Saturday, May 29, 2010

Once a prince 5 ... the finale (21SG)

.

TERPISAH


Jati berang. Dia alihkan kerambit tembagasari dari leher orang tua itu kepada jari telunjuknya. Dengan sekali rentap, jari telunjuk orang tua itu putus, tertanggal dari tangannya. Darah memancut keluar. Namun orang tua itu tidak menunjukkan sebarang rasa, tidak kaget, sakit pun tidak.


"Terima kasih kerana tolong cabutkan dosa aku dari tubuhku..." orang tua itu bersuara. Adiwarta terkejut dengan tindakan Jati dan dia terdorong untuk menolong tetapi dihalang oleh orang tua itu dengan pandangan matanya. Adiwarta terhenti, diam dan faham.


Jati mendengus. Kemudian dia merentap tangan kanan orang tua itu. Diletakkan kerambit tembagasari itu dipergelangan tangan orang tua itu. Jati hiris beberapa kali sehingga putus. Kemudian Jati beralih kepada tangan kiri orang tua itu lalu melakukan perkara yang sama. Darah berjurai-jurai keluar dari luka-lukanya. Namun begitu, orang tua itu tetap tersenyum.


"Terima kasih lagi. Itu adalah dosa aku kerana mengambil bukan milik aku..." Orang tua.


Kelana tak puas hati. Dia tolak abangnya itu ke tepi lalu dia mengangkat kapak perangnya tinggi-tinggi. Dengan sekali libas, putus kaki kanan orang tua itu separas lutut. Kelana lakukan juga kepada kaki kiri orang tua itu. Orang tua itu tergolek ke atas rusuk kanannya. Kepalanya tersengguk-sengguk menahan sakit.


"Te..ri..ma kass..sih. Yang itu... kerr..rana.. tingg..gal..kan ister..iii aku ..." orang tua.


Adiwarta mengalirkan air mata. Namun begitu, tiada apa yang boleh dia lakukan untuk menolong orang tua itu. Jati ketawa tetapi dia masih tidak puas hati kerana orang tua itu masih hidup dan menyindirnya.


Jati berlutut lalu dia memangku kepala orang tua itu pada ribanya lantas menarik lidah orang tua itu keluar. Kemudian, dia keluarkan kerambit tembagasari lalu meletakkan di bawah pidah orang tua itu.


"Mulut kamu sungguh lancang. Tetapi sebelum aku kerat lidahmu, aku mahu tahu kenapa kamu kata anak-anak kamu pekak dan bisu?" Jati lepaskan lidah orang tua itu.


"... kera..na kamu... ber..dua.. tidak.. mahu.. mendengar nasihat... dannn... kata-katamu.. ..pula.. tidak.. orang.. dengar.." Orang tua.


Jati bertambah jengkel. Dia hempas kepala orang tua itu ke atas pasir.


"Minggir ke sisi, abangku Jati. Biar aku habiskan nyawa dia..." Kelana.


Jati undur beberapa langkah. Kelana hampiri orang tua itu lalu meludahinya beberapa kali, menghina. Lalu dia mengangkat kapak perangnya tinggi-tinggi. Kelana melihat sekeliling, kepada semua orang yang menyaksikan siksaan itu. Matahari semakin meninggi, cahayanya terbias pada mata kapak yang tajam dan berkilat itu, menuju tepat pada mata orang tua itu. Orang tua itu silau lalu dia pejamkan matanya.


Dengan pekikan yang kuat, Kelana menjatuhkan mata kapak perangnya tepat pada batang tenggorok orang tua itu, lalu mata kapak perang yang tajam itu terus membelah laju, memutuskan segala urat-urat darah dan tulang tengkuknya sehingga putus ke bawah. Kepala orang tua itu pun terpisah dari badannya. Matanya membulat, memandang tepat kepada kedua orang anaknya itu.


Jati dan Kelana ketawa puas. Masing-masing menggenggam tangan masing-masing sambil melihat sekeliling. Adiwarta berjalan ke tengah gelanggang, memberikan tunduk hormat terakhir kepada mantan ketuanya itu, lalu berjalan menghampiri Jati dan Kelana.


"Aku ucapkan terima kasih bagi pihak orang tua itu..." Adiwarta.

Jati dan Kelana terpinga-pinga.

"Kenapa pula..?" Jati.


"Kerana menolong lunaskan segala dosanya semasa dia hidup dulu. Dia itu dulu seorang putera kepada seorang 'raja' yang rakus seperti kamu. Kemudian dia keluar dari daerah ini dan tinggalkan segala-galanya kepada kami semua... sebelum kamu berdua merampasnya kembali "


Adiwarta berjalan keluar. Ketika hampir ke pinggir gelanggang, dia berhenti dan menoleh kepada Jati dan Kelana yang masih kebingungan.


" Dan aku doakan agar ada yang muncul untuk menolong kamu lunaskan dosa-dosa kamu berdua pula... sama seperti yang kamu lakukan tadi itu..."




Matahari masih memancar pijar, memanaskan hati dan semangat orang ramai yang mula berkumpul mengelilingi Jati dan Kelana, merapati mereka berdua. Mata-mata mereka membolong gelap, memandang tepat kepada Jati dan Kelana. Sebentar itu juga, Jati dan Kelana melihat mereka telah dikelilingi oleh makhluk-makhluk yang berwajah ganas dan bertaring tajam, dengan kepak-kepak lebar bersepuh besi kharsani tajam di setiap sisi kepak-kepak itu. Tangan-tangan mereka itu bertukar menjadi cakar-cakar yang bersepuh tembaga.


Adiwarta tersenyum melihat Jati dan Kelana yang ketakutan. Adiwarta keluarkan sayapnya lalu meluncur laju ke udara, berlegar-legar seketika sebelum terbang ke arah gunung.


Yang tinggal kini hanya pekikan terakhir Jati dan Kelana....




End.




.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com