Sunday, August 22, 2010

Meriam Tanah... mari main letup-letup...

.

Orang nak letup, aku pun nak letup jugak. Mana aci kalau asyik rumah aku je kena gegar dengan letupan meriam.


Satu hari tu, aku pergi ke stor belakang rumah. Aku cari sebuah tong padi yang usianya dimamah anai-anai. Aku tercium sesuatu yang sengak. Tong padi itu bertutupkan beberapa helai guni dari serat jut. Itu guni padi namanya. Aku selak.


Tercium wangi bau Cempedak yang diperam. Aku tak berminat dengan Cempedak itu. Aku puasa, mana boleh cilok Cempedak siang-siang buta. Allah Maha Melihat. Aku selok tangan aku dalam-dalam ke dasar tong. Ada ketulan-ketulan seperti batu. Itu Karbaid. Aku ambil beberapa ketul.


Aku cari cebak (sejenis alat mengorek tanah). Aku bawa pergi ke bawah pokok rambutan. Aku tarah tanah ditebing itu biar agak sekata. Aku toleh ke arah rumah jiran aku. Aku kena pastikan beringnya adalah betul. Pada masa itu, GPS tak wujud di kampung aku.


Aku korek lubang sebesar batang pisang muda, kira-kira 2 jengkal dari atas permukaan tebing tanah. Aku terus tebuk secara horizontal dengan kecerunan  -5 degree kira-kira sedepa dalamnya. Kemudian, aku cari sebatang buluh kecil dan aku cucuk dari atas secara vertikal sehingga tembus dan bertemu dengan lubang yang aku tebuk secara horizontal tadi. Kira-kira bertemu sejengkal dari dasar lubang tadi.


Setelah siap, aku cari tempurung jantan (tempurung tak bermata) yang biasanya aku gunakan sebagai bekas cacing tanah untuk umpan memancing Puyu. Aku letak beberapa ketul karbaid. Sebelum aku curahkan air ke karbaid itu, aku sumbat lubang buluh itu dengan kain buruk, dan aku sediakan jerami padi untuk aku sumbat lubang yang aku korek tadi.


Kemudian, aku curahkan air kira-kira 1/4 penuh ke dalam tempurung jantan berisi beberapa ketul karbaid tadi. Seketika itu juga air itu menggelegak, berbuih-buih dan asap nipis mula terbentuk. Cepat-cepat aku masukkan ke perut lubang itu dan aku sumbat mulut lubang itu dengan jerami padi tadi. Aku biarkan seketika.


Sementara itu, aku ketuk hujung ranting sepanjang 2 depa biar agak bersepai sedikit. Aku celupkan hujung ranting itu ke dalam minyak tanah dari pelita / panjut. Aku nyalakan untuk cuba. Aku padamkan semula.


Kemudian, aku dekatkan telinga aku ke mulut lubang yang bersumbatkan jerami itu. Aku dengar betul-betul. Pastikan tiada lagi bunyi air menggelegak. Tinggal hanya degupan jantung aku dan  'hissing sound' sahaja.


Dah sampai masanya. Aku nyalakan ranting kayu yang menjadi palam pencucuh. Aku tanggalkan kain dari lubang buluh tadi. Cepat-cepat aku suakan palam pencucuh yang hujungnya masih bernyala ke mulut lubang buluh itu. Seketika itu juga....


KABOOOOMMMM!!!!!!!!



Tanah yang aku pijak bergegar. Jerami padi tadi terpelanting jauh. Bersepai. Bersepah.
Dan yang penting, Bapak aku berdiri di depan pintu sambil bercekak pinggang..!!!!!


Aku syak dia nak join aku main meriam tanah kut...???





.

6 comments:

aza ni said...

salam zam,
zaman lawan meriam kabaid antara kampung dengn kampung...gegak gempita...sahut bersahut....

tasekM said...

ko kecik2 dh alqaeda, kan...?


.

ibundo said...

naseb baik bukan ko yang terkabooommm...

Nizam.Ariff said...

Azani,
Masih terngiang-ngiang dentuman meriam itu... juga jeritan makcik2 yang marah sebab anak nak tido..

TM,
Aku tak alQaeda... almaunah mungkin kut hahaha

KakPah,
Kita orang kecik-kecik dah jadi engineer kak... dah kira ketumpatan tanah, jarak selamat dan segalanya.. hahaha

ckLah @xiiinam said...

ckLah dulu, satu-satunya budak perempuan yang kaki meriam dan karbaid ni....abang 3 dan adik lelaki 4. Abang ckLah yang paling terer buat meriam (sure bunyi dentum sekampung kalau buat), sekarang pun jadi engineer....


Tapi..tk pernah ada kisah kudung jari pasal meriam macam budak2 sekarang. Tak kreatiflah depa kan!

Nizam.Ariff said...

CKlah,
Orang dulu-dulu guna akal buat meriam... orang sekarang-sekarang hilang akal nak buat meriam...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com