Saturday, March 20, 2010

Masih kekal di ufuk timur .......... End of Day?

.

Aku termenung panjang. Ada sesuatu yang tidak kena pada suasana pagi.


Pagi tu, matahari gerhana. Tingginya segalah di ufuk Timur. Suasana redup seolah-olah mendung. Namun, bila aku dongak ke langit, tiada sebaris awan pun yang muncul. Redup. Begitu pun, orang ramai kulihat berurusan seperti biasa: sibuk ke sana ke mari, berbasikal, bermotorsikal, berkereta... eh! Berbasikal? Ya, berbasikal di pekan kota kecil ini.


Aku termenung lagi. Walau mereka seperti biasa, aku masih syak ada sesuatu yang kurang kena, kurang jelas. Redup dan suam.


Aku keluar dari rumah. Berjalan-jalan di celah-celah orang yang ramai, di kaki lima kedai-kedai yang bertingkat-tingkat. Berpusu-pusu. Tapi aku berjalan perlahan-lahan sambil berfikir apakah yang tak kena pada pagi ini. Setiba aku di hadapan sebuah kedai menjual pakaian, aku lihat patung-patung tanpa kepala tetapi berkebaya, berlabuci. Aku lihat kain-kain yang cantik pelbagai warna: merah, hijau, biru...ya, biru warna kegemaran aku, ianya romantik. Biru dan hijau bergabung menjadi pirus untuk selendang itu. Cantik warna-warnanya.


Aku tersentak. Aku toleh kepada orang ramai. Hah! Aku tahu apa yang kurang kena pada pagi itu, semasa gerhana matahari itu. Aku lihat mereka semua pudar!


Ya, baju mereka, seluar mereka, kain mereka... pudar dan kusam. Malah, kulit mereka juga pucat. Kelabu. Aku lihat lengan aku. Aku tenung lengan aku lama-lama di kaki lima itu. Ya, kulit aku juga kelabu. Baju aku juga kusam.


Aku hairan. Ada wasap nipis berwarna hitam - kelabu meruap naik ke udara dari lengan aku. Seperti wap air panas yang terapung ke atas. Sejatan.


Aku tercari-cari lagi. Di sebuah lorong antara bangunan, aku lihat ada seorang pengemis duduk bersandar pada dinding bangunan. Lemah. Oh, itu bukan pengemis. Aku lihat dia memakai kot dan bertali leher, bersepatu kulit. Cuma segala-galanya seolah-olah reput dan menyejat. Aku lihat kulit dia juga terlalu kelabu dan seakan-akan legap... tak lama kemudian menjadi lutsinar. Dia mencungap-cungap seperti ikan di daratan. Lelaki itu mengangkat tangannya seperti meminta bantuan. Aku hulurkan tangan aku. Namun, bila aku sentuh tangannya, serta-merta ia terlerai dan hilang. Aku seperti menggenggam asap kelabu. Akhirnya, orang itu hilang ditiup angin.


Sekarang baru aku tahu. Orang-orang ini sedang tersejat. Sel-sel mereka menyejat seperti air yang tersejat dek panas matahari! Sedikit demi sedikit sel-sel dan serat-serat pakaian mereka mereput dan terlerai, meruap naik ke atas, sebelum ditiup angin dan tersebar entah ke mana.


Pagi itu, matahari gerhana.
Namun, kedudukan matahari itu tetap pada ufuknya. Tak bergerak!
Dan orang-orang mula sedar. Mula kelam-kabut.



Cepat-cepat aku pulang ke rumah. Aku ketuk pintu rumah jiran-jiran aku. Mereka semua keluar. Bertiga. Berempat dicampur aku. Aku lihat mereka juga begitu. Tersejat dan meruap. Aku terangkan kepada mereka dan mereka baru perasan kerana selama ini, cahaya terlalu malap untuk kami lihat dengan jelas, seperti pelita ayam yang kehabisan minyak tanah. Mereka panik.


Dari balik pintu salah satu rumah itu, ada seorang budak lelaki berumur dalam 7 - 9 tahun terpisat-pisat mengesat matanya. Baru bangun dari tidur. Aku tanya seorang jiran aku, siapa budak itu? Aku tak pernah nampak dia pun sebelum ini. Dia kenalkan, itu anak saudaranya yang datang dari kampung. Dia tanya semula, kenapa aku bertanya?


Aku kata, pakaian dan kulit budak itu masih cantik. Kekal berwarna kuning langsat. Ia tak menyejat! Mesti ada sebabnya. Dan jawapan itu pasti ada pada budak itu.


Kemudian, aku kata, kita perlu bawa budak itu keluar dari sini. Aku tak mahu nanti ada agensi kerajaan berbaju hitam dan berkaca mata hitam; atau pun saintis gila mana yang mahu culik dan buat segala macam eksperimen ke atas budak itu. Aku pasti, mereka akan ambil tisu dan darah, mungkin organ tertentu untuk di kaji.


Kami bersusup-sasap dari lorong ke lorong sambil melindungi budak itu dari terlihat oleh orang ramai. Aku tak mahu mereka rampas budak itu dari kami. Di lorong itu, aku terlihat seekor kucing kuning tetapi semakin pudar warna kuningnya, sedang bertenggek di atas tong drum minyak pelincir 200ltr. Mungkin dek takut dengan bunyi derapan kaki-kaki kami, kucing itu pun lantas bangun dan terjun ke bawah. Namun begitu, sebelum sempat kaki depannya mencecah jalan, tubuhnya menjadi kabus kelabu, lalu hilang di tiup angin.


Akhirnya, kami tiba di belakang sebuah kedai kopi kepunyaan Cina yang tertutup. Aku umpil pintu belakangnya. Kami semua seludup masuk ke dalam kedai. Aku suruh budak itu pergi bersembunyi di tingkat atas, sedang kami berempat duduk di kerusi sambil berfikir panjang. Termenung panjang memikirkan nasib kami. Tiada jawapan.


Aku ada terdengar bunyi pintu hadapan di ketuk-ketuk, malah di hentam dengan agak kuat, tetapi kami hanya berdiam diri. Tiada apa yang boleh kami lakukan. Kami juga menjadi semakin lemah. Terasa penat seperti berhari-hari tak tidur. Terasa haus. Namun bila aku teguk air kopi suam yang ditinggalkan di atas meja dapur, haus aku masih gagal untuk hilang. Seperti tidak puas. Seperti berlari berbatu-batu dan berhenti melepas lelah. Seperti pesakit asma yang kehabisan gas penyambung nyawanya. Seperti... seperti hampir mati. Ya, seperti hampir mati!


Aku bangun. Aku intai dari pintu kaca. Orang ramai semakin panik. Mereka semua semakin lutsinar. Aku intai lagi, aku lihat matahari masih gerhana, masih lagi diufuk yang sama!
Ah! Mataharikah itu? Pagi itu, aku termenung panjang di belebas tingkap kaca kedai kopi. Aku lihat suasana yang semakin pudar, kusam dan lutsinar. Dunia yang semakin lutsinar. Aku berfikir panjang. Apa nasib budak itu nanti? Keseorangankah dia di dunia nanti?




Aku masih termenung, apabila Mama mencuit lengan aku pagi itu. Mama hairan melihat aku yang seolah-olah bingung, berkerut dahi memikirkan sesuatu yang maha berat.

Aku tahu, Mama sentiasa mengambil berat tentang aku.
Oleh itu, aku ceritakan mimpi aku kepadanya seperti mana yang di atas itu.






.

3 comments:

bain said...

Salam brhujung minggu!:)

ASH said...

Ko dah start bermimpi balik ek?
ber episod episod...
goooddd..teruskan mimpi mu

Nizam.Ariff said...

Bain,
Salam berkhidmat untuk income tax esoknya... hahaha


Ashley,
Akak suka mimpi aku tak? hehehe

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com