“Yoga dalam Sanskrit bermaksud mengawal, menyambung atau menyatu. Yoga dari segi istilah ialah “union; kesatuan; ‘sambungan atau ‘kuk’ roh individu dengan roh alam semesta; penyatuan dengan roh Ilahi. Pengajaran Yoga terdapat di dalam kitab suci agama Hindu ‘Bhagavad Gita’. Nama 'Bhagavad Gita' bermaksud "lagu tuhan", dan Bhagavat merupakan gelaran Krishna. Dalam konteks Bhagavad Gita, perkataan ‘Yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman).” - ”Hujah Pengharaman Yoga”, Mohd Aizam bin Mas’od, JAKIM.
Jadi, Yoga adalah salah satu jalan yang digunakan oleh agama Hindu untuk mencapai keabadian bersama Tuhan. Dalam Islam, pengamal Sufism juga membina jalan-jalan tertentu yang sesetengah kawan aku panggil ‘jalan pintas’, walau pun jalan pintas yang dimaksudkan itu bukanlah pendek seperti yang aku sangka. Fokus dan berterusan, katanya. Hati mau bersih baru jiwa boleh tenang, katanya lagi.
Dalam agama Hindu penyatuan dengan Tuhan boleh dicapai melalui senaman dengan teknik-teknik tertentu bermula dengan aturan nafas dan fikiran. Dalam Islam, penghayatan jiwa terhadap Tuhan untuk golongan umum dilakukan dengan ibadat wajib dan sunat seperti yang kita lakukan setiap hari, terutamanya ibadah malam. Untuk golongan Islam yang exclusive pula, zikir tertentu juga dapat mencapai matlamat tersebut, seperti kumpulan-kumpulan Tareqat. Mungkin inilah agaknya salah seorang Mufti mengatakan mengapa perlu kita melakukan Yoga kerana Islam juga mempunyai berbagai-bagai cara yang kita sendiri jarang mengamalkannya.
Menurut Mohd Aizam, kaitan senaman yoga dengan agama Hindu boleh disimpulkan seperti berikut: -
a) Padmasana merupakan imbangan yang sempurna seperti bunga teratai terapung di atas air kolam yang tenang. Bunga Teratai di kalangan Hindu adalah simbol keheningan, kejernihan dan keyakinan diri. Bunga teratai selalunya digambarkan dengan Tuhan Vishnu.
b) Garudasana ialah senaman garuda. Nama burung khayalan yang menjadi tunggangan Vishnu ketika mahu naik ke langit.
c) Bhakti Yoga ialah Yoga Ibadat, atau Yoga Cinta Ilahi dengan ini terbukalah akal dan hati kepada martabat Kehidupan Tertinggi, mengajar kita beribadat kepada Tuhan.
d) Jnana Yoga, (Yoga Ma’rifat) Jnana Yoga bertukar daripada perkara zahir dunia kepada batin yang ada dalam diri kita.
e) Raja Yoga atau Yoga Diraja, membimbing seseorang pengamal Yoga (yogin) itu kepada mengalami pencapaian Samadhi (bersatu) tertinggi boleh bersatu dengan Mutlaq (Allah).
Menurut agama Hindu, Yoga memberikan satu jalan untuk mengeluarkan diri daripada ’Dukkha’ dan ’Samsara’ [baru aku tahu mana datang perkataan ’duka’ dan ’sengsara’], seterusnya mencapai keabadian dengan Tuhan.
Mohd Aizam juga mengatakan, 'pada tahap (d) Yoga Ma’rifat kita sudah layak memeriksa diri dengan minda yang terlatih dan daya yang tinggi melakukan konsentrasi terhadap apakah Hikmat Manusia Ada Di Dunia ini, Kesatuan segala-gala (Unity of Allah Things; Wahdat al-Wujud atau Allah ialah segala-gala).'
Wahdat al-Wujud atau istilah yang kurang biasa kita dengar – Menunggaling Kowulo Gusti [Jawa] atau 'aku dengan Tuhan adalah tunggal' adalah satu falsafah ma’rifat yang dipegang oleh sesetengah Tareqat dan antara individu-individu yang terkenal ialah Hallaj, Siti Jenar dan mungkin juga Hamzah Fansuri. Sesetengah ahli agama beranggapan falsafah tersebut, juga digelar hakikah (hakikat), menyalahi falsafah syar’iah (syariat). Mereka ini digelar ulama syariat. Manakala ulama hakikat pula mengatakan kesempurnaan iman tidak akan tercapai dengan hanya melakukan syariat semata-mata. Maka, seringlah mereka itu tuduh-menuduh.
Haih....alangkah elok kalau dibuat kedua-duanya. Pada pendapat aku, syariat tanpa hakikat umpama berjalan tanpa tahu arah tuju. Hakikat tanpa syariat umpama tahu arah tuju tapi tak bergerak-gerak pun.
Kalau nak bertekak pasal ni, memang tak tahu bila nak habis. Sebabnya, berjalan tanpa tahu tujuan pasti akan sesat. Itu kata kawan aku. Tapi aku kata, masih ada kemungkinan / kebarangkalian yang tempat yang kita berhenti itu adalah tempat tuju yang sebenar. Kebarangkalian atau nasib? Kawan aku perli. Aku kata, kebarangkalian atau takdir. Sama seperti empat perkara yang ditulis oleh malaikat sebelum roh kamu dihembuskan ke janin. Itu takdir. Kesudahan kamu, sama ada berduka atau gembira. Telah tertulis di Luh Mahfuz kesudahan Syurga atau Neraka untuk kamu, sebelum kamu lahir lagi. Itulah juga kenapa dalam banyak-banyak manusia hanya 70,000 yang berjaya ke sana dengan aman. Sedangkan penduduk Malaysia saja dah dekat 27 juta.
Tapi, kawan aku kata kalau kita telah tahu kebenarannya (hakikat) mengapa perlu semua itu lagi? Kalau kita telah lalui secara rohani tentang hakikat sesuatu itu, tentang syurga, tentang neraka, tentang Tuhan, pasti akan berhenti. Tak perlu ke mana-mana lagi. Telah sampai destinasi. Bukankah itu yang dicari? Tinggalkan atau tanggalkan pakaianmu maka terserlahlah kebenaran (maksudnya pakaian duniawi). Kita akan bersatu dengan kebenaran. Dan kebenaran itulah hakiki. Hakiki hanyalah kepunyaan al-Haq. Itu Tuhan.
Entahlah. Bagi aku, pelajari hakikat supaya ketika menjalani syariat kita tidak tersesat. Malah lebih fokus dan tekun kerana kita tahu kebenaran itu. Oleh kerana jasad kita masih di sini, syariat itu perlu untuk menjalankan masyarakat. Itulah juga yang dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu. Bukannya meninggalkan syariat bila mencapai hakikat.
Sengaja aku utarakan perbahasan diatas untuk menunjukkan bahawa dalam masyarakat kita sendiri terdapat pergeseran kecil [tentang cara kita menyempurnakan iman]. Perkara tersebut amat jarang diperkatakan oleh orang kerana terlalu sensitif.
Dan Yoga?
Kesimpulan dari hujah saudara Mohd Aizam menunjukkan ia adalah sebahagian ritual untuk mencapai ma’rifat, seterusnya mencapai hakikat [dalam agama Hindu]. Jadi, Yoga bukan perkara kulit. Yoga adalah perkara isi. Perkara asas dalam mencapai hakikat. Kalaulah perbahasan aku dan kawan aku itu dijadikan sandaran, aku rasa cukuplah. Dah cukup masin, tak perlu tambah garam. Kita elakkan darinya, itu lebih baik.
Sekarang aku faham tentang fatwa pengharaman Yoga itu.
.
2 comments:
yang bising2 itu golongan yang tidak tahu.
jahil.
Alina,
Betul, mungkin....
Atau mungkin mereka lebih tahu daripada kebanyakkan mereka...entahlah.
Post a Comment