Saturday, August 31, 2013

Tanggal 31.... 31 tu nombor...

.

Tadi, buat kali kedua selama berbelas belas tahun di S.A aku beli aiskrim di B.R yang ada nombor 13 tu. Semangat merdeka mungkin, maka aku pun beli walau pun harganya jauh mengalahkan aiskrim potong (kaki) yang biasa aku beli.

Dalam pada menunggu Mama pilih perisa yang dia inginkan, aku pergi mendapatkan jurujual di muka pintu.

"Korang tak ada rahsia apa apa kat nama B.R ke?" Aku tanya.

"Rahsia? Tak adalah encik"

"Tu... tu... nombor 31 ?" Tunjuk aku pula.

Dia tak faham. Aku gamit seorang kawan dia lagi, berdiri rapat rapat. Kerana aku mahu berbisik.

"04 aku tahu, 08 pun aku tahu tapi.... 31 ni lain macam je" bisik aku.

Kedua duanya angkat kepala, tak faham...

"Korang pasti nombor 31 tak keluar dalam suratkhabar baru baru ni?" Tanya aku lagi. Mereka mula ketawa sambil gelengkan kepala..."tak adalaaa" kata mereka hampir serentak.


"Habis tu, kenapa ramai datang hari ni?"

"Ooo... setiap bulan yang ada nombor 31, kami adakan sales macam hari ni" katanya.

Aku angguk anggukkan kepala tanda mengerti...

Tapi... tapi.... kemudian aku terfikirkan sesuatu...

31... 31 haribulan... special day?

"Are you sure korang tak ada apa apa?"

Tanya aku dengan mata mengecil... lebih kecil...




.

Betul aku buat???

.


Apa aku nak buat kalau aku tak tau nak buat apa apa?

Apa patut aku buat kalau aku tak patut buat apa apa?

Apa yang aku telah buat kalau aku tak buat apa apa?

Apa aku buat?

Buat?

Buat buat?

Tak buat, tak dapat...






.

Friday, August 30, 2013

Bekerja dan beribadah...

.

Salam Hari Jumaat, penghulu hari.

Aku selalu dengar konsep 'bekerja itu satu ibadah'.

Tak lama dahulu, ada seorang ustaz berceramah. Dalam ceramahnya dia ada sentuh pasal 'bekerja itu satu ibadah'. Dia buat satu provokasi. Dia kata bekerja bagi kebanyakkan orang bukanlah satu ibadah. Sebabnya, ramai orang mempunyai niat bekerja sebab nak dapat gaji. Gaji itu pula untuk diguna bayar ansuran kereta dan rumah, selain makan pakai.

Dia kata lagi, lagi besar dan lagi mahal kereta, lebih kuat dia bekerja. Lagi besar rumah, lagi kuat dia kena bekerja. Sedangkan, kalau setakat fungsi kereta untuk bergerak dari point A ke point B, Econovan pun dah cukup. Kalau rumah setakat nak jadikan tempat bermalam, berlindung dan keselamatan, rumah yang kecil-kecil sudah cukup. Kalau selebih daripada itu, ramai orang bekerja sebab nak bayar kereta dan rumah mahal-mahal. Di mana konsep  'bekerja itu satu ibadah'?

Tak mengapa. Itu kata dia.


Ada seorang kawan lain, dia berikan satu dimensi lain untuk 'bekerja itu satu ibadah'.

Ada yang berzikir sambil menaip atau bekerja. Ada yang mengambil waktu rehat untuk mengaji atau mendengar ceramah. Atau menghantar email nasihat. Tapi itu bekerja 'sambil' beribadah. Bukannya 'bekerja itu satu ibadah'.


Salah satu caranya ialah kita bersedekah dalam bekerja. Bukan sedekah wang ringgit atau harta benda tetapi sedekah dalam kerja kita. Macam mana tu?

Katakanlah ada kawan minta kita buatkan satu kerja, maka kita berikan kepadanya lebih daripada yang diminta. Yang lebih itulah sedekah dengan niat kita permudahkan kerjanya. Contohnya, kalau dia kata nak pinjam buku kita, jangan tunggu dia datang ambil tapi kita sendiri pergi menghantarkannya dengan niat itu akan mempermudahkannya. Kalau dia minta data untuk kerjanya, kita berikan sekali sedikit analisis dan ulasan atau maklumat yang berkaitan, dengan niat itu akan mempermudahkannya. Walau pun menyediakan data untuk dia itu sememangnya kerja kita.

Sebagai contoh mudah, kalaulah seseorang itu minta kita belikan ayam di pasar dan dia berikan upah sebagai kerja, kita bukan sahaja berikan ayam itu tetapi siap dipotong, dibasuh dan dimasak sekali... dengan niat dia boleh terus makan... tapi kalau niat kita nak dia ajak kita makan sama-sama, itu lain ceritanya...





.

Thursday, August 29, 2013

Datang dan pergi... datang kembali

.



Dah lama tak pakaikan 'perengkuh leher berpam' atau bahasa mudahnya 'adjustable neck brace' kepada tengkuk aku. Dah lama = 5-6 bulan, rasa-rasanya.


Dan pada hari ini, aku pakai semula...
Secara tak langsung menunjukkan darjah tekanan dan ketegangan di tempat kerja, dan keperluan untuk aku menghabiskan masa bersama-sama laptop.


Sakit-sakit pun kena kerja juga. Ibarat nelayan atau petani, setakat demam batuk masih lagi kena bekerja demi mencari rezeki. Begitulah juga kita.



Oh ya... buku no. 4 aku dah siap dicetak...dan akan diedarkan kepada mereka yang telah memesannya sedikit masa lagi, inshaAllah.





.

Tuesday, August 27, 2013

Sakit pikirin apa?

.

Malam semalam, selepas kutuk Pahlawan Ali, ketulahan apa agaknya, tiga kali aku memerut. Sekali pada jam 12, sekali pada jam 3 lebih kurang dan sekali pada jam 6. Dan pada siangnya ada sekali dua lagi.

Ada kawan kata kalau keracunan makanan, puncanya boleh dikesan 4 - 6 jam sebelumnya. Itu tempoh bakteria mengeram agaknya. Kalau disebabkan racun, tempoh sakit lebih cepat sebab racun tak perlu membiak agaknya.

Tapi aku syak punca kesakitan aku ialah makanan yang aku makan pada tengahari sebab kalau makan malam, Mama dan Ariff tak pula sakit.

Apa yang aku makan?

Doktor pernah pesan, dia kata makanan yang biasa berbakteria ialah protin dan karbohidrat. Nasi yang aku makan masih panas. Jadi aku syak pada lauknya.

Aku makan lauk ayam masak sambal. Apa yang aku perasan pada masa itu, ayam itu bersalut tepung.

Resepi sambal apa yang ayamnya kena disalut tepung? Hmmm... adakah itu ayam 'recycle'? Ayam goreng kelmarin?

Kawan-kawan kata kalau kari ayam bersalut tepung, mungkin itu ayam goreng yang tak habis kelmarin. Kalau nak makan kari ayam atau masak lainnya, pilih ayam yang masih pejal dan tak bersalut tepung...kebiasaannya begitulah.






.

Monday, August 26, 2013

Pahlawan Ali

.

Mula-mula sekali, aku minta maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung tapi aku benar-benar keliru.


Aku rasa serba salah kalau ada iklan Ali Cafe muncul di kaca TV, dengan Fahrin bertukar jadi hulubalang Melayu yang bukan sahaja lincah berpencak malah pandai menari.

Serba salah aku datang apabila melihat dia menari dengan mulut sering ternganga. Aku asyik terfikir, dia menari pop-moden atau breakdance atau bersilat?

Dan yang paling aku tunggu-tunggu ialah aksi akhir Fahrin yang memakai baju hulubalang melayu membongkok sambil membengkokkan lengan dan menjerit 'Kuat!!!'.

Diakhir iklan itu, aku cuba nak pastikan jari yang mana dia luruskan ketika menjerit 'Kuat!!!'........ jari telunjuk atau jari hantu?






.

Usaha tangga kejayaan...

.

Bak kata orang, 'sungguh terasa kelatnya, bak buah masih muda'...


"Shah Alam: Impian pasangan suami isteri untuk menunaikan ibadat haji akhirnya dimakbulkan Allah walaupun mereka hanya mampu mengumpul duit syiling hasil jualan payung pada setiap hujung minggu sekitar bandar raya ini sejak empat tahun lalu....

Jamilah berkata, setiap bulan suaminya yang masih boleh memandu akan ke Bangi untuk menyimpan hasil keuntungan dan ia biasanya membabitkan duit syiling kerana wang kertas digunakan untuk keperluan perubatan dan perbelanjaan lain.

Katanya, dia dan suami masing-masing menghadapi masalah kesihatan dan hanya mampu menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke setiap lokasi, namun ia tidak akan menjadi halangan untuk mereka beribadat nanti... "
 
Sumber: myMetro



Bagaimana sebuah usaha yang diberkati akhirnya mendapat apa yang dihajati.
Mereka mengambil masa 4 tahun untuk mengumpulnya.
Sedikit demi sedikit.
Kalau hendak seribu daya.
Kalau niat sudah ada, mudahlah segala-galanya.

Bagaimana pula dengan aku?

Errr.......




.

Sunday, August 25, 2013

Selera selepas raya

.


Berpuasa sebulan, tiba-tiba dalam masa 2 minggu sahaja bermacam-macam jenis lauk-pauk masuk ke dalam tembolok!

Tak cukup dengan itu, dalam sehari pada hujung minggu kadang-kadang makan 4-5 jenis masakan! Kalaulah di bulan-bulan lain, aku tak rasa aku dapat makan 4-5 jenis masakan dalam sehari.

Tapi, itulah hakikatnya... manusia di Malaysia menjadi manusia yang rajin memasak di dalam bulan Syawal.

Hah, sekarang? Selera terbang ke laut bersama-sama camar putih, bermain-main angin pantai.

Perut aku dah sebu, tekak aku dah mula 'pandai' berfikir bahawa 'sudah tu sudahlah'.

Aku dapati mee segera megi pada malam ini sungguh lazat... sehinggakan kalau disuakan lemang pun belum tentu bibir-bibir mungil merah aku mahu terbuka.





.

Friday, August 23, 2013

Bosan-bosan-bosan...

.

Dalam umur-umur begini, eloklah kalau bosan-bosankan dunia.
Sebab nanti bila dah bosan, itu bosan ini bosan, hati terasa nak berhijrah ke alam lain.
Alam yang baharu, yang penuh dengan tanda soal.
Yang selama ini cuma didengar sahaja ceritanya.
Bila hati dah terasa sangat nak berhijrah, senanglah nak meninggalkan dunia dengan rela hati.

Itu teorinya...
Hakikatnya, hati siapakah yang benar-benar bencikan dunia?
Yang dikatakan dunia itu juga termasuk manusia-manusia yang menghuninya.
Sanggupkah meninggalkan orang-orang yang tersayang?
Kecualilah kalau rasa sayang itu sudah lupus.

Itu teorinya...
Hakikatnya, adakah manusia yang langsung tak ada perasaan sayang?
Perasaan sayang itu termasuklah perasaan sayang kepada pasangan dan anak keturunan.
Sanggupkah buang rasa sayang kepada anak?
Kecualilah kalau hati telah keras mati.




.

Thursday, August 22, 2013

Senarai penerima buku no.4

.

Sehingga petang ini, inilah senarai penerima buku no.4 itu ialah:

1. Su @ Aya ... address belum bagi
2. Bunda ... address belum bagi
3. Jeb .... address dah bagi
4. LyDS ... address dah bagi

5. SudipvSenduk ... address belum bagi.
Dah cukup kuota.
Kepada yang belum berikan alamat untuk tujuan pengeposan, silalah email kepada aku.


Nota:
Kuota 5 buah buku di atas tidak termasuk senarai penerima koleksi buku-buku aku (yang pernah menerima buku no.3).



.

Wednesday, August 21, 2013

Apabila brek berdecit bingit...

.

Sudah 2-3 hari brek kereta aku berbunyi kasar seperti ada pasir ketika membrek. Dan aku hanya anggap memang ada pasir yang masuk di celah-celah di antara brake pad dan brake disc, dengan harapan apabila pasir itu hancur, bunyi kasar itu akan hilang dimamah zaman.

Anggapan aku meleset!

Hari ini, pagi tadi, bukan sekadar berbunyi kasar. Pada kali ini, bunyi itu masih ada walau pun setelah aku angkat kaki aku dari memijak pedal brek. Ah! Brek aku sudah pandai menyalak tuannya...


Salakkan brek aku itu sukar aku fahami. Bila aku hentikan detik masa dan aku dengar satu persatu gema salakkannya itu, aku dapat susun satu persatu bait-bait suaranya...

"duit... duit.. duit", itulah yang dia jeritkan selama 2-3 hari ini.

Buat masa ini, aku takut hendak menekan pedal brek kuat-kuat. Jadi, aku main lajaknya sahaja. Apabila sudah terpaksa atau dekat, barulah aku tekan kuat-kuat. Semoga aku selamat ke rumah dan kembali ke tempat kerja... eh, terbalik ek? Begitulah kehidupan di kota.






.

Monday, August 19, 2013

Buku ke- 4, Sebalik Mimpi ...

.

Manuskrip dah ada dalam tangan aku. Kalau tak ada aral melintang, hujung minggu ni aku hantar untuk dibukukan.




Diatas sebab-sebab bajet, aku hanya reserve 5 buah buku untuk aku tawarkan di blog ini.

Yang lain-lainnya aku dah reserved untuk mereka yang pernah dapat buku-buku aku sebelum ini, aku harap mereka sudi terima buku yang ini sebagai koleksi mereka.

Jadi, sesiapa yang nak buku di atas, sila emailkan kepada aku... nizam.ariff@yahoo.com




.

Sunday, August 18, 2013

Cara mengesan kehadiran orang ketiga di dalam rumah

.

Hijab sikecil masih belum banyak lapisnya... itu yang dikata orang tua tua, itulah sebabnya bayi senang 'keteguran' dek makhluk halus. Matanya boleh 'nampak' apa apa yang banyak orang dewasa tak boleh nampak.


Rumah kalau dah lama tak dihuni biasanya akan dihuni oleh makhluk halus...itu yang dikata orang tua tua. Itu termasuklah jika rumah baharu. Perkara biasa yang ditanya orang apabila masuk ke dalam rumah baharu ialah 'ada rasa apa apa tak?' atau 'tidur malam ada mimpi apa apa tak?'


Kemudian, menjadi satu kerja pula untuk mengetahui status 'kesihatan' rumah rumah itu. Kenalah ditanya orang yang lebih arif pula.


Aku nak syorkan satu cara. Bawa bayi kecil ke rumah itu dan lihat sama ada bayi tu menangis sampai melalak atau tidak. Jika ada, rumah itu ada 'penghuni lain'.


Kepada yang berhasrat nak bertanya aku tentang syor itu, aku jawab awal awal... 'ya, aku dah cuba'.

Aku ajak adik ipar yang ada anak kecil ke rumah... nasib baik budak tu tak melalak. Cuma menangis nak menyusu. Kejam? Aku? Taklah. Itu eksperimen, perlu diuji.



.


Friday, August 16, 2013

Roti Canai kuah Tom Yam Campur...

.

Pernah makan roti canai dicicah dengan tom yam campur?
Malam semalam, aku buat...






Segala-galanya gara-gara 'nacik goyeng ikan asin' yang aku pesan tak sampai-sampai sampailah Mama dan Ariff selesai makan. Yang sampai kepada aku ialah sup tom yam campur. Konon-kononnya aku nak makan yang masam-masam dan yang masin-masin kerana lidah dan tekak yang 'manja' dek demam batuk selsema ni.

Oleh kerana lama sangat, sampai ke sudah tak tiba-tiba, aku toleh kepada mamak penebar roti canai dan aku angkat tangan sambil menunjukkan jari angka 'satu'.

Maka sampailah roti kosong tak sampai pun 5 minit... aku lihat dia panaskan roti canai yang telah siap, itu yang jadi 5 minit sahaja.

Dengan rasa cuak takut orang tengok, aku carik roti canai dan aku cicahkan ke dalam kuah tom yam. Ada terfikir juga nak masukkan roti canai ke dalam mangkuk tom yam tu biar kembang semangkuk tapi takut nanti ada orang mengata pula.





.

Thursday, August 15, 2013

Demam memancing...

.

Sudah 2 hari aku demam.

Selain demam, tekak juga terasa perit. Dada juga terasa berat.
Ada sekali tu, aku tengok kahak dah berwarna kuning. Sekali tu je aku tengok.
Kali-kali lain aku telan je.

Aku harap demam aku bukan disebabkan ketulahan memancing di hutan sampai ke senja tempohari.

Tempah memancing itu bukannya lembut. Tempatnya agak keras. Aku faham sangat tempat itu sebab aku mula kenali tempat itu kira-kira 30 tahun lepas lagi. Masa itu arwah Bapak sering mengajak aku memancing di sepanjang sungai itu.

Di tempat aku memancing tempohari ada sebatang pokok kekabu tua sebesar 2 pemeluk orang dewasa yang sudah sekah dahannya dipanah petir. Tapi masih ada dahan lain yang tumbuh.

Kira-kira 20 tahun dulu, di bawah pokok itulah abang aku dan Suyut 'Komunis' (arwah) telah dikencing jin langsuir yang menjadikan pokok itu tempat ia bergayut. Setelah disumpah seranah dek Suyut Komunis yang terkenal dengan garang dan panas barannya, abang aku kata jin langsuir itu telah terbang ke seberang sungai sana dan menjadikan sebatang pokok kayu ara sebagai tempat bergayut baharunya. Aku ada terfikir nak ambik foto pokok kelabu itu semasa memancing tempohari tetapi aku batalkan kerana aku rasa ianya terlalu PG18.

Tidak jauh dari situ pula, ada 2 buah kubur lama yang dipercayai dihuni oleh 2 pasang mayat. Berapa lama kubur itu tidaklah dipastikan tetapi kubur itu hanya ada dua sahaja dan kubur itu berada di kawasan tanah yang agak tinggi. Tiada kubur lain.

Tanah di kawasan sepanjang sungai besar-besar di Perak memang ada banyak kubur-kubur lama. Ini kerana dari sejarahnya, petempatan awal penduduk Perak ialah di sepanjang lembangan sungai. Mereka menjadikan sungai sebagai 'jalan raya' utama. Tidak hairanlah jika terdapat banyak kubur-kubur lama di sepanjang tebing sungai. Namun akibat banjir dan hakisan dan penerokaan hutan dengan tanaman getah dan kelapa sawit, kubur-kubur ini terdedah dan ada yang sudah hampir ke gigi air sungai.

Beberapa tahun dulu, aku pernah memancing di Kg. Teluk Memali, di Sungai Perak tidak jauh dari Kg. Gajah. Sambil aku memancing, aku lepak-lepak di satu kumpulan kubur-kubur lama. Diantaranya ada 3-4 kubur kristian. Itulah tapak kubur asal JWW Birch sebelum dipindahkan ke Pasir Salak dan seterusnya di bawa pulang ke negara asalnya. Aku pernah tulis di blog ini.


Dalam pada sakit tekak ini, aku teguk juga air oren dan 'stombeyi'... warna-warna air itu sungguh menawan nafsu...




.

Tuesday, August 13, 2013

Umpan Anai-Anai dan Kerengga untuk memancing Ikan Loma dan Seluang

.

Kisahnya bermula apabila Emak beritahu yang stok lauk basahnya sudah habis. Emak sudah uzur, pemakanannya perlu dijaga rapi. Silap sedikit, Emak akan masuk wad kecemasan. Emak tidak mahu makan daging atau ayam. Malah, jenis ikan tertentu sahaja yang Emak boleh makan.

Jadi, bila Emak kata stok ikan dah habis, aku pun bergegas ke kedai di pekan berhampiran. Ada pelbagai ikan tetapi semuanya tidak sesuai dengan keuzuran Emak. Aku cuma jumpa ikan Lampam dan Ikan Putih. Aku beli semua yang ada. Bila sampai di rumah, bila aku siang, hanya 3 ekor sahaja yang masih elok. Yang lainnya aku sedekah ke ayam.

Kebetulan ada abang aku on-the-way balik juga. Aku suruh singgah cari ikan untuk emak. Ikan Merah atau Tenggiri atau Bawal tak ada. Musim raya-raya begini, mana ada ikan itu semua.

Maka hari raya ke-4 itu menjadi hari untuk misi mencari lauk Emak.

Emak suka ikan Haruan tetapi mencari umpan katak di tengahari bukan semudah mencari katak minyak di malam hari. Pada waktu malam, katak minyak keluar dan tertonggok di tengah-tengah jalan. Tinggal nak suluh dan cekup sahaja.

Aku dan abang aku beralih ke sungai pula. Banyak ikan sungai yang Emak boleh makan. Tempat yang kami tuju ialah sebuah sungai cabang kepada Sungai Perak. Kami masuk melalui kampung Permatang Pelandok, Kampung Gajah.

Sebelum itu, kami perlu sediakan umpan dahulu. Sebelum nak tentukan umpan apa, kami perlu tentukan ikan apa yang ingin dipancing. Aku cakap aku nak cari Ikan Lais. Abang pula kata Emak boleh makan Ikan Seluang. Jadi, nampak gayanya kami akan gunakan joran tepi sungai sahaja. Joran teleskopik 15 kaki panjang sudah mencukupi.

Jadi, kami cari umpan anak Kerengga. Kemudian aku cangkul busut, aku cari anai-anai pula. Sebagai insurans, kami cari 2-3 ekor cacing tanah dan beberapa biji buah sawit busuk, kalau-kalau ada pula Patin atau Jelawat galak bermain, kami labuhkan gewang juga.


Sarang Kerengga dipecahkan dan dimasukkan ke dalam baldi. Untuk asingkan kerengga
pekerja dan kerengga bersayap, bakar sahaja dengan suratkhabar. Yang bersayap itu
yang menjadi umpan.


Aku pula mencari anai-anak yang bersayap, yang masih belum pandai terbang.
Anai-anai ini lebih kecil berbanding Kerengga bersayap tadi.

Oleh kerana umpan Kerengga dan Anai-Anai itu kecil, kami gunakan mata kail yang kecil sahaja, kalau tak silap mata saiz 2-3 atau mata kail udang. Kami gunakan joran 15 kaki.


Inilah sungainya. Tempatnya terpencil, jauh dari kampung orang. Jalan masuk ke situ melalui
jalan lori kelapa sawit.


Memancing Ikan Loma dan Seluang tidak perlu di tengah-tengah sungai. Mereka banyak
bermain sekitar 5-8 kaki dari tebing sungai. Biasanya di hujung rumput atau di bawah
pokok yang berjuntai ke sungai, di air yang lebih tenang.


Ikan Loma dan Seluang gemar menyambar serangga yang terjatuh di permukaan air. Oleh itu, teknik yang kami gunakan ialah letak-tarik-letak-tarik. Bukan merendam mata kail dalam-dalam atau lama-lama. Sebelum itu, untk menarik perhatian ikan-ikan itu, kami campakkan beberapa biji buah kelapa sawit busuk.


Ikan pertama ialah anak seluang, masih kecil. Abang terfikir nak dijadikan umpan untuk ikan
yang lebih besar.


Jadi, abang labuhkan juga gewang ke sungai. Mana tahu ada Ikan Tongsan yang bermain.
Gewang abang yang gunakan umpan Ikan Seluang berjaya menaikkan 3 ekor ikan duri bersaiz tak sampai 1/2 kg setiap seekor... ikan low-class. Tak jadi teruskan guna umpan anak Seluang. Kami fokus kepada joran menggunakan umpan Anai-Anai dan Kerengga sahaja.


Inilah ikan yang kami cari. Kami tak pasti nama sebenar ikan ini. Kami rasa itu Ikan Loma. Sedap
jika digoreng garing, walau pun ada banyak tulang halus.

Inilah ikan yang aku cari, aku panggil Ikan Lais. Mungkin orang kata itu anak Ikan Tapah.
Badan ikan ini transparen, tak bersisik dan ianya sejenis River Catfish

Mulut Ikan Lais ini besar, boleh menganga luas dan ikan ini boleh membesar sehingga mencecah
lebih sekilo. Ikan ini manis, sedap digoreng begitu sahaja. Ia ada 3 tulang tajam. Kena berhati-hati.

Menjelang senja, kami pun pulang dengan hasil tangkapan yang memadai untuk 3 kali gorengan. Syukur... rezeki Emak.


Yang seperti Ikan Patin itu abang panggil Ikan Lawang. Katanya, bukan Patin. Ikan Lawang
paling besar pun 1-2 kg sahaja, tak seperti patin yang boleh mencecah berbelas kilogram seekor


Beberapa ekor Ikan Loma juga berjaya dipancing disamping Ikan Seluang sungai bersaiz
ibu jari.

Itulah hasil pancingan menggunakan umpan Anai-Anai dan Kerengga.



.

Friday, August 9, 2013

Kisah duit raya 2013

.

Sedang aku asyik-masyhuk melayari bahtera, bermain-main dengan lambungan ombak - sekejap aku ke atas dan sekejap aku ke bawah, dan sedang aku enak berdayung di alam maya, tiba-tiba...



"Pakcikkk.... ooo pakcikkkk..! Kami datang nak beraya." Satu suara di satu petang itu.

Aku toleh ke belakang. Aku pindahkan pandangan dari skrin komputer ke muka pintu rumah mak mertua aku yang sedia terbuka.

Aku nampak ada 3 budak lelaki berumur diantara 7-8 tahun. Dua budak sedang berdiri di bawah terik panas tetapi yang seorang lagi telah pun berdiri di muka pintu. Dialah yang menegur aku tadi.

Aku pandang budak itu atas-bawah: berseluar panjang, berbaju T, berkepala hampir botak dan membawa beg kecil yang diselimpangkan merentangi dada... sling bag.


"Hari ni tak ada duit raya, kuih raya adalah. Nak masuk tak?" aku bertanya.

Budak itu terus mendapatkan kawan-kawan.

"Kuih raya je la...." katanya, sambil berlari-lari ke luar pagar, menuju ke rumah jiran lain.


Entah. Aku tak kenal anak siapa. Ini bukan rumah aku. Ini rumah mak mertua aku. Yang penting, budak-budak itu pun tak kenal aku.





.

Nyah-toksinkan jiwa kita...barulah Syawal itu lebih bahagia

.

Hari Raya Aidilfitri aku kira sudah selesai meriahnya walau pun ramai yang menyambutnya sampai sebulan Syawal, konon-kononnya bulan Syawal ialah bulan hari raya. Suka hati merekalah, ya.

Apa yang penting, aku cuba teruskan perkara-perkara baik yang aku buat dalam Ramadan kerana Ramadan juga boleh digunakan sebagai bulan perubahan. Selama sebulan setan hantu kena ikat, apa yang terzahir melalui kelakuan tidak baik adalah dari setan manusia itu sendiri.

Bolehlah juga dikatakan bahawa bulan Ramadan juga adalah bulan untuk aku kenal siapa diri ini tanpa perlu campuran dari anasir asing. Maknanya, aku tak boleh gunakan alasan ' hah! setan sungguh kau! '. Tak boleh. Yang boleh aku kata ialah 'Oooo... inilah aku rupa-rupanya! '.

Itulah sebabnya Ramadan adalah tempoh masa untuk mengenali diri dan kelemahan-kelemahan yang ada. Ia juga adalah tempoh untuk detox atau nyah-toksin... seperti elixir, seperti menelan julap.

Jadi, apabila masuk Syawal, aku seharusnya sudah bersedia dengan tubuh dan jiwa yang sudah bersih. Seperti tubuh yang sudah dinyah-toksinkan.

Apabila tubuh dan jiwa sudah dinyah-toksinkan, seharusnya selepas ini aku tak boleh ambik makanan-makanan yang beracun. Kena makan ulam-ulaman. Kena makan yang organik-organik walau pun makanan organik adalah lebih mahal daripada makanan yang penuh beracun serangga dan berbaja kimia itu.

Yalah, makanan yang baik biasanya lebih mahal. Tak seperti makanan-makanan yang beracun yang lebih mudah didapati dan murahlah pula.

Membuang toksin jiwa bukanlah mudah tapi Ramadan menjadi bulan titik tolak untuk melakukan perubahan. Malah aku rasa lebih elok memperbaharui azam pada bulan Ramadan berbanding Muharam kerana dalam bulan Ramadan, praktikalnya ada yakni berpuasa atau menahan diri selama sebulan.




.

Wednesday, August 7, 2013

Ucapan Hari Raya 2013


Dari perkarangan Sek. Keb. Sek. 27(2) tahun 2012


IKHLAS DARI KAMI
 
KALAULAH ADA YANG TERSINGGUNG AKIBAT TULISAN
ATAU KOMEN-KOMEN,
MAAFI KAMI.




.

LailatulQadr

.

Apabila malam seribu bulan atau lailatulqadr atau lailatul qadar muncul pada malam genap, apakah reaksi kita?

Adakah kita yakin bahawa malam penuh kebaikan itu muncul pada malam malam yang ganjil sahaja maka sujud dan doa kita lebih lama dan lebih panjang pada malam malam yang ganjil berbanding pada malam malam yang genap?

Kalau keyakinan kita terdorong oleh pendapat yang seperti itu, eloklah dinilai semula niat dan hati kita.

Aku juga terlepas pada kali ini. Walau pun telah terdetik namun bak kata orang, dah kalau bukan rezeki beras secupak tak jadi segantang. Jadi, pagi Sabtu itu, aku hanya mampu melihat sayap sayap sang malaikat melibas naik dan menyaring cahaya sambil aku menyiram pokok bunga....




.

syawal bakal tiba

.


Bau asap bunga api.
Bau asap pelita minyak tanah.
Bila berbaur, ia mencoret cerita pada kanvas hari raya.
Ceritanya berbunyi :

'Ramadhan pergi untuk memberikan ruang kepada aidilfitri'.

Kita terlalu ceria untuk menyambut syawal sehingga terlupa untuk merasa sedih melihat ramadan pergi.





.

Tuesday, August 6, 2013

Sambil memandu sambil layan nostalgia

.

Tadi mencari-cari lagu untuk aku muat turun ... untuk didengar ketika perjalanan pulang ke kampung. Aku terjumpa dan terdengar lagu-lagu lama yang sungguh nostalgik. Salah satunya ialah yang di bawah ini.

Waktu itu aku masih di sekolah rendah. Aku sedang bermain gitar ini sambil duduk di buaian di bawah sebatang pokok rambutan besar. Buaian itu hanyalah sekeping lantai yang papan tebal yang diikat dengan tali lembu di kedua hujungnya sebelum digantungkan pada dahan rambutan tadi.

Angin petang sepoi-sepoi menyibak rambut... dan lagu sedih ini aku mainkan, dengan jari-jari kecil mulus aku menari-nari pada gitar Kapok.






Datang dan Pergi

Telah berlalu, datang kembali
Terbayang diruangan mata
Suka dan duka tinggal hanyalah kenangan

Datang dan pergi, sesuka hati
Menusuk di jiwa ini
Hingga dimana ianya akan berakhir

Cukuplah derita, sengsara yang ku alami
Biarlah kupergi membawa hati ini
Relakan kupergi

Kini sudah kurasakan
Cukup aku menderita
Kutak ingin lagi bercinta kedua kali

Biarlah ini kujadikan
Cubaan dalam hidupku
Bukan maksudku untuk berpisah denganmu.


Lagu: Sweet Charity




.

Monday, August 5, 2013

Pantun nasihat sosial.. berbudi berpada-pada

.



Mari-mari menuai padi
Padi dituai di hujung bendang
Hati-hati menyemai budi
Budi disemai diracun orang


Padi pulut padi mahlinja
Tangkainya muda diketam juga
Angkara mulut hati terluka
Sudahlah terluka disiram cuka






.

Sunday, August 4, 2013

Menari dalam cahaya indah

.

Ketika itu hujan rintik tetapi disiang tadi panas terik, padahal malam semalam, ketika penghuni malam riang berdendang, hujan lebat mencurah-curah turun pada dinihari. Siapa sangka cuaca boleh berubah dalam masa sehari.

Aku mencari faham lewat malam sebelum tidur. Pencarian tanpa kepastian sama ada aku temui faham itu atau tidak. Fikiran menerawang di lelangit, kalau aku temui sebutir bintang yang tidak berkelip sekalipun aku akan petiknya, nanti aku basuh ia dan aku gilap ia sehingga berkilat dan memercik sinar mengelip. Tapi aku tak temui apa-apa yang tergantung di lelangit fikiran itu.

Juliet menari. Aku tahu dia sedang menari. Aku tidak nampak tapi aku dapat rasainya. Juliet menari di balik alam sana. Berpusing-pusing sambil menyusun tapak kaki, meniti detik-detik masa menuju ke kiamat kubra.

Di balik alam sana, cuacanya berlainan. Siang seperti malam, malam seperti siang. Siangnya penuh dengan bintang dan bulan. Malamnya penuh dengan sinar cahaya benderang, diterangi oleh doa-doa manusia yang beriman, manusia yang mengakui bahawa Allah itu Tuhan yang Esa.

Aku menunggu agar dapat melihat sepicing kelibat Juliet. Kalau aku dapat lihat, aku akan gamit dia. Kalau dia dapat lihat gamitan aku itu, aku berharap dia akan membalasnya dengan senyuman yang amat manis. Kemudian, aku akan meminta dia hulurkan tangannya dan aku akan sambut. Aku akan minta dia tarik aku masuk ke dalam alam dia.

Di situ nanti, tubuh aku akan disimbah cahaya doa sambil melihat Juliet menari keriangan bermain pelangi.



.

Saturday, August 3, 2013

Kisah air tebu cepat basi....

.


Tadi aku beli air tebu untuk juadah berbuka.

Aku beli dua bungkus: sebungkus yang bercampur ais dan sebungkus lagi tanpa campuran ais. Sesampai di rumah, aku cepat-cepat campurkan kedua-duanya kerana baru aku teringat air tebu mudah basi jika tidak disejukkan.

Kemudian, aku tefikir, air tebu ketika masih di dalam batang tebu tidak pula basi sedangkan kalau sudah diperah keluar, air tebu cepat basi.

Kemudian, aku terfikirkan beberapa perkara lagi seperti:
  • Santan di dalam kelapa tidak basi tetapi setelah dikukur dan diperah, ia akan basi dalam masa sehari.
  • Beras tidak basi tetapi nasi mudah basi dalam masa sehari atau lebih.
  • Susu ketika di dalam n*n*n lembu tak basi tapi kalau sudah diperah akan jadi lassi.
  • Tahi hidung tidak berbau ketika masih di dalam hidung tapi kalau sudah keluar ia berbau.
  • Air liur tidak najis ketika masih di dalam mulut tetapi setelah diludahkan ia jadi najis.
  • Badan manusia tidak membusuk hingga berpuluh-puluh tahun jika jantungnya masih berdenyut tetapi cepat busuk bila jantungnya berhenti.

Kejadian makhluk yang Tuhan rencanakan...




.

Friday, August 2, 2013

Ayam togel yang mati secara aman dan tenteram...

.


Aku agak cerewet ketika membeli ayam togel.

Tak kiralah di pasar-pasar malam atau di pasar basah, aku akan pilih tubuh fizikal ayam yang masih sempurna bentuknya: kepak tak patah sampaikan tersembul tulang, dada yang berisi, peha yang gebu dan bulat, lutut tak hitam atau terseliuh, leher yang ada kesan sembelih dan bukan dipotong atau di cucuk dll...Tujuannya, aku nak pastikan ketika ayam itu disembelih, ayam itu tak diseksa atau terseksa.

Dan petang Selasa lepas, di sebuah pasar basah, di sebuah gerai menjual ayam...


"Abang nak ayam yang mana satu?" Tanya dia.

"Tolong carikan ayam yang mati secara aman tenteram." Pinta aku.

Dia terkejut, reaksi yang aku sudah jangka bila aku cakap begitu. Dia lihat kesemua ayam-ayamnya dan termenung seketika.


"Ada tak?" Tanya aku pula

"Saya rasa ayam-ayam kat sini semuanya menggelupur bila disembelih... tak ada yang mati dengan tenteram."Jelasnya jujur.


Pada kali ini, aku pula terkejut dan termenung, berfikir sejenak.
Hmm.... betul juga kata dia.




.

Thursday, August 1, 2013

Buku ke - 4 : projek membukukan mimpi-mimpi aku.

.

Bakal dicetak sedikit masa lagi...





Bukan hebat sangat pun buku tu. Tulisan dalam buku tu dah aku tulis di dalam blog ini dan blog yang itu. Aku cuma telah kumpulkan dan aku akan bukukan sebagai simpanan aku dan anak cucu...





.

Ubat untuk kaki 'pengkar' atau jalan yang bersepah-sepah...

.


Semasa kecil dulu, aku suka bila berjalan, aku berjalan di atas satu garisan. Bila aku berjalan di atas jalan raya, aku akan sedaya upaya untuk menapak di atas garisan putih di tepi jalan. Kalau aku meniti papan sekeping atau buluh sebatang, aku akan susun kaki aku agar sebaris. Pada mulanya, aku nak mantapkan imbangan badan. Lama-lama dah jadi kebiasaan.

Bila dah terbiasa begitu, cara aku berjalan menjadi lebih tersusun. Taklah sampai macam 'cat walk', sampai bersilang kaki kanan ke kiri dan kaki kiri ke kanan. Cuma, tapak kaki aku lurus segaris. Tapi, itu dulu-dulu. Ketika masih teruna. Ketika alignment masih mantap.


Namun sejak bertahun-tahun kebelakangan ini, aku dapati tapak kaki aku sebelah kanan agak mencapah atau terbuka sedangkan tapak kaki kiri aku masih elok tegak. Jenuh juga aku cuba kawal tapak kaki kanan itu termasukkan 'memaksa'nya masuk lurus semula ketika duduk atau berbaring Tapi tak mahu. Aku syak, ini terjadi sejak aku mendapat lesen kereta dan memandu kereta.

Apabila memandu kereta, kaki sebelah akan akan menekan pedal minyak dan brake. Lebih lama ke pedal minyak sebenarnya. Jadi, aku syak, setelah berbelas tahun memandu, tapak kaki kanan aku sudah mengikut acuan itu.

Bagaimana hendak betulkan?


Beberapa hari lepas, aku berjumpa Dr. Andrea di dalam sesi 'chiropractic'. Selepas aku relakan dia menekan itu ini di beberapa bahagian tubuh badan yang menggiurkan ini, aku pun bertanya tentang kaki kanan aku.

Kemudian dia berkata dalam bahasa kedoktoran yang sukar untuk aku fahami (kerana dia bercakap bahasa Inggeris) tetapi ada kena mengena dengan otot di bahagian pinggul. Katanya, jika otot itu tegang, ia akan menarik dan memusingkan tulang kaki, menyebabkan kaki tidak lurus ke depan.

Jadi, mungkin benar telahan aku bahawa memandu kereta boleh menyebabkan kaki kanan kita 'pengkar' atau terkeluar kerana stress pada otot pinggul akibat posisi kaki dan pedal minyak yang tidak ergonomik itu.

Seterusnya, aku bertanya, bagaimana nak betulkan semula kaki aku itu? Dia kata, otot yang tegang itu perlu di kendurkan semula. Caranya? Dia menunjukkan sejenis pergerakan untuk mengurangkan stress pada otot itu. Apa yang dia buat ialah seperti pergerakan 'Rukuk' di dalam solat. Dan dia suruh lakukan beberapa kali dalam sehari. Pastikan ketika 'Rukuk' itu otot di bahagian belakang kaki dan pinggul adalah tegang dan badan berada pada posisi 90 darjah atau lebih ke bawah.


Hmm.... sungguh menarik...




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com