Monday, May 19, 2014

Terpenjara...

.


......dan sebaik sahaja terlihat bayang-bayang yang tersimbah pada dinding, aku melopong...kerana bayang-bayang itu laksana si dogo bermain-main dengan wayang kulitnya.


Dari satu babak ke satu babak, dari kisah arjuna memanah mentari sehinggalah kepada siluman yang memperdayakan si puteri...semuanya tertayang pada dinding batu itu. Aku cuba memejamkan mata, kerana aku malu, kerana mereka sedang melakonkan kisah hidup aku, tapi aku tak mampu menutup telinga. Tangan aku terantai ke tiang, kaki aku terpasung ke lantai.


Aku terpaksa dengar dialog-dialog mual, jengkel dan memalukan itu. Tapi.... itu persis kata-kata aku dulu. Ya, kata-kata aku juga.

"Diammmmm...!" Ah! Bayang-bayang hanya tertawakan jeritan aku.


Puas aku ronta namun bukan kebebasan hasilnya tapi lelasan berdarah pada pergelangan tangan aku. Rantai-rantai itu berbelit kukuh pada tangan. Mustahil aku terlepas. Tapi aku cuba. Cuba adalah usaha. Jikalau aku mati pun nanti, lecet berdarah ini menjadi bukti usaha aku.

"Diamlaahh...!" Mereka masih mengejek.

"Diammm...." Aku tak mampu menjerit lagi.

"Tolonglah....tolonglah diam."

Akhirnya aku beralah. Inilah siksaku. Bahu aku bergegar, dada aku terasa perih, hati aku terasa pedih dan sedih....kemudian aku pun menangis meminta belas kasihan. Tapi bayang-bayang itu tak endahkan. Apabila aku buka kelopak mata, melalui genangan air mata berkaca-kaca, aku telek satu persatu wajah mereka...dan aku kenal roman itu. Wajah yang aku lihat dicermin muka...



 

.

2 comments:

LydSunshine said...

seperti paparan dosa-dosa dan segala perbuatan kita diulang tayang sewaktu di padang mahsyar ke?

Nizam.Ariff said...

Lyds.
Takde la sampai gitu...tp setakat lakon semula + sindir je..

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com