Monday, December 29, 2014

Madu usang...

.




Semasa menyelongkar almari di rumah mertua, aku terjumpa beberapa botol madu. Diantaranya ada dua botol madu yang kelihatan sudah lama....sudah usang. Sudah berkerak. Sudah hitam warnanya.

Dua botol madu itu diambil di ladang getah. Sekarang, ladang getah sudah tiada. Sudah berganti ladang sawit yang sudah besar panjang dan perlu dikait. Lama...sudah lama. Berapa lama?


Botol yang di sebelah kanan?: 8-9 tahun.
Botol yang di sebelah kiri?: lebih dari 10 tahun!

Berkeladak...seperti minyak enjin 50k km hitamnya.

Tapi, aku mahu cuba rasa. Maklumlah, dengar katanya madu tak basi. Pernah ahli arkeologi menjumpai sebekas madu di makam purba zaman firaun. Itu sudah beribu tahun dan didapati masih lagi elok. Inikan pula setakat 10 tahun lebih.

Aku tuang dalam 3 sudu ke dalam gelas. Rasanya?

Kelat sedikit...pahit sedikit...tapi masih ada rasa manisnya.

Aku ceritakan kepada sahabat2 dalam group sekolah. Ada seorang bertanya, "tak beracun ke?"...


Alamak...! Aku dah telan baru tanya...


Itu semalam. Sehingga hari ini, aku masih ok....dan terasa macam power pun ada...heh.




.

Saturday, December 27, 2014

Kepelbagaian hidup...

.





Pelbagai bentuk dan jenis betik...
Tapi semuanya betik.




.

Saturday, December 20, 2014

Mengira daya regangan tulang belakang...

.

Salah satu fisioterapi yang aku jalani ialah menarik tulang belakang. Caranya:  aku terlentang, ada satu pendakap yang mengikat kepala dan dihujung tali itu disangkutkan kepada satu mesin penarik pneumatik.

Inilah yang aku nak ceritakan di sini. Aku tanya adik fisioterapist, berapa kuat tarikan itu (sebab aku takut tercabut kepala)? Dia kata "diantara 10%-13% daripada berat badan".

Kemudian aku terfikir, daya regangan yang pada tulang belakang juga boleh dikenakan ketika ruku'...cuma aku tak pasti berapa kuat daya itu. Jadi, aku buat anggaran kasar seperti berikut:-






Secara kiraan kasar dengan sudut lengan dan lutut diantara 30°~45°, aku dapati daya regangan itu lebih kurang 16%~28% dari berat badan. Ini sudah cukup untuk melakukan fisioterapi sendiri...pada bila-bila masa.


Dengan sedikit ubahsuai kepada sudut atau kedudukan lengan dan regangan otot belakang, daya pada tulang belakang boleh diubah mengikut keselesaan.



(Disklaimer- aku tak kata solat adalah senaman. Solatbadalah ibadah suruhan)




.


Friday, December 19, 2014

Puncak Alam...

.





Di akhir-akhir zaman ini
kemuliaan seorang manusia telah reput 
mahu runtuh, seperti ketak-ketak langit
sudah renggang dan juga
mahu runtuh, serpihannya nanti jatuh 
menimpa sesiapa sahaja- 
para mufti, pembesar negara
pengemis buta, orang gila
yang derita, yang bahagia
yang samsara, yang gembira
yang menangis, yang ketawa

Bakal tercabut gunung, bergoncang tanah
bergulung ombak dan api meratah
dada-dada ini akan bergetar, debar
lantaran kosong mulia berganti hina.





.

Thursday, December 18, 2014

Tewas...lupus . pupus

.



Mengalah bukan kalah..

Pergi bukan lari...



Terngiang-ngiang bait-bait itu di telinga
Terasa menusuk dalam, sungguh
Masalahnya aku tak tahu, kenapa
Umpama gelap tak bersuluh

Adakalanya tak perlu lawan terus lawan
Maruah tak bercalar kerana maruah tak berjasad
Kadang-kadang ego yang lebih sawan
Padahalnya pada akal patutnya ijtihad

Manusia.....dunia....
Beginilah...
Bertabahlah aku.






.

Wednesday, December 17, 2014

Cerita orang dan minyak...

.

Pelik ibni Ajaib.

Dulu harga minyak mentah dunia naik, orang risau.
Bila harganya dah turun, orang pun risau juga.

Kenapakah?
Misteri apa yang menyelubung minyak?
Bukankah kita patut suka hati kerana kos turun?

Seperti ada yang tak kena...

Harga emas dan perak naik turun tak heboh sedunia.
Harga minyak naik turun gelisah satu dunia.

Minyak jadi komoditi nombor satu...emas tidak.

Percaturan ekonomi dunia..inilah dia.
Bila ekonomi dah tak berangsang, runtuhkan.
Bina semula...modal pun mengalir laju.
Bila aliran laju, ekonomi pun rancak semula.

Macam orang bina rumah...
Bila dah nak siap, runtuhkan semula.
Jika tidak, tak ada kerja.
Tiada tunai berpindah tangan, statik...tak bagus.


Hmmm....rumah siapa yang kena runtuh kali ini?

Rusia...?





.

Tuesday, December 16, 2014

Minyak terapung-apung...

.


Beberapa tahun dulu...dan tahun-tahun berikutnya, kalau kita boleh ingat lagi, harga teh tarik dan roti canai dinaikkan 10sen demi 10sen.

Roti canai harganya dari 80sen sehingga sekarang jadi 140sen. Itu belum kira saiz yang secara magis mengecut (segelintir).


Asas dan alasan  kenaikkan adalah sama...kenaikan kos yang disandarkan ( akhirnya ) kepada kos bahan api.


Sekarang, harga petrol diapungkan.
Sekarang dan mungkin selama sebulan dua lagi harga minyak mentah dah menurun.

Kalaulah ditakdirkan harga petrol turun lagi, adakah harga teh tarik dan roti canai akan disemak semula?


#apungkanhargatehtarikdanroticanai



Oooppss!!!

Masih ada alasan.
Susu dan tepung dihantar dengan lori diesel!

Arghh...!


#hargatehtarikdanroticanaiTAKKANturun!!!






.

Monday, December 15, 2014

Keupayaan otak manusia 100%...

.


Aku terlepas Lucy di pawagam. Jadi aku bayar dan tonton di astro sahaja. Ariff bertanya, kenapa aku heria-ia sangat nak tonton cerita 'Lucy'?

Seperti kebanyakkan filem sci-fi holywood, filem yang berunsur seperti ini biasanya bermula dengan ' What if...?'. Dan aku gemar untuk cuba memahami idea dan pandangan orang lain dalam menjawab soalan itu, termasuklah imajinasi mereka.


Dasar kepada cerita Lucy ialah 'What if human can use their brain at 100% capacity?'

Perihal dadah sintetik CPH4 hanyalah pemungkin cerita. Watak-watak hero dan anti hero hanyalah pembuat jalan ceritanya. Tanpa mereka itu cerita Lucy akan menjadi sebuah dokumentari yang cocok untuk Discovery Channel sahaja.

Sekali lagi, watak yang dibawakan oleh Morgan Freeman adalah sebagai narator untuk membahaskan falsafah sains tentang kapasiti otak tadi. Tanpa watak profesor-profesor itu, tiada sesiapa yang dapat menceritakan apa yang berlaku pada Lucy, dan tiada tujuan bagi Lucy untuk meneruskan kisahnya.


Setiap peringkat keupayaan otak membuatkan Lucy memiliki keupayaan luar kebiasaan manusia normal. Berapa penggunaan kapasiti otak untuk manusia normal? Entahlah....aku lupa, mungkin dalam belasan sahaja. Bagaimana mereka kira? Pun aku tak tahu. Kita terima sahajalah dahulu, yang penting ialah idea 'what happen if human use 100% brain capacity?'.


Ariff kata bahagian otak lain banyak diguna untuk mengawal fungsi tubuh yang kompleks tapi aku tak setuju. Kalau setakat berjalan berlari makan minum itu semua tak perlukan otak seperti manusia. Seekor lalat mampu makan minum malah terbang dengan cekap sedangkan otaknya kecil sahaja. Sekor lembu mempunyai otak yang lebih besar dari manusia tetapi lembu tak boleh membaca menulis mengira pun.


Jadi kapasiti otak mungkin tidak semata mata tentang saiz otak. Ia tentang penggunaannya. Saiz otak manusia hampir sama tapi tak semua manusia mempunyai tahap kecerdasan yang sama.

Ketika Lucy menggunakan otaknya pada tahap 90% dia mampu menghentikan masa...malah bergerak kembali ke masa silam. Pada mulanya aku pelik. Bila aku tonton semula, aku dapati Lucy masih ada di atas kerusi di kolej bersama-sama semua profesor. Jadi fizikal Lucy masih di situ, cuma otaknya membaca data silam yang terkumpul sebagai maklumat di tahap selular dan zarah. Dalam hal ini, hukum fizik 'information cannot be destroyed' mungkin digunakan.


Ariff bertanya lagi, kenapa Lucy ghaib apabila kapasiti otaknya mencapai 100%? Aku pun berfikir yang sama. Kenapa jasad perlu hilang? Yang aku rasa itu adalah cara penulis cerita untuk melepaskan diri dari memberikan jawapan kepada pertanyaan asal tadi.

Aku tak pasti apakah definisi cerita itu tentang roh. Bagi sesetengah saintis yang tak percaya agama, roh adalah 'kesedaran'. Sedangkan kita tahu 'kesedaran' hanyalah fungsi otak sahaja. Jika mereka pengsan dan tak sedar, adakah bermakna roh tiada? Dan apakah bezanya pengsan dan mati (kedua-dua tak sedar tapi satu ada roh dan satu tidak)?


Tapi aku berikan penerangan yang lain kepada anak aku, Ariff:


Roh kita perlukan jasad untuk melaksanakan keperluannya seperti bergerak ke sana ke mari atau mengambil sesuatu barang atau apa pun. Hakikatnya roh melakukannya dengan jasad. Itu adalah keterbatasan roh yang menghuni jasad. Untuk menguruskan jasad, ia perlu makan dan minum dan menjaga kesihatan dsbnya.

Jikalau keterbatasan itu tiada, katakanlah roh itu mampu melakukannya tanpa ada halangan, masihkah jasad itu diperlukan?


Aku berikan dia berfikir....mengikut imajinasinya pula.



(Nota: tanpa makan dan minum kita akan mati tetapi ketika kita di alam barzakh kita tidak makan atau minum kerana kita memang telah mati dan tiada keperluan untuk makan dan minum...kerana makan dan minum adalah habuan untuk jasad. Apakah ruh merasai sakit terseksa di alam barzakh dan akhirat? Ya, sudah tentu kerana di dunia lagi ruh merasa sakit contohnya jika terluka. Adakah jasad yang merasa sakit? Tidak, jasad tak rasa sakit tapi ruh yang rasa sakit. Sebab itulah mayat tak menjerit jika ditikam. Yang menjerit ialah rohnya. Allahu'a'lam).


.



.

Friday, December 12, 2014

Hidup dan mati..

.


Dulu, ada orang itu kata...

Hidup ini mati
Dan mati adalah kehidupan.


Lama aku berfikir...lamaaaa sangat
Apakah maksud dia itu?
Aku intai pesonanya
Aku tilik bayang-bayangnya
Biasan di cermin..umbra di lantai simen
Tidak dapat aku teka

Lalu aku perbuat andai tentangnya
Mungkin kisah dirinya mahu ditamatkan
Mungkin tewas dalam perjuangan
Mungkin juga kecewa disisih harapan


Setelah sekian lama...lamaaaaa sangat
Aku rasa aku faham maksudnya
Ia tertulis pada jubah kelabunya
Tertulis juga celak dan kopiahnya
Nyata dan jelas pada tutur katanya

Dia itu berkata tentang arah yang ditujui
Tentang apa yang ditinggal
Tentang apa yang ingin dibawa
Dalam menuju alam akhir, dunia ini perlu fana
Fana dari mata
Fana dari telinga
Fana dari hati sanubari
Fana dari segala kias nafsi

Dan jikalau dunia masih tidak fana,
Diri ini...diri ini perlu fana.


Aku faham akhirnya....
Tapi setelah sekian lama....lamaaa sangat-sangat.






.

Wednesday, December 10, 2014

Ketakutan Dr. Frakenstein

.


Apabila manusia atau mayat hidup atau haiwan atau apa-apa pun milik Dr Frakenstein itu mengugut mahu membunuhnya...


" Jangan ugut aku dengan kematian. Ugutlah aku dengan kehidupan ini....kalau kamu benar-benar mahu mengugut aku. "


Adakah itu hasil dari rasa ketakutan yang sebenar...atau sekadar persepsi apabila melihat kehidupan orang lain... atau dari himpunan kesedihan... atau tidak percaya pada diri sendiri... atau menjangkakan apa yang bakal terjadi pada masa depan... atau.... atau dari rasa kesal terhadap apa yang telah dilakukannya pada masa lalu?



Kalaulah begitu, aku juga takut.
Maafilah aku...






.

Monday, December 8, 2014

Simfoni janji kita...

.



Aku datang dengan dia,
berpegang tangan, mencelahi jemari
menggenggam erat niat dan janji,
aku, dia... ke mari


Aku pulang tanpa dia,
tangan terkulai tiada tenaga, jemari tua
urat nadi berdenyut lemah
usia memamah,
aku, dia... berpisah


Seloka cinta dan rindu
dulunya mendayu-dayu
kini irama nafas lemas,
lesu,
simfoni sendu







.





Saturday, December 6, 2014

Nak makan tapi macam tak nak makan..

.






Macam sedap je..?




.

Friday, December 5, 2014

Awal dan Akhir..

.

Ada sesuatu yg perlu ditimbangkan...


Wujud Allah dari mula sampai akhir......  aku rasa kurang tepat.


Wujud Allah sebelum bermula sesuatu hingga berakhir sesuatu ..... juga kurang betul rasanya.


Kerana awal dan akhir itu kita masih ukur dengan masa....dan masa mengikut pengetahuan kita adalah finite...ada had.


Wujud Allah tanpa awal dan tanpa akhir....

Wujud Allah tanpa keterbatasan apa-apa pun, tidak ruang tidak waktu...atau apa-apa pun...


W'a'lam.



.

Wednesday, December 3, 2014

Racau

.


'Jadah...!'

...dan jeritan itu dilayangkan angin ke kaki langit, menunggu tuas hari melentur ke malam... dan bulan mengisi ompong gelap, di langit tak  berbintang.


'Kau...?'

...soalan tanpa balasan kerana tiada sesiapa di situ....hanya seekor anak kucing kematian ibu, berlindung panas hujan di lubang salur air ke longkang busuk.


Hatinya celaru...seribu satu cerita tak keluar-keluar, menanah dalam dada...membusung dendam dan geram teramat. Ketar-ketar lengannya menjadi tanda menahan cucukkan jarum derita. Lidah kelu...mata merah berpinar. Dia tunduk, nafas semakin pantas dan ganas. Genggaman erat membuku, peluh mengalir, wajah merah padam. Lalu....


'Sial...!!!!'


...dan jeritan itu pun dilayangkan angin ke kaki langit juga, masih menunggu tuas hari melentur ke malam... dan bulan mengisi ompong gelap, di langit masih tak  berbintang.







.

Tuesday, December 2, 2014

Kisah seorang wanita, selipar buruk dan tong plastiknya di sebuah masjid


.


Jumaat lepas...

Usai solat jumaat di masjid S. Alam, aku berjalan keluar ke pintu 4. Aku tunggu Ariff di situ kerana dia letakkan sandalnya di tempat lain, jauh. Jadi aku tunggu di pintu 4.

Aku keluar lewat, jemaah hampir kosong. Setiba aku di pintu 4, ada wajah wanita yang biasa aku lihat di situ. Wajah gelap dan cengkung berbaju kurung lusuh, memegang bekas plastik.


Aku kenal wajah wanita itu dan aku rasa dia pun cam wajah aku, kerana bertahun-tahun dulu, dia sering aku jumpa di pasar malam berdekatan rumah aku yang dulu.


Terlintas dalam hati, sekian lama dia meminta sedekah, masih boleh hidup pun. Mengemis bertahun-tahun, berharap ehsan orang pun boleh hidup sedangkan aku masih berkira-kira untuk berhenti kerja, payah dan susah hati. Terfikir aku....apakah yang dia fikir? Ada masalah? Bahagia?


Beberapa ela menghampiri pintu 4, dia terlebih dahulu memberikan salam kepadaku, dengan senyuman seperti kenalan lama. Aku jawab salamnya dan aku seluk kocek lalu meletakkan sedikit wang ricihan. Aku balas senyumnya. Aku jeling wadah plastiknya...kosong. Mungkin kutipan tadi telah dikumpul dan disimpan, fikirku.


Kemudian aku berdiri berselang 10-15 kaki darinya, di tepi jalan sama sepertinya, menunggu Ariff. Sambil itu aku lihat satu demi satu kereta keluar. Wanita itu hulurkan bekas plastik ke tingkap kereta. Ada 2-3 orang hulurkan wang tapi banyak yang tak turunkan cermin kereta pun. Banyak kereta mewah yang keluar kemudian. Mungkin mereka kaya, mereka towkeh atau bos. Biasanya, pekerja seperti aku yang kena keluar awal sebab kena masuk pejabat atau kilang awal. (Oh..aku cuti sakit pada hari itu).

Kemudian ada sebuah Alphard putih. Pemandunya berjubah putih, berketayap putih, wajahnya bersih. Aku cerap segala tentang orang itu sebab dia berhenti dan hulurkan wang kepada wanita itu jadi aku punyai masa melihat kemewahan yang ada di dalam Alphard besar itu. Terfikir aku apa kerjanya sehingga memiliki kereta sebesar itu.


Mungkin kerana aku pandang dia lama, dia lemparkan senyum bila lalu di depan aku. Aku ekori kereta besarnya dengan mataku sehingglah dia masuk ke jalan besar.


Kemudian, wanita itu melambai aku sambil menunjukkan wang dan kereta Aplhard tadi. Aku tak faham. Dia buka lipatan not berwarna kelabu itu....RM 50. Mulutnya mengucap syukur sambil geleng2 kepala, mungkin tak percaya dengan apa yang diterimanya.


"Murah rezeki kamu hari ini." Kataku kepadanya.


Wanita itu angguk2 kepalanya. Sekali lagi dia ucapkan syukur sambil meletakkan duit itu di atas dahinya. Aku rasa dia mesti terharu kerana aku juga rasa terharu dengan apa yang Allah tunjukkan di depan mata aku. Jawapan yang jelas....di depan mata aku. Bahawasanya rezeki milikNya, tak kira dimana dan bagaimana caranya...






.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com