Tuesday, July 26, 2016

Sekeping hati mati...

(reposted)


Hasri (nama hanyalah khayalan walau pun Hasri Hasfa itu wujud fizikalnya) kerap menyapu igau-igau yang berlangau di batu jemalanya. Jengkel sungguh dia pada igau-igau itu yang kepak-kepak nipisnya menyisipkan bunyi-bunyi gamelan hidup lampau ke kopeng Hasri.

Setiap kali Hasri awang-awangkan tangannya, igau-igau itu pun terbang mengelak entah kemana tetapi hanya sekejap. Sekejap sahaja, setelah diam tangan Hasri, igau-igau itu pun menghurung lagi, kembali berlangau di sekitar kepala Hasri. Hasri benci!

Igau-igau silam itu sentiasa menghurung kepala Hasri, tak lepas-lepas walau kemana-mana pun dia berjalan atau berlari. Lemas dengan igau-igau itu, Hasri berlari mencari pantai. Dia mahu campakkan diri ke dalam ombak gulung tiga beradik. Dia mahu selamkan kepalanya ke dalam gulungan ombak ganas itu dalam-dalam. Dia mahu igau-igau itu dihambur ombak gulung dan dihanyutkan jauh ke tengah laut, biarkan lemas! Biarkan igau-igau itu lemas bersama-sama dengungan gamelan hidup lampaunya kerana dia mahu telinga-telinganya mendengar alunan bahasa Tuhan yang Esa pula. Bahasa yang kini mula berkeroncong indah.

Sesampai sahaja di gigi pantai, laut dilihatnya sungguh damai. Matahari petang menjingga di kaki langit Barat tanpa pelangi petang yang Hasri suka itu. Maaf Hasri, petang itu tiada pelanginya biar pun renjis gerimis masih belum benar-benar bersidang. Tanpa pelangi petang, matahari hari itu seolah-olah bertelanjang bulat dan sungguh aib keadaannya. Oleh kerana laut itu damai, tiada ombak gulung tiga beradik bertandang ke dada pantai untuk mengaut puing-puing dosa penduduk daratan untuk dibenamkan ke lantai laut. Laut yang dami itu juga menyatakan kepada Hasri bahawa igau-igau lampau itu akan terus melangau di sekitar kepala Hasri.
Kini, Hasri pula yang lemas. Dia lemas dalam dengungan hidup lampau yang dia mahu tinggalkan.

" Arrrghh....!" jerit Hasri sekuat hati.

Kemanakah lagi harus dia tuju? Ke gunung tinggi, awan mengabui jalan ke puncak, menyesatkan jiwanya. Ke jurang dalam, momok-momok kelam menyerkup, mengelambui mata-matanya seperti hijab hitam yang menutup jiwa parahnya.

'Kenapakah kamu ini?', seolah-olah ada suara didengarinya. Hasri menoleh ke kanan dan kiri. Kosong. Ompong tanpa siapa-siapa.

'Kenapa kamu perlu berlari?', suara halimunan itu terus mengasak Hasri dengan satu soalan lagi. Seperti tadi juga, di kiri dan kanannya kosong. Lompong tanpa siapa-siapa.

"Aku mahu tinggalkan daerah ini tetapi aku tak tahu kemana aku patut pergi!" jerit Hasri.

Jeritannya ditatang angin  lalu merempuh pokok serunai laut yang berseruling kasih setiap kali bertasbih ditiup angin.

'Daerah mana?' suara halimunan itu bertanya lagi.

"Secebis daerah dalam hati yang telah membusuk mati. Aku tak tahan dengan bau busuknya. Aku mahu pergi dari sini." jawab Hasri.

'Kamu tak boleh tinggalkan hati kamu itu. Hati itu kamu akan bawa ke mati.'

"Potong dan buang?"

'Hahaha... itulah maksud aku. Kamu akan mati bersama-sama hati itu'.

"Aku? Siapa 'aku'?" tanya Hasri pula.

'Aku ialah hati kamu. Hati kamu yang ada secebis daerah yang telah membusuk mati dan kamu berhajat untuk tinggalkan. Kamu mahu tinggalkan aku? Kamu tak akan dapat melainkan kamu mati... MATI!' bentak suara halimunan itu.

Hasri tersentak. Dadanya berdebar-debar hebat. Sejurus itu juga kakinya menjadi lemah. Hasri jatuh terjelepuk di dada pantai. Laut damai mengalunkan melodi keroncong dengan bait-bait indah dari bahasa Tuhan yang Esa, ditatang angin petang lalu merempuh dedaun pokok serunai laut. Gemersik dendangan keroncong itu hanya dapat dirasai Hasri di luar dadanya, bukannya di dalam hati.

"Matikah aku?" bisik Hasri perlahan sambil kedua-dua belah tapak tangannya diraupkan ke muka.

"Matikah aku..........?" pertanyaan itu tanpa jawapan melainkan debaran dada yang menjadi semakin hebat.

Manakala jauh di pulau pengasingan di sana, Ayu Jannah sedang menadah tangan-tangannya ke arah langit petang. Sayap-sayapnya berkibar-kibar seperti layar-layar kapal usang ditiup angin petang.
"Ya Tuhan, tolong perkuatkan sayap-sayapku ini. Aku mahu terbang pulang... Amin."





.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com