Saturday, August 28, 2010

Jelawat dan Lampam ... dan kisah Langsuir kembali segar dalam hujan

.

Sesi Petang pula....


Pukul 3 petang, kami bertolak lagi. Kali ini, kami bertiga pula. Memancing di tempat yang sama, sungai yang sama, tebing yang sama. Tetapi kami berpisah mencari tebing masing-masing untuk labuhkan tali pancing. Tak boleh dekat-dekat kerana ruang memancing agak terhad. Maklumlah.... hutan.


Jadi, jarak antara kami sepelaung jauhnya. Namun, oleh kerana zaman sekarang ini dah canggih, kami berkomunikasi dengan telefon bimbit. Tak payah terpekik terlolong. Lagi pun, hutan macam gitu agak keras. Tak baik terpekik terlolong tanpa sebab yang waras dan wajar.

Sebenarnya, peradaban klasik di Perak banyak bertumpu di sepanjang tebing Sungai Perak kerana sungai itulah 'lebuh raya PLUS' zaman klasik Perak. Jadi, di sepanjang tebing sungai itu banyak kubur-kubur klasik yang tak tau siapa penghuninya.


Dulu, aku pernah memancing sambil duduk di atas batu kubur JWW Birch dan beberapa pengikutnya. Bukan kubur yang di Pasir Salak itu. Itu kubur keduanya setelah dipindahkan. Kubur asalnya ialah berdekatan dengan Teluk Memali, dalam perjalanan ke pekan Kg Gajah. Oleh kerana tebing sungai rebak teruk, jarak gigi air dan kuburnya cuma tinggal tak lebih dari 20 langkah. Harap Kerajaan Perak melalui persatuan sejarahnya memulihara tapak kubur itu.


Oleh kerana ianya hutan, sewaktu dalam perjalanan ke sungai, kami terserempak dengan seekor Babi Hutan. Punyalah besar, aku rasa setinggi anak lembu! Tetapi tak mengapa, kami di dalam kereta. Kami anggap macam bersafari saja. Bayangkan kalau ditangkap dan dibuat babi golek.. perghh... bluekkks!


Pada mulanya cuaca elok, panas walau berangin...


Sesampai sahaja aku di tebing kegemaran aku, aku terus labuhkan umpan. Tak sampai 15 minit, pancing aku diragut kasar. Aku sentap melawan tetapi kekili aku memberikan talinya. Drum kekili aku berputar memberikan tali. Jadi, aku biarkan seketika sehingga dia berhenti. Aku tarik semula tetapi seperti tak berganjak. Aku rasa, ikan itu telah masuk di bawah akar kayu. Aku paksa. Akhirnya, tali pancing aku putus. Aku bergegas mendapatkan abang aku untuk mata pancing yang baru.


Aku labuhkan di tempat yang sama. Dalam 10 minit, tali pancing aku direnggut lagi. Kali ini, aku berjaya menaikkannya. Dan tersembullah Ikan Lampam Jawa di permukaan air.



Rezeki sulung sesi petang...


Kemudian, cuaca tidak menyebelahi kami. Guruh berdentum. Hujan mulai turun lebih kurang jam 5pm. Suasana hutan menjadi semakin gelap. Rintik hujan mulai kasar. Biasanya kalau hari hujan, ikan tak akan makan umpan. Tetapi, aku tak boleh berbuat apa-apa selain menungggu abang-abang aku. Jadi, aku dongak ke atas untuk mencari pelepah kelapa sawit yang padat supaya aku berdiri di bawahnya dan mengelakkan diri dari basah teruk, kononnya.



Hujan semakin lebat, rintik menjadi lebih kasar disertai angin kuat. Aku bertahan dengan batang tubuh aku sahaja. Suasana memang gelap. Aku tak bawak payung. Aku gunakan daun keladi untuk menutup kepala aku sahaja. Air mulai meresap keseluruh tubuh. Aku takut telefon bimbit aku meletup dimasuki air. Jadi, aku gunakan daun keladi kecil untuk membalutnya. Daun keladi kalis air.


Hujan mulai lebat...aku hanya tercegat dan basah


Akhirnya, aku basah kuyup juga di dalam hutan itu. Suasana semakin gelap. Sehingga pukul 6.15pm hujan belum lagi bersidang. Macam-macam fikiran buruk menerpa minda. Tetapi aku katakan dalam hati aku, bulan puasa hantu setan kena gari. Padahal, tak jauh di belakang aku ada sebatang pokok kekabu sebesar 2 pemeluk dewasa yang telah patah dua dipanah petir. Kira-kira 3-4 tahun lepas, abang aku dan seorang rakannya pernah disakat oleh seekor Langsuir di situ.


Oleh itu, aku terfikir untuk mengambil gambar menggunakan telefon bimbit aku. Aku terpaksa gunakan 'night mode' kerana keadaan semakin gelap. Mana tau kalau-kalau ada nampak 'apa-apa'. Cuba-cubalah intai gambar dibawah ini:


Night Mode 'on'... di belakang kiri aku, ada nampak apa-apa?

Night mode 'on'... di belakang kanan aku, ada apa-apa tak?



Bila hujan mulai reda dan ribut pun menipis, aku ambil pancing aku dan aku pergi ke hilir untuk mencari abang aku. Bila sampai, aku lihat dia menggigil kesejukan dan tangannya memegang 3 helai daun keladi yang dibuatnya seperti payung. Aku tanya dia, dimana abang aku seorang lagi? Dia kata jauh di hilir lagi. Aku sahut nama abang aku seperti lotong. Terpaksa jadi lotong sebab takut telefon bimbit dimasuki air hujan. Nasib baik sahutan aku tak disambut oleh Babi Hutan tadi...


Dalam pukul 6.30pm, kami pun berangkat pulang...


Dan hasil tangkapan kami dari sesi pagi dan petang, kami goreng dan kami buat Sambal Santan stail Jawa.... ada cekur.

Bersambung nanti...




.

2 comments:

aza ni said...

salam zam
nampak pokok ....ada baiknya kau bulatkan kawasan yang ber"penghuni "tu...

Nizam.Ariff said...

Azani,
Aku tak nampak apa-apa pun.. camner aku nak bulatkan? hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com