Thursday, March 31, 2011

Sentuh-sentuh tentang lidah...

.
Langit

Biru ... dan .. kelabu.

Tingginya melepasi awan gemawan. Tapi mana sempadannya? Tak nampak secara mata kasar. Maka, dibuat oranglah sempadan-sempadan imaginasi yang bersepadan dengan ciri-ciri atmosfera di situ.


Tetapi langit Tuhan tak setakat setinggi itu. Sungguh tinggi. Dan yang paling rendah pun setinggi langit dunia. Berapa tinggi langit dunia? Entahlah ... tak ada sempadan yang sepadan dengan garisan fizikal.


Yang boleh aku kata, walau setinggi mana langit itu, ia masih boleh dicapai oleh lidah.

Ya, lidah kita boleh sentuh lelangit dalam mulut.

Bukan lelucon.

Kerana dengan lidah juga kita boleh sentuh langit yang ke-7.

Dan dengan lidah juga kita boleh sentuh dasar Jahannam.


Lidah....





Salam hari Jumaat sahabat-sahabat semua...

Meriahkanlah malam kepada penghulu hari ni...




.

Jangan terlalu taksub.... tak baik

.

Petang tadi, di klinik gigi, aku terbaca satu majalah. Ada satu artikel pasal sains islam. Dia kata, masyarakat sekarang cuba meng'islam'kan sains. Ini berlaku apabila lebih banyak kejadian-kejadian yang diceritakan di dalam Al-Quran dapat diungkapkan dengan ilmu sains. Kerana ilmu sains dan perkakasannya (tools) terlah berkembang menyebabkan ramai orang lebih memahami kejadian-kejadian yang dulunya tak dapat dibayangkan.


Dia juga mengunjurkan pada tahun 2030 nanti akan ada 8 billion umat islam. Yang peliknya, pada tahun itu juga diunjurkan penduduk dunia sekitar 8 billion orang. Lebih pelik bila dia tulis peratusan umat islam ketika itu sekitar 23%. Aku rasa dia silap tulis, atau mungkin propaganda murahan yang bodoh. Lantaklah.


Lama dulu aku pernah berdiskusi di meja kopi dengan kawan-kawan sekuliah tentang sains dan islam. Pada ketika itu (sekitar 1990an) sains dan islam hangat diperdebatkan. Kalaulah tahun-tahun 80an dikatakan peningkatan nilai-nilai islam di Malaysia, tahun-tahun 90an pula adalah peningkatan sains dan islam.


Dalam diskusi itu, aku berlagak sebagai 'devil advocate'. Apa-apa yang dikata aku sanggah...hahaha.

Bukannya apa, aku takut mereka-mereka ini terlalu taksub menjustifikasikan ayat-ayat suci itu dengan bukti-bukti saintifik. Sedangkan ilmu sains bukanlah ilmu yang mutlak. Tak salah jika sains dan teknologi terhasil dari kiasan-kiasan ayat suci itu. Tapi agak keterlaluan jika pandangan dan teori sains digunakan sebaliknya - sebagai justifikasi terhadap ayat-ayat suci itu. Al-Quran tak perlu justifikasi dari teori-teori sains yang tak mutlak itu.


Bak kata pepatah, kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan hendak diduga. Boleh memberi maksud - ilmu yang dangkal tak akan dapat menjelaskan ilmu yang dalam.


Siapa kata ilmu sains adalah mutlak?

Banyak teori-teori sains yang dulunya dianggap benar sekarang ni wujud teori-teori yang menyanggahnya. Banyak teori sains yang dianggap holistik tetapi kini tidak dianggap menyeluruh dan kini terbatas untuk keadaan tertentu.

Yang biasa-biasa telah banyak kita baca. Aku nak bagi contoh lain pula.

Hukum graviti Newton dulu dianggap benar dan sentiasa benar untuk semua keadaan. Bila manusia dah keluar dari bumi, wujud hukum Kepler. Kat luar sana, Newtonian tak memain peranan. Malah, kalau kita masuk ke dunia mistik atom, kuantum fizik memain peranan. Newtonian tak boleh pakai. Kini, Newtonian hanya untuk jasad besar.


Struktur atom yang dibina Bohr dianggap hebat awal kurun 20. Ia dapat menyatakan beberapa pemerhatian tentang kelakuan kimia bahan. Maka kita pun mengislamkannya dengan merujukkan ia kepada perkataan 'zarah' seperti yang ditafsirkan, sebagai benda terkecil. Bila sains berkembang, didapati lebih banyak partikel sub-atomik ditemui dengan perkembangan sains. Meson, gluon, muon... lebih kecil dari atom yang digambarkan oleh Bohr. Malah, saintis sekarang mendapati satu atom itu umpama semangkuk sup yang di dalamnya ada pelbagai partikel sub-atomik yang diketahui atau yang masih dikaji. Sekarang, bagaimana dengan tafsir 'zarah' itu sebagai atom? Sains yang salah atau tafsiran ayat-ayat suci itu yang salah? terperangkap?


Eisntein terkenal dengan teori relativitinya sekitar awal abad 20. Katanya, masa adalah relatif. Yang obsolut adalah kelajuan cahaya. Maka, sekitar tahun 90an, tersebar pembuktian islamik oleh pengkaji timur tengah, tentang bagaimana kelajuan cahaya di'catat' di dalam Al-Quran, melalui pengiraan peredaran bulan. Dan seperti biasa, ramai orang islam pun meng'islam'kan penemuan ini. Maka ada yang mula cerita malaikat dan buraq terbang dengan kelajuan cahaya sebab cahaya itu mutlak. Kalaulah mereka itu terbang setakat kelajuan cahaya, mereka bukan laju mana sebab kalau mereka terbang ke arah matahari, 8 minit lebih baru sampai. Sedangkan mesej  kepada Tuhan sampai terlalu laju sehingga tak tergambarkan. Terperangkap?


Sekarang ini, saintis mendapati keluasan alam ini tidak sejajar dengan usia alam ini (dengan entah apa cara dia kira). Jika alam mengembang paling laju pun ikut kelajuan cahaya yang dikatakan obsolut, saiz alam ini sepatutnya lebih kecil. Maka wujud teori sains mengatakan pada awal penciptaan, alam 'meletup' pada kadar lebih laju daripada cahaya. Malah, dah berpuluh tahun mereka mencari Neutrino untuk membuktikan ada zarah boleh bergerak lebih laju dari cahaya. Kalaulah mereka berjaya menjumpainya, dan terbukti laju cahaya bukan mutlak, bagaimana dengan perkiraan si pengkaji timur tengah itu? Terperangkap?


Pada yang taksub kepada sains, terutamanya fizik, mereka berbangga mengatakan fizik adalah ilmu yang boleh menyatakan semua benda yang wujud. Malah, ada percubaan jahat untuk men'cungkil' rahsia / dzat ketuhanan dengan teori-teori fizik. Segala-galanya boleh diungkap dengan formula-formula fizik. Tapi, tahukah mereka hukum fizik musnah di 'lubang hitam' (black hole). Hukum-hukum fizik tidak dapat bertahan (survive) dalam black hole. Sehinggalah ada seseorang yang mampu 'hidup' bersama-sama black hole, hukum di sana tidak akan diketahui. Dan aku takut nanti ada yang kata, black hole adalah pintu ke syurga atau neraka sebab dahsyatnya kelakuan balck hole dan misterinya black hole itu. Memang perangkap maut.


Sekitar 90an dan awal milenia juga, sewaktu internet berubah menjadi 'skynet', keluar berbagai-bagai email tentang penemuan-penemuan ajaib: pokok sujud, dalam daging ada perkataan 'Allah', di telinga lagi, badan ikan ada kalimah tauhid... semuanya bertujuan menunjukkan bukti-bukti kebesaran Tuhan.


Sampaikan ada emel yang jadi berantai pula. Kalau tak edarkan, boleh datang musibah sebab menidakkan kebesaran Tuhan, kononnya. Maka takutlah orang yang membukanya lalu melontarkan emel itu kepada 10 yang lain.


Respon aku kepada emel sebegitu? Cukuplah dengan bukti yang ada untuk yakin. Tak perlulah sesuatu yang 'ajaib' dan 'aneh' untuk terus beriman. Aku lihat dah macam zaman jahiliah dulu-dulu. Zaman dulu bila Nabi berdakwah, asyiklah puak-puak itu minta lihat mukjizat, minta lihat perkara yang pelik-pelik sebelum boleh beriman. Adakah kita di zaman sekarang terlalu jahiliah sehingga nak tengok benda-benda pelik untuk beriman? Sedangkan cerita-cerita seperti itu telah diceritakan dalam Al-Quran sebagai pengajaran dan ancaman.



Bagi aku, terlalu bahaya jika ada orang cuba meng'islam'kan sains kerana sains bukan ilmu yang mutlak. Sains untuk kita guna memahami aturan-aturan yang Tuhan 'pasangkan' di alam dunia untuk kita hidup menggunakannya sebagai khalifah. Ilmu sains bukannya kayu ukur untuk ilmu islam. Itu dah terbalik.


Bak kata pepatah tadi, kail yang sejengkal tak boleh menduga laut yang dalam.... tak boleh. stop.




Contoh lain:

Seorang kawan pernah berkata, Professor matematiknya seorang yang Atheis, tak percaya kewujudan Tuhan. Professor tu cabar pelajar-pelajarnya, kalaulah kewujudan Tuhan itu boleh dibuktikan secara matematik, dia akan percaya.
Seolah-olah ilmu matematiknya cukup sempurna sehingga boleh diguna sebagai kayu ukur untuk mengia atau menidakkan kewujudan Tuhan.




.

Wednesday, March 30, 2011

Snippet... apa orang lain kata

.
.


1. They do one 100% quality everytime....


2. We do 100 things with 1% better than others, all the time...



Kata-kata yang pertama adalah morfologi komitmen yang telah lama diguna pakai dalam domain kualiti dan kerja...Semuanya perlu sempurna, diskripensi tak boleh dimaafkan.


Kata-kata yang kedua adalah transformasi komitmen yang lebih bersifat kompetitif dalam domain perniagaan dan strategi...Tak perlu capai sampai 100%. Cukup sekadar 1% lebih baik daripada pencabar terdekat, sudah cukup untuk memalingkan orang kepadanya.





Aku pilih yang ketiga:

3. I need one thing with only 1% and that's a lot...!


Dalam dunia ni, buat apa banyak-banyak. Walau ada berjuta pun, makan nasi tetap sepinggan. Bukan sejuta pinggan. Domainnya? tentang kehidupan... bersyukurlah! Dah mintak, dah dapat, masa makan baca bismillah, baca doa panjang-panjang tapi...... bila dah basuh tangan, dah kenyang, ramai yang lupa ucap kesyukuran... Alhamdulillah.











.

...dan husin pun lari entah ke mana...

.

" tok, memang dia tok. saya nampak muka dia "

Tok Ketua pijit-pijit hujung dagu berjanggut kambing sejemput. dia pandang husin yang terkulat-kulat dipegang orang-orang kampung. tok ketua pandang semula senah.

" betul tok. dia intai saya tengah sidai kain "

" kalau dia intai awak pun, apa yang dia intai? awak sidai kain je pun " tok ketua.

" saya... saya berkemban je tok. saya ... saya tunduk-tunduk...saya angkat tangan "
senah tak sanggup teruskan cerita.


tok ketua pandang husin semula. husin masih macam tadi. terkulat-kulat. tok ketua pandang senah balik.

" ce cerita sikit apa yang husin buat masa tengok kamu tu " tok ketua.



" dia kat dalam bilik air luar rumah dia. dia mandi.... "

" mana kamu tau dia tengah mandi...? " tok ketua.

" sebab dia jirus-jirus air, dia ada bersabun... sabun tu warnanya merah.. haa... saya ingat warna merah "

" betul ke ni..? " tok ketua.

" betul tok, dia tak pakai apa-apa... masa di paling arah saya tu.. eeeuuuoooo  ! saya gelli tok !"


tok ketua geleng-geleng kepala. dia pandang husin. husin masih terkulat-kulat, macam tadi juga. tok ketua pandang senah dari atas ubun-ubun hingga hujung kakinya.


" ce cerita sikit.... siapa intai siapa sebenornye ni..?!!! "


tiba-tiba husin tolak orang-orang kampung yang memegangnya. tunggang-langgang dibuatnya.

" saya malu kena intai tok...! "

dan husin pun lari susup-sasap meremput semak dan hilang dibalik pokok-pokok senduduk putih...








.

Tuesday, March 29, 2011

Naik - turun itu juga bersenam sebenarnya ...

.
Aku menyampah.

Punya la terdesak nak tahan orang supaya jangan cepat-cepat nak keluar.

Kadang-kadang dah macam pasang lukah. Masuk boleh keluar tak boleh.


Banyak pasaraya buat tangga macam ni:

1. Naik boleh guna tangga besi yang boleh gerak sendiri, bolehlah sembang-sembang. Tapi kalau turun kena ikut tangga batu yang statik dan nafas pun mengah-mengah dibuatnya.



2. Naik tangga besi boleh gerak sendiri di sini tapi nak turun kena masuk keluar kedai lepas tu baru jumpa tangga besi boleh gerak sendiri. Itu pun kat hujung alam.

3. Ada juga yang naik turun guna satu tangga batu sahaja... dia ni meniaga ikhlas ke tak sebenarnya?



Only in Jasin



Bukan.

Dia mesra alam. Dan mesra kesihatan. Sambil bershopping, sambil itulah bersenam.

Kepada akak-akak dan makcik-makcik yang pantang nampak perkataan "SALE", elok letak barang-barang jualan tu di tingkat 10.

Nafsu bershoping memastikan mereka bersenam naik turun tangga...






.

Monday, March 28, 2011

Mencari saiz yang padan dengan badan?

.

Masa kecil-kecil dulu, kalau sebut saja, singgah satu cubitan perit di antara pusat dan pinggang. Macam satu dosa besar untuk satu orang yang masih kecil bila menyebutnya.


Ia sesuatu perkara yang disorok-sorokkan, sesuatu yang 'hanya-perempuan-dengan-perempuan'. Sesuatu yang si anak-anak perempuan 12 tahun minta daripada si ibu, kemudian si ibu pula minta daripada si ayah. Kemudian si ayah mendengus dan permintaan dipulangkan semula kepada si ibu dengan bingkisan wang.


Sekarang ini, sesuatu yang 'itu' dipamerkan terang-terangan, di tengah-tengah orang banyak, di tengah-tengah ruang dan dihiasi dengan pelbagai cahaya lampu sorot 200 watt.






Dan mereka dah biasa dengan pameran begitu. Sambil belek-belek:
Tekan-tekan span,
Tengok kaler apa,

pilih-pilih 'cup' mana yang sesuai,
saiz mana yang muat-muat....


Di birai tingkat atas itu, beberapa remaja lelaki pandang-pandang:

Mungkin tolong komen saiz-saiz yang padan dengan saiz badan.

Juga kaler-kaler yang mengancam dan 'ngam 'dengan kaler tudung

Mungkin juga sambil telan-telan air liur.


Sekarang, perempuan itu yang jadi pameran, di bawah lampu sorot 200 watt.
Tapi hairan, yang berpeluh adalah remaja-remaja lelaki di tingkat atas.






(ini coretan sinikal tanpa niat buruk, tanpa prejudis)

.

Sunday, March 27, 2011

Hibernasi 6: Karya 'parodi' pertama aku...

.
Aku tak tau pun apa itu parodi. Waterlily yang bagi tau bila aku letakkan sedikit scene dari karya itu dalam salah satu blog (lupa yg mana satu) tapi di Merung Mahawangsa memang ada, sedikit...

Kenapa sedikit sahaja?

Kerana nasibnya juga sama seperti cer-pan UFO, softcopy kena mamah / jamah dek virussssss....! Yang ada hanya harcopy dan hanya satu.





Aku lupa bila tarikhnya aku tulis karya parodi itu. Mungkin 2001 atau 2002. Tapi, aku memang dah rancang untuk buat satu karya parodi tentang Jebat bertingkah dengan Tuah.


Untuk itu, aku ambil masa setahun untuk baca hikayat-hikayat lama untuk mendapatkan lenggok bahasanya. Kamus bahasa melayu klasik pun aku beli semata-mata untuk karya parodi ini. Dan buku yang dimakan bubuk itu adalah Hikayat Abdullah.

Dan di sebelahnya yang tanpa judul itu adalah buku puisi aku. Di dalam itu ada berpuluh-puluh puisi tulisan tangan dari 1996 ~ 2004, sebelum aku mula beralih kepada laptop. Bila aku selak buku puisi itu, aku tertarik dengan satu puisi spontan yang aku tulis dengan buruk sekali... tajuk ' uk..uk..uk..' ada di sini...





Dan di sebelah buku warna kuning itu adalah karya yang aku suka... tulisan Shahnon Ahmad... 'SHIT!'... aku dapat sebelum sempat di haramkan... hahaha


Aku pun dah tak ingat, mana satu ayat aku dan mana satu ayat asal Sejarah Melayu. Dan bercampur aduk. Lebih kurang 30% adalah dari ayat asal Sejarah Melayu, selebihnya ayat aku yang menjadikan ianya parodi.


Sedikit sedutan yang banyak guna perumpamaan...









.

Saturday, March 26, 2011

Hibernasi 5: Satu waktu dahulu... aku bertemu UFO dan aku dapat RM1,000

.

Masa tu, Mama tengah mengandungkan si Ariff. Masa itu juga, aku MC selama 2 bulan. Masa itu juga, ada Formula Malaysia.

Jadi, aku gunakan masa-masa itu untuk membuat sesuatu di rumah. Dua bulan tak boleh bekerja dan bertongkat, aku gagahkan diri mencoret cerita dan plot mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Aku pilih kategori terbuka kerana aku memang dah terbuka. Dan aku pillih cerita pendek kerana aku tak boleh tulis lama-lama, sakit pinggang duduk bersila lama-lama.

Maka, aku siapkan cerita pendek mengikut selera Formula Malaysia tapi biasalah.... aku... mesti ada elemen saspen punya. Aku siapkan dalam seminggu.

Judul asal ialah UFO. Tapi, judul yang aku hantar ke FM ialah 'Hajatnya kesampaian...'



Sayang, aku tak ada softcopy lagi. Dan kena makan dek virus lamaaaa.. dulu. Yang tinggal hanyalah naskah kecil yang aku cetak sendiri. Naskah asal sebelum edit. Hanya satu.





 Tanggal 26 Feb 2000, aku dapat satu panggilan telefon dari kakak ipar aku. Dia kata, nama aku terpampang di dada akhbar Berita Harian. Ya, nama aku ada di situ. Seminggu kemudian, aku terima sepucuk surat.




Antara scene yang aku suka...












Ya, waktu itu aku sungguh 1Malaysia.. sungguh-sungguh.. ceit!



.

Friday, March 25, 2011

Hibernasi 4: Aku telah mendapat simtom....

.
".... Pu tin palce mchanisme whic wil .....  "

Inilah simtom-simtom di mana tangan kanan dan tangan kiri dah mula tak sehaluan, tak bersatu padu. Tangan-tangan yang dah mula degil tak mau dengar arahan kepala.

Inilah jadinya bila mata kuyu dipaksa-paksa juga kerana otak masih tegap berjalan. Benar juga seperti sesetengah orang kata, ' the only limiting factor is in your brain, that is your imagination...' (eh, terer gak cakap orang putih aku ni ek...)

Inilah bahananya apabila berenang-renang dahulu, berakit-rakit kemudian...
eh, tapi betullah tu...berenang la dulu sampai letih. bila dah letih, barulah naik rakit...
apa laaa.....

Ok, aku nak syorkan kepada kabinet untuk wujudkan jawatankuasa khas untuk merombak dan menukar peribahasa:
berakit-rakit dahulu, berenang-renang kemudian
kepada
berenang-renang dahulu, berakit-rakit kemudian.

lepas tu, umumkan kat kabinet tentang ubahsuai ini dan bagi peringatan kepada 'parti-parti politik yang suka menangguk di air yang keruh'
" jangan cuba nak politikkan isu ini.."

Amacam pendapat aku?



.

Hibernasi 3: ... dan hujan pun turun mencurah-curah di luar sana

.


Malam-malam jumaat begini, sedang aku leka diulit kata-kata dari si polan dan si polan, juga tetikus yang diserang kantuk, juga meja tulis yang semakin membahang, kedengaran gemersik angin menampar-nampar tirai di dedaunan tingkap.



... dan hujan pun turun mencurah-curah di luar sana.







Apa barang termenung sorang-sorang malam-malam begini....



Dan tik.. tok.. tik... tok... pun terus mengejek-ejek aku.....

Macam nak hempas je jam kat bawah tu...

v
v
v
v


.

Thursday, March 24, 2011

Hibernasi 2 : Tik ... Tok... Tik.... Tok...

.
Tik.. Tok... Tik... Tok




There goes another minute...


... just another hour.....
... another day...


And





... another Life !!!




Updated at 5pm today:

Melalui Electronic Data Interchange (EDI), maknanya gtalk, aku tulis ini kepada Mama...


Tik... Tok... Tik... Tok... Tik
Jam dinding berbunyi
Balik... balik... balik
Itulah bunyinyer








.

Wednesday, March 23, 2011

Hibernasi 1: Menjejak dupa yang berasap kemenyan bukit

.






Rindu yang jauh, renungannya entah kemana.

Kalaulah kita, apa yg kita fikirkan ketika itu?



Aku...?

Aku fikirkan, bilalah anak-anak aku akan menjemput aku pulang?








.

Tuesday, March 22, 2011

Mahu berhibernasi

.
Oleh sebab-sebab tertentu, aku perlu penuhkan butil dan kantung kerana mahu berhibernasi di alam nyata yang ini.

Kalau aku terjaga sekejap dek mimpi ngeri pun, aku akan berbicara sedikit-sedikit sebelum aku kembali tidur. Aku akan jengah-jengah kamu-kamu dari balik mimpi tapi alam nyata aku yang ini mungkin gersang dari ayat-ayat yang penuh.

Dan mungkin butir bicara itu agak payah dimengerti kerana adat orang mamai, bercakap pun awang-uwung, goyah getar suara.


Sebelum aku tarik gebar hibernasi dan mula muncul di alam sana yang satu lagi (carilah aku di situ), aku tinggalkan sikit bicara sebagai doa tidurku untuk kallian... silakan.





                                    MALAM 
                                    [ ** / 09 / 1994 ]


                                   
                                    Dari dalam selubung tidur
                                    aku susuni baris-baris ayat ini
                        untuk kau fikirkan.

                        Hijab malam yang dilabuhkan
                                    untukmu supaya tidur sejenak
                                    menyembuh kembali parut-parut luka
                        yang berdarah kembali setiap kali kau terjaga
                                    untukmu supaya setiap kali kau bangun
                                    menjengah matahari pagi yang segar
                        kau lebih cekal menyusuri dunia
                        mencari kedamaian dan kemakmuran.
           
                                    Juga
                         
                        Hijab malam ini dikeramatkan
                        untukmu supaya mengumpul kembali kekuatan
                        menentang musuhmu yang utama
                                    dalam peperangan yang lagi satu
                                    untukmu supaya menilai kembali dirimu
                        setiap perbuatan yang telah kau lakukan
                                    semasa menjalani hidupmu seharian
           
                                    Dan
                                    
                                    Hijab malam ini dilabuhkan
                        untukmu supaya kau takut
                                    kepada kuasaNya
                                    yang menidurkan kau
                        dan menjadikan kau alpa
                                    dan membuatkan kau lemah
                                    dan pasrah untuk dilakukan apa-apa sahaja
                        untukmu supaya kau lebih beringat-ingat
                        kalau-kalau tidurmu kali ini
                                    adalah tidurmu yang abadi.








.

Kehidupannya telah lama mati...

Demi mengingati kisah Dewaruci...






Dalam mencari kesempurnaan hidup,
ia ketemukan hakekat akan inti diri,
dan ketenteraman batin yang dicari-cari,
lalu tersingkap jua satu kenyataan, bahawa 


Kehidupannya itu telah lama mati,
Dan ia hidup dalam kematiannya.












.

Monday, March 21, 2011

Berapa sehat blog kita...?

Kawan (buah_kedondong) kasi aku satu link:


http://maribinablog.blogspot.com/2009/09/timbang-berat-blog.html

Dengan satu soalan, berapa beratkah blog anda?


Aku pun timbang beberapa blog aku (ya, aku punyai beberapa blog terang dan tersembunyi). Hasil timbangan bukan dalam unit kati atau pikul. Unit yang digunakan ialah kilobites.


Result:
www.akuyangakut.blogspot.com : 94.23Kb  (ideal weight <100Kb)



Huh..! aku punya topik entri memang berat2 kut. Dan tuan punya blog pun berat juga agaknya...

Nak suruhh blog aku joging tiap-tiap pagi la. Lepas tu nak suruh blog aku puasa 2 bulan tanpa henti. So, aku nak stop dulu entri baru, kasi dia kurus sikit....


Tuan punya blog?
Dah tak berblog, aku larikan fokus aku kepada movie/tivi






.

Sunday, March 20, 2011

Berlari-lari dia di bawah pohonan mahogani dan langit yang cerah menemani...

Masih di Jasin. Langit masih indah. Alam masih mahu berdamai.


Tak jauh dari simpang Taman Maju, ada sederetan gerai menjual buah-buahan. Aku sering ke situ untuk nikmati air buah kelapa pandan yang segar. Sambil itu, langak-langak dan tunduk-tunduk cari buah berubat.


Kali itu, aku lihat beberapa kanak-kanak 1Malaysia (huargghh..!) sedang bermain kejar-kejar. Aku pasti, mereka tak pernah kenal sebelum itu. Dan aku amat pasti, kalau aku tanya salah seorang mereka akan nama yang lain, pasti tak tahu.





Tapi perkara macam itu memang biasa di Melaka (bak kata TasekM) sebab 'asimilasi' bangsa telah pun bermula di Melaka sejak ratusan tahun dulu. Mungkin 'asimilasi bangsa' itu agak kuat bunyinya. Okey, keharmonian antara kaum. Harmoni di sini merujuk kepada keadaan yang tidak ada rasa takut dalam interaksi dan 'ko beli buah aku, ko masih geng aku..'. Lebih kurang gitulah...






.

Saturday, March 19, 2011

Ini Uncle Goh, dia tak suka makan...

.


Perkenalkan, ini Uncle Goh Lim Kok. Umurnya: classified. Penyakitnya: classified.


Aku duduk-duduk di kerusi yang dideretkan di tepi dinding tak jauh dari Uncle Goh. Sambil-sambil itu, akuk langak-langakkan muka aku melihat kerenah orang-orang yang ada di situ. Macam-macam pelawat. Macam-macam sembang kosong dan lawak. Aku tau, sebahagiannya hanya untuk mengisi rasa bosan dan selebihnya untuk mengalihkan rasa sakit dan risau akan mati kepada topik-topik yang selalu diakhiri dengan hilai ketawa. Aku tumpang-tumpang dengar.

Tapi, Uncle Goh ini keseorangan. Berselimut. Terlalu kurus. Kulit dan tulang sahaja. Tulang pipinya lebih cembul dari hidungnya yang kecil dan mancung. Matanya terperosok ke dalam. Dekat setengah dozen air kotak tersusun di atas meja 1' x 3' itu. Mana pergi saudara maranya?


" ...semua keleja..." kata Uncle Goh kepada jururawat yang bertanya.

Senyumannya tak lekang-lekang bila bercakap. Jururawat itu nak ambil darah dari lengan kirinya. Dia minta Uncle Goh pindahkan jam tangan bertali besi itu ke tangan kanan. Terkial-kial Uncle Goh buka dan pasangkan semula jam pada tangan kanannya. Hampir tak ada tenaga. Dan yang kasihannya, bila dia angkat tangan kanannya, jam tangan itu 'melondeh' hingga ke pangkal ketiaknya.  Memang terlalu kurus.


" ... kenapa Uncle tak mau makan.. " kesal abang yang sorong-sorong troli-bawa-makanan.

Seperti biasa, Uncle hanya tersenyum. Nak makan yang 'order' punya, balas dia. Abang yang sorong troli-bawa-makanan itu hanya tersengih tetapi masih meletakkan satu set juadah diatas meja itu. Sebiji buah oren juga diletakkan di atas meja itu. Uncle makan tau, sikit pun tak apa, pesan abang itu sebelum dia berpindah ke katil yang lain pula.


Aku terfikir, macam mana Uncle Goh nak makan buah belum berkupas sedangkan nak angkat tangan pun tak lalu?

Aku pinjam pisau lipat dari ibu mertua. Aku tanya Uncle Goh, dia teringin nak makan buah? Dia gelengkan kepala dan, seperti tadi juga, tersenyum manis. Aku syak itu gigi palsu.

Aku dapatkan kepastian sambil menunjukkan pisau dan gayakan ala-ala nak cincang buah oren. Dia tetap gelengkan kepalanya, dia minta suruh simpankan oren itu ke dalam lacinya. Kemudian, dia minta tengok pisau lipat itu. Aku tak bagi. Gua bukan mau, gua nak tengok-tengok saja, pintanya dengan nada sedikit tinggi. Serta merta aku terbayangkan dia ambil pisau lipat itu lalu potong urat nadinya. Aku pulangkan pisau lipat.


Aku biarkan masa merayap pergi bersama-sama seekor lalat kecil dan deru angin dari tingkap.

Kemudian, Uncle Goh semacam resah. Dia kuak selimutnya. Dia lambai-lambai tangannya kepada aku. Aku pergi kepadanya. Dia minta tolong tutupkan suis kipas. Sejuk, katanya. Aku lakukan.

Selang beberapa minit, dia terkial-kial lagi, pada kali ini dia goncang satu persatu kotak air minuman. Ada yang kosong, ada yang masih berbaki dan ada yang masih belum ditebuk lagi. Aku bangun dan bertanya, dia nak minum perisa apa, aku boleh tolong tebukkan.

"...tak apa.. tak payah.." kata Uncle Goh. Seperti tadi, sentiasa tersenyum.


Kemudian, aku tergoncang satu kotak minuman laici yang masih berbaki. Aku hulurkan kepadanya. Aku rasa cukup untuk seteguk sahaja. Aku tanya, cukup? Dia angguk-anggukkan kepala, seperti tadi juga, tersenyum.


Sebelum aku labuhkan bontot yang labuh itu, dia minta aku tolong carikan plastik dari dalam lacinya. Aku selongkar lacinya, ada dompet, ada duit syiling bertaburan, ada air ECPI, ada tisu dan ada beberapa helai plastik bungkus. Aku pilih yang kecil sahaja. Dia minta aku pindahkan ayam panggang berkunyit dari pinggang ke plastik itu dan simpankan di dalam laci.

"... nanti olang tadi mau angkat pinggan..." dia terangkan kepada aku.

Seperti-seperti tadi juga, bibirnya menguntum senyum. Kemudian, Uncle Goh tarik semula selimut. Aku biarkan dia berehat.


Kemudian, mata aku tertumpu kepada katil Ayah Mertua yang penuh orang di kelilingnya. Dan aku lihat cucu-cucunya sedang lihat atuknya makan nasi. Aku bangun dan aku tolong racikkan ayam panggang berkunyit itu dengan pisau lipat dan sudu garfu. Aku kecai-kecaikan supaya Ayah Mertua senang nak telan, giginya tak banyak yang tinggal. Sedikit-sedikit, aku masukkan ayam itu ke dalam mulut ... mulut aku. Saja nak rasa, aku kata kepada Mama.


Kemudian, Ariff cuit-cuit lengan aku. Aku hulurkan sedikit. Nak rasa, katanya. Lepas tu, cucu-cucu lainnya mula mendekati. Atuk suruh semua cucu-cucunya rasa ayam itu. Lagi pun, dia tak lalu makan, katanya.


Melihat cucu-cucu itu berebut-rebut nak rasa ayam panggang berkunyit, seorang India di katil sebelah bangun mendekati aku yang sedang sibuk kecai-kecaikan dada ayam.

"... ambil saya punya ayam, saya tak makan... ambil ayam tu kasi sama budak-budak.." kata uncle India itu.

Habis tu, nanti uncle nak makan apa? Tanya aku.

"... nanti orang rumah datang bawa nasi, bawa lauk..." katanya lagi.


Sesungguhnya, hari itu aku amat terasa Wad 2B di Hospital Jasin itu amat-amat 1Malaysia.

Sungguh!






.

Friday, March 18, 2011

Perkataan baru akan wujud dalam kamus...

.

Tafsiran baru perkataan 'Interlok':-


Interlok (noun).
sesuatu yang amat sensitif dalam konteks kaum walau perkara itu secara sejarahnya benar...

Contoh:
Anda semua tidak dibenarkan menyentuh perkara-perkara yang INTERLOK selama berada di kuliah ini.



Interlok (verb)
perbuatan yang boleh mengganggu keharmonian persaudaraan. yang boleh menyebabkan seseorang berasa tersinggung dan berpiket.

Contoh:
" Jangan-jangan kamu hendak cuba INTERLOK aku dalam hal ini, bukan? " duga lelaki itu

'Abang jangan cuba nak INTERLOK saya, nanti saya INTERLOK abang balik..." ugut isteri itu.





Contoh yang akhir tu boleh pakai ke? Ada contoh lain tak?



.

Thursday, March 17, 2011

Minum air kelapa pandan dan biji mahogani

Gemersik bunyinya.

Sambil minum-minum air kelapa pandan di Taman Maju, Jasin, aku melangak-langak ke atas pada deretan pokok Mahogany yang kiri dan kana bahu jalan di situ. Kemudian, aku jalan-jalan di bawah pokok-pokok itu sambil mencari biji benih yang seakan-akan buah sena.


Tak sampai 20 langkah, aku dapat beberapa biji Buah Tunjuk Langit yang tersohor itu.

Aku kupas sebiji untuk keluarkan biji benihnya yang serupa kuaci biji labu. Aku hancurkan dengan kuku dan aku telan bersama-sama air kelapa. Selebihnya, aku letak di atas meja. Mama tolong buang mana-mana bahagian yang tak perlu.






Saja post entri ni malam-malam begini....

Saja jer...




.

perkara di luar pemahaman manusia

.

“Mengikut Seksyen 8B Enakmen Jenayah Syariah Selangor, sesiapa menyatakan dia mengetahui perkara di luar pemahaman manusia boleh didakwa. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” 



 Hah!...

Siapa-siapa yang konon-kononnya boleh tenguk air di geluk, boleh tengok limau purut terbelah (baca: menilik), eloklah bawak-bawak bertaubat.


Siapa-siapa yang "..mengetahui perkara di luar pemahaman manusia..", rajin-rajinlah kumpul duit untuk bayar saman.

 Tapi kan, kalau manusia tu yang memang dah bongok tak faham-faham, masih kena saman lagi ke?






.

Siapa yang tak 'pink' sila muntah belahak...

mujahid yang telah terlantar ...


Akulah mujahid cinta
Memapah hati yang parah
dipanah sinar matamu, aku sanggup
kerna wangimu adalah obatnya
Luluh hancur tangan dan kakiku
memanjat gunung rindu berbatu, aku sanggup
kerna senyumanmu adalah penawar asyikku

Aduhai kasih, duhai sayangku
Ambillah segala-galanya yang masih ada padaku
hatiku, jiwaku, rinduku, cintaku, mimpiku, harapanku
siangku, malamku
nafasku
...juga tubuhku







update: reaksi dari NM02.
ok..ok... tubuhku boleh ditinggalkan, jangan diambil, sebab takut mengundang banyak reaksi. Takut nanti dapat nasib macam Interlok... ;))

.

Wednesday, March 16, 2011

Bunting ... ke arah kesihatan fizikal

.

Bagus.. bagus.... Jimat bill elektrik lif.


'Bunting' ni dilekatkan di tangga di Hospital Jasin, bersebelahan dengan pintu lif lobi. Kenapa aku ke hospital Jasin? biarlah jadi teka teki buat masa ini. Aku rasa, semua hospital pun ada 'bunting' ni.





Perkara yang mungkin kecil tapi berguna.

Kepada yang rumah tak ada tangga, boleh beli tangga aluminium kat DenMy.
Letak di pintu bilik tidur, kasi muat-muat pintu. Kalau si dia masih berhajat nak bertemu buku lali, pandai-pandailah berusaha panjat dan turun tangga tu. Demi kesihatan fizikal.





.

Sangkar Cinta

.

Cinta sangkarnya jiwa, sanggarnya jasad ini, rindu pun
menanti citra cinta bergema, dalam gaung
hakiki, yang aku kau tahu
Yang maha tahu, jika singkap tirai ilmu dan
lara memamah batin, seperti anai-anai
seperti belukar dibakar, seperti asap ada
api tiada, maka tiadalah aku, mencari cinta
lagi
Cinta aku kepada aku
ini

Terbias pada cermin laku, maka aku pun telanjang
Setiap urat nadi nan biru, mataku satu, rupaku satu

Cinta itu sembunyi dibalik terang

Sakit jiwa ini menarah papan
waktu, mengasah citra pada dingin bekunya
angin,
Pada rembulan yang terbelah
kuningnya,
Pada matahari yang tersimpul
putihnya,
Antara mereka itu aku pun
musnah
Punah, luluh, tersemai pada batas waktu

Tanah... oh tanah ini,
Cinta yang tak berbaja, aku persembahkan jiwa ini
tanpa sanggarnya kerana aku lali (lupa)
sanggarnya hanya sementara, ditinggalkan
buat selama-lamanya.






Aduh! Sakitnya.....


.

Tuesday, March 15, 2011

Ratapan di Masjid Jamek

.

Masjid tua di pekan Jasin

 
Di masjid tua ini saksi bersaksi, pada Maghrib itu
Mimbar dan tiang seri yang empat itu menopang kubahmu
Di sejadah ini, keluh aku tertumpah lagi
Hiba mendakap jiwa yang rebah, dua tangan yang kuangkat menjadi satu
Memohon limpah karunia, membasah hati yang sedih


Tolongilah aku yang sedang lara ini
Derita pedih dalam dada yang menjalar ke segenap nadi
Rasa terbakar gejolak jiwa seakan mahu keluar ia
Luka, dan dada yang semakin sempit rasanya


Di dalam kocekku ini, di sebelah kiri ada sekampit kecil
Cairan putih yang bisa melunaskan semua sakit ini
Apakah aku sanggup meneguk cecair ini?
Demi menamatkan derita pedih hati
Mungkin...


Maafi aku, aku tewas
Ku robek kampit cecair putih ini
Lalu ku hisap ia, perlahan-lahan
Agar cecair ini memain peran


Dalam teleku aku di atas sejadah masjid tua itu
Aku menunggu penuh cemas aksi akhir cecair putih itu
Menjalankan tugasnya membunuh segala derita aku


Silakanlah...





.

Sumbi Emas ... unedited sekuel dah keluar...

.
Finale dah keluar di Merung Mahawangsa. Klik gambar untuk ke sana...


.

Monday, March 14, 2011

Yang dicabar pula mencabar: Bontot Kuali

.

Satu hari itu, aku ada post satu entri tentang bontot kuali DI SINI... dan aku cabar supaya masing-masing tonjolkan bontot (kuali).


Dan KucingOrenGemuk adalah orang yang pertama memberi komen dan juga menyahut cabaran. Syabas!

Ya, ia adalah cabaran dan bukannya TAG. Cabaran yang terbuka. Tetapi, atas sebab teknikal, yang mencabar telah di disqualified oleh yang dicabar. Dan aku kena post semula.



walau pun hitam, ia tetap berkilat...



Ada 3 sebab kenapa ianya kekal hitam:

  • Aku dan KOG berpendapat kerak karbon itu mampu mengawal atur suhu minyak menggoreng, seterusnya membuatkan gorengan kurang 'melekat'. 

  • Kalaulah di kampung, biasanya bontot kuali itu ditonyoh di atas pasir sungai. Kira-kira macam 'sand paper' la. Tapi, aku duduk di rumah setinggi 5 tingkat! Mana nak cari pasir, mana nak cari sungai? Kalau aku bawak ke air terjun Sungai Lui, heboh pula orang kata aku pergi mendulang emas!

  • Aku tak mau peribahasa Melayu lama  tentang hitamnya p%$&t kuali itu terkubur...



Apa lagi, yang lain macam mana? Tak syok la kalau cabaran tak berjawab....





.

Sunday, March 13, 2011

Sumbi Emas (bhg. 2 unedited)....dah muncul

.
Awas. 18SG.

'Sumbi Emas (bhg 2 unedited) .... seram gugah aman malam' telah muncul di Merung Mahawangsa....




.

Sumbi Emas... seram menanti dihujung daun

.


 

Matahari pijar, pancaran cahayanya senak menyuluh renik-renik peluh Pak Abu yang bagai mutiara petang. Cangkul tua berbatangkan kayu pulasan yang terkenal liat itu dihayunkannya  berkali-kali untuk merobek tanah liat berwarna merah di bawah pokok Saga yang tumbuh tak berbela sebesar peha. Sesekali dia berhenti mengumpul nafas. Sesekali Pak Abu berhenti lagi untuk meneguk air kosong dari geluk plastik yang dibawanya dari rumah. Pak Abu menyeka peluh yang berjurai-jurai dari hujung rambut yang kian memutih, yang tinggal beberapa helai sahaja itu.


Pak Abu perlu cepat siapkan kerjanya. Selepas Asar nanti, satu jasad akan bersemadi lagi di tanah perkuburan itu. Liang lahad masih belum siap digali. Pak Abu ambik penyukat dan menariknya dari hujung ke hujung. Belum cukup panjangnya, dia tarah lagi dinding tanah liat merah dibahagian kaki agar lebih panjang. Tubuh Opah Senah nampak saja pendek tetapi bila dibujurkan, panjang juga rupa-rupanya. Pak Abu gelengkan kepala beberapa kali. Tak sangka orang tua itu akhirnya bersemadi dalam lubang kubur yang digalinya. Opah Senah, seorang bidan kampung yang terkenal sehinggakan kampung sebelah pun meminta khidmatnya jika diperlukan.


Pak Abu bukan orang senang. Pak Abu hanya mewarisi sebidang tanah yang kecil dan sebuah rumah papan buruk dari orang tuanya. Dia tinggal berseorangan di rumah itu. Berkelana jiwanya, hidupnya tidak berteman. Lebih senang begitu,katanya pada siapa-siapa yang bertanya. Tangannya hanya perlu menyuap satu mulut, bukan dua atau lebih. Dia lebih suka bertemankan kokok ayam dan angin bukit. Itu dunianya, itu juga hiburannya. Juga rahsianya hanya untuk dirinya.
 

Namun, Pak Abu tidak sepi-sepi dikunjungi orang kampung meminta jasanya sebagai penggali kubur. Pak Abu tak kisah. Pak Abu suka bila diminta berbuat demikian. Sekurang-kurangnya, dia masih terasa diperlukan oleh penduduk kampung.


Angin petang menyerbak bau daun-daunan reput di musim kemarau itu. Ranting-ranting reput dan rumput-rumput yang layu menyentap perasaan dahagakan rahmat berkunjung dari perut langit. Sudah cukup berehat, Pak Abu teruskan menghayun cangkul tua yang penuh jasa itu. Bukan saja kepadanya, juga kepada orang-orang kampung. Setiap kali mata cangkulnya membenam, Pak Abu helakan dan tarik nafasnya. Bukan senang menggali kubur. Tanah liat merah itu bagai menyerap setiap tenaga tuanya yang hanya bersisa. Urat-uratnya akan timbul dan pada malamnya pasti akan kebas-kebas dari hujung kepala hingga ke ibu jari kaki. Minyak angin sakal putung serai wangi buatan Hj. Dakam (arwah) itulah yang menjadi penawar lenguh dan sengalnya.


Selang beberapa kali lagi tanah dikobak, mata cangkul tua Pak Abu berdenting mengenai sesuatu. Pak Abu gelengkan kepala lagi. Dia tunduk lalu tangannya meraba-raba di dalam tanah itu. Biasanya, batu-batu sebesar penumbuk akan menyumbingkan mata cangkulnya.  Tapi, kali ini tidak. Tak ada batu. Pak Abu henyak-henyak lagi mata cangkulnya. Itu bukan batu, detik hatinya. Itu bunyi papan. Mata cangkulnya telah terkena papan penutup liang lahat. Pak Abu telah tergali kubur lama.


Kubur siapa? Soalan itu bermain-main dalam fikirannya. Dia mengungkis lagi tanah liat merah itu dengan cangkulnya sehingga papan lahat yang tebal tetapi separa reput itu terdedah. Perasaan ingin tahunya semakin tinggi. Dia umpil papan lahad itu dengan mata cangkul. Di bawah papan itu ada satu runag kecil dan di dalam ruang itu beberapa tulang masih belum reput.


Pak Abu berlutut bertongkatkan batang cangkulnya. Dengan pertolongan cahaya matahari, dia terlihat sesuatu yang berkilat diantara tulang temulang itu. Pak Abu seluk tangannya lalu dikuis-kuis tulang-tuluang itu ke tepi. Emas. Pak Abu terjumpa emas.


Pak Abu cuba ambik emas itu tetapi didapatinya emas itu masih melekat pada tulang rahang. Dia termenung sebentar. Dia berkira-kira. Mayat Opah Senah perlu disemadikan petang itu juga. Dia serba salah. Mahu dikambus semula, dia tak larat lagi untuk buat lubang kubur yang lain. Masa sudah suntuk.


Akhirnya, Pak Abu ambil keseluruhan rahang itu lalu diselitkannya pada ikat pinggangnya. Biar diselesaikan dulu kubur Opah Senah, fikirnya. Hal sumbi emas itu nanti boleh difikirkan kemudian. Lalu Pak Abu kambus semula lianng lahad itu. Dia tarah dinding tanah liat merah di bahagian tepi supaya lubang kubur Opah Senah itu nanti dianjak kira-kira 2 kaki ke tepi menjauhi liang lahad yang lama itu. Satu jam kemudian, lubang kubur Opah Senah telah disiapkannya.


Pak Abu keluar dari lubang kubur yang lapar menunggu mayat Opah Senah. Dia duduk di bawah pokok Saga untuk berteduh dari matahari yang kian condong. Geluk air di tonggang sehingga habis. Penat sungguh Pak Abu. Peluhnya meluncur laju dari setiap inci tubuh kurusnya. Baju kemeja lusuhnya habis lencun, melekat pada batang tubuhnya yang kering dan hitam itu. Kemudian, Pak Abu teringatkan sumbi emas yang masih melekat pada tulang rahang itu, yang masih tersisip pada ikat pinggangnya.


Mata Pak Abu melingas ke kiri dan kanan, takut-takut ada orang yang nampak. Setelah berpuas hati tak ada mata-mata yang melihatnya, dia belek rahang itu. Sumbi emas itu masih utuh melekat pada tulang rahang. Dia cuba cungkilnya dengan ranting kering namun ranting itu patah. Sumbi emas yang dibuat pada gigi geraham itu masih kuat, dan masih berkilat. Pak Abu sudah mengira-kira. Mau dua tiga ratus juga kalau digadaikan, fikirnya.


Terlintas juga rasa berdosa dalam hatinya tetapi dia sisihkan jauh-jauh. Dia tolak perasaan itu jauh-jauh. Apa guna lagi sumbi emas itu pada orang yang dah mati? fikirnya lagi. Langit mulai redup. Awan kelabu menutup matahari. Bunyi beduk bertalu-talu singgah dikupingnya. Tak lama selepas itu, laungan azan dari corong surau itu pun bergema. Waktu Asar telah masuk.




...sambung.




(Namun, malamnya bukan sepi lagi. Ngeri mula menjalar...akan disambung di Merung Mahawangsa nanti...).






.

Saturday, March 12, 2011

Kisah telekung...

.
Jam hayat tersangkut pada dinding menunjukkan matahari di luar sana berdiri tegak di atas ubun-ubun kepala. Tik-tok-tik-tok... dan bunyi itu bersela dengan keroncong di dalam perut perempuan itu, bersela dengan dangdut di dalam perut lelaki itu dan zikir dan tahmid di dalam perut aku.. heheh. Kredit memang sentiasa untuk penulis....


Sejam berlalu, kini tik-tok-tik-tok itu berbunyi sendiri tanpa muzik-muzik iringan. Tiada lagi keroncong merayu-rayu, tiada lagi dangdut berkecapi bernafiri. Cuma doa puji-pujian syukur ke atas rezeki yang dilafazkan... oleh aku. Tetap, kredit memang untuk penulis... heheh.


Kemudian, aku toleh kepada wanita anggun che' tunggal yang mejanya bersebelahan dengan meja aku di pejabat itu. Zohor dah masuk? tanya aku. Sebenarnya, jawapan dia itu untuk dia... bukan aku.


"eh-eh.. lupa nak bawak telekung la. Minggu lepas basuh..." katanya panik kemudian bertanya kepada wanita anggun di sebelahnya pula.

"aku pun.. . basuh minggu lepas.." katanya, kemudian beralih kepada kaka seorang lagi.

" aku ada.... " kata kakak itu dengan nada bersahaja...




Dan hari itu ialah hari Khamis, malamnya selepas Maghrib ialah Jumaat.

Lalu aku syak, wanita berdua itu terkejut atau panik bukanlah semata-mata kerana telekung. Aku syak, itu adalah keterujaan mereka bila menyedari hari itu adalah hari Khamis setelah selama seminggu telekung bersidai sejuk.





.

Nasi lemak 50 sen....

.

Tak sangka masih ada lagi nasi lemak 50 sen. Harga 50 sen tak apa, tapi saiznya pun 50 sen juga.

50 sen!!!

Sekali aku pekup dengan tapak tangan dah boleh hilang. Boleh buat magik dengannya.
Kalau ikut saiz mulut aku, sekali 'ngap' dah hilang.








" itu untuk budak-budak sekolah la ... "

Kata kakak 'kantin' yang berniaga di luar pagar sekolah rendah.


" ..owhh...."  balas aku.

Sambil menyuap nasi lemak bungkusan yang kedua....







.

Friday, March 11, 2011

Kisah Muffin yang kedekut

.





Tinggallah 2 muffin yang sama besar dan sama paras rupa di sebuah rumah yang sama paras dengan langit. Sama paras dengan itu juga, tinggallah beberapa penguasa-penguasa kota di rumah-rumah di kanan dan kiri yang sama paras dengan dahan pokok leban yang ke-empat.


Selama hayatnya yang 30 minit, kedua-dua muffin itu begitu serasi tinggal bersama-sama.

Sehinggalah pada suatu hari itu, dalam minit yang ke 31 mereka dilahirkan, seekor gergasi telah datang dan duduk di kerusi jati berhampiran.


"...okey, mana satu yang patut di makan dulu..? " tanya gergasi itu.


Kedua-dua muffin itu mula tak sehaluan. Mulalah mereka tuding-menuding. Itu baru dugaan yang pertama, sudah bantah berbantah.

" makan dia dulu... sebab aku tak cukup empuk " kata muffin 1.

" eh, makanlah dia dulu... sebab aku tak cukup penuh " kata muffin 2.



Gergasi pun naik berang. Dengan nada panas baran dia memekik:

" memang dasar muffin kedekut...! "


Kemudian, gergasi itu baca Bismillahirrahman-nirrahim lalu menangkap kedua-dua muffin itu hampir serentak lalu dimasukkan ke dalam mulut.


"... Mama, nak lagi...." kata gergasi dengan lenggok manja kepada gergasi wanita.





Moral: Lain kali kalau buat muffin, isi biar penuh-penuh...







.

Thursday, March 10, 2011

Gelas yang separa penuh... selamanya

.

On the way balik ke Melaka, aku singgah di R&R untuk tujuan R&R jugalah.


Semasa berdiri menunggu pesanan air minuman aku dilunaskan (CkLah: sebab aku dah bayar dulu) oleh peniaga itu, mata aku tertegul pada pili air yang terbuka di atas meja.

dan aku tunggu... 30 saat.... 45 saat... 1 menet...


" Bang...... bila gelas ni nak penuh ni? ".

Aku tanya.

" Memang macam tu dari dulu lagi... ...tak mau penuh...".

Jawab peniaga tu sambil meng'godek' sudu kecil di dalam gelas.







" Owhh... "  balas aku.







.

Terpedaya

.

Aduhai, memang alangkah aduhainya...

Susuk ini begitu zahir sekali kepada mata bathin.
Hinggakan pandangan lain terhalang.
Sial sungguh jiwa ini jika nasib jua yang terbatas mencari lokan yang hilang, jatuh di lautan dalam.
Penat sungguh mencarinya, hingga sakit seakan-akan patah pinggang.
Aduh, diri mana yang mampu kalau begitu?

Inderaloka, mampir di pelabuhanmu sahaja cukup sukar bagiku.
Inikan pula menyusun sepatu berderetan sepanjang laluan sempit, yang penuh dengan tajam duri rotan.

Oh, pendengaran aku boleh menjadi mata-mata, pengganti mata yang terhalang.
Dunia, mana kau dunia?
Cengkerik hutan berbicara.
Sekejap kiri dan kanan.
Ah! Beribu mereka rupa-rupanya.
Mana satu yang benar, yang luruskah?

Riang-riang bersiul garang tanda hari semakin gilang-gemilang.
Di hutan ini?
Dengan mata-mata aku masih tertutup, terhalang?
Alangkah buruk nasibku.
Aku pasti terlepas segala yang indah di padang sana.

Baiklah.
Kalau begitu, berlepaslah aku dengan semua.
Lepaskanlah aku dari belengu dunia.
Jangan dihitung, jangan diungkit lagi.
Dari kafir kepada fakir.

Aku mencari aku
dan aku mendapatkan satu.
Cukuplah itu, untuk bekalan.
Aku manusia fakir.





.

Wednesday, March 9, 2011

Pegang telur ?

.

Sedang aku asyik melihat-lihat kumpulan kompang yang bertindak mengiringi pengantin dan rombongannya, kuping aku dicemari dengan jeritan ini:


"Hah! Siapa pegang telur bolehlah jalan di depan..."


Kemudian, ada yang sambut:

" Kami tak pegang telur, kami berjalan di belakang pengantin je la..."



Ada juga suara sumbang dari wakil rombongan:

"Kalau telur tu laju, lajulah pengantin tu jalan nanti..."


Dan akhirnya, telur itu pun diarak oranglah...








.

Tuesday, March 8, 2011

Bulu ikan emas

.
Memasuki blog DariKacaMata, tercetus nostalgia aku...


Hari itu panas terik. Emak bentangkan tikar mengkuang di bawah pokok belimbing buluh yang redup dan angin tak putus-putus bertiup. Terasa lebih nyaman kalau dibandingkan dengan hawa panas di dalam rumah berbumbungkan zink dan tanpa siling itu.

Tapi, Emak bukan nak bersantai di bawah pokok itu dalam bulan puasa begini. Emak dah siapkan awal-awal bara api dari tempurung kelapa dan sabut kelapa. Asap berkepul-kepul, pedih mata dibuatnya. Oven tradisional dari besi takung getah beralaskan pasir telah panas. Penutup oven yang dibuat dari zink juga panas. Acuan berbentuk cermai dan ikan emas juga panas. Semuanya gara-gaara bara api dari tempurung dan sabut di atas dan di bawah oven itu.

Seorang budak kecil keluar dari rumah papan berbumbungkan zink kerana panas. Tekak kering, perut berkeroncong. Dia pergi ke arah Emak sambil memeluk bantal. Kemudian, Emak berikan sedikit ruang kepada budak kecil itu untuk berbaring. Kejap-kejap, Emak godek adunan telur dan tepung. Kejap-kejap Emak buka penutup oven dan cucuk-cucuk dengan lidi. Kejap-kejap, Emak keluarkan cermai dan ikan emas, dan letakkan di dulang.


Budak kecil itu teruja dengan ikan emas, baunya cukup harum...

Mula-mula ajarkan ikan emas berenang.. wiuw..wiuww... wiuuwwww
Lepas tu, dia berenang dekat dengan mulut buaya.. wiuww..wiuww... wiuuwww
Lepas tu buaya nganga mulut luas-luas dan ikan terperangkap tak boleh undur lagi.
Ngapp!!!

dan batallah puasa sang buaya itu pada hari itu.
dan cubitan kilas singgah di perut buaya itu...

Adoiiii....!


'Mak, kepala ikan emas dah rebeh, buaya yang kokak....'

Eh, menjawab lagi tu...
 
 


 
 
.

Ini tak ada kena mengena dengan Interlok...

.
Aku tau, membicarakannya adalah sensitif. Malah, jika disebut namanya pun boleh menggeletarrrr mayat di kubur!!! Amat sensitif sehingga aku takut-takut nak zahirkannya di sini.

Ada dua jenis sensitif yang aku maksudkan; satu, kalau dikaitkan dengan peribahasa Melayu Lama dan dua, jika ia berkenaan pengurusan rumahtangga yang dinamik.


Dah beberapa kali aku nak ambil gambar ini tapi asyik tertanguh-tangguh. Minggu lepas, aku kejapkan hati aku dan aku ambil gambar ini, dan aku tampalkannya di sini





Hah! Ini namanya kuali. Tapi, bontot kuali ini tak hitam macam ^&%$&$  *!#$#... walau sekeliling ^&%$&$ itu ada gegelang hitam macam *!#$#...


Percaya atau tidak kuali ini lebih tua daripada Ariff.


Ayuh ibu-ibu, adik-adik dan kakak-kakak semua, kalau sanggup menerima cabaran, jom masing-masing pamerkan dalam blog masing-masing.


Amacam, ada berani?

 -Kakpah, Ashley, Tijah (periuk tekan tak aci, dikira baru), TasekMerah, KOG, CKlah, Secangkir Madu Merah, KakYah, Kak Fadhilah, Insyirah, Azani (pun kira gak), B.Kedondong, Hana, mama-wisyah, NM02, hairul (ko pun kena gak), .... dan semua yg ada kat sini.


Kalau gambar bontot kuali tu sensitif kepada kamu semua untuk dipamerkan, sila mengaku awal-awal kat petak komen akuyangakut. TAPI... kena ceritakan rupa bontot kuali itu dengan gaya yang bersahaja, santai tetapi sungguh ceria. Carut-carut tak boleh.

Silakan...












.

Monday, March 7, 2011

Lembaga muncul...

.
Petikan dari myMetro hari ini:

" BETONG: Gangguan kemunculan lembaga berambut panjang di bangunan baru Ibu Pejabat Polis (IPD) Betong di sini, selepas sebulan berpindah ke lokasi itu kini memasuki episod baru apabila makhluk jelmaan menyerupai wanita itu dikatakan beralih angin dan sering merayau di kediaman pegawai pula.

Jelmaan wanita terbabit dikatakan sering dilihat sekitar kediaman beberapa pegawai IPD berkenaan, malah kelibat menyeramkan itu didakwa turut dilihat penduduk kawasan berdekatan ketika melalui bangunan itu, kira-kira jam 2 pagi.

Lembaga itu dikatakan berpakaian lusuh dengan rambut mencecah paras pinggang dan dilihat sering merayau sekitar kediaman pegawai setiap awal pagi sebelum menghilangkan diri. Beberapa pegawai di IPD itu mendakwa pernah melihat kelibat wanita berjalan sendirian, malah lebih mengerikan apabila lembaga itu pernah menjenguk kepalanya menerusi tingkap di sebuah kediaman didiami pegawai..."


sumber: www.hmetro.com.my



Tak sangka zaman sekarang masih ada 'Lembaga'.
Seingat aku, dulu-dulu memang ada banyak lembaga.
Lembaga Letrik Negara, Lembaga Air...

Eh.. mungkin ada lagi la, Lembaga Zakat , Lembaga Air Selangor...


Atau, lembaga yang diberitakan itu adalah sebenarnya Ayu Jannah???
Sejak bila Ayu Jannah boleh terbang ni...





.

Sunday, March 6, 2011

Badang Moden di Malaysia

.




Dia telah 4 tahun pencen dari kerja memandu bas ekspress. Jadi, umurnya hampir 60 tahun. Aku bertemu saudara ini petang tadi. Aku katakan saudara kerana kalau dikirakan pangkat, Aku adalah BAPA SAUDARAnya. Ya, dia anak saudara aku. Kerana dia adalah cucu kepada abang kandung bapak aku. Tapi, tak bermakna umur aku 99 tahun lebih...


Dia bukan badang yang dimaksudkan. Cerita badang itu keluar dari mulutnya. Kebetulan pula, orang yang dikatakan 'badang' olehnya itu aku kenal kerana tinggal di kampung aku. Ini cerita dia:


Beberapa tahun dulu, Setapa (hampir nama sebenar) adalah 'timbalan' pemandu kepada Pak Abu (Pak Abu, Setapa dan saudara itu bekerja di syarikat bas yang sama).

Pada satu hari, kira-kira jam 8pm, bas dipandu Pak Abu dan Setapa sedang mendaki  bukit di lebuhraya Ipoh-Changkat Jering. Pada ketika itulah brek tangan bas terbabit telah rosak dan situasi menjadi cemas. Bas mula mengundur ke bawah bukit jika tak ditekan pedal minyak. Jika diteruskan pula, bas mungkin terbabas di selekoh di depan sana. Jadi, bas perlu berhenti di tepi jalan... tapi brek dah rosak.


Setapa yang berbadan sasa itu pun turun ketika bas bergerak merangkak-rangkak, dan berpesan kepada Pak Abu, ' bila aku jerit nanti, kau lompat keluar dan cepat-cepat cari batu untuk sendal tayar..'

Dengan lafaz Bismillah, Setapa pun pergi ke belakang bas dan menahan belakang bas dengan kedua-dua tangannya. Bila Setapa jerit suruh lompat, cepat-cepat Pak Abu lompat turun meninggalkan penumpang yang panik, lalu pergi mencari batu. Dipendekkan cerita, Pak Abu pun dapat cari batu yang besar untuk sendal tayar bas. Semuanya selamat.


Aku kenal Setapa itu dan memang dia pandai bersilat tapi aku tak tahu pula dia sekuat itu...





.

Friday, March 4, 2011

Tangisan isteri dipagi Jumaat...

Ini kisah benar.


Seorang wanita cantik, juga seorang ibu muda, juga seorang isteri yang setia, subuhnya digenangi air mata. Sedu sedannya menjadi muzik awal pagi Jumaat itu. Getar bahunya seperti jerit pekik jam loceng menggugah lena.

Aduh! Apa sebabnya? mungkin itu kata suaminya...

Ada kurang dimana-manakah malam tadi? mungkin itu fikir suaminya.

Mana-mana lelaki pun akan kelam-kabut jika si isteri menangis di subuh Jumaat yang keramat, yang penuh berkat itu. Mana-mana yang ego pasti akan mempersoalkan kegagahannya.



Ceritanya begini:

Akibat kelam kabut dan mengejar masa, si isteri telah tertinggal satu barang paling berharga dalam kerjayanya: laptop. Yang membuatkannya menangis ialah dia tak tahu dimana laptopnya berada. Mungkin hilang. Mungkin telah diambil orang. Dan punahlah segala kerja dan data yang dibuatnya selama ini.

Si isteri, yang juga seorang perempuan yang sejati, air mata memang teman peribadi. Laporan polis menjadi agenda ke-3. Yang ke-2...? entah...Tapi, belum sempat dia mengetuk pintu balai polis pagi tadi, dia menerima satu panggilan telefon.

Rupa-rupanya, ada sahabat yang telah terjumpa dan menyimpankannya semalam.

Pagi tadi, sebagai tanda syukurnya, dia belanja kami semua satu pejabat dengan ini:







Pergh... aku rebut yang original.

Kacuk-kacuk ni tak main la...




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com