Makcik Wok lekas-lekas berlari masuk. Terkejut sangat. Bila Kulop Ludin berlari-lari sekeliling kampung sambil berteriak " Habis la...habis la....mati la kita semua !"
Di warung kopi simpang tiga, Usop tersentak, tak jadi teguk kopi. Wak Seman pun sama. Tok Penghulu juga sama. Man RELA pun sama. Kak Piah kelam kabut keluar dari dapur kedai.
"Kenapa ni? Kenapa ni?" Tok Penghulu melambai pada Kulop Ludin.
Kaki Kulop Luding membrek dan buat pusingan 'U', menuju ke warung kopi simpang tiga, termengah-mengah.
"Tok..Tok...Habis ...kita kali ni...." nafas Kulop Ludin tersekat-sekat.
"Apa yang habisnya?"
"Kerbau... yang Mail Kampung ... Seberang tambat kelmarin... untuk buat jamuan besar-besaran ...sempena menyambut ketibaan...16 September..."
"Kenapa dengan kerbau tu?"
"Dah TERLEPAS! kerbau tu tak jadi disembelih 16 September.. kerbau tu mengamuk...dah masuk kampung kita, Tok!"
"Apa???!!!"
Cepat-cepat Tok Penghulu tarik Kulop Ludin masuk ke dalam warung kopi simpang tiga. Cepat-cepat Tok Penghulu hampiri Man RELA.
"Man, aku rasa, kita kena tukar portfolio. Aku rasa, kampung kita dalam bahaya"
"Tukar portfolio amendenya, Tok?"
"Bagi aku senapang RELA kau tu, kau pulak uruskan orang kampung, jangan bagi mereka keluar rumah. Ini kes serius ni..."
"Mana boleh tukar portfolio sukahati Tok je. Orang kampung kena tau"
"Ah...hal emergency. Hal keselamatan. Kerbau dah mengamuk. Kena tukar portfolio. Bak sini senapang RELA kau tu cepat!"
Cepat-cepat Man RELA serahkan senapang patah dua laras kepada Tok Penghulu. Dia serahkan juga empat butir peluru penabur jenis M. Kemudian, Tok Penghulu berdiri atas kerusi sambil memegang pembesar suara masjid.
"Orang kampung semua. Dengar sini. Saya, Tok Penghulu, dengan ini menukar portfolio dengan Man RELA. Kini, senapang patah dua laras ada dalam tangan saya."
"Tapi Tok, Tok bukan ke rabun-rabun ayam? Macam mana Tok nak tembak?" Kak Piah.
Tok Penghulu mengangkat senapang patah itu tinggi-tinggi, sambil mengetap bibir.
"Dengan ini, kamu semua di halang keluar rumah. Apabila difikirkan perlu dan wajar, saya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senapang patah dua laras untuk MENEMBAK apa-apa sahaja yang bergerak!"
Man RELA kecut perut. Kak Piah melopong. Kulop Ludin tersentak. Perlahan-lahan Kulop Ludin undur ke dapur, kemudian berlari tunggang-langgang merempuh pintu dapur sambil menjerit-jerit histeria.
" Lari...lari semua...Tok Penghulu dah dapat senapang...dia dah dapat senapang...mati kita...mati le kita semua......"
[Terdengar jeritan-jeritan histeria penduduk kampung, bersulam dengan pekikan maut Kulop Ludin]
No comments:
Post a Comment