Friday, February 10, 2017

Karangan bebas: Aku seekor lebah kelulut yang berinovasi

.

Aku telah lahir dalam suasana yang gelap gelita. Bunyi dengung kepak-kepak, rabaan sesungut dan kaki-kaki tok bidan yang sering aku rasa sebelum mata aku boleh dibuka. Aku sering diberikan makan madu yang manis. Aku suka! Aku sangat-sangat bersyukur. Tapi aku dapat tahu ada yang terima madu yang istimewa, lebih bertenaga. Mereka itu mungkin kasta lain. Mana aci!  

Apabila aku dewasa, aku disuruh keluar. Aku disuruh terbang mencari manisan. Aku tak nak! Aku malas dan takut. Lagi pun, aku tak tahu, mereka tak ajar di dalam mana-mana bilik darjah pun. Tapi tok bidan beria-ia memaksa aku keluar, disuruh bekerja. Katanya ada banyak adik-adik lain yang akan guna bilik aku. Katanya lagi, bila terbang nanti aku akan lihat abang-abang lain dan belajarlah dari mereka.

Mahu tak mahu aku terpaksa berdiri di tubir sarang. Aku lihat abang-abang melompat terbang dan berpusing-pusing 2-3 kali di atas sarang, aku pun ikut terbang dan berpusing-pusing. Oh... barulah aku tahu, bila aku pusing-pusing itu, aku dapat lihat apa yang ada disekeliling sarang. Dan aku dapat tahu arah matahari dan angin.

Kemudian aku terbang mengikut mereka. Aku lihat mereka hinggap pada bunga-bunga, terutamanya bunga pada pokok buah-buahan. Kemudian mereka menjilat-jilat cecair di dalam bunga sambil kaki-kakinya menggesel-gesel bijirin berwarna kuning dan putih sehingga melekat pada kaki-kakinya. Yeyekk laaa... aku jadi geli geleman. Kasihan sungguh mereka semua. Mesti mereka itu penat.

Aku ikut mereka terbang pulang ke sarang. Setibanya aku di sarang, ada satu pakcik tu tanya mana madu dan bijirin yang aku bawa. Aku cakaplah aku tak bawa, aku cuma tengok-tengok saja. Dia marah-marah. Dia kata aku pemalas! Aku diamkan diri, membatu. Akhirnya, dia tanya aku nak jadi apa. Aku cakap, aku dah pergi lihat macam mana para pekerja itu bekerja. Jadi aku nak jadi penceramah bebas dengan tajuk ceramah 'Bagaimana madu mengubah hidupmu' atau 'Bekerja untuk dunia vs. Bekerja untuk akhirat'.

Pakcik itu marah aku sungguh-sungguh! Tapi aku tak tahu kenapa dia marah sangat sedangkan tak ada siapa pun yang bekerja sebagai penceramah bebas. Patutlah mereka itu hanya menuruti segala apa yang nenek moyang mereka buat. Tak ada inovasi. Oleh karana pakcik itu mahu memukul aku, maka terbanglah aku keluar sarang. Gugus angin membuai-buai aku. Terasa segar dihembus bayu. Dalam pada itu, aku ligat memikirkan sesuatu untuk aku bawa pulang nanti. Akhirnya aku ada idea!

Setibanya aku dekat sarang, pakcik garang tadi sedang menunggu sambil bercekak pinggang. Dia tanya, apa yang aku bawa? Aku suruh dia berdiri di pintu sarang dan panggil semua abang-abang yang sedang bekerja. Setelah mereka semua berkumpul, aku terbang membuat tarian untuk berikan mereka maklumat. Mula-mula aku terbang membuat tarian bulatan, lepas tu aku tarian lurus, lepas tu tarian bengkok-bengkok... begitulah seterusnya sehingga aku berjaya menghabis 10 jenis tarian.

Penat sungguh dibuatnya! Kemudian mereka bising-bising, mereka tak faham rupa-rupanya.

"Kamu buat apa tadi tu?" Pakcik Garang tanya kuat-kuat.

"Itu nombor HP Pakcik Mail, dia ada jual madu Kelulut. Boleh beli je." Aku pula jerit kuat-kuat.

Aku bangga kerana akhirnya dapat menolong saudara-saudara aku.



.



.

4 comments:

Unknown said...

ade sambungan ker citer lebah ni. hahahha done klik kopitiam.

Nizam.Ariff said...

Ridz.
Citer sikit2 je....haha
Thanks for the kopitiam.

HeNRieTTa JoSe said...

teringat masa skulah rendah kena buat karangan cenggini, lpa dah cikgu cakap apa dulu...

Nizam.Ariff said...

HJ.
Tajuk yg biasa.... aku sebatang pen... haha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com