Friday, February 4, 2011

Gemuruh pagi menyingkap jerih sepasang kaki....

Pagi itu langit masih gelap. Ayam-ayam jantan pun baru mempisat-pisat matanya di dahan pokok. Burung-burung pun baru membetul-betulkan bulu pelepahnya supaya lebih gebu dan lebih hangat untuk anak-anaknya yang masih diulit mimpi. Mimpi tentang ulat gemuk dan buah-buah ranum.


Pagi itu juga, sepasang kaki menyarungkan selipar tatkala angin kuat menampar-nampar dedaunan supaya bangun dari tidur. Angin pagi tak tidur semalaman agaknya, teka tuan punya sepasang kaki yang melangkah pada pagi sejuk itu.


Dada langit Timur mula pecah-pecah, menampakkan belahan cerah kuning dan putih. Merekah dan seakan-akan mahu hancur. Sepasang kaki itu terhenti dari terus menapak. Angin bergemuruh melanggar dedaunan. Cengkerik diam. Ayam-ayam jantan diam tak berkokok. Burung-burung semakin mendekam anak-anaknya.


Langit Timur semakin merekah dan merah mula muncul dari celah-celah awan. Awan yang tersibak oleh angin gemuruh.

'Bila agaknya langit akan runtuh?' Kata ibu jari kanan kepada jiran kirinya. Tak berjawab.

Pagi itu, selipar-selipar mula gawat bercakap sesama mereka. Tentang langit dan tentang angin yang gemuruh. Pokok bunga dan pokok kaduk terkebil-kebil menahan debu pasir yang di bawa angin.


' Yeaaaahaaa....! ' teriak pokok kelapa menyusur angin gemuruh sambil membawa kantung-kantung airnya. Pokok kelapalah yang mula-mula bangun tadi. Seronok bermain angin. Bodoh! Tak seperti yang lain-lain yang risau melihat langit pagi yang merekah dan angin gemuruh yang menderu-deru datang.

' Peduli apa dengan langit, dengan angin. Bukan sekali dua mereka datang...' Pokok kelapa berteriak.


Dada langit Timur semakin membengkak dan rekahannya melepaskan sinar matahari yang kuning keemasan. Cantik. Tetapi, angin masih menderu datang. Sepasang telinga rimas dengan bunyi deru bingit angin. Sepasang tangan memekup telinga itu supaya tenteram.


Ayam-ayam jantan mula turun ke tanah, mula mencari betina mereka yang bersembunyi di dalam reban. Dan cacing-cacing tanah semakin galak berkeriut, menggeliat.

' Agak-agaknya, kita bakal dapat habuan besar kali ini...' kata kepala cacing kepada ekornya.

' Siapa yang akan dikuburkan pada kali ini...? '

Pertanyaan labah-labah kepada angkut-angkut tidak berjawab...

Dan angin terus menderu, menuju ke selatan. Menuju ke Syonan-to...





.

2 comments:

ckLah @xiiinam said...

Siapa yang meninggal Nizam?

Nizam.Ariff said...

Cklah,
Tak tau la cikgu. Angkut-angkut tak nak jawab soklan labah-labah... ahaks

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com