Sunday, January 19, 2014

Memetik bintang dari rimbun cakrawala...

.

Tuan Sinister mahu melihat bintang, katanya. Tapi langit malam terlalu benderang buat bintang untuk muncul dengan tenang dan tanpa gangguan. Dua tiga malam ini langit dikuasai bulan dan penemannya, si pungguk. Bulan yang terang memadam cahaya kelam bintang. Walau pun kenyitan bintang itu lebih menawan, dan berjuta pula, bulan yang terang garang menghijab segala galanya. Itulah agaknya yang dikatakan pujangga sufi sebagai sembunyi di dalam terang, fikir Tuan Sinister.

Bagaimanakah ini? Fikir Tuan Sinister. Dia mahu melihat bintang kerana jujukan bintang itu nanti dapat memberi petunjuk arah kepada lokasi Juliet. Ya, dia mahu mencari Juliet yang dikatakan gemar menari nari di sekitar gelanggang bintang yang berjuta. Juliet juga dikatakan suka menyimbahkan warna warni bintang ke tubuhnya yang lutsinar, maka dengan itu Juliet bisa meminjam warna warni bintang untuk memberi warna pada tubuhnya...biru ketika dia rindu, merah ketika dia ghairah, hijau ketika dia risau tentang Malim yang sejak akhir akhir ini menghening...di mana kau Malim?

Tuan Sinister meneguk kopi pahit. Terasa kesat di tekaknya. Harapan untuk melihat bintang tidak kesampaian nampak gayanya.

"Bima Sakti, tolong aku ini."
"Apa dia, Tuan?"
"Tolong renjis dada malam ini dengan debu saktimu."
"Kenapa, Tuan?"

Tuan Sinister tidak terus menjawab, sebaliknya dia tarik nafas dalam dalam dan menghembusnya dengan kasar. Dia teguk kopi pahit lagi.

"Aku mahu kau kaburkan cahaya bulan, terang cahayanya sungguh sungguh membingungkan aku. Aku mahu melihat bintang."

Bima Sakti menggelengkan kepala beberapa kali.

"Kenapa? Salahkah?" Tanya Tuan Sinister.
"Tuan tidak perlu menutup cahaya bulan, dan membuka hijab malam semata mata untuk mencari Juliet."
"Aku tak peduli!!!" Tegas Tuan Sinister.

Bima Sakti berjalan ke laman rumah. Matanya tepat memandang wajah Tuan Sinister.

"Apa??? Salahkah?" Pekik Tuan Sinister.

Bima Sakti menggeleng geleng kepala lagi. Dia alihkan tajam sinar matanya ke dada malam, tembus ke dada langit...melihat cakrawala yang indah dan cantik. Dia senyum, gema damai menusuk hatinya.

Kemudian dia julurkan tangannya menyibak langsir cakrawala lalu memetik sekuntum bintang berwarna kuning. Kemudian dia julurkan lagi, pada kali ini dia memilih bintang biru pula. Dan bintang merah juga. Cukuplah, fikirnya lalu menutup langsir cakrawala semula.

Bima Sakti berjalan kearah Tuan Sinister sambil menimang nimang bintang bintang yang dipetiknya tadi.

"Nah...ambillah."

Tuan Sinister kehairanan.

"Tak perlu ganggu bulan. Ambillah bintang bintang yang Tuan mahu tapi jangan minta aku mengganggu bulan."

Tuan Sinister masih terpinga pinga, apa yang patut dia lakukan dengan bintang bintang itu? Bintang bintang itu sepatutnya berjujuk di langit agar dia bisa nampak arah Juliet, bukannya berada di tangannya.

Bingung dengan keadaan itu, dan tidak tahu apa yang patut dibuat dengan bintang bintang itu, dia lemparkan pula ke laman. Tak lama kemudian bintang bintang itu bergerak gerak, bergetar getar dan terus melantun semula ke langit!...sembunyi semula di balik hijab terang cahaya bulan.

Papp! Tuan Sinister menepuk dahi. Menyesal.

"Bodoh..." gumam Bima Sakti dalam hati.





.

2 comments:

t.a.t.a said...

Tak faham. Dah 2x ulang baca tetap tak faham.

Nizam.Ariff said...

Tata,
Takpe, esok-esok fahamlah tu.. hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com