II
‘Beginilah, biar saya terangkan tentang keadaan pakcik ni’
Doktor muda itu pun mula menceritakan segala-galanya dari kisah rekod kesihatan lampau ayah sehinggalah kepada yang diterimanya semalam. Terkial-kial doktor muda itu menyusun ayat agar istilah sains kedoktoran yang digunanya dapat difahami oleh kami. Semuanya menjurus kepada satu kesimpulan yang akhirnya dibuat oleh abang, bukannya doktor itu.
Satu kesimpulan yang walau pun telah dijangka, ia tetap membuatkan hati-hati kami bergetar. Wajah kakak muram, matanya sayu memandang ayah. Harapan pudar. Detik-detik ayah sudah mula aku hitung. Aku mula hargai setiap saat kesempatan yang diberiNya.
Kemudian doktor muda itu berpaling kepada ayah. Ayah pandang muka doktor muda itu dalam-dalam. Menanti apa pula yang akan dikhabarkan olehnya. Ada sedikit senyuman pada bibir manisnya.
‘Pakcik jangan risau. Pakcik rehat banyak-banyak ’
Kenapa? Kemudian doktor muda itu keluar dari bilik ayah dan berjumpa dengan seorang jururawat. Aku ekori langkahnya dengan mata dan fikiran yang tertanya-tanya. Jururawat tadi pun masuk ke bilik ayah sambil memandang aku yang sedikit bingung.
‘Pakcik kena pindah ke bilik biasa di luar sana. Pakcik dah sihat. Bilik ini untuk orang yang sakit sahaja. Saya dah siapkan katil untuk pakcik di sana’
Aku rasa aku faham. Namun aku terfikir untuk bertanya kepada mereka yang bertugas di sini, bagaimana mereka ini boleh hidup dengan segala penipuan seperti ini setiap hari dan pulang ke rumah dengan tenang.
[bersambung]
.
No comments:
Post a Comment