Sunday, May 31, 2009

Garam Bario dan Kelapa Kering

.


Satu.

Adik ipar aku balik dari Sarawak. Dia bawa balik garam Bario yang berbungkuskan daun pisang. Dia kata, itu garam kaum Kelabit. Garam tu asalnya garam gunung yang diproses (dimasak dan dibakar dalam buluh). Kaum Kelabit mencampurkannya ke dalam nasi untuk dimakan.

Selama dua hari ni, aku ikut cara makan orang Kelabit tu. Aku kepal nasi 5-6 ketul bersama-sama sedikit garam tu dan terus kunyah. Wow! Memang sedap. Aku tak tau nak gambarkan bagaimana. Rasanya macam.... macam... nasi campur garam! Tapi garam tu tak berapa masin dan warnanya seakan-akan abu, warnanya kelabu tahi anjing.

Aku makan begitu sebab kebetulan aku kurang sihat. Dan sebab kurang sihat itu lah aku buat entry pasal kematian kelmarin. Jadi, aku harap garam tu mungkin boleh menjadi ubatnya.




Dua.

Adik ipar aku balik dari Sarawak sebab nak nikah-kahwin minggu depan. Tengahari tadi, kakak dia suruh dia pecahkan kelapa untuk santannya. Dia pun terkial-kial buang lebihan sabut. Kemudian, dia hayun parang. Tak terbelah! Dia hayun 2-3 kali lagi tapi tempurungnya cuma merekah. Kelapa itu pun jatuh tergolek.

Aku bisik kat kakak dia, kalau kelapa yang macam tu pun tak boleh pecah, boleh ke dia 'perform' malam pertama nanti?

Hahaha




(aku edit ayat terakhir 10.40am tadi, demi menjaga kesucian fikiran adikku Insyirah)
.

Saturday, May 30, 2009

Soalan yang penuh gila?

.


Dalam halusinasi,
Kau aku lihat di situ berdiri,
Aku kau lihat di sini menanti.

Dalam diri aku ada sesuatu,
Kau yang Maha Tahu,
Aku pilih untuk tidak tahu.




Aku pernah mengajukan soalan ini beberapa tahun yang lalu kepada kawan-kawan sekitar aku. Jawapan mereka?
' Kau gila! '
' Tak ada benda lain ke nak fikir? '
' Buang tabiat? '

Aku tanya mereka, kalaulah diberikan pilihan, mereka mahu pilih cara mati yang bagaimana? Soalan aku mudah. Tak perlu fikir teruk-teruk, tak perlu buku rujukan mana-mana. Dan aku bukan gila. Gilakah aku kalau bertanyakan sesuatu yang pasti berlaku?

Kita semua akan mati. Secara sejarahnya, telah terbukti. Secara saintifiknya, disokong. Secara agamanya, telah dijamin! Kebanyakkannya berkata mereka mahu mati dalam keadaan Islam dan penuh Iman. Aku kata, itu adalah kesudahan mati sedangkan mereka masih perlu pilih cara mereka mati!



Aku katakan kepada mereka, katakanlah aku ini pekerja kepada Malaikat Maut, yang hadhir beberapa ketika sebelum si pencabut nikmat itu datang menjemput. Dan katakanlah di tangan aku ada sebuah buku menu, lebih kurang sama dengan buku menu restoran di hotel-hotel yang terkenal tu, atau buku menu lagu-lagu seperti di pusat-pusat hiburan karaoke itu.

Dan aku katakan lagi, aku datang menemui mereka dengan suit yang kemas dan rapi sambil memegang buku menu itu. Tapi, itu bukan buku menu yang sebarangan. Itu buku menu yang istimewa. Di dalamnya ada berpuluh-puluh cara kematian, bahkan mungkin beratus-ratus cara kematian, yang boleh mereka pilih ikut kegemaran mereka.

Dan aku katakan lagi, mereka bebas memilih untuk mati dibunuh dengan bermacam-macam cara, dari ditikam sebilah pisau hinggalah dibom hingga berkecai. Atau mati terbunuh, dari kemalangan jalanraya hinggalah kebakaran. Atau mati akibat sakit, dari sesak nafas hinggalah kanser yang juga bermacam-macam jenis.

Dan aku katakan lagi, mereka boleh pilih cara kematian dan sebab-sebab kematian yang mereka mahu. Kalau mereka tak tahu nak pilih yang mana satu, aku boleh syorkan pendapat aku. Dan semestinya cara dan gaya hidup mereka itu menjadi inspirasi aku untuk memberikan syor aku.

"Your lifestyle determines your deathstyle"


Kawan-kawan semua. Salahkah soalan aku ni?




.

Friday, May 29, 2009

Kehangatannya sukar dimengertikan...

.


Bermula dari satu konklusi yang kurang tepat, mata masing-masing tiba-tiba membesar seperti orang kena kejut dari tidur dengan tekapan seterika panas di belakang. Menggeliat sana- menggeliat sini. Kepedihan menelan pernyataan yang dibuat oleh setiap presenter.





Aku?




Aku rileks je. Aku dah agak konklusinya macam tu. Mereka yang tak dapat menciumnya sahaja yang seolah-olah cicak tertelan kapur.




Cicak tertelan kapur

Al-kisah sahibbul hikayat memperikan bahawa satu masa dulu, masa aku kecik dulu, cicak-ciak banyak menari dan mencari serangga yang hinggap pada dinding papan. Selain dari melastik guna getah gelang yang dijalin istimewa, ada cara lain untuk membunuh cicak-cicak tu.

Oleh kerana selalu sangat melastik, cicak-cicak tu seakan-akan boleh mencium bayang-bayang aku. Cepat sangat dia menyusup lari di celah-celah sambungan papan. Kadang-kadang nampak muncung je. Kena tunggu lama dan diam-diam, barulah dia nak keluar. Tapi, mana boleh tunggu lama-lama. Aku pun nak tengok cerita 'Combat'.

Jadi, aku ambil sebatang lidi penyapu yang paling panjang boleh aku dapat lalu aku celupkan hujungnya ke dalam kapur sireh. Biar lekat seketul kapur sebesar tahi hidung kalau di korek tu. Kemudian, aku unjukkan di depan lubang atau celahan di mana cicak-cicak itu berselindung. Aku goyang-goyang sikit supaya nampak macam kupu-kupu kecil yang hinggap pada dinding. Temptation. Aku wujudkan 'lambaian maut' buat cicak itu. Buaya mana yang menolak bangkai?

Teorinya, kalau buaya sebesar itu tak mampu nak tolak habuan, inikan cicak yang sekecil bentuk pun hampir sama.

Bila dia termakan kapur, serta merta dia terkulat-kulat. Ada sesetengahnya terus jatuh. Biasanya, abang aku akan standby kat sebelah, bila cicak tu kelam-kabut, abang aku lastik.




Cicak versus Buaya

Shahdan berkatalah sahibbul hikayat akan kaitan cicak dan buaya. Adapun arwah ayahanda aku pernah bercerita kepada aku, dalam salah satu trip memancing di sungai. Aku tanya dia, kenapa tak boleh guna cicak sebagai umpan?

Dia kata, nelayan sungai di situ dan pesan, kalau nak memancing jangan guna umpan cicak, walau pun cicak adalah salah satu feveret ikan. Kalau guna juga, buaya akan timbul dan mengganas.

Ayahanda aku bercerita lagi. Dia kata pada zaman dulu, cicak dan buaya ni bermusuhan. Entah macam mana, cicak berjaya mengalahkan buaya dalam satu pertandingan ntah-apa-ntah. Bila kalah, sang buaya terus bersumpah, cicak tak boleh turun minum ke sungai. Dan sang cicak pun bersumpah, buaya tak boleh naik ke darat kalau nak berak.

Maka berdamailah mereka akhirnya. Tapi, kalau salah seekor langgar sumpah, boleh dibunuh.


Kalau nak cuba kebenaran cerita ni, bolehlah cuba masukkan cicak ke dalam kolam buaya di Taman Buaya Melaka. Ingat, cicak perlu menyentuh air. Kalau cicak kat tanah atau pokok, walau pun dalam kandang buaya, ianya tak dikira sebagai langgar sumpah.




.

Thursday, May 28, 2009

Cahaya lagi... dan lagi

.

Salah satu bab dalam fizika moden, masa sekolah menengah dulu, ialah cahaya. Biasan, serakkan, pantulan, spektrum dan macam macam lagi yang aku dah pun lupa.


Suatu pagi tu agak panas. Bukan cuaca tetapi suasananya. Pagi itu, cikgu tu bercerita tentang cahaya lagi. Kali ini tentang spektrum cahaya. Aku mengaku, aku minat sangat lebih-lebih lagi aku pernah baca terjemahan Surah An-Nur.

Cikgu kata, dalam spektrum cahaya tampak, jarak gelombang paling pendek dan paling panjang yang boleh dilihat oleh mata kasar ialah warna merah dan warna biru.

Gelombang cahaya kalau bertemu dengan gelombang lain akan berubah ciri-cirinya, dari segi jarak dan halajunya. Seperti gelombang pembina dan gelombang pembinasa kut. Tak kisahlah apa pun tapi cikgu cakap, cahaya yang putih itu bukan putih sebenarnya. Mata kita yang tak dapat mentafsirkan atau membezakan beza gelombang-gelombang yang ada menyebabkan mata kita nampak cahaya itu putih. Sedangkan, cahaya putih itu terdiri dari pelbagai warna. Cikgu pun ambil prisma dan letakkan depan satu lampu sorot. Terbentanglah cahaya pelangi. Nah! Cikgu kata. Prisma ini memberikan contrast gelombang, kini mata kita boleh nampak kepelbagaian warna di dalamnya. Maknanya selama ini mata kita menipu?


Kemudian, kalau kita campurkan warna, akan wujud warna lain. Warna asas adalah biru, merah dan kuning. Kalau campur ketiga-tiga warna asas itu akan wujud warna putih. Tambah cikgu tu lagi.

Kemudian, aku tanya cikgu tu, kalau salah satu warna itu dicampur dengan warna putih, apa akan jadi? Cikgu kata, warna putih akan dominan. Yang kelihatan tetap putih.

Aku fikir sekejap. Kemudian aku cakap, tak mungkin jadi putih.

Kali ini cikgu tu pulak yang berfikir sejenak. Kemudian dia kata, memang akan jadi putih. Cikgu tu tanya aku balik, kenapa aku cakap tak jadi warna putih.


Aku kata, kalau macam tu kenapa aku nampak cikgu pakai baju warna merah? Kenapa aku nampak rumput warna hijau? Dan yang terpenting, kenapa lampu isyarat menunjukkan 3 warna? Bukankah hukum fizik sepatutnya setuju dengan aturan alam?

Cikgu tu diam sejenak. Lepas tu baru dia sedar. Ianya tentang intensity. Kalau warna hijau lebih intense, hijau lah jadinya. Akhirnya dia setuju dengan aku.



Kesimpulannya, jangan percaya dengan mata zahir kita ini. Kerana apa pun yang kita nampak, akhirnya otaklah yang mentafsirkannya. Dan kita hanya nampak apa yang otak kita mahu kita nampak.





.

Pautan cinta pada umum...

.


Lelaki ini, ada pada masa-masa yang sesuai, bergantung pada fitrah alam, mampu menyatakan cinta sayangnya secara terbuka.

Aku memberanikan diri, mencabar diri aku menyatakan perkara itu kepada Mama, di depan khalayak. Lagu nyanyian K.Rogers berkumandang, berulang-ulang.



Pada mulanya, aku ralit tengok ayam-ayam golek yang berputar-putar atas api. Seorang awek menyapa, aku nak apa. Aku cakap, aku nak tumpang berdiang kat api tu! Aparaa... dah tentulah aku nak menyatakan kepada umum cinta sejati aku terhadap Mama, juga nak menjamah ayam golek tu.








Paku Payung menjadi saksi kisah cinta ini. Dia snapkan gambar ini.




.

Wednesday, May 27, 2009

Masih kisah di asrama.... dulu

.

Masih kisah di asrama. Dulu-dulu. Lama dulu. Masa tu aku di tingkatan 2. Orang kata, kaki bukit Maxwell ni keras. Pakcik sekebun bunga pun kata memang keras sebab banyak batu. Aku selalu juga mimpi yang bukan-bukan. Salah satunya seperti ini (ini mimpi sebenar yang aku masih ingat hingga kini).



Pagi itu sudah tua. Matahari sudah segalah, aku agak, sebab terselindung di balik Maxwell Hill yang tersergam hijau. Pagi itu pagi sabtu dan ada kelas tambahan di satu-satunya dewan kuliah yang ada. Selainnya adalah kelas seperti biasa. Setelah tamat kelas tambahan, aku keluar ikut jalan belakang untuk ke sungai kecil yang mengalirkan air dari gunung. Banyak batu-batu besar di situ dan aku bercadang untuk duduk-duduk sambil berangan-angan...

Setelah sampai, aku perasan ada beberapa makhluk sedang terbongkok-bongkok di tepi sungai kecil tu. Mereka perasankan aku dan mereka semua menoleh ke arah aku. Aku lihat gigi mereka tajam-tajam. Aku pun terus cabut, langkah beribu-ribu.

Aku berlari ke arah Dewan Besar dan aku masuk ke bilik persalinan @ tandas di tepi tennis court. Tujuan aku untuk sembunyi. Aku masuk ke salah satu tandas dan kunci. Kemudian, aku terdengar seseorang tarik flush tandas, maknanya ada orang di sebelah. Aku pun buka pintu dan keluar dari tandas itu. Malang nya, tiada sesiapa pun.

Dan lebih malang lagi, aku lihat ada satu makhluk hodoh setinggi manusia sedang berdiri sambil tangannya memegang kepala orang yang terpenggal dari badan. Dia sedang makan daging pipi orang tu! Aku pun cabut lari, keluar dari bilik persalinan itu menuju ke asrama.


Sesampai di tangga asrama, aku dengar bunyi kecoh di tingkat atas, tingkat bilik aku. Aku pun naik cepat-cepat. Setibanya aku di pintu masuk tingkat atas (pintu surau. Sesape yang pernah ke MRSM, design asrama lebih kurang sama je) aku terkejut tapi aku dah agak semasa ke berlari ke sini tadi.



Darah tersimbah merata-rata. Lantai koridor penuh dengan darah merah yang masih cair. Sepanjang-panjang koridor itu! Dan beberapa cebisan tubuh manusia bersepah di sini-sana. Aku agak, semua warga sekolah telah mati dibunuh makhluk-makhluk ganas dan kejam tu.

Aku berjalan ke bilik aku namun langkah aku amat longlai kerana aku tahu harapan untuk aku selamat amat tipis. Jadi, aku pasrah. Aku menapak berhati-hati di koridor yang lantainya licin dek darah merah cair tu. Sesampai aku ke bilik, aku nampak roomate aku (masa form 2 aku ada roomate. Form 5 baru duduk sorang-sorang) yang pada masa tu form 3 (Sarawakian) sedang duduk di atas katilnya sambil berlunjur kaki. Dia tengok sahaja aku masuk dan letakkan buku. Matanya tak berkelip pun.

Aku biarkan sahaja. Aku pura-pura tak perasankan dia. Aku tarik selimut, aku tinggikan bantal dan aku labuhkan badan aku di atas katil, membelakangi roomate aku. Aku tarik selimut perlahan-lahan dari kaki sehingga menutup kepala aku. Aku tahu apa yang akan berlaku. Aku tahu itu bukan dia.

Kemudian, aku terasa sesuatu menusuk dari belakang bahagian toraks (aku mengiring). Mula-mula tu terasa sejuk. Tak lama kemudian, rasa sejuk itu menjadi pedih, dan bertambah pedih. Nafas aku tarik semakin panjang, tak puas bernafas. Aku tarik nafas lebih panjang tapi masih tak puas, macam lelah. Kemudian aku terasa pening dan sedikit khayal. Pedih mula menjalar ke seluruh tubuh. Dan aku rasakan selimut aku semakin berat, basah.

Kemudian, selimut aku direntap ganas. Tapi aku tak mampu buka mata aku seluas yang mungkin. Aku terlalu lemah, terlalu sakit. Tiada suara untuk menjerit atau apa pun. Aku tahu, inilah masanya...






Dan aku terjaga. Aku rasa aku terpengaruh dengan cerita 'House Beside Cemetery'. Ada sesapa yang ingat lagi filem tu?




.

Asrama oh asrama

.


Masa di asrama dulu, keluarga jarang datang jenguk. 5 tahun tu ada la 3 kali je kut. Maklumlah, mana ada kereta. Nak naik bas, baik tak payah. Buang masa je. Jadi, aku je la yang selalu balik. Tapi, tak juga selalu, aku balik cuti semester je. Ada sekali masa form 5, kebetulan Raya Haji dalam cuti semester, tinggal lagi 2-3 bulan nak SPM, aku tak balik kampung.

Terkocoh-kocoh abang aku telefon ke sekolah cari aku. Salah aku, sebab tak bagi tau keluarga. Salah cikgu sebab tetiba pilih aku jadi tutor.


Aku tak bagi tau keluarga sebab tak sempat. Rumah aku mana ada telefon. Eh, silap. Kampung aku tak ada talian telefon. Talian telefon cuma ada bila aku dah masuk U. Abang aku terpaksa pergi ke telefon awam di depan pejabat penghulu di pekan C.Balai untuk telefon aku. Malah, telefon di sekolah tu pun telefon awam yang terketak di dewan makan. Nasib baik ada orang angkat dan buat announcement. Kalau tak, mau risau mak aku gamaknya.

Dulu, komunikasi dengan surat menyurat. Bila cikgu lantik jadi tutor untuk Fizik dan Add Math, masa tu dah tinggal 2 hari nak mula cuti. Keluarga kawan-kawan lain boleh la cikgu hubungi untuk bagi tau sebab tinggal kat pekan, ada telefon, boleh telegram. Aku? Kalau kasi telegram pun setengah mati wakil pos tu nak cari bapak aku di tengah-tengah sawah atau celah pokok getah mana ntah...


Selama seminggu aku jadi tutor. Aku duduk belakang tengok kawan-kawan yang sedikit tertinggal buat latih-tubi. Aku? aku jadi tempat bertanya dan periksa kertas jawapan. Tapi, bila malam aku sedih. Kantin cuma sedia makanan utama je sebab sepatutnya semua balik kampung. Bila malam, aku lapar, aku masak maggie dengan air paip je. Aku masukkan ke dalam bekas plastik dan aku goncang. Maggie Shake!!!

Bila larut malam, seram pun menjelma... penghuni asrama yang dulunya beratus-ratus orang, cuma tinggal 30-40 org. Itu pun duduk sebatu satu. Jadi macam lotong, bersahut-sahutan, sekadar nak check dia orang masih ada dan masih hidup tak kena cekik dek hantu...






.

Tuesday, May 26, 2009

Asrama atau asmara, dua-dua sama bagi aku...

.


Dulu, masa di asrama penuh, tak boleh lari dari kisah-kisah asmara ni. Aku terkecuali sebab aku bukan ada duit sangat. Aku berpendapat, kalau nak dating-dating ni kena ada duit. At least kena belanja pasangan (dan juga kawan-kawan untuk tutup mulut).


Malam-malam, orang sibuk dengan prep-malam, dia orang sibuk nak tolong kerja rumah pasangan masing-masing (apa daa...). Aku pula, aku sibuk dengan angan-angan dan sembang dengan kawan-kawan lain. Tak boleh study la terang-terang ni. Mata silau .... hahaha.


Aku selalu study bila dah balik ke bilik, sebelum tidur. Lampu koridor dah dipadamkan. Aku hidupkan lampu meja. Itu pun masih terang dan ganggu kawan (dan warden akan nampak dan cakap 'lights-off! lights-off!'). Jadi, aku ambil tuala atau kain cadar dan aku gantungkan, menjadi tirai.


Rupa-rupanya, bukan aku sorang je buat. Orang-orang lain yang tadinya asyik berdating, inilah masanya untuk buat kerja rumah atau study (apa daa...). Jadi, bila dah ramai-ramai ni, mula la bising balik, berdengung dengan bunyi bacaan ntah-apa-apa-ntah...


Bila dah bising, warden pun mula la buat rondaan. Oleh kerana masing-masing pasang tirai selimut pada lampu meja, warden selalu ronda di luar bangunan sebab senang nampak mana satu bilik yang terang.


Seperti biasa, warden akan ketuk cermin tingkap dan kata 'Lights-off! Lights-off!'


Bila kena jerkah macam tu, kawan-kawan pun tutup la lampu dan masuk tidur. Kepala asyik fikirkan, macam mana nak siapkan kerja rumah yang tak siap lagi.


Aku pula asyik fikirkan, kami ni di tingkat atas, di tingkat satu dan bukan di ground floor. Macam mana warden tu boleh tinggi sangat? Dia pakai tangga ke?




Hish!






.

Malam-malam dingin membeku...

.


Aku mula-mula dengar lagu ni masa aku sekolah menengah lagi. Masa tu, gitar tong cap Kapok menjadi dakapan di kala malam. Sewaktu lmapu-lampu kalimantang di koridor-koridor telah ditutp suisnya oleh warden. Bukan warden penjara. Warden asrama.


Dalam kelam samar-samar malam, cahaya neon menerobos masuk melaui tingkap dan celah-celah langsir. Angin malam membuai-buai langsir, menyibaknya lalu aku nampak hutan dan pokok buluh di kaki Bukit Maxwell. Aku tiada roomate. Blok aku ni special, daripada 50 katil, yang terisi cuma 30 katil je. Maknanya, kebanyakkannya tak ada roomate, termasuk aku.

Aku sendengkan katil sebelah. Jadi, aku punyai ruang untuk berbaring dan solat kat bilik sendiri.

Bila malam, suasana sayu membuatkan aku peluk gitar dan memetiknya perlahan-lahan. Kadang-kadang jiran sebelah suruh petik kuat-kuat, dia pun nak dengar jugak. Aku suruh dia tidur je. Esok nak sekolah.

Ini antara lagu yang aku selalu mainkan:





Enjoy...







.

Monday, May 25, 2009

Mentekedarah...

.


Aku training lagi selama 2 hari di Kota Permai.

Kalau orang tanya aku makan apa tengah hari, aku jawab aku tak makan. Aku mentekedarah. Sebab aku tak nampak nasi pun dalam pinggan aku.







.

Sunday, May 24, 2009

Main bisik-bisik

((( PENGUMUMAN: AKU ADA MASALAH DENGAN BROADBAND HARDWARE. JADI, BLOG AKU DAH TEMPANG. HANYA BERJALAN-JALAN KE TEMPAT KAWAN-KAWAN KALAU ADA WIFI ATAU ADA LAN. MAAF. - 25.5.09 @ 9.20am))))






SUARA YANG BERBISIK


Shhh...

Pejamkan matamu dan diam sejenak
Lupakan segala-galanya, lepaskanlah
Cuba dengar semua bisikkan di sekelilingmu
Bisikkan suara-suara yang tak kau pedulikan selama ini
- Bisikkan nafasmu
- Bisikkan jantungmu
- Bisikkan suara hatimu.


Shhh...

Pejamkan matamu dan fahami bisikkan itu
Hembusan nafasmu nan tenang, panjang
Kau lepaskan perlahan-lahan
Kadangkala ia terhenti, kau sedar
Lalu kau hembus, ia kembali gemersik

Degupan jantungmu juga tenang
Menggegar urat nadimu, kau boleh rasainya
Lembut membelai seluruh tubuhmu
Bisikkannya buatmu rasa aman.


Shhh...

Pejamkan lagi matamu dan dengar dalam-dalam
Buka hatimu dan rasai getaran suaranya
Bisikkannya juga lembut dan meruntun sayu
Cuba fahami kata tuturnya

Sesungguhnya hatimu itu hidup
Dan ia berbisik jauh dari dalam
Suaranya bersulam dengan hembusan nafasmu
Kadangkala hilang di sebalik degupan jantungmu

Memang sukar memahami getaran kata-katanya
Kecuali mereka yang kekal hidup hati-hatinya
Walau pun nafas dan degupan jantungnya
Berhenti berbisik dan tidak lagi bersuara...






(Buat kawan-kawan yang datang ke sini)
.

Saturday, May 23, 2009

Lagi tentang cahaya...dan haba

.

Cahaya bersifat kedualan (duality), itu kata fizika moden. Bukan bermaksud cahaya itu boleh bertukar bentuk macam Transformers yang berbunyi 'chi-kuk-kuk-kuk-hargghptuih' setiap kali dia bertukar. Bukan juga cahaya itu terbentuk dari 2 ciri atau 2 bahan. Maksud fizika moden itu ialah cahaya memiliki ciri-ciri sifat bahan dan juga sifat gelombang. Ini telah dibicarakan dalam n3 sebelum ni. Hakikat sebenar cahaya tidak ada siapa yang tahu kecuali Tuhan.

Tentang Cahaya

E=MC² ; E-energy(tenaga), M- mass(jisim), C- speed of light (laju cahaya)

Formula yang budak-budak pun ingat, mana tak nya, T-Shirt pasar malam pun ada tulis formula ni. Formula ni dahsyat bukan kerana penemuannya tapi kerana apa yang telah dilakukannya. Malapetaka yang berlaku di Jepun misalnya, menjadikannya begitu popular.

Tenaga yang terhasil adalah bersamaan dengan jisim darab laju cahaya ganda dua. Bermakna, 1 gram jisim atom yang dipecahkan menghasilkan tenaga sebanyak 299,792.458 kgm²/s² atau lebih kurang 300 kilojoules [ dimana, 1 joule = 1kg.m²/s² ] . Nombor ini sukar untuk kita bayangkan sebab joule bukan ukuran yang biasa kita guna. Bukan macam inci yang selalu kita guna nak tempah baju kurung atau baju melayu, atau yang biasa kita guna untuk ukur ukurlilit khazanah yang tersimpan sekeliling perut (seperti kata ayah-stein, ukuran perut juga relatif, kejap kecil kejap besar, lebih magis ianya kejap muat kejap tak muat).

Ianya boleh dibayangkan begini:

1 gram atom terbelah seperti tenaga 0.24kg TNT meletup.
1 gram atom terbelah seperti mengangkat 299,792 biji epal kecil setinggi 1 meter serentak.



Cahaya yang boleh bersifat gelombang. Cahaya tampak (yakni, cahaya yang boleh dilihat terus dengan mata kasar manusia) mempunyai julat jarak gelombang yang tertentu. Bermakna, kita tidak dapat lihat seluruh spektrum jarak gelombang. Bermakna juga, kita tak boleh lihat semua benda dengan mata kasar kita. Banyak hijab yang Tuhan letakkan pada mata kasar kita.

Contoh gelombang yang kita tak nampak: X-ray, radio, gamma dan macam-macam lagi. Tapi, manusia moden dah mula sedar hakikat bahawa mengetahui seluruh spektrum gelombang mungkin boleh membongkar rahsia-rahsia alam ini. Mungkin boleh mengetahui alam-alam yang terselindung yang selama ini kita tidak nampak. Mungkin boleh lihat hantu??!


Setiap jasad dalam alam maya ini mempunyai tenaga. Hatta mayat reput sekali pun. Tindak balas kimia reputannya, kalau dibakar atau entah macam mana pun, tenaga kimianya boleh terbebas. Dan setiap jasad yang lebih daripada suhu 0 Kelvin akan membebaskan tenaga haba, walau pun sedikit. Kalau kurang, tenaga itu disimpan dalam bentuk lain dan bukan bermakna tiada tenaga.

Kalau ikut teori atas tu, setiap jasad yang punyai atom akan menyimpan tenaga, yang jika dibelah atom itu, tenaganya diukur seperti formula atas tu. Tenaga haba dibebaskan bermula dari spektrum infra-red dan ke atas. Spektrum infra merah adalah gelombang, adalah cahaya.

Tentang Tenaga

Ini tiada kaitan dengan global warming.
Tapi ia berkaitan dengan tenaga dibebaskan. Seperti yang aku tulis, hatta mayat reput pun boleh bebaskan tenaga. Ini kerana ada satu konsep dalam thermodinamik, tenaga tidak boleh dihasilkan atau dimusnahkan, ianya hanya berubah bentuk. Maksudnya, letupan dari mercun adalah transformasi tenaga tersimpan dalam bentuk pepejal belerang kepada tenaga haba dan sebahagiannya dalam bentuk tenaga cahaya. Aku berlari, jadi tenaga yang tersimpan dalam bentuk lemak-lemak yang bershuffle kat perut dipecahkan secara metabolasi untuk ditukarkan kepada tenaga kimia. Tenaga ini kemudiannya digunakan untuk menggerakkan kaki dan jantung dan lain-lain, dengan kata lain tenaga untuk membuat kerja; dan sebahagiannya terbebas ke alam sekitar dalam bentuk haba dan kentut (kentut panas ape...).

Tenaga berubah bentuk. Dalam menangani masalah kepanasan global ini, tenaga haba adalah sesuatu yang tidak diperlukan di iklim tropika dan khatulistiwa ini. Tenaga yang tersimpan dalam bentuk pepejal, cecair atau gas eloklah dibiarkan begitu. Janganlah ia terbebas dan bertukar bentuk menjadi tenaga haba. Aku dah cukup panas, rimas dikala ini.

Kita sedut minyak dan gas dari dalam perut Bumi. Minyak dan gas itu tak le sepanas mana kerana tenaganya tersimpan. Tapi, bila kita bakar, tenaganya berubah bentuk kepada tenaga haba. Itu yang panas hati aku ni.

Orang kata penyaman udara itu mendinginkan, membuang haba. Tidak terlalu benar. Sebenarnya, bilik menjadi dingin sebab haba di dalam bilik dikeluarkan melalui mesin haba (pendingin hawa) secara kitar Carnot. Maknanya, bilik itu sejuk sebab habanya dipindahkan ke luar. Jadi, bilik menjadi lebih sejuk dan di luar menjadi lebih panas.


Siksanya aku setiap hari menunggang kuda api aku, lebih-lebih lagi bila menunggu mata jin bertukar dari merah ke hijau di simpang. Aku berpeluh-peluh menahan panas sedangkan ada pasangan muda membuat adegan separa panas dalam kereta yang berhawa dingin. Mereka membuang haba dari dalam kereta ke luar, hingga aku terasa panas. Cis!






.

Friday, May 22, 2009

Sementara boleh...

.

Seorang lelaki susap-sasap dengan kuda apinya. Bukan sebab nak cepat sampai ke Masjid untuk sembahyang jumaat tapi kerana kuda apinya terjemur di bawah mentari terik, pelana kudanya panas membahang. Bontot dah naik merah macam kena panggang. Itu tak apa. Yang lebih penting, lelaki itu tak mahu hidangan tengaharinya berlaukkan telur separa masak!


Menjejakkan kakinya di kaki lima masjid sesuatu yang mendamaikan. Jemaah masih belum ramai. Kemudian, lelaki itu masuk ke dalam untuk berwudhuk dan bersembahyang sunat. Sambil menunggu masuk waktu, dia duduk bersila sambil fikirannya berlegar-legar sekitar perkara-perkara selain dari keduniaan.

Dia perasankan sesuatu. Tidak jauh di kirinya, seorang lelaki separa umur sedang duduk di kerusi plastik sambil bersembahyang sunat. Khusyuk. Kadangkala terdengar ayat-ayat yang dibacanya.

Lelaki yang masih muda belia dan sedang bersila itu memandang agak lama kepada lelaki separa umur itu. Hatinya terdetik, adakah dia hanya akan kerap sujud apabila fizikalnya sudah tidak mengizinkannya lagi untuk sujud dengan sempurna?

Perasaan bersalah kepada Tuhan menjalar dalam tubuh serta merta. Berapa kali dalam sehari dia bersujud dengan tubuhnya yang sempurna itu? Adakah apabila nikmat tubuh itu telah luntur baru dia ingin sujud semahu-mahunya?

Pertanyaan demi pertanyaan tinggal tak berjawab...







.

Thursday, May 21, 2009

Memanjang training... kata Tasek.

.

Kompeni perlukan changing agent seperti kami 24 orang ni. Kompeni perlu merubah business process mana yang patut untuk align dengan master plan. Kami dibantu oleh AT Kearney untuk membuat proposal menyeluruh hasil muhasabah ini. Ya, kami 24 orang ini bakal mengacau kerjaya 8,000 yang lain. AT Kearney ada 5 orang: diketuai Francesco Cigali dari Italy, yang lainnya dari Mumbai, Chennai, Singapura dan Malaysia.

Tapi hari ini bukan training. Lebih kepada penubuhan kumpulan muhasabah dan ianya untuk menentukan hala tuju kompeni 5-10 tahun akan datang. Tapi, aku seperti aku. Berat berapa pikul pun, aku jarang nak serius...



Masa Francesco mula berucap, aku dah teringatkan iklan dalam Discovery (Astro) tentang penggunaan telefon di Italy. Hati aku dah macam kena geletek, dia punya slanga pun memang Italian sungguh. Aku rasa nak suruh je dia sebut pizza 10x.

Masa sessi pecah-beku (ice-breaking), ada 2 set daun terup. Kami di suruh ambil satu setiap sorang. Aku ambil dan cepat-cepat aku terlangkupkan atas meja. Kemudian aku cakap kat kawan sebelah, aku bet RM10. Aku tanya, follow or raise? Kakak yang duduk depan aku jegilkan mata, dia nampak warak (nasib baik dia tak ikut bet, rupa-rupanya daun dia Ace. Aku punya Jack je).


Lepas tu, kami disuruh cari pasangan ikut daun terup masing-masing. Aku dah target awek India dari Mumbai tu, rupanya sebijik macam Pretty Zinta cuma dia ni kurus sikit tapi tinggi. Aku pandang dia, dia pun jeling kat aku. Alih-alih, ada sorang Haji dapat dia. Kemudian, ada lagi awek Cina dari Singapura, aku cuma sempat cakap kat dia yang jodoh tak ada. Kawan aku sambar!

Akhirnya, aku berpasangan dengan jantan. Lepas tu, kami disuruh berkenalan. Kemudian, kami disuruh sorang-sorang ceritakan latar belakang pasangan masing-masing. Kawan aku tu dari Chemor dan aku dari T.Intan, kebetulan. Maka, dengan jelas dan kuat aku ucap,

'... and I discovered that we're both from Perak..... Long live the King! Long live the King!'

Tak sangka, teriakkan aku disambut dengan tepukan gemuruh. Mamat-mamat AT Kearney yang dari luar negara tu terkebil-kebil, tak faham.



Diakhir sessi, Francesco beri ucap penutup. Dia kata, walaupun sessi petang biasanya mengantuk, ada beberapa orang masih kekal aktif dan tersenyum. Salah seorangnya aku la tu. Mana tak nya, aku asyik main balas SMS dengan Tasek Merah, maunya aku tak senyum. Itu pun sebab aku kontrol gelak aku....





.

Wednesday, May 20, 2009

Tentang cahaya lagi...

.


Ayah Stein kata, cahaya merambat dengan kelajuan tertinggi. Tak ada yang dapat tandingi lajunya. Itu dia kata. Dalam General Theory of Relativity, dia kata kelajuan cahaya adalah kelajuan maksimum.

Dia bagi satu contoh, kalaulah satu keretapi bergerak pada kelajuan cahaya dan seseorang berlari dari gerabak belakang ke gerabak depan, bagi orang yang berlari tu, dia rasakan dia sedang berlari laju. Tapi, bagi orang yang memerhatikannya di luar, orang tu seakan-akan tak berlari. Dan, orang yang berlari tu semakin pipih.

Sebabnya, oleh kerana keretapi tu dah bergerak pada kelajuan cahaya, orang tu tak boleh bergerak lebih dari dari laju cahaya.

laju keretapi+laju org berlari=laju gabungan mesti kurang dari laju cahaya

Aku ada cerita tentang ini:



Kisah cencurut dengan mengkura

Seekor cencurut mencabar seekor mengkura lumba lari. Mengkura setuju tapi dengan satu syarat: oleh kerana cencurut lari 10 kali lebih laju dari mengkura, cencurut kena mula 100m di belakang mengkura (-ve 100m dari garisan mula mengkura). Cencurut setuju!

Satu, dua, tiga! agak-agaknya boleh tak cencurut memotong mengkura?

Cencurut memecut laju, mengkura berlari terkedek-kedek macam toyol. Tapi, selaju mana pun cencurut lari, dia masih gagal memotong mengkura tu, tak percaya?

Ketika cencurut sampai ke garisan mula, mengkura dah jalan 10m ke depan.
Ketika cencurut sampai ke 10m itu, mengkura dah jalan 1 m ke depan.
Ketika cencurut sampai ke 1 m itu, mengkura dah jalan 0.1m ke depan.
Ketika cencurut sampai ke 0.1m itu, mengkura dah jalan 0.01m ke depan.
Ketika cencurut sampai ke 0.01m itu, mengkura dah jalan 0.001m ke depan.
Ketika cencurut sampai ke 0.001m itu, mengkura dah jalan 0.0001m ke depan!
Dan seterusnya begitu sehinggalah ke (1/infiniti), yakni = sifar

Cencurut tu tak pernah dapat potong mengkura.
Kata sahibbul hikayat, akhirnya cencurut tu malu kerana kalah dan menggantungkan diri...


Hahaha...



.

Monday, May 18, 2009

Cahaya oh cahaya

.

Aku suka cahaya. Entah kenapa, aku terpukau dengan misterinya. Seperti n3 aku sebelum ini, juga tentang cahaya. Mungkin aku takutkan kegelapan. Mungkin peristiwa silam yang bila malam, emak hanya nyalakan pelita ayam sebagai lampu tidur. Itu pun diletakkan di tengah-tengah ruang tamu. Itu pun kadang-kadang terpadam bila angin kuat bertiup, atau bila kucing bermain-main dengan serangga yang hurung lampu lalu tersenggol apinya dan terpadam.

Bila gelap, aku yang masih berumur satu angka itu, akan mula berfikir yang bukan-bukan. Nak tutup mata nanti ada hantu datang menjengah dan aku tak sempat lari. Kalau nak buka balik mata lagi takut, kalau-kalau muka hantu itu dah sejengkal depan muka aku!

Akhirnya, aku tidur tanpa tutup kelopak mata. Dan entah bila agaknya kelopak mata aku tertutup sendiri!

Lembaga Letrik Negara (LLN) masa tu cuma bekalkan elektrik pada tahun 1983/4. Tahun yang sama kakak aku belikan TV warna 'Quintrix'. Sebelum tu, TV hanya hitam putih cap 'Sanyo' yang kalau diintai dibelakangnya penuh dengan tiub-tiub kaca yang bercahaya. Sebelum LLN masuk, kami sekeluarga hanya guna generator yang diputar guna enjin diesel cap 'Kubota', yang kadang-kadang enjin itu menjadi mesin parut kelapa untuk buat minyak kelapa secara besar-besaran.



Bila pukul 11 malam, enjin Kubota itu dimatikan. Seketika itu juga hening menjelma entah dari mana. Lampu sentir minyak tanah menjadi penyeri malam. Maka, sahutan burung hantu dan belalang pelesit mengisi sunyi malam. Aku yang tidur di tingkat atas rumah kayu 2 tingkat itu seakan-akan tidur di puncak pokok Rambutan dan pokok Mempelam. Separas dengan burung Hantu dan belalang pelesit itu bertenggek.

Dan terasa begitu hampir dengan pemanggil-pemanggil makhluk-makhluk misteri dan ngeri itu. Kalau aku tutup tingkap kayu itu, bahang panas terasa dalam bilik. Kalau dibuka pula, tergambar semua Sundel Bolong dan Puntianak terbang. Filem yang menjadi igauan masa itu.

Bila dah seram sejuk, terasa nak kencing. Kalau nak turun ke bilik air yang terletak di dapur, kena bawak sentir minyak tanah itu. Dan cahayanya menghasilkan segala jenis bayang-bayang yang sentiasa mengekori aku. Jadi, kerap jugak aku pancut dari tingkap bilik atas... hahaha.

Dan bila bulan mengambang, malam umpama siang. Kelawar, Kampret dan Keluang terbang sana-sini. Sesekali ia menangkap serangga yang hinggap pada dinding luar. Cakarannya bisa menaikkan bulu roma.

Aku perlukan cahaya untuk menerangi kegelapan. Supaya lebih jelas pandangan mata aku dan supaya aku tak rasa takut lagi.

Cahaya.



.

Sunday, May 17, 2009

Bahasa Tuhan

.

Kawan-kawan kata, aku selalu pandang ke langit. Tak seperti mereka yang lebih suka pandang ke tanah yang lebih nyata. Aku kata, kalau semua pandang ke tanah, siapa nak pandang ke langit? Aku akan pandang ke tanah jika SEMUA orang pandang ke langit. Ya, itu lah aku. Aku memang begitu.

Sebab itulah juga kawan-kawan aku selalu kata aku biol, tak betul, tak macam orang lain. Mungkin. Tapi, mungkin juga kerana mereka tak faham aku. Sesetengah kawan kata, aku ni pelik. Disebabkan itu, aku sukar bergaul. Kalau aku bergaul juga, aku terpaksa memakai jubah mereka, memakai topi fikiran mereka. Dan itu buatkan aku cepat lemas. Kalau terlepas kata, aku terasa malu. Baik aku keluar dari kelompok sosial itu. Ini kisah benar tentang aku. Sebab itu jugalah, aku cuma ada beberapa kawan yang boleh bercerita satu kelambu, bercerita dalam satu selimut. Dulu.


Aku pandang langit?

Entah bila tapi aku teka, sejak aku pegang karya Maha Agung itu. Sejak aku diceritakan oleh arwah bapak tentang kitab-kitab/primbon Jawa, cerita-cerita tentang Nabi-Nabi. Termasuk unsur-unsur mistik yang berlegar-legar sekitar kawan-kawannya, kerana aku sering diajak temaninya di warung-warung kopi. Sedikit-sebanyak, ia membentuk sahsiah fikiran aku, asas fikiran aku.

Dan sejak itu, aku selalu pandang langit. Mencari jawapan tentang itu-ini. Dan aku tak putus asa kerana aku tahu Tuhan sedang berbicara dengan aku. Cuma aku perlu dengar dengan teliti dan secara halus. Kalam-kalam Tuhan yang tersurat dalam naskhah Uthmani, juga tanda-tanda di sekitar ini. Kadangkala, aku tak perlukan mata untuk melihat. Tak perlukan telinga untuk dengar denyutannya suaraNya. Cukup dengan hanya berdiam diri.

Dan aku hampir gila. Ada suara dalam hati yang bercakap dan aku tak mampu kawal. Aku pergi ke hutan dan aku luahkan ' Aku tak takut kamu! Keluarlah kalau berani!' Itu biasa aku jerit pada pokok Cempaka sepemeluk itu. Dan aku selalu bermain-main dengan kata-kata ' Tuhan...terbalikkan... hanTu, Tuhan yang baik... hanTu yang jahat'. Memanglah, ketika itu aku baru Darjah 5!

Arwah bapak aku pernah kata, masa aku 15 tahun, dia seakan menyesal masukkan aku ke aliran sains. Itu mungkin kerana aku terlalu berbantah dengannya tentang penciptaan alam ini, tentang ruh, tentang jin. Aku termenung agak lama. Kenapa bapak aku boleh kata begitu?

Lama kemudian, baru aku faham. Tak semua dia faham dan tak semua aku faham. Kadangkala, maksud sebenar terbungkus dengan perumpamaan, dengan perlambangan. Simbolik. Semuanya masalah bahasa dan budaya.

Cuba bayangkan, kalaulah aku kembali ke zaman batu, pada awal-awal bahasa diguna dan aku perlu ceritakan tentang Kapal Terbang kepada mereka, bagaimana aku nak terangkan?

Aku pasti akan ceritakan begini: Ia terbang lebih laju dari burung, suaranya boleh pecahkan telinga, besarnya macam Garoda, sayapnya panjang dari timur ke barat, kakinya berkuku 18, ekornya seperti burung tapi kepalanya adalah manusia. Sekampung boleh duduk dibelakangnya dan boleh terbang sehingga ke sebelah dunia. Dia boleh bawa manusia ke langit dan hilang dicelah-celah awan, mungkin ke syurga. Aku ceritakan begitu kerana fikiran mereka cukup sampai ke situ.



Aku mencari jawapan dan Tuhan berbicara hampir ke telinga aku. Tapi kurang jelas, selagi aku tak tahu berbahasa Tuhan. Siapa nak tolong?





.

Dunia sedang berubah

.

Jened asyik menjilat-jilat aiskrim di sofa kulit lembu dari Itali. Anak remaja lelakinya berjoget-joget shuffle mengikut rentak dari karaoke yang dipasangkan dengan agak banter. Agak banter hingga mengganggu Juli yang sedang membaca sebuah buku agama di bilik atas. Bacaannya sedikit terganggu dengan perbuatan abang sulongnya.


Pintu utama dibuka. Joned menghempas kopiahnya di atas 'chest table', lalu menghampiri set karaoke. Joned tutup suis. Tarian anak lelakinya terhenti.

"Aku dah pesan, waktu Maghrib jangan buat benda-benda begini"

"Kalau awak nak pergi masjid, awak pergilah, I tak kacau. Nowadays, we are equal. I have my rights in my house. Sekarang mana ada mahkamah syariah. Mahkamah satu jenis je"

Joned malas nak layan. Dia alihkan pandangan dia pada anak lelakinya pula.

"Jangan tengok macam tu, ayah. Walau umur Jimi bawah 18 tahun, ayah masih tak ada hak untuk tentukan agama Jimi. Undang-undang beri hak kepada Jimi untuk neutral. Even if Jimi dah lepas 18 tahun, undang-undang benarkan Jimi pilih agama Jimi sendiri"

Joned faham. Dia terus diam.

" ... itu pun kalau Jimi pilih untuk beragama. Kalau tak, undang-undang tetap berpihak kepada Jimi"

Jened dan Jimi ketawa, agak menyindir bunyinya. Joned buka TV. Berita Agong di kaca TV sekarang ini.

'... Mesyuarat Majlis Persamaan Hak Malaysia, yang menggantikan Mahkamah Syariah, telah memutuskan bahawa kopiah putih tidak boleh dipakai di tempat awam mulai bulan hadapan. Majlis membuat keputusan itu setelah mendengar petisyen daripada orang awam yang mendakwa memakai kopiah putih adalah satu penghinaan dan boleh menimbulkan prejudis kepada agama lain. Ia juga dianggap membelakangkan hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan'

'... manakala mengenai isu songkok pula, Majlis yang sama telah mengesyorkan songkok hanya boleh dipakai di tempat awam pada hari-hari tertentu, seperti pada Hari Raya. Ini berikutan perintah injuksi dari mahkamah yang menerima hujah bahawa songkok adalah salah satu pakaian budaya dan tidak ada kena-mengena dengan agama Islam'.

Joned tutup kembali TV. Jened berhenti dari menjilat aiskrim. Jened memberikan satu 'high-5' kepada Jimi. Joned faham. Keadaan sekarang telah jauh berubah....




(

Aku dapat ilham ini tadi. Semasa makan tosei telur di kedai mamak sekitar USJ. Ada seorang wanita berambut lurus, berbaju-T sendat dan berumur lewat 40an sedang makan sambil menonton Astro. Aku intai di bawah mejanya, wanita itu berseluar pendek. Di sebelahnya ada seorang budak perempuan dan seorang remaja lelaki berpakaian agak hip.

Tak lama kemudian, seorang lelaki pertengahan abad berbaju melayu biru, berkain sarong dan berkopiah datang ke meja itu dan duduk sekali. Aku rasa dia baru habis berjemaah Isyak atau mendengar ceramah.

Aku tak mahu kata apa-apa. Anda semua bebas membuat andaian masing-masing, seperti mana hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan .....

)


.

Friday, May 15, 2009

Tinggal Lima jengkal nak kiamat !

.


Pagi kelmarin dulu, cahaya mentari warna merah, tak macam biasa. Matahari baru bangun seinci, belum mandi lagi aku agaklah.

Paku Payung kata matahari tu sakit sebab masa dia kecik dulu, ada satu kali tu bulan warna merah. Dia tanya aku kenapa bulan tak warna kuning macam selalu. Aku kata bulan tu tengah 'sakit' sebab banyak asap kat atas langit.


Pagi yang itu, Paku Payung tanya aku mana arah Barat, lalu aku tunjukkan arah mata angin tu. Kemudian Paku Payung pun angkat tangan kanannya, lepas tu dia renggangkan jengkalnya seluas mungkin. Kemudian, dia ukur dari matahari terbit itu sampailah ke arah Barat.

' Satu... dua... tiga... empat......lima!'

' Abah, tinggal lima jengkal lagi nak kiamat!'


Hah? Aku kata lima jengkal tu lama sangat. Aku pun angkat tangan aku dan aku letakkan dekat dengan mata. Kemudian aku ukur dengan cara yang hampir sama.

'Eh, Abah kira kiamat tak sampai lagi dua jari ni ' kata aku.

'Jari Abah besar, jari kita kecik lagi. Tu sebab kita kira lima jengkal' katanya.

Kemudian kami senyap seketika sambil aku membuka gari yang memasung kuda api aku.



'Nak tanya sikit, macam mana Abah tau kiamat tinggal lagi dua jari?'

Aku kata, nabi yang cakap macam tu. Tapi itu dulu la. Sekarang ni, mungkin dah tinggal satu jari je! Aku kena hati-hati cakap dengan dia bab-bab kiamat ni. Dia ni terlalu taksub bab-bab sebegini. Pernah satu kali tu, dia berdoa supaya dia mati cepat-cepat sebab takut kena kiamat. Dia juga pernah susah tidur sebab asyik fikir kalau esok-esok kiamat. Terpaksalah aku pujuk dan ceritakan hakikat sebenar kiamat dan dia masih kecil lagi. Semuanya gara-gara membaca salah satu buku aku.




.

Thursday, May 14, 2009

Tingkah bertingkah...

.

Aku letakkan teori konspirasi aku di tempat lain supaya tak mengganggu blog ini kerana agak panjang, dan agak meleret.

Oleh itu, kepada sesiapa yang berminat nak tau babak bertingkah antara Tuah dan Jebat, sila klik Merung Mahawangsa.

Enjoy parodi aku.


.

Award dari Waterlily



Terima kasih Kak Waterlily.

1. Nama panjang : n i z a m d o t a r i f f
2. Nama sederhana panjang: nizam
3. Nama pendek: dot
4. Berzodiak Gemini (lahir bulan June, 12)
5. Rumah: tepi jalan
6. Sukakan gadis yang berwajah bulat dan bersopan-santun & pemalu yakni ISTERIKU.
7. Peminat tegar Discovery Channel dan SpongeBob
8. Kerja: cari duit hari ini untuk bayar hutang semalam, esok cari lagi untuk hutang hari ni.
9. Minat yang mendalam pada perkara-perkara diluar kotak pemikiran.
10. Pernah bercita-cita untuk menjadi orang kaya yang tak perlu kerja.

Aku dedikasikan award ini untuk semua yang membaca blog ini sama ada secara senyap atau terang-terangan.


HAHAHA

Cut scenes

Aku sahut permintaan Tasek Merah. Jadi, inilah babak-babak yang dipotong oleh lembaga pemotongan filim...


Cut scenes
:

Maka sembah Jawa itu lagi, ' Ibarat mengumbah kain, tuanku. Tidak kira dikusal sekian lama, jika ketumbinya masih ada, kotornya tak akan ke mana-mana, tuanku'

Maka kata Seri Nara DiRaja dalam hati, sungguh biadap Jawa ini, dengan Sultan berbicara ketumbi, tiadakah yang lain dijadikan misal?

Maka kata Sultan, 'Orang Kaya-Kaya semua, kita akan membuang si Tuah itu, apa bicara kamu sekalian?' Maka berdiamlah semuanya, angguk tidak geleng pun tidak.

Maka titah Sultan, ' Hukum orang derhaka, bunuhlah hukumannya!'

......

Maka Seri Nara DiRaja pun memberi salam, ingin menaiki anak tangga. Maka dihalangi oleh Jebat di pintu. Maka berhentilah Seri Nara Di Raja di situ.

Lalu Jebat memengkis, 'Jangan Orang Kaya naik ke mari! Datang tak berjemput, tunggulah sahaja Orang Kaya di bawah'

Maka dilihat Jebat itu lagi memengkis, maka Seri Nara DiRaja pun turun ke tanah semula. Maka didengar oleh Tuah perihal Jebat itu memengkis Orang Kaya, maka katanya 'Jebat! Jangan engkau biadap'.

......

Maka kata Seri Nara DiRaja, 'Mahukah anakanda berjanji?
Maka ditanya oleh Tuah pula, 'Mengapa, adakah Orang Kaya bermuslihat?'
Maka kata Seri Nara DiRaja, 'Berjanjilah anakku!' lalu berkatalah Tuah, 'Baiklah'

Maka, setelah hampir sampai ke tempat yang dituju lalu Seri Nara DiRaja pun menyuruh Temenggung dan para pengiring berhenti, lalu mereka berlima pun berhentilah. Maka Seri Nara DiRaja pun mengambil keris tanda dari Sultan dari dulang lalu pergi mendapatkan Tuah.

Maka kata Seri Nara DiRaja, 'Tinggallah kalian di sini, biarlah pekerjaan ini aku seorang jalankan'.

Maka disambut oleh Temenggung, 'Baiklah, kata Orang Kaya tidaklah kami lalui'.

.........

Setelah sudah maka kata Seri Nara DiRaja, 'Dengar pesanku wahai anakanda. Di hujung hutan ini ada sebuah pondok lama tiada yang empunya. Anakanda duduk diamlah di situ hingga sampai masanya. Di situlah anakanda aku taruhkan. Bawa Tamingsari itu ke mari, Sultan mahu bukti'.

.......

Maka kata Jebat, 'Lupakah pada siapa Tamingsari ini?'
Maka dilihatnya pengawal makin banyak, lalu dikuncinya semua pintu, hanya satu pintu dibiarkan buka. Maka perempuan kendakannya itu pun dibunuh, dihirisnya dari muka lalu ke perutnya dan ditelanjanginya. Maka bertambahlah murka Sultan bila mengetahui gundik baginda telah dibunuhnya.

.......

Maka setelah sampai, lalu dilihatnya Tuah lagikan kurus dan pucat, jalan bergoyang-goyang, maka sedihlah baginda. Maka dianugerahi baginda akan sepersalinan dan ayapan.

Setelah sudah makan, maka diambil Sultan keris dari sisip pinggang baginda diberi pada Tuah. Maka titah baginda, 'Basuhkan arang di mukaku ini'.

Maka dilihat Tuah itu bukan Tamingsari, maka berkatalah Tuah, ' Jangankan dibunuh, diluka pun belum tentu. Sekadar berjaga dirilah hamba dengan keris ini'.






.

Konspirasi alam Melayu...

.

Sewaktu kisah pertarungan Hang Jebat (W.G. Shellabear: Hang Kasturi; R.O Winstedt: Hang Jebat) dan Hang Tuah diceritakan di dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, aku naik musykil kerana dikatakan pertarungan akhir dua pahlawan bersahabat itu berlaku di atas istana yang dikosongkan oleh baginda Sultan. Atas permintaan kedua-duanya, tiada siapa pun yang dibenarkan naik ke atas istana. Sekurang-kurangnya, begitulah ceritanya.

Kalaulah tiada yang melihat pertarungan akhir tersebut, bagaimana perincian pertarungan itu boleh didapati? Hang Tuah saja-saja karang cerita? Atau ianya berasal dari cerita lisan rakyat yang kemudian dibukukan oleh orang? Kalau begitu, aku juga boleh bercerita ikut lisan aku.


Aku syak, mereka berdua berkonspirasi untuk menyelesaikan masalah mereka yang berpunca dari baginda Sultan yang asalnya berpunca dari hasutan si pembesar berketurunan Jawe itu. Wasangka aku berlandaskan:
1. Mereka berdua sejak kecil telah berkawan, berguru dan berjuang bersama-sama.
2. Mereka telah bersumpah bersaudara.
3. Sebab musabab Hang Jebat mengamuk kerana inginkan pembelaan untuk Hang Tuah.
4. Tiada siapa melihat mereka bertarung.

Jadi, mengikut perkiraan aku, adegan pertarungan tersebut boleh diolah seperti ini:


Pertarungan Dua Bersahabat.

"Bagaimana aku naik? Baru semata dua mata anak tangga, engkau terpa. Jika engkau hendak beri aku naik, menyisihlah engkau sedikit"

"Baiklah, naiklah engkau"

Setelah Jebat menyisih, maka Tuah pun segera melompat naik. Maka Jebat pun melihat orang di luar, dilihatnya seperti ombak pasang, perisai-perisainya umpama sisik ikan. Maka segeralah ditutupnya pintu oleh Jebat. Maka dilihat Tuah gundik raja yang diperkendak oleh Jebat telah mati, ditoreh dari muka bawa ke pusat. Maka dikuisnya kain perempuan itu, tertutuplah segala tubuhnya seperti diselimuti orang. Maka bertikamlah dua sahabat sama seguru, dari siang bawa ke petang. Maka dirasakan lelah oleh Tuah. Maka diminta rehat barang seketika oleh Tuah, kerana berdiri pun belum tetap, bertikam pun masih gamam akibat lama di pasungan.

"Tiada lagikah kasih engkau pada aku, Tuah? Aku begini angkara Sultan jua"

"Aku tahu"

"Tiadakah boleh kita bermuslihat?"

Setelah didengar tiada bunyi dari dalam istana maka orang pun menyangka telah matilah si Jebat dibunuh oleh Tuah. Maka masing-masing pun mendekati dari bawah istana. Maka segala pedang dan tombak dicucuk oranglah dari bawah istana. Maka segeralah pahlawan berdua itu menabur talam kerikal di atas lantai. Maka diterpa oleh Tuah ke pintu seraya dihalau semua.

"Akan kuamuk jua siapa kemari"


Berbuat Muslihat

"Sahaja aku berkata kepada Sultan, tiada Tamingsari ditanganku, tiadalah mati Jebat"

Tuah pun tersenyum, maka Jebat sama tersenyum.

"Padahal, si Tamingsari itu akulah yang membunuhnya. Kalau aku mahu, akan aku bunuh engkau sekarang jua"

"Aku tahu, Tuah"

Maka dicampakkan keris Tamingsari itu pada Tuah.

"Kalau Seri Nara DiRaja berbuat muslihat ditaruhnya engkau, mengapa tidak aku pula ditaruhkan engkau, Tuah?"

Setelah berfikir seketika maka diambilnya darah dari perempuan kendakan Jebat yang mati dibunuh itu lalu disapukan pada Tamingsari. Maka diambil sedikit maka disapu pula pada baju Jebat.

"Keluarlah engkau dahulu, nanti aku menyusul"

Setelah sudah bermuslihat dan bersepakat maka Tuah pun menolak pintu. Maka ditunjuki kepada orang yang Tamingsari sudah berdarah. Maka setelah dilihat orang akan Tamingsari itu lagikan berdarah, bersorak-sorailah semuanya, lalu pergi mendapatkan tangga istana. Maka dilihat orang Jebat itu masih hidup. Maka larilah semuanya membuang diri jatuh ke tanah, yang patah kaki mengesot, yang tercucuk mata lalu buta teraba-raba, yang patah gigi memekik kelolong. Maka hebohlah sekampung yang Jebat itu masih hidup lagi mabuk darah mahu mengamuk.

Maka berlarilah Jebat ke rumah Tuah seraya tangannya memegang dada yang berdarah.

"Beranilah kamu semua dekat kemari, akan kubunuh semuanya!"

Maka setelah melihat Jebat itu masih hidup, masing-masing menikus diri di dalam rumah. Tiada berani membuka pintu dan tingkap. Maka hari telah pun senja. Maka sampailah Jebat ke rumah Tuah. Maka segera disuruh bersiap-siap pergi ke hutan. Maka disuruhnya ambil satu mayat lalu disalinkan pakaiannya akan pakaian Jebat yang berdarah. Setelah sudah maka Jebat disuruh pergi bersama-sama anak bini ke hutan.

Maka segeralah mayat itu dicampakkan ke laut oleh sahabat yang lain. Setelah sudah maka berdatang sembahlah Tuah ke istana kepada Sultan.

"... sudah kubunuh si Jebat derhaka itu"

Maka dilihatnya Tamingsari itu berdarah, sukahatilah Sultan. Maka diberinya persalinan kepada Tuah.

Maka, bermohon sembahlah Tuah lalu keluar dari istana diikuti akan Bendahara dan Seri Nara DiRaja. Setelah agak jauh, maka berkatalah Seri Nara DiRaja kepada Tuah,

"Benarkah Jebat telah engkau bunuh? Berkata benarlah pada orang tua ini, Tuah"

Maka Hang Tuah pun tersenyum.
Maka Tun Perak pun tersenyum.
Maka Seri Nara DiRaja pun turut tersenyum...



.

Wednesday, May 13, 2009

Dambakan layananmu

.


Setiap pagi weekdays, aku akan singgah ke nursery tempat transit Paku Payung, untuk hantar baju dan beg sekolah petangnya. Aku singgah selepas hantar dia ke sekolah paginya menaiki kuda api aku.


Dan setiap pagi weekdays aku pindahkan baju sekolah petang Paku Payung yang siap ber'hanger' dari tangan kiri aku ke tangan kanan awek nursery tu di muka pintu. Kemudian aku pindahkan beg sekolah petangnya yang agak berat dari tangan kanan aku ke tangan kiri awek itu.

Aku lakukan langkah demi langkah untuk memanafa'atkan masa yang sesingkat itu untuk bertemu dan bersabung mata. Namun, awek Melayu itu hanya tunduk ke lantai. Lantas senyum aku tak pernah berbalas. Sapa aku pun jarang berbalas. Kalau aku beri salam pun, awek Melayu tu hanya menjawabnya sama ada perlahan atau dalam hatinya.



Tadi, selepas melunaskan tugas harian weekdays aku seperti biasa, aku juga mendapat response yang biasa-biasa, aku berselisih dengan seorang budak lelaki 6 tahun yang baru keluar dari kereta ayahnya.

Budak lelaki itu berlari-lari kecil sambil tersenyum kepada awek Melayu yang kini aku belakanginya.

"Assalamualaikum, adik! Macam mana hari ni, seronok tak? Adik dah sarapan?"


Ceh!

Kenapa mereka double standard? Kenapa awek Melayu tak sapa aku macam tu selama ni? Aku pun dambakan layanan seperti itu. Aku kangen, aku pengin, aku... aku... aku lelaki yang mahu dilayan seperti itu.... aga ga gu gu...

Kenapa????!




.

Monday, May 11, 2009

Alam ini bulat atau rata?

.

Aku ada cerita dan aku ada pendapat peribadi untuk aku ceritakan.


Aku pernah terbaca lama dulu, jika kita pegang lampu suluh yang kuat menghala ke langit, satu hari nanti, cahaya dari lampu suluh itu akan menyuluh kita dari belakang. Itu satu teori. Dengan kata lain, alam ini sebenarnya bulat. Dan setiap titik dalam alam ini adalah titik tengah alam ini. Benarkah alam ini bulat?

Lama dulu, orang percaya bumi ini rata kerana pandangan mata kita melihat bumi ini rata. Sehinggalah ada orang yang menunjukkan bayang-bayang bumi pada bulan. Maka keluarlah kenyataan bahawa bumi ini relatifnya bulat / sfera.

Tapi, itu bumi dan beberapa planet lainnya. Yang aku maksudkan di sini ialah alam ini, universe. Adakah alam ini juga bulat?

Aku teringat ustaz aku kata, bila kiamat nanti, Tuhan akan hancurkan alam ini, kemudian Tuhan akan hamparkan 'bumi' yang baru alam akhirat, padang Mahsyar. Aku tertarik dengan perkataan " hamparkan ". Bukankah alam ini rata?



Persepsi kita tentang alam ini kebanyakkannya hasil dari pandangan mata kita. Maknanya, cahaya yang masuk ke dalam pupil mata kita dan jatuh atas retina. Cahaya!

Dalam fizik, gelombang elektromagnetik tak sama dengan gelombang bunyi. Dan cahaya menepati ciri-ciri fizika gelombang elektromagnetik atau radio dan digelar cahaya itu gelombang. Gelombang cahaya. Tapi, cahaya ciptaan Tuhan itu bukan boleh ditakrifkan sebegitu mudah! Lihat sahaja Surah An-Nur. Tasfiran al-Ghazali sahaja boleh menjadi satu kitab.

Cahaya bersifat kedualan (ppsmi?) atau 'duality'. Ini kerana ia bersifat gelombang dan juga bersifat zarah. Zarah cahaya dipanggil foton (ppsmi?) atau 'photon'. Bila cahaya bersifat zarah yang berjisim, ia juga boleh dipengaruhi oleh graviti.

Kerana graviti bertindak ke atas jisim, jadi bila cahaya melintas berdekatan jasad yang berat atau berketumpatan tinggi, perjalanan foton tadi akan terganggu. Cahaya akan bengkok! Zarah graviti yang digelar graviton akan menarik foton. Oleh kerana foton bergerak selaju cahaya, foton berjaya melepasi gangguan graviton tetapi foton tidak lagi bergerak lurus! Dan jika jasad itu berketumpatan terlalu tinggi, foton tadi akan tertarik sepenuhnya kepada jasad itu.


Jikalau cahaya tidak lagi dipercayai HANYA bergerak lurus, bolehkah kita percaya dengan apa yang kita lihat dengan mata kita?

Nasib baik kita masih punyai mata hati, dan aku pohon agar Tuhan sentiasa memelihara mata hati kita untuk mengetahui kebenaranNya.

Jadi, bagaimana sebenarnya rupa alam ini, bulat atau rata?




Cahaya adalah gelombang. Ianya gelombang kerana ianya bergetar. Ianya bergetar seperti tali gitar yang dipetik oleh jari-jari mulus Alina Abdullah. Dan setiap zarah itu bergetar, termasuklah foton. Getarannya kerana tenaga yang ada pada zarah itu. Oleh kerana tenaga adalah kekuatan yang bersumber kepada Ketuhanan, zarah-zarah itu bergetar kerana takut atau berzikir kepada Penciptanya. Begitu juga zarah yang membina tubuh kita.

Setiap getaran zarah asas mempengaruhi alam ini, kerana zarah adalah asas alam ini. Oleh itu, kini ahli fizik mulai percaya yang alam ini, pada asasnya, terbina dari tali-temali yang bergetaran (String Theory). Oleh kerana foton yang dulunya dipercayai bergerak lurus sebenarnya bengkang-bengkok, maka tali-temali itu bergetar laksana getah gelang yang elastik, seperti yang ada pada lengan-lengan KakPah kecil-kecil dulu. Setiap tali elastik itu bercantum hujung ke hujung dan membawa satu definisi ruang dan masa. Ruang dan masa adalah tempat. Tempat adalah alam. Jadi, alam adalah elastik. ' Sama ada kita percaya sudu itu bengkok atau kita yang bengkok melihat sudu itu' kata budak dalam Matrix.

Kini, tali-temali itu dipercayai secara teorinya berselirat antara satu sama lain. Dengan kata lain, ruang dan masa itu sebenarnya berselirat untuk membentuk satu lapisan ruang dan masa yang lain. Tali-temali tadi yang mewakili alam ini terjalin, tersulam seperti tikar mengkuang kecil yang dijaja oleh Pak Malau. Sulaman ini dipanggil membran. Membran yang berlapis-lapis, yang mewakili ruang dan masa, yakni alam yang berlapis-lapis. Jadi, ada berapa dimensi alam sebenarnya?

Kaluza berkata alam ini ada 11 dimensi, dimana 6 dimensi alam terbelit seperti tali-temali tadi menjadi terlalu kecil, lalu tinggalkan 4 dimensi alam yang kita lihat dengan mata kasar ini . Ada ahli fizik lain berkata alam ini sehingga 313. Aku berpendapat, ada 70 ribu alam! Dan setiap satunya Tuhan hijabkan daripada kita. Kenapa tidak? Bukankah kita ini terlalu hampir dengan Tuhan kita tetapi kita terhijab dariNya lebih dari 70 ribu lapisan? Oleh kerana ada pendapat mengatakan angka 7 adalah angka istimewa dalam istilah arab, 7 ribu atau 70 ribu atau 700 ribu hanyalah menyatakan sesuatu yang sungguh banyak dan bukan sesuatu yang terhad, seperti kita katakan 1001 yang mewakili bermacam-macam; jadi jumlah sebenar alam yang terhijab itu hanya Tuhan yang tahu.

Di sekeliling kita terlalu banyak alam. Alam yang tak boleh kita lihat dengan mata kasar tetapi boleh 'dipandang' dengan mata hati kita. Tanpa kita sedari, setiap kali kita melangkah, kita telah melalui berbagai-bagai alam. Alam-alam tempat tinggal jin dan iblis dan syaitan dan para malaikat. Kadang-kadang, mereka berjaya mencari jalan untuk keluar dari alam masing-masing untuk pergi ke alam lainnya, sudah tentu dengan tenaga. Tenaga adalah kekuatan. kekuatan adalah hak ketuhanan, adalah pinjaman. Oleh kerana hak Tuhan, kekuatan hanya wujud dengan izinNya. ' ... nescaya kamu tidak mampu melepasinya melainkan dengan kekuatan' itu firman Tuhan.

Itu mukadimahnya. Ini adalah cerita yang aku ingin ceritakan:-




9 tahun dulu, sewaktu Paku Payung masih bayi, aku dan Mama akan berulang-alik ke Melaka setiap Jumaat malam, kerana kami tinggalkan Paku Payung dengan neneknya. Kami berulang-alik selama lebih kurang 6 bulan dengan menaiki Kancil 660 yang paling murah yang kami mampu beli, tanpa radio.

Oleh kerana Mama penat bekerja dan kerana tiada radio, Mama sering menemani aku memandu dalam mimpinya. Kami bertolak biasanya selepas Maghrib, kira-kira 8.00pm dari S.Alam. Aku juga penat dan tanpa celoteh Halim Othman dalam radio, aku tak berani memandu melebihi 90km/j!


Satu kali itu, aku putuskan untuk membaca surah-surah lazim sepanjang perjalanan dari S.Alam melalui lebuhraya Elite ke Nyalas, melalui susur keluar Alor Gajah. Aku baca Ummul Kitab 70 kali. habis. Aku baca 4 Qul 300 kali setiap satu. Habis. Aku baca zikir lazim 100o kali. Habis.

Akhir sekali, aku zikir untuk setiap garisan putus-putus warna putih pembahagi lorong di jalan raya. kalau mulut aku penat, aku perlahankan kereta supaya zikir aku dapat ikut garisan putus-putus itu. Jadi, mata aku akan terus melihat ke jalan untuk mengikut rentak laju garis putih itu. Secara tak langsung, aku tak mengantuk!

Dan teruskan berzikir sehinggalah aku perasan ada sesuatu yang kurang kena. Aku dapati yang aku telah hampir ke pondok tol Alor Gajah. Dan jam baru menunjukkan pukul 8.30pm! Masa perjalanan 30 minit. Pada masa sebelum-sebelum ini, aku akan ambil masa 50minit.

Aku terkejut kerana tak mungkin aku pandu lebih laju daripada trip sebelum-sebelumnya kerana aku perlu 'kira' garisan putih. Selepas aku tersedar dari keanehan itu, selepas pondok tol itu, aku berhenti berzikir kerana terkejut. Dan aku teruskan perjalanan ke Nyalas seperti biasa. Secara keseluruhannya, pada hari tu aku cuma mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja, sedangkan pada trip-trip sebelum itu secara purata aku ambil masa 1 jam setengah. Soalannya, mana perginya 20~30 minit itu? Aku berada di alam mana?

Adakah aku telah berjaya membengkokkan alam ini dengan zikir itu?



Zikir adalah kekuatan. Adakah dengan kekuatan itu, aku bisa lepasi batas-batas dimensi alam sepertimana firman Tuhan itu?

Pada trip-trip seterusnya, aku gagal melakukannya semula sebab aku dah tidak ikhlas. Aku zikir tapi mata aku asyik nak tengok jam pada dashboard. Aku dah tak ikhlas seperti yang tadi itu dan perjalanan aku menjadi kekal 1 jam setengah pada trip-trip seterusnya.


(Aku ada tanya kepada seorang kawan yang kukira berilmu. Dia tanya apa yang aku baca dan aku bacakan kepadanya. Dia kata, apa yang aku baca itu adalah amalan segolongan manusia yang 'berjalan melalui masa', seperti cerita orang dulu-dulu tentang orang alim yang bersembahyang di 2-3 tempat pada satu-satu masa, atau mereka yang boleh berjalan dari sini ke Mekah dalam masa yang singkat)

Allah yang Maha Mengatahui segala-galanya.




.

Sunday, May 10, 2009

Mandi Embun Vs Mandi Peluh




Pagi Ahad yang terik!
Mana perginya embun-embun pagi yang sejuk dan segar tu? Mana kabus? Aku rindukan semua tu.


Ada petua berkenaan dengan embun. Namanya 'Mandi Embun'. Dipercayai boleh menyegarkan dan menguatkan tubuh badan. Boleh menghindarkan penyakit. Khasiat-khasiatnya kurang menarik? Aku ubah ayat kat atas tu: Dipercayai boleh menyegarkan dan menguatkan tenaga batin. Boleh menghindarkan penyakit kelamin (yang ni aku tak pasti).

Caranya, pergi ke pokok-pokok renek yang berdaun lebar dan basah dengan embun. Baca selawat dan kaut embun guna tangan. Sapu muka dan tangan macam tayamum. Kalau ada embun lagi pada daun-daun pokok, boleh le kaut dan basahkan tubuh badan.

Walau pun sejuk, kena biarkan embun tu kering sendiri pada badan. Haba pada badan akan memelowapkan air embun dan bawa sekali panas badan.

Lagi satu, air yang ada pada daun waktu pagi bukan sahaja air embun tetapi juga cecair pokok tersebut. Pada waktu malam, cecair yang berlebihan akan dikeluarkan dari pokok melalui liang-liang kecil, termasuklah melalui liang kecil pada bucu/bawah daun. Ada nama khas untuk proses ini tapi sekarang ni aku tak ingat. Jadi, aku syak, air embun tadi akan bercampur dengan khasiat-khasiat dari cecair pokok tersebut. Oleh itu, pilih le pokok-pokok yang punyai nilai perubatan. Kalau aku, aku pilih pokok Tongkat Ali...


Satu lagi, kalau nak pilih pokok kena la pilih yang jauh dari jalan berdebu. Kalau boleh pergi la ke dalam hutan. Sebabnya, embun terhasil daripada kelembapan yang ada pada udara. Molekul-molekul air yang bergentayangan dalam udara memerlukan 'nuklei' untuk bergabung menjadi lebih besar. Biasanya, ia akan bergabung pada zarah debu yang bertindak sebagai nukleus. Bila gabungan menjadi besar, ia akan berat dan menjadi kabus. Dan bila kabus ini berlanggaran, ia menjadi setitis embun. Tak jadi hal sebab zarah debu adalah dari tanah dan tanah adalah mineral. Badan kita juga terdiri daripada unsur tanah. Tapi, kalau kat bandar, aku tak pasti zarah debu jenis apa yang bergentayangan dalam udara...




Kalau aku kat kampung, aku tak masa nak kaut-kaut pakai tangan. Aku berdiri je bawah pokok dan aku goncang (kalau goyang tak cukup kuat) pokok tu. Airnya turun macam hujan. Dan teka, pokok apa pilihan aku?

PokokKetum!




.

Andai kumiliki semalam...

.

Menjelang Hari Ibu ini, aku teringatkan kehangatan pelukan dan kasih sayang ibu. Malam-malam begini, sambil update Kompang:Episod 3, aku layan u-tube lagu-lagu lama tapi masih berbisa. Seharus malam-malam begini dan dengan fikiran yang melayang kepada Ibu, lagu-lagu yang melankolik dan mengusik jiwa aku pilih.

Ya, mengusik jiwa. Dan jiwa aku dah terusik kembali.

Aku luncurkan anak panah aku kepada lagu-lagu yang punyai lirik seolah-olah masih 'bernyawa' kepada aku. Salah satunya, aku letakkan di sini. Jadi aku tak payah nak susah-susah nak buat puisi tentang perasaan aku ketika ini. Cukuplah lirik ini mewakili 80% kebenaran perasaan aku ketika ini.


Sila


Andai kumiliki semalam dan bisa aku ubah menjadi esok,
Takkan kuubah apa pun kerana aku tahu engkau tetap indah,
Tanpa sempadan masa.
Aku bahagia seadanya.

Tangis ini tanda kasihku,
Bukan mengeluh duka yang semalam.
Kerana engkau mengasihiku,
tiada sedu lagi di duniaku ini.

Aku tak dapat bayangkan sengsara yang harus kutanggung
jika kau pilih perpisahan.
Tanpa punca yang meyakinkan, aku akan tersasar mencari cintamu.

Andai terhentinya masa dan gunung jatuh ke laut ,kau tetap kucinta.
Kasih sayangmu adalah kekuatan
untuk menempuh segala dugaan yang tak terbayangkan
oleh insan yang lemah seperti kita.

Sekalipun kumiliki esok, takkan ku menolak ketentuan.

[Search - Andai kumiliki semalam]



.

Saturday, May 9, 2009

Nak gugur, gugurlah nangka, jangan tertimpa dahan pauh..

.


Minggu lepas. aku bercuti ke Melaka. Bukan bercuti sangat sebenarnya. Tapi, ada tugas penting untuk persediaan perkahwinan.

Tugas itu penting tapi tugas aku mudah saja. Tugas yang kurang mudah tergalas pada bahu mertua dan Mama, sebenarnya. Destinasi, pasaraya Koboi di Melaka.

Aku tak pernah pergi ke situ lagi. Kali pertama selama menjadi menantu kepada orang Melaka. Bila aku masuk pasaraya tu, aku terasa seperti kedai-kedai apek yang sederet di tepi sungai Perak. Sederet dengan kedai 'pajak lambai' yang terkenal dari dulu tu. Sesiapa yang pernah ke T.Intan pasti tau tempat itu (tapi aku dengar kedai sederet tu dah terbakar tahun lepas???).

Banyak barang-barang lama tapi baru ada di situ (i.e. mesin kisar air batu mekanikal, kukur kelapa, dandang air mamak, kawah-kawah kuali dll) dan beberapa lagi yang biasanya adalah keperluan peniaga-peniaga kedai makan.

Malam, kami singgah di restoran ' D' Nangka'.
Aku ingat sebab menu utamanya berkaitan dengan buah nangka (i.e. gulai nangka muda, ulam pucuk nangka, air kopi akar nangka, sugi kulit nangka, desert dari buah nangka dll) . Tapi, tak ada kena mengena pun! Rupa-rupanya retoran itu penuh dengan pokok nangka yang juga menjadi tempat bernaung untuk meja-meja makan.









Makanan inilah yang arwah bapak aku pesan untuk sarapan semasa di hospital T.Intan tapi aku tak jumpa. Tak ada orang jual. sekarang, bila dah jumpa, arwah bapak pula dah tak ada...





Cerita selanjutnya, di sini




.

Thursday, May 7, 2009

Petang yang sungguh cemas...

.



'MAMAAAAAAA ... !!!!'


Serta merta mata kami tertumpu pada Paku Payung yang terbaring di atas lantai anjung sambil tangan kanannya memekup peha, sedikit atas dari tempurung lututnya.

Secepat itu juga, aku terlihat kelibat sesuatu yang hitam dan agak panjang, susup-sasap menggelunsur lari melalui celah-celah pasu-pasu bunga. Mama tergamam seketika. Aku pun sama.

Rintihan Paku Payung yang kesakitan menyedarkan kami dari gamam. Mama terus terpa anak aku yang terbaring kesakitan. Aku rasa aku tahu apa yang telah berlaku. Tanpa buang masa aku terus capai dompet dan kunci kereta. Petang itu sungguh mencemaskan kami. Aku tak pasti jenis ular yang patuk anak aku.

'Cepat siap, sambar apa yang patut. Kita ke hospital'.



Aku dukung anak aku yang longlai dan kesakitan menuju ke kereta. Rintihannya meruntun sayu hati aku tapi aku perlu kuatkan semangat. Daripada Dia dia datang, kepadaNya dia kembali. Aku tawakkal dan berserah kepadaNya, namun aku mengaku yang aku belum cukup bersedia untuk menerima kenyataan itu. Dia adalah satu-satunya anak aku pada masa ini.

Aku baringkan anak aku di kerusi belakang. Aku suruh Mama pangku kepala anak aku yang lemah. Kini, Mama mempamerkan naluri seorang ibu dan juga seorang wanita. Mama menangis. Dan sedu-sedan Mama makin bertambah setiap kali anak aku merintih sakit.

'Sejukkkk... '


Aku tahu yang bisa itu telah menjalar ke setiap urat nadi anak aku. Aku pandu kereta tak keruan lagi. Aku ketepikan undang-undang, aku langgar lampu isyarat. Aku tak peduli apa-apa lagi.


'Kenapa tak bagi dia makan ikan bilis tadi? Ikan bilis boleh tawarkan bisa '
Tiba-tiba Mama bersuara dari tempat duduk belakang. Aku terkedu seketika.



Ikan bilis ??!!!!






















(Itu mimpi Paku Payung malam semalam. Seperti mana yang diceritakannya kepada kami petang tadi. Dan aku tambah sedikit dramatisasi untuk n3 ini).

.

Panggilan-panggilan penuh misteri...

.

Hari ni aku cuti lagi. Sebab pagi tadi masa bangun dari tidur, kepala aku masih pening. Daripada aku jatuh dari kuda api aku kalau pergi kerja, baik aku lepak kat rumah lagi. Walau ada meeting penting, aku rasa keselamatan aku lebih penting.


Dan seperti yang aku rasa, alat magis yang boleh berkata-kata aku tu tak duduk diam, sekejap bergegar, sekejap bergegar. Itu lah, ini lah. Tapi, itu tak apa. Yang aku tak puas hati ialah panggilan yang skripnya lebih kurang begini: ' ini En. @#$^% bin %^$#^& ke? '

Semalam, ada 3 panggilan yang begitu.
1. dari penjual pakej penjagaan kesihatan bertempat di SMC.
2. dari Celcom meminta aku 'murtad' dari Maxis.
3. dari penjual pakej makanan dari Bangsar.



Hari ni ada dua lagi.

1. dari penjual pakej percutian yg menggunakan nama palace of the golden horses. Entah berapa kali dah dia orang panggil aku, sejak dua tahun lepas lagi. Jadi, bila dia guna skrip yg sama (tanya nama aku betul ke tak), aku terus pancung, 'lu mau apa lagi ni?' Cepat-cepat dia tanya balik, ' pernah dapat call dari tempat sama?' Aku cakap 'ya dan gua nak nama gua dikeluarkan dari senarai telemarketing lu '. Dia terus letak telefon.

2. dari awek bank UOB. Dia guna skrip perkenalan yang sama. Aku dah panas hati. Aku tak kasi chance, aku terus pancung kata-kata dia;

@- ' you all dapat nombor I ni dari mana hah? you all selongkar bakul sampah I ke?'

#- ' Saya dapat dari marketing department, encik. Saya tak tau pulak dia dapat dari mana '

@- ' I syak ada orang kaut bil-bil lama I dari dalam tong sampah, lepas tu jual kat telemarketers 20 sen satu nombor. Atau mungkin Maxis atau Celcom yang jual sendiri maklumat tu '

#- ' kadang-kadang dalam agreement ada clause meminta kebenaran untuk menggunakan maklumat. Kalau kita tak baca betul-betul dan tak cancel, dia orang boleh gunakan maklumat itu untuk tujuan telemarketing, encik '

@- ' mungkin juga. Anyway, minta maaf la, I tak minat nak buat personal loan. Dalam situasi ekonomi yang suram macam ni, I intend to reduce my financial exposure, harap you faham '

#- ' it's ok. Have a nice day, encik. Bye '

@- ' you too...bye'

(kalau Mama baca I-you-I-you, mau jeles nih.. hehehe)


Petang baru aku tenteram. Tapi, sunyi sangat pulak. Nasib baik sms TM jadi peneman. Esok aku nak kerja lah...


.

Tuesday, May 5, 2009

Sunyi tanpa teman...

.

Tadi aku cuti. Aku duduk rumah sensorang. Bertemankan Jagad yang bila dia tengok aku baring atas 'kerusi malas', dia pun tidur kat lantai. Bila aku tengok dia, dia pun panggongkan kepalanya. Aku letakkan kepala, dia pun rebahkan kepalanya semula.


Badan aku masih tak selesa. Nak kata demam bukan, nak kata sihat tak juga. Tapi lemah. Sesekali, badan aku bergegar akibat batuk. Bila begitu, Jagad akan panggongkan kepalanya. Sunyi tanpa Paku Payung, sunyi tanpa Mama.

'Attention, SMS'
Bergegar handphone aku.


'... kasut terpijak najis anjing... busuk ... buanglah... boleh?'
Mesej panjang lebar dari Mama.

'Ok' jawab aku ringkas.


Dah sampai masanya kasut Mama ditukar agaknya...



.

Ini bukan mentera...

.


Wahai jiwa yang muram,
Bila kalbu penuh rindu
Wujud hanya aku.

(Kasih kini tersemai. Rindu ini menyeka ruang damai, tak keruan jadinya)


Kasih berpadu menemu cinta,
Usah dipendam
Nanti kan lara.

(Cinta suci semarakkan jiwa yang gelora jadi tofan ganas. Tenteram cinta itu akan renjisan sejati, murni dalam hati)



Cinta rindu membuai raga,
Rasa dituruti nafsu
Musnahlah jiwa.

(Cinta membuai rasa dari lena menjadi jaga, dari jaga kembali lena)



Wahai rindu terpadu,
Hilanglah segala
Wujud hanya dia.

(Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepadaNya)



.

Friday, May 1, 2009

Zaman siber yang begitu-begini...

.

~ panas petang + traffic yang lesu = bosan ~
~ masing-masing melayan perasaan, kami diam, topik dah abis masa di Senawang tadi ~
~ kami membisu sehingga susur keluar Simpang Ampat ~




"Abah tau tak, tak boleh makan seafood kalau ambil vitamin C "
Kata Paku Payung sambil jarinya mengetuk-ngetuk dashboard, tanda bosan.
~ diam ~

"Abah tau tak, seafood bagus untuk sperma"
~ diam ~

"Abah tau tak, ular taipan adalah antara ular yang paling berbisa di dunia"
~ diam ~

" Abah tau tak, jenama Colgate berasal dari cerita lucah ... Cue"
~ diam ~

"Abah tau tak, Orang Parsi kuno anggap mayat itu tak suci, najis"
~ diam ~

"Abah tau tak, Orang Parsi kuno tak tanam mayat"
~ diam ~

"Abah tau tak, penganut agama Sikh percaya tak ada syurga, tak ada neraka"
~ diam ~
........... sepi lagi...
..... ???


" Lagi ? " tetiba Mama bersuara.
"Sekejap, tengah SEARCH dalam kepala ni..." kata Paku Payung. Aku tersenyum.

"Abah tau tak, air panas lebih berat dari air sejuk"
"Terbalik dari udara pulak? " kata Mama.
~ diam ~

"Lagi? " Mama
"Sekejap, tengah search... "

"Abah tau tak, ada satu mesin memasak burger yang boleh diletak kat ekzos kereta"

Hah!??? Tang ni aku dah blur. Aku kata, ekzos kereta mana cukup panas nak masak daging burger. Letak kat down-pipe pulak tak praktikal. Kalau letak kat dalam engine room pun cuma boleh panaskan sayur dan hotdog je. Nak masak burger?? Walau pun suhu dalam enjin boleh cecah 700 Celcius tapi suhu dalam engine room tak boleh cecah 100 Celcius. Kalau tak, abih la air kat washer tank dan condenser tank menggelegak, kering.

"Hahahahahaaaa...." tetiba Paku Payung ketawa mengekek. Aku toleh ke sebelah. Aku tengok tangan Mama cuba nak tarik telinga Paku Payung. Aku tanya Mama, kenapa pulak tu?

"Nak scan otaknya dengan antivirus. Kalau tak worm, mesti ada trojan nih..."







Kami selamat sampai di Nyalas pukul 4.30pm.

.

Cuti, tapi jangan semua nak bercuti sama

.


SELAMAT BERCUTI, TAK PAYAH KERJA HARI NI
DAN 2 HARI SETERUSNYA







Tapi, kepada abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik yang kerja masukkan duit ke dalam mesin-mesin ATM bila dah kosong, atau yang baiki mesin ATM bila 'Out of Service', atau yang kerja tampal jalan, atau pomen yang standby kalau kereta rosak, atau yang kerja kat kedai-kedai makanan, atau yang menjual air tebu di Nyalas, atau yang menjual cendul di Jasin, atau yang bekerja di restoran Mastan Ghani di T.Intan, atau yang berkerja di taman-taman tema, atau yang bekerja di Zoo Melaka dan taman-taman sekitarnya, atau sesiapa saja yang aku perlukan semasa cuti ini.... tolong jangan bercuti. Ini giliran aku nak bercuti.



Tapi, aku teramat-amatlah syorkan kepada abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik yang memandu lori balak yang dah senget macam nak tumbang, atau yang memandu lori kontena yang laju macam pelesit, atau yang memandu bas-bas ekspress yang cilok macam nak terberak sangat dah, atau sesiapa sahaja yang mungkin boleh menyusahkan aku semasa aku bercuti.... tolong bercuti bersama-sama aku!



.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com