekah?"
.
No comments:
Post a Comment