.
Di gigi pantai itu, Ayu Jannah melihat camar-camar bermain angin petang, juga camar-camar yang menghujamkan paruh ke dalam ombak demi seluang-seluang kecil yang bermain buih laut. Di gigi pantai itu juga Ayu Jannah melihat biduk-biduk yang usang, yang pecah-pecah dindingnya, yang patah-patah dayungnya. Biduk-biduk yang keletihan setelah melayari lautan kehidupan. Biduk-biduk yang terkokol-kokol batuknya setiap kali dihempas ombak.
"Kasihan sungguh Ayu lihat kamu semua..." Ayu pacakkan kedua-dua lututnya hampir pada biduk-biduk itu.
"Sungguh benar katamu..." jawab salah satunya.
"Ceritakanlah, Ayu boleh dengar. Lagi pun, Ayu telah lama keseorangan di pulau ini."
'Kami ini adalah mereka-mereka di seberang sana. Kamilah tubuh-tubuh yang membawa mereka semua. Dahulu, kami gagah mengharungi segala badai kehidupan. Kami tak gentar, kami masih kuat, masih ampuh membelai ombak. Sambil kami belai ombak, kami tarik pukat di dalam perutnya. Kami raup segala apa yang kami boleh kaut.
Untung rugi, halal haram semuanya kami ambil. Kerisi, Selangat, Kurau... semuanya kami ambil. Tidak kisah sama ada mereka itu halal bagi kami atau tidak. Sama ada itu hak orang atau tidak. Mana-mana yang tersangkut dalam pukat kami, itu menjadi hak kami. Itu hukum laut yang kami buat.
Namun, ombak bukan lagi mahu dibelai. Ombak mahu kami berbuat lebih daripada itu. Dia mahu kami serahkan jiwa kami kepada laut. Kami teragak-agak kerana jiwa kami milik mereka di seberang sana. Tetapi ombak merajuk. Dia tutup pintu laut. Dia tanam batu karang yang tajam-tajam. Habis pukat-pukat kami hancur!
Akhirnya, kami semua sepakat. Kami bersetuju untuk serahkan jiwa kami kepada laut. Kami terpaksa demi kelangsungan hidup kami dan mereka di seberang sana. Sejak itulah jiwa kami digenggaman laut. Kami mengharapkan belas laut untuk membenarkan ombak bermain dengan kami. Namun janji laut bukanlah sebuah janji suci yang bertunjangkan ikhlas
Pada satu hari, laut memanggil badai dari kaki langit hitam. Meluru mereka datang. Mereka tepuk dada laut, lalu ombak pun menggunung tinggi. Mereka kejar-mengejar menghala ke pantai. Apa-apa yang ada semuanya dirempuh hebat. Gempita guruh mentertawakan kami yang ketakutan. Kami semua berlari menuju ke pantai tetapi laut tiba-tiba menjadi likat. Sungguh likat seperti agar-agar, menyebabkan kami tidak dapat bergerak laju. Kami tak mampu melawan maraan badai dan ombak. Mereka datang seolah-olah mereka tidak pernah kenal kami sedangkan kami kerap bermain-main dengan mereka selama ini.
Lalu kami bertawakkal. Kami mahu serahkan jiwa kami kepada alam tetapi malang sungguh kerana kami telah serahkan jiwa kami kepada laut. Jiwa kami ada dalam genggaman laut. Tanpa belas kasihan, badai pun menghempas kami. Ombak memukul kami. Papan-papan kami terpokah, pecah... dan akhirnya kami karam dicucuk karang yang tajam.
Setelah kami punah, perlahan-lahan laut menghantar kami ke pantai, ke pulau ini. Maka, jadilah kami seperti yang Ayu lihat. Kami sekarang hanyalah bangkai-bangkai yang reput, yang hanyut. Kami gagal harungi laut kehidupan yang kejam itu.'
Mata Ayu Jannah bergenang air. Ayu Jannah seka dengan tangannya.
"Kenapa Ayu menangis?"
"Sungguh, cerita kita tidak banyak bezanya."
Ayu Jannah pun bangun meninggalkan biduk-biduk yang mereput itu lalu pergi menjauhi gigi pantai.
'Oh bulan, tolong suluhkan jalan untuk Ayu...Ayu mahu pulang.' bisik Ayu Jannah sambil mendongak ke arah bulan penuh di dada langit petang yang menginjak ke malam.
.
9 comments:
assalamualaikum ayu...
.
TM,
ni kira2 aku kena jawab salam bagi pihak dia la ek?
'waalaikumsalam'...
salam jugak tuk dak Ayu.!
:)
.
DAH 3KALI BACE ENTRY NI TP NA XFAHAM..
"NOOB SUNGGUH KAU NA
sepa,
walaikumussalam...
Jna,
Ooo... cerita Ayu ni dah lama...
nak tau cerita asal, kena baca dari mula. sila tekan label 'ayu jannah' kat bawah tu....
cari juga ayu jannah kat MerungMahawangsa... ceritanya ada di situ juga...
aku rasa macam pernah dengar nama ayu jannah...di mana yer...
LW,
aku pun pernah juga dengar... dalam angan
Mujur dan bersyukur Ayu dipertemukan dgnnya utk menjadi iktibar baginya mencari jalan yg lebih baik..
kakzakie,
huuhuhu... akak macam boleh bau je disebalik kisah Ayu tu...
Post a Comment