.
Malam tadi, aku bermimpi yang aneh sekali. Menakutkan dan aneh, terlalu! Sungguh. Aku cuba susun semula jalan ceritanya sebaik mungkin kerana dalam mimpi ianya agak kelam kabut. Inilah dia... tafsirkanlah sendiri.
Aku dapati diri aku adalah sebahagian daripada penduduk kampung di pergunungan dan dataran steppe (padang rumput) yang beralun-alun seperti di Tibet-Rusia. Padang rumput itu pula di kelilingi oleh sungai yang lebar tetapi tohor airnya. Sungai itu mengalirkan air dari puncak gunung-ganang berbatu dan bersalji nun jauh di utara sana. Sungai itu memisahkan padang rumput yang hijau dan kebun-kebun sayur yang subur dengan banjaran gunung yang berbatu pejal dan tinggi. Manakala di sebalik banjaran gunung itu pula adalah padang pasir yang luas serta tandus.
Rata-rata penduduk adalah petani yang berkebun dan bercucuk tanam, termasuk aku. Pakaian kami diperbuat dari kain kapas yang kasar seperti kain belacu tanpa corak dan tanpa fesyen yang tertentu. Rumah-rumah kami pula ditegakkan daripada kayu hutan dan papan. Manakala kain guni menjadi pemidang diantara bilik-bilik kami. Kebanyakkan rumah orang-orang kampung terletak di sepanjang lereng curam banjaran gunung berbatu itu, lereng yang sama juga menahan angin dan debu kering dari padang tandus di sebelah sana. Oleh sebab itu, di sepanjang lereng banjaran itu terdapat hutan kayu yang agak padat.
Rumah-rumah kami diterangi dengan cahaya berwarna biru dan kuning yang terpancar dari batu-batu aneh yang dikorek dari dasar bumi. Sebenarnya, di bawah lereng gunung berbatu itu ada jalinan gua-gua dan terowong seperti lombong tinggal. Manakala kebanyakkan rumah penduduk kampung mempunyai terowong rahsia yang bersambung kepada jalinan terowong bawah tanah itu. Itu termasuk sungai-sungai bawah tanah yang melobangi batu-batu dasar.
Negeri itu pula diterajui oleh satu kerajaan yang besar. Kerajaan yang sebesar Putrajaya itu pusat pentadbirannya terapung-apung di angkasa. Pada masa-masa tertentu akan kelihatan pesawat-pesawat kecil dan besar naik dan turun diantara pusat pentadbiran itu dan bumi. Meskipun terdapat perbezaan teknologi dan cara hidup yang ketara diantara kerajaan dan rakyat, semuanya hidup aman dan tenteram. Sehinggalah............
Pada suatu hari itu ketika aku berumur dalam belasan tahun, aku dan beberapa rakan sedang seronok menangkap ikan menggunakan tempuling dan jala di sungai, aku merasakan hari itu bukan hari yang aman. Ketika itu juga aku dapat rasakan sesuatu bakal muncul. Sesuatu yang tidak baik. Aku dongak ke langit cerah. Aku terlihat seperti ada sebutir bintang tiba-tiba bersinar dan menjadi cerah. Aku terpegun seketika. Bintang itu menjadi semakin besar dan cerah. Aku takut, lalu aku panggil rakan-rakan aku untuk melihatnya.
Pada mulanya kami sangkakan itu tahi bintang yang melintasi langit kami tetapi rupa-rupanya benda itu terus menjunam ke bumi kami. Asap tebal seperti ekor putih yang panjang mendekati bumi, didahului dengan seketul batu yang panas dan terbakar.
Bunyi berdesing semakin kuat menghentam telinga sehinggakan kami tak tertahan lagi mendengarnya. Kami pekup telinga-telinga kami. Bumi dirasakan bergegar dan hati-hati kami turut bergetar ketakutan. Kiamatkah?
Akhirnya, satu dentuman yang amat kuat mengejutkan semua yang ada apabila benda itu jatuh di sebuah gunung berbatu, tidak jauh dari padang steppe. Batu-batu tercampak jauh, api menjulang tinggi dan gunung yang dihentam itu runtuh sebahagiannya ke sungai. Tidak lama kemudian, paras air sungai naik mendadak, membawa puing-puing dan lumpur. Kami lemparkan tempuling dan jala lalu kami segera berlari naik ke tebing. Rakan-rakan aku telah naik ke tebing tanah lalu berlari pulang ke rumah manakala aku yang lebih hampir ke tebing batu telah memanjat bukit berbatu pejal itu untuk elakkan diri dari dibawa arus deras.
Aku keseorangan kini. Takut mulai menjalar seperti bisa ular. Aku tunggu seketika dengan harapan air sungai akan surut. Jadi, aku panjat bukit berbatu pejal itu sehingga ke puncaknya. Aku mahu lihat apa yang berlaku. Angin padang pasir kontang di belakang sana bertiup agak kencang. Aku lihat padang pasir itu tandus, setandus-tandusnya manakala di hadapan aku pula adalah padang rumput yang subur. Banjaran gunung berbatu pejal ini menjadikan kawasan padang rumput ini seperti pulau yang indah, yang dikelilingi sungai yang nyaman.
Namun tidak lagi. Aku terlihat seperti ada sesuatu yang besar sedang hanyut dan berenang ke tebing. Sesuatu yang sebesar gajah tetapi punyai susuk tubuh badan yang tegap dan berotot seperti harimau kumbang. Mata yang merah menyala, tanduk-tanduk yang tajam. Barisan gigi yang berupa taring kesemuanya. Badannya seperti kulit buaya yang bersisik tebal dan berwarna hitam kehijauan. Keempat-empat kakinya mempunyai cakar yang berkuku tajam, ekornya agak panjang dan tajam di hujungnya. Lebih kurang seperti ini:
Apabila binatang yang pelik itu naik ke tebing, ia terus menggeleng-gelengkan kepalanya dan menggoyang-goyangkan badannya untuk membuang lumpur yang melekat. Kemudian aku lihat sesuatu yang lebih aneh. Tiba-tiba badan binatang itu menjadi kemerah-merahan dan terbakar. Saki-baki air sungai terus menjadi wap lalu hilang ditiup angin. Apabila telah kering, badan binatang aneh itu kembali bertukar menjadi warna hijau kehitaman.
Aku bernafas laju. Cepat-cepat aku sembunyi di rekahan batu yang agak besar. Dada aku bergetar, jantung berdegup kencang. Tidak pernah aku rasai ketakutan yang teramat seperti sekarang. Tidak lama kemudian, aku beranikan diri untuk mengintai. Ketika itulah aku llihat binatang itu mendongak tinggi sambil hidungnya menghidu-hidu sesuatu. Mungkinkah ia sedang mencari mangsanya...?
Pada ketika itulah aku teringatkan cerita seorang petapa tidak lama dulu. Seorang petapa yang pernah tinggal di dalam salah satu gua di dalam banjaran gunung yang berbatu pejal itu. Dia pernah meramalkan sesuatu ... ..
[ sambung malam nanti. semoga aku masih boleh ingat jalan ceritanya yang .. amat ngeri]
.
8 comments:
cepat sambung..moga ingtn terhadap mimpi itu masih tak hilang =)
Tak sia-sia cikgu Ahmad Lutfi kita suruh catatkan mimpi setiap hari masa kecik-kecik dulu....hehe
dah nak maghrib, tak sempat baca... selamat berbuka, bye! :D
Cheqna,
jap... tangan kejang ni...hahaha
Cklah,
ni mimpi manyaakkkk seram woo...
KOG,
alaaaa.... bukan aku delete pun. lepas isyak ko sambung baca la..
kenapa la ko selalu mimpi ngeri2 ni eh...?
aku jarang sgt mimpi..
.
TM,
sebab aku tak basuh kaki kut... atau tak baca ayat Kursyi... hahaha.
tapi entah kenapa, aku suka bermimpi. bila aku tidur dan bermimpi, aku seperti hidup lama. seperti aku ada di alam lain yang menarik dan adventure...
cuba-cubalah bermimpi...
Pada tahun 1995 dulu, aku ada tulis teknik macam mana nak bermimpi lebih kurang begitu...
ye la dino. jd macam twilight jeh... sat lg aku baca smbgannya...
Sepa,
memang pesen ko bukak blog tengah malam ek? ataukah masa tu sahaja jenerator untk on pencawang signal tu on?
hahaha
Post a Comment