Tuesday, July 1, 2014

Berkomunikasi dengan makhluk halus di puncak gunung...

.

Malam semalam aku terlewat bangun sahur. Aku terjaga dalam pukul 5 am. Itu gara-gara aku bermimpi.



Aku rasa suasana pada ketika itu masih di kolej kerana watak-watak dalam mimpi itu ramai kawan- kawan kolej. Tapi ada seorang dua watak kawan sekampung yang bukan di kolej serta beberapa orang dari kaum Cina dan India yang aku tak kenal.

Kami berada di sebuah kelas yang terletak di Perak, aku rasa berdekatan Simpang Pulai dan kolej itu dibina di pinggir hutan gunung. Suasana riuh, masing-masing buka cerita dengan kumpulan masing-masing. Aku pun sama. Kemudian seorang kawan buka mulut, mengajak kami memanjat gunung.

Kami setuju. Pada hujung minggu itu kami berempat (dayaque, chasiman dan faisal) naik ke kawasan gunung berdekatan yang aku rasa seperti Cameron Highland TAPI gunungnya seperti Gunung Kinabalu, yakni berbatu pejal dan strukturnya agak tegak ke atas.

Laluannya berbatu pejal, bersusun berlapis-lapis seperti sisik naga. Laluannya tidak curam, malah laluannya lebar seperti kaki lima tetapi berliku, basah dan berlumut. Basah kerana ada banyak mata air keluar dari tebing batu. Apabila telah hampir ke puncak, laluannya melalui sebuah mulut gua yang besar tapi itu bukan gua. Bayangkan seperti berjalan diantara dua tebing batu granit yang tegak beberapa puluh kaki hingga cahaya matahari terlindung. Di satu sisi aku nampak hutan pamah jauh di bawah manakala satu sisi lagi adalah batu pejal. Laluannya lebar dan tak curam tapi licin dan berlumut.

Ketika di puncak itulah aku berasa tak sedap hati. Aku rasa di situ ada banyak makhluk halus tapi kawan-kawan aku kata usah risau. Lagi pun bukan kami berempat saja. Ada ramai pengunjung lain yang sama-sama beriadah mendaki gunung itu. Aku jumpa serangga dan binatang pelik-pelik. Yang masih ingat ialah binatang seperti sepah bulan atau slug sebesar tapak tangan sepanjang satu kaki.

Oleh kerana sudah senja, kawan aku ajak bermalam di situ. Aku keberatan kerana aku tak nak serangga macam sepah bulan besar itu memanjat tubuh aku ketika tidur. Tapi kawan aku berikan sleeping bag. Aku lega. Aku masuk ke dalamnya dan aku zip separas dada. Tapi aku tak dapat tidur kerana aku rasa ada makhluk halus cuba berkomunikasi dengan aku tapi aku tak dapat faham. Aku tak nampak mereka tapi aku dapat rasakan mereka itu sudah hidup lama. Malah aku juga dapat rasakan kehadiran ruh-ruh orang lama sezaman Empayar Melaka tapi aku tak nampak. Aku cuma nampak seperti layangan bayang-bayang pada dinding batu pejal bila disuluh cahaya unggun api.

Mereka cuba memberitahu aku sesuatu yang aku tak faham tapi aku rasa ianya berkaitan kawasan larangan dan tempat seperti harta tersimpan. Setelah subuh, kami pun bergerak turun. Laluan turun itu ada jeram sungai yang berbatu. Beberapa orang pengunjung dan pelancong turun dengam cara menggelungsur di jeram itu tapi aku tak mahu. Terasa bahayanya. Separuh perjalanan turun, aku berehat dahulu dan di situ aku ternampak satu lubang di dalam batu pejal di lantai laluan tapi tertutup dengan pelepah-pelepah bertam atau rumbia yang sudah kering. Tiba-tiba aku teringatkan makhluk halus malam tadi dan aku rasa ada sesuatu di dalam lubang atau lopak batu itu.

Aku berhenti agak lama sehinggakan kawan-kawan aku telah jauh meninggalkan aku sendirian. Aku cekalkan hati, aku selak pelepah kering itu. Aku turun masuk ke dalam lopak atau lubang batu yang tidak dalam tapi lebar. Aku tak jumpa apa-apa kecuali seekor ular kapak. Aku bingkas keluar dari situ. Aku tak mahu ganggu ular itu.

Aku keseorangan. Kemudian aku sedar bahawa telefon bimbit aku telah tertinggal di tempat tidur malam tadi. Terasa malas sungguh hendak berpatah balik seorang diri. Aku tunggu agak lama akhirnya aku bertemu dua orang kawan (Sepa dan Jawe) sedang turun ke arah aku dari puncak. Aku pujuk-pujuk akhirnya mereka setuju untuk temani aku berpatah balik untuk mengambil telefon bimbit aku yang tertinggal di atas sana.

Aku tak pergi ambil sebab aku terjaga. Kalau tidak, dua kali penatnya aku bermimpi malam semalam...






.

2 comments:

Kniedaz said...

penat tu mimpi daki gunung..tak pulak "ia" menjelma depan ko waktu tu...

Nizam.Ariff said...

Kniedaz,
Mmg penat...mendaki bukit hahaha...
Benda tu kat alam lain, tak boleh muncul agaknya...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com