Aku mencari sahabat2 yang mengalami atau mengetahui hal ini...
Dalam wudhuk dan qiam, takbir di lidah dan bergema di hati, mata dipejam, lalu mata pun dibuka.
Mahligai indah di puncak rabung di antara gunung-gunung, marmar putih disimbah cahaya matahari condong.
Gerbang itu nampak tinggi berukir, ruangnya jauh seperti tak berhujung, lantainya putih seolah-olah berpijak pada cahaya lembut, tak silaukan mata.
Dan bila dahi mencium lantai, nyaman dan tenggelam dalam rasa halus seperti awan putih, bercahaya bila disentuh.
Berseorangan, di situ bertamu sementara, sunyi tanpa gema, kecuali nafas menukil kalimat.
Ada sudut di kanan dewan, sebuah pancur air setinggi pinggang, takungan putih bak kiambang sebesar tempayan, airnya pelangi yang tak bercampur, melimpah turun bak payung kembang, lembut bak sutera, namun lenyap tak sentuh lantai, tiada percikan.
Jika diintai ke dasar pancuran, mencari punca datangnya mata air, tiada.
Dan di laman luar, rusuk kanan mahligai putih itu, sepohon pokok sepemeluk, berdahan sepuluh tanpa daun dan ranting, dahan-dahan lembut seperti belalai, bergoyang gemalai.
Di hujung setiap dahan, ada buah seperti delima, lalu setiap kali disuakan gelas, dahan itu melentuk turun mendekati, maka pada hujung dahan yang berbuah itu pun keluar air merah delima, manis dan sejuk, memenuhi gelas, dan kembali melentik tinggi ke atas, bergoyang gemalai tanpa angin bertiup.
Tiba salam diberi, undurlah diri, menjauhi segala, sehingga datang lagi kemudian nanti.
Hanyakah aku ke situ? Atau ada insan lain datang bertandang? Jika ada, sila isikan komentar.
.
No comments:
Post a Comment