Monday, November 24, 2008

Jalan2: Seketika di kota rapuh (antologi rasa)

Satu antologi rasa, yang aku rasa boleh dibuat sebagai kayu ukur kepada pandangan aku jika di tanya tentang kota:


Satu:

KONTRA
[ 24 / 8 / 96 ]

Tersentuh selasih desa dek embun subuh
tatkala murai terbang mencari makan
anak-anak kecil menangis kesejukan
sayup-sayup dari celah-celah dahan beringin
meruntun hati gadis desa sewaktu ke sungai
untuk membasuh kain.

Tersentak mawar kota dikejut bingit jentera
tatkala deru kenderaan membelah dada pagi
anak-anak kecil meraung ditinggalkan
bergema diantara hutan-hutan batu bercacakkan
membahangi hati gadis kota yang masih ingin tidur
yang entah di rumah siapa.



Dua:

BUKIT BINTANG
[ 26-4-97 ]

Duduk menanti dalam suram melihat kelibat-kelibat
dalam remang-remang lampu jalan,
tubuh-tubuh yang berbaur bau wanita dan jalang.
Sesekala dengkuran jantan
yang tertidur di depan Cathay
membuatkan nyamuk ketagih
menghirup darah, kerana siang
adalah malapetaka.
Sesekala nyamuk yang pening itu
melanggar pipi gebu dengan
solekan setebal daki dosa
di atas jalan , dan terdengar
keluhan kecil yang parau.
Embun jantan lewat malam
terus menghujani , membasuh
dosa-dosa yang terhampar
di atas jalan ini.

[Bersama HAS.FA dan M. ALWI , 12.00 am ~ 4.30 am ]




Tiga:

KELMARIN DI IBUKOTA
[16/6/2003]

Susah benar mencari susur dan arah
dalam sibuk kota dan semut-semutnya
Di atas dan di bawah, lorongnya entah apa
tuju mana Selatan, mana Utara
Mana Syurga, mana Neraka.

Yang tidur di bahu, di tepi - sama baunya
Yang tidur di atas kabur matanya
Yang tidur di bawah diganggu mimpinya.
Dan gemerincing besi dan galas dan landas
sama asap dan jeritan sundal kota
mana satu mahu didengar?

Pun begitu, malam tetap panas
sepanas kopi kurang susu yang
menongkat mata layu
Apa yang ada di sini?
Sekadar gebar beku dan kolah mandi
di tingkat 18, bangunan di belakang PWTC
juga tren yang terhenti di Chan Sow Lin.






.

4 comments:

hegira said...

teringat pada sajak yang bertajuk 'kota kaca'.


ni sajak saya.

dalam liang liang kota batu ada terselit nafas pendek.
dalam liang liang kota batu ada terselit wajah kusam. di lorong suwer. dan muram.
ada terselit.

hegira said...

bagus sajak kamu. tak hantar ke mana mana?

Nizam.Ariff said...

Alina,
Kota kaca tu nak lagi. Aku suka sajak yang macam tu, sebab aku boleh belajar banyak benda, termasuk persepsi penulisnya, dan secara tak langsung aku dapat teka peribadinya.

Aku tak hantar mana-mana. Aku seorang antisosial. Masa sekolah dulu, aku tulis atas kertas/buku tulis sebab nak luahkan perasaan, lepas tu aku buang.

Kemudian, aku terfikir, aku nak simpan dan bila ada anak nanti aku akan serahkan kepada dia bila umurnya 15 tahun. Itu pengalaman ayah, mana baik ikut, mana buruk jauhkan....

Anonymous said...

Bila masa nko tulis sajak nih... first time aku baca nih... best le bang... dpd aku HAS.FA aka SEPA

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com