Thursday, October 16, 2008

Jalan2: Terapi Jiwa



Sepetang Di Darul Ehsan ...



Hari itu hari Jumaat. Langit petang mendung dan gelap. Aku sarung semula jaket hitam setelah sudah urusan aku di pusat rawatan itu. Sebaik sahaja aku sarungkan topi keledar, rintik-rintik mula menjamah bahu kanan dan kiri aku. Aku dongak ke langit. Aku alih pandangan aku ke kaki langit pula. Jelas nampak kelabu juraian hujan bertali-tali turun dari langit di ufuk timur.

Belum pun sempat aku bercelapak, aku turunkan semula kaki kanan yang separuh terangkat. Cepat-cepat aku lari ke kaki lima kedai lampu hiasan. Aku lemparkan senyum kepada abang yang sedang menjual nasi lemak berlauk di bawah payung besar empat segi.
”Hujan” sapanya dahulu daripada aku.
”Hmm. Hujan pulak ” balas aku ringkas.

Abang itu sibuk menutupi lauk-pauknya dengan plastik, takut tempias hujan nanti membasikan lauk-pauknya.

Aku sengaja tidak mahu berbual sangat dengannya. Aku anti-sosial. Aku rimas. Aku lebih suka memerhati gelagat orang dari jauh. Tak perlu bertanya, tak perlu berbual panjang. Cukup sekadar bersapa mana yag perlu, selebihnya guna bahasa tubuh untuk mematikan bualan.

Aku tuju ke tepi tiang tidak jauh dari situ. Aku berdiri betul-betul di hadapan seorang pembaik kasut yang sedang tekun menukul rim plastik pada sepasang kasut. Aku ralit sebentar. Aku dekatinya. Timbul perasaan ingin tahu bagaimana kasut dibaiki. Aku perhatikan dia bekerja dengan asyik. Setelah sudah menukul, dia ambil secebis kayu nipis lalu dicelupnya ke dalam satu tin kecil. Itu gam. Setelah itu, dikesatnya kayu yang berlumuran gam tu pada tapak kasut. Di tunjal-tunjalnya lipatan kulit dan celah-celah tapak, cukup rata. Kemudian dia ketepikan sepasang kasut itu. Dia ambil sepasang kasut lain. Dia ketuk-ketuk beberapa kali paku-paku pada tapak kasut itu pula.

Seorang wanita, aku rasa umur dia dalam dua puluhan, menghampiri tukang kasut itu.
”Abang, kasut yang saya hantar pagi tadi dah siap?”
”Kasut yang mana tu?”
”Itu, yang di bawah itu”

Murah. Aku tak sangka hanya tiga ringgit upahnya. Tidak sampai sepuluh minit, seorang pemuda, aku rasa umurnya baru belasan tahun, bertanyakan kasutnya. Upahnya, dua belas ringgit. Murah.

Aku undur dua tiga tapak. Aku bersandar pada tiang. Aku lihat abang yang menjual nasi lemak tu terkial-kial meleraikan bangku plastik yang bertindih dan melekat, sedang tangan kanannya mengimbangi pinggan plastik yang penuh dengan nasi dan lauk. Aku tersenyum melihat gelagat abang itu. Mungkin dia perasan aku memerhatikanya, dia menoleh ke arah aku dan tersenyum. Aku balas senyumannya.
”Baru nak makan tengahari?”
”Ha?”
”Baru nak makan ke?” aku jerit sedikit.
”Ya. Baru buka gerai pun, baru ada masa nak makan”

Memang benar katanya. Dari tadi, pelanggan datang tak putus-putus. Dia mengangkat pinggangnya sambil tersenyum kepada dinding kaca kedai lampu itu. Bukan. Dia senyum kepada dua pekerja lelaki di dalam kedai itu. Dia mempelawa mereka itu makan agaknya. Baru empat suap (aku pasti kerana aku kira suapannya) seorang wanita menghampirinya sambil membelek-belek beg tangannya.
”Tadi orang sms. Tak berjawab pun” kata wanita itu.
”Ye ke? Tak dengar pulak”

Eh, abang itu ada simpan kekasih gelap? Bercinta?

”Ada tadi. Suruh bungkuskan untuk budak-budak tu”
”Dah. Tadi dia orang datang”

Bualan selanjutnya kurang jelas kerana wanita tu perlahankan suaranya. Mungkin kerana perasan yang aku sedang mendengar dengan tekun bualan mereka.

Aku lontarkan pandangan aku pula kepada perempuan India yang sedang sibuk mengelap dinding kaca kedai lampu itu. Dia agak pendek, tingginya mungkin lebih sedikit dari lima kaki. Kesian dia. Dia hanya menggunakan pancutan air dari hos untuk dinding yang tak tercapai oleh pengelap spannya.

----------------------

Aku perhatikan ke tiga-tiga mereka itu. Aku cuba fahami sesuatu dari situasi ini.

Selepas solat Jumaat tadi, sebenarnya, aku telah berfikir bagaimana rasanya jika aku tak bekerja di Syarikat P itu. Aku cuba bayangkan kalau aku bukan bekerja makan gaji. Jadi, bila aku berlindung dari hujan di kaki lima kedai lampu itu dan terlihat mereka bertiga itu, aku cuba selami apa yang mereka rasa. Tentang untung nasib. Tentang sabar. Tentang ramah dan mesra. Tentang kesungguhan. Tentang kehidupan dan bagaimana mereka meletakkan harga pada masa mereka. Mahal. Mungkin mahal.

“Kamu tinggal di mana?” abang yang jual nasi lemak menyapa.
“Apa?”
“Kamu duduk di mana?”
“Seksyen 2#”
“Elok lah balik sekarang. Hujan di sini. Di sana tak hujan”
“Hmmm... mungkin juga”

Intonasi abang yang jual nasi lemak itu meyakinkan. Aku pandang kaki langit arah Timur. Agak cerah. Mungkin benar kata abang itu. Di sana tidak hujan. Aku ucapkan selamat kepada abang itu, lalu berjalan menuju motorsikal. Aku dongak ke langit. Walau pun di sini masih rintik-rintik tapi aku yakin dengan abang itu. Lalu, aku pacu motorsikal aku meredah rintik-rintik menuju ke Timur dengan yakin. Dengan penuh yakin.


[ Sesampai sahaja aku di rumah, cepat-cepat aku buka pintu kerana jari-jari tangan dan kaki aku mulai pucat dan kecut kerana lecun seluruh badan. Aku perlu mandi dan aku juga perlukan secawan kopi panas. Kopi yang panas.]


.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com