Wednesday, April 25, 2012

Permainan Tradisional: Lawan Lastik Getah

.

Segmen pertama ini aku nak bercerita tentang permainan lastik getah. Dorongan entri ini daripada anak aku yang bila aku tanya dia main apa dengan kawan-kawan, lastik getah tak termasuk dalam senarai pengetahuannya. Bila aku tanya dia sama ada dia berminat atau tidak, dia kata  berminat.

Lagi pun, permainan ini belum disenaraikan dalam Sukan Olimpik, jadi tiada standard peraturan yang dibuat. Oleh itu aku ambil kesempatan di sini untuk membuat garis panduan atau standard piawaian antarabangsa untuk permainan tersebut.

Permainan ini bukan setakat memberikan keseronokkan malahan turut mencergaskan minda dalam beberapa aspek strategi, keyakinan dan pengurusan maruah. Oleh kerana sekarang ini payah kedapatan getah gelang yang berwarna warni yang khas untuk permainan ini maka aku gunakan sahaja getah gelang pasar malam yang sering digunakan untuk membungkus mee-koew teow goreng.





Inilah getah pelastik atau aku panggil 'gundu'. Aku gunakan 3x3+3x3 getah gelang untuk membuat badannya sahaja. Aku terpaksa sambung menjadi panjang kerana getah gelang pasar malam itu lebih kecil. Jika badan 'gundu' pendek, projektil nanti tidak stabil. Jika terlalu panjang pula akan menambah rintangan udara atau 'drag'. Jadi, saiz badan 'gundu' yang sesuai ialah kira-kira 4-5 inci. Ukur lilit badan gundu memainkan peranan besar dari segi kejituan. Saiz yang sesuai lebih kurang sebesar jari hantu yang ditegakkan. Kalau terlalu besar nanti beban bertambah kerana graviti. 'Gundu' meluncur menggunakan tenaga kinetik yang dihasilkan dari tenaga potensi daripada getah itu sendiri, terutamanya 'perambut'nya. Jumlah getah yang digunakan sebagai perambut adalah bergantung juga kepada saiz badan 'gundu' dan beratnya. Nisbah ini perlu ditalakan dengan hati-hati dan terperinci. Rule of Thumb, jika badan 'gundu' menggunakan belitan 3 getah gelang, perambutnya juga 3 getah gelang. Bagaimana untuk membelit badan 'gundu' hingga menjadi begitu? Itu adalah strategi masing-masing. Yang pastinya, bulu kaki pasti terlekat padanya...





Pacakkan 2 tiang seperti di atas dalam jarak 6-8 inci. Kemudian, regangkan satu getah gelang di antara kedua-dua tiang tersebut pada ketinggian kira-kira 2-3 inci daripada permukaan tanah. Kemudian, setiap pemain akan berbincang tentang nilai pertaruhan getah gelang. Jumlah getah gelang yang dipersetujui akan dikumpulkan dan disusun seperti di atas.  Peraturan tradisi permainan mengatakan bahawa pemain perlu menjatuhkan getah-getah ini menggunakan 'gundu'. Jika getah-getah itu jatuh, pemain boleh mengambilnya dan menjadi hak miliknya. Namun jika getah-getah itu jatuh tetapi masih menyentuh tiang atau getah yang masih belum jatuh, pemain tidak boleh mengambilnya. Juga jika ada getah-getah lain yang jatuh tetapi bersentuhan dengan getah tadi. Ini kerana pemain tadi tidak membuat 'clean shot'. Getah-getah yang bersentuhan ini perlu disusunkan semula untuk bidikan pemain seterusnya.




Pemain mana yang mulakan dahulu ditentukan dengan berapa jauh 'gundu' dilemparkan daripada tiang tadi. Pemain yang membaling 'gundu'nya paling jauh akan memulakan permainan. Bermakna pemain ini mempunyai peluang utama untuk mendapatkan getah-getah pertaruhan. Namun, ada risikonya. Jika para pemain ingin mengejar kedudukan pertama, dikhuatiri 'skill' melastik tidak dapat membantunya. Ini akan menutup peluang untuk menang. Jadi, ada elemen risiko yang perlu ditimbang-timbangkan oleh pemain. Mereka perlu muhasabah diri mereka, perlu tahu tahap kemampuan dan semestinya tahu keyakinan terhadap diri sendiri kerana pihak lawan pasti akan cuba mengganggu emosi dan konsentrasi pemain yang sedang membidik getah pertaruhan.





Melastik getah juga ada teknik-tekniknya. Seperti foto di atas, pemain itu menggunakan kekuatan otot kuda-kudanya dengan memindahkan beban kepada otot-otot peha selain daripada merendahkan pusat graviti untuk memberi kesimbangan optimum. Ada juga pemain yang melastik sambil berdiri dengan kaki terkangkang. Pemain begini dianggap seperti koboi yang menembak dari atas kuda yang sedang berlari, kurang sopan dan angkuh. Namun mungkin taktik keangkuhan tersebut bertujuan untuk mengganggu-gugat emosi lawan.


Oleh kerana tidak dinyatakan dalam mana-mana piawai bagaimana 'gundu' itu perlu menjatuhkan getah gelang pertaruhan, anak aku membaling 'gundu' tersebut lalu menjatuhkan kesemua getah gelang pertaruhan... hmmm.. ini dikira aci ke tak aci?






.

17 comments:

Temuk said...

Waduuh! Kompleks juga permainan dulu-dulu ni. Boleh dipopularkan di peringkat sekolah dulu?

sepa said...

banyak la standard piawaian antarabangsa ko.?!

...kesian anak ko, kena layan ko. ko bagi dia
menang, tak.?!

hehehe...

*aku pernah main benda nih. bila menang, aku jual
kat lawan 20gelanggetah seposen. itu jam seposen,
sangat bermakna... :)

Nizam.Ariff said...

Kang Temuk,
itu sebablah aku cuba dokumenkan di sini, mana tau kalau ada budak2 sekolah nak buat folio tentang permainan kanak2 tradisional, boleh la ambil dari sini sikit. Lepas ni nak buat main guli pula... tapi sebelum kena ajarkan anak dulu... dia tak pernah tau teknik2 main guli ni...




Sepa,
aku pun sama dulu.. cumaaaa
aku lah yang membelinya sebab aku asyik kalah memanjang... bidikan aku tak sehebat mereka.. hahaha

tasekM said...

kah kah.

kita kasi aci je la..


.

Nizam.Ariff said...

TM,
anak ko pernah main tak?

tasekM said...

tak pernah la pulak...
jgn kata dia...
aku pun tak pernah main.

:D



.

Nizam.Ariff said...

TM,
aku sarankan ko main dgn dia...
seronok... bulih kira getah sapa yg banyak....

sepa said...

TM mana bulih main game nih. untuk org jantan sahaja.!
kang dia lastik terbalik lepas, boleh kena muka. :p

Fadhilah Maarif said...

budak lelaki selalu main ni..kalau perempuan,main lompat getah..

Nizam.Ariff said...

sepa,
ye ke? jari pompuan lentik sangat kut sampai camtu?




Fadhilah,
sebenarnya, tak perlu guna tenaga pun nak main lastik getah ni. aku rasa orang pompuan pun boleh main...

sepa said...

eh. ko ke sini : http://hasribinhasfa.blogspot.com/2012/04/sand-trap-tank-vs-send-message.html

Nizam.Ariff said...

sepa,
ok..

Sukahatiadam said...

wah.. best best.. terkenang dah memori main menatang getah ni

Nizam.Ariff said...

adam,
ada main tak ni?

Sukahatiadam said...

tentulah main . menang banyak getah , tak tau nak buat apa pula dengan getah tu !

MissNadia said...

menarik.. mohon share yer :D

Nizam.Ariff said...

Missnadia.
Silakan....tapi jgn lupa link ke blog ini sbg kredit.... ;)

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com