Wednesday, November 30, 2011

Koleksi (2) kumbang-kumbang yang baik-baik...

.

Kalaulah bunga penyeri taman, kumbang pula penyeri bunga. Gandingan yang secocok.
















Appresiasi untuk sang kumbang... dedikasi kepada mereka yang sering mendampingi bunga tanpa jemu.






.

Tuesday, November 29, 2011

Aku kritik Anwar Ibrahim di balai raya... keh keh keh

.


Malam tadi aku ada mengalami beberapa siri mimpi. Aku cuma nak kisahkan dibahagian mimpi aku yang terakhir, mungkin dalam pukul 5am. Aku kata mungkin. Mungkin juga pukul 6am kerana aku kata mungkin.


Begini...




... oleh kerana kerana jiran aku, seorang Imam dan pengerusi surau, telah berikan saranan aku patut tukar paku kepada paku yang lebih panjang kerana kekisi yang aku hendak pakukan kepada lantai itu masih renggang (paku tak cukup panjang), maka aku pun tinggalkanlah kerja-kerja naik-taraf rumah aku. Aku mahu beli paku yang lebih panjang.


Dengan hanya berseluar 3/4 tanpa berbaju kerana berpeluh. Aku sangkutkan baju T aku ke bahu, aku berjalan kaki ke balai raya yang tak berapa jauh dari rumah. Aku lihat balai raya itu penuh dengan orang kerana ada 'ekspo' dan pertandingan. Aku masuk ikut pintu sisi dan terus ke satu 'booth' yang menjual perkakasan (hardware) kegunaan domestik. Aku cari paku yang sesuai. Ada paku kayu, ada paku simen. Aku nak pakukan kekisi kayu aku kepada lantai simen.... macam mana tu?


Tiba-tiba tumpuan aku terpesong ke pentas kecil disebelah aku. Ada satu pertandingan 'rekacipta' atau mungkin juga 'Kaizen'. Aku kata mungkin juga sebab aku tak pasti pertandingan apa. Ada juri tetapi aku tak nampak 'backdrop' atas pentas tu. Jadi aku tak tahu. Ada dua orang peserta sahaja dan rekaan masing-masing telah pun di letakkan di atas pentas.



Aku lihat peserta pertama ialah seorang pekerja kilang. Dia naik ke pentas lalu dia tunjukkan rekaannya iaitu sejenis alat penyembur racun berkapasiti 2.5 liter. Katanya, rekaannya itu kecil untuk menyenangkan surirumah menggunakannya. Ia sebagai galakkan kepada surirumah di kota untuk berkebun sayur di belakang rumah yang luasnya sekangkang kera itu. Jadi, tak perlu besar-besar. Katanya, rekaannya adalah ergonomik dan ekonomik. Dia mendapat tepukan gemuruh dari juri dan hadirin.


Kemudian, peserta kedua pula naik. Tiba-tiba aku lihat saudara Anwar juga naik bersama-samanya. Mereka berdua berhati-hati membuka sebuah kotak yang agak besar, mungkin bersaiz  4'x4'x5'. Dengan wajah yang ceria seorang ahli politik, Anwar pun terangkan bahawa rekaan penyembur racun versinya lebih cangggih, lebih besar dan lebih dari segala-galanya.


Tiba-tiba aku merasa meluat dengan cara penyampaiannya yang macam cakap besar. Jadi, aku terus naik ke atas pentas dengan berseluar 3/4 dan baju yang aku sangkutkan pada bahu. Aku lihat ada lebih kurang 20-30 hadirin dan ada 3 orang juri duduk di meja hadapan.


Aku minta Anwar dan pembantunya yang berwajah bulat buka penutup kotak itu. Aku lihat di dalam kotak itu ada sejenis mesin penyembur racun seperti yang pekebun guna di ladang-ladang atau di sawah padi (blower macam jenama Robin). Aku belek pada salah satu sisi kotak itu, aku dapati ada satu lubang dimana selinder penyembur itu dijulurkan.

Dia terangkan, apabila motor itu dihidupkan, kipas akan menyemburkan racun keluar ikut lubang pada tepi kotak. Aku pusing kotak itu beberapa kali. Aku rasa tak ada penambaikkan pun pada rekaan itu. Sama seperti memasukkan mesin racun ke dalam kotak.


" Ada automasi yang kamu buat?", aku tanya. Anwar terkejut. Dia geleng-gelengkan kepala.

" Ada apa-apa yang ditambah?", aku tanya lagi. Dia gelengkan kepala lagi.

" Ada apa-apa yang dikurangi?", aku tanya lagi. Sama, dia gelengkan kepala.

"Habis tu, apa penambah-baikkan yang kamu buat? tak ada apa-apa pun..!.", kata aku dengan kritikan yang pedas.


Orang ramai seolah-olah setuju dengan aku. Juri juga. Tiada 'kaizen' pun pada ciptaannya. Lalu aku turun dari pentas dan aku beli beberapa batang paku.

Aku mahu gunakan paku itu untuk aku pakukan kekisi rumah aku ke lantai simen.





.

Terbaru.... back to basic... necessity

.

Dan.....

Tengah hari ini, baru kejap tadi, aku makan di Restoran Desa Paku, di Ara Damansara dengan kawan-kawan.




Ya, aku mengada-ngada. Orang lain makan pakai tangan, aku makan pakai sudu



Dalam banyak-banyak lauk, aku pilih yang ini:


Ikan Gelama Masin...



Apabila kudup-kudup rasa mulai layu, nikmat itu pun diangkat tinggi melebihi ubun-ubun kepala, maka yang manis kelihatan masam dan yang masin kelihatan tawar. Rasa hambar terselit dicelah-celah gigi, antara lidah dan gusi.






.

Back to Basic...

.

Dalam cuaca yang tak menentu dan situasi ekonomi yang juga kurang menentu (baca: gaji sama tapi harga barang makanan naik menggila), aku rasa tibalah aku melihat kembali asas kenapa aku perlu makan.


Hasil dari penelitian aku selama beberapa minit itu, aku dapati tekak aku mahukan yang ini pula:






Dalam suasana sejuk dan lapar, 2 kali aku tambah nasi.... burrpp! Alhamdulillah. Kenyang.

Aroma nasi putih panas dan ikan masin cukupp menyelerakan. Ditambah pula dengan telur goreng dengan kicap Jalen (sekarang aku cuba Jalen pula) menjadi pemangkin kedua.

Ikan masin itu bukan ikan masin yang sebarangan. Itu ikan 'putih' sungai yang aku beli di pasar Sabtu di kampung aku. Aku belum jumpa lagi dijual di sini. Bila digoreng garing, ia menjadi seperti keropok. Memang sesuai dengan nasi putih yang panas.


Nasib baik mama tak buat sambal belacan yang ditumbuk bersama-sama asam belimbing buluh. Kalau tidak, 3 pinggan aku tambah nasi...





.

Monday, November 28, 2011

Koleksi (1) kumbang-kumbang yang baik-baik....

.

Ada yang memberikan fokus kepada bunga-bungaan, seolah-olah peranan kumbang dianak-tirikan dalam gambaran itu. Padahal, apalah bunga jika tiada kumbangnya.



Kagumilah sang kumbang juga...!

Kumbang tak hisap madu (retorik). Yang suka jilat-jilat madu ialah sang lebah (erotik). Kumbang suka mendampingi sang bunga (romantik), kumbang menemani sang bunga agar tak kesepian (romantik).

Sedangkan yang menjadi 'kulprit' atau sesetengah orang mengatakan 'kampret' (sejenis kelawar makan buah) ialah sang lebah. Tapi, oleh kerana kita mendapat madu dari sang lebah, kita menolak keadilan.

Kita sanjung sang lebah kerana madunya, yang boleh dikira sebagai 'rasuah'. Kita suka sang lebah kerana 'kepentingan' kita ada padanya dalam bentuk madu. Kita puji sang lebah yang kononnya bekerja keras untuk terbang dari satu bunga ke satu bunga.

Ingatlah, kumbang itu jujur....



Di pokok cili... bukan di bunganya. Kumbang ikhlas, dia tak pandang bunga...



Aksi jahat sang lebah di Pokok Bunga Burung... sedang jilat-jilat madu dengan rakus! Jarum sengat dah mula terjulur keluar..!



Di bawah daun Bendi... bukan di bunga
 

Di bawah daun kacang panjang... bukan di bunga




.... dan semua pokok-pokok itu bukan di halaman rumah aku.




.

Sunday, November 27, 2011

Koleksi skodeng kumbang yang kurang ajar ! Di khalayak ramai pun jadi ...

.

Bibit-bibit pertemuan pertama...



Kisah cinta suci yang bersaksikan langit luas...



Cinta itu buta, cinta tak kenal siapa...




Kumbang pun ada nafsu...mereka bukan 'malaikat'.

Berpeluh 'skodeng' di bawah terik matahari. Tak, aku tak 'stim'. Aku berpeluh sebab tak sabar nak tunggu kumbang-kumbang tu duduk diam-diam.

Kalau hari-hari aku 'skodeng' kumbang-kumbang macam itu, tak payah pergi Spa. Dah cukup bersauna.






.

Saturday, November 26, 2011

Pedulikah kita ?

.




Sedang aku jalan-jalan di Wild Park, aku terlihat kertas-tanda-berlamina ini tersangkut pada tiang tidak jauh dari tong sampah.

Seharusnya aku keliru, adakah ini melarang perokok untuk membuang puntung rokok merata-rata atau memberitahu bahawasanya putung rokok bisa mengalahkan Ridsect dalam membenteras lipas ?


Apa kata kalau kita rendam puntung rokok (dan sisa-sisa tembakaunya) di dalam sebaldi air suling selama 3 hari. Kemudian, kita gunakan untuk sembur di tempat-tempat lipas beristeri-rehat ?

Mungkin satu penemuan yang baru...







.

Dia landing baeekkk punya !

.





Mungkin 2-3 orang yang berselisih dengan aku di depan kedai 7-11 itu berkerut-kerut dahinya apabila melihat aku yang berpusing-pusing mencari posisi yang baik untuk sudut foto yang menarik. Dan ia hanyalah seekor kucing gelandangan !




Aku nak pesan sikit kepada 2-3 orang yang tersengih-sengih melihat aku tadi.

Tak ada bezanya kucing itu dengan kita dari segi kehidupan. Kucing itu gelandangan di siar kaki itu, hidup dengan menumpang teduh di tempat yang bukan miliknya. Ia hanya makan apa yang ditemui atau jika ada yang sudi memberi. Selebihnya, ia hanya baring-baring mengisi masa lapang dengan bertafakur dan memikirkan keindahan segala ciptaan.


Eh, macam mana aku boleh tahu ?



Seperti kita juga, segala-galanya diberi pinjam. Lalu gelandanganlah kita di muka bumi ini. Walau pun ada rumah, ada tanah tetapi semua itu bukan hak milik kekal (walau pun dalam geran ianya tertulis 'freehold' atau hak milik kekal atau tiada sekatan). Kita makan, kita tidur dan baring-baring sambil menonton sinetron Nadia... dan aku geram dengan Cikgu Susan, macam nak digigit-gigit. Dalam 'drama' lain pula, aku memang 'geram' tengok Cikgu Susan itu, macam nak diratah-ratah !


Eh, macam mana aku boleh tahu ?


Aku manusia dan aku pun sama gelandangan di muka bumi ini...

Ada masanya aku berkurap, bernista. Ada masanya aku selongkar longkang dan tong sampah. Ada masanya aku jilat batang ais krim sisa manusia. Ada masanya aku dengar azan dilaungkan sayup-sayup tanpa tahu dimana arah suraunya. Ada masanya aku hanya diamkan diri ketika melihat segala perubahan di depan. Ada masanya pula aku terlalu benci semuanya, termasuk diri sendiri.


Akan ada masanya badan aku akan penyek dan kepala aku meletup dilanggar tayar lori ketika cuba melintas jalan.

... melintas jalan ketika mahu menyeberang dari hidup songsang kepada hidup damai sentosa.







.

Friday, November 25, 2011

Ini dikira tazkirah Jumaat juga, kan ?

.

Kata seorang teman:


" Jika jasad aku fana di dunia ini, carilah aku dalam cahaya yang mutlak "
- Chasiman -




Itu katanya 15~17 tahun lalu. Ketika itu, mungkin sepoi anginnya kering. Mungkin tempias hujannya panas. Mungkin juga Sepa sedang menjerang Teh O untuk kami. Aku kata mungkin kerana aku dah lupa sikit-sikit.


Ini lanjutan daripada komen si Sepa apabila dia merujuk kepada sifat duality cahaya (cahaya bersifat gelombang elektromagnet dan bersifat zarah) yang tertulis pada formula ringkas yang kadang-kadang ada ditulis pada baju - T di pasar-pasar malam - E=MC*C, iaitu Energy = Mass x LightSpeed-square. Jika lebih banyak jisim (M) dilakurkan di dalam termonuklear, lebih banyaklah tenaga (E) yang akan dihasilkan kerana kelajuan cahaya (C) dianggap malar.
 
Mana kaitan sifat duality cahaya itu?  Cuba susun semula formula menjadi begini, E/M = C*C. Jadi, M berkadar songsang dengan kelajuan-cahaya^kuasa-dua.Mass (M) adalah jisim. Jisim adalah jasad.


Jika kesemua tenaga digunakan untuk menghasilkan pecutan sebuah pesawat, jisim pesawat seharusnya menjadi terlalu kecil supaya kelajuan menokok hampir kepada kelajuan cahaya. Namun begitu, jisim itu tidak boleh SIFAR kerana jika jisim sifar, kelajuan boleh menjadi infiniti. Sebab itulah mereka hanya kata 99.99% kelajuan cahaya. Sama seperti sabun basmi kuman... hanya 99.9% kuman dibunuh. Kenapa tak boleh 100% ? Entahlah... hahaha.



Berbalik kepada kata-kata kawan aku di atas itu, jika jasadnya lebur maka carilah dia dalam cahaya yang mutlak.

Itu lebih kepada kata-kata seorang pujangga jiwa. Mungkin maksud dia tidak lebih dari merendahkan diri untuk mendapat cinta dari Tuhan.

Atau mungkin juga kata-kata dari seorang yang mengantuk lalu tidur dan bermimpi yang indah-indah. Entahlah... hahaha.








.

Thursday, November 24, 2011

Merentas masa... maka datanglah masalah...

.

Malam tadi (baca: last night), aku tertonton Disc. Channel kisah lubang cacing (baca: wormhole). Aku tak kisah sangat dah pasal lubang cacing tu sebab maklumat boleh didapati merata-rata. Aku cuma tertarik kepada Stephen Hawking yang telah lumpuh begitu tapi masih mampu berfikir. DIa bukan idola aku tapi aku hormati semangatnya untuk terus hidup dan berfikir. Sungguh tinggi semangatnya.




Salah satu buku karangan Stephen Hawking



Kemudian, ceritanya mula berkisah tentang Merentasi Masa (baca: time travel). Itu pun biasa sebab dah ada wayang yang bercerita tentang 'Back to the Future' lewat tahun 80an lagi. Dah basi.


Berkenaan paradoks yang menjadikan 'Back to the Past' sesuatu yang mustahil pun kita dah sedia maklum. Ya lah, bayangkan kalau aku tahun 2011 pulang ke tahun 2000 dan aku bunuh diri aku versi tahun 2000 itu. Bermakna, kalau aku dah mati tahun 2000, aku tak wujud pada tahun 2011. Persoalannya, siapakah yang bunuh aku pada 2000 ? Tapi itu pun tak penting dalam entri ini.



Yang ini aku ada terfikir:

Dia kata, kalau kita berada di dalam satu pesawat yang bergerak pada 90% daripada kelajuan cahaya, 1 jam di dalam pesawat sebenarnya adalah 2 jam di luar pesawat (baca: bumi). Kalau pesawat terus bergerak laju pada 99% kelajuan cahaya, 1 hari di dalam pesawat bersamaan 1 tahun di luar pesawat (baca: bumi).


Dengan kata lain, kalau pesawat itu berlepas dari bumi pada kelajuan 99% kelajuan cahaya dan pulang semula setahun kemudian, penumpang-penumpang di dalam pesawat itu hanya merasakan mereka pergi 1 hari sahaja  sedangkan kita yang di bumi merasakan mereka pergi selama 1 tahun !

Bermaksud, penumpang itu telah pergi ke masa hadapan ! Mereka berjalan selama sehari tetapi hakikatnya mereka telah berjalan selama setahun.


Aku tak kata yang di atas itu ada kaitan dengan perumpamaan 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun di bumi. Aku suka fizik tetapi aku bukan arif tentang itu dan tak ada cara nak ukur pun.



Cuma...

Kalaulah 99% sudah memberikan perbezaan setahun berbanding sehari, bayangkanlah kalau bergerak pada 99.9999% kelajuan cahaya.

Cahaya bersifat duelan (baca: duality), ia bersifat gelombang elektromagnet dan ia juga bersifat zarah (fizik 101). Dan zarah cahaya digelar foton.

Bayangkan, foton yang bergerak pada 100% kelajuan cahaya, sejauh manakah dia telah merentasi masa?









.

Wednesday, November 23, 2011

Impian seorang nelayan...

.







Aku tak tahu nak cakap apa.

Sampan yang meluncur di laut untuk mencari rezeki selalunya diibaratkan dengan kehidupan ini. Sampan hanyalah kenderaan tubuh yang diusung semasa menempuh kehidupan yang seperti laut yang kita tahu ada hujungnya cuma kita tak tahu dimana ia. Dan rezeki adalah bekalan yang kita kutip semasa mengharungi hidup ini.

Apa yang kita bawa?


Mutiara atau karang yang tajam ?







.

Tuesday, November 22, 2011

Tom Yam merah di Panmour Villa , seks 20 Shah Alam

.

Kadangkala aku mencari tom-yam seperti mencari duit yang hilang. Aku kata, kadang-kadang. Yakni apabila sampai seru nak bertom-yam tiba-tiba tekak terasa nak hirup kuah yang masam-masam. Kadang-kadang aku pun terasa yang sama terhadap tempoyak. Ada masa-masanya.


Aku tak berapa pasti sangat tapi kalau tak silap selama aku hidup ini, aku jumpa 2 jenis tom-yam: satu yang kuahnya putih jernih dan satu lagi yang kuahnya merah-merah macam gulai asam pedas. Ada orang kata warna kuah tom-yam itu menandakan daerah asal resepi tersebut di Thailand. Sama seperti resepi kari yang pedas dan yang berpudina di India.


Aku kurang gemar tom-yam jenis kuah jernih yang banyak 'sampah sarap' batang serai, bawang besar, cili... jenis yang kena main 'baaa-chak!' dengan udang dan serpihan tubuh sotong. Tom-yam jernih yang kadang-kadang terasa sup lembu walau aku pesan tom-yam seafood.



Dan di Panmour Villa ini, tom-yamnya jenis kuah warna merah. Kuah yang pekat dan menyengat !






Aku suka tom-yam yang itu sebab rasa pedas, masam dan manis seimbang dengan pes yang aku rasa tukang masak itu buat sendiri. Aku tak nampak tukang masak itu buat tapi dari serdak-serdak kuah tersebut, aku dapat rasakan kesegaran setiap ramuan. Oh ya, semestinya ada 'Daun  Kumbang' yang menjadi tangkal peluntur nikmat kepada orang ini dan mungkin juga orang ini.



Yang menarik juga, selain daripada daging ikan (tanpa tulang) dan kerang-kerangan, ia juga menggunakan cendawan. Aku dapati ada sekurang-kurangnya 2 jenis cendawan. Satu cendawan butang dan satu lagi aku tak tau namanya, jadi aku panggil ia cendawan 'kepala ko&@' sebab bentuknya macam kepala %&#@.






Yang penting, aku tak perlu main 'baaa..chak !' dengan batang serai dan bawang besar yang menimbun... yang lebih batang dari isi seafood. Aku boleh hirup terus sebab semua serai, lengkuas dan entah apa-apa lagi itu dah menjadi pes yang halus.


Sekarang ini kalau aku nak hirup kuah tom-yam yang jernih atau yang merah, aku tau mana aku nak pergi.







.

Monday, November 21, 2011

Mimpi tentang Android...

.

Bukan.
Aku bukan bermimpi nak beli handphone. Aku bukan techno-savvy yang pantang ada gajet baru habis semua nak dibeli. Ini tentang mimpi aku malam tadi...



Lokasi: di simpang jalan masuk ke kampung aku yang berlatarbelakangkan sawah padi.
Watak: adik-beradik aku, kawan-kawan pejabat seorang dua.




Entah macam mana, sawah padi yang hijau kerana usia padi baru sebulan itu tiba-tiba menjadi sebuah lapangan terbang yang besar. Satu petang itu, ketika aku dan abang-abang aku sedang lepak di perhentian bas di hujung jalan masuk kampung aku dengan tak semena-mena, telinga aku terdengar bunyi bingit yang lain daripada bunyi enjin jet yang biasa. Aku nampak ada sebuah pesawat yang amat BESAR hendak berlepas. Kalah A380. Mungkin 3 kali ganda lebih besar. Aku kagum melihat pesawat yang besar begitu. Masa itu aku bayangkan betapa besarnya enjin yang perlu digunakan.


Semasa dia melintasi aku, ketika tayar-tayarnya baru melepaskan landasan, aku sempat baca beberapa perkataan yang tertulis pada badan pesawat itu. Aku tak faham kerana tulisannya seperti tulisan Rusia. Aku rasa itu pesawat spesis Antonov yang digunakan untuk terbangkan kapal angkasa Buran dalam misi ujian cuma ianya lebih besar.


Ketika pesawat itu mendongak untuk menambah altitud, aku gerun dengan bunyi deruman enjinnya yang amat besar. Seperti nak kiamat.

Kemudian aku rasakan ada sesuatu yang tak kena. Aku lihat pesawat itu mendongak (stiff climb) terlalu tegak (attack angle yang besar) dan aku risau pesawat itu akan stalled.


Memang benar. Enjinnya itu tak mampu menujah muatan pesawat itu lalu pesawat itu berpusing ke kanan sebelum seolah-olah mahu mendarat cemas. Malangnya, ia tak sempat. Ia dah stalled lalu pesawat yang besar itu menjunam ke bumi.


Aku terpegun. Pesawat itu terus menghentam landasan dengan muncungnya. Aku tak mampu nak lari kerana pesawat itu sangat besar walau pun jarak kami (aku dan abang-abang aku) kira-kira 1/2 km dari landasan itu. Syukur, pesawat itu remuk secara menegak.

Tak juga.

Tak lama kemudian, pesawat itu meletup lalu menerbangkan bahagian tengah (fiuslaj) pesawat itu. Letupan itu sangat besar sehingga menerbang beberapa kotak kargo sebesar lori. Dan salah satunya menuju ke arah kami.

Abang aku sempat meniarap manakala aku sempat mengelak. Salah satu kargo itu berselisih dengan kami kira-kira 10 kaki saja sebelum menghentam sebatang pokok Pelam Putih (sekarang pokok pelam itu dan tinggal tunggul sahaja).

Kami pun buka kargo itu dan kami dapati ada seorang lelaki di dalamnya. Kargo itu penuh dengan alat-alat sains. Baru aku tahu bahawa pesawat itu membawa peralatan saintifik yang sungguh canggih.

Dan lelaki itu sebenar bukan manusia tetapi sejenis robot yang masih dalam eksperimen pihak Rusia. Top Secret. Dengan kata lain, pesawat itu membawa bahan ekperimen kerajaan Rusia.

Aku dudukkan robot yang berbadan manusia itu dipangkal pokok pelam. Kami ikatkan badannya pada batang pokok itu. Kemudian, kami tempeleng beberapa kali. Robot itu tersedar. Robot itu mengucapkan sesuatu. Pada mulanya kami tak faham. Setelah beberapa perkataan yang robot itu ucap kami tak faham akhirnya ia bertutur dalam Bahasa Melayu !


Mungkin mikro-prosesor bahasanya masih berfungsi dengan baik. Kami tanyakan soalan-soalan biasa: siapa, dari mana, apa kamu buat ...


Anehnya, dia tak dapat jawab soalan. Dari apa yang dia tuturkan, aku buat kesimpulan yang pemikiran robot itu tak lebih daripada budak berusia 2 tahun. Ia tak jawab soalan kami tetapi ia yang bertanya lebih. Tanya: itu apa, ini apa... macam baru nak kenal benda-benda sekelliling.


Kemudian aku tarik salah seorang abang aku ke tepi. Aku katakan padanya, robot itu pada peringkat 'infant'. Maknanya, robot itu sepatutnya dilepaskan dikalangan manusia untuk belajar sama seperti kanak-kanak lain. Kemudian, sedikit demi sedikit robot itu akan membina neuro-logiknya dan akhirnya akan berfikir seperti manusia. Robot itu sejenis Cyborg!


Tak lama selepas itu, ada beberapa buah helikopter berterbangan mencari kotak-kotak kargo. Salah satu helikopter itu terbang menuju ke arah kami. Robot itu memandang wajah aku kemudian sesuatu yang diluar jangkaan pun berlaku.

" Tolong saya...", itu katanya. Aku terkejut. Kenapa ia perlu takut dengan pemiliknya?


Namun serta-merta sifat perikemanusiaan aku timbul lalu aku lepaskan ikatan itu. Kami dan robot itu pun berlari untuk menyorok di celah-celah semak dan pokok pisang.

Misi kami seterusnya, menyelongkar misteri eksperimen pihak Rusia itu dengan pertolongan robot itu. Dalam hati, aku berniat untuk menjadikan robot itu seperti manusia yang baik dan bukan seperti askar pembunuh upahan..!




Dan aku terjaga... jam 6.30am.




.

Sunday, November 20, 2011

O-Shima Cafe di Alam Sentral, S. Alam...

.

Aku diperkenalkan dengan restoran @ cafe ini setelah aku lihat entri di blog ini...
Tak sangka pula O-Shima Cafe  ada di Shah Alam.






Cerita tentang O-Shima ini bukan baru bagi aku. Mula-mula aku jejak kaki ke Shah Alam 15 tahun dulu. O-Shima di seksyen 26, Shah Alam. Ketika itu operatornya memang orang Jepun. Itulah restoran Jepun pertama yang aku jejak, setelah diperkenalkan oleh orang-orang Jepun (expatriate). Orang Jepun ni walau di mana pun mereka berada, pasti akan promote jenama mereka.

Sejak itu, kalau aku teringin nak hirup Miso Soup dan Tempura, aku akan ke situ. Malah, itulah juga restoran Jepun pertama aku perkenalkan kepada anak aku. Aku suruh anak makan Unagi (belut) konon-kononnya untuk ubat lelah dia. Sejak itulah anak aku suka Unagi. Kalau pergi mana-mana restoran Jepun, dia akan minta Unagi.

Kemudian, cerita O-Shima di seksyen 26 itu lenyap dari dalam ingatan aku untuk beberapa tahun. Dan mulai itulah aku mula tercari-cari restoran Jepun yang halal.

Tapi satu perkara yang aku masih belum puas hati... aku tak dapat rasai kesedapan Miso Soup dimana-mana restoran Jepun (di Malaysia) yang menyamai O-Shima. Cinta pertama memang payah nak dilupai.



Akhirnya.... rindu aku kepada Miso Soup O-Shima terlunas.


Santai sambil menikmati Miso Soup... perghh!



Aku dapat tahu O-Shima telah dibeli oleh orang Melayu kita. Dan lebih menarik lagi, ia ada di Shah alam!  O-Shima Cafe ini betul-betul di hadapan pintu masuk Alam Sentral. Bergaya santai dikelilingi lanskap, aku boleh makan dengan rileks sambil usha awek-awek lalu lalang dari SACC Mall ke Alam Sentral.


Yang panjang2 tu rebung, sayur tu pula ialah Seaweed (ada 2 jenis)...



Aku makan ramen yang ini. Tukang masaknya baik hati, mee dia memang banyak. Mulanya aku cuma nak makan 'ringan' sebelum aku nak bedal yang berat-berat tapi bila aku habiskan semangkuk, perut aku dah penuh. Kenyang sungguh. Anak aku makan Unagi seperti kegemarannya dan Mama pula ramen yang lain. Mama tak mampu nak habiskan kerana banyak.



Dan satu yang aku puji tentang O-Shina Cafe ini selain daripada ramen dan set bento ialah Miso Soup. Bila aku hirup sup itu, serta-merta kenangan aku menikmati Miso Soup di O-Shima dulu kembali. 






.

Kecubung Jiwa... dan penawarnya ada di dalam

Aku publish, episod demi episod, projek buku ke-2 aku di Merung Mahawangsa mulai Sabtu 19 Nov 2011

Gua masuk gua... dan gua tak tahu macam mana nak keluar

.





Selepas kegelapan ada kehijauan, tetapi di luar sana. Untuk mendapatkan hijau yang subur itu, aku perlu meniti satu titi yang berliku. Jika aku tak sanggup meniti titi yang berliku itu, aku akan tetap dalam kegelapan gua.

Takut juga aku nak meniti, walau ada tempat berpegang, kalau-kalau titi itu tergoncang atau kaki aku tiba-tiba longlai atau titi itu rapuh dan aku terbabas lalu jatuh.

Percaya atau tidak, ada seekor ular berwarna kelabu bercampur hijau sepanjang lebih 1 meter sedang menjalar di belakang aku. Ia sedang mencari tikus atau anak kelawar yang jatuh di atas lantai gua. Mungkin juga ular itu mencari aku dan memukau aku dengan tenungan matanya... lalu aku lalai dan leka dalam kegelapan gua.


Jadi, diantara ular berbisa dan titi yang mungkin reput itu ada aku.
Dan diantara kegelapan dan kehijauan itu juga ada aku.
Cuba teka, dimanakah aku ketika itu?


Ingat. Cerita di atas adalah samaran tentang hidup ini.
Jawapannya mesti tak semudah ABC...






.

Saturday, November 19, 2011

Hanya RM100.. Malim lucutkan egonya lalu hanyut dalam misi angkuh Sinister

.

" Cepat ko datang sekolah ... ? "

Aku disapa oleh seorang kawan lama ketika aku dan anak aku berjalan keluar dari kawasan sekolah menuju ke kereta aku, selepas mengambil not RM100 dari guru sekolah anak.


" Ceh! Kamu tu dahlah CEO, BoD member pulak tu.. itu pun nak claim ? " pengkis aku. Dia ketawa sambil memimpin 2 orang anaknya memasuki perkarangan sekolah rendah kebangsaan.

" Aku cuma nak claim refund income tax aku jer... " balasnya sambil terus ketawa.




Semalam semasa penyampaian hadiah di Hari Kecermerlangan di sekolah anak, sebuah majlis yang dirasmikan oleh wakil penyelaras pendidikan negeri, perasmi itu kata ' kerajaan memberikan RM100 setiap orang murid, melibatkan kira-kira 500,000 orang murid, tanpa mengira kaum dan status ekonomi...'.


Itu bermakna, lebih kurang RM50 juta telah diberikan sebagai wang sagu hati.


Dengan RM100 itu, hanya sepasang baju sekolah, kasut dan beg boleh dibeli. Dan setiap perlu anak murid ada 2 pasang baju sekolah dan kasut (kecuali beg).

Ini bermakna industri kelengkapan asasi murid sekolah bernilai hampir RM100 juta setahun ! Tak sangka industri baju dan seluar sekolah sebesar RM 50 juta setahun, industri beg sekolah RM20 juta setahun dan kasut RM30 juta setahun.


Siapa sangka.






.

Friday, November 18, 2011

kaki horizon... sejauh mata memandang

.

Kalaulah sebelum ini aku bercerita kisah-kisah laut, kali ini aku ingin berkisah tentang hal-hal langit pula. Hal-hal langit bumi yang dilihat dari puncak bumi dan bukan hal-hal langit bumi yang dilihat dari langit ke-7.






 Kadangkala kita mampu lihat kaki langit yang bercantum dengan lidah ombak laut. Kita kata bercantum kerana biru langit dan biru laut seolah-olah bercantum. Dan kita katakan jauhnya cantuman itu sejauh mata yang memandang.







Sehingga kita tak mampu membezakan mana satu kaki langit dan mana satu kepala laut yang bercantum itu. Sehingga lapisan cantuman itu terlalu nipis untuk kita bezakan dengan mata telanjang. Sehingga kita rasakan ianya benar-benar bercantum padahal ianya tidak pernah. Langit tak bercantum dengan bumi. Sama seperti langit dalam diri manusia tak bercantum dengan tubuh ini. Lalu kita katakan ianya horizon.


Sedangkan perkataan horizon itu kalau dalam bahasa Cina bermaksud ' tempat yang amat jauh untuk didekati '.








.

Thursday, November 17, 2011

Alien invasion...

.

Lokasi: Pantai Cenang, 10.45pm



I got lucky !!!


Dalam banyak-banyak kali aku cuba, sekali sahaja yang aku dapat gambar kilat memancor-mancor tanpa guna 'still foto' atau tripod. Aku cuma letakkan kamera di atas kerusi pantai di bawah lambaian pelepah nyiur yang diselak bayu darat.


Dan lampu-lampu sorot di atas laut itu bukannya lampu-lampu neon yang menyimbahi jalan raya atau jambatan. Itu adalah lampu-lampu sorot pada bot-bot nelayan yang ke laut untuk mencandat sotong.Aku ada terfikir nak ikut mereka tapi memandangkan laut bergelora dan kilat pula suka sangat memancor-mancor pada malam itu, aku batalkan hasrat hati.


Sekali imbas kilat dan awan itu seperti kapal angkasa makhluk asing yang datang menghujani bumi dengan arka-arka panas (hot arc), bertujuan untuk membunuh penduduk bumi. Awan itu adalah kapal induknya.





.

Aku seluk hatinya lalu aku tau sejuk panasnya ....

.

Aku seluk hati gunung batu itu melalui liang gua yang gelap dan hitam. Maka aku tau bagaimanakah sejuk perasaannya. Gua-gua yang separuh air dan separuh angin, seperti kisah-kisah lanun, hanya boleh dimasuki pada masa-masa tertentu.







Dan di dalamnya, aku terdengar suara azan yang bergema. Ada sepasang pelancong Arab sedang menikmati kesejukkan gua, lalu dia mengalunkan azan dengan kuat. Beroleng bot aku.








Dan laluan ke gua itu bukanlah laluan yang mudah. Ngarai yang sempit dan ngeri (batu-batu pejal sebesar penumbuk boleh bergolek jatuh ke atas kepala). Nampak garisan paras air pada dinding ngarai? Itulah paras air ketika pasang penuh.


Dan gua bawah air itu hanya boleh dimasuki ketika air surut seperti itu sahaja. Dan perlu keluar dari gua itu sebelum air pasang semula. Jika tidak, aku akan timbul di balik gunung sana dalam keadaan kembong, busuk dan perut yang pecah-pecah dimamah ketam dan ikan buntal. Manakala daging muka telah lerai dimakan garam dan muka aku hanya tinggal tulang pipi, geraham dan gigi yang memutih. Mata ? Sudah tentu hilang dimakan Aruan Tasik.








.

Wednesday, November 16, 2011

Belangkas.....

.

belangkas: macam anak alien yang suka pekup2 mulut manusia nak bertelur tu...





Dedikasi kepada mereka-mereka yang suka belangkas.

Belangkas yang ini ada di dalam sangkar. Tak tau sama ada untuk dimakan atau hanya untuk dipamerkan. Kita boleh makan belangkas? Ada sebuah restoran di Johor yang menghidangkan Belangkas. Apa yang nak dimakan? Tak nampak dagingnya pun. Kalau telur Belangkas tu pernah juga aku dengar.







.

Laut biru kerana langit biru... katanya

.







Ataukah langit biru sebab laut yang biru?


Sebab langit tak ada warna. Langit adalah ruang kosong tempat awan putih dan kelabu bermain-main rintik hujan. Selepas itu, langit ada sesuatu yang menyeramkan. Kekosongan yang total. Hampagas. Walau ada debu debris dan ribut kosmik.


Ataukah laut biru sebab langit yang biru?

Sebab air tak ada warna walau ada bau. Air jernih. Walau kedalamannya menapis cahaya sehingga gelap yang total.



Habis itu, mana datangnya biru laut dan biru langit?


Ia datangnya dari cahaya matahari.... jika gelap matahari itu, tiada warna yang kelihatan lagi. Kecuali warna hitam yang menandakan kegelapan yang total.







.

Monday, November 14, 2011

Bukit batu dan air yang kehijau-hijauan....

.



Air laut yang hijau, sudah tentu dalam.

Bukit batu yang berceragah dan tajam.

Itu pemandangan yang bahaya dan ganas.

Anehnya, manusia mentafsirkan pemandangan itu sebagai sesuatu yang indah.

Sesuatu yang cantik.






.

Sunday, November 13, 2011

Swadikaaarpp... kappurnkarpp...!

.





Aku mengaku. Aku tak tahu apa yang dia tulis dalam bil itu. Tapi mesti ada ' Siakap Masak 3 Rasa '. Dan rasa masakannya.. fuiyoohhh!!!!


Kalah dengan segala restoran Siam yang ada kat Shah Alam. Tukang masak ini bukan orang Pattani atau Yala. Mereka semua dari Utara Bangkok.


Dan masakannya tak terlalu pedas dan terasa ramuannya. Balance. 3 rasa itu seimbang. Bukan macam sesetengah masakan 3 rasa yang memang 3 rasa - pedas, masin, manis. Ini bukan. Tak pedas, tak masin, tak manis tapi terasa macam 3 jenis masakan yang disatukan.


Maaf.
Aku tak letak foto disini sebab takut tuan blog makan-makan yang tersohor itu tikam aku pulak.




.

Saturday, November 12, 2011

Mencari belangkas di kaki pantai

.



Ketenangan bertiup dari ombak-ombak yang berlari di sepanjang pantai.

Namun  pada malam ini, cukuplah setakat mendengar bisikannya dahulu.

Esok, aku akan kejar belangkas-belangkas yang berani naik ke pantai.







Duit syiling itu masing milik Kerajaan Malaysia.

Aku tak ke mana-mana sebab aku tak tau nak ke mana-mana lagi.

Mungkin kalau aku nak bawa diri jauh-jauh nanti, aku akan ke Brazil atau berpatigeni di hutan Amazon.





.

Friday, November 11, 2011

Tanam pinang rapat-rapat, agar payah puyuh nak lari...

.




Ada sesiapa yang nampak kerengga?


Aku akan berpergian dalam 2-3 hari. Mencari ketenangan. Mana tau anugerah yang tak ternilai itu ada di celah gunung atau di dalam gua (patigeni) atau di dasar lautan.

Atau aku temuinya dalam diri aku sendiri, cuma kaedah mencungkilnya perlu ada.







.

Memasang perangkap di langit luas

.





Jangan terpedaya dengan herotan imej latar belakang yang seakan-akan meleding dan membulat. Itu ilusi semata-mata, akibat dari bulatan sarang labah-labah.


Langit luas !

Apalah sangat perangkap jaring sekecil itu jika dibandingkan dengan luasnya bumi dan langit.

Namun jika rezekinya ada, jaring perangkap selebar itu sudah cukup untuk dia mendapat makanan dan terus hidup.


Tawakkal - usaha - tawakkal.






.

Thursday, November 10, 2011

Projek dan Aku... only update

.

Sedikit sedutan dari projek aku ada di Merung Mahawangsa...




.

Secangkir Cereal Cokelat Sejuk...

.


Pagi ini.

Aku lihat ada secangkir cereal cokelat yang masih ada separuh di dalamnya.

Cereal cokelat yang dah sejuk dan dah kembang, peninggalan Ariff yang ke sekolah, tergesa-gesa sangat dia hari ini.

Aku bawa cangkir itu ke dapur, ke sinki.

Aku berkira-kira mahu tuangkan sahaja ke dalam sinki, lalu aku mahu basuh cangkir itu.

Kemudian aku terfikir, nanti aku terpaksa kaup saki-baki cereal kembang dengan tangan.

Itu sesuatu yang aku 'geli' nak buat., lebih-lebih lagi teksturnya yang dah lembik, sejuk dan macam muntah Jin Air yang Makan Ikan di dalam Lukah.




Aku timbang-timbang semula... akhirnya aku kembangkan tekak dan aku telan cereal cokelat sejuk dan kembang itu dalam 2 teguk..

Daripada geli melihatnya di dalam sinki, baik aku 'buang' ke dalam perut aku.

Mudah.

Lagi pun, petang-petang karang aku buanglah ke dalam tandas pula, tanpa perlu aku kaup cereal cokelat yang sejuk dan kembang itu.







.

Wednesday, November 9, 2011

Melihat sesuatu di sana...

.

Cuba lihat sesuatu yang tiada di sana, mungkin aku akan temui sesuatu yang ada di sana yang selama ini aku tak pernah nampak ke'ada'annya.







Dua 'musuh' yang hidup pada pokok yang sama cuma berlainan tempat. Satu di kelopak sana dan satu lagi di balik daun sini.

Kenapa tak bertindak? Agak lama juga aku tunggu tapi tak berlaku apa-apa.

Strategi apa yang difikirkan oleh penyengat itu agaknya? Mungkin dia berfikir begini: -


" kalau aku bunuh 'musuh' yang terakhir itu, apa lagi yang tinggal untuk aku selepas itu ? Jika tujuan hidup aku telah tercapai, apa lagi yang patut aku buat selain aku turut mati ? "




Sungguh ironi hidup dia.

Membunuh musuhnya yang terakhir juga bermaksud membunuh dirinya sendiri.






.

Tuesday, November 8, 2011

Jerih Seorang Petani...

.

Beban yang berat... untuk memberi makan makhluk Tuhan jenis orang

Berjalan di dalam sawah, meranduk selut lumpur dan air sedalam paras lutut dengan beban seberat 30kg bukan kerja yang mudah. Pinggang sakit menampung beban, dalam masa yang sama urat belikat bekerja keras untuk mengimbangi beban dibelakangnya. Mereka perlu berjalan berekar-ekar luasnya. Kalau nak tahu bagaimana rasanya, silalah cuba berjalan di dalam selut atau paya yang sedalam lutut, atau cuba pergi ke tepi pantai berselut yang sedalam paras lutut.


" sekarang ni, nak cari duit di bendang amat payah...."

" racun sekecil ini..." tambahnya lagi sambil menunjukkan sebotol racun ulat 400ml.

" harganya RM35..." keluhnya.


Pesawah generasi kedua sepertinya memang mangharungi hidup yang sukar. Sawah yang dulunya 6 ekar kini menjadi lebih kecil setelah dibahagi-bahagikan apabila ayah-ibunya meninggal dunia.


" harga racun dan baja semuanya naik. subsidi padi pun dah mula kena potong sedikit demi sedikit...." keluhnya lagi.

"... padahal beras ni makanan asas orang kita, tapi harga padi tak naik-naik... macam mana nak hidup? dah lah harga padi tak naik-naik, nak bayar upah mesin rotor yang ikut luas tanah sawah, upah mesin menuai yang ikut berat padi, beli racun rumput lagi yang 2-3 jenis ikut jenis rumput, beli racun perosak lagi yang ikut jenis perosak juga. bukan boleh beli satu racun untuk semua. racun macam itu ada tapi kerajaan tak kasi sebab bahaya kepada orang yang makan beras nanti..."

"... semua kualiti nak tinggi, racun itu tak boleh, racun ini tak boleh... tapi harga padi tak naik-naik. harga beras tak juga naik-naik. macam mana nak naik? baru beriya-iya nak dinaikkan, kerajaan bagi ancaman nak import beras dari Siam banyak-banyak..." lagi dan lagi.

" pelik sungguh, kenapa nelayan diberi subsidi diesel? kenapa pekebun-pekebun lain ada macam-macam subsidi? tapi subsidi padi dah mula kena potong... dia orang nak makan roti dengan ikan je ? "

" sawit pun lebih untung daripada padi. kerja pun senang. musuhnya tak sebanyak padi...."


Aku bertanya, kenapa tak tanam kelapa sawit di tanah sawah itu?

" kalau tanam sawit kat tanah sawah nanti kena saman... tak boleh. kerajaan marah "



Aku syorkan kepada dia, pajak tanah sawah orang lain dan buat secara besar-besaran. Mungkin untungnya lebih banyak. Bayangkan kalau 1 ekar boleh dapat 1 tan ( 1 tan padi harganya lebih kurang RM700, belum ditolak upah mesin tuai dan perbelanjaan dan satu musim padi adalah 4 bulan).


" bukan boleh macam itu. modal nak banyak. bukan setakat itu, yang lebih penting tanam padi ini kena nasib. ikut cuaca. ikut musim. kalau tersilap langkah, habis semua modal...:"

"..contohnya, musim lepas. tanah aku yang 3 ekar dapat 2 tan lebih. ada yang buat 6 ekar tapi dapat 1 setengah tan saja..."


Aku tanya, kenapa boleh jadi macam itu?

"... cuaca dah berubah. bila cuaca berubah, musuh pun payah nak diagak...."




Diselubungi kabus beracun... risiko keracunan terpaksa dihadapi



Apa yang aku dapat fahami, bersawah padi mempunyai risiko yang besar. Lebih besar dari ladang kelapa sawit. Padi amat bergantung kepada faktor cuaca. Jika cuaca tak menentu, kerja dan modal selama 4 bulan akan lenyap. Terlalu banyak pembolehubah dalam pertanian jenis padi ini...




.

Sunday, November 6, 2011

Umpan ketidakpercayaan masih lagi digunakan....

.

Salah satu taktik yang pernah aku tahu. Mengetahui keletah pengguna dan psikologinya, dan gunakannya untuk keuntungan.


Satu pengeluar 'serbuk penambah perasa botol goncang' makanan mahu menambah jualannya. Salah satu ideanya ialah menambahkan jumlah lubang pada botol perasanya. Idea dari seorang pekerjanya di Thailand. Apa yang berlaku ? Pengeluaran bertambah kerana kalau dulu pengguna akan henjut botol itu 10 kali kerana satua sahaja lubangnya. Bila dah 5 lubang, pengguna masih terhenjut-henjut 10 kali. Sebotol cepat habis.



Iklan cecair pencuci dan pelembut fabrik dulu, dan peliknya sampai sekarang, menggunakan taktik " 1/2 penutup sahaja dah cukup ". Kalau mula-mula dulu aku faham kerana masing-masing tak perasan taktik itu tetapi tadi masih ada lagi iklan macam itu sedangkan kebanyakkan pengguna mesti sudah perasan. Nampaknya belum.


Kenapa tak buat penutup botol itu cukup-cukup untuk sukatan "1/2 penutup" ? Bukankah itu lebih senang ?


Tak, pengeluar itu tak bohong. Memang kalau guna 1/2 penutup pun sudah cukup. Mereka ada 2 sebab.

Pertama. 

Perkataan " 1/2 penutup sahaja sudah cukup" adalah mainan psikologi yang kuat untuk menarik minat pengguna. Mereka mahu pengguna percaya bahawa produk mereka hanya menggunakan 1/2 daripada apa-apa pun sukatan yang sekarang ini digunakan.. Berapa sukatan itu? Ini helahnya. Ia adalah relatif.  Kalau benar mereka jujur, mereka sepatutnya kata " hanya 10ml diperlukan " atau " 3 sudu teh ".


Sama seperti ayat " lebih 2x ganda kebaikannya ". Masalahnya, apa yang hendak dibandingkan?


Kebanyakkan jawapannya ada pada nota kecil di bawah skrin TV, yang mata kita payah nak baca. Ada yang membandingkan dengan produknya sendiri untuk versi / formula yang dahulu. Ada yang cuba membandingkan dengan produk syarikat lain. Masalahnya, syarikat lain itu pula kata " lebih 5x ganda kebaikannya ". Hah! Mana satu yang betul ? Menipu berdosa tau.



Kedua.

Keletah pengguna yang memang tak pecaya dengan kata-kata pengeluar. Sama ada skeptikal atau pun persepsi. Namun, sikap begini juga menguntungkan syarikat pengeluar. Kalau pun mereka kata " 1/4 sudah cukup ", pengguna tak mudah percaya. Mesti bubuh lebih.


Akibatnya, membazir. Hasilnya, produk cepat habis dan kena beli lagi. Kemudian, syarikat akan untung lebih kerana jualan bertambah. Sudah tentu produk yang 'lebih pekat dan lebih kuasa' adalah produk yang premium. Produk yang premium harganya pun premium.


Seolah-olah lebih 'pekat' cecair itu, lebih untung syarikat itu. Kalaulah syarikat itu kata " guna hanya 1/10 tutup botol" lagi banyaklah mereka boleh untung.



Jadi lain kali, ikut sahajalah saranan syarikat pengeluar. Kalau disuruh guna 1/2 tutup, gunakan sahajalah. Kalau tak bersih juga, saman syarikat itu dalam tribunal pengguna.


Seperti apa yang berlaku di New Zealand satu masa dulu apabila seorang pelajar menyaman satu syarikat pengeluar bes minuman yang 'penuh dengan kebaikan vitamin C' sedangkan ketika pelajar itu mengujinya di sekolahnya, vitamin C yang ada dalam segelas minuman itu taklah se-gah seperti yang digembar-gemburkan di dalam iklannya.


Pelajar itu menang. Semestinya dengan sokongan guru-gurunya.






.

Friday, November 4, 2011

Kepercayaan yang tak bertepi... penuh persepsi

.


Di sebuah restoran yang kurang terkenal tetapi penuh sesak dengan pemakan dan peminum, seorang gadis bangun meninggalkan seorang lelaki yang masih menyudukan saki baki makanan.


Gadis itu berjalan menuju ke kaunter bayaran sambil membawa secebis kertas.


" bil saya kawan saya yang bayarkan. saya kena pergi dahulu... " kata gadis itu sambil menoleh kepada lelaki yang makan bersamanya tadi.

Gadis itu tersenyum lalu dibalas dengan lambaian lelaki itu. Penjaga kaunter bayaran mengganguk-angggukkan kepalanya. Gadis itu pun tinggalkan kertas di atas kaunter dan keluar.



Selang beberapa minit...

Lelaki yang makan bersama gadis itu pun bangun meninggalkan mejanya menuju ke kaunter bayaran sambil membawa secebis kertas.

" bayar termasuk gadis tadi kan ? " penjaga kaunter meminta kepastian.

" eh... saya tak kenal dia. saya duduk di meja tu sebab meja lain dah penuh...." balas lelaki itu.

" tapi tadi encik angkat tangan kepadanya ?"

" dia senyum, takkan tak balas. nanti kata sombong pulak "

Penjaga kaunter gelengkan kepalanya. Dia tahu dia telah terkena dengan gadis tadi. Lelaki itu bayar harga makanannya lalu keluar.



[penjaga kaunter itu merasakan gadis itu sungguh jahat kerana menipu]



Lelaki tadi berdiri di lobi restoran tadi. Tidak lama kemudian, sebuah kereta separa mewah berhenti di depan lelaki itu. Setelah pintu dibuka, lelaki itu masuk. Kereta itu terus meluncur laju dipandu oleh gadis tadi.

Penjaga kaunter melihat gelagat pasangan itu dengan perasaan geram.



[penjaga kaunter itu merasa tertipu dan marah dan berpendapat pasangan itu berpakat dalam penipuan itu]




Di dalam kereta separa mewah itu, gadis tadi yang sedang memandu bertanya kepada lelaki tadi.

" dah bayarkan bil makanan saya ? "

" dah.... settle... " balas lelaki itu ringkas.




[... dan sebenarnya, gadis itu tak berniat jahat pun. lelaki  itu yang dajal... ]



Persepsi....





.

Prejudis sesuatu yang tidak baik sebenarnya...

.

Kejap tadi, aku menghadiri satu presentation / briefing by a group of Advanced Dip in Automotive students, sebagai sebahagian daripada keperluan kerja kursus mereka. Aku dijemput sebenarnya untuk memberi markah dan komen yang membina untuk masa depan mereka.


Seperti biasalah, anak-anak muda Melayu kita, aku tak letak harapan yang tinggi-tinggi sangat daripada mereka tapi itu pun masih belum cukup ke tahap yang aku harapkan.


Semasa di situ, tiba-tiba aku teringatkan AF, Masterchef etc. Tiba-tiba aku menjadi seperti juri-juri American Idols atau Iron Chef.


Ada satu pasangan presenter lelaki, di slide terakhir mereka letakkan gambar berdua sambil berlindung di bawah payung sebagai background manakala text box untuk conclusion melintangi skrin dari paras dada hingga lutut.

Aku toleh kepada pelajar-pelajar yang duduk di belakang kelas kemudian aku tanya mereka semua:

" cuba teka, apa yang ada disebalik text box itu ?"

Ada 2-3 pelajar menjawab:


" dia orang pegang-pegang tangan..." diikuti hilai ketawa.


Kemudian aku pandang balik kepada pasangan presenter itu.

" korang berdua pasangan Gay ke ?"



Riuh satu kelas. Seorang lagi examiner yang duduk di sebelah aku hanya mampu geleng-gelengkan kepala... tanpa kata apa-apa...






Nota: kesemua pelajar adalah lelaki Melayu.

.

Thursday, November 3, 2011

Potong atau kacip.... ataukah ketip?

.


Kuku jari tangan aku jenis yang hujungnya sama panjang dengan hujung jari. Maknanya, paling pendek yang aku boleh potong ialah setakat 1~1.5mm daripada hujung jari. Lebih daripada itu, aku meraung-raung dan guling-guling keliling bukit akibat kesakitan.

Maaf, aku tak boleh nak tunjukkan foto jari. Walaupun ianya bukan aurat bagi aku tapi boleh jatuh hukum juga kalau ada yang jeran sampai memekik-mekik kerana ghairah terlampau. Aku maksudkan lelaki-lelaki yang spesis nak berarak untuk ' seksualiti merdeka '...



Dulu...

Semasa aku kecil sehinggalah ke tahap nak masuk sekolah menengah, Emak aku yang potongkan kuku aku. Aku tak pasti sama ada wujud pemotong kuku di rumah atau tidak, tapi memang Emak akan guna gunting cengkih Bapak. Emak potong kuku aku sambil aku berbaring letak kepala di atas ribanya. Kalau pun ada pemotong kuku yang khas itu, aku akan sorokkan kerana best lagi kalau Emak potongkan. Lepas di gunting, Emak akan guna gunting itu juga untuk kikis dan tumpulkan bekas potongan yang kasar atau tajam. Ada tekniknya.


Pada satu hari itu, hari sekolah, aku kantoi semasa cikgu periksa kuku. Katanya, kuku aku panjang. Padahal baru kelmarinnya Emak dah potong kuku aku. Cikgu suruh potong lagi dan esoknya aku akan diperiksa semula. Aku dah gubra.


Wuih..! Masa dulu gerun kepada cikgu bawah sedikit sahaja dari gerun kepada Emak. Aku tak gerun sangat kepada Bapak sebab dia sayangkan aku lebih.. dia tak pernah pukul aku. Emak sahaja yang suka cubit ketip semut api sebab dia geram kegebuan aku kat perut ...


Bila cikgu dah pesan macam itu, aku minta dipotong lagi. Mungkin mata Emak dah semakin tua, Emak tak boleh nak potong kuku aku terlalu pendek menggunakan gunting cengkih. Lagi pun, struktur kuku aku yang seksi macam itu, kebarangkalian untuk tergunting daging jari adalah tinggi.


Aku merajuk. Puas Emak dan Bapak pujuk tapi takut aku kepada cikgu melebihi segala pujukan itu. Sampai ke senja aku tak masuk ke rumah. Aku sandar-sandar di tiang bawah rumah. Aku duduk-duduk di tangga rumah sambil memegang gunting cengkih Bapak. Maknanya, sepnajng itulah juga Bapak tak boleh gunting cengkih untuk rokok daunnya. Mungkin dia guna gigi kut.


Akhirnya, Bapak suruh pesan kepada cikgu yang Bapak minta maaf kerana tak dapat nak potong kuku aku lebih pendek sebab dah malam. Kalau cikgu marah juga, nanti Bapak akan pergi ke sekolah terangkan kepada cikgu.


Bila ada jaminan macam itulah baru aku masuk semula ke dalam rumah. Aku beralah dengan jaminan itu.



err... mungkin juga kerana perut aku dah lapar....? Emak masak sedap !






.

Serba salah.... soal etika ... dan nilainya

.

Aku sentiasa digayuti oleh rasa serba salah apabila dibayangi dilema antara oportunistik atau pesimistik.


Ini adalah foto-foto yang aku ambil pagi tadi di tempat transit anak aku:






Pagarnya telah roboh.

Biasanya, kalau sebelum pagar roboh, aku kena hantar beg dan pakaian ikut pintu pagar besi. Oleh kerana aku biasanya letak kereta aku di tepi jalan (kerana tak mahu menyusahkan penghuni kejiranan di situ), aku terpaksa menapak jauh sedikit.


Sejak pagar hijau itu roboh, aku sepatutnya boleh melintas melalui pagar itu dan aku boleh jimatkan lebih separuh jarak berjalan dan masa.


Kalau aku seorang yang suka mengambil kesempatan dengan keadaan semasa untuk keuntungan diri, aku sepatutnya redah ikut pagar yang roboh itu. Biasanya, orang-orang yang oportunistik adalah orang-orang yang realistik juga. Orang-orang ini dikira sebagai orang yang 'berjaya' kerana cepat mengambil peluang yang ada. Patutkah aku menjadi oportunis dalam hal ini?


Kalau aku abaikan pagar roboh itu dan terus masuk ikut pintu pagar yang sebenar, jarak berjalan dan masa tidak akan kurang daripada selalu-selalu. Sama saja. Tetapi, aku akan dilihat seperti orang yang bodoh, orang yang tak pandai mengambil peluang, orang yang 'lurus bendul', orang yang tak realistik. Lebih kejam lagi, aku mungkin dituduh sebagai orang yang kurang berjaya atau terkebelakang dalam segala hal.


Dalam hal ini sebenarnya ada sesuatu yang bermain dalam kotak fikiran. Aku terfikirkan tentang etika.


Patutkah aku langgar etika dan dijadikan teladan oleh budak-budak bahawa ceroboh pagar yang roboh itu sesuatu yang dibenarkan dan oportunis, yang mana bersikap oportunis itu baik untuk pembangunan sahsiah diri untuk menjadi orang yang berjaya pada masa depan ?





Apa aku buat ?

.... aku toleh kanan kiri, tak ada budak. Budak ada kat dalam.

Aku bolos ikut pagar roboh itu. Aku oportunis dan aku tak langgar etika. Etika hanya dinilai jika ada pihak lain yang melihatnya dan tahu. Kalau tak ada orang yang nampak atau tahu, etika tak ada nilai.... hahaha.





.

Wednesday, November 2, 2011

Kamu itu yang gila.....

.

Di sebuah bandar besar metropolitan, di tepi jalan 2 lorong, di siar-kaki deretan kompleks beli-dan-blah, di sebuah kerusi awam dan di hadapan sana ada beberapa batang pokok yang lebat daunnya.


Seorang lelaki berbaju kot hitam, bercermin mata hitam dan berseluar, juga, hitam. Kasutnya? Kasut kulit berjenama Bailey berwarna cokelat ke hitaman. Lelaki itu berkemeja putih bersih dan bertali leher merah. Potongan rambutnya kemas. Susuk badannya juga kemas dan berumur dalam lingkungan 30-an. Pada tangannya ada senaskhah suratkhabar. Seolah-olah segala duniawi melekat padanya.


Tapi aku bukan nak cerita tentang lelaki itu.
Aku nak cerita tentang seorang lelaki di sebelahnya.


Tidak jauh dari dia, ada seorang lelaki tua yang pakaian putihnya telah kusam dengan bekas-bekas 'watermark' kekuningan, berselipar getah yang mereput seperti reputan separa hayat isotop-isotop Molibdenum dan Iodin. Berambut panjang paras bahu dan berkopiah tenum warna hitam. Berseluar panjang kelabu yang ada sedikit jahitan kedua di kelangkangan akibat benang yang telah retas. Orang tua itu tak meminta-minta. DIa tak kacau orang lalu lalang.


Lelaki tua itu hanya duduk sambil memerhatikan sekeliling:- burung-burung berenang, pucuk-pucuk muda berguguran ditiup angin, kucing mengejar anjing, tikus mengejar kucing.


Dia juga memerhatikan manusia yang lalu-lalang:- anak memarahi ibu yang sedang memakan aiskrim dengan selekeh, isteri memarahi suami yang berbelanja lebih.


Dia juga melihat ke langit: bas dan lori sampah yang melayang lalu hinggap di pucuk pokok, teksi-teksi awam dan sewa khas yang terbang lalu hinggap di puncak-puncak bangunan, tren dan keretapi yang bergerak ke atas dan ke bawah membawa penumpang naik dan turun bangunan pencakar langit.



" Dunia ini gila... " keluh lelaki tua itu.


Keluhannya didengari oleh lelaki muda dan tampan seperti AeronN tapi bukan. Jelas bukan.

" Awak yang gila... " kata lelaki muda sambil menuding telunjuknya kepada kepala lelaki tua itu.


" bukan...! Awak itu yang gila ... ! " balas lelaki tua itu. Lelaki muda itu tersentak sedikit.




Kemudian, kedua-duanya melihat diri masing-masing. Lihat pakaian masing-masing. Kemudian pula, mereka lihat segala di sekeliling. Kesimpulannya, segala-galanya adalah songsang. Segala-galanya adalah terbalik.



Kemudian, lelaki tua itu tersenyum kepada lelaki muda sambil berbisik...

" kamu itu yang sudah gila..."


Lelaki muda itu terkedu. Tak terkata apa-apa.







.

Tuesday, November 1, 2011

Apakah ukuran sebuah keikhlasan ?

.


" abah, boleh beri 20 sen ? " pinta si anak.

Si abah yang sedang duduk bersila di siar kaki di sebuah surau terposak-posak meraba-raba semua poket yang ada tapi yang dipinta anaknya tiada. Si ayah termenung sebentar.

" anak solat sunat, mana tau nanti ada rejeki yang mampir kepadamu..."

" bagaimana rejeki boleh mampir di sini ? " tanya anak itu lagi.

" kamu minta terus kepada Pemilik dan Pemberi rejeki... semoga akan dilunakkan hati-hati yang melihatmu lalu memisahkan sedikit rejeki yang diperolehinya untuk kamu..."



Lalu si anak pun terus bersolat sunat di atas sejadah. Sekonyong-konyong sedang si anak berdoa meminta 20 sen, ada seorang lelaki yang berikhtikaf menyedarinya lalu meletakkan beberapa keping duit syiling berjumlah 50 sen.


Si anak kesukaan lalu membawa duit-duit syiling itu kepada abahnya. Si anak tunjukkan semua duit syiling itu lalu memberitahu ada seorang lelaki telah meletakkan duit syiling tu di atas sejadah ketika dia berdoa.

" apa yang kamu mahu lakukan ke atas duit 20 sen itu ? "

" tadi saya terlihat tabung surau ini. saya mahu sangat menderma tetapi saya tak punya duit " kata si anak.


" nah... tadi kamu mahu hanya 20 sen. sekarang kamu mendapat 50 sen. ambil sahaja apa yang kamu minta pada asalnya iaitu 20 sen..."


" bagaimana dengan yang selebihnya ? " tanya si anak pula.

" itu bukan hak kamu, maka masukkan ke dalam tabung itu bagi pihak orang tadi. hak kamu cuma 20 sen "

" ooo... kalau begitu, pahala orang yang berikan duit tadi melebihi saya kerana saya hanya menderma 20 sen ke tabung itu sedangkan dia menderma 30 sen ? " tanya si anak lagi.


Si abah tersenyum lalu mengusap-usap rambut si anak.

" kalau pahala diukur melalui banyaknya duit yang didermakan sememangnya tidak sama..."


Si anak berasa kurang puas hati.

" jangan khawatir kerana jika derma itu diukur dengan keikhlasan, pahalanya adalah sama. bahkan pahala keikhlasan itu tidak boleh diukur dengan banyaknya derma " tambah si ayah.



Si anak tersenyum.






.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com