.
Bahu aku memang dah lama sakit. Sakitnya sampai menarik-narik dari urat belikat membawa ke hujung jari. Tapi, aku masih aktif seminggu 3 kali bermain menggunakan tangan. Maksud aku, bermain ping pong. Dan dua malam lepas, rasa sakit itu sampaikan terbawa-bawa ke dalam tidur.
Dalam mimpi itu, aku telah berjumpa dengan beberapa orang doktor di S. Alam termasuklah doktor-doktor pakar namun semuanya masih belum berjaya mengubati sengal di bahu aku. Setiap kali aku minta mereka x-ray, keputusannya tetap sama: mereka kata semuanya baik-baik belaka. Aku tak berpuas hati dan aku meminta untuk melihat negatif x-ray itu. Memang benar, tiada apa-apa yang aku lihat. Aneh sungguh.
Pada satu hujung minggu, aku pulang ke kampung. Aku ambil kesempatan itu untuk ceritakan kepada saudara-mara yang ada, mana tahu kalau-kalau ada yang tahu ubat yang mujarab.
Salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa ada seorang tabib Cina yang pandai mengubat sakit sengal-sengal badan. Apa lagi, aku terus minta ditemukan dengan tabib Cina itu. Kebetulan pula tabib yang datang dari negara China itu datang ke kampung aku atas sebab-sebab tertentu yang aku tak pasti apa dianya.
Lalu aku berjumpa dengan tabib itu. Dia ada seorang pembantu wanita yang menolongnya. Dia minta aku berbaring kerana dia nak periksa. Aku katakan bahawa x-ray sebelum-sebelum tak menunjukktan apa-apa pada bahu aku. Tabib Cina itu tersenyum. Dia kata dia tak gunakan x-ray tetapi hanya menekan beberapa urat nadi di tangan aku. Dengan cara itu, dia telah dapat mengesan punca rasa sengal itu.
Dia minta pembantunya sediakan peralatan untuk membedah. Bedah?!! Serta-merta aku berasa seperti mahu melompat! Tabib itu kata itu hanyalah pembedahan kecil. Setelah dipujuk beberapa kali, aku pun bersetuju. Setelah memberikan ubat bius setempat, dia pun mengambil sebilah pisau bedah. Aku melihat pembedahan itu kerana aku masih sedar.
Dia buat satu torehan sepanjang lebih kurang 2 inci di pangkal lengan tangan kanan aku. Kemudian, dia dan dibantu oleh pembantunya, menolak-nolak sesuatu di bawah kulit lengan aku. Perlahan-lahan, sebatang besi seperti besi struktur pembinaan berdiameter lebih kurang sebatang pensel pun ditolak keluar. Apabila telah keluar sedikit, pembantunya terus mengepitnya dengan sejenis alat seperti gunting lalu terus menariknya keluar.
Besi yang tertanam di bahu aku itu panjangnya lebih kurang setengah jengkal dan berwarna sedikit kebiru-biruan. Setelah itu, tabib itu pun jahit semula luka pembedahan tadi. Tabib itu pun belek-belek besi sambil geleng-gelengkan kepalanya. Dia tak percaya yang besi sebesar itu tidak dapat dikesan di x-ray. Bukan dia sahaja yang tak percaya, aku pun tak percaya besi itu berada di bahu aku selama ini. Yang lebih pelik, aku tak teringat pun bilakah masanya aku tercucuk besi sebesar itu.
Bila aku bangun dari tidur, aku harapkan bahu aku akan hilang sengalnya, maklumlah, aku dah dibedah secara ghaib begitu. Tapi tak juga. Bahu aku masih sengal...
.
6 comments:
saya baru baca dalam mastika bulan Aug (bumper raya) tentang bedah cara ghaib..10 saat je..
ada sorang ustaz kat melaka boleh budat pembedahan secara ghaib.pakcik aku tahun lepas kena kanser.jadi setiap hujung minggu dia mintak aku hantar.aku tengokla ustaz ni buat pembedahan.konon-kononnya macam ada alat pembedahan.siap tengok skrin lagi.
sekarang ni pakcik aku dah bebas dari kanser.tapi aku tak pasti adakah sebab pembedahan ghaib atau sebab radioterapi kat Nilai Cancer Institute.
FadhilahM,
yang itu tak payah mimpi... ini dalam mimpi je... hahaha
Jeb,
aku pun pernah dgr kat Melaka tu, tak taulah kalau orang yang sama. di rumahnya siap ada katil pesakit, betul ke?
nizam,
betol2.ada katil pesakit.banyak gak katil.lebih kurang 30..bukan rumah.tapi macam dorm. pesakit baring sementara sampai giliran. abang/adik dia buat pembdahan ghaib kat shah alam.
jeb,
hah.. orang yang sama la tu.
tapi aku cuma dengar dari mulut kawan-kawan. aku tak pernah berurusan dengan dia orang tu...
dak doktor, tentu tercabar ngan pembedahan secara ghaib, nih...
aku ada tengok dalam utube... dan bila diaorg teliti balik, ruperrupernyer diaorg buat macam magic trick jeh...
ala macam criter perubatan dak CakraAlam... dalam telur ada darah.!, mentol menyala.!...
:)
Post a Comment