Friday, March 30, 2012

Melentur rebung jangan kuat-kuat, pasti kan patah jua...

.


' Kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya ', ialah pepatah yang sudah termansuh penggunaannya.


Itu pesan orang tua-tua tetapi melentur rebung sebenarnya lebih payah daripada melentur buluh kerana rebung masih rapuh. Lebih senang patah. Kalau tak percaya, cubalah lentur rebung. Silap-silap boleh dibawa balik dan dibuat masak lemak cili api.


Lagi pun, buluh yang telah menjadi 'buluh' mempunyai tahap kelenturan yang lebih tinggi daripada rebung. Tegasan Ricih dan fleksibiliti dalam lenturan buluh pasti jauh lebih tinggi daripada rebungnya. Itu sebablah ada yang gunakan buluh sebagai 'scaffolding' untuk bina bangunan tinggi. Fleksibilitinya menjadikan buluh mampu melentur tanpa patah dan dapat kembali ke kedudukan asal. Oleh sebab itu jugalah aku selalu gunakan buluh sebagai 'jerat sentak'.


Namun begitu, perbezaan yang jelas ialah kalau buluh dilihat dari segi perubahan minda atau budaya. Buluh akan kembali ke bentuk asalnya manakala rebung, kalau dilentur dengan teknik tertentu' akan kekal menua dalam acuan yang kita buat.


Tetapi jangan silap!

Rebung perlukan teknik yang betul untuk dilentur supaya tidak patah dan dibuat sayur masak lemak cili api. Ia perlu dilakukan sedikit demi sedikit dan tak boleh terus dilenturkan kuat-kuat. Maknanya, rebung itu akan melentur sedikit demi sedikit sejajar dengan tumbesarannya.


Kata kunci di sini ialah teknik. Melentur rebung perlukan teknik. Nah, sekarang. Buluh juga boleh dilentur jika MENGGUNAKAN TEKNIK yang betul. Bagaimana melentur buluh?


Dulu-dulu, sebelum kedatangan galah aluminium, buluh menjadi peranan utama sebagai galah untuk mengait kelapa atau buah-buahan yang tinggi, selain menjolok sarang tebuan atau pun musang yang bersembunyi di atas pokok. Buluh dapat dilentur dengan 'melayurkan' atau dipanggang seketika di atas api agar lebih mulur dan mampu dibentuk. Kemudian, cepat-cepat buluh itu pun dibengkokkan atau dibentuk / diluruskan mengikut kehendak kita. Salah satu kegunaan teknik ini ialah untuk membuat joran buluh yang memerlukan tahap kelurusan yang jitu dan sedikit melentur dihujungnya.


Kalau hendak dibuat galah, apa yang perlu dibuat ialah dengan menggunakan buluh yang tua tetapi masih hijau batangnya. Letakkan buluh di atas tanah yang rata kemudian disangga / dipakukan di atas tanah menggunakan kayu agar berbentuk lurus. Kadang-kadang perlu gunakan batu atau benda-benda berat untuk menindih buluh tua itu agar tidak meleding ke arah yang tidak diingini.



Kalaulah melentur rebung perlukan teknik, maka melentur buluh juga ada tekniknya. Jadi, tak kisahlah sama ada masih rebung atau telah menjadi buluh, mereka masih boleh dilentur mengikut kehendak kita.

Yang penting, teknik!

jadi, aku syorkan pepatah Melayu lama itu dimansuhan kerana teknologi dan pengetahuan telah menjadikan pepatah itu termansuh dengan sendirinya.





.

6 comments:

tasekM said...

ok.
kita tukar.

melentur buluh biarlah betul tekniknya.

:)




.

Nizam.Ariff said...

TM,
hah.. betul tu...

'teknik salah, buluhkan patah' pepatah Melayu moden...

sepa said...

ko sungguh nak mansuhkan...

*apa kata kita hantar petisyen ke DBP.

(depan rumah pak mer, ada serumpun buluh, tak tau pulak aku buluh boleh diluruskan. :p )

Nizam.Ariff said...

sepa,
boleh.. teknik... ada teiniknya....

gadisBunga™ said...

aku rasa kene 'cuba' lenturkan dari dalam tanah kot, bukan lenturkan terus bila dah jadi rebung.

tunggu jadi rebung kalu, masak lomak cili api dengan perut la jawabnya. pergh!

Nizam.Ariff said...

GB,
aku pun suka... tapiiiii... lepas tu kena telan air cuka+madu seminggu la..., buang kolesterol.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com