.
Apabila musim jerebu begini, entah apa gilanya, aku teringatkan suasana di kampung dulu-dulu. Apabila terlihat asap, di kampung dulu, biasanya kerana sampah dibakar atau pun 'kedap' padi (jerami) dibakar.
Kalau asap dari sampah di bakar, biasanya aroma daun kering dibakar itu memberikan satu macam bau, bergantung kepada jenis daun yang dibakar - daun pisang, daun rambutan, daun cempedak dsb. Tapi yang membuatkan ingatan mengimbau suasana kampung ialah bagaimana asap itu menerawang ke angkasa melalui celah-celah pokok kelapa, dibawa angin petang, sang suria masih terang dan panas (selepas Asar biasanya).
Sebelum boleh hasilkan asap, laman rumah kena disapu. Menggunakan penyapu lidi kelapa. Aktiviti menyapu biasanya dilakukan pada belah pagi kerana biasanya angin pagi tidak terlalu kuat, selain daripada hawa yang belum panas. Sampah-sampah yang 99% adalah organik (daun-daun kering) disapu menuju satu titik singulariti, yakni lokasi pembakaran sampah.
Kalau kreatif, boleh menggunakan ranting yang bercabang banyak untuk menarik daun-daun ke tempat longgokkan sampah. Ranting tadi diletakkan di celah kangkang seperti ahli sihir barat yang mengenderai penyapu itu. Dengan gaya sebuah traktor, sampah-sampah akan ditarik sambil bergerak ke depan. Kerja menyapu menjadi permainan.
Lokasi pembakaran ini biasanya bukan ada satu tetapi 3-4 tempat, bergantung kepada lebar dan kedudukan laman rumah. Sampah sarap dibiarkan membukit sementara matahari mengeringkan saki-baki embun yang melekat. Kalau ada sabut kelapa, biasanya akan diletak di atas sekali supaya kalau ada angin, sampah tidak 'terburai' ditiup dek angin. Menjadi seperti pemberat.
Sebelah petangnya, biasanya selepas Asar, barulah sampah itu dibakar. Biasanya cucuhan itu dibuat menggunakan daun pisang kering atau daun kelapa, menggunakan mancis. Kalau pandai membuat unggun api, sebatang mancis sudah cukup untuk membakar kesemua longgokkan sampah-sarap yang berjumlah 3-4 tempat itu. Caranya, pindahkan api dari unggun pertama ke unggun-unggun seterusnya.
Kepada yang pandai berimaginasi menjadi artis popular, pada masa itulah dia boleh berdiri di tepi unggun api dan biarkan asap menyelubunginya. Sambil memegang sebatang ranting kayu, dia bolehlah menyanyi... seperti pentas Hiburan Minggu Ini yang dipenuhi asap.
Ya, pada masa itu, asap pun boleh menjadi satu permainan... tidak perlu iPad atau Gtab. Yang diperlukan hanyalah imaginasi...
.
6 comments:
berguna juga utk menghalau nyamuk di remang senja. hehe..
suka bau asap bakar daun tu. sangat rasa suasana kampung. tapi sekarang tak digalakkan nanti dijadikan punca climate change pula. hehe.
Mcm hampir sama dgn apa yang aku citer kat blog aku.
Cinta,
Ya.. ya.. .asap sabut tu.. hahaha
Oshinz,
Aku setuju, bau daun tu memang nostalgik sungguh...
LyDS,
Ye ke?
Suasana mengemas sekitar rumah untuk menyambut lebaran...
masuk angin keluar asap da...!
sepa,
merokok lain... masuk asap keluar angin...
Post a Comment