Tuesday, March 5, 2019

Ingin bebas...

.
Bila duduk-duduk selepas makan malam sementara menunggu Maghrib, suasana senja remang-remang rabun ayam tadi itu, aku terimbau suasana silam. Ketika aku masih disekolah rendah.

Waktu-waktu beginilah aku perlu buat perkara-perkara yang tersenarai tanpa tertulis: bakar/pasang ubat nyamuk lingkaran, tutup semua tingkap, solat Maghrib dan bersedia untuk mengaji bergurukan arwah Bapak.

Ya, itulah rutin harian aku setiap senja dari kecil sehinggalah ke darjah 6 (kerana ditingkatan 1 aku di asrama).

Ada ketikanya, banyak kali juga, aku terfikir: bilakah aku boleh bebas dari rutin harian itu? Bukan sekejap. Bertahun-tahun lamanya rutin itu. Bosan.

Pada masa itu, terasa hari berlalu lambat. Rasa tak sabar mahu dewasa secepat mungkin. Dah tak mahu buat rutin senja. Bukan sahaja rutin, suasana remang senja di balik bayang-bayang pokok cempedak, kelapa dan pisang juga menjadikan hati terasa sayu. Terasa seperti terasing, seperti sedang di'kuburkan'. Setiap hari...

Hari ini, di rumah sendiri, aku jengah remang senja dari kaca tingkap yang langsir tersingkap. Biar pun tidak lagi pasang ubat nyamuk, suasana sayu masih ada.

Rasa sedih muncul setiap kali senja menjelang. Sedih mengenangkan sehari lagi hilang. Sedih kerana esok pagi akan bermula rutin kerja. Bangun pagi, siap-siap untuk keluar pagar, pandu kereta meredah kesesakkan...dan perkara sama juga ketika pulang ke rumah: mandi, makan, solat, tonton berita, tunggu Isyak dan siap-siap untuk masuk tidur. Menyediakan diri untuk rutin esok pagi. Ahhh... Bosannya begini.

Terasa seperti ingin bebas dari rutin ini. Ingin bebas mengatur jadual harian tanpa perlu ikut jadual orang lain.

Dalam pada memujuk perasaan yang meronta ingin bebas, usia pun pelan hari pelan hilang...

.

4 comments:

Anonymous said...

usia menjadikan keinginan untuk bebas juga hilang perlahan - lahan.

Nizam.Ariff said...

Mastura
Entahlah... Keinginan sentiasa ada, kemampuan yg tak ada...

sudipVSsenduk said...

rutin kita sama masa kanak-kanak.

Nizam.Ariff said...

SvS
#kitasama...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com