Wednesday, July 30, 2014

Raya kosong-kosong...

.


Puasa ini,
kosong rasa penuh jiwa.

Raya ini,
penuh rasa kosong jiwa.

Sudah hilang.

Mungkin tertelan 
melayan rendang 
dan lemang.






.

Aidilfitri 2014

Ini sticky entry...sila lihat dibawah utk tulisan terkini...

Friday, July 25, 2014

Berbahagia di Hari Raya....

 .


Hari raya pada kali ini, Hasri ambil keputusan untuk ikut balik ke kampung Nita. Hasri sebatang kara, tiap-tiap tahun dia akan memilih kampung kawan-kawan sepejabatnya untuk pulang beraya bersama-sama. Pada kali ini, dia ikut Nita. Kampung Nita indah, berhampiran pantai dan bersawah padi. Hijau saujana mata melihat. Musim belum menuai. Angin dari pantai menghembus kuat Serunai Laut, berolak-olak dedaun padi dicuit angin.

Pagi Ramadhan terakhir, Hasri duduk di atas batang kelapa rebah di tepi sawah. Anak puyu melompat-lompat menangkap belalang di dedaun padi. Jika tiada belalang, dilompatnya pula chatcibor. Tiada chatcibor, dikejarnya kutu air. Jika kutu air lari naik ke tebing, dikejarnya pula kepinding, dikejarnya cendangau. Hasri tersenyum bahagia melihat suasana dunia kecil itu yang riang-riang baginya.

"Kenapa kamu tak berteman?" Sapa Makcik Lijah, emaknya si Nita. Makcik Lijah labuhkan punggungnya di atas batang kelapa rebah ke sawah itu juga.

Hasri layangkan senyuman, tak berjawab tetapi matanya melirik kepada Nita yang sedang menyidai kain di ampaian di sebelah rumah. Picing-picing mata Nita melarikan anak matanya dari terpanah sinar matahari pagi yang belum segalah tingginya.

"Anak makcik tu pun tak berteman. Apa salahnya kalau Hasri yang temankan." Cadang Makcik Lijah.

"Tak boleh, makcik." Bantah Hasri. Makcik Lijah tenung wajah Hasri, dia mahukan jawapan yang lebih panjang lebar.

"Maksud saya...bukan saya tak mahu tapi saya... saya tak boleh." Hasri cuba susun semula ayat tadi.

"Makcik tak fahamlah. Terus terang sajalah, mana tahu makcik boleh tolong."

"Saya... saya tak mampu. Maksud saya, bukan dari segi wang ringgit atau kasih sayang. Percayalah makcik, kasih sayang saya melimpah-ruah ibarat segelas air sirap sarbat dituang penuh hingga tertumpah tetapi tetap dituangkan juga." Cerita Hasri.

"Cumanya...." Hasri melepaskan keluhan nafas dari dadanya, "...saya tak mampu membahagiakan seorang isteri. Walau pun saya mahu tapi...tetap tak mampu. Saya tak mahu seksa batin seorang isteri." Akhirnya Hasri berterus terang.

"Ooo...barulah makcik faham." Sambut Makcik Lijah sambil terangguk-angguk.


Buat seketika, masing-masing merenung kaki langit Timur. Angin pantai masih tetap menderu membawa puing-puing perasaan ke Utara. Anak puyu masih melompat berhambur badan ke udara, cuba menyakat belalang dan chatcibor, atau kepinding atau cendangau...oh ya, juga kutu air sebelum ia lari naik ke tebing.

"Beginilah, biar makcik tengokkan kalau-kalau boleh diubat." Cadang Makcik Lijah lagi. Terbeliak mata Hasri, terkejut dan malu.

"Bukan begitulah...! Makcik nak baca-baca sikit. Itu pun kalau Hasri sudi." Hasri angguk-anggukkan kepala.

Terkumat-kamit mulut Makcik Lijah membaca sesuatu, Hasri tidak dapat dengar dengan jelas butir perkataannya. Makcik Lijah pejamkan mata agak lama juga sehinggakan Hasri keliru sama ada Makcik LIjah sedang bertafakur atau telah tertidur. Mahu dicuitnya peha Makcik Lijah tapi apabila tangan Hasri baru hendak merayap ke peha Makcik Lijah yang berbalut kain batik lepas, dia bukakan matanya luas-luas. Terkejut Hasri dibuatnya!

"Pada firasat makciklah, anu kamu ni kena 'ikat' secara ghaib. Biar makcik cuba pulihkan." Makcik Lijah pejamkan matanya semula. Mulutnya kembali terkumat-kamit.


Hasri biarkan Makcik Lijah bermentera atau berdoa, yang mana satu pun Hassri tak tahu. Hasri layangkan matanya kepada Nita yang baru sudah dengan ampaiannya. Nita kulitnya putih, rambutnya ikal beralun seperti dedaun padi ditiup angin pantai, dadanya bidang dan berisi pula. Ketika Nita memanjat tangga ke atas, betis Nita dilihat jelas oleh Hasri. Putih  tiada cela, tiada bulu kaki mungkin. Bola mata Hasri melantun-lantun mengikut langkahan betis Nita menaiki anak tangga. Tiba-tiba Hasri perasan yang Nita mempunyai susuk tubuh yang cantik, kulit yang cantik. Hasri seperti baru tersedar akan semua itu. Melopong mulut Hasri melihat Nita sehinggalah Nita hilang ditelan pintu dapur. Hasri berasa pelik. Degup jantungnya tiba-tiba menjadi kencang. Batinnya seperti mahu melonjak menerpa kepada Nita. Apakah yang telah berlaku? Hasri bingung.

"Macam mana?" Pertanyaan Makcik Lijah merencat pertumbuhan kebingungan Hasri,"Ada rasa apa-apa tak? Makcik dah berdoa supaya diputuskan 'ikatan' batin tu." Jelas Makcik Lijah lagi. Hasri masih melopong, ditenungnya muka Makcik Lijah dalam-dalam, seperti tidak percaya apa yang berlaku. Namun akhirnya ada senyuman terukir pada wajah Hasri.
.
.
.
Hari raya pada tahun itu adalah hari raya yang sungguh meriah. Hari raya yang membahagiakan Hasri. Manatah tidaknya, pada pagi hari raya ke-3 di kampung Nita itu dia sudah bernikah! Orang kampung datang berpusu-pusu untuk beraya sambil mengucapkan selamat pengantin baharu kepada seorang pemuda asing yang hendak datang beraya di kampung mereka tetapi berakhir dengan sebuah perkahwinan.


Alangkah bahagianya Hasri pada hari itu. Melirik mata Hasri kepada isterinya di sebelah. Manakala Nita pula berair matanya, perasaannya berbaur-baur gembira dan sedih. Diambilnya tisu lalu dilapkan hujung kedua-dua matanya sambil memandang kepada kedua-dua mempelai yang bersanding di atas pelamin di sana. Nita duduk bersimpuh di bawah. Dia cuba lemparkan senyuman kepada Hasri tetapi dia tidak mampu mengukir sebarang bentuk senyuman pun. Biarlah Hasri  yang senyum kepada Makcik Lijah, isteri yang baharu dikahwininya.

Pada sebelah malamnya, air mata Nita turun bercucuran laju. Sedu sedan tadi kini lebih kuat gegarannya, akhirnya tangisan itu bertukar menjadi raungan pilu apabila raungan Makcik Lijah menjadi lebih kerap dan kuat dari bilik sebelah....


 .

Thursday, July 24, 2014

Barang-barang bakal jadi rebutan di musim hari raya ini...

.

Sehari sebelum puasa, yakni hari Sabtu, aku ke pasar basah. Ramainya orang mengalahkan pasar malam banyaknya (pasar malam juga dibuat di situ).

 Aku memang beli barang barang basah seperti biasa pada hari itu tapi bila aku tengok orang tunggu potong ayam pun beratur, aku patah balik ke kereta.

Aku pelik, esoknya nak hari raya atau hari puasa?



Bila dikenangkan yang itu, aku rasa pada hari sabtu dan ahad ini, keadaan mungkin jadi lebih teruk. Aku juga syak yang berikut ini akan jadi rebutan di pasar itu:-


  • Daun kunyit muda
  • Santan perahan segar
  • Serai
  • Halia
  • Parking lot
  • Tangan-tangan untuk jinjing plastik



.

Wednesday, July 23, 2014

Kesegaran haruman semulajadi...

.

Itu bunga melati dan melur, kan? Aku tak cam.


Aku ambil inisiatif untuk meletakkan beberapa kuntum bunga wangi dekat laptop. Apabila aku menaip, hidung aku hampir dengan bunga tu.

Dapatlah aku hidu bau wangi sengiasa. Yang penting, itu wangian semulajadi....bukan dari bahan kimia gunaan atau terbitan.

Setiap pagi pula, sebelum masuk ke kereta, aku petik beberapa helai daun pudina. Aku ramas di depan corong aircond. Semerbak bau pudina di dalam kereta. Segar. Kalau bukan bulan puasa pula, aku akan kemam sehelai daun pudina untuk segarkan bau mulut.

Bulan puasa ini, aku cuma lapkan daun pudina pada leher...segar. Manalah tahu kalau ada yang layangkan mukanya hampir pada leher aku...eeuuoo.

Mungkin juga kalau bunga melur aku kerap berbunga, aku akan letakkan di dalam kocek baju...bagi pengganti mingak wangi.

Kalau dah habis bunga tu, mungkin aku beli bunga dari makcik India yang jual bunga di simpang jalan...bolehlah aku kalungkan pada tengkuk. Satu pejabat berbau harum.



psst: mama belum tahu aku selalu petik bunganya...




.

Tuesday, July 22, 2014

Lagu untuk Israel...

.


Lagu untuk konflik Israel - Palestin.
Dah lama tak dengar lagu ni.






Another head hangs lowly
Child is slowly taken
And if violence causes silence
Who are we mistaking

But you see it's not me
It's not my family
In your head in your head
They are fighting
With their tanks and their bombs
And their bombs and their guns
In your head in your head they are crying

In your head
In your head
Zombie zombie zombie 
What's in your head
In your head.
Zombie, zombie, zombie

Another mother's breaking
heart is taking over
the violence causes silence
We must be mistaken

It's the same old thing since 1916
In your head in your head
They're still fighting
With their tanks and their bombs
And their bombs and their guns
In your head in your head they are dying



Sabarlah Gaza, sabarlah Palestin.


.

Monday, July 21, 2014

Buah Ambra @ Buah Kedondong...

.




Selain dibuat jeruk dan air kedondong asam boi, apa lagi yang boleh dibuat dengannya???


Ramai yang menanamnya di rumah. Berbuah banyak, lebat, hebat. Tapi ditanya, rata-rata kata tak buat apa-apa dengan buahnya.

Mungkin perlu dipromosikan buah ini. Mungkin perlu diwar-warkan khasiat vitaminnya.  Mungkin kalau dikaitkan dengan afrodisiak, barulah ramai yang memakannya?




.

Saturday, July 19, 2014

Bagaimana nak tahu bearing roda kereta dah rosak...


.



Pada satu hari beberapa bulan lepas, aku dapati kereta aku berdengung bila bergerak. Bunyinya macam tayar kereta 4x4 yang berbunga tebal tu. Atau seperti berselisih dengan trak tentera di atas jalan raya. Macam itu lah.

Pada mulanya aku ingatkan ada batu kecil terselit di celah nunga tayar sebab kadang-kadang ada berlaku macam tu. Walau pun aku cungkil batu tu, bunyinya masih ada.

Makin lama makin kuat hatta pada kelajuan 60km/j. Akhirnya aku beralah sebab dah sakit telinga...dan sakit hati.


Aku pergi ke bengkel. Pomen jack-up srbelah tayat dan dia tekan minyak. Roda berputar....dan sah memang ada bumyi.Pomen kata bearing pada roda sudah rosak.

Aku ingatkan kalau bearing roda tu rosak, bunyinya mesti Macam berpasir sebab ball bearing dah pecah. Pomen kata, sebelum pecah, bearing akan berdengung dulu.


Aku pun tukarlah...harga bearing dalam RM70, campur upah nak press bearing guna hydraulic press dan upah itu ini, semuanya RM145.


Aku kongsikan disini simptom dan penyelenggaraan untuk bearing roda yang rosak. Semoga bermenafaat untuk anda juga.




.

Friday, July 18, 2014

Semakin kerap Deja Vu ... apakah sebenarnya Deja Vu?

.

Déjà vu, (/ˌdʒɑː ˈv/) from French, literally "already seen", is the phenomenon of having the strong sensation that an event or experience currently being experienced has been experienced in the past, whether it has actually happened or not. (Wikipedia).


Itulah yang aku dapat katakan sejak akhir-akhir. Aku selalu juga mengalami perasaan Déjà vu dari dulu lagi, dari aku kecil-kecil lagi tapi tak adalah sekerap setahun kebelakangan ini. Kalau dulu, adalah aku rasa setahun 2-3 kali tapi sekarang ini 1-2 kali sebulan.

Dua kes terbaru. Pertama, aku hadiri satu menyuarat yang dihadiri oleh beberapa 'kepala jabatan' termasuk seorang Chief Information Officer (CIO) yang baharu daftar kerja 2 hari sebelumnya dan 3 orang auditor perunding luar. Ketika perbincangan hangat di bilik auditor, tiba-tiba aku serasakan aku pernah berada dalam situasi itu sebelum ini tetapi aku ingat-ingat lupa.

Secara spontan aku cakap omputih, "hey, wait se-minit, I tot I saw this situation before... and now I know, it was YOU!" serta merta aku tunjuk kepada CIO yang duduk di meja sebelah kiri aku. Tersentak mereka. Kemudian, mereka minta aku cerita. Hmm...berminat juga mereka tu.

"It's a deja vu! I saw you talking like that (merujuk kepada kepala auditor dalaman) and you were listening with your body tilting at that angle (merujuk kepada seorang gadis auditor luar). And then you were just trying to say something (merujuk kepada seorang lelaki kepala ICT), the hue from the sun from window behind me...and then, I saw a man sitting at your place (merujuk kepada CIO baharu) but I was not sure his face because it was kinda blurry. But today I know....it was YOU." Aku tersenyum, tercengang mamat CIO tu.

Kedua, berlaku pada semalam ketika aku menghadiri satu mesyuarat di Menara Annex 2, TM di PJ. Setelah sejam lebih pihak tuan rumah membentangkan perkara perbincangan, tiba-tiba pada satu saat di mana dia menutup projektor dan mula bertanya "Any question?" dan orang di sebelahnya yang tadi membongkok ke depan kembali bersandar ke kerusi, serta merta aku teringatkan suasana bilik itu yang serasakan aku pernah alaminya sebelum ini.

Pada ketika itulah aku amati semula salah seorang wakil tuan rumah aku aku rasa macam pernah berjumpa dengan wanita itu tapi aku tak pasti di mana, sedangkan aku yakin itu adalah pertemuan kami yang pertama. Ketika mereka menghantar kami di muka pintu lif untuk pulang, aku hampir-hampir mahu bertanya kepada wanita itu. Malah, aku sudah pun langkahkan kaki aku kepadanya tapi aku tak jadi bertanya. Aku ubah kepada ucapan terima kasih dan selamat hari raya.


Persoalannya...

Apakah sebenarnya deja vu?
Bagaimanakah ia boleh berlaku.

Dan sebagai seorang yang diasuh dalam bidang teknikal, aku lebih memikirkan bagaimana mekanisma deja vu itu. Adakah ia satu metafizik? Atau mungkin hanya mainan psikologi apabila memori telah terpadam hanya beberapa saat tetapi apabila ianya muncul semula, memori itu dirasakan seperti sudah berusia bertahun-tahun lalu kita membuat intepretasi yang ianya sebuah deja vu padahal hakikatnya, ia hanyalah 'glitch' yang berlaku hanya beberapa saat?

Bagaimana pula penerangan dari aspek agama? Adakah itu kerana memori silam ketika kita masih di alam ruh dan memori itu masih kekal 'terbenam' selepas kita dilahirkan di dunia ini? Dan ada ketikanya memori itu muncul semula apabila suasana dan keadaan itu 'match' dengan memori silam alam ruh tadi? Ataukah ianya sebuah 'kasyaf' yakni apabila terbuka hijab dan kita telah melihat perkara tersebut di alam malaikat?

Payah mencari penjelasan kepada sesuatu yang ghaib...




.

Wednesday, July 16, 2014

Asal usul kuih Buah Melaka atau Onde-Onde atau Kelepong...

.

Bersempena dengan cuti Nuzul Quran, aku ke rumah mak mertua untuk berbuka puasa dan salah satu juadah Buah Melaka atau Onde-Onde atau Kuih Kelepong.


Foto tak jelas sebab wap air terkena lensa kamera HP

Artikel berikut ini aku telah tulis di laman sosial 'what'sapp' kelmarin dan diedarkan di kalangan kawan-kawan.


[12:52, 7/15/2014] nizam ariff: Cer bayangkan...zaman Hang Tuah dulu, macam mana dia orang boleh tau kuih tu dah masak? Ni mesti ancient alien technology.

[12:56, 7/15/2014] nizam ariff: Kuih melaka ni dia orang design mimics kepada nature...seperti buah yang betul-betul. Contohnya, buah mempelam atau kelapa kalau dah cukup ranum, akan jatuh sendiri sebab mekanisma kimia yang bertindak pada tangkai. Jadi dia orang dah design kuih Buah Melaka ni dengan mekanisma yang sama, yakni bila dah masak kuih tu naik sendiri... terapung.

[13:30, 7/15/2014] nizam.ariff: It's a self propelled food! Bayangkan cerdik pandai dahulu macam mana nak cipta. Ceritanya begini....

"Tuanku, antara syarat Tuan Puteri Gunung Ledang ialah tuanku mesti berkelana sendiri." kata Mamak Bendahara.

"Berapa lama beta berkelana agaknya?"

"Mungkin dua pagi, ampun tuanku." jawab mamak itu.

"Apa memanda mahu beta kelaparan? Beta tak tahu memasak!"

Maka tergaru-garulah batu jemala masing-masing, kecuali batu jemala Kermawijaya yang berada di celah kangkangnya. Tulahlah satu negeri jikalau tuanku tak makan. Maka segala makcik-makcik pun berkerumun seperti semut menghurung, rapat-rapat seperti sisik ikan, ada pun mereka itu sedang mencari juadah yang mudah dimasak oleh tuanku nanti.

Maka diketuk oranglah mong-mong, dicanangkan oranglah ke serata negeri bagi mencari makanan buat tuanku. Maka pada satu pagi yg tenang, murai pun berkicau, merak pun mengigal, kinjeng pun menepuk muka air, maka labuhlah sebuah kencana dilaut, keluarnya dari kabus putih, layarnya tinggi menjulang, cantik-cantik sungguh peri binaannya, maka dinyanyikan oranglah:

       Kapal berjoya, kapal berjelai,
             Siang berbaju layar, malam berbaju rantai.


Maka kapal yang gah itu pun hampiri pantai. Maka turun seorang pemuda tampan. Dadanya bidang, matanya bundar, pakaiannya laksana dewa-dewa dari negeri di atas angin. Dilihatnya pemuda itu orang berasal jua.

Maka pemuda itu tiada berkata-kata jua, maka pemuda itu pun membawa bersamanya dulang perak yang cantik ukirannya. Maka diisyaratkan akan pemuda itu mahu sebelanga air direbus. Maka terkatung-katunglah Laksamana berlari menyinsing keting pergi mencari sebelanga air direbus.

Setelah sudah mendapat belanga maka disiapkan lagi api, maka ditunjukkan kepada pemuda itu. Maka dari dulang itu diambil oleh pemuda itu 3 biji lalu dilontarkan ke dalam belanga. Memanda tercengang, Memanda memandang Laksamana lalu terangguk-angguk. Laksamana pun sama tercengang, memandang Memanda juga terangguk- angguk, masing-masing tiada kata.

Maka terlihatlah semua akan perkara ajaib di dalam belanga! Maka sekonyong-konyong setelah sebeberapa lama, maka 3 biji itu timbullah ke atas air. Lalu diambil oleh pemuda itu lalu dimakannya panas-panas.

Maka tahulah akan Memanda apa yang mahu diberitahu oleh pemuda itu. Setelah sudah faham, maka pemuda itu pun kembali ke kencana itu sambil memengkis kuat "Melaka! Melaka! Melaka!". Seraya guruh halilintar pun berdentum, azmat sungguh bunyinya. Maka kemudian kencana dewa itu pun pergi, maka hilanglah dalam kepulan kabus putih, lenyaplah dari pandangan fana ini kadar sekelip mata.

Maka cepat-cepat dulang perak itu dipersembahkan kepada tuanku. Maka Memanda dan Laksamana berselang bercerita peri perlakuan pemuda tadi dari mula wal akhir.


"Bodoh!" *pang!!"* satu penampar hinggap ke pipi Memanda.

"Kamu ingat beta pandai nak hidupkan api di hutan?" Tuanku memengkis marah.

"Bodoh!!! Kenapa memanda tak minta sekali mancis Zippo darinya..?"


Maka, begitulah peri hikayat asal usul kuih bernama Buah Melaka....




.

Monday, July 14, 2014

Qada' dan Qadar ...takdir seekor anak burung...

.


Entri sebelum ini, aku ceritakan tentang nasib seekor anak burung yang baru belajar terbang. Burung itu aku selamatkan dari mulut seekor kucing. Sementara menunggu siang, aku letakkan ia di dalam sangkar usang milik burung serindit yang pernah dibela dulu.





Kemudian timbul satu persoalan sama ada aku telah menafikan habuan seekor kucing atau tidak. Adakah aku telah mengganggu takdir?

Persoalan takdir adalah sesuatu yang rahsia. Takdir itu bersifat ghaib, sesuatu yang halus...hanya Allah dan makhluk-makhluk yang diberitahu olehNya sahaja yang tahu.

Para syaitan pada satu masa dahulu bebas naik ke langit dan mendengar berita-berita yang dibicara dan dikhabar di langit, lalu mereka turun semula ke langit bumi dan menokok-tambah berita itu lalu diceritakan kepada tukang ramal. Sehinggalah para syaitan itu tidak lagi dibenarkan naik ke langit atas serta diancam pula dengan halilintar.

Qada' dan Qadar yang berlaku adalah takdir. Selagi ia belum tertunai, takdir masih belum berlaku. Dan bagaimana rupa takdir itulah kita namakan sebagai nasib. Itu serba sedikit bicaranya untuk orang awam seperti aku.

Bagi mereka yang berilmu tinggi, mereka mungkin bicara tentang sumber Qada' dan Qadar itu, adakah Luhil Mahfuz itu bersifat makhluk atau qadim, adakah Qada' dan Qadar itu bersifat baharu kerana kalau bersifat baharu bilakah ianya ditulis...dsb.

Apa yang berlaku kepada anak burung itu?


Malam tadi aku berkira-kira apakah takdir anak burung itu setelah aku berhasrat untuk menyelamatkannya. Adakah aku telah mengganggu takdir? Sama sekali tidak!!!

Takdir tak berlaku sebelum lengkap qada' dan qadar anak burung itu. Dan mungkin juga aku adalah sebahagian daripada rencana itu? Siapalah yang tahu.

Inilah yang berlaku...

Kucing inilah yang telah menangkap anak burung itu malam tadi dan aku selamatkan anak burung itu dari mulutnya...




Semalaman aku simpan anak burung itu di dalam sangkar. Pada paginya, sangkar itu terjatuh ketika ayah mertua mahu alihkan dari atas meja. Anak burung itu berjaya keluarvdan terbang...tapi jatuh semula....dan terus dibaham dan dibawa lari oleh si kucing ini pula....tidak tahu apa nasib seterusnya.




Pada malam tadi, aku ada katakan bahawa qadarnya tertangguh, jangan ditanya kenapa. Cuma aku masih berfikir bagaimana kesudahannya.

Sekarang sudah jelas.
Anak burung itu takdirnya akan mati tapi bukan menjadi habuan kepada si kucing kuning tetapi menjadi habuan si kuving putih. Manakala aku hanyalah pelengkap takdir mereka.


Siapakah si kucing putih itu? Kenapa mendapat habuan pula?

Si kucing kuning kucing gelandangan yang berbulu cantik. Dibela oleh tuan rumah, lengkap makanan dan minumannya. Manakala si kucing putih juga gelandangan tetapi datang kemudian, penakut dan kurus.... tertulis itu rezekinya.

Lihatlah cantiknya perancangan Allah....Subhanallah.





.

Jeritan burung di tengah malam...

.

Tepat jam 12 malam, aku terdengar suara jeritan.
Berlari aku keluar.
Pintu aku terpa.
Suara aku cari.




Seekor anak burung terjatuh sarang.
Ketakutan ia dimain kucing.
Aku ambil dan aku genggam, berikan ia keselesaan.
Hilangkan gemuruh ia dari kucing.
Kemudian, aku berfikir.
Adakah aku bermain dengan nasibnya?
Bukankah ia patut jadi habuan kucing?

Selagi belum berlaku, qadarnya belum tentu...





.

Sunday, July 13, 2014

Duit oh duit...

.





(Duit-duit dikategorikan sebagai tumbuhan epefit  bukan parasit. Tapi aku tengok kalau pokok itu dikerumuni duit-duit, pokok itu boleh kurus dan ada juga yang mereput lalu mati).


Duit dikategorikan sebagai kemudahan untuk membawa nilai sesuatu dengan lebih mudah dan ia bukanlah keperluan kerana keperluan sebenar ialah makanan, pakaian dan lain-lain yang asas. Tapi aku tengok, walau pun duit hanyalah satu kemudahan, kalau seseorang itu dikelilingi oleh duit yang banyak, dia boleh hilang pertimbangan nilai-nilai diri dan kemanusiaan lalu jiwanya mati.






.

Saturday, July 12, 2014

Terkejut aiii.....

.




Titis embun menghilang
Aku tau dia datang, terang menyergah awan
Mentari kau terang kau pergi
Tolong cari aku si bulan
Aku rindu indah dia, lembut sinarnya
Malam tadi aku bukan bermimpi
Dia pernah ada di sisi




.

Thursday, July 10, 2014

Cari baju kurung / baju melayu harga berbaloi di Shah Alam

.



Kompleks PKNS sudah sinonim dengan bandaraya Shah Alam. Bangunan lama, kini sudah pun terkepung oleh kompleks yang lebih baharu dan cantik. Tapi ia mempunyai nilai tersendiri.

Kalau mahu mencari baju kurung atau baju melayu yang lebih murah di Shah Alam, kompleks PKNS adalah salah satu lokasi yang mesti dijengah, tempat yang mesti diterjah. Biar pun kompleks PKNS seperti kelihatan 'uzur' dan tua dan tak cukup solek, atas elemen-elemen itulah yang menjadikan harga pakaian menjadi lebih murah (namun ada kawan kata sejak akhir-akhir ini kos berniaga sudah naik).


Tapiiii..... kena tahu hendak cari di mana di kompleks itu.


Aku dapati kedai-kedai di Tingkat 1 di kompleks itu kebanyakkannya menjual baju kurung dan baju melayu lebih murah daripada yang ada di ruang legar di bawah atau di kompleks bersebelahan. Mungkin ramai yang membelek pakaian di ruang legar kerana di sana ada banyak pilihan dan fesyen yang terbaharu tetapi harganya juga lebih tinggi...malah payah buat kaum wanita untuk acu sebab ketiadaan bilik pakaian untuk mencuba.


Namun begitu, pakaian murah-murah yang dijual di kedai-kedai di Tingkat 1 kompleks itu, walau pun ada yang berstatus boutique, kebanyakkannya menjual pakaian 'basic'...tanpa sulaman atau batu tapi kualliti kainnya banyak yang bagus-bagus. Kena pandai pilih. Aku rasa ianya lebih berbaloi. Kalaulah rajin bolehlah buat sulam atau lekatkan batu sendiri.


Semasa aku pergi ke situ pada hujung minggu lepas, aku dapati tidak ramai yang naik ke Tingkat 1. Ramai yang berada di ruang legar di bawah dan juga di kompleks bersebelahan...yang harganya...fuhhh...bukan harga runtuh tapi poket aku yang boleh jadi rabak!





.

Wednesday, July 9, 2014

Esok yang kekok....

 .


Aku terima satu panggilan telefon dari pihak hospital. Ianya tentang temujanji yang dirancangkan esok.


Kata gadis itu, pada peringkat kedua ini aku akan menjalani ujian tekanan atau 'stress test'...yakni ujian larian dengan pelbagai kelajuan.


Oleh kerana esok adalah hari bekerja, gadis itu berpesan supaya aku membawa kasut sukan yang sesuai.


Aku tanya, patutkah aku berseluar sukan juga? Jawabnya, tak perlulah... kasut sukan pun sudah cukup.
.
.
Aku...
.
.
Diam...
.
.
Dan berharap gadis itu akan sediakan sehelai gaun hijau untuk aku pakai.

Kerana aku rasa tidak manis orang lelaki berlari dengan hanya memakai kasut sukan di bulan Ramadhan.

Dan pasti aku rasa kekok...esok.



NEWS UPDATE:-

Aku telefon pusat perubatan itu tadi. Aku minta tunda kepada selepas hari raya. Dan aku tanya lagi persiapan yang perlu.

Pada kali ini dia suruh bawa kasut sukan dan baju T...malah dia sempat bergurau dengan menyuruh aku datang dengan berbaju, bukan hanya 'bawa baju'...

"Tapiii....awak tak ada cakap pasal seluar pun?"




.

Tuesday, July 8, 2014

Memori karbaid (karbida) dan meriam katak di bulan puasa

.


Pukul 5.35am.


Kalau dahulu, pada jam ini, aku baru siap bersahur dengan pakaian yang masih berbau 'karbaid' dan tapak tangan yang nipis kerana dihakis oleh asid (atau alkali?) Karbaik tersebut.


Telinga juga masih berdengung dek bunyi dentuman meriam buluh atau meriam tanah atau meriam katak. Mata juga terasa berpasir kerana berjaga lewat malam.


Sekarang ini, satu letupan bunga api pun tak kedengaran...



Nota:-

'Meriam Katak' - sejenis meriam ringkas yang menggunakan tempurung jantan atau tin susu sebagai badan meriam. Tempurung jantan yang berlubang atau tin susu yang dilubangi dengan paku akan ditelangkupkan di atas tanah. Letakkan karbaid sebesar jari kelingking di bawahnya. Titiskan beberapa titis air ke atas karbaid dan tutup lubang dengan jari. Tunggu sehingga bunyi desir dari karbaid tadi hilang. Ambil kayu pencucuh sekurang-kurangnya 7 kaki panjang dan nyalakan. Cepat-cepat berdiri jauh-jauh dan cucuhkan kayu berapi tadi ke lubang tempurung jantan atau tin. Ia akan meletup.

Awas: kecederaan yang biasa dialami ialah mata dimasuki percikan tanah atau pasir, muka atau anggota bafan lebam terkena hentaman tempurung atau tin, muka atau anggota badan pecah terkena serpihan tempurung atau tin jika ia pecah...

Untuk mengurangi risiko, gunakan alas zink  atau papan, dan jangan titiskan terlalu banyak air.


AMARAN KERAS:- perbuatan ini amat berbahaya kerana kita tak boleh agak ke mana arah tempurung atau tin akan melayang. Amaran telah diberi, jika lakukan juga, sila tanggung sendiri. Ini adalah satu artikel bersifat dokumentari ilmiah. Aplikasi tidak dibenarkan sama sekali.



.

Sunday, July 6, 2014

Bahang hari raya 2014...

.

Ramadha = panas.
Namun begitu  aku lihat panas lagi bahang persiapan hari raya...selain daripada bahang kemuncak FIFA 2014.

Aku di sini....




...ditemani lagu-lagu raya berlatarbelakangkan hingar-bingar suara manusia saling tawar-menawar dan jeritan riang si kanak-kanak. Aku duduk di bangku batu, membelakangi laluan koridor, aku letakkan dahi pada 'handrail' keluli tahan karat, tunduk sambil menulis entry ini melalui handphone yang ditopangkan di atas peha.

Tanpa aku sedari, aku berkongsi duduk dengan seorang wanita, aku pandang arah belakang, dia pandang arah depan. Aku hanya perasan apabila aku gerakkan punggung aku untuk melegakan pinggang, punggung kami bersentuhan tapi sentuhan berlapik. Aku tak tengok wajahnya kerana aku tak sanggup melihat orang yang telah mencabul aku...

Aku masih kurang faham...kenapa saban tahun orang beli baju baharu di kala raya? Belilah ketika diluar musim raya. Rasanya kalau setakat baju kurung dan baju melayu itu setiap masa ada. Mungkin tentang pilihan...musim raya ada banyak pilihan.


Tadi aku ada lihat-lihat baju jubah moden di sebuah gerai. Aku tanya harganya...katanya ia berharga RM299. Mulanya aku ingatkan RM229 tapi bukan...seringgit lagi jadi RM300! Aku tanya dia, kain itu seela berapa harganya sampaikan jubah tu dijual dekat RM300? Dia diam. Dia hanya bekerja.


Kemudian ada seorang berniaga kertas dinding. Katanya harga promosi untuk minggu ini cuma RM600++ siap dipasang untuk segulung sepanjang 15m. Promosi adalah biasa. Peniaga lakukan promosi untuk memperkenal produk atau untuk menaikkan jualan. Tapi aku masih juga bertanya, kalau diluar waktu promosi, boleh tak dapat harga sama sebab aku kena fikirkan opsyen lain untuk 2-3 hari lagi. Katanya tak boleh, lepas ini kena ikut harga biasa. Aku tanya, kalau harga promosi pun dia masih untung, apa salahnya bagi aku harga promosi itu? Dia gelengkan kepala.


Aku bukan membantah orang berniaga...cuma aku tak suka peniaga yang berjual sebulan tapi mahu untung setahun....




.

Friday, July 4, 2014

Mimpi aneh di bulan Ramadhan....

.

Seronok bermimpi di bulan Ramadhan ni...maklumlah, setan tak kacau masuk mimpi....haha.

Malam semalam mimpi lagi tapi pada kali itu aku tak solat sunat untuknya. Suasana mimpi itu di kampung aku...kampung yang ada sawah padi, parit, kepok padi, ayam, reban dsb... Dalam banyak-banyak babak, aku hanya ingat 2 babak sahaja...


Satu.
Aku, Arif dan seorang anak jiran yang sebaya dengan aku, kami berbasikal dari surau menuju ke sebuah kepok padi di belakang rumah. Kepok itu berdinding papan dan berbumbung zink tanpa siling. Kami ke situ sebab mahu melihat burung merpati yang sering lepak di situ. Apabila kami buka pintu kepok, aku lihat ada beberapa ekor burung merpati sedang bertenggek di atas bendul (?), yakni kayu 2"x4" yang terletak di bahagian atas dinding dan di atasnya adalah bumbung. Oleh kerana tiada siling, ada ruang diantara dinding dan bumbung....dan merpati lepak di situ.

Kawan aku itu panjat guni padi dan cuba mencapai burung merpati yang ada. Dia ajak aku panjat. Aku lihat ada banyak sarang merpati di atas bendul (?) itu dan ada telurnya juga! Aku tanya Ariff, hendak telur atau tak...Ariff nak. Aku tengok telur merpati itu besar dan berwarna kuning...seperti telur ayam. Plop! Serta merta merpati semuanya jadi ayam. Ya, itulah indahnya mimpi...aku boleh tukar merpati jadi ayam sebab nak sesuaikan dengan saiz dan warna telur tadi.

Bukan itu sahaja, apabila Ariff pun panjat naik, beberapa ekor ayam pun 'puff..!' Jadi ayam goreng KFC yang masih panas! Aku suruh Ariff berhati-hati mengambil ayam goreng itu kerana panas. Manakala aku pula kutip beberapa biji telur ...ada yang mentah dan ada yang sudah jadi telur rebus!



Dua.
Kami berbasikal di jalan kampung yang hanya batu kelikir dan di tepi jalan itu ada parit untuk mengairi sawah padi. Aku lihat ada seorang lelaki sedang gewang (memancing ikan haruan secara casting guna umpan katak). Ketika umpannya meluncur diatas air dan rumput benta, seekor haruan menyambar umpan lalu ditariknya ke bawah rumput benta...tersangkut di bawah air. Lelaki itu pun turun ke dalam parit. Dia seluk rumput benta, ikan haruan meronta-ronta.

Rontaan itu semakin kuat dan ganas. Lelaki itu hampir tak terkawal. Dia balut ikan itu dengan rumput benta...salah satu teknik untuk tak mahu ikan terlepas. Tapi balutan itu besar! Dengan susah payah dia peluk dan bawa naik ke atas jalan. Bila dia rungkaikan gumpalan rumput benta itu, aku lihat ada bentuk seorang gadis memakai blaus dan gaun hitam...bila gadis itu bangun, aku lihat dia berbangsa Afrika atau India...berkulit gelap dan berambut panjang melepasi bahu. Tiba-tiba jiran aku menjerit, "eh...itu ex-awek aku...!" Aku tercengang...! Sejak bila kawan aku ada pen pal?...

Aahhh...! Hanya mimpi....





.

Thursday, July 3, 2014

Ini satu analogi dua...

.


Seorang 'bibik' sedang tekun bekerja. Kontraknya biasanya selama dua tahun sebelum perlu diperbaharui. Aku sedar para 'bibik' ini bekerja untuk mengumpul duit. Nanti duit itu akan diguna buat beli tanah, bina rumah atau belanja lainnya.


"Kenapa kerja keras sangat, bibik? Nanti jatuh sakit."  Aku memancing jawapan.

"Masa muda kena kerja keras sebab kalau sakit pun tak mengapa kerana badan masih muda...masih kuat. Kalau sudah tua nanti badan sudah sakit-sakit...sudah tak kuat."




Banyakkan ibadah semasa muda, tubuh masih kuat dan sihat. Jangan ditangguh sehingga hari tua nanti badan sudah tidak kuat dan selalu sakit-sakit.






.

Wednesday, July 2, 2014

Ini satu analogi satu..

.



Bila air dalam, permukaan tasek atau sungai kelihatan cantik dan tenang. Malah riak gelombang airnya menyerak cahaya matahari menjadi manik-manik pelangi.

Namun dimusim kontang pula, paras air menjadi surut. Barulah ternampak selut lumpur, tunggul kayu dan ranting reput. Ketika itu hilanglah kecantikan dan ketenangan. Yang kelihatan adalah dasar yang buruk.


Apabila dalam kesenangan, segalanya nampak mudah dan terurus. Namun apabila ditimpa kesempitan, barulah nampak keburukkannya  dan mulalah pertikaikan... ini tak betul, itu tak betul.


Ketika senang, banyak perkara diambil sambil lewa. Namun bila sudah dalam perit, mulalah gelabah.


Resam manusia....






.

Tuesday, July 1, 2014

Berkomunikasi dengan makhluk halus di puncak gunung...

.

Malam semalam aku terlewat bangun sahur. Aku terjaga dalam pukul 5 am. Itu gara-gara aku bermimpi.



Aku rasa suasana pada ketika itu masih di kolej kerana watak-watak dalam mimpi itu ramai kawan- kawan kolej. Tapi ada seorang dua watak kawan sekampung yang bukan di kolej serta beberapa orang dari kaum Cina dan India yang aku tak kenal.

Kami berada di sebuah kelas yang terletak di Perak, aku rasa berdekatan Simpang Pulai dan kolej itu dibina di pinggir hutan gunung. Suasana riuh, masing-masing buka cerita dengan kumpulan masing-masing. Aku pun sama. Kemudian seorang kawan buka mulut, mengajak kami memanjat gunung.

Kami setuju. Pada hujung minggu itu kami berempat (dayaque, chasiman dan faisal) naik ke kawasan gunung berdekatan yang aku rasa seperti Cameron Highland TAPI gunungnya seperti Gunung Kinabalu, yakni berbatu pejal dan strukturnya agak tegak ke atas.

Laluannya berbatu pejal, bersusun berlapis-lapis seperti sisik naga. Laluannya tidak curam, malah laluannya lebar seperti kaki lima tetapi berliku, basah dan berlumut. Basah kerana ada banyak mata air keluar dari tebing batu. Apabila telah hampir ke puncak, laluannya melalui sebuah mulut gua yang besar tapi itu bukan gua. Bayangkan seperti berjalan diantara dua tebing batu granit yang tegak beberapa puluh kaki hingga cahaya matahari terlindung. Di satu sisi aku nampak hutan pamah jauh di bawah manakala satu sisi lagi adalah batu pejal. Laluannya lebar dan tak curam tapi licin dan berlumut.

Ketika di puncak itulah aku berasa tak sedap hati. Aku rasa di situ ada banyak makhluk halus tapi kawan-kawan aku kata usah risau. Lagi pun bukan kami berempat saja. Ada ramai pengunjung lain yang sama-sama beriadah mendaki gunung itu. Aku jumpa serangga dan binatang pelik-pelik. Yang masih ingat ialah binatang seperti sepah bulan atau slug sebesar tapak tangan sepanjang satu kaki.

Oleh kerana sudah senja, kawan aku ajak bermalam di situ. Aku keberatan kerana aku tak nak serangga macam sepah bulan besar itu memanjat tubuh aku ketika tidur. Tapi kawan aku berikan sleeping bag. Aku lega. Aku masuk ke dalamnya dan aku zip separas dada. Tapi aku tak dapat tidur kerana aku rasa ada makhluk halus cuba berkomunikasi dengan aku tapi aku tak dapat faham. Aku tak nampak mereka tapi aku dapat rasakan mereka itu sudah hidup lama. Malah aku juga dapat rasakan kehadiran ruh-ruh orang lama sezaman Empayar Melaka tapi aku tak nampak. Aku cuma nampak seperti layangan bayang-bayang pada dinding batu pejal bila disuluh cahaya unggun api.

Mereka cuba memberitahu aku sesuatu yang aku tak faham tapi aku rasa ianya berkaitan kawasan larangan dan tempat seperti harta tersimpan. Setelah subuh, kami pun bergerak turun. Laluan turun itu ada jeram sungai yang berbatu. Beberapa orang pengunjung dan pelancong turun dengam cara menggelungsur di jeram itu tapi aku tak mahu. Terasa bahayanya. Separuh perjalanan turun, aku berehat dahulu dan di situ aku ternampak satu lubang di dalam batu pejal di lantai laluan tapi tertutup dengan pelepah-pelepah bertam atau rumbia yang sudah kering. Tiba-tiba aku teringatkan makhluk halus malam tadi dan aku rasa ada sesuatu di dalam lubang atau lopak batu itu.

Aku berhenti agak lama sehinggakan kawan-kawan aku telah jauh meninggalkan aku sendirian. Aku cekalkan hati, aku selak pelepah kering itu. Aku turun masuk ke dalam lopak atau lubang batu yang tidak dalam tapi lebar. Aku tak jumpa apa-apa kecuali seekor ular kapak. Aku bingkas keluar dari situ. Aku tak mahu ganggu ular itu.

Aku keseorangan. Kemudian aku sedar bahawa telefon bimbit aku telah tertinggal di tempat tidur malam tadi. Terasa malas sungguh hendak berpatah balik seorang diri. Aku tunggu agak lama akhirnya aku bertemu dua orang kawan (Sepa dan Jawe) sedang turun ke arah aku dari puncak. Aku pujuk-pujuk akhirnya mereka setuju untuk temani aku berpatah balik untuk mengambil telefon bimbit aku yang tertinggal di atas sana.

Aku tak pergi ambil sebab aku terjaga. Kalau tidak, dua kali penatnya aku bermimpi malam semalam...






.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com