Friday, October 14, 2011

Kisah perdagangan antarabangsa...

.


... setelah tetap segala tujuan rombongan maka kenaikan pun dipersiapkan. Ada pun segala urusan pentadbiran dalam hal-hal berkaitan kenaikan telah pun dipersetujui dalam satu majelis yang terdahulu. Setelah itu, canang pun diketuk oranglah, mong-mong pun diarak oranglah. Mana yang berkebun berhenti bercangkul, mana yang menukang berhenti berketuk, mana yang bertanak berhenti menyudip; ada pun segala rakyat sekalian terpana dengan rombongan itu. Yang berinai terjatuh cincinnya, yang bersolek tertepis andamnya. Bak kata orang, yang molek bergolek yang melihat terlompat-lompat.


Begitulah keadaannya kampung itu. Arakian sampailah rombongan itu bersama-sama kenaikan masing-masing yang berupa kerbau, keldai dan baghal di tepi sungai yang selebar burung terbang sehari, setahun ikan berenang.


Setelah sudah, maka pawang kampung pun tampil merafak sembah kepada ketua rombongan sambil terbongkok-bongkok an mengesot di atas tanah. Ada pun pawang itu sudah tua, berlipat kulitnya, bertemu hidung dengan dahu, bertemu dada dengan peha, duduk dan berdiri sama tinggi, berjalan dan berlari sama laju.


Setelah itu, pawang kampung itu pun pergi menghampiri gigi air. Diambilnya seceduk lalu disumpah-sumpahkan olehnya lalu dikumur-kumur olehnya lalu diluahkan semula. Sekonyong-konyong itulah timbul berpuluh-puluh ikan dari dasar sungai itu, dengan warna merah, dengan warna hijau, dengan warna putih; amat indah-indah sekali keadaannya. Maka segala ikan-ikan itu pun bersyair dan berseloka dengan kata-kata yang tersusun dan indah-indah bunyinya. Maka takjublah segala rakyat jelata yang ada melihat akan segala yang berlaku.


Setelah selesai bersyair dan berseloka, maka pawang pun kembali mengadap ketua rombongan.

"... ada pun pada penglihatan mata hamba segala urusan tuan akan baik-baik belaka, malah bertambah kaya dan makmur... " sembah pawang kepada ketua rombongan.


Ketua rombongan pun tersenyum-senyum hingga menampakkan barisan gigi yang putih dan sebatang sumbi emasnya yang berkilau dipanah matahari.


".. cumaaa..... " tambah pawang itu.

Ketua rombongan pun terhenti senyumnya. Muka pawang itu ditenungnya dalam-dalam.


"... kalau tuan berbelanja banyak di pulau sana, bagaimana tuan mahu menghantar barang-barang semua itu pulang..? Kalau tuan mahu dimasukkan ke dalam luggage Air Asia pasti mahal tambangnya yang murah itu..."

Ketua rombongan mula tergaru-garu kepalanya.


"... lagi pun, jikalau kapal Air Asia itu tersungkur ke bumi, tentu habis segala barang-barang tadi..." tambah pawang itu lagi.


" .. betul juga kata-katamu, baiklah hamba letakkan barang-barang itu nanti di dalam kapal laut. Lagi pun, kalau kapal Air Asia itu jatuh, barang-barang hamba masih selamat sampai dan hamba boleh guna..." kata ketua rombongan.


Maka segala rakyat jelata yang hadir menyaksikan urusan perbincangan maha strategik itu pun terangguk-angguk kepalanya....






.

6 comments:

tasekM said...

aku ingat ikan tu timbul sbb mati.
rupanya bersyair.
kemahen ikan...

:p



.

Nizam.Ariff said...

TM,
itulah betapa mustajabnya air mulut tok pawang tu... keh keh keh

secangkir madu merah said...

aku baca cerita kau ni macam aku tengah baca buku hikayat inderaputra pulak... kau pernah baca buku tu? cuba kau cari, best baca buku tu..

macam mana dgn projek menulis? ada tak contact kakak yg aku bagi nombor haritu? tulislah Aeron.. aku suka baca tulisan kau.. sekarang penulis2 lelaki lagi hebat2 walaupun bukan menulis cerita cinta tau.. cubalah.. tak pun kau tulis nanti aku tolong hantarkan ke Alaf, amacam?

Nizam.Ariff said...

SMM,
aku pernah baca Hikayat Inderaputera masa aku sekolah darjah 4-5 dulu. Tu yang terikut-ikut...

Bukan tak nak menulis tapi tangan aku tak boleh tulis lama2 kak, ada masalah saraf sikit... frozen shoulder.

Sketsa kat entri yg ni pun kalau akak perasan aku tulis betul2 cuma sampai paragraf ke 3 jer.. lepas tu aku tak kembangkan. pendek-pendek jer.. dah tak larat la tu...

sepa said...

kenaikan aku baghal... boleh kot...?! kuda tak dak ka, bang...?

Nizam.Ariff said...

Sepa,
baghal tu kacukan kelda dgn unta kut... hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com