.
Entah macam mana, dalam mimpi itu aku melakukan flashback... ini cerita seterusnya.
Ketika aku masih kecil dahulu, aku dan rakan aku sering merayau-rayau di dalam gua-gua bawah tanah yang bersambung-sambung. Gua-gua tersebut bukanlah gelap, malah ianya samar dan kadang-kadang terang kerana ada beberapa jenis batu boleh mengeluarkan cahaya biru dan kuning atau amber. Apabila kami mengetahui ada seorang petapa di salah satu penjuru gua di dalam gunung batu pejal itu, kami pun pergi mencarinya.
Petapa itu seorang yang sangat tua dan buta matanya. Tidak pula diketahui siapa dan dari mana dia itu.
Pada satu hari, sang petapa itu memberikan satu nujum. Katanya, akan ada sejenis binatang yang kasar sifatnya, perengus dan pemarah menjadi kulitnya, darah menjadi matanya, besi tajam menjadi tanduknya. Kaki-kakinya mampu mengubah gunung batu pejal menjadi debu. Badannya adalah besi yang berapi dan yang paling penting, tiada senjata manusia yang mampu melukakan kulitnya itu.
Kami pun bertanya, jika binatang itu tak boleh dibunuh (invincible), jadi kampung kami akan punahlah?
Sang petapa itu menambah kata, ketika permukaan bumi bertukar menjadi api yang menjulang akibat kebinasaan yang dilakukan oleh binatang itu, akan muncul seorang Adiwira dari perut bumi yang setangkas binatang itu.
Kami teruja, lalu kami tanya lagi bagaimana Adiwira itu. Sang petapa itu berkata, Adiwira itu
memakai baju kulit dan besi, di tangannya sentiasa ada sebilah pedang yang berapi. Itu sahaja penerangan yang kami terima dan cerita itu adalah antara cerita kanak-kanak yang kami suka ketika kecil dulu.
Namun sekarang, cerita itu mungkin telah terjadi di depan mata aku. Aku jengah lagi binatang sial berapi itu dari bucu batu tempat aku sembunyikan badan aku. Aku lihat binatang telah tiada di tempat tadi. Aku tercari-cari dengan anak mata tetapi tak nampak apa-apa. Setelah puas hati binatang itu tak ada, aku pun berdiri di atas batu di puncak bukit di tebing sungai itu.
Dari situ aku lihat api dan asap menjulang tinggi dari kampung jiran yang terletak di seberang padang steppe. Aku juga dapat mendengar jeritan maut sayup-sayup dari kampung jiran itu. Aku pasti itu angkara binatang tadi. Kemudian aku terlihat beberapa orang berlari keluar dari kampung itu menuju ke kampung aku pula. Dan tidak jauh di belakang mereka ialah binatang itu, sedang mengejar mereka. Badan binatang itu menyala-nyala dengan api biru dan merah.
Langkah mereka tak jauh. Binatang yang berupa naga berapi itu dengan mudah melompat melepasi mereka dan kini telah berada di hadapan mereka. Orang kampung jiran itu terhenti dari berlari. Belum pun sempat mereka berlari ke arah lain, naga berapi itu melibaskan cakarnya, serta merta 2 orang dari mereka berkecai dan terbakar. Nasib lain juga sama tak lama selepas itu, hancur dan terbakar.
Aku terkejut melihat segalanya. Terlalu ngeri. Aku melopong. Lutut aku lemah. Tak lama kemudian, aku lihat di ruang udara ada beberapa pesawat tempur kecil berbentuk 3 segi terbang turun dari pusat pentadbiran di angkasa menuju ke arah binatang itu. Binatang itu mendongak ke atas lalu menderam, seperti singa jantan yang amat besar bunyinya.
Pesawat-pesawat tempur itu terbang rendah lalu menghujani binatang itu dengan peluru dari pelbagai arah. Namun begitu peluru-peluru itu langsung tidak menjejaskan tubuh binatang itu, hatta untuk mencalar kulitnya sekalipun. Apabila ditembak bertubi-tubi, binatang itu berang lalu api biru dan merah yang menyelubungi badannya menjadi besar, terlalu besar dan bahangnya dapat aku rasakan. Dengan tak semena-mena, binatang itu melompat amat tinggi, seolah-olah tubuhnya ringan seperti layang-layang, untuk mencakar pesawat-pesawat tempur itu.
Aku lihat ada beberapa pesawat tempur yang berjaya dijatuhkan dan terbakar manakala yang lainnya pulang ke pusat pentadbiran di angkasa.
Apabila pertempuran itu selesai, api biru dan merah yang menyelubungi badan binatang itu mengecil lalu hilang. Namun hawa panas dari badannya masih kelihatan seperti fatamorgana di padang pasir, seperti logamaya di atas aspal panas. Aku yang terlalu asyik melihat segala-galanya di depan mata tak sedar bahawa binatang itu telah terlihat aku.
Kami berbalas pandangan, walau pun jarak kami jauh, aku pasti dia telah terlihat kalibat aku yang berdiri di atas batu di puncak bukit berbatu pejal ini. Ketika itulah terasa seperti luruh segala semangat aku. Kecut perut aku. Binatang itu berjalan perlahan-lahan ke arah aku. Kini, aku pasti dia telah lihat aku.
Pada mulanya aku tak mampu bergerak kerana takut yang teramat tapi beberapa saat kemudian aku dapat mengawal diri semula. Cepat-cepat aku menggelungsur turun dari puncak bukit itu. Aku rela terluka daripada hangus dipanggang binatang sial itu!
Aku berlari masuk ke satu gua kecil yang berdindingkan batu pejal. Aku menyelinap masuk cepat-cepat supaya binatang itu tak nampak ke mana aku pergi. Kalau tidak, binatang itu pasti mengekori aku sehingga ke kampung aku. Itu yang aku tak mahu. Aku tak mahu seluruh warga kampung aku hangus dipanggang binatang sial itu, seperti mana yang telah dilakukannya kepada kampung jiran.
Aku berlari susup-sasap di dalam gua itu menuju ke rumah aku. Sesampai di rumah, aku keluar dari lubang di lantai bilik aku. Aku beritahu kepada semua adik beradik aku (tak pasti sama ada orang tua aku ada atau tidak masa itu). Kemudian aku pergi ke rumah jiran-jiran aku dan menyuruh mereka bersembunyi di dalam lubang gua. Aku meminta mereka berkumpul di salah satu gua bawah tanah yang agak besar ruangnya.
Aku ketuk dinding rumah ke rumah dan menyuruh mereka bergerak secara senyap-senyap dan masuk ke terowong yang menghala ke gua bawah tanah itu.
Sesampai di rumah yang paling hujung, aku tersentak. Aku terasa bahang panas yang bukan dari matahari. Peluh mulai merenik di dahi dan leher. Aku berjalan terjengket-jengket lalu menyelak sehelai bidai di rumah itu.
Dan di depan aku itu, binatang sial itu merenung tepat ke anak mata aku. Matanya merah menyala-nyala. Sisik-sisik sebesar piring pada badannya berkilat seperti besi yang panas. Lidahnya bercabang dua. Tanduknya ada empat dan tajam-tajam: dua menghala ke depan dan dua lagi menghala ke belakang. Pada kiri dan kanan pipinya ada lebihan kulit seperti cicak kubing yang kelihatan keras walau pun ianya boleh bergerak-gerak.
Kuku kakinya tajam seperti kuku helang dan panjang. Bentuk tubuh badannya seperti harimau kumbang yang berotot pejal. Di sepanjang belakangnya sehingga ke hujung ekor ada tersusun bulu-bulu tajam seperti duri nibung tetapi besar dan panjang-panjang. Dan di hujung ekornya ada segumpal bulu-bulu yang tajam seperti tombak dan panjang-panjang.
Binatang sial itu menghampiri aku. Perlahan-lahan aku undur ke belakang. Niat aku ketika itu tidak lain ialah berlari sepantas mungkin menuju ke arah lubang kecil yang membolehkan aku berlari ke gua bawah tanah tetapi segala-galanya bagaikan beku.
Lutut aku longgar. Sendi-sendi aku lemah. Bahang panas terasa sungguh. Aku tak mampu berbuat apa-apa lagi. Kecut perut aku dan perut menjadi senak. Pundi-pundi kencing terasa sangat penuh.
Ketika itulah aku terasa mahu kencing sangat-sangat dan aku terjaga dari tidur. Segala-galanya kembali ke dunia nyata. Tiada lagi naga berapi. Aku bingkas bangun menuju ke tandas.
Bila aku letakkan kepala semula, mimpi aku itu tak bersambung. Puas aku cuba tapi bayangan naga berapi yang aku kagumi itu tak juga mahu menjelma. Memang potong betullah, bagai nak luku-luku jer.....
.
10 comments:
frequency, urgency, incomplete voiding..ada sesuatu yang tak kena dengan kalenjar prostat ni...
Puas aku cuba tafsirkan. Mencari pengertian sebaliknya.
Mungkin aku tak sehebat Nabi Yusuf...
ini buan untuk di tafsir zam tapi unuk dibukukan dan ditekskan sebagai gantian hikayat ganja mara,,
Jeb,
ye, ada yang tak kena... aku banyak sangat minum air sebelum tidur kut... hahaha
Shimi,
aku pun tak tau, tu sebab aku minta tolong sesiapa yang tahu menafsirkannya.... atau itu sekadar mainan tidur, pengaruh yang meresap masuk melalui kaca TV sejurus sebelum aku masuk tidur... mungkin.
Azani,
hikayat ganja mara? tak pernah baca tu. cer citer sikit...
nasib baik tak ngompol.
.
haa.. ini baru cerita bukan makanan..
tas, yang benornya dia nak membeser, haha
zam, apasal ko kena jadi seorang insan yang sangat kompleks? tengok aku, mimpi senang² je, contohnya mimpi nak makan bubur pulut hitam tas buat ;)
TM,
dah hujung-hujung gak tu... hahaha
Dak Ai,
ada gak... naga tu makan orang salai... hahaha
KOG,
entahlah... dalam badan aku ada 2 identiti kut?
Tapi betullah.... aku tak ingat pun aku pernah mimpi makan atau minum... pesal ek? cer ajar aku sikit...
dino,
dari dua siri nih yang paling aku tunggu2 ialah tang makanminum si naga tuh.
boleh tak ko masuk balik dalam mimpi tuh, dan ko tanya sama naga tuh. apa dia makan.? dan apa dia minum.? sbb bila dia nak makan > dah rentung. bila dia nak minum > dah mengewap.
aku agak kali nih, kalau ko terserempak ngan si naga tuh dalam mimpi ko, ko hulurkan lamb-steak n coca-cola. > dan ko ngan dia akan jadi kawan la pulak. dan bersambung criternya > the adventure of dino n de naga. ko la adiwira yang berbaju besi tuh.
frankly, criter nih best la.
:)
Sepa,
naga tu boleh control api kat badan dia tu. tu sebab dia boleh kecik & besarkan api.
aku syak dia makan ayam panggang keni rojes la...
dan aku pun syak aku yang adiwira tu.. kalau tak, buat apa naga tu masuk dalam mimpi aku. pegi la masuk dalam mimpi kamu, ye dak?
Post a Comment