Sunday, February 27, 2011

PRK Merlimau

.

Terhegeh-hegeh Jidin G-Pang tongkatkan motor, tanggalkan selipar. Tok Ketua dah lenguh ketiak melambai-lambai suruh Jidin G-Pang masuk ke dewan cepat-cepat. Dia kena jadi saksi untuk berbincang, kena cukup korum.

Di luar sana, jengkaut dan buldoza kelam-kelibut korek tanah, kambus tanah. Tapi orang kampung suka. Rezeki sepenggal sekali. Cuma kali ni rezeki lebih sikit.


" apa pasal calon-calon ni semua dah pencen-pencen? " pegawai tu tanya.

" sebab....errr...." Tok Ketua terhenti

" ...tak payah tunggu lama-lama nak dapat lampu baru, jalan baru, turap semula, paip air... " sambung Jidin G-Pang.


Bernas juga kepala budak ni, kata Tok Ketua dalam hati.






.

Saturday, February 26, 2011

Man Lilau, siang berjeans biru, malam berbaju kundang...

.

Terketar-ketar Man Llilau menyusun langkah, takut nanti kakinya tergelincir dari titi batang pinang yang separa reput itu. Matanya berpinar-pinar. Tapi Man Lilau suka begitu. Memang dia suka kalau matanya berpinar-pinar begitu, kalau kepalanya ringan ala-ala kapas diterbangkan segugus angin begitu. Setiap kali matanya berpusing-pusing, sekali itulah dia akan terkekeh-kekeh ketawa. parit yang dia mahu seberangi itu bukanlah lebar sangat. Kalau anjing melompat pun boleh lepas ke seberang sana. Kalau tersangkut pun mungkin ekornya yang mencecah air yang penuh dengan teratai dan keladi bunting itu. Man Lilau terkekeh-kekeh ketawa lagi. Maknanya, 'ubat mujarobat' memang mujarab, memang serasi dengannya. Tak perlu ubat cap kaki tiga campur panadol lagi.


Man Lilau depangkan tangan untuk imbangkan badan. Lengan-lengannya penuh dengan ruam-ruam kecil yang merah-merah. Bila orang kampung tanya, Man Lilau kata, " nyamuk hidung besi yang geget....". Kemudian, mulut orang kampung melopong, " ..Ooooo.." tanda faham akan maksudnya.


Memang faham pun kalau matanya yang sekejap terpejam sebelah kanan, sekejap terpejam sebelah kiri. Bila orang tanya lagi, Man Lilau kata, "... silau sangat bulan tu...". Seperti biasa, mulut orang kampung melopong , "... Ooooo....".


Terasa seperti setahun nak melintas titi pinang batang kembar dua itu. Seperti meniti Titian Sirat, getus hatinya. Serta merta dia terasa kecut perut. Seperti meniti titian usang, cepat-cepat Man Lilau tukar. Dia susun langkahnya berhati-hati sampaikan:

Memijak umpama kucing mengendap
Mengangkang umpama kuda berlari
Telapak kaki umpama teritip tanjung
Tangan umpama orang-orangan



Syahdan, kesekian lama maka sampailah Man Lilau ke seberang sana.

Legaaaa..., getus hatinya. Dia terus melangkah di jalan tar sempit itu. Pokok pisang melambai-lambai ditiup angin di kanan dan kiri kebun entah siapa-siapa.

" Nak ke mana Man ?" tanya Jidin G-Pang.
Asap berkepul-kepul keluar dari muncung ekzos motornya, macam naga menyalai daging.

" Aku nak pergi mengundi" ringkas.


Man Lilau biarkan Jidin G-Pang berlalu. Dia tak perlu tumpang untuk mengundi. Dia lebih suka dibelai angin yang berhembus dari celah-celah daun pisang. Dia suka lihat daun pisang yang melambai-lambai. Ada juga dia terdetik nak jual pisang entah-siapa-punya itu, boleh juga dibuat modal untuk beli 'ubat mujarobat'. Kalau tak pun, kopi cula rusa jantan secawan pun bagus juga. Tapi, dia tolak jauh-jauh ke sudut hati. Aku tekad untuk berubah, getus hatinya lagi. Mulakan dengan mengundi. Dia nak tandakan 'X' mana yang dia tak suka, dia nak tandakan 'right' mana yang dia suka.


Man Lilau terasa penat. Jauh sangat nak pergi ke tempat buang undi. Selalunya ada Saga atau Wira yang tumpangkan orang mengundi ke sana. Tapi sebelum itu, kena jolok dulu Kad Pengenalan. Itu yang Man Lilau tak ada. Hilang entah ke mana. Tapi Man Lilau tak kisah, yang penting hatinya ikhlas nak undi.


Bila dia dah penat berjalan, dia duduk dulu di bahu jalan. Bila dah penat duduk, dia baring terlentang pula.

Ahh.. sudahhh..! getus hatinya dengan nada cemas.

Sejak bila Ayu Jannah pakai sepasang sayap putih? Man Lilau panik.

Di atas sana, perlahan-lahan satu figura putih bersayap turun dari langit biru. Man Lilau kecilkan mata. Dia lindungkan matanya dengan tapak tangan. Tak percaya.

Sejak bila Ayu Jannah dapat semula sayap-sayapnya? Betulkah itu Ayu Jannah..? Man Lilau semakin panik...


" tak jadi mengundilah aku nampak gayanya..!!! " Jerit Man Lilau macam nak terkeluar halkum. Habis rosak karekter Ayu Jannah yang suci itu... cis! Man Lilau memengkis kuat. Maka, dibuat orang menyanyi:

Burung Merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan


Sila klik...





.

Jengkaut bergesel jengkaut....

.
Melaka Maju, Merlimau Maju


Jaapor bangga bila baca kain rentang yang diikatkan pada pokok kelapa dan pokok mempelam air. Di bawah kain rentang itu ialah jalan bertar kecil yang biasa dilaluinya. Dia pelik. Dulu jalan bertar tu sempit. Selebar kereta kancil, nak berselisih pun macam tak lepas. Kena undur masuk laman orang.

" Betul ke ini jalan masuk kampung kite ? "
" Eh, betul lee... " Jidin menepuk-nepuk bahu Jaapor.

" Apa pasal aku tengok lebau benau...?"
" Dia orang dah tebas semak. Habis semua ulau melompat keluau...lebau le jadinye"


Jaapor bangga bila jalan bertar sempitnya jadi lebau!
Dia bangga bila lampu jalan tersangkut setiap tiang letrik, hatta kalau boleh, atas pucuk kelapa sekalipun.

Dia bangga bila ramai orang tekan hon kereta sambil angkat tangan, walau entah siapa-siapa. Tak kenal pun. Orang luau, kata Jidin.

Jaapor juga bangga, sebulan ini pekan kecilnya meriah dengan entah siapa-siapa. Helikopter berlegar sana-sini. Projek itu, projek ini. Korek sana, kambus sini.


" sampaikan buldoza dengan buldoza pun boleh eksiden..."  kata Jidin.


Punya le sibuk sebulan ni...





.

Friday, February 25, 2011

Jangan mulakan harimu begini...

Jangan mulakan pagimu dengan sesuatu yang bakal kamu kesali sepanjang hari itu...


Pagi tadi, bila aku bersiap-siap untuk pergi kerja, aku dapati ada beberapa buku ensyclopedia berterabur di atas lantai. Oleh kerana aku masuk tidur awal, aku pasti Ariff yang lakukan itu. Telah berkali-kali aku pesan padanya, kalau sudah habis baca sila letak balik ke tempat asal. Atau sekurang-kurangnya, letakkan di atas meja.

Aku tanya dia, kenapa tak letak semula? Tiada jawapan, hanya pandangan kosong. Aku katakan lagi, kalau malas nak letak semula, jangan baca buku-buku itu semua.

Pagi ini, aku baru teringat, hari ini adalah hari lahirnya....


Ya, memang tiada kaitan hari lahirnya dengan masalah disiplinnya tetapi aku telah mulakan harinya dengan tanpa mengucapkan selamat hari lahir dan berdoa untuknya.

Sebaliknya, marah....



Lagu: Khabar Buat Teman
Nyanyian: Ebiet G.Ade
Key: D

D                           A                                       D    
Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
Em                     A                                      D
Sayangnya kau tak duduk disampingku kawan
D                           A                                       D      
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Em               A                     D      
di tanah kering berbatuan

 D                                           A                             D    
Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
 Em              A                            Dhati tergetar menampak kering redup bulan
D                                    A              D
perjalanan ini seperti jadi saksi
Em              A                          G          D
gembala kecil menangis sedih

A                               G                           D
Kawan coba dengar apa jawabnya
A                     G                      D
ketika kutanya mengapa?
A                     G                        D
bapak ibunya telah lama mati
A                     G                     D
ditelan bencana tanah ini

G                                           D                              
Sesampainya di laut kukhabarkan semuanya
Em                                        A                                D
Kepada karang, kepada ombak, kepada matahari
G
tetapi semua diam
D
tetapi semua bisu
Em                                          A
tinggal aku sendiri terpaku menatap langit

D
Barangkali di sana ada jawabnya
A
mengapa di tanahku terjadi bencana
G                                                        D
mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Em                                                        A
yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
G                                                          D
atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Em                      A                               G                           D
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang




.

Thursday, February 24, 2011

Bicara tentang Takdir....

.

Dijerap sedikit dari kitab 'Sirru Asrar' karangan Sayyid Syeikh Abdul Qadir Jalani, tentang qada' dan qadar.


Seperti mana yang saya fahami dalam kitab tersebut, begini [betulkan jika salah]:

1. Tiada yang menafikan bahawa perancangan Allah adalah halus dan tersembunyi. Hanya Dia yang mengetahui apa yang telah, sedang dan akan berlaku, sehinggakan 'Maha Mengetahui daun yang mana akan gugur dalam hutan belantara'.

2. Setiap perbuatan adalah hasil dari sifat-sifatNya, dalam diri kita, sama ada rela atau tidak, sedar atau tidak, kita melakukan atas kehendakNya, sehinggakan 'Kamu memikir bahawa kamu yang membunuhnya, sedangkan tidak, malah Akulah yang membunuhnya. Kamu fikir kamu yang melontarkan pasir, sebenarnya Akulah yang melontarnya'.

3. Qada' dan qadar adalah satu rahsia besar daripada al QudratNya. Membicarakan rahsia ini, yang tidak terjangkau oleh kita, hampir boleh menggelincirkan kita. Maka, ditakuti dengan membicarakan hal-hal halus dan rahsia ini kita menjadi golongan ZINDIK.

4. Salah satu kegelinciran ialah berlakunya patah semangat dan meletakkan semua kesalahan kepada penciptaNya, walaupun itulah ketentuanNya, sedangkan itu adalah kesalahan yang besar. Sebagaimana dalam satu riwayat '.. ketika Allah menyuruh Iblis tunduk dan sujud kepada Adam, dia enggan. Apabila ditanyai mengapa? Ia lalu menjawab "Bukankah itu takdirMu juga?" Maka Iblis disingkirkan...'

5. Satu riwayat lain pula, apabila melihat penghulu mereka disingkir, maka menangislah para malaikat. Apabila ditanyai mengapa, mereka menjawab '...alangkah dahsyatnya permainan/tipu dayaMu sehinggakan kami amat takut dan merasa tidak selamat'. Maka jawabNya ' Memang. Maka jadilah kamu semua tidak pernah selamat dari permainan/tipu dayaKu'. Dialah Maha Raja yang mampu berbuat apa-apa sahaja kepada kita, baik atau celaka.

6. Oleh kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku, maka haruslah kita berharap yang baik dan berusaha kepada terbaik diantara keduanya. Oleh kerana kita Ahli Sunnah wal Jamaah, dalam satu kitab lain karya Syeikh Abdur Rauf al Fansuri, jikalau kita punyai pilihan, maka WAJIB bagi kita memilih yang terbaik. Soal hasil adalah ketentuanNya.


Maka, qada' dan qadar adalah perkara halus dan adalah satu rahsiaNya. Tak perlulah membicarakannya terlalu mendalam.





.

Wednesday, February 23, 2011

Putus asa putus harap, sila baca senyap-senyap...kalau tak kena babab.

.

Oleh Abdullah bin Mas'ud r.a ada tersebut dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim:

" Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya di dalam kandungan ibu berupa setitis air mani selama empat puluh hari, kemudian menjadi darah yang beku selama empat puluh hari pula, kemudian menjadi segumpal daging selama itu pula. Kemudian Allah mengutus malaikat kepadanya, meniupkan roh baginya dan memerintahkan menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalannya dan kesudahannya, sebagai orang sengsara atau bahagia...."


Ini yang biasa kita dengar, tentang 4 perkara yang ditulis sebelum kita lahir ke dunia. Ada juga yang dah hafal. Dan ada juga yang salah-gunakan di atas dengan meletakkan salah pada takdir.



Sebenarnya, ada sambungan kepada hadis tersebut yang kita mungkin jarang-jarang dengar...

 
" ... Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli syurga hingga jarak antaranya dengan syurga itu hanya sehasta, tapi ia didahului oleh suratan takdirnya dan ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka hingga jarak di antaranya dengan neraka itu hanya sehasta,namun ia didahului oleh takdirnya dan ia pun beramal dengan amalan ahli syurga,sehingga masuklah dia ke dalam syurga."


Inilah amaran kepada mereka-mereka yang terlalu taksub dengan amal ibadah atau kebajikan, sehinggakan mereka rasa mereka selamat dan terlalu pasti untuk ke Syurga. Juga harapan mereka-mereka untuk kembali ke pangkal jalan.


Ramai yang berputus asa apabila membaca sambungan hadis itu. Diriwayatkan, ramai para sahabat menangis bila mendengarkannya. Maka, sesungguhnya mereka itu tidaklah dapat lari dari ancaman Tuhan, tidak dapat lari dari percaturan Tuhan. Sentiasalah takut padaNya.


Bagaimanakah kita pula?
Soalan yang boleh makan selipar jepun gamaknya...





.

Tentang Kematian .... untuk ahlinya

Mari kita bercerita tentang mati pula. Saja nak anti-klimaks. Saja nak ingat tentang mati. Saja-saja. Sebagai ilmu pengetahuan sahaja dan jangan mengia atau menidakkannya sebab ini diceritakan UNTUK mereka yang 'ahlinya', sepertimana yang dicatat dalam manuskrip itu. Aku sekadar bercerita sahaja. Begini ceritanya...

.......................

Seperti yang diterjemahkan (dari arab-jawi ke rumi) oleh Hj. Wan Muhammad Shaghir Abdullah
(Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara Jilid 1 -perpustakaan negara Malaysia ISBN 983-9701-02-9), yang ditulisnya " ... berdasarkan maklumat yang terdapat pada akhir risalah yang pertama, dari sebuah manuskrip yang saya temukan di Kota Bharu, Kelantan (1 Syawal 1409H)". Berikut ini cerita dari beliau:


Didalam manuskrip itu terdapat 3 judul, tetapi kesemuanya tidak diketahui nama judul dengan pasti dan jelas. Buat sementara, ketiga-tiga judul itu disatukan sahaja, iaitu berasal dari kalimat "Dipindahkan kitab ini daripada kitab yang bernama Otak Ilmu Tasawuf". Dapat diketahui bahawa kitab tersebut adalah karangan  Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Sedutan kitab karya Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri mengenai alamat ketika mati:

" Maka ketahuilah olehmu, bahawasanya tatkala mati itu datang alamat kepada kamu enam perkara:

Pertama: 
Bahawa keluar ia daripada diri kamu suatu cahaya, warnanya seperti embun. Maka jadi embun itu seperti awan yang putih, dan di dalamnya seperti rupa kita. Dan pakaiannya kuning. Dan tubuhnya putih. Berkata ia seperti perkataan segala Nabi, maka jangan engkau percahaya (percaya) di dalamnya.

Dan kedua: 
Bahawa keluar ia daripada diri kamu suatu cahaya, warnanya hijau. Dan di dalamnya hayat kita. Rupanya seperti Burung Tiran, maka jadi seperti khuldi. Maka berkata ia, "Akulah Buraq". Maka jangan engkau percahaya (percaya) di dalamnya.

Dan ketiga, perkara: 
Bahawa datang kepadamu seorang laki-laki terlebih baik. Rupanya api. Dan keluar daripada telinganya api. Maka jangan engkau hairan di dalamnya.

Dan keempat, perkara:
Datang kepadamu malam gelap, maka timbul cahaya seperti cermin,di dalamnya Durratul Baidha' yakni permata gilang gemilang, dan cahaya di dalamnya seperti rupa Nabi. Maka sucikanlah hati kamu pada ketika itu, maka wajiblah berpesan, dan ketahuilah olehmu
bahawasanya engkau hampir akan mati. Maka janganlah engkau syak lagi di dalamnya.

Dan kelima, perkara: 
Bahawa datang kepada kamu suatu cahaya sepohon kayu berdiri ia di bawah Arasy, datang ia kepada hadapan kamu. Dan di dalamnya Malaikat. Ketahuilah olehmu, bahawasanya hampirlah engkau akan mati. Maka janganlah engkau syak lagi di dalamnya.

Dan keenam, perkara:
Datang kepadamu suatu cahaya yang seperti sehelai rambut, maka berdiri ia pada dahi kamu, seketika itu datanglah Malaikat duduk ia atas kananmu. Maka berkata ia, "sejahteralah atas kamu wahai Wali Allah ! Bermula Allah Ta'ala menyuruh mewahyukan salam kepadamu".

Maka jawab kita," Atas kamupun sejahtera. Dan daripada Allah sejahtera dan kepadaNya jua
kembali sejahtera
".

Maka kemudian nur yang kecil itu masuk ia ke dalam cahaya mata,maka masuklah ia kepada urat. Kemudian maka beredarlah ia kepada ubun-ubun kepala, dan itulah yang bernama Baitul Makmur, hingga nyawa kamu naiklah ia atasnya.Kemudian maka masuklah di dalam maqamnya. Maka mengucaplah hatimu pada ketika itu. Maka matilah kita.

Maka (selepas itu) keluarlah cahaya yang kecil seperti sehelai rambut, maka (selepas itu)
terlebih besar tiadalah dapat dirupakan lagi terlebih cahaya matahari dan bulan (cahaya itu tak
dapat digambarkan lagi dan melebihi cahaya matahari dan bulan: nizam.ariff).

Dibuka pintu langit, maka lintaslah ia kepada Arasy, hingga sampai nyawa kamu ke hadhrat Tuhannya. Maka melihat akan Tuhannya. Firman Allah Ta'ala,"menilik bagi Allah,dan kepada Allah jua kembali amanahnya".

Maka pulanglah bayang-bayang itu kepada yang empunya dia, dan pulanglah buah itu kepada air. Bermula Allah jua mencuba kita kepada jalan yang betul."



...............

Pada awalnya, aku teragak-agak nak sebarkan kisah ini sebab ada pesanan daripada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri pada akhir manuskrip tersebut :

" Maka berkata Syeikhku dan ikutanku dan perpeganganku kepada Allah,"Maka
jangan engkau zahirkan rahsia ini, habaya-habaya melainkan ahlinya". Demi Allah dan Kalam Allah, maka jangan kamu, yakni jangan kamu serahkan seperti yang disuruhkan oleh penghuluku Tuan Syeikh Ibrahim namanya, Kurani nama negerinya, duduk di dalam Madinah negeri Rasulullah Shallallahu 'alai wa Sallam"
.

Proses kematian seperti yang didalam manuskrip ini adalah untuk 'ahli'nya, yakni untuk mereka yang 'kewalian'. Aku, kau dan kita mungkin berbeza.





.

Monday, February 21, 2011

...dan gunung jatuh ke laut, kau tetap kucinta

.
'Kalau semua gunung diratakan dan ditolak ke dalam laut, boleh tak semua laut tertimbus?'



Setinggi-tinggi gunung masih boleh dilihat dengan mata. Sedalam-dalam lautan, tiada siapa yang tahu. Itu juga benar dari segi konsep ilmu jika kita ambil kira betapa tohornya kefahaman kita untuk memahami peranan laut.

Jika gunung-ganang diratakan dan ditolak ke laut, bukan sahaja laut akan kering malah bumi ini akan kontang. Itu pun jika gunung-ganang itu cukup untuk menutup laut. Aku sangsi akan itu kerana laut itu penuh ilmu yang maha dalam. Sebongkak mana pun gunung itu, pasti akan terhakis egonya dek ombak yang kecil, yang konsisten dan persisten.

Dan lihatlah di tebing itu.




Bukankah mereka itu saling bekerjasama memberi kehidupan kepada kita?

Tanpa laut, tiada titis air yang ditiup angin dan tanpa gunung titis air tidak akan tertolak ke langit sejuk untuk menjadi awan dan hujan.

Hujan untuk kita.


Hujan oh hujan, kenapa engkau turun?
Macam mana aku tak turun, katak panggil aku...

Itu yang kita boleh nampak. Yang kita tak nampak?
Jangan diduga/dicabar laut yang luas. Ayu Jannah juga tewas dan lemas...



Di sinilah
Apabila nyata mula mendakap sukma
resah pula berselangkan rindu
Ketahuilah
inilah perjalanannya yang akhir.

Di sinilah
Apabila nyata cinta mula menjelma
rindu dan perindu pun bersatu
Ketahuilah
perjalanannya pun berakhir.



.

Sunday, February 20, 2011

Beli melalui tingkap...

Sepasang suami isteri sedang berjalan melintasi deretan kedai-kedai di dalam pusat beli-belah. Tiba-tiba si isteri menarik lengan suaminya untuk masuk ke salah satu kedai di situ. Si suami bertanya kepada isterinya, apa yang dicarinya? Si isteri menjawab, tak tahu lagi dan mahu lihat dulu. Satu situasi yang berbahaya bagi mereka berdua.




Gambar dari planetperplex.com



Bagi seorang jurujual yang pandai, dia mampu meklasifikasikan bakal pembeli dan mampu memilih strategi untuk 'mengambil' wang dari poketnya.


Ada pengguna yang tahu apa yang nak dibeli dan faham mengapa dia perlu beli. Dia dah buat keputusan sebelum keluar dari rumah lagi. Bila di sampai ke kedai, dia terus masuk dan terus tawar menawar harga. Biasanya, orang ini dah selidik dan ada maklumat, bukan sahaja tentang barang itu, juga tentang mengapa dia perlu beli. Tak banyak penjual boleh buat selain daripada bermain dengan tawaran harga dan servis yang baik.

Ada juga yang tahu apa yang nak dibeli tapi tak pasti kenapa dia perlu beli. Mungkin sebab kawan-kawan dah ramai yang beli/pakai. Mungkin sebab ego, juga mungkin terbiasa tengok orang lain beli, dia pun nak beli padahal ia mungkin bukan keperluannya pun.


Ada juga yang tak tahu apa yang nak dibeli tapi faham mengapa dia kena beli. Kalau begini, penjual sepatutnya berikan beberapa cadangan pilihan / options. Aku pernah alaminya apabila berpindah rumah dan aku tak tahu apa yang bagus untuk ruang tamu yang kecil ini tetapi aku tahu ruang tamu yang sekangkang kera itu perlukan set tempat duduk yang boleh aku guna untuk layan tetamu dan buat kerja rumah. Aku akan minta pandangan beberapa orang termasuk jurual sebelum aku menilai praktikalitinya.


Dan yang paling bahaya ialah tak tau apa yang nak dibeli dan tak faham mengapa dia perlu beli. Ini belian impulsif. Keputusan untuk membeli adalah pada ketika itu dan pengaruh persekitaran ketika itu. Ini yang jenis masuk hypermarket nak beli sabun mandi tapi keluar dengan satu troli penuh entah apa-apa barangnya.


Aku pelik ada orang masuk ke kedai atau singgah di 'sale booth' sedangkan bila ditanya nak beli apa, jawapannya ' tak tahu lagi, nak tengok-tengok dulu apa yang ada...'



Jurujual yang pandai akan perasan orang yang macam ini apabila dia lihat orang itu masuk bermacam-macam kedai, kejap masuk kedai kasut, lepas tu keluar masuk kedai baju, lepas tu masuk kedai elektrik... Kalaulah jurujual itu perasan, habis dia 'promote' macam-macam.

Kalau aku ada dalam situasi begitu, aku akan berdoa dalam hati supaya kunjungan itu berakhir sekadar 'window shopping'.






Perhatian: aku tak kata window shopping itu tak bagus. Ianya bagus kerana itu juga salah satu proses untuk mendapatkan maklumat barang dan situasi pasaran. Tapi janganlah 'window shopping' itu disalah guna. Ada juga kes orang yang jenis kalau dah masuk ke pasaraya, tak boleh keluar tangan kosong. Semacam satu pantang pula. Mesti beli sesuatu.


Notakaki:
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang mentari pada Ayu Jannah, ini ada cerita tentangnya di sini...




.

Ayu Jannah...

.


'Jikalau telah tiba waktu yang telah dijanjikan itu, cepatlah anugerahkan sepasang sayap putih untuk Ayu terbang ke langit....' Ayu tadahkan kedua-dua tangannya.

'Dengan sepasang sayap putih itu nanti, Ayu mahu menjadi Malaikat... semula'






Cerita lara Ayu ada di sini...







.

Saturday, February 19, 2011

Hainan versus Hailam

.

Arwah bapak aku pernah ceritakan tentang satu kedai makan yang terkenal dengan kopi Hailam. Katanya, kopi Hailam memang pekat dan 'power'. Ok, bapak aku tak sebut 'power' sebab perkataan tu terlalu berunsurkan 'rock' baginya. Tapi, itulah yang aku 'tangkap' dari maksud dia itu.


Katanya lagi, ramai orang kampung akan datang minum kopi Hailam dan roti bakarnya. Roti bakarnya dibakar atas arang, maka roti itu berbau asap agaknyalah, 'smoked toast' mungkin. Kedai milik Cina ni bersih dan dia orang tak masak benda-benda najis sebab kedai mereka ada dalam masyarakat Melayu. Kira-kira restoran Cina 'halallan-toyyibah' pertama di Malaya kut. Aku kata Malaya dan bukan Malaysia sebab ceritanya ini dalam era sebelum Singapura merdeka. Tapi Todak dah pernah langgar Singapura.


Hujung minggu lalu aku sempat singgah di sebuah restoran Cina terkenal di Tg. Malim, dekat simpang empat yang itu. Aku pesan Mee Hainan.


Bila dah separuh pinggan baru aku perasankan sesuatu, Mee Hainan tu kuahnya berkicap, yang macam biasa-biasa aku pesan dulu-dulu tetapi namanya sedikit lain. Dulu, aku biasa pesan Mee Hailam. Aku jadi mosykil, Mee Hainan tu samakah dengan Mee Hailam yang orang Melayu selalu masak?




Dan bila lihat kopinya yang pekat itulah aku teringatkan cerita arwah bapak aku tentang Hailam.




Lihat cawan kopi tu. Dah merekah-rekah. Dah retak seribu.
Tapi, yang merekah dan retak seribu itulah juga yang 'ummphh'... antik.

Rasanya lebih sedap walau kopinya biasa-biasa sahaja, kopinya tetap sama hitamnya.






.

Friday, February 18, 2011

Sekolah penuh berasmara...

.


" Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai sehingga terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2. SK Ulu Lubai, 55 kilometer dari bandar Limbang adalah sekolah terakhir di hulu Sungai Lubai, sebagai antara sekolah terbaik pada 1992 dengan merekodkan kelulusan 100 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).  Paling manis apabila seorang murid meraih 5A dalam UPSR pada 2005 dan inilah kejayaan pertama sekolah ini dalam tempoh 41 tahun sejak dibuka pada 1964...  "

- Dipetik dari MyMetro.




Agak-agaknya, ada tak sekolah menengah di Ulu Lubai?

Aku nak hantar Ariff sekolah di sanalah.
MRSM atau Sekolah Sains ... dah tak nak main dengan dia oranglah.


Di sana ada sungai tak?
Boleh juga aku memancing sambil-sambil tunggu Ariff habis sekolah...







.

Thursday, February 17, 2011

Lu pergilah... Anjing.!!! Oh... inikah hidup ini?

.

Kata sesetengah orang kalau mahu lihat erti hidup yang sebenar, pergilah ke lorong-lorong belakang, pasti kita akan ketemui 2/3 daripadanya.1/3 lagi, sangkutkan mata-matamu pada birai tingkap Nako di bangunan-bangunan tinggi melangit. Manakala selain daripada itu adalah bayang-bayang, semua adalah mimpi enak.


Aku susun langkah kaki ke lorong belakang itu, berderap bunyi cawan jatuh dan pinggan plastik yang kotor bersepah-sepah di lantai lorong. Nyaris kari ayam dan babi panggang kena pada aku, najis! Apa yang digaduhkan sepasang Cina tua itu? Entahlah, aku mahu tahu tapi aku tak mahu ambil peduli. Aku tercangak-cangak. Bau busuk air longkang yang hitam tersebar ditiup segugus angin, pekat menusuk lubang hidung.

' Lu apa mau? Lu pergi..... ANJING !!!'


Aku berundur. Aku lemparkan senyum tawar tanda mahu bersaudara. Sambil itu, aku masih tertanya-tanya, apa yang digaduhkan tadi. Aku kerutkan dahi aku seolah-olah meminta lelaki Cina separuh abad berikan jawapannya.

' Syooh..! Syoohhhhh.. Lu memang sial ...!!'


Baiklah, aku pergi dari situ bukan kerana amarahnya. Aku tak takut dengan marahnya tetapi dek bau masam arak yang keluar dari mulutnya. Najis! Aku teruskan langkah aku sehingga ke hujung lorong.


Di sepanjang lorong itu aku jumpa lelaki-lelaki terbongkok-bongkok menjadi doktor peribadi, aku lihat melati putih yang sebenarnya hitam warna kelopaknya, aku lihat kepura-puraan diteguk dengan rakus dan ketawa yang kasar-kasar, aku lihat dosa-dosa menjadi baju kurung dan selendang yang cantik-cantik warnanya, aku juga lihat kejujuran dan ikhlas pada helaian kertas suratkhabar lama membaluti daging-daging busuk. Kejujuran dan keikhlasan apa kalau begitu?


Di seberang jalan di hujung lorong itu ada sebuah taman dengan rumput yang hijau dan indah. Cantik. Kanak-kanak riang bermain, berlari-lari ke sana-sini. Manakala si ibu dan bapanya termenung panjang melangak ke dada langit putih yang disebaliknya hitam sebenarnya.


Mereka melangak sambil berkerut-kerut dahinya, memikirkan muslihat apa lagi, memikirkan tipu-daya bagaimana lagi, memikirkan cirit dan tahi apa lagi yang mahu dilemparkan. Demi wang. Demi keluarga. Bukan! Demi wang sebenarnya. Manakala keluarga itu cuma igauan ngeri baginya. Namun  begitu dia masih mampu lemparkan senyuman kepada anak-anaknya setiap kali bila diminta berbuat begitu. Terpaksa. Payah.


" Tak boleh bawa Anjing ke taman ini..."

Kata lelaki tua yang duduk bangku panjang sambil membaca suratkhabar Jawi.


Prejudis, sungguh rasis. Tak mengapalah John. Sila bawa aku pulang ke rumahmu. Cukuplah, aku sudah puas berjalan untuk hari ini. Esok, bawa aku ke tempat lain pula.






.

Tuesday, February 15, 2011

Itulah kali yang pertama ...

Jangan salah anggap, aku bukan tak pernah gunting rambut. Aku biasa gunting rambut tapi seumur hidup aku tak pernah aku pergi kedai gunting untuk gunting rambut aku. Tak pernah. Percaya atau tak, kena percaya juga.


Dari kecil sehingga darjah enam, arwah Bapak yang potongkan rambut aku. Dia guna mesin rambut mekanikal yang kadang-kadang 'hidup dan pandai menggigit' dan gunting kain ela yang tajam. Walau dia tak pernah guna tempurung kelapa jantan sebagai acuan pengukur rambut tapi bentuk rambut aku semacam ditekap dengan tempurung jantan juga. Itulah kepakaran arwah Bapak. Orang kampung tak boleh tiru kemahiran itu.


Bila aku masuk asrama penuh, kawan-kawan yang tolong potongkan rambut aku. Aku gunting rambut dia, dia gunting rambut aku. Barter trade, tak payah bayar guna duit. Begitulah juga apabila aku masuk matrikulasi dan universiti. Cuma, setiap kali aku dikampung, aku akan minta abang-abang tolong potongkan rambut aku. Kadang-kadang, emak tolong potongkan. Aku tak kisah sangat tentang fesyen rambut aku, asalkan selesa dan bersifat rock sudahlah.


Bila aku dah bekerja, aku gunting rambut aku sendiri mana-mana bahagian yang aku boleh nampak dari biasan cermin muka. Bahagian belakang aku tinggalkan kecuali bila dah rimas sampai lepasi kolar baju dan mula merekot-rekot, barulah aku minta kawan serumah aku tolong guntingkan.


Bila aku dah berkahwin, aku masih gunting rambut sendiri. Kadang-kadang bila di Melaka, mak mertua tolong potongkan. banyak kali juga aku suruh adik ipar tolong guntingkan. Perlahan-lahan aku ajar Mama gunting rambut aku. Pada mulanya, dia takut-takut juga. Maklumlah, takut tobek. Aku pernah cakap, aku tak kisah sangat pasal rambut ni asalkan jangan pendek. Kalau pun tobek, laki dia juga.


Kecuali pada petang tadi.
Setelah berpuluh-puluh tahun, setelah suku abad aku hidup (ya, baru suku abad...), itulah pertama kali aku gunting rambut di kedai gunting.





Berkali-kali aku pesan supaya jangan guna 'mesin rumput'. Aku pantang dengan mesin tu. Sungguh tak rock kalau guna 'mesin rumput' tu. Juga tak kreatif dan kurang seninya.






.

Monday, February 14, 2011

Bila tirai malam berlabuh, ngeri mulai bergentayangan...

Nak teruskan atau tak? Teruskan atau tak? Pertanyaan ini bermain-main dalam batu jemala patik dan Mama jua. Akhirnya, ada seorang lelaki yang senasib dengan aku kata, janganlah teruskan kalau tak konfiden.


Semuanya gara-gara bahanapi yang hampir kosong dalam tangki, sampaikan komputer ECU pun tak sanggup nak kirakan berapa perbatuan yang tinggal untuk baki minyak yang ada.


Range... 0 ! Tapi masih maintain 55km/j


Kisahnya begini.

Sewaktu hendak pulang ke S.Alam, aku rancang nak isi minyak di pekan Bidor. Bahanapi masih berbaki 1/4 tangki. Sepatutnya tak ada masalah. Nak dijadikan cerita, sampai satu simpang tu, ada satu jalan baru dibuka. Jalan pintas melalui lombong Kg. Pasir tanpa melalui pekan Bidor, jimat masa perjalanan lebih kurang 30 minit.

Maka, tak terisilah bahanapi di Bidor. Seterusnya, aku lalu jalan dalam ke Tg. Malim. Sempat juga singgah makan-makan tapi tak juga isi bahanapi sebab tak mau guna RON95 petronas. Jadi, seterusnya aku rancang nak singgah di pam minyak di hentian rehat jejantas Sg. Buloh. Aku masuk lebuhraya melalui tol Tg. Malim. Sesampai di Rawang, komputer paparkan imej yang merisaukan. Lagi berbelas-belas kilometer lagi. Sesampai di stesen itu, komputer dah tunjuk angka '0'. Tapi, sebab dah sampai ke stesen itu, hati lega. Kalau kena tolak pun tak jauh sangat, kata Mama.

Nak dijadikan musabab, semua pam minyak tak boleh diguna. Sistem komputer 'down'. Pukul 10 malam baru juruteknik datang. Alamak! Takkan nak tunggu 2 jam?

Mahu tak mahu, aku pun capai tong air minuman 5.5 liter dari dalam bonet, aku kosongkan air tu. Mula-mula aku gerun juga kalau air itu masuk ke dalam sistem minyak, habislah sistem pancitan bahanapi kereta aku. Kemudian subjek Fizik mula menerjah masuk. Air kat bawah, minyak petrol di atas kerana ketumpatannya lebih rendah. Jadi, tak kisahlah walau ada secawan air dalam tong itu.

Dalam hujan, berbekalkan payung sekaki, aku berjalan kaki ke pam minyak seberang sana lebuhraya melalui restoran jejantas Sg. Buloh. Misi perlu ditamatkan walau pun banyak mata memandang aku bawak minyak petrol di dalam botol plastik 5.5 liter hampir penuh. Dia orang syak aku nak buat bom petrol agaknya.

Aku isikan lebih kurang 4 liter sahaja. Aku tak tonggang habis botol tu sebab ada baki titisan air dibawahnya. 4 liter minyak petrol itu sepatutnya cukup untuk aku terjah sehingga S.Alam.


Alhamdulillah, kami sampai jua walau terlewat 30 minit daripada perancangan awal. Tak apa, biar lambat sedikit daripada lambat banyak.




.

Sunday, February 13, 2011

Sendat perut di Mastan Ghani

Hari panas. Pasar malam Teluk Intan pun baru nak kembang payungnya. Oleh kerana hari panas dan payung pasar malam pun baru nak kembang, kami singgah dulu untuk basahkan tenggorok. Kami labuhkan bontot-bontot kami di Abdullah Mastan Ghani, gerainya bertentangan dengan Georgetown White Coffee...


Seperti biasa, aku pesan Rojak. Dan kali ini, aku pesan Air Jagung sebagai ubat tersedak atau lecek lidah.






Fuhh...! Tengok betapa seksinya Air Jagung tu.
Rojak dengan Air Jagung memang ngam!
Lebih-lebih lagi cuaca panas begini.





.

Friday, February 11, 2011

Mau untung besar?... ini caranya...

Apa diharap padi seberang,
Entahkan tumbuh entahkan tidak,
Apa diharap undinya orang
Entahkan dapat entahkan tidak.




Dah banyak TV realiti dalam bentuk pertandingan. Persaingan untuk merebut jari-jari manis pengundi SMS memang hebat. Lebih hebat lagi bila pengundi mula sayang kat kuku cantik, takut patah atau sumpik. Takut bercagu pun ya juga. Mungkin ada jugalah sedikit yang berkira-kira dengan kredit pra-bayar. Penerbit siri realiti mestinya pening kepala kerana boss menyasarkan setiap musim untung dan rating naik.

Kepada para penerbit, aku cadangkan macam ni.

Setiap kali carta nak diumumkan, ubah suai sedikit untuk kemakmuran sejagat Katakanlah, ada 10 orang peserta masuk pertandingan 'ntah-hape-hape-ntah'. Sebelum carta diumumkan kepada umum, buat dulu begini:

1.  Kump A - persembahan amat bagus ............ 1000 undi
2. ...
.
.
9. ...
10. Kump J - persembahan cam haram ............10 undi


Kumpulan A ada 1000 undi, berkemungkinan ada 1000 orang yang minat.
Kumpulan J ada 10 undi saja, berkemungkinan ada 10 orang yang minat.

Kalaulah diumumkan carta seperti di atas, akibatnya 1000 orang berpuas hati kerana Kump A yang hebat itu telah menduduki carta atas dan berasa tak perlu hantar SMS lagi. Manakala 10 orang yang percaya Kump J itu  hebat, sedangkan macam haram, akan terus mengundi supaya naik carta. Dan katakanlah ada lagi 5 orang pengundi simpati dengan nasib Kump J itu. Maknanya, 15 orang akan hantar SMS untuk pusingan seterusnya. Untung kecil, beb...


Apa kata kalau carta itu diumumkan terbalik begini:

1. Kump J - persembahan cam haram .... 10 undi
2. ...
.
.
9. ....
10. Kump A - persembahan hebat ..... 1000 undi.

Bila Kump A, yang diharapkan no. 1, ada di no. 10, 1000 orang seakan tak percaya. 1000 orang itu akan fikir Kump J yang macam haram tu ada lebih berpuluh ribu penghantar SMS. Jadi, 1000 orang  dan mungkin ada 500 orang peminat yang simpati akan menghantar SMS bertalu-talu supaya naik carta. Jumlah SMS 1500. Banyak untung tu....

Walau peminat Kump J mungkin tak hantar SMS sebab dah dapat no. 1, tak mengapa. Baru hilang 15 SMS je. Bandingkan dengan 1500 SMS.


Alaaa... bila dekat pusingan separuh akhir nanti, betulkan balliklah carta itu ikut undian sebenar. Tak siapa pun tahu, kan?




err.... atau memang dia orang dah buat macam tu dari dulu lagi?

Patutlah untung juta-juta. Hahahaa.... hampeh!
Pergilah undi banyak-banyak.





.

Satu masa-'elah .. udang oh udang

Char Kuey Teow dia ni memang power...! Dia meniaga dari dalam lori bergerak je.

Nampak yang berbaris dalam 3-4 orang pada satu-satu masa tapi nak menunggunya sampai 30 minit. Sebabnya, setiap orang pesan 3-4 bungkus dan menjadi resmi Char KueyTeow, ianya dimasak satu persatu. Kadang-kadang 2 in 1 tapi aku tengok dia memang masak satu persatu.





Kami pesan 3 pinggan. Setiap pinggan ada 3 ekor udang. Kami suka udang tapi Ariff tak berapa suka udang. Nak buang, sayang. Jadi, Ariff berikan Mama seekor dan aku seekor. Tinggal seekor lagi.

Dia teragak-agak nak berikan kepada siapa kerana dia tahu kami memang suka udang. Aku cakap, dia perlu berlaku adil. Kalau dikerat dua udang itu, pasti ada yang dapat bahagian kepala dan ada yang dapat bahagian ekor. Kalau nak dibelah dua, tak ada pisau. Dia serba salah.


Akhirnya, aku cakap kepadanya, memang payah nak betul-betul adil. Manusia biasa macam kita ini memang susah nak adil. Hatta kasih sayang emak kepada anak-anaknya pun tak sama rata. Selanjutnya, aku kata, itu sebab ada satu lagi istilah yang berdiri disebelah perkataan 'adil' itu. Gunanya ialah untuk memperteguhkan 'adil' yang lemah. Istilah itu ialah 'tolak ansur'.


Sehabis aku cakap begitu, Ariff terus berikan udang yang ke-3 kepada Mama.

Dah agak dah. Dia memang sayang Mama dia lebih...isk.




.

Wednesday, February 9, 2011

Persepsi....

Seorang anak muda bergegas ke dapur. Dalam nafas yang tak teratur dan peluh yang menitik-nitik di dahi, tangannya membuka laci satu persatu. Setelah nampak apa yang diingini, dia terus capai dan berlari semula ke ruang tamu. Pisau pemotong daging itu digenggam erat. Matanya membulat sambil memandang ke arah ibunya yang ketakutan.

"Emak diam. Jangan cuba nak bergerak..!" jerit anak muda itu. Dengan pantas dia melompat ke belakang ibunya. Secepat kilat dia kuis anak ular tedung itu sehingga tercampak ke dinding.
Dia masih tak puas hati. Lalu dengan sekuat tenaga yang ada, anak muda itu libas-libaskan pisau. Daging dan darah mula berkecai-kecai. Ibunya yang masih terkejut dengan kejadian itu terus-terusan menjerit-jerit. Anak muda itu bagaikan dirasuk, tanpa endahkan raungan ibunya, dia libas pisau itu tak berhenti sehingga putus kepala.



Adakah itu satu rasukan sebenarnya...?
Ataukah sekadar persepsi terpesong akibat cerita yang kurang lengkap?

Seperti kata-kata arwah Loloq:

'Ayatmu ayat sekerat, ayatmu tak cukup sifat. Ayatmu boleh buat orang sesat...'

Kadang-kadang sesat juga berlaku dalam terang-terangan.









.

Tuesday, February 8, 2011

Nam Jahan-Nam !

Aku panggil buah ini sebagai buah Nam Nam sahaja.
Ada nama lain untuk buah ini tapi aku dah lupa...nama yang ini lebih sedap sikit untuk didengar.






Dah lama sungguh aku tak tengok buah ini. Dulu masa aku kecil, aku biasa makan buah ini sebab jiran aku ada pokok ini. Yang aku perasan, buah ni bertangkai di batang dan di dahan, bukan di hujung ranting atau di pucuk macam buah mangga atau manggis. Kalau masih hijau rasanya masam tapi kalau dah masak kekuningan, ada rasa manis dihujung masam itu. Jadilah ia berasa masam-masam manis. Kalau dicicah dengan sambal kicap atau hanya garam, memang sedap. Teksturnya lebih kurang buah belimbing.


Kali terakhir aku tengok pokok dan petik sendiri buah ini ialah lebih 20 tahun lalu di Bandar Tua, Seberang Perak. Nama sahaja Bandar Tua tapi bukan bandar pun sekarang ni. Dulu-dulu mungkin, semasa zaman Kesultanan Perak tinggi 'memancor-mancor'.


Pada hari itu, aku dan geng kayak yang turun berhanyut dari Kuala Kangsar ke Teluk Intan berhenti di Bandar Tua untuk bermalam. Kami berkhemah tidak jauh dari Masjid Bandar Tua, tak jauh juga dari kawasan kubur lama. Tidak jauh dari gigi Sungai Perak tempat kayak kami berlabuh dan tempat kami membersihkan diri itulah ada sebatang pokok Nam Nam yang telah tua. Dek kerana lapar menunggu makanan dimasak, aku dan beberapa kawan aku mengambil buah itu dan makan. Pada malamnya, tak ada mimpi apa-apa...ahaks.


Aku tengok bentuk buah itu macam abjad 'D'. Aku tak tau dari mana datang nama buah Nam Nam itu. Tak ada rupa nombor '6' pun.






.

Monday, February 7, 2011

Malam minggu yang sungguh tak selesa...

Malam minggu, dulu masa bujang-bujang dan masih belajar, adalah malam dimana aku dan geng aku turun ke Lumut. Kami turun ke Lumut pukul 12 malam dan pulang sebelum subuh. Kami lepak dan sembang-sembang di benteng Lumut. Kami lihat orang memancing. Kami lihat ragam orang yang umpama kupu-kupu malam ternampak lampu neon. Terbang dan mengitari lampu itu sehingga pagi.


Tapi, malam minggu lalu aku pergi ke tempat lain. Badan aku rasa semacam. Tak boleh tidur. Perut terasa macam nak pecah. Badan panas. Nak muntah tapi tak muntah. Pukul 3 pagi, aku kejut Mama dan adik ipar untuk bawa aku ke klinik. Bandar Jasin mana ada klinik 24 jam. Dulu ada tapi sekarang ni aku tengok nombor 24 jam itu pun dah ditampal dengan kertas. Dah tak jadi 24 jam lagi. Tak apa, Melaka masih Maju.


Mahu tak mahu, aku minta dibawakan ke Hospital Jasin. Adik ipar aku terus bawa aku ke tempat kecemasan. Suasana gelap. Ada beberapa orang awam masih duduk di kerusi menunggu. Tanggapan aku... 1 jam diperlukan sebelum terima rawatan. Oops..! Salah.


Baru aku tercangak-cangak nak baca prosedur pendaftaran, ada seorang adik tanya sama ada aku pernah datang atau belum. Aku kata tak pernah. Dia terus minta IC dan dia tolong isikan borang. Dia tanya aku kerja kerajaan atau swasta. Aku terfikir, kalau aku kata aku kerja swasta, mesti semua kos aku kena tanggung. Tanggapan aku...  aku kena bayar kos ubat dan konsultansi dan surcharge rawatan luar waktu. Oopps..! Salah.


Dia minta aku RM1 untuk daftar. Nilai RM1 yang bezakan kerja kerajaan dan swasta.


Tak sampai 5 minit aku duduk, aku terus diajak masuk ke tempat pembaringan, sedikit ujian dilakukan. Kemudian, aku diberi minum cecair tak sedap untuk redakan perut. Satu suntikan juga diberikan pada lengan kanan. Kemudian, dia senaraikan nama ubat yang perlu aku ambil. Dia bagi beberapa nasihat.


Kemudian, aku tanya, kalau minum minuman kultur Shirota boleh atau tak (Ariff ada buat teori, kalau sakit perut keracunan boleh minum kultur Shirota supaya bakteria baik lawan bakteria jahat). Dia kata, apa salahnya. Mungkin boleh buat eksperimen, katanya lagi. Aku cakap, anak aku yang syorkan begitu. Tapi, aku cakap kepada anak aku, kalau bakteria baik yang berjumlah 30 bilion tu berpaling tadah boleh haru perut aku. Dia ketawa.


Setelah sudah di bilik itu, aku disuruh ambil ubat di farmasi berdekatan. Aku pun pergi sambil menahan sakit. Peliknya, aku jumpa orang yang sama.

Memang betul. Semuanya dilakukan oleh adik itu, dari daftar sehingga kepada farmasi. Semuanya tak sampai pun 20 minit. Dan kos semua itu hanyalah RM 1. Terima kasihlah wahai KERAJAAN...


6 Feb... 3am


Dalam perjalanan pulang, aku singgah di 7-11. Aku minta air kultur Shirota. Dia tanya aku nak berapa papan? Aku kata, aku nak 3 papan. Dia macam tak percaya. Aku cakap, aku nak buat ubat sakit perut. Sebaik aku keluar dari kedai itu, aku minum 2 botol kultur Shirota itu. Mama dan adik ipar aku juga minum tapi bukan sebab sakit perut. Dia orang minum sebab sedap...





.

Saturday, February 5, 2011

Formula sekadar formula jika tanpa ujikaji tentusah

Kalau tak cuba, mana tau kan berjaya?


Dalam kemelut inflasi yang dirasakan seperti meninggi tetapi dikatakan masih dikawal rapi ini, formula-formula kelangsungan hidup banyak difikirkan. Tapi, sekali sekala apa salahnya kita cuba. Bak kata kengkawan, kalau takut matahari meninggi, berteduhlah dibawah pokok pisang (kenapa pokok pisang, jangan ditanya...)


Kos balik kampungku biarlah untuk petrol dan tol. Aku terpaksa singkirkan mahu aku pada Sate dan soto di R&R Dengkil, juga nasi ayam dan nasi campur di situ. Sebagai ganti, aku beli nasi lemak bungkus berlaukkan telur rebus.

Dan lupakan juga nescafe ais dan teh tarik di hentian sebelah Senawang. Sebagai ganti, aku bawa Thermos yang aku siap-siap isikan nescafe suam di rumah tadi. Nescafe 3-in-1 itupun bukan aku beli. Aku tukarkan dengan kupon makan di kooperasi. Kira percuma la tu.





Oh ya, makan pun di pondok rehat tanpa lampu. Kalau aku makan di atas meja berlampu kalimantang cantik, aku takut nanti dia orang kenakan servis charge yang dah naik dari 5% kepada 6%. Jadi, biarlah kami makan disuluhi bulan dan bintang. Itu semua cahaya diberi Tuhan secara percuma.


Dan lagi, aku tak mahu dikatakan ambil kesempatan ke atas air pili. Jadi, kami bawa air basuh tangan kami sendiri. Puas hati wahai KERAJAAN? Oh ya, air yang kami bawa itu air percuma sebab kegunaan air kami dibawah dari nilai bulanan RM12.




Aku kira, dapatlah aku berjimat dalam RM10 malam itu.

Sesampai di Tol Ayer Keroh, aku hulurkan tiket tol. RM 15.20, katanya. Aku tanya balik, bukan ke ada diskaun tahun Baru Cina?

'Ooo... itu kat tempat lain. Di sini tak ada diskaun ' jawabnya. Ah, pulak...

Baiklah, aku bayar sahajalah, nak buat macam mana.




.

Friday, February 4, 2011

Gemuruh pagi menyingkap jerih sepasang kaki....

Pagi itu langit masih gelap. Ayam-ayam jantan pun baru mempisat-pisat matanya di dahan pokok. Burung-burung pun baru membetul-betulkan bulu pelepahnya supaya lebih gebu dan lebih hangat untuk anak-anaknya yang masih diulit mimpi. Mimpi tentang ulat gemuk dan buah-buah ranum.


Pagi itu juga, sepasang kaki menyarungkan selipar tatkala angin kuat menampar-nampar dedaunan supaya bangun dari tidur. Angin pagi tak tidur semalaman agaknya, teka tuan punya sepasang kaki yang melangkah pada pagi sejuk itu.


Dada langit Timur mula pecah-pecah, menampakkan belahan cerah kuning dan putih. Merekah dan seakan-akan mahu hancur. Sepasang kaki itu terhenti dari terus menapak. Angin bergemuruh melanggar dedaunan. Cengkerik diam. Ayam-ayam jantan diam tak berkokok. Burung-burung semakin mendekam anak-anaknya.


Langit Timur semakin merekah dan merah mula muncul dari celah-celah awan. Awan yang tersibak oleh angin gemuruh.

'Bila agaknya langit akan runtuh?' Kata ibu jari kanan kepada jiran kirinya. Tak berjawab.

Pagi itu, selipar-selipar mula gawat bercakap sesama mereka. Tentang langit dan tentang angin yang gemuruh. Pokok bunga dan pokok kaduk terkebil-kebil menahan debu pasir yang di bawa angin.


' Yeaaaahaaa....! ' teriak pokok kelapa menyusur angin gemuruh sambil membawa kantung-kantung airnya. Pokok kelapalah yang mula-mula bangun tadi. Seronok bermain angin. Bodoh! Tak seperti yang lain-lain yang risau melihat langit pagi yang merekah dan angin gemuruh yang menderu-deru datang.

' Peduli apa dengan langit, dengan angin. Bukan sekali dua mereka datang...' Pokok kelapa berteriak.


Dada langit Timur semakin membengkak dan rekahannya melepaskan sinar matahari yang kuning keemasan. Cantik. Tetapi, angin masih menderu datang. Sepasang telinga rimas dengan bunyi deru bingit angin. Sepasang tangan memekup telinga itu supaya tenteram.


Ayam-ayam jantan mula turun ke tanah, mula mencari betina mereka yang bersembunyi di dalam reban. Dan cacing-cacing tanah semakin galak berkeriut, menggeliat.

' Agak-agaknya, kita bakal dapat habuan besar kali ini...' kata kepala cacing kepada ekornya.

' Siapa yang akan dikuburkan pada kali ini...? '

Pertanyaan labah-labah kepada angkut-angkut tidak berjawab...

Dan angin terus menderu, menuju ke selatan. Menuju ke Syonan-to...





.

Ini kali yang kedua... kecut perut weh...

Ini kali kedua. Tak serik-serik lagi.

Kerap kali juga perkara-perkara yang biasa-biasa selalu aku terlepas pandang.

Lebih-lebih lagi kalau perkara tu memang semedang ada di depan mata. Benda itulah yang selalu terlepas pandang.

Ini kali kedua. Kali pertama adalah tahun lepas.

Bila dah sampai ke kampung, dah jalan-jalan pusing keliling barulah perasan yang Road Tax baru belum tampal pada cermin depan. Tarikh luput kertas Road Tax lama 28 Jan. Dah dekat seminggu ni...

Alih-alih, barulah nak rasa kecut perut bawa kereta. Mulalah mata asyik terbayangkan road block.

Takkan nak patah balik semata-mata nak tampal Road Tax baru... jauh tu.



Pengajaran:

Lepas ambik Road Tax terus tampal pada cermin. Jangan gatal nak tunggu esok lusa tulat...





.

Thursday, February 3, 2011

Makan Busat !!!

Makan busat (besar) di Pernu-Umbai.

Gua tatak (tak) bohong, itu Siakap aaa.. dia punya yinsang (in-sang) banyak melah woo (merah). Itu Jinahak (Jenahak) pun samaa... selupa (serupa) itu tumit kaki anak dala (dara).

Manyak (banyak) fleshhh (err... tak pasti, 'fresh' atau memang 'flesh'...)





Haiyoh! Sulah (sudah) abis lor...
Sumua (semua) sulah (sudah) masuk ini pelut (perut)....




.

Tuesday, February 1, 2011

Gerimis... air menitis pada cucur atap

Hari itu, gerimis tidak reda sedikit pun dari tengah malam. Pagi itu, sejuk gigilnya menggigit tulang. Termenung panjang melihat kaki langit yang kelam. Udara segar tetapi kelam hari itu membuatkan hati hilang cerianya.


Aku kejapkan hati, aku redah sejuk gerimis dan dalam 30 minit, aku sampai di tempat itu.

Aku bawa lara hati ini ke satu sudut. Di situ, aku duduk di atas pangkin kayu resak. Aku tenung bidai buluh, aku tenung tiang kayu. Aku lihat air hujan menitis pada hujung genting, pada cucur daun kelapa sawit. Aku lontarkan pandanganku jauh ke pokok-pokok di luar sana. Aku cuba amati betul-betul. Aku cuba dengar betul-betul. Tiada burung yang menyanyi.







Kemana perginya semua burung?

Aku lihat tali pengikat bidai, simpulnya seperti kusut rambut aku...hmm...dah panjang rambut aku.







.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com