Monday, August 31, 2009

Pengaruh dari mereka yang sekecil itu....

.


Mungkin terpengaruh dengan iklan nelayan udang laut dalam, seorang kawan YM aku yang dia tengah mengunyah 'shrimp stick' tengah-tengah malam.


Ya, tengah-tengah malam mengunyah udang goreng tepung. Itu lah pengaruh iklan yang luar biasa. Dalam iklan, selalunya kaki-kaki pengiklan akan kenal pasti 'influencer' untuk segmen produknya. Bukan setakat 'buyer'. 'Influencer' lebih berkuasa untuk mempengaruhi 'buyer' untuk membeli.


'Buyer' selalunya (memang pun) mempunyai kuasa untuk membeli kerana ada wang. Dia boleh buat keputusan sama ada nak beli atau tak kerana itu wang dia. Kebanyakkan iklan akan tujukan mesejnya kepada 'buyer'.


Tapi, sebenarnya, 'influencer' lebih berkuasa untuk menentukan sama ada 'buyer' jadi untuk beli atau tak. 'Influencer' selalunya (memang pun) tidak punyai kuasa membeli kerana kurang wang. Ye lah, kalau dia ada duit, dia tentu terus beli tanpa perlu pujuk atau pengaruh 'buyer' yang banyak duit. Dia itu sendiri beralih menjadi 'buyer'.


Dalam iklan itu sendiri terdapat 'influencer'. Kalau setakat nak tunjuk barang, cukup sekadar tunjuk gambar barang, harga dan dimana boleh dapat barang itu. Tapi, itu tak mencukupi untuk pengiklan.

Dia 'ditugaskan' untuk mempengaruhi bakal pembeli. Jadi, dia masukkan 'influencer' dalam iklan seperti artis-artis yang kiut-miut untuk memujuk, atau pakcik-makcik yang kononnya dia orang dah beli dan berpuas hati. Boleh percaya?


Siapa lagi 'influencer' selain dari dalam iklan?

Aweks, Kekasih Gelap, Anak-anak dan orang-orang yang tak ada wang tapi nak beli itu ini. Ini termasuk orang-orang yang ada wang TAPI kedekut nak mampos, asyik nak pow orang je...




'... tapi bro, aku rasa macam kena tipu'

YM dari kawan aku.

' Aku tengok iklan, udang dia besar. Bila beli, kecik nak giler... '


Aku YM dia. Aku kata, itu bukan 'shrimp stick'. Itu 'shrink stick'....



Tengah malam itu, kawan aku YM aku sambil mengunyah 'shrink stick', setelah dipujuk oleh anaknya untuk beli setelah lihat iklan di TV.





Ceh! Mama buat lagi sedap.

.

Saturday, August 29, 2009

Selamat menyambut kesunyian Merdeka

.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan.





Aku tak boleh balik kampung. Aku kena pergi ke gua batu Sabtu dan Ahad ini. Mama dan Paku Payung dapat balik, berpuasa dan berbuka di kampung.




Kesunyian menjalar ke segenap jubin rumah.
Bilik tidur, bilik air, dapur.
Sejuk, tanpa nyawa.
Kerusi, meja.
Segala-galanya menjadi kosong.
TV, laptop.
Semua menjadi beku
Bila semua beku, aku menjadi bungkam.








.

Friday, August 28, 2009

Bagaimana mulanya aku menjadi jantan jongos...

.


Aku mendapat satu jemputan dari Facebook pagi tadi. Dari seseorang yang aku kenal lama duluuuu... nun ketika masih di matrikulasi. Lalu, fikiran aku terimbau kepada kisah-kisah lama antara kami.



Pagi itu langit di Pantai Merdeka agak cerah, malam tadi hujan turun gerimis kasar.


Pagi itu, khemah-khemah kami masih tegak gagah tetapi basah dek hujan. Susunan kayak-kayak bertimbunan di dada pasir. Terlungkup, agar air laut masin yang masuk petang semalam telah tos. Baju dan seluar basah bersidaian pada mana-mana tempat yang boleh disidai. Seluar dalam juga, umpama bendera kapal nelayan laut dalam memberi isyarat kecemasan. Sengal pada badan masih belum hilang akibat latihan kayak semalam.


Pagi itu, dalam 8.30am, air laut masih suam. Ombaknya tidak tinggi, tidak rendah. Dan aku lihat segerombolan gadis dari khemah-khemah sebelah telah pun berendam dalam laut. Dan tidak jauh dari situ ada beberapa lelaki, juga dari kumpulan khemah yang sama, turut berendam menikmati suam air laut Pantai Merdeka.


Teruja dengan suasana indah, aku turut ke laut. Aku dekati kawan-kawan aku. Air laut separas peha di situ. Lalu aku duduk berlunjur kaki, air laut separas bahu. Mengapungkan diri sedikit dan aku biarkan ombak laut menimang-nimang aku. Kejap hoyong ke depan, kejap ke belakang. Aku pejamkan mata. Aku umpama berayun di kerusi goyang rotan.


Beberapa lama kemudian, aku buka mata. Rakan-rakan telah naik ke pantai, bersarapan agaknya. Tinggallah aku dan seorang gadis yang hanya beberapa depa dari aku, turut membiarkan diri dimainkan ombak.


Aku katakan padanya, jangan terlalu jauh, air mungkin tengah surut. Takut nanti ditarik ke tengah laut tanpa sedar. Lalu, dia berganjak lebih dekat kepada aku. Memang dekat dan aku biarkan dia di situ. Aku pejamkan mata lagi.



Aku biarkan fikiran aku melayang. Melayang ke langit, melihat ke dada laut pagi nan indah. Melayang ke gadis di sebelah aku. Aku biarkan lagi fikiran aku melayang bersama-sama sedikit imaginasi yang nakal. Akhirnya, fikiran aku yang melayang itu melekap pada baju-T putih yang di pakai oleh gadis itu. Terbuai dek ombak. Imaginasi nakal aku turut berombak-ombak.


Tak semena-mena, gadis itu menjerit kuat. Aku kaget. Aku buka mata aku dan aku lihat dia telah bangun dan berlari ke arah pantai. Susah payah dia melangkah ombak sambil mulutnya mengaduh.


Aku turut bangun dan berjalan ke arah pantai. Beberapa kawan gadis itu telah pergi mendapatkannya yang kini terduduk di pantai yang berpasir putih sambil mengurut-ngurut kakinya. Wajahnya berkerut menahan sakit.


Aneh, takkan imaginasi liar aku begitu terkesan kepadanya?


Beberapa rakan lelaki mula menuding aku. Apa kau buat padanya? Soalan pertama yang aku terima. Mana aku tau, aku tak tau apa-apa pun. Aku tak sentuh apa-apa pun! Mungkin fikiran aku, ya mungkin tetapi aku pasti tidak dengan tangan aku. Tidak dengan kaki aku. Namun, mata-mata sangsi masih memperkosa tubuh aku. Mata-mata sangsi dari rakan-rakan lelaki dan perempuan yang ada di sekeliling gadis itu.



Pada betis gadis itu, terlihat beberapa jalur merah. Sah! Itu sengatan obor-obor. Ada seorang rakan lelaki, aku kira mungkin anak nelayan, memberikan petua. Bisa sengatan obor-obor boleh ditawar dengan air kencing. Masing-masing berfikir, siapa yang patut kencingi kaki gadis itu.


Aku tau, mereka semua telah kehabisan air kencing semasa berendam dalam laut tadi. Mana mungkin mereka bisa kencingi kaki gadis itu lagi. Aku, yang terasa sedikit bersalah kerana gagal menahan imaginasi tadi, menawarkan diri, dengan syarat, semua orang ke tepi. Biarkan aku dan gadis itu di dalam khemah bersendirian.


Nasib baik ada seorang pakcik datang dan berikan satu petua yang lain, guna abu unggun api yang masih suam. Lalu, beberapa rakan lain pergi mendapatkan abu itu. Aku bersyukur kerana pakcik itu datang. Kalau tidak, mungkin aku telah kehilangan sesuatu kepada gadis itu di dalam khemah tadi!


Walaupun misteri jeritan gadis itu telah terjawab, mata-mata sangsi itu masing merenung aku dengan pandangan dari seorang hakim syarie.



Akukah obor-obor itu? Ataukah imaginasi liar aku tadi bertukar menjadi obor-obor nakal tetapi kurang cerdik kerana hanya mampu menyengat setakat paras betis je? ... Cheeit! Bodo punya obor-obor, tak belajar minum Tongkat Ali.

Dan bermulalah aku sebagai seorang lelaki yang berdosa.






.

Wednesday, August 26, 2009

Bubur pisang bersagooooooooooooooooo.....

.

Petang kali itu, aku bertekad. Aku lupakan ikan keli salai kuah lemak kuning. Aku berkerat rotan dengannya. Walau sekuning mana kuahnya, sama ada ditumis dengan cekur atau tidak, aku tak peduli lagi.

Sekali kalau hatiku kau sengat dengan sondakmu, calar-balarnya tetap membisa sampai ke tulang. Biar pun pahit, aku makan. Selamat tinggal ikan keli salai. Semoga aku bertemu dengan yang lain selepas bulan puasa ini. Dah tentu aku usap dan ramas-ramas dahulu sebelum beli.



Lalu, aku tabur garam kemenyan pada sekeliling gerai ikan keli salai itu. Aku jampi serapah agar terdinding aku dari tertarik lagi kepadanya. Dan aku berikan fokus aku kepada gerai bubur-bubur pula.

Aku belek satu persatu, macam-macam jenis bubur yang telah siap di dalam mangkuk tapaw. Orang kata, berbuka dengan makanan yang lembut-lembut, macam bubur ini, bagus untuk perut. Cepat hadham, kurang boncit.

Aku angkat semangkuk bubur jagung dengan tangan kiri aku, aku angkat semangkuk bubur pisang bercampur sagoo telur katak minyak dengan tangan kanan aku. Beberapa kawan aku yang lalu lalang di bekalang tegur aku. Alang-alang, angkat je dua-dua sekali, kata mereka.

Tak elok terburu nafsu, aku bermonolog. Tuan gerai yang ayu itu tersenyum. Hari ini, aku berbuka dengan bubur pisang bercampur sagoo telur katak minyak. Esok nanti aku berbuka dengan bubur jagung manis pula, aku bermonolog lagi. Tuan gerai yang ayu itu tersenyum lagi.



Waktu berbuka, aku capai sudu plastik yang dibekalkan sekali dengan bubur itu. Aku buka dan aku cedok. Pekat semacam, mungkin sagoo telur katak minyak tu dah serap air bubur itu agaknya. Aku masukkan sesudu ke dalam mulut.... perrgghhhh!!!!!!!!!



Dia punya rasa....... tawar dan masam!
Aku sangka, dia guna pisang nangka, memanglah sedikit masam. Aku tibai sesuap lagi.... perrrghhh!!!!!

Sagoo telur katak minyak tu memang betul-betul telur katak minyak la....
Sagoo tu dah berbau hapak. Patutlah bubur tu pekat semacam!


Dan angan-angan aku untuk gilir berbuka bubur jagung dari gerai si ayu itu hari ini terpaksa aku batalkan.


Kadangkala , don't jugde a cook by its color sahaja kurang lengkap.

Tambahan, don't jugde a cook by the seller's look...







.

Ikan Keli salai... pergghhh! Menggigil gua...

.


Dengan perut kosong (aku tak kata lapar) dan mata yang keluyuran, menyusun tapak di aspal panas bazaar Ramadhan, sambil sebelah tangan menyeluk kocek seluar dan sebelah lagi memegang kunci, asap-asap mengabui pandangan mata. Sesak nafas dengan aroma ikan dan ayam bakar.

Tetiba saja semua orang boleh jadi chef dalam bulan ini. Macam-macam resepi keluar. Sedap atau tak, belakang kira sebab bukan boleh cuba-rasa pun...


Salah satu caranya, pelbagaikan warna pada makanan - guna color enhancer, sama ada semulajadi (kunyit, pandan, cili) atau tiruan. Kalau boleh, sekilas pandang, boleh kecur air liur...





Kelmarin, aku menjadi mangsa lagi (terus-terusan menjadi mangsa). Aku nak beli ikan keli salai berkuah lemak kuning. Aku pilih ikan yang terendam dalam kuah. Penjual tu tanya, kenapa pilih yang terendam? Aku cakap, sebab ikan hidup dalam air. Ikan jadi bangkai kalau di darat!

Yang sebenarnya, aku nak kuah tu meresap kaw-kaw punya. Aku pilih ikan keli yang gelap-gelap dan besar. Kalau ikan keli pucat semacam je, ikan tu dah mampos lama. Jadi, aku tunjuk ikan yang besar dan gelap.


Bila waktu berbuka puasa, aku terus capai ikan keli salai tu. Perghhh.....!!! Menggigil kepala aku dibuatnya.

Dia punya pahit! Tak tau nak kata. Itu bukan keli salai, itu ikan keli dah jadi arang.




Aku cerita kepada seorang teman, dia pesan: don't judge the book by its cover.

Ya, betul. Tapi aku ubah kepada: don't jugde a cook by its color!






.

Tuesday, August 25, 2009

Rakit dan teratai

.


Hujung minggu pada bulan puasa, kami yang masih bebudak ketika itu, banyak bermain dengan air. Kalau tak berkubang, kami berendam atau kami menyelam sambil tahan kentut dalam air.


Kalau musim air sawah penuh dan belum bertanam padi lagi, biasanya kami akan buat rakit batang pisang. Kami akan tebang 3-4 batang pisang Awak yang tumbuh secara tradisi dan meliar (kami tak berani tebang yang ditanam). Kami akan potong-potong sepanjang 5 kaki setiap sebatang dan kami akan cucuk kesemua batang pisang itu dengan 2 batang kayu panjang, supaya tak barai.


Kami akan tolak ke dalam sawah dan biarkan dia terapung. Kami akan naik atasnya dan berlayar. Bila matahari dah naik terik, kami akan angkat rakit itu ke darat, untuk sesi petang pula.



Atau kami akan bawa rakit itu ke sungai yang lebih dalam dan airnya lebih sejuk. Kami akan berakit menuju ke kelompok pokok teratai di tengah-tengah sungai yang tenang airnya. Rakit batang pisang bukan sesempurna mana, bontot kami tetap basah, cuma kami tak tenggelam.

Kami akan kumpulkan buah-buah teratai yang muda dan tua. Yang muda-muda, kami akan makan begitu sahaja masa pergi terawikh nanti. Yang tua sikit, kami akan campurkan sedikit garam laut dan rebus dalam periuk.


Sekarang ni, nak cari pokok teratai pun susah. Kalau ada pun kat taman-taman rekreasi. Nak terjun pergi ambil buahnya pun dah tak boleh. Kecuali kalau pergi ke kedai ah pek, dia ada jual isi buah teratai dari China.








Insyirah, tolong beritahu macam mana nak buat sup buah teratai?

.

Monday, August 24, 2009

Panas yang terlampau...

.

Pada masa aku bebudak lagi dulu, aku berbasikal ke sekolah rendah. Balik pukul 1.15pm, matahari tepat di dada langit, sungguh tepat sehinggakan bayang-bayang aku membulat di sekitar kaki aku (tokok-tambah).


Dalam kepanasan melampau itu, aku kayuh basikal aku untuk pulang dari sekolah. Sepanjang jalan, aku terbayangkan air cendul, air sirap, air kelapa muda bersirap pandan! Seksa sepanjang kayuhan sejauh 5km di jalan batu kelikir yang berbonjol-bonjol. Keletak-keletuk bunyi tulang aku di gegar kelikir-kelikir itu.


Sesampai di rumah, aku tanggalkan pakaian seragam, tinggallah aku berseluar pendek. Bila masuk ke dalam rumah, perubahan cahaya mendadak menyebabkan pandangan aku kelam sekejap. Bila dah separa bolen, aku akan cari permukaan lantai simen yang sejuk (biasanya di bawah meja) dan aku melekap macam tapak sulaiman yang terdampar di pantai!

Bila satu bahagian badan dah sejuk, aku terbalikkan badan, untuk sebelah badan lagi. Bila permukaan lantai simen tu dah tak sejuk lagi, aku cari port lain yang lebih sejuk.




Dalam pukul 3pm, bila matahari dah menyendeng sedikit, aku akan pergi ke kolam ikan di depan rumah. Ada pelantar kecil dan tangga yang menjulur ke dalam kolam ikan itu. Di situlah aku akan labuhkan kaki-kaki aku. Kemudian, aku turun sedikit demi sedikit. Akhirnya, aku berendam dalam kolam ikan itu.


Aku biarkan badan aku diketit-ketit oleh berpuluh-puluh anak udang sampah. Kadang-kadang geli pun ada. Entah apa yang dia makan aku tak tau, aku mana ada kurap. Kulit aku mulus... aku anak kelahiran Pan Asian. Bapak Jawe dan emak Cina. Kiranya aku ni boleh jadi model iklan sabun mandi la agaknya... hahaha




Dekat 'Asar, baru aku naik. Badan naik kecut. Tapi, aku tak sentiasa berendam. Agak-agak dah sejuk, aku naik ke atas pelantar dan keringkan badan.


Juga, aku akan naik bila aku nak kentut. Ustad kata, kentut dalam air boleh batalkan puasa!







.

Sunday, August 23, 2009

Air batu dan serbuk kayu gergaji

.

Kedengaran sayup-sayup suara azan 'Asar dari tingkat 11 ini. Dan aku masih waras untuk tidak menganggap itu sebagai azan maghrib.


Dulu, masa aku kecik-kecik, waktu 'Asar adalah waktu yang paling sibuk di bulan puasa. Masa tu belum ada lagi LLN di kampung. Emak selalu buat air teh atau kopi panas sebab kami tak ada peti ais. Mana boleh ada sebab LLN tak masuk lagi.

Ada seorang pemuda kampung yang ambil inisiatif untuk berniaga ais ketul. Dia tempah lima enam 'takung' ais dari kilang ais. Dia masukkan dalam peti kayu dan ditabur serbuk kayu gergaji untuk elakkan ais dari cepat cair. Dia akan berbasikal, pusing satu kampung menjaja ais.



Biasanya, aku akan tempah 2 ketul ais, lebih kurang sejengkal lebarnya setiap satu, yang berharga 20 sen satu ketul. Dengan ais inilah aku buat air sirap atau cendul.

Dulu juga, bazaar Ramadhan belum lagi terkenal di kampung aku. Kalau ada pun ialah kedai-kedai makan yang tutup pada siang hari, jadi dia orang jual kuih pada sebelah petang. Kebanyakkannya, jiran-jiran akan bertukar-tukar juadah berbuka.

Kadang-kadang, makcik-makcik dah berpakat. Mereka berpakat masa lepak tengah hari sambil sembang-sembang.



Sekarang?

Huh! Karipap seketul pun 50sen. Itu kalau inti kentang. Kalau inti ayam atau daging, dah lain harga.






.

Saturday, August 22, 2009

Hari pertama lagi aku dah tewas...

.


Mama dah pesan awal-awal bulan yang sudah lagi, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu mereka. Tapi, hari pertama aku dah gagal!

Kalau tak mata, haruman manisnya pulak yang menusuk-nusuk lubang hidung aku. Kalau tutup hidung, macam mana aku nak bernafas?


Sebenarnya, aku tak perlu berada di situ. Malah, 10km dari itu lagi fikiran aku dah mula pilih-pilih. Semasa dalam kelas petang tadi lagi, seorang awek yang duduk di belakang aku dah cucuk-cucuk bahu aku dengan pennya.

'Petang ni berbuka dengan menu apa? Mama masak apa?'


Alamak! Maka fikiran aku mula menjalar merata-rata. Setiap helaian nota yang aku selak seperti menyelak helaian menu yang, masyaAllah, senarai menu itu tak habis-habis. Panjang berjela.

'Aku rasa, petang ni aku nak cari murtabak la...' sambung awek tu.


Alahai... aku belum sempat jawab lagi. Tengah pilih apa yang nak beli dulu. Al maklum lah, perut aku ada satu. Mana nak telan kurma, mana nak cendulnya, mana nak sirap bandungnya, mana kuihnya, mana nasinya... susah nak pilih. Macam nak pilih awek mana satu aku nak kahwini masa dulu-dulu... hahaha


Mama dah pesan, jangan beli yang bukan-bukan. Beli sikit untuk berbuka sahaja, yang lainnya Mama akan masak. Aku ingat pesan Mama tu.


Lalu, aku singgah di Bazaar Ramadhan berhampiran dalam perjalanan pulang dari berguru. Aku cuma beli: 1 keping murtabak ayam, tapi daging pun mungkin sedap, jadi aku beli 1 murtabak daging. Aku jalan ke depan sikit, ada rojak passembor. Mungkin Paku Payung suka yang itu, jadi aku beli satu bungkus. Tapi, kami bertiga, jadi aku beli satu bungkusan besar.

Mencekik darah betul lah... dia orang ni berniaga sebulan tapi macam nak untung setahun!


Sampai di rumah, Mama dah siap masak 2 jenis lauk dan 2 jenis sayur.



Perut aku ada satu je. Bila habis air sirap bandung satu jag, makanan lain jadi hiasan... macam biasa... macam tahun-tahun yang lepas juga... sama je... tak pernah berubah!



Esok ada kelas lagi. Janganlah awek tu tanya lagi, petang esok nak berbuka dengan apa...








.

Friday, August 21, 2009

Pahlawan dan pedang besi

.

Bingit gemerincing besi kini hilang. Libasan pedang pada baju besi, derapan telapak kuda seberani, perisai tajam dan tali kekang terurai, segalanya telah berhenti.

Butir-butir hujan menimpa rumput-rumput padang basah. Halilintar menyisih. Kuda-kuda seberani tanpa tuan. Tubuh-tubuh tak bernyawa berselerak. Darah mewarnai hujan merah. Becak dan lumpur bertakung pada tapak-tapak kaki kuda seberani, juga merah.


Seorang pahlawan berlutut didalam lumpur, kedua-dua tangannya memegang erat pedang yang dipacakkan sebagai tongkat. Lelah, mengatur nafas. Jubah perangnya basah dek hujan dan darah manusia, bercampur baur, hanyir. Rintik-rintik hujan membawa turun khabar suram dan sedih dari atas langit.


Pahlawan itu mendongak, menduga dada langit. Menduga rintik-rintik hujan yang kasar. Air hujan mengalir dari hujung rambutnya, mengalir turun di dahi dan pipi, air hujan yang merah dan darah. Darah siapa?

Dan air hujan dan darah itu terus mengalir pada pipinya, berbaur dengan air mata. Dan air hujan dan darah dan air mata itu terus turun membasahi dada dan lengannya. Dan menitis pada lumpur dan rumput-rumput yang hancur, lunyai di injak-injak telapak kuda seberani dan para perajurit yang telah gugur. Syahid?


Pahlawan itu memandang sekeliling. Tiada yang berdiri lagi. Sunyi. Tinggallah kuda-kuda seberani bergerak sana-sini tanpa tuan, dengan tali kekang yang berjuntaian.


Pahlawan itu mencabut pedang besi kharsani buatan khurasan, dari lumpur, dari rumput yang lunyai. Di padang itu, hujan masih menitis, membawa darah dan air mata ke anak sungai.


Pahlawan itu berdiri, berseorangan. Air hujan dan darah mengalir turun dari lengannya, mengalir ke pedangnya hingga ke hujung lalu jatuh menitis ke lumpur.






.

Wednesday, August 19, 2009

Selamat Pagi Che'egu....

.

Tiap tiap hari sekolah, aku terpaksa hentikan kuda api aku di depan pagar, turunkan Paku Payung. Setiap hari itulah, aku akan bertemu dengan che'egu wok.

Profile che'egu wok:
Bercekak pinggang, melihat orang dari atas bingkai cermin mata dan telunjuk kerap menunjal-nunjal ke arah murid-murid.


'cepat! lari! terhegeh-hegeh...' sambil tangan kirinya menepuk-nepuk tiang besi pintu pagar.

'hari -hari terhegeh-hegeh...'
(dia maksudkan kat aku le tu)


Macam tu la yang aku dengar setiap kali aku hantar Paku Payung ke sekolah jika dia ada. Dan setiap hari itu jugalah aku pura-pura tak dengar walau kadang-kadang dia cuma berdiri tak lebih dari 10 kaki dari aku. Sekali sekala, aku rasa nak buat-buat terbabas, kasi langgar sikit tepi kain bunga-bunga dia tu.




Aku tak fahamlah che'egu wok sorang ni. Kalau Guru Besar yang tunggu kat pagar pun tak cakap macam tu. Paling keras pun dia cuma suruh esok datang lebih awal dan muka pun masih boleh tersenyum simpul kat bapak-bapak yang saing-saing sampai dengan aku. Begitu juga kalau cikgu lelaki yang jaga, malah cikgu lelaki lebih senyap tak cakap apa-apa pun.

Aku syak, che'egu wok ni ada masalah dengan masyarakat sekeliling. Kalau tak pun, dia mesti selalu buat masalah pada masyarakat sekeliling.

Rilek la, ada 5 minit lagi. Bukankah kita diajar untuk tepati masa? Dia faham tak apa itu tepati masa?

Tepati masa = tak boleh lebih dan tak boleh kurang. Kata kena datang pukul 7.30am, sebagai orang yang mengikut arahan, aku sedaya upaya untuk datang tepat 7.30am.



Itu tak kira lagi nak cilok sana-sini, elak lopak, elak bas sekolah yang belok ikut suka hati drebar je, rempit dengan bas kilang lagi. Nak lambai makcik limah nasi lemak gerai payung, nak lambai kak munah kuih keria gerai meja bulat, nak lambai kawan-kawan yang selisih jalan lepas hantar anak masing-masing. Haih... lenguh tangan aku: nak pegang tali kuda lagi, nak lambai lagi...


Nasib baik rumah aku ke sekolah cuma dalam 1 km je...





.

Tuesday, August 18, 2009

Selamat malam, kang...

.

Aku. Dalam sejuk dinihari. Masih tersengguk-sengguk mengatur saraf tunjang agar lurus. Terbelit. Sekejap simpulnya ke kanan. Sekejap simpulnya ke kiri.


Dalam sengguk-batuk-sengguk-batuk. Tidur siapa yang lena?


Seperti kata aku dalam satu mesej ringkas elektronik, 'mau saja aku keluar ke kaki lima sana lantas aku sagat tenggorok aku pada aspal yang kasar. Atau saja aku korek asfal lalu aku telan, buat melunturi geli-gatal batang tenggorok aku'.


Waduh, puspa! kataku lagi.

Bisa saja hilang maruahku kalau garau begitu, sambungku lagi.

Emangnya sudah terlalu sial aku ini? tanyaku lagi.

Bukan, kang! Percuma saja kalau gitu sih.

Kang masih ada maruah?

Gampangan kamu tuh! Enak saja ngomong gitu.



Dan dinihari tetap sejuk. Membuat kokol aku bertambah garang. Bagai halilintar menyipi kuping telinga.


Mana selimut aku?

Selamat malam, kang.


Hmmm....





.

Monday, August 17, 2009

Lagi dan lagi dan lagi....

.

Buat sekian lama, aku rindui manik-manik sejuk turun dari dada langit.

Hari ini, ketika pulang dari gua batu, selepas seharian berguru dan bersilat kuntau, aku pacu kuda api aku.

Seperti biasa, kuda aku menjerit melalak mendengus marah, garang.

Hari ini, ketika aku pulang itu, aku terasa sejuk menjalar ke tubuh.

Melewati batas-batas baju besi yang aku pakai.

Terasa sejuk manik-manik hujan itu menusuk jauh dalam kalbu.

Syukur!



Buat sekian kalinya, aku merasai sejuk hujan itu dari atas kuda api aku.
Terlalu sejuk, sehingga habis kuyup sepatu aku.


Dan aku yang Sabtu lepas panas membahang, kini pun masih suam-suam kuku, mula bersin lagi... dan lagi..... dan lagi...





.

Friday, August 14, 2009

Pedagogy: Buat pening kepala aku...

.

Trainer kat depan tu sedang buat sesuatu. Aku kat belakang ni tengah update blog. Zaman teknologi, boleh buat 2 perkara dalam satu.



Dah 2 hari aku di Akademi MAS. Training lagi. Berkenaan: Pedagogy of Teaching & Learning. Aku dah rasa macam cikgu sekolah dah ni. Lepas ni, boleh le apply jadi cikgu kat sekolah KakPah. Boleh pergi kerja saing-saing Ashley.

Thursday, August 13, 2009

Resepi terbaru dari dapur kami...

.



Ini resepi baru.
Sapa nak cuba, kena minta resepi dari Mama.









Kalau nak kukus pun boleh.

Amacam Kucingorengemuk, lu berani cuba?








.

Wednesday, August 12, 2009

Menjadi terkenal...

.


Dia nyup nyap nyup nyap.
Mama dan aku pun sama, nyup nyap nyup nyap.
Tambah kuah, tambah kicap Tamin.
Mulut kami sambung nyup nyap nyup nyap.


'Mama, Johor terkenal dengan apa?'
'Mmm... kuda kepang'


Nyup nyap nyup nyap...


'Kelantan?'
'Mmm... Wau Bulan...'

Nyup nyap nyup nyap...

'Pahang?'
'Err... Pahang... Pahang....'


'Pahang ada Siti Nurhaliza...' Kata aku, cuba bantu Mama sebenarnya.


Masing-masing jeling kat aku. Aku hulur pinggan kepada Mama, minta tambah nasi. Aku cuba sedaya upaya untuk buat-buat bersahaja, sebagai lelaki.

Pap! Apsal la mulut aku cepat sangat jawab soalan tadi ... alahai aku.






.

Tuesday, August 11, 2009

Manusia akhir zaman

.


Opps!

Sebenarnya, buku tulisan Muhammad Alexander @ Wisno Sasongko bertajuk Yakjuj & Makjuj - Bencana Di sebalik Gunung setebal 550 mukasurat (548 sebenarnya kerana helaian terakhir tersilap cetak). Berbaloi memilikinya dgn hargaRM31.50, macam beli The Star!



Ringkasan(fokus kepada Yakjuj & Makjuj):

1. Seperti dalam kitab-kitab Yahudi dan Kristian yang asal, kisah-kisah Yakjuj dan Makjuj ("YM") ini ada diceritakan, sama ada secara terangan atau secara sifat sahaja.

2. Nabi-nabi kaum Israel dulu telah membuat ramalan dan peringatan tentang YM ini. Herodotus juga ada cerita. YM ini terkenal dengan kepandaiannya menjinakkan kuda dan biasa dengan kehidupan nomad yang sukar.

3. YM ini disepakati oleh ilmuan dari pelbagai latarbelakang agama, adalah anak kepada Yafit bin Nuh. Keturunan ini berkembang biak menjadi puak-puak digelar Scythia / Sacae yang berkembang di Asia Tengah. Dikatakan jua Anglo Saxon, Aryan dan beberapa puak di Steppes (padang rumput di bawah Rusia) termasuk Tartar dan Mongol adalah keturunan YM ini.

4. YM telah menyerang peradaban dunia berkali-kali sebelum ini, sejarah mencatatkan seawal 1868 SM yakni sezaman dengan Nabi Yusuf (hal.223) , seterusnya pada 890 SM, 873 SM, 793 ~ 750 SM .... sehinggalah kurun- 13 M di Baghdad. Semuanya telah diberikan peringatan oleh Tuhan melalui ramalan nabi-nabi terdahulu.

5. Cerita (ramalan akhir zaman) selanjutnya oleh penulis adalah sama seperti hadis-hadis Nabi dan beberapa surah dalam Al-Quran yang kita semua boleh cari atau google.



Apa yang aku dapat simpulkan:

1. YM ni dah berkali-kali membuat kerosakkan rupa-rupanya, itu sebab dalam Surah Kahfi diceritakan tentang ZulQarnain (Pemilik Dua Tanduk) yang diminta untuk menyelesaikan masalah penduduk yang sering diganggu oleh YM. Cuma, seperti janji Tuhan melalui hadis-hadis Nabi, di akhir zaman nanti akan ' keluar YM ini dari tempat-tempat yang tinggi' berduyun-duyun dan tak ada sesiapa pun yang berjaya menghalangnya, kecuali doa Nabi Isa.

2. Persoalan siapakah YM akhir zaman masih belum terjawab, sebenarnya. Penulis mungkin mengambil sikap berhati-hati daripada menuduh itu dan ini. Penulis lebih selesa dengan perkara yang sejarah / telah berlaku (tak sampai 20 ms daripada 548 ms menceritakan tentang YM akhir zaman)

3. Keluarnya YM di akhir zaman nanti selepas Dajjal dibunuh. Aku terfikir, kenapa YM ini hanya keluar selepas Dajjal terbunuh? Apa yang Dajjal dah buat kepada YM ini yang menyebabkan mereka semua keluar berduyun-duyun?

4. Di akhir-akhir bab, penulis ada menceritakan beberapa teori tentang YM akhir zaman. Mengikut orang Islam, YM adalah orang kafir yang tak beriman dan kita fahamlah siapa kafir itu. Bagi orang Yahudi dan Kristian, mereka pun mempunyai fikiran yang sama, yakni YM adalah sekelompok manusia yang tak beriman dalam agama mereka a.k.a YM adalah orang Islam! Yang itu tuduh yang ini, yang ini tuduh yang itu... hahaha.

5. Itu sebab, orang barat beria-ia menghancurkan Timur Tengah kerana mereka sepakat mengatakan orang-orang di Timur Tengah adalah keturunan YM! Paksi Kejahatan, seperti kata Bush. Dan kempen mereka bermula dari Pakistan, Afganistan sehinggalah ke Turki!

6. Penulis dan beberapa rujukannya berpendapat, keturunan YM ini turut berkembang di Eropah, termasuk Anglo-Saxon, termasuk British. Oleh kerana U.S.A berasal dari pilgrim British, U.S.A juga adalah YM. Penulis juga berpendapat, YM inilah yang telah sekali lagi menjarah hingga ke Timur dalam bentuk penjajahan dan kolonisasi abad 16 ~ 19 M, termasuklah Melaka dan Asia Tenggara.

7. Orang Barat pula kata, orang Jawa (JAVA) di Indonesia, selain dari Timur Tengah adalah YM akhir zaman! Ini kerana JAVAN adalah sepupu Magog/Makjuj iaitu salah seorang anak Yafit bin Nuh juga. Jadi, mereka meramalkan penduduk Islam Indonesia yang akan menjadi YM dan melakukan kerosakan, memusnahkan peradaban. Kan aku dah kata, yang sana tuduh sini, yang sini tuduh sana.

8. Tapi penulis berhujah mengatakan itu semua pembohongan orientalis Barat dan Evengelis sebab JAVAN itu adalah kaum Yunani purba.

9. Kesimpulannya, tiada jawapan pasti siapakah Yakjuj Makjuj akhir zaman. Aku kena cari lagi nampaknya ni... sebelum aku keluar teori aku sendiri.



Psst: Aku jumpa satu benda.

Dikatakan pada kurun ke 13, orang barbar Mongolia pernah sampai ke semenanjung Malaysia dan ingin menyerang Sumatera dan Jawa, nasib baik China memberi bantuan dengan menghantar 2 gerombolan perajurit perangnya (waktu itu perdagangan China - Jawa telah wujud).

Maknanya, YM versi Mongol ini telah melalui Thailand dan Kedah. Dengan kata lain. mereka dah langgar kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Kedah Tua.

Aku berpendapat, Hikayat Merung Mahawangsa mungkin berkisar juga tentang ini. Terutamanya watak Garuda yang menghancurkan 'orang sekampung'. Apakah Garuda / Geroda itu? Kalau setakat burung, buat apa dia nak pecahkan rumah orang dan bakar rumah orang. Aku syak ini tentu kerja Yakjuj Makjuj juga kerana kebetulan kisah Merung Mahawangsa dan Kerajaan Kedah Tua dikatakan wujud sekitar 1100 M ~ 1300M.






.

Monday, August 10, 2009

Gejala-gejala dunia tanpa sempadan

.


Aku tengok berita pasal selsema al-bab ni dah macam-macam ceritanya. Bermula dari 1 kematian dalam sebulan, 1 kematian dalam seminggu, 1 kematian dalam 2 hari. Lepas tu 1 kematian setiap hari, naik ke 2 kematian sehari. Sekarang ni 6 kematian dalam sehari.

Kalau ikutkan trend, ia jenis jujukan arithmatic. Lebih tepatnya, ianya eksponensial! Mungkin dengan faktor 3 kalau seorang yang dijangkiti berjumpa 6 orang berlainan setiap hari dan kebarangkalian untuk 6 orang tu terjangkit adalah 50% dan setiap orang yang terjangkit ini pula akan bertemu dengan orang lain keesokkan harinya.

Aku biarkan orang lain fikirkan tentang itu.
Aku nak fikir benda lain.




Aku lihat semua ini sebagai petanda. Sebagai peringatan. Untuk itu, pada Ahad lepas aku, Mama dan Paku Payung pergi ke SACC Mall, S.Alam. Dengan berbekalkan topeng Zorro Melayu (topeng kat mulut, bukan kat mata), kami singgah ke MPH.

Masing-masing sambar buku: Mama dengan motivasi dirinya, Paku Payung dengan novellette kanak-kanaknya. Dan aku...?

Aku sambar satu buku tentang akhir zaman. Tentang 'Yakjuj-Makjuj'. Buku karangan seorang pemuda/pensyarah senibina di Indonesia yang menulis buku itu untuk mendapatkan ongkos bagi menjana yuran PhDnya. Bukunya setebal 2 ratus muka surat lebih, mungkin 3 ratus. Aku tertarik dengan teori yang dia cuba ketengahkan dengan dimulakan perbicaraan dari kitab-kitab Yahudi dan Kristian, termasuk The Dead Sea Scrolls. Lagi satu, cara penulisannya adalah akademik / ilmiah dengan setiap fakta disandarkan dengan notakaki dan rujukan silang, bukan seperti sesetengah penulis yang memberi teori tanpa sandaran.

Setakat ini, dia cuba katakan yang Yakjuj dan Makjuj (Gog and Magog) adalah keturunan Yapheit, salah seorang anak Nabi Nuh. Dan ramalan tentangnya, telah pun berlaku dengan serangan Barbar dan Mongol dulu.


Hipothesis aku pula:

Kalaulah ramalan itu telah pun terjadi, maknanya kita perlu strike-through checklist tanda-tanda akhir kiamat. Dan lihat pula apa 'menu' seterusnya. Selepas ini? Kemunculan Al- Mahdi...
(ada kawan cakap, Al-Mahdi dah lahir, umurnya dalam 30-an sekarang ni)

Atau, kalau itu 'Yakjuj-Makjuj' kecil, siapa pula 'Yakjuj-Makjuj' akhir zaman?




Aku baru baca separuh. Mungkin dia ada tulis dalam bab-bab akhir kut.
Nanti, aku bagi rumusan dan pandangan aku.

Aku tengah fikir benda ini sekarang ini...








.

Saturday, August 8, 2009

Tag dari Secangkir Madu Merah

.


Aku dapat award + tag dari Secangkir Madu Merah. Aku dengan rela hati nak jawab, sebab exam aku dah habis... horey! Result cerita lain, ok.


a. Copy award untuk diletakkan dalam blog anda



b. Nyatakan 6 fakta menarik mengenai pemberi award ini

1. Secara luhurnya, aku baru terserempak dengan Secangkir Madu Merah (SCM)

2. Mula-mula, aku salah tulis Secangkir Madu Lebah.. hahaha

3. Aku teka, SCM seorang ibu yang berjaya...

4. Aku juga teka, bukan calang-calang gelang kat tangan dia tu... hehehe

5. Masih berbahasa segan silu dalam blog aku yang rata-ratanya aku asyik kena belasah dengan kawan-kawan lain...

6. Blog SCm cantik, ada bunga-bunga berguguran... seronok tengoknya.


c. Setiap blogger mesti menyatakan 9 fakta/hobi diri sendiri
(apsal banyak sangat nih?)

1. Aku anak didik MARA dari kecik sampai sekarang

2. Jadik, bab-bab hukum hakam Melayu ni aku sensitip sikit

3. Aku anak kampung dan hati masih terpaut dengan kekampungan

4. Aku belajar enjinyor tinggi2 pun ntah kenapa, padahal minat aku pada pertanian

5. Dan ntah kenapa belajor teknikal sedangkan aku minat sastera...

6. Hobi aku? Err....rrr.... baca buku kut

7. Lagi? Err... aku suka fikir yang jauh-jauh...

8. Kadang-kadang, kawan2 kata aku selalu buat lawak advance...

9. Maknanya, melawak hari ini, esok baru boleh gelak... sebab esoknya baru faham! hahaha


d. Pilih 10 orang penerima award dan describe tentang mereka...

Kawan dalam blog ni dah la tak ramai. 10 orang tu mungkin dah kira semua le tu.. hahaha, udah le sikit kawan, nanti dia orang lari pulak tak nak kawan dengan aku.

Tak pe la, aku nak tag Che Det la. Amacam Tun? Asyik dok baca senyap-senyap je... cepat la jawab...


e. Nama timangan - Macam-macam, setiap satu khusus untuk gender dan segmen tertentu..

f. Anda seorang yang? - Sensitif pada persekitaran dan puitis

g. Insan yang teristimewa? - Ibu, Ibu, Ibu, arwah bapa, keluarga dan semua...

h. Lagu kesukaan? - Full spectrum of music, dari Destruction, Slayer, Celtic Frost, Black Sabbath.... Helloween, Iron Maiden, Dio...Megadeth, Trivium, Metallica...RHCP, Search, Wings, Metalasia, MNasir, Sweet Charity.... MUH, Ella..... Siti Nurhaliza, Ning, Misha... Raihan, Rabbani, El Suraya.... Al Mizan (sekarang ni tengah dengar lagu 'Sollatullah' dari Al Mizan.. serius!)... dll.


i. Makanan kesukaan? - Chineese, Japaneese dan masakan kampung (terutamanya gulai lemak umbut kelapa... perrghhhh!)

j. Sikap yang membuat anda stress? - Bila orang buat stress kat aku...

k. Warna kegemaran anda? - Biru (romantik giler!)

l. benda mesti ada dalam beg?
- Duit (sebelum Mama buka mulut, terus hulur... untuk bayar parking) dan IC...

m. Kali terakhir anda menangis? - dah lama dahhhh! Masa abang nak patahkan robot plastik.



Ahhh!... lega dah jawab. Mengalahkan soalan exam aku tadi. Soalan exam tadi pun baru 5 je...





.

Friday, August 7, 2009

Mampukah aku?

.


Begitu kerdil aku
Alam ke tiga memadai ceritakan segala
Maaf Tuhan
Tak tertuai aku tak mampu
Satu tak cukup seratus
Masih satu pun belum terganjak
Maaf Tuhan
Tak tertafsir aku tak mampu


Meniti hari demi hari
Mengukir senyum tawa tanpa isi
Jiwa menguntum nurani mekar
Tanpa mu Tuhan
Mampukah aku?


Dalam serak nafas
tersekat-sekat seolah-olah
Masa mengelus hampir kepadaku
terlihat kelibat seolah-olah
penghancur cita-cita segala
Mampukah aku diamkan
getaran dalam jiwa aku
wahai Tuhan?

Kebimbangan
Ketakutan
Kekalutan
Kesakitan
Mampukah aku tanggung
wahai Tuhan?

Tanpa Mu?







.

Thursday, August 6, 2009

Seperti Zorro menunggang kuda berapi...

.

Entah kenapakah, sama ada semilir yang menganginkan panas atau memang badan aku yang terasa gerahnya. Ataukah mungkin sesuatu membakar dari dalam perut membawa ke dada dan kepala. Lemah sekali aku hari ini. Ada sesapa santau aku ke?

Terasa dada terhimpit. Awal-awal pagi lagi, bernafas terasa tak cukup puas. Jadi, seharian tadi aku pakai gogle mulut dan hidung. Terasa macam penyamun pun ada, macam doktor bedah pun ada.



Tengah hari tadi, aku ke Meru atas urusan kerja dan kerjaya. Bersama rakan-rakan. Lorong Hj Salleh (tapi bukan yang di Chow Kit tu). Aku ambil kesempatan untuk ke belakang premis itu. Aku lihat, ada terbentang sejalur tanah bidang yang berumput segar. Dan aku terlihat beberapa kelibat hitam dalam semak-samun jaluran tanah tiang elektrik bervoltan tinggi milik TNB itu.

Kuda?
'Kuda Malaysia, encik. Kuda bertanduk'

Unicorn? Hahahaa...



Petangnya, aku ke pasar malam, seperti selalu. Nyonya penjual VCD/DVD haram, Pumba yang menari lagu-lagu nasyid, terasa macam nak sepak pun ada. Dan aku ke pasar dengan gaya ala tenuk yang baru keluar kampung. Dengan hidung dan mulut bertopeng.

Tak ramai yang pakai, aku cuma terserempak 2 orang yang memakainya. Seperti selalu, aku terserempak doktor cun, dan selalunya kami akan bertegur sama secara ringkas: Ikan je? Sayur je?

Tapi tadi, aku guna bahasa isyarat. Aku tunjuk beberapa kali ke muka aku dan aku tunjukkan ke muka doktor cun tu.

'Malas nak pakai, lemas lah...'
Auuwww!



Selang beberapa langkah dari doktor cun, seseorang mencuit bahu aku dari belakang. Seorang rakan sekerja tersenyum lihat aku.

'Aiii... pakai sarung muka hari ni?'
Apa, kamu ingat kat bawah je yang kena pakai sarung?

Hahaha...



Sesampai di rumah, Mama sambut plastik-plastik yang melekat pada tangan aku. Dah naik biru jari-jemari mulus aku, darah tak jalan agaknya.

Mama kata, dia dah tempah 2 kotak x 50 helai!!!!

Berapa lama aku nak jadi Zorro ni?




.

Wednesday, August 5, 2009

Shah Alam oh Shah Alam

.


Semasa aku kecik-kecik dulu, aku belajar dalam Ilmu Alam, S.Alam adalah ibu negeri Selangor. Memang gah seperti namanya, tentulah segala pembangunan ada. Paling tidak, seperti PJ atau K.L. Kalau tak, janganlah kata ibu negeri. Segala yang ibu mestilah besar-besar belaka. Penuh lemak dan gebu.



Bila aku berhijrah sekitar 1996 ke S.Alam, aku kaget. Aku rasa macam pekan T.Intan pulak. Bukan! Pekan T.Intan pun ada 2 panggung wayang, ada tempat bermain snuker, tempat minum todi haram dan judi kuda.


Aku hairan, kenapa ibu negeri Selangor ini terlalu cepat tidurnya. Pukul 11pm dah berdengkur. Dan kebanyakkan pokok lebih tinggi dari bangunannya. Kecuali bangunan SUK. Masa tu.


Sekarang. Aku dah faham.


Segala-galanya untuk elakkan dari tragedi lompat tingkap. Kombinasi berjaga lewat malam dan tidur di bangunan tinggi ternyata amat berbahaya kepada mereka-mereka yang kuat mengigau.







.

Tuesday, August 4, 2009

Terbang melayang bak helang

.

Entah bagaimana mana,
angin-angin lembut bercelaru,
dalam baju,
dalam empuk sofa,
aku terbang

14
13
12
11
10
9
8
.
angin-angin mula berbisik,
tentang dosa dan pahala...
.
7
6
5
4
.
.
.

Oh bulan...
dan bintang, kutiplah perca-perca tubuhku
kumpulkan, buat bukti yang aku pernah ada di situ
Pernah hidup, pernah bernafas

Kepada angin,
terima kasih kerana sudi melayangkan aku
seperti layang-layang,
walau seketika.








.

Monday, August 3, 2009

Ditiupkan angin sejuk dari celah ketiak-ketiak mereka...

.


Dua pemuda tergopoh-gopoh memanjat gunung berbatu, dalam gerimis hujan yang belum henti-henti sejak kelmarin, dalam redup matahari dek asap dan kabut, dalam hutan tebal khatulistiwa yang tinggal sejemput janggut kambing itu.

Kedua-duanya terhenti pada satu bonggol batu yang agak besar, di tebing suram gaung dalam, di tubir belebas yang rencam dan tajam, di pinggir kota akropolis, kota yang melonjak dua batang menara kesesatan berbalam-balam.

' I feel cold, bro...'
'Hang on, bro. Are you cold of cold or cold of selsema?'

'Entah lah, bro. Sejuk pun cold, selsema pun cold'
'Mana satu ni bro?'

'Sejuk dan selsema kut'
'Jangan bro, kita ke sini pun sebab nak lari dari selsema H1N1 tu'

'Ramai yang mati, bro. Selsema... merebak dari angin'
'Yeah, cold tu sejuk, cold tu selsema...'



Jauh dalam gunung itu, seorang lelaki sedang menimang tasbih kayu, di dalam gua batu, di dalam sendu uzlah, di dalam sayu melihat dunia kini berubah.

Dicapainya satu kitab hadis akhir zaman, di bacanya. Gemersik alunan suaranya menampar-nampar gegendang telinga dua pemuda itu, begini:

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:- "Sesungguhnya, Allah swt akan mengutus angin (yang lembut) yang datang dari negeri Yaman. Angin itu lebih lembut dari sutera. Ia tidak melalui seseorang yang beriman, walaupun imannya hanya ada sebesar biji sawi kecuali ia akan mematikannya";-( Riwayat Muslim)



'Bro, ada angin sejuk bro. Nafas aku hilang bro...'
'Ah, angin sejuk, cold, selsema, sejuk dan cold... dan selsema...'



Dari segenap kota itu, bertiup angin sakral. Juga pada kedua-duanya. Tubuh mereka hanyut dibawa sejuk angin dan jatuh...

Jauh dalam gunung itu, di dalam gua batu, pemuda yang sedang bertasbih itu turut tersenyum seketika sebelum dia turut rebah, syukur mendapat nikmat angin sejuk dan nyaman itu... pemberian dari Tuhan yang Esa.






.

Simpulan bahasa: tersenyum simpul biawak.

.

Biawak masih bertenggek di urat belikat. Dia punya simpul... perghh!

Nak angkat tangan kanan pun kena mintak kebenaran tangan kiri, ye lah, kalau cubit peha kiri, yang kanan pun terasa juga.

Dan 2-3 hari ini aku menjadi lelaki yang syumul bila ditegur orang. Aku pasti akan menoleh dengan mendadakan sekali ke arah orang itu. Macam leher Bumblebee yang telah karat skrunya. Nasib baik aku lelaki, bolehlah mendadakan orang itu. Kalau perempuan?



Tadi, aku ambik kesempatan ke rumah adik ipar aku. Minta dia sentuh itu-ini, mana-mana yang patut. Sembur itu-ini mana-mana yang patut. Minta urut itu-ini.

Dia punya picit... perghh!
Aku seolah-olah boleh nampak langit ke-7 dibuatnya. Sedara-sedara lain mengekek ketawa. Tak boleh jadi ni. Aku perlu lakukan sesuatu.

Pabila dia picit lagi lengan aku. Serta merta aku berteriak:

'Aduh!

Aku tak nak keluar...! Aku tak nak balik ke kubur!'

Hahaha





Aku pesan kat dia, lain kali kalau ada orang minta tolong, jangan lokek minta upah sebab banyak tenaga yang hilang masa mengurut. Kata orang tua-tua, tenaga tukang urut itu akan meresap ke badan pesakit. Entah ye atau tak, aku tak tau.

Tapi, aku suruh dia minta upah. Paling kurang boleh pekena Kopi Janda!
Kalau tak pun, Kopi Janggut!

Untuk mengembalikan tenaga...







.

Saturday, August 1, 2009

Balada orang yang tersungkur...

.

Dalam suara yang kusam dan serak-serak basah, bebelan menghenti lamunannya. Baju kusam, masam dengan tompok-tompok haram menyelimuti batang nafsu hitam yang terkujur sejak malam semalam. Masih panas muka kusam itu. Hanya muka yang kusam itu masih lagi panas.

Dia mencari warna indah dalam kesuciannya tapi tersentuh cemar dosa dalam keasyikkan itu.

Ini balada seorang yang bermuka kusam dan masih panas dan bergelumang dengan bau haram.

Dia, dan dia itu berdosa, terkunci dalam noda. Orang berdosa. Yang rebah dalam wajah yang suram.


Balada orang berdosa, mencarinya tak perlu singgah mana-mana. Ia hampir. Mampirlah ke sini dan aku tunjukkan siapa dia...


Aku, kamu dan kita semua.... percayalah.







.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com