Saturday, November 30, 2013

Nasi Ganja aka Nasi Vanggey aka Nasi Kandar Ayam Merah...di Ipoh

.

Jalan-jalan kalau tak makan-makan bagi aku itu sememangnya 'makan angin'.

Oleh kerana baru-baru ini heboh kisah Nasi Ganja atau 'vanggey' atau nasi kandar ayam merah yang sebenarnya, maka sesampai aku di Ipoh, aku cari kedai itu berpandukan tips dari rakan-rakan ruang blogsphere.

Dan kedainya tidak jauh dari simpang empat di balai polis di Jalan Yang Kalsom. Agak payah nak cari tempat parkir kereta kerana bahu jalan yang sempit. Jadi aku pusing dan masuk ikut lorong belakang (yang juga sempit) dan aku parkir di situ.





Dan kedainya sempit, hanya 1 lot kedai sahaja tetapi meja stail kopitiamnya disusun rapat-rapat. Kalau nak lalu celah orang kenalah kempiskan perut. Yang ambil pesanan pun tak banyak tanya dan ada yang dah pesan jangan minta yang bukan-bukan...dia malas nak layan, orang ramai sangat. Dia cuma tanya 'ikan? ayam? daging? kambing?'. Aku jawab 'ayam..'.

Kemudian dia tanya pula 'ada tolur tada tolur?'. Aku jantan, mana boleh 'tada tolur' !!! Jadi aku angguk-angguk, tanda aku ada 'tolur'.


Harganya berpatutan. 3 hidangan yang sama baru RM 15.30.


Bagi aku, yang buat sedap ialah sambal merah itu. Dia tumis cili kering  itu cukup garing hingga terasa hangusnya. Cili itu pun tak pedas sangat. Dan ada rasa kari sikit. Selain daripada itu, rasa masin manis pahit dan masamnya tergabung baik...cukup-cukup sahaja. 'Complimenting complementing each other'. Itu rahsianya...

Lebih kurang macam ayam masak cili merah lauk kenduri kahwin yang sudah diperhangat 3 kali. Maksudnya, ayam dan cili itu sudah 'mesra' sangat. Itu yang sedapnya.

Kalau tak silap mata aku melihatnya, ada dituliskan '...tiada cawangan lain' di depan kedai. Jadi, apa ceritanya restoran nasi ganja atau vanggey yang ada 2-3 buah di Ipoh...juga di Shah Alam?



.

Friday, November 29, 2013

Miskaat malam...

.




Kalaulah sang kelkatu dapat mencari,
berjuta mungkin datang ke sini.
Bersangkakan bulan sudah ke bumi,
pungguk melepas rindu birahi.
Tapi itu hanya miskaat...hanyalah miskaat,
perwarna untuk malam gelap pekat.



.

Wednesday, November 27, 2013

Stem Cell tumbuhan versus haiwan...

.


Aku ada baca tentang stem cell. Aku pun pernah tonton di Disc Ch. tentang stem cell. Aku juga ada beberapa kawan yang menyimpan stem cell dari darah uri secara kriogenik untuk kegunaan di masa akan datang.

Dari apa yang aku tahu, stem cell dari sumber embrio adalah menakjubkan kerana dari satu sel yang tidak mempunyai sifat fizikal organ lagi akan perlahan-lahan membelah dan menjadi tisu dan seterusnya organ. Bayangkan sel telur wanita itu membelah dan membelah dan membelah sehinggalah menjadi mata, menjadi lidah, menjadi kaki, menjadi tangan...bayangkan bagaimana 'program' itu dibuat. Amat jarang berlaku kaki tumbuh di kepala atau sebaliknya. Padahal, pada asalnya, ia hanyalah sekeping sel.

Dan dari apa yang aku tahu, stem cell itu akan disuntik atau diletakkan di tempat yang ingin diperbaiki kerana nanti stem cell itu akan membelah dan membelah dan mungkin boleh membaiki kerosakkan itu.

Namun begitu, stem cell itu masih dalam bentuk sel.... maknanya, bukan musnah atau hancur atau serbuk.


Sekarang ini, pasal stem cell pokok atau buah-buahan.
Aku tahu pokok pun ada stem... ada pucuk... dan di pucuk dan di akar ada sejenis enzim pembesaran.

Jadi, aku minta tolong para pakar dan para doktor yang ada membaca entri ini, tolong atasi kemusykilan aku tentang ini:
  • Bolehkah stem cell tumbuhan 'menggantikan' sel manusia seperti mana tindakkan stem cell haiwan / manusia tadi?
  • Kalau stem cell manusia / haiwan perlu disimpan supaya tidak musnah, bagaimana pula stem cell tumbuhan / buah-buahan boleh disimpan dalam bentuk serbuk?
  • Kalau stem cell manusia / haiwan perlu dimasukkan atau diletakkan ke tisu atau ke dalam darah, adakah wajar stem cell tumbuhan atau buah-buahan sekadar diletakkan di bawah lidah atau dikulit-kulit sensitif secara serapan?

Aku musykil... adakah produk stem cell tumbuhan itu sebenarnya adalah sekadar ekstrak enzim tumbuhan?



Kadang-kadang, teknologi dan pengetahuan yang baharu menjana banyak keuntungan di atas kurang pengetahuan kita...





.

Masa untuk berfikir, masa untuk bermenung, masa untuk bercakap, masa untuk menulis...

.

Tetiba tergerak nak belek-belek blog dashboard.





Blog ini telah ada 1950 jumlah post.
Blog yang bermula pada April 2008, kini telah berusia 67 bulan atau 2010 hari (lebih kurang).
Bermakna aku menulis hampir setiap hari. Bila masa aku ada banyak masa pulak ni?
Entah apa-apa je lah yang aku tulis gamaknya...




.

Tuesday, November 26, 2013

Eco-green friendly... tapi lampu jalan lebih banyak daripada manusia... tapi bil letrik nak naik juga...

.


"Pada mulanya adalah sangat sukar untuk membuat sebarang kesimpulan yang konkrit untuk penemuan sebegini. Ini kerana terdapat bukti-bukti yang bercanggah, yang menghala ke arah-arah perbincangan yang keseluruhannya berbeda langsung. Semakin sukar untuk membezakan yang mana benar dan yang mana bathil kerana bukti keras (hard evidence) tidak sejajar dengan bukti lembut (soft evidence)."

Hasri bersandar sebentar. Dia tarik nafas panjang. Dia lepaskan keluhan berat.
Dia sambung menulis...


"Namun setelah dibuka lipatan demi lipatan fosil yang ada (exhibit 231(a)), dan bukti-bukti tulisan yang dijumpai (exhibit 550(c)), beberapa kesimpulan yang boleh diutarakan di sini dan diharapkan komuniti kita dapat menerimanya. Begini:-

  • Walau pun penggunaan perkataan-perkataan 'Eco' dan 'Green' di dapati sudah digunakan secara meluas sehingga bukti-bukti tak bersangkal menunjukkan kewujudan perkataan-perkataan itu di 5 daripada 7 benua, setiap benua memberikan tafsiran yang ternyata berbeza sama sekali.
  • Juga terdapat bukti bahawa ada aktiviti-aktiviti yang dikatakan menyokong ideologi 'Eco' dan 'Green' ini. Salah satunya ialah jumlah pokok yang tumbuh telah meningkat berlipat ganda dalam 20 tahun terakhir manakala jumlah luas hutan juga bertambah secara eksponensial.


Satu kesimpulan yang dapat diberikan tanpa syak lagi ialah penduduk Bumi ketika itu terlalu risau untuk menghadapi isu kekurangan sumber tenaga sehinggakan mereka mencipta satu ideologi yang baharu yang mampu mengatasi fahaman politik berasaskan kapital dan etnik, dan sosio-budaya, dan  bertanam pokok-pokok dengan harapan beberapa juta tahun selepas itu pokok-pokok itu akan mendap ke dasar Tanah untuk bertukar menjadi arang batu dan petroleum.

(Laporan ini disediakan dan ditulis pada tanggal 26 Nova 12672. "


Hasri letakkan noktah pada laporan itu. Setelah sudah berkemas apa yang patut, dia masuk ke kenderaannya. Dia sempat menoleh ke bumi yang hijau sebelum pesawatnya itu memecut laju menuju ke pusat alam...






.

Monday, November 25, 2013

Membuat kunci pendua...

.

Aku minta tolong, kepada sesiapa yang tahu... tolong beritahu aku kedai yang mana...jalan yang mana...bangunan yang mana untuk aku 'duplicate' kunci.

Bukan kunci kepunyaan aku. Ia kepunyaan orang lain tapi dia sanggup beri aku pinjam kuncinya untuk aku 'duplicate'... atau 'replicate'... asalkan aku tak curi terus kunci asalnya.

Aku mahu 'duplicate' kunci kejayaan...kunci kekuatan...kunci kesabaran...


Dimana boleh?




.

Sunday, November 24, 2013

Tamak versus Haloba... inilah jadinya.

.

"Awak nak bayar saman?" Tanya kerani itu. Hasri mengangguk lemah.

"30." Hasri julurkan duit melalui lubang kaca. Saman parkir kalau dah sampai dua bulan memang tak boleh didiskaun.

"Resit mana?" Hasri bertanya apabila kerani itu tidak berikannya resit. Tanpa resit bermakna duit tadi masuk poket. "Tak payah resit. Kira settle sudahlah."

"Mana boleh! Awak pecah amanah!" Kemudian Hasri tunjukkan handphone. "Saya dah rakam awak tadi." Ugut Hasri. Kerani tadi pun cetak resit dan diberikan kepada Hasri dengan muka mencemik.

Selepas 10 langkah, Hasri patah balik ke kaunter tadi. "Kalau awak tak mahu saya hantar video tadi ke group whatsapp saya, awak berikan semula duit RM30 tadi."

"Ok. Tapi awak padam dulu." Pinta kerani itu. Setelah video dibuangkan dari memori, kerani itu serahkan duit RM30 kepada Hasri.

Baru saja Hasri mahu berpaling pergi, kerani itu panggil namanya. Sebaik saja menoleh, Hasri lihat kerani itu goyang-goyang handphonenya pula. Hasri terdiam.

"Senang macam ni lah. Apa kata awak beri RM60 dan saya lupakan semuanya." Setelah Hasri hulurkan duit itu, kerani itubuangkan rakaman tadi.

Sebaik sahaja video klip itu dipadamkan, Hasri tersenyum sambil telunjuknya lurus kearah Nita. Kerani itu lihat Nita menggoyang-goyangkan handphone...yang berdiri tidak jauh di belakang Hasri. Kerani itu tepuk dahi beberapa kali.

"RM120...settle, amacam?" Kerani itu panggil Nita dan minta dipadamkan rakaman tadi sambil duit RM120 bertukar tangan. "Maaf, banyak sikit kali ni...kena kongsi dengan kawan...hehehe."


"Woiii...!"

Belum pun Hasri dan Nita melangkah jauh, mereka dijerit semula oleh kerani tadi. Mereka hampiri semula kaunter itu.

"Bak sini RM240 ...kalau tidakkk..." Kerani itu tak habiskan ayat tetapi hanya senyum menyindir. Hasri juga tersenyum...ketawa kecil srbenarnya. "Kalau tidak...?" Hasri bertanya sambil tersenyum sinis.


Kerani luruskan telunjuknya ke atas." CCTV....nampak?"

Hasri tiada pilihan lain. Dia campakkan RM240 ke kaunter dengan hati panas.

"Maaf...lebih sikit...sebab kena kongsi dengan kawan di bilik monitor..."





.

Friday, November 22, 2013

Didatangi dua ekor kupu-kupu serentak...

.

Dikunjungi oleh dua ekor kupu-kupu... hari ini... serentak...






Orang kata kupu-kupu tak hidup lama. Lebih kurang dua minggu sahaja. Tapi ada juga kupu-kupu yang hidup lebih lama. Berbulan mungkin...seperti kupu-kupu Monarch di hemisfera utara.

Kita, kalau menjadi kupu-kupu, terbang ke mana kalau kita tahu umur kita hanyalah lebih kurang 63 tahun?

Kita, kalau menjadi kupu-kupu dan kepak kita rabak atau patah, ke mana akan hinggap sementara menanti bayu melayangkan kita?





.

Thursday, November 21, 2013

Berpasang-pasangan...

.

Jom kita fahami ayat ke-8 surah An Naba':


“Dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasangan.”

'Berpasang-pasangan, yaitu berjantan berbetina, berlaki-laki berperempuan, berpositif bernegatif, dengan demikian itulah Allah menciptakan alam ini seluruhnya. Ada berlangit berbumi, ada berawal berakhir, ada berlahir berbatin, ada berdunia berakhirat dan seterusnya. Maka dengan demikianlah Allah Yang Maha Tunggal menciptakan seluruh yang maujud dalam alam ini berpasang-pasangan. Yang berdiri sendiri hanya Allah!'
 - HAMKA.

Dan fahami ayat ke-12 surah Az Zukhruf:

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12)
"Dan Yang menciptakan semua yang berpasang-pasangan dan menjadikan untukmu kapal dan binatang ternak yang kamu tunggangi"

'Salah satu lagi sifat Allah SWT yang disebut dalam ayat ini ialah Dia lah yang menciptakan semua makhluk berpasang-pasangan, laki-laki perempuan, jantan betina, baik dari jenis tumbuh-tumbuhan, pohon-pohonan, buah-buahan, bunga-bungaan dan lain-lain maupun dari jenis hewan dan manusia, dia pula yang menjadikan kendaraan berupa perahu, kapal yang dapat dipergunakan untuk mengangkut keperluan barang dagangan di laut, dan binatang ternak seperti unta, kuda, himar, sapi dan lain-lain yang dapat dipergunakan sebagai alat pengangkutan di darat, dan lain-lain yang dapat menghubungkan satu tempat dengan tempat yang lain baik di darat maupun di laut dengan macam alat perhubungan.'
- Tafsir / Indonesia / DEPAG.

Juga fahami ayat ke-49 surah az Zariyat:

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah." 



Kita selalu berfikir, apabila di sebut 'berpasangan' ianya berkaitan dengan lelaki-perempuan, jantan-betina...sesuatu yang mempunyai kehidupan sosial yang lebih kompleks, lebih kompleks daripada batu, pasir dan lain-lain yang tidak bersosial.

Kita perlu tahu bahawa istilah' berpasangan' itu merangkumi segala kejadian. Segala yang maujud, segala yang diciptakan ini ada pasangannya. Hanya Allah yang Maha Esa (surah al-Ikhlas dirujuk).

Dan 'berpasangan' ini bukan bermaksud kembarnya. Bukan bermaksud salinannya. Ia adalah pelengkapnya. Ia sama jenisnya tetapi bukan sama sifatnya. Lelaki tak sama perempuan tetapi kedua-duanya sama-sama manusia. Sifat itu termasuk sifat fizikal dan sifat perangai.


Apabila merangkumi segala kejadian dan sifatnya berlawanan, cuba kita fikirkan selain daripada kejadian manusia dan haiwan.

Kalau Bulan, pasangannya Bumi.
Kalau Bumi, pasangannya Matahari.
Kalau laut, pasangannya....pantai
Kalau Ruh , pasangannya... jasad
Kalau dosa, pasangannya.... pahala?
Kalau neraka, pasangannya ... syurga?

Kalau proton pasangannya...anti-proton?
Kalau electron pasangannya...positron?
Kalau quarks pasangannya... anti quarks?

Kalau matters pasangannya .... anti matters?
Kalau white matter pasangannya....dark matters?


Setiap satu kejadian ada pasangannya, sekali pun ia hanyalah sekadar bayang-bayang. Jadi, selepas ini jika kita terlihat sesuatu, kita boleh cuba cari apa pasangannya...





.

Tuesday, November 19, 2013

Buku percuma...

.


"Buku tu percuma..." Kata kakak yang jaga buku percuma. Sessi terakhir pun masih banyak buku lagi. Sayangnya...membazir.






"Jom ambik banyak-banyak, nak?" Saran aku kepada Ariff.

"Tadi dah ambik sebuah. Nak dibuat apa ambik banyak-banyak?" Tanya Ariff.

"Err...kita boleh buat balut tempe..." Saran aku lagi.



Aku ambil satu lagi...bukan banyak-banyak. Dan bukan untuk tempe tapi kerana buku pertama telah basah terkena air dari kapas lembab tangkai bunga ros merah. Nasib baik teddy bear kecil tak basah sama.

Dan kerana aku mahu simpan lama-lama buku itu...kerana di dalam buku tebal itu ada nama aku dan nama anak saudara...





.

Monday, November 18, 2013

Pahat masih berbunyi...

.

Tukul dah disimpan tapi pahatnya masih berbunyi... bidalan.






Retak akibat kerja-kerja asas tanah yang kurang sempurna. Terpaksalah disumbatkan dengan cecair perekat konkrit untuk halang retak dari terus merebak, selain daripada mengisi kekosongan yang terbentuk.

Agak-agaknya beginilah kalau hati sudah retak, pasti ada ruang kosong yang terbentuk. Untuk mengelakkan retak itu dari merebak teruk, carilah sesuatu untuk mengisinya.





.

Sunday, November 17, 2013

Melihat mayat yang berjalan...

.


" I see dead people. "

Dialog yang aku ingat, yang aku suka...dari filem 'the 6th sense'. Selain drpd itu, budak itu pun comel walau pun sedang ketakutan.

Dan hingga sekarang ini pun I still can see dead people walking around me. Antaranya ialah mereka yang telah musnah harapan, hilang arah dan kecewa. Banyak jenis lagi.


Yes, I see dead people...






.

Friday, November 15, 2013

sesak sesak...

.


Getir.
Siapalah aku yang di ruang tanpa tempat
yang dalam terang masih terhijab
yang bertitik tanpa ternoktah
yang bersuara seperti bisu

Getir.
Aku hawatir kalau aku siapa-siapa
siapakah pula mereka?




.

Thursday, November 14, 2013

Menggenggam jari...

.

Ada seorang tua bernama Hasri. Dia bertongkat. Berjanggut putih. Bersongkok kusam. Berbaju T pagoda putih, ada koyak-koyak kecil di sana sini, sudah reput bajunya. Usia dia juga sudah reput sebenarnya.

Hasri melintas jalan. Dari siar-kaki menyeberang ke taman kecil. Ada bangku batu pemberian Kelab Rotary. Itu tujunya. Di situ dia duduk melihat ufuk timur. Dari situ dia lihat kanak-kanak bermain. Melihat remaja-remaja berpeleseran. Bergaduh. Berebut. Dia lihat orang ketawa. Orang bercanda. Orang berjalan sambil bercerita dengan tangannya. Orang bersandar sambil memegang koran berita.

Dia suka duduk di situ. Bila di situ, seolah-olah dia melihat dunia.

"Hei budak!"  Hasri mengangkat tongkat tinggi.

Dua orang remaja sedang bertegang urat. Tangan masing-masing sudah menggenggam penumbuk. Tetapi terhenti bila dijerit Hasri.

"Kau berdua datang sini."

Mereka tertanya-tanya tetapi akur kepada orang tua itu. Setelah hampir, Hasri pandang mereka atas bawah. Atas bawah. Dan atas bawah.

"Aku tak tahu apa yang kau orang rebutkan. Apa pun ia, dunia lebih luas di depan sana. Kau orang boleh ambil."

Kedua-duanya melihat sekitar taman. Apa yang Hasri lihat tadi mereka juga lihat.

"Tapi kau orang tak boleh ambil dengan penumbuk tergenggam. Tak boleh nak pegang walau sehelai daun rumput pun. Kena dibuka jari-jari tu..."






.

Wednesday, November 13, 2013

Buluh yang songsang... pernah tarik buluh menyonsang?

.



Kerjanya menarik buluh songsang, bersangkut-sangkut.
Sekali terhiris semilu, lukanya dalam hati
tak siapa yang tahu.
Keluhan demi keluhan, rasa berbuku dalam dada
beratnya sungguh menyiksa.

Kalau inilah tika-tika perjalanan hidupnya,
musafir di dunia mencari karunia ada kadarnya,
cukup-cukup buat menopang belikat belakang.
Kalau begini payah bahu menggalas,
menyoroklah di lubang gua hindar perlu dunia,
segala-gala ada sedikit cuma.

Biar aku beri nasihat,
lemparkan sahaja buluh itu, berlepaslah...bebaslah hai sahabat.






.

Tuesday, November 12, 2013

Model donut...versi asal tulisan tangan

.

Aku nak sampaikan penghargaan dari Ariff atas feedback yang membina. Terima kasih, katanya.

Sebagai perbandingan dengan model yang dilukis semula, inilah versi asal hasil goretan tangan Ariff...





Foto senget...malas nak tegakkan...


.

Apa yang dia fikirkan sebenarnya? The donut space-time for causal effect

.

Hari Sabtu baru-baru ni, aku dapati Ariff gelisah semacam di meja makan...tempat dia selalu buat ulangkaji atau main internet. Bila aku rapati, dia pun buka mulutnya. Di atas meja ada sekeping kertas yang berconteng dan berlakar sesuatu. Dia cuba terangkan apa yang ada dalam fikirannya melalui lakaran tetapi payah.  Inilah yang dia lakarkan (aku lukis semula):



Katanya itu 'donut' ... bermakna ianya berbentuk tiga dimensi


Katanya:

Apa yang berlaku ada penyebabnya dan perjalanan dari 'sebab' kepada 'akibat' mengikuti dua lorong berbeza: lorong realiti dan lorong spiritual. Di lorong realiti, rentetan peristiwa akan dapat dilihat sebagai yang tersurat. Manakala di lorong spiritual, rentetan peristiwa dilihat sebagai yang tersirat. Peristiwa yang berlaku di sepanjang ruang realiti mungkin tidak selanjar atau mungkin berperingkat-peringkat (diskrit) tetapi apa yang berlaku di sepanjang ruang spiritual biasanya adalah hampir lurus. Manakala garisan lurus yang merentasi donut itu ialah masa manakala isipadu donut itu adalah ruang di mana peristiwa itu berlaku. Merangkumi segala peristiwa itu ialah 'Pengalaman'.


Aku tertarik dengan model 'donut' yang dia bina. Aku tertarik apabila dia cuba mencari relationship between reality and spiritual in the space-time fabric and how would they react to the cause and effect. Kita kena fikirkan ianya sebagai satu perjalanan. It is more interesting when the experiential journeys for both realty and spiritual are somehow warping around the center of the donut. According to 'string theory', warping of space-time fabric may be caused by gravitational force but in his model, the force is yet to be discovered. I suggested the force is coming from 'Kun Fayakun'. Whereas the outer space of the donut is just 'nothingness', he said. But I suggested its should be 'meaningless' instead. Ones may feel the experience from cause to effect is straight forward but for somebody outside the field, they may see it is warping in the space-time fabric i.e. within the donut.

What does this mean?
  • Apa yang kita rasai semasa menjalani pengalaman itu adalah dipengaruhi oleh relativiti. Adakalanya kita rasakan masa berjalan laju, adakalanya kita rasa perlahan.
  • Pengalaman tersurat (reality) dan tersirat (spiritual) tidak bergerak secara selari.
Contohnya: Dalam perjalanan ke sekolah ada berlaku kemalangan kecil, menyebabkan lalu lintas sesak dan akhirnya terlewat sampai ke sekolah dan telah didenda 50 sen. Namun segala pengalaman yang berlaku di pagi itu adalah untuk merealisasikan sedekah 50 sen, yang apabila terkumpul, akan digunakan untuk membantu pelajar lain untuk membeli sebuah buku. Segala cabaran ketika pergi ke sekolah itu hanyalah untuk merealisasikan bahawa pada hari itu dia akan bersedekah sebanyak 50 sen untuk membantu orang lain.


Ahhh.. itu sekadar teori. Itu bukanlah sesuatu yang pasti. Tapi, ianya bagus untuk mula membina struktur pemikirannya nanti.






.

Monday, November 11, 2013

Pucuk muda ...

.

Seorang anak muda bernama Hasri sedang duduk di bangku batu di sebuah taman kecil. Petang itu angin menggoya gkan dahan melayangkan daun-daun. Mana yang sudah lemah berpaut akan gugur ke tanah.

Seorang wanita lanjut usia bernama Preemaswari a/p Rajoo sedang menyapu dan melonggok daun-daun yang gugur di taman itu. Ada seorang lagi lelaki sedang membungkus-plastikkan daun-daun yang telah dilonggokkan.

"Banyak daun gugur, makcik. Penat makcik nak sapu." Tegur Hasri.

"Tak paa...makcik ada kerja laaa. Kalau tak da daun, makcik tak da kerja."

Betul juga kata makcik itu. Hasri angguk-angguk kecil, tandanya sudah belajar sesuatu tentang daun.

"Lagi puunn..."

"Lagi pun apa makcik?"

"Dulu daun-daun ni tak susahkan kita. Tak jatuh. Sudah tua...jatuh la."

"Serupa kita juga..." Sambung makcik itu lagi.

Hasri terangguk-angguk lagi...





.

Sunday, November 10, 2013

Malam bulan tak timbul...

.

Malam...gelap.
Bulan tak kelihatan.
Suara rayu pungguk pada bulan, dayunya
menyeramkan...meriding roma.
Lolongan anjing menggugah bukit.
Panjangnya suara memberitahu rahsia
dalam bahasanya...bahawa ada
sang gelap malam sedang berjalan-jalan
Mencari mangsa.

Itukah balasannya
akibat siang dipenuhi gembira?





.

Saturday, November 9, 2013

Sabtu bergambar...

.

Esok tapi.


Y





.

Pondok tol ...

.

'Everything's gonna be alright 3x...no women no cry...'

Malam-malam begini, sejuk-sejuk yang semacam ini, lagu-lagu berjiwa tenteram dan memandu seperti cuka dan acarnya...saling membina 'flavor'.

Hasri melihat bintang berkelip. Bulan pula diganggu lampu neon. Hampir sama cerahnya. Dan gangguan neon itu semakin perlahan apabila semakin menghampiri pondok tol di lebuhraya itu.

Dalam banyak-banyak pondok yang berderet itu, hanya 3 yang berlampu hijau...dan Hasri terpaksa memilih kaunter tunai. Bukannya apa, Hasri tak mahu penyedia servis sistem kad pandu lalu menyimpan deposit kad dan mengaut untung di bank.

Dan hanya sebuah kaunter tunai yang dibuka...dan ada 5 buah kereta pula sedang beratur... Ahh! Sudah larut malam pun masih kena beratur. Hasri mengeluh kecil. Badan sudahlah penat, berbau hanyir pula kerana seharian belum mandi.

Hasri menoleh ke kaunter tunai yang paling hujung. Walau pun berlampu merah tapi ada kelihatan kelibat pekerja tol di dalam pondok. Tanpa berfikir panjang, Hasri piuh steering kereta ke kiri dan menekan pendikit minyak. Meluru keretanya ke kaunter paling kiri yang gelap tak berlampu.

Hasri turunkan cermin tingkap dan hulurkan sekeping not merah. Nasib baik pekerja kaunter itu masih mahu menerima Hasri.

'No women no cry...ooo...no women no cry.' Hasri menyanyi kecil sambil tangannya masih menadah duit baki di luar tingkap.

"Ini bakinya, bang."

Abang?!! Wow!

Hasri menoleh kepada gadis itu. Dalam balam-balam neon kuning, dia dapat lihat gadis berambut ikal itu tersenyum.

Tapi ada sesuatu yang kurang dalam senyumannya. Hasri julurkan kepalanya keluar tingkap. Ya, memang ada kekurangan pada senyuman gadis itu. Senyumannya sumbing...kerana sebelah muka gadis itu tiada!

Gadis itu julurkan kepalanya keluar tingkap pondok tol. Bebola matanya tersorok jauh ke soket mata. Hasri menggeletar. Mulut terkunci manakala telapak tangannya menadah ulat-ulat besar yang menggeletek dan meliuk-liuk...jatuh dari daging busuk di muka gadis itu...





.

Friday, November 8, 2013

Saya laparrr...

.

"Lepaskan...lepaskannn..!!!"

Dalam remang-remang senja itu, dua orang budak lelaki sedang bergelut di koridor siar kaki. Salah seorang darinya menjerit-jerit dengan kuat sambil meronta-ronta mahu lepaskan dirinya.

"Hey korang berdua! Kenapa ni hah?"

Gelutan mereka melerai. Lelaki bersongkok dan berkain palikat menolak bahu kedua-dua budak agar berjarak.

"Ustaz...dia..ddiaaa..." Kata Amirul tergagap-gagap. Ustaz Hasri alihkan pandangan ke seorang lagi...mengharapkan jawaban.

"Saya lapar." Budak berbaju lusuh berseluar pendek buruk mengadu.

Ustaz Hasri pegang bahu Amirul. "Kamu ada duit?" Tanyanya. Amirul anggukkan kepala. "Kamu dah makan?" Tanyanya lagi. Amirul anggukkan kepala tapi matanya masih memaku tubuh budak lelaki di belakang ustaz, mukanya masih pucat...masih terkejut dan takut.

Ustaz Hasri alihkan matanya ke muka budak lelaki berbaju lusuh itu. "Saya laparrr..." Katanya lagi.

Ustaz Hasri menarik nafas panjang. "Amirul...awak tahu kan? Kalau orang sedang lapar dan awak ada sedikit harta, awak kena bantu dia." Amirul masih pucat, "tta..taapiii..."

"Amirul! Kalau dia mencuri pun, dia belum tentu bersalah. Itu akibat laparnya."

"Ta...ta..pi ustaz, dd..ddia buka n nak ambil duit sa..saya." Kata Amirul tangannya menyuruh Ustaz Hasri menoleh ke belakang.


"Saya laparrr..."
Mata budak lelaki itu merah menyala...air liurnya menjejes-jejes...dan gigi taringnya mulai meruncing panjang.





.

Thursday, November 7, 2013

Bunga padang pasir...

.










.

Wednesday, November 6, 2013

Minyak Masak Re-Cycle...

.

Dimana ada masalah, di situ mungkin peluang...


Usaha murni oleh Kerajaan Negeri Melaka...



... janganlah nanti ada yang mencari peluang....!








.

Tuesday, November 5, 2013

Berita dari masyrik ke maghrib dalam sehari...teknologi akhir zaman

.

Kawan aku what'sup sekeping foto di Kedah...dia di sana kerana PRK Sg. Limau kelmarin. Aku dapati foto itu sungguh menarik.





Adik ipar what'sup sekeping foto di Melaka...apam balik dengan pulut hitam yang dibelinya di pasar malam. Aku belum pernah memakannya.









.

Monday, November 4, 2013

Conservation of Information...

.

Selama ini aku cuma dengar tentang prinsip keabadian tenaga... alih-alih ada pula prinsip asas Fizik yang dinamakan prinsip keabadian maklumat. Apa ke jadahnya ini?

Aku pertama kali dengar dari si mamat ini... jadi cuba klik link Professor Susskind ini. Antara katanya, 'Obsolute knowledge is when entropy is 0'. Lebih banyak yang kita tahu, lebih kecil entropy atau ketakpastian atau kecelaruan dalam suatu sistem. Kekurangan maklumat / pengetahuan akan meningkatkan kecelaruan atau entropi. Keabadian maklumat digunakan oleh sains komputer sejak tahun 80an tetapi prinsip itu juga digunakan dalam kuantum fizik kerana ia melibatkan probability.

Atau kalau nak baca terus tentang perdebatan Stephen Hawking dan Susskind ini, boleh baca buku berajuk 'The Black Hole War'. Aku tak ada tetapi aku akan cari nanti.


Ada satu soalan daripada Daddy Ziyyad, adakah information itu berjisim? Hmm... dari apa yang aku temui, information adalah salah satu physical quantities seperti suhu, tenaga... dsb. Ia bukanlah mempunyai zat yang tertentu yang unik untuknya. Contohnya, suhu adalah physical quantity yang mana ianya sukatan untuk tenaga haba.

Jadi, informasi / maklumat tidak berjisim?

Surah Az Zalzalah, ayat 7 & 8 diterjemahkan sebagai:

7: 'Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat balasannya.'
8: 'Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat balasannya pula.'


Apa-apa perbuatan / kejadian akan dicatatkan dan akan ditimbang di akhirat kelak. Catatan itu adalah maklumat dan maklumat itu akan terpelihara sehingga ke akhirat. Ada sesetengah ulama berkata maklumat itu akan dipadam, atas izinNya, jika sempat bertaubat. Tuhan lebih Mengetahui.

Menarik sungguh surah tersebut. Selama ini ustaz mengatakan 'zarah' itu menunjukkan 'walau sekecil mana pun perbuatan' pasti akan dicatatkan. Namun kalau dilihat dari segi lain pula, mungkin juga ada perkaitan 'zarah' dan 'maklumat'. Ada sebab kenapa 'zarah' digunakan dalam ayat itu.

Adakah ayat itu ingin memberitahu bahawa bentuk catatan itu mempunyai sesuatu yang fizikal?

Atau lebih dalam lagi, adakah catatan itu berjisim? Bagaimana pula tentang takdir? Adakah takdir juga catatan? Kalau dicatat, ia juga adalah berbentuk informasi dari satu sudut dan berbentuk rahsia pada satu sudut yang lain.

Kalaulah maklumat itu berjisim, seperti mana jisim fizikal wujud yang baharu, yang diwujudkan oleh Tuhan bersama-sama alam ini, bermakna informasi / maklumat / catatan adalah bersifat makhluk. Makhluk sifatnya tidak kekal... tidak abadi. Jadi, Prinsip Keabadian Maklumat itu hanya benar untuk kehidupan di alam dunia?

Bagaimana pula dengan Luh-Mahfuz? Ia tempat simpanan segala catatan dan maklumat. Adakah ia bersifat  makhluk? Oooppssss.... tak boleh bincang yang ini. Dikalangan ulama pun masih diperbincangkan. Sama seperti Al-Quran, yakni Kalam Allah itu juga, para ulama masih berbeza pendapat.

Cukup...cukup... jangan sentuh pasal zat. Ia sudah terlalu jauh untuk orang seperti aku.


Ada kawan-kawan yang mulutnya nakal (bukan Daddy Ziyyad), suka bertanya soalan-soalan tentang zat untuk sesuatu yang Sirs (rahsia), termasuk zat ketuhanan.
Jawapan aku mudah:

Buat yang disuruhNya, tinggalkan yang ditegahNya. Buat amalan yang baik-baik untuk mendapat RahmatNya... dengan harapan nanti akan masuk ke syurga dan mendapat kurnia yang paling-paling utama iaitu dapat melihat Wajah Allah. Hah! Ketika itu nanti tanyalah semua soalan itu... termasuk soalan-soalan tentang Kuantum Fizik.





.

Lubang Hitam di langit... benarkah?

.

Dalam entri sebelum ini, ada ditulis serba ringkas apa itu 'black hole'. Dan ada juga disebut tentang 'event horizon' yakni satu kawasan di mana jisim / bahan mula dikenakan kesan tarikan graviti 'black hole'. Jangan lupa pula bahawa cahaya juga mempunyai jisim / bahan yang digelar 'foton'. Dalam fizik, cahaya mempunyai dwi-sifat iaitu gelombang dan jisim.

Sebelum itu, kita jawab soalan-soalan daripada Daddy Ziyyad, dia berminat nampaknya:

Q: Sekarang ini, Black Hole itu kalau menurut Hawking, ada ke tidak? Dah wujud ke tidak?

A: Menurut Prof. Hawking, Black Hole itu wujud melalui perkiraan matematik dan menjadi tugas saintis lain yang cuba mengesahkan kewujudannya. Ada pelbagai teknik dan pendekatan yang digunakan untuk mengesahkannya. Malah, para saintis telah cuba 'mencipta' Black Hole di institute CERN...satu alat pemecut zarah yang amat besar yang direka pada asalnya untuk mengesahkan kewujudan partikel sub-atomic Higgs-Bosson. Alat pemecut zarah ini ada pernah masuk dalam filem Terminator 3 kalau tak silap, yang ada robot jahat perempuan melekat pada magnet.


Q:Kalau dah wujud, kat mana lokasinya? Berapa ratus juta tahun cahaya jauhnya dari Bima Sakti? Kalau belum wujud,macam mana lubang tu terhasil?
A: Secara mata kasar, saintis belum jumpa lagi. Malah melalui teleskop berkuasa tinggi pun belum nampak lagi. Kenapa tak nampak? Sebabnya cahaya yang ditarik oleh Black Hole tidak boleh terlepas. Jika tiada cahaya yang terlepas dan dipantulkan, teleskop tak dapat cerap. Itulah masalahnya. Tapi saintis membina pelbagai teori dan pendekatan / kaedah untuk mencari Black Hole. Salah satunya ialah dengan melihat 'herotan' cahaya bintang atau planet yang jauh. Jika Black Hole melintas di antara bumi dan bintang, kita dapat lihat cahaya yang berada keluar sedikit daripada 'event horizon' akan terherot kerana tarikan kuat daripada Black Hole. Ia seperti melihat seekor tikus yang bergerak di bawah karpet. Kita tak nampak tikus itu tetapi kita boleh lihat karpet itu menggelembung dan bergerak. Itu salah satu caranya... ada pelbagai cara lagi.

Secara teori, Black Hole wujud apabila sebuah bintang yang besar kehabisan bahan bakarnya. Bahan bakar diteras bintang menghasilkan letusan nuklear yang menyebabkan stuktur bintang itu tidak runtuh oleh tarikan gravitinya sendiri. Apabila bahan bakar itu kurang atau lemah, jisim bintang itu 'runtuh' ke terasnya menyebabkan ia menjadi terlalu tumpat. Namun begitu tak semua bintang yang 'runtuh' akan menjadi Black Hole. Secara matematik, bintang yang 'runtuh' lalu menjadi Black Hole jisimnya perlu melebihi Nisbah Chandrashekar. Matahari jika 'runtuh' pun hanya akan meletup dan menjadi pulsar kerana jisim matahari belum melebihi nisbah itu.

Dikatakan juga bahawa ada sebuah Black Hole di pusat Galaksi Bimasakti. Itulah sebabnya galaksi kita ini berputar seperti gasing... di mana kesemua planet dan bintang seperti sedang bergerak dalam pusaran yang besar.

Black Hole sebenarnya bukanlah lubang tetapi sebuah objek yang amat padat. Ia dinamakan lubang kerana secara mata kasar, ia akan kelihatan seperti lubang gelap kerana cahaya diserapnya. Sebenarnya, Black Hole adalah objek yang paling terang di alam maya kerana semua cahaya terperangkap di dalamnya.., itu pun kalaulah Black Hole itu wujud dan dapat ditemui.


Q: Segala mak nenek objek yg tertarik masuk ke dlm lubang hitam ni, ke mana ia pergi? atau hancur?

A: Inilah soalan yang menjadikan Prof. Hawking pening kepala pada mulanya. Bagaimanakah Black Hole meneruskan kewujudannya jika ia 'makan' terlalu banyak? Kerana jika ia terus 'makan', akan sampai satu tahap dimana terasnya akan mulai panas dan berlaku termonuklear dan daya nuklear ini akan menyeimbangkan tarikan graviti maka Black Hole akan menjadi bintang biasa semula. Persamaan matematik tentang kewujudan Black Hole akan musnah. Oleh itu, Prof. Hawking menyarankan bahawa bahan-bahan yang dimakan oleh Black Hole bukan semuanya tersimpan tetapi akan di muntahkan di kedua-dua kutub utara dan selatan. Pancutan bahan- bahan yang telah hancur seperti dikisar ini keluar di satu titik dinamakannya 'singularity'. Dengan cara ini, persamaan matematik itu tidak berakhir dengan infiniti dan kewujudan Black Hole dapat diselamatkan.

Pelik bukan? Tetapi itulah namanya Theoritical Physics. Kemudian berbondong-bondonglah saintis muda mula mencari 'jetstream' ini di langit sana kerana jika terjumpa, ia akan menandakan Black Hole ada berdekatan.


Q: Information akan musnah katanya...yg aku tak faham, adakah 'information' itu mempunyai jisim?punyai sususan atom?

A: Sejujurnya, aku pun masih terkial-kial tentang Prinsip Keabadian Maklumat ini. Setahu aku ialah Prinsip Keabadian Tenaga. Nanti aku cuba kupas. Mengikut dokumentari yang ringkas itu, dari apa yang aku faham, maklumat itu seperti tenaga juga dan jika seperti tenaga, ia juga berjisim. Bayangkan begini, kamu nampak seorang lelaki membakar duit kertas. Apabila duit kertas itu terbakar dan musnah, sebahagian bahannya menjadi abu dan tenaga haba... tetapi maklumat tentang duit itu tidak musnah kerana imej duit itu terbakar telah berpindah ke dalam otak kamu dan otak orang yang membakar... dan imej itu turut terpancar ke pokok-pokok, batu-batu atau apa-apa sahaja bahan yang wujud di sekitarnya. Dalam dokumentari itu dia buat demonstrasi cecair merah dititiskan ke dalam sinki yang penuh dengan air paip.

Itulah yang aku faham... dan kerana itulah juga yang mengujakan aku untuk menilik lebih dalam.... dan seterusnya membuat entri dalam blog ini....

Bukannya apa, aku terfikirkan terjemahan Surah Al-Zalzalah dan beberapa surah lain...

Tapi nantilah aku cuba tulis sebab menjawab soalan ini pun dah panjang.... panjang-panjang nanti orang tak nak baca sangat pun.... hehehe.





.

Saturday, November 2, 2013

Event Horizon... maklumat akan musnah?

.

Dah lama tak tulis yang berat-berat. Pada kali ini, aku nak tulis yang berat-berat sikit. Maklumlah, hujung minggu. Bolehlah entri ini lama sikit untuk dihadhamkan.


'The black hole'...
Satu teori yang diketengahkan oleh 'Marvin' Stephen Hawking, seorang ahli fizik yang lumpuh, kerjanya tentang 'black hole' mulai terkenal pada tahun 70an. Boleh Google atau Wikipedia tentang teorinya kalau mahu. Aku tak mahu bercerita tentang teorinya tetapi aku mahu fokus kepada natijah daripada teori beliau.

Secara ringkas tentang 'black hole' adalah begini: Batu jatuh ke Tanah disebabkan tarikan graviti Bumi. Roket dan kapal terbang perlu melawan tarikan graviti Bumi untuk terbang dan meluncur ke langit.

Namun bayangkan jika Bumi ini sebesar dan sepadat matahari, tarikan graviti bumi akan menjadi lebih kuat. Graviti matahari cukup kuat untuk mengekalkan orbit bumi... malah sehingga orbit Pluto (tapi saintis kata Pluto bukan planet). Kekuatan graviti bukanlah bergantung kepada besar-kecil sesuatu objek tetapi kepadatan atau jisim objek itu. Lebih berat objek, lebih kuatlah tarikan daya graviti. Bayangkan pula jika ada satu objek yang terlalu padat dan berat, sudah tentulah tarikan gravitinya amat kuat. 

'Black hole' mempunyai jisim yang sangat-sangat berat. Bayangkan objek sebesar gunung Everest itu dipadatkan menjadi sebesar bola tenis. Jangan terkejut kerana bahan pejal yang kita lihat sebenarnya 90% atau mungkin lebih adalah ruang kosong. Ompong. Lowong. Sesuatu bahan itu keras atau lembut adalah bergantung kepada kepadatan susunan atom tetapi apabila dilihat struktur atom itu, kita akan dapati ianya seperti bumi mengorbit matahari... masih kosong. Apa yang masih mengekalkan bentuk sesuatu objek itu adalah tenaga ikatan diantara atom-atom. Jika tenaga ini terlerai, ikatan akan melonggar dan akhirnya atom-atom akan luruh. Kalau dari segi mata kasar, kita mungkin lihat objek itu mereput sedikit demi sedikit dan akhirnya runtuh. Tetapi tenaga tidak hilang begitu sahaja... ia akan pergi ke tempat lain.

Oleh kerana 'black hole' itu terlalu padat dan tarikan gravitinya terlalu kuat, apa-apa yang berada dalam kawasan tarikannya akan jatuh kepadanya. Ianya terlalu kuat sehingga cahaya yang melintas dalam kawasan tarikannya akan terpesong dan bergerak menuju ke pusatnya. Dengan kata lain, di 'black hole' cahaya yang masuk tidak akan terlepas keluar. Oleh kerana tiada cahaya yang dapat keluar dari tarikannya, mata kasar kita hanya melihat 'black hole' itu hitam. Kerana apa? Kerana mata kasar kita melihat objek melalui pantulan cahaya daripada objek itu. Jika tiada cahaya yang terpantul, kita tidak dapat melihatnya. Tiada cahaya yang memantul keluar dari 'black hole' oleh itu kita tidak dapat melihatnya.


Ok...

Malam tadi, di Discovery Ch. ada bercerita tentang 'The Black Hole War'.
Ia berkenaan seorang ahli matematik yang cuba menyanggah tentang salah satu prinsip yang diketengahkan oleh Stephen Hawking dalam teori 'black hole' itu.

Stephen Hawking mengatakan bahawa di 'event horizon' yakni di zon sempadan di sekeliling objek 'black hole' di mana objek sama ada tertarik ke teras atau terlepas dari tarikan, akan berlaku cetusan radiasi yang dinamakan 'Hawking radiation' yang terhasil akibat koyakkan objek yang musnah ketika ditarik oleh 'black hole' dan di dalam radiasi itu tiada maklumat dihasilkan. Dengan kata lain, maklumat tidak boleh kekal wujud di 'black hole'.

Senang faham beginilah, apabila sesuatu objek itu masuk ke 'black hole', objek itu akan musnah termasuklah maklumat objek itu... information will be destroyed.

Benarkah?

Maksudnya begini... kalaulah Altantuya dibunuh di 'event horizon' dan mayatnya ditolak masuk ke 'black hole', jasad Altantuya akan musnah bersama-sama maklumat tentang tragedi pembunuhannya sekali. Malah, Altantuya akan di dapati tidak mati kerana maklumat pembunuhannya itu telah musnah sama sekali. Jika tiada maklumat mengatakan Altantuya telah mati, bermakna Altantuya masih hidup.

Benarkah begitu?

Ahli matematik itu telah berjaya menafikannya dan Stephen Hawking turut mengaku kalah.
Namun aku ada sesuatu yang aku fikirkan tentangnya....


Aku akan ceritakan dalam entri seterusnya....





.

Friday, November 1, 2013

Epilog cinta...

.

"Banyak yang kita belum lakukan sama-sama rupa-rupanya. Bila diingat balik, terasa benar ruginya."

     'Iye? Contohnya?'

"Hendak diundur semula masa, tak berdaya."

     'Tadi tu, apa contohnya, sayang?'

"Ingat tak dulu kita pernah kata nak panjat puncak Kinabalu?"

     'Aha...saya ingat. Masa tu kita...'

"Masa tu kita baru lepas nikah." Mata Nita redup dan mendung.

"Awak kata, awak mahu pahat cinta kita di atas batu pejal di puncak sana. Awak kata, awak mahu jerit kepada awan yang awak sayang saya...awak...awak." Pecah  sudah air mata Nita. Tekaknya serasa ada duri-duri tajam menyucuk-nyucuk.

     'Maafkan saya. Kita sibuk'.

"Awak kata, bulan di puncak sana besar sebab dekat..."

      'Maafkanlah sayang, awak pun tahu...'

"Sampaikan awak boleh berbisik pada bulan..."

      'awak pun tahu kita tak sempat. Awak ingat lagi tak apa yang telah terjadi?'

"supaya bulan sentiasa temankan malam saya.."

      'Nita? Awak ingat tak?'

"supaya saya tak takut untuk tidur dan ..."

     'Nita? Awak dengar tak?'

"... dan bermimpi." Esak tangis Nita semakin galak. Dia lap airmatanya dengan hujung selendang.

    'Hey Nita! Awak dengar tak?'


Nita tersentak. Dia pandang sekeliling. Tadi seperti terdengar sesuatu tapi bila diamati betul-betul, itu hanyalah desir angin memukul dedaun kemboja.

"Cukuplah dulu, awak. Saya balik dulu. Awak berehatlah dengan tenang. Nanti kita bercerita lagi." Nita kemaskan selendangnya.

Sebelum Nita bangun, disiramkan air mawar ke tanah yang masih merah. Dia taburkan kembang melati dan melur. Angin petang meniup bau wangi melur lalu wanginya bersatu dengan bebunga kemboja merah dan putih...




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com