Wednesday, April 29, 2009

Warga menderma...

.

Aku dah tunaikan tanggungjawab aku dalam pembangunan negara. Itu hak negara. Namun, aku tak pernah tunaikan hak aku sebagai pengundi.

Aku rasa, kita semua warga yang suka menderma untuk negara. Walau pun tak perlu bayar income tax, tanpa sedar, semua kita ini membayarnya.

Ini jadual harian yang biasa untuk kebanyakkan kita:

1. Pagi-pagi kena hantar anak ke sekolah naik kereta nasional tapi masih kena bayar CUKAI EKSAIS.

2. Untuk elakkan dari kena SAMAN, kenalah bayar ROADTAX dan LESEN yang duit itu entah untuk apa.

3. Pergi kerja lalu lebuhraya, eh bukan! laluan asal yang tak pernah ada tol tapi dinaik-tarafkan dengan pondok tol. Kenalah lalu juga, dah itu je jalan yang dekat, tapi kena BAYAR TOL.

4. Tengah hari, makan kat kedai makan yang diberi lesen mengutip CUKAI PERKHIDMATAN 5%.

5. Hisap rokok dikilangkan di Jalan Universiti yang kosnya mungkin cuma RM2 je tapi menjadi RM9 sebab CUKAI.



Kalau ikut perkiraan dalam e-filing, aku dah terlebih bayar dekat seribu. Agak-agaknya, bila la dia orang nak pulangkan balik?



.

Tuesday, April 28, 2009

Bila babi mula bersin...

.



Dulu, masa kawan-kawan aku pekik terlolong, tak ada sorang pun pemuka-pemuka negara di bumi sebelah sana yang dengar. Lagi kuat dia orang pekik, lagi banyak bom dia orang hantar.


Dulu, masa kawan-kawan aku tu menjerit-menangis kerana pedih dek senjata kimia dan fosforus, pemuka-pemuka negara di bumi sebelah sana tutup telinga, buat-buat tuli. Casualty of war, konon!


Dulu, masa kawan-kawan aku buat tunjuk perasaan minta perhatian dan simpati, pemuka-pemuka negara di bumi sebelah sana cuma ketawa. Tunjuklah macam mana besar pun perasaan, mereka tetap kerdil bagi mereka di bumi yang di sebelah sana nun, sinun.


Aneh!


Bila babi baru terbersin sikit, habis kepoh satu Mexico, Amerika dan Kanada. Sepanyol pun sama.


Kalau dulu, dia orang tak kasi imigrant Asia datang, sekarang dia orang pulak yang kelam-kabut nak keluar negeri.


Aku tak dapat bayangkan kalaulah babi-babi kat Mexico tu batuk terkokol-kokol. Harus nanti dia orang semua bunuh diri beramai-ramai. Dan pemuka-pemuka negara sana nun kelam kabut naik Apollo 18 nak pergi ke Marikh membuangkan diri...





.

Saturday, April 25, 2009

Malam panas berbahang, gusar dan gelisahnya...

.


Seminggu ni hawa panas melanda kawasan S.Alam. Aku tak ada penghawa dingin di rumah, jadi tidur malam aku kurang selesa. Peluh memercik merata-rata. Walau ada angin menerobos masuk ke bilik namun angin itu panas. Tak selesa. Peluh yang meleleh diserap kekabu bantal. Panas.


*plop*

Aku keseorangan di lembah berpasir dan berbatu ini. Burung Hering berlegar-legar di angkasa sana, beberapa ekor dan besar. Terik mentari merenih sisa-sia air hujan, kalau pun masih ada. Angin berhembus bawa pasir, bawa bahang bersama-sama. Pasir halus menusuk mata, angin panas membakar tekak. Aku amat haus. Bibirku telah pecah-pecah. Seksa menampar-nampar muka dan bahu, dan belakangku. Aku berjalan perlahan-lahan, lemah. Aku seret kaki-kakiku, menolak kelikir-kelikir berbara umpama muntahan neraka. Amat terseksa aku.

Akhirnya, aku tergeletak jatuh terlentang. Aku lemah, habis daya. Aku terpaksa biarkan mentari memanggang rakus saki-baki daging yang ada pada tubuhku. Aku renung angkasa yang jernih, biru dengan bait-bait awan yang terlalu nipis, mungkin tiada sebenarnya. Dan aku terlihat kematian aku berlegar-legar di dada langit itu, mulai terbang rendah. Turun rendah...

*plop*



Tidur aku selalu terganggu. Baki malam yang ada, aku gunakan untuk tidur senyenyak yang mungkin. Esok paginya, leher aku sengal. Toleh kiri sakit, toleh kanan laaagiiii sakit. Urat belikat aku krem!

Aku panggil Mama. Aku teringat petua orang tua-tua dulu, kalau 'salah tidur' pukulkan bantal ke leher yang sakit tu. Mama pun fikr yang sama. Dengan hati yang girang, Mama hayun bantal kuat-kuat ke batang leher aku. Setiap kali hayunan, Mama sertakan dengan selawat. Mama buat beberapa belas kali. Setiap hentaman terasa ke seluruh urat badan. Bergegar. Sakit.



*plop*

Aku biarkan tubuh aku diseksa begitu. Aku tak bermaya lagi. Ada seorang badwi suruhan, yang tadi mencambuk aku ketika tangan aku masih terikat pada tiang. Darah mengalir deras pada luka cambukan, memercik ke batu dan pasir gurun panas ini. Melihat aku yang setengah mati ini, penguasa jahilliah itu melepaskan aku dari ikatan dan mencampakkan tubuh aku yang longlai ke atas pasir dan batu panas.

Kemudian, atas suruhan penguasa jahilliah itu, badwi itu ambik seketul batu lalu meletakkan ke belakang aku. Terasa beban itu, aku sukar bernafas. Badwi itu letakkan seketul batu lagi. Aku terus terhimpit. Sengsara menjalar ke segenap tubuh. Terlalu sakit. Aku tak mampu berbuat apa-apa kecuali suara kecil dari tenggorok aku mengucapkan : ' Ahad... Ahad.... Ahad...'

*plop*



Tadi, aku suruh Mama pukul tengkuk aku dengan bantal lagi. Dan dia kelihatan gembira melakukannya. Bukan senang nak dapat pukul suami tanpa melawan macam ni....

Tak pe, aku pasrah....




.

Thursday, April 23, 2009

Tolonglah, lepaskan aku ke dunia ...

.


Tolong lepaskan belenggu rantai-rantai ini.
Aku mahu bebas ke dunia sana.

Aku tagih tanah subur hitam pekat laknat,
Tanah yang di atasnya manusia lintang pukang,
Di atasnya pula para pemuka keadilan gampang.

Mahu kubina peterakna bertiang-serikan kejahilan.
Mahu kukunyah semua kebaikkan.
Mahu kuminum merah darah para ilmuwan.

Lalu kuhamparkan kebodohan, kebingungan di horizon,
Juga kebisuan, kedegilan, kekejaman... kekejaman... kekejaman.
Kejam!

Sungguh!
Masanya telah tiba,
Lepaskanlah aku ke dunia.

(Lepaskanlah saja kedua-dua Al-Maseh ke dunia....)




Aku dah penat dengan dunia. Penat untuk cerna bermacam-macam cerita dari seluruh pelusuk dunia. Sakit perut aku dibuatnya. Teksturnya sama, rasanya juga tak jauh berbeza. Aku dah muak makan menu yang sama HARI-HARI.... HARI-HARI... hari demi hari menu yang sama. Aku muak!

Adakalanya, kalaulah aku bukan lagi manusia, mahu saja aku tutup mata dan telinga aku. Mahu saja aku tutup mulut aku. Pedulikan, mereka dengan dunia. Biarkanlah aku kutip sampah-sampah kebaikkan yang dibuang bertaburan di sini, sendirian. Mereka yang terkejar-kejar trem untuk ke perhentian seterusnya, pergilah. Aku tak mahu ikut. Pergilah.

Biarkan mereka terjun dengan dunianya... biarkan....biarkan!

Aku dah penat. Lepaskan aku dari kerenah dunia...
Hindarkan aku daripadanya.

Tutup cerita.






.

Tuesday, April 21, 2009

Trying to be nice...

Dua hari ni aku training/lepak kat Kota Permai yang permai. Angin menghembus agak kencang dan tak henti-henti, tapi kering. Aku cuba terima realiti musim kering dah tiba, walau malam tadi ribut menguak daun tingkap bilik aku luas-luas, angin menderu, sungguh gemuruh.



Lepas lunch, aku menapak pulang ke training room yang terletak di tingkat atas di Kota Permai Golf & Country Club itu. Dalam perjalan itu, aku disapa oleh seorang makcik yang berumur, aku agak, dalam lingkungan 60an. Dia menjinjing satu beg kertas yang sederhana besar.

Dia tanya aku, kat mana bilik WAGA? Aku tak faham pelat dia. Dia ulang 2-3 kali tapi aku masih tak faham. Oleh kerana waktu lunch, aku syak dia dah tersesat dari group dia, jadi aku tanya sama ada dia nak cari tempat makan. Dia kata ya, jadi aku tunjukkan restoran yang banyak meja bulat tu. Dia tengok tapi dia kata tak ada perkataan WAGA. Aku masih tak faham WAGA tu amenda. Aku tanya dia datang dari mana, dia kata dari Australia.

kemudian aku teringat, di sebelah bilik training aku ada satu bilik yang penuh dengan meja bulat yang diatur macam meja makan. Jadi, aku ajak dia naik ke atas. Aku terus berjalan tapi beberapa langkah lepas tu aku berhenti. Aku tunggu makcik Australia tu. Walau dia jalan terkedek-kedek, tak manis tinggalkan orang tua yang kelaparan berjalan sorang, nanti kalau dia ragut rumput kat tepi kaki lima, nyesal pulak aku...


Dalam terkedek-kedek tu, aku sempat bersembang sedikit sebanyak, saja melayan kerenah makcik tua. Dia tanya, kat situ ada bilik untuk bermalam? Aku cakap aku tak tau sebab aku datang training, aku tak keje kat situ. Dia tanya lagi, dah berapa lama kelab ni wujud? Aku pun tak tau jugak. Kemudian, hati aku terfikir, inilah agaknya akibat terlalu anti-sosial...



Semasa mendaki tangga, aku sebagai lelaki macho, offer untuk angkat beg dia yang nampak agak berat, jadi dia boleh gunakan kedua-dua tangannya untuk pegang handrail. Aku ada terfikir nak pimpin tangan dia tapi aku takut dia ingat aku nak ambik kesempatan pulak...

Dia kata tak perlu angkatkan beg dia. Aku rasa mungkin beg duit dia ada dalam tu, serta merta tumbuh tanduk kat kepala sekejap. Kemudian dia kata " ...but it would be nice if you could carry me upstair. Bla... bla...bla..."

Mak aiii... walau badan makcik tu pendek tapi dia gempal. Boleh rebeh lutut aku. Kalau aku cerita kat mama yang lutut aku rebeh sebab dukung makcik tua kat Kelab Golf tu, sampai kiamat pun dia akan percaya! Mesti dia ingat aku dah 'tet-tet' dengan pelayan fitness center ...



Aku ketawa buat-buat, anggap yang dia cuba melawak tapi dalam hati aku cuak jugak kalau-kalau dia minta betul-betul dukung dia...

Jadi, aku temankan dia mendaki tangga, setapak demi setapak. Bila sampai di atas, ada dua orang pakcik saleh sambut tangan makcik tu. Makcik tu ceritakan offer aku tadi kat dua orang pakcik tu. Dia orang ketawa berdekah-dekah!


'Setan betul...' , dalam hati aku...




.

Monday, April 20, 2009

Rintihan seorang [kononnya] bakal pelajar veteren

.


Aku rasa aku nak belajar lagi. Baru tergerak hati nak sambung. Itu pun bila kengkawan bagi semangat. Kawan kata ada course baru, baiiikkk punye.... Aku rasa pun mungkin setahun dua ni masa senggang tu ada atau boleh dibuat-buat ada.

Tapi, entah kenapa, aku nak register on-line tak dapat-dapat. Minggu lepas masih boleh lagi tapi aku tak pasti yang mana satu course yang kawan aku kata tu. Jadi, aku tutup balik nak tanya dia dulu. Bila dah konfem, aku cuba berkali-kali sehari dua ni tapi on-line application form tak keluar-keluar. Cis, download you-tube lagi cepat dari nak download application form tu.


Tak sudi nak terima aku ke? Aku ni dah tua sangat ke nak belajar balik?
Aku nak belajar pun tak kasi. Tapi, keluar iklan macam-macam.
Dah tutup new application ke?
Tapi sessi Julai lambat lagi, kalau aku hantar sekarang tak boleh ke?
Takkan nak register pun sampai 5 -6 bulan?
Course tu pun bukannya femes lagi, mesti tak ramai punye.
Takkan dia rela kelas dia cuma 5-6 orang je?
Kalau aku masuk lambat dan terlepas 2-3 kelas pun tak pe la...
Aku catch-up le nanti dan aku still bayar full punye...

Tak nak duit ke dia orang ni? Aparaa....


Ni yang luntur semangat nak sambung belajar balik ni...




.

Sunday, April 19, 2009

Ronggeng Puisi...lagi?

.


Aku masih dalam mood puisi. Sebabnya? sebab, puisi tak perlu tulis panjang-panjang, persetankan nahu dan undang-undang bahasa. Puisi bebas, tergantung pada si pembacanya. Ya, puisi adalah bebas, sebebas fikiran kita. Kalau puisi terbelengu dek undang-undang ini, fikiran kita terbelengu sama.

Aku teringat entry Tasek tentang ronggeng. Aku teringat komentar balas kepada Wahyudi_my juga tentang ronggeng. Maka, aku teringat yang ini. Ya, aku pernah letak ini dalam sini dalam entry awal (pertama / kedua?). Jom kita ronggeng!



RONGGENG MAK LIMAH
[24/7/2003]


Malam ini, ada gendang dan kecapi
ada kompang membuang sunyi dinihari
Mak Limah dan Pak Pandir sudah diundang
Grobok Pak Kaduk pasti penuh, riang.

Malam ini, ronggeng Mak Limah pasti jadi
Habis lenguh tangan bergendang, bernafiri
Peluh jantan dan betina berbaur suka
Pak Kaduk dan Mak Limah ronggeng bersama.

Sayang, ronggeng Mak Limah tak jadi
Kompang dan nafiri tak seiring kecapi
Pak Pandir bergendang, seronok sendiri
Rentak zapin, lagu berzanji.

Ronggeng, Mak Limah ronggeng!
Ronggeng sampai pagi!
Pak Kaduk terteleng-teleng
Pak Pandir geli hati.

Ronggeng Mak Limah tak jadi
Tapi Pak Kaduk tak peduli
Asalkan ronggeng sampai pagi
Pak Pandir ketawa sampai mati!





.

Saturday, April 18, 2009

Teknik puisi mee segera / ekspresso

Puisi lahir dari hati, dari rasa, dari fikir, dari marah, dari senyum, dari tangis, dari tawa, dari ilmu, dari tak tau, dari terang, dari kelam, dari kekaburan, dari kesamaran...

Jadi, kalau ada alasan yang mengatakan sukar untuk menulis puisi sebenarnya puisi juga lahir dari kesukaran.

Kalau ada yang kata fikirannya kosong untuk menulis puisi sebenarnya puisi juga lahir dari kekosongan.

Puisi? Puisi juga lahir dari suatu persoalan!



Puisi adalah terjemahan lahir dan bathin, adalah tajali, adalah projeksi dari apa yang ada di dalam, adalah interaksi dari apa yang ada di luar. Itu pendapat aku.

Yang sukar sebenarnya ialah nak susun ayat dan mencari perbendaharaan kata yang sesuai, yang tepat, lebih-lebih lagi kalau nak ceritakan sesuatu yang abstrak. Tak pe, aku kasi satu teknik ekspress.... tapi hasilnya juga adalah ekspress...


Image: from Wiki

 
Teknik 1:

1. Cari 2 perkataan yang boleh menggambar subjek atau objek. Aku pilih objek. Katakanlah basikal. 2 perkataan yang aku pillih:

Pengayuh,
Roda,


2. Buat ayat penuh setiap perkataan.

Aku letakkan kaki aku pada pengayuh itu,
Bila aku kayuh laju-laju, roda itu pun berputar laju,

3. Tukarkan objek kepada sesuatu yang abstrak, yang kadang-kadang tak masuk akal pun. Biar orang tak faham.

Aku letakkan hati aku pada pengayuh itu,
Bila aku kayuh laju-laju, roda itu pun berputar laju,

4. Buangkan penambahan dan perkataan yang tak perlu. Ayat akan jadi canggung tapi tak apa. Masukkan elemen yang berlawanan di mana-mana yang boleh i.e. kata lawan.

Kuletak hati pada pengayuh itu,
Kukayuh laju roda putar laju,

Kuletak hati pada pengayuh itu,
Kukayuh laju roda putar perlahan,

5. Buat connection dengan 'dan', 'tapi', 'namun' , 'nya' , 'itu', koma (,), baris atau perenggan dsbnya. Atau, kalau nak lebih 'raw', biarkan sahaja pembaca yang membuat connection dalam fikiran mereka, biar mereka fikirkannya sendiri. Tambahkan juga kata-kata ekstrem i.e. 'amat', 'terlalu' dsbnya. Jangan lupa letak tajuk.

Basikal Tua

Kuletak seluruh hati padanya,
Lalu pengayuhnya kukayuh laju,
Namun rodanya berputar amat perlahan.


Siap! Puisi serangkap kat atas tu boleh diberikan komentar seperti berikut:

" Pengarang meletakkan segala harapan dan jiwanya pada kerjayanya dengan harapan sesuatu dapat mengubah kehidupannya menjadi lebih baik, atau setidak-tidaknya kehidupannya menjadi setaraf dengan orang lain yang turut bekerja keras sepertinya. Tetapi, pengarang merasakan yang hasil titik peluhnya tidak setimpal dengan apa yang dicurahkannya. Pengarang merasakan pelik, tidak percaya, mungkin juga kesal dan kecewa dengan hasilnya. Pengarang mungkin juga merasa ketidak-adilan dalam kehidupan masa kini yang lebih kepada kapitalisme, dimana golongan pekerja sepertinya tidak mendapat ganjaran yang setimpal dengan usahanya. "

Pengajaran:
"Lain kali kalau melihat basikal, lihatlah ia dari sudut kerjaya dan kehidupan pula. Lihatlah ia sebagai dunia yang kita tunggang dan kita kerjakan. Untuk mencapai matlamat, kita perlu bekerja keras namun kadang-kadang hasilnya mungkin tidak setimpal. Walaubagaimana pun, kita tidak patut berputus asa kerana, seperti juga dunia, ia hanyalah sekadar tunggangan kita".


Hahaha... Amacam, boleh dapat 'A' tak dalam SPM, CkLah?



[ini skim menipu namanya. Jangan harap nak hantar ke BH pulak...]


.

Friday, April 17, 2009

Di daerah para Malaikat, hati aku bertapa di situ

.

Daerah Malaikat


Desa sepi ini,
idam para hatinya Malaikat,
terlarang para hatinya Syaitan.

Pada rimbunan hijau,
himpunan para abdi suci.

Pada kolam tenang,
nafsu-nafsi terkunci.

Pada dedaun keladi,
mengirim zikir pada angin.

Pada teratai,
membilas dosa-dosa dengan embun.

Pada gunung, pada batu,
terkumpul kekuatan.

Sejuk dan terpinggir desa ini,
untuk para dewa.

Pada hati yang alpa,
desa ini subur dengan gila,
kabus menyisih pandangan,
hijabnya segenap lembah.

Pada hati yang mungkir,
desa ini subur dengan hutan,
melihat belantara penuh unggas,
dan lolongan haiwan.





.

Thursday, April 16, 2009

Warkah yang terselit

Aku terjumpa satu warkah tulisan pensil di dalam nota kuliah aku dulu. Itu tulisan aku, cuma aku tak pasti bila aku tulis. Tulisannya pun dah kabur. Warkah ini tak bersampul, tak bersetem. Warkah ini aku buat kerana aku bosan, mungkin. Ini dia:



Adakalanya, aku mudah dipengaruhi, ada masa-masanya aku berkeras. Mungkin itu sebabnya kau berbuat begitu dan aku hormati pendirianmu tentang itu, malah aku rasakan teramat bodoh dan sesal membiarkanmu pergi tanpa aku berusaha menghalangimu.

Aku tahu, kau kecewa kerana aku tidak sensitif untuk menghidu kesunyian dan kerinduanmu. Juga tentang hatimu yang mengharap aku segera kembali ke pangkuanmu. Kau seorang gadis yang tabah dalam mengharungi badai dan liku-liku alam cinta kita. Kau sabar menempuh dugaan yang datang, tanpa aku di sisimu. Kau berjuang mempertahankan musuh cinta kita sedangkan aku... aku hanya melihatmu dari jauh. Alangkah hinanya aku. Aku sepatutnya berada di barisan hadapan, berjuang agar kota cinta kita tidak musnah, agar ianya utuh selama-lamanya. Tapi kita salah. Musuh cinta kita sebenarnya berada dalam diriku sendiri dan aku tidak pernah cuba menghapuskannya.

Kini, baru aku sedar yang aku telah mensia-siakan cintamu. Aku telah menyebabkan kau menderita. Maafilah aku, sayang. Aku seorang yang amat berdosa terhadapmu. Kalaulah ditakdirkan kau gembira hanya dengan bulan dan bintang, biarlah aku menjadi hamparannya. Kalaulah aku diberikan pilihan, aku sanggup mati jika itu bisa bawa aku bertemu denganmu. Kembalilah kekasihku, aku amat merinduimu. Pulanglah sayangku, sesungguhnya aku amat menyintaimu, selama-lamanya...


Kugumpal segunung harapan,
Di hadapanmu kekasih hati,
Biar kau bisa lihat saban detik,
Walau secebis tak kutinggalkan,
Lantas kuikat dengan kasih ini,
Agar tak bisa dibuka oleh sesiapa.

Kusediakan sejambak cinta,
Lalu kuhiasi dengan kemesraan,
Semoga kau terima ia,
Tanpa ada paksa,
Tanpa ada prasangka,
Tanpa ada curiga.





Aku baca berkali-kali tapi aku masih gagal mentafsirkan ia untuk apa dan untuk siapa.
Yang pasti, ketika itu tiada sesiapa pun di sisi, tak mungkin di hati. Jadi, kenapa aku tulis itu? Tuhan sahaja yang tahu...




.

Wednesday, April 15, 2009

Bulan mahu berbicara tapi aku tak dengar suaranya

Isya'.
Aku berjamaah di surau yang letaknya terlalu hampir dengan rumah aku yang setinggi 5 tingkat ini. Tak seramai Maghrib tapi cukup satu sof dewasa, satu sof lagi kanak-kanak, dan mungkin beberapa kaum ibu.

Kebetulan pula, ada seorang seperti mamak berdiri di sebelah aku. Dia bukan orang sini. Atau mungkin baru berpindah ke sini beberapa hari lalu. Bau badannya agak hangit, sedikit mengganggu khusyuk.

Setelah usai berjemaah, aku masih terfikir tentang bau badan dia. Aku juga perasan, ketika duduk tahiyat akhir, dia duduk seperti tahiyat awal yakni punggung dia masih diletakkan di atas kaki kirinya. Biasanya orang akan berbuat begitu jika jemaah terlalu rapat dan duduk sebegitu akan memberikan sedikit keselesaan kepada jemaah di sebelah. Pada mulanya, aku kurang senang dengan baunya tapi aku teringat kisah-kisah sufi. Kemudian aku teringat sejarah penyebaran agama Islam di sini (ada sesetengah pendapat mengatakan Tuan Syeikh Pulau Besar di Melaka yang datang dari Parsi juga memainkan peranan penyebaran). Apa bicaraMu kali ini ya Tuhan? Aku kurang faham.

Aku keluar dari surau kecil itu. Segugus angin malam yang segar menghembus muka. Aku seperti digugah dari mimpi. Aku terus pandang ke langit. Ada segaris awan Sirus, tinggi di atas sana. Ada beberapa bintang di atas sana. Dulunya jadi panduan navigasi kapal. Aku terlihat sebuah kapal terbang meluncur laju di langit. Apa bicaraMu kali ini ya Tuhan? Aku kurang faham.


Aku bukak TV1, sekarang ini, aku lihat pak Jib merasmikan Proton Exora dengan semua dif-dif kehormat dan duta-duta luar negara (katanya). Dengan bacaaan doa. Segala-galanya kelihatan sangat formal. Pada aku, selayaknya upacara seperti ini adalah untuk pertauliahan (commissioning) kapal. Kemudian aku terfikir, kalau setakat sebuah van, takkan sampai begini sanjungan negara?

Dan aku terfikir lagi, adakah semasa negara membeli kapal selam Scorpene dulu ada upacara seperti ini. Apa bicaramu kali ini ya pak-pak menteri? Aku kurang faham...



.

Tuesday, April 14, 2009

Ukiran Jiwa

Entah kenapa, jiwa aku tak tenteram sehari dua ni. Mungkin mimpi hari tu masih kuasai diri ini. Aku lebih terasa nak berbicara tentang jiwa. Sedang aku buat sesuatu kepada Garuda di alam yang lagi satu itu sambil mendengar lagu-lagu lama, aku terserempak lagu ini.

Liriknya membuat aku mengimbau kembali kira-kira 15 tahun lalu, tika lagu ini tengah ngentup. Tika itu aku banyak berbicara tentang jiwa, banyak melihat jauh ke dalam diri sendiri. Bukan pasal cinta asmara yang itu-itu, bukan. Ia yang lain.

Tak semua lirik itu berkenaan jiwa aku ketika itu, setengah-setengahnya sahaja, tapi aku tak akan beritahu yang mana satu. Ini liriknya:

UKIRAN JIWA

Kedamaian yang kucari masih belum terbukti, jauh lagi perjalanan ini,
Jiwa tak pernah tenteram kasih lama tenggelam di lubuk hati yang paling dalam,
Berlumutlah ukiran impian,
Entah berapa lama harus ku nanti sinar kasih sayang menyinari kembali

Dengan nada lagu dan irama kuluahkan jua rasa kecewa,
Semoga kau dapat mendengarnya, semoga terbuka pintu cintamu
Yang pasti hujan tak berterusan, matahari kan tetap terus bersinar

Kini terbukti apa yang dinanti,
Dengan rela kulepas kau pergi,
Telah sedekad kenangan terpahat di ruang tak bertempat.

Dengan nada lagu dan irama kuluahkan jua rasa kecewa,
Pada cinta yang dahulu kita ukirkan bersama di ruang asmara,
Di bumi yang nyata, di ruang asmara,
Di bumi yang nyata, di dunia kita.

Lagu: M.Nasir
Lirik: S. Amin Shahab


Isk...isk...isk... aku tak mampu menahannya.... preeetttt!


.

Mao marah pun susah ooo...

Pagi tadi, aku ingat aku sorang je la yang terhimpit dek besi-besi waja yang gemerincing bingit dan berbau hangit. Asap-asap putih dan hitam mendesak-desak masuk ke lubang hidung, amat menyesakkan. Habis bau wangi BOSS disentap aromanya oleh asap diesel bas-bas kilang. Aku rasa, menghisap rokok jauh lebih selamat daripada menyedut asap-asap semua ni.


Apakan daya, kita kena banyak bersabar, kita pergi mencari rezeki. Aku tepuk-tepuk kuda api aku yang tersengguk-sengguk dan terbatuk-batuk. Aku pun. Lumrah orang seperti kita, hidupnya terhimpit dengan kemajuan. Hanyut dan rebah. Kita pengikut, kita duduk di belakang.

Bukan. Kita duduk di bawah. Hierarki paling bawah setiap pagi. Minah kilang yang dari Indon dan Nepal lebih bernasib baik kerana pergi dan pulangnya dijemput dan dihantar, dalam bas berhawa dingin, yang panas asapnya disemburkan kepada aku dan kuda api aku. Aku pasrah.


Sambil menunggu mata-mata jin bertukar warna, aku melihat kiri dan kanan aku. Aku terhimpit lagi. Tapi, dalam aku membuai perasaan, aku terlihat seekor kuda lagi di sebelah kiri aku. Kuda padi..!!!

Ya. Kuda Padi walau tak tinggi, walau tak sepantas mana, ianya amat mesra alam. Dan penunggangnya perlu bersenam bersama-sama kudanya. Lebih sihat. Aku hargai pemillik Kuda Padi itu yang berserban putih. Allo Bai!








.

Sunday, April 12, 2009

Aku dah bunuh orang

Aku bermimpi semalam. Mimpi yang menyusahkan hati.

Image: bdnewslive.com


Aku, entah macam mana, ikut seorang lelaki dan seorang perempuan masuk ke dalam kereta separa mewah. Dia orang bawk aku ke sebuah rumah banglo yang kosong, kelihatan seperti penghuninya tiada di rumah.

Kami bertiga masuk ke dalam rumah itu setelah mengumpil pintunya, pintu dapur. Baru aku faham, dia orang nak curi barang-garang dalam rumah tu. Aku mula rasa tak sedap hati. Aku kata kat dia orang, ini kerja gila, kerja salah dan aku tak nak masuk campur. Dia orang ugut, aku dah terlibat bila aku dah setuju masuk kereta ikut dia orang, tak ada jalan keluar, kena teruskan. Eh, bila masa pulak aku setuju ikut dia orang ni?



Aku tengok dia orang selongkar ruang tamu, bilik tidur. Tugas aku cuma perhatikan kalau-kalau tuan rumah balik. Dalam 10 minit kemudian, aku terdengar bunyi enjin kereta. Sah! Tuan rumah dah balik. Bukan, anak tuan rumah yang balik. Dua lelaki remaja keluar dari kereta dan membuka kunci grill pintu.

Aku beri isyarat yang tuan rumah dah balik. Dia orang berdua turun ke bawah dan sembunyi di balik pintu. Kemudian, aku nampak kedua-duanya mengeluarkan sepucuk pistol. Aku dah galabah.

Bila dua remaja itu masuk, terus kena acu pistol. Pencuri yang lelaki itu campakkan pistolnya kepada aku, dia suruh aku acu pada salah seorang remaja tu, manakala yang perempuan mengacukan pistol pada seorang lagi remaja. Entah macam mana, anak tuan rumah tu cuba buat hero. Pencuri perempuan tu terus tembak, tepat kat kepala. Yang sorang lagi remaja tu tengok tepat pada aku. Perempuan tu desak aku tembak remaja itu sebab dia dah saksi.

Aku teragak-agak, perlu ke aku bunuh budak ni? Oleh kerana desakkan bertalu-talu, aku terus tarik picu dan 'BAM!!' remaja itu pun turut tergolek macam abangnya. Darah mengalir.



Kemudian, baru muncul perasaan takut, kalut. Para pencuri itu terus memaksa aku tarik salah satu mayat, ikut mereka, untuk dihumban ke dalam lubang pembentungan. Aku bagi isyarat supaya mereka tarik dulu dan aku ikut dari belakang. Perasaan aku tak keruan.

Baru terlintas pelbagai soalan, siapa tuan rumah tu? remaja tu anaknya? Siapa namanya? Masih belajar atau dah bekerja? Apa perasaan orang tuanya bila tahu anaknya kena bunuh? Dan aku sendiri tak pasti macam mana aku boleh terlibat sama. Dalam masa aku tertanya-tanya itulah dua buah kereta polis meluru masuk ke halaman rumah!

Serta-merta, baru aku teringat yang aku dah bunuh orang. Masa berjalan perlahan dan aku sempat bayangkan mahkamah dan tali gantung, sebelum aku perasan yang pistol masih berada dalam genggaman aku. Dua orang polis merempuh masuk dan terus mengacukan pistol ke arah aku.

Aku cuba lemparkan pistol aku jauh-jauh tapi sebelum sempat pistol yang aku lempar tu jatuh ke lantai, sebutir peluru telah keluar dari muncung pistol polis tu dan bergerak perlahan-lahan menuju ke dada aku. Segala-galanya amat perlahan sehinggakan aku sempat menoleh dan melihat peluru itu datang dan singgah ke dada aku. Aku terasa seperti kena tumbuk dan aku terdorong ke belakang, hilang imbangan.

Aku terjatuh, tapi semasa aku jatuh ke lantai, aku terbayangkan anak isteri aku. Aku terbayangkan saudara-saudara aku. Aku terbayangkan berita di dada akhbar esok hari.

Bila kepala aku cecah ke lantai, aku dapat rasakan dada aku berat. Sukar nak bernafas. Seperti ada seekor gajah menghempap dada. Aku cuba tarik nafas tapi tak dapat. Dan setiap kali aku cuba, terasa perit dan pedih menjalar hingga ke pangkal leher. Kemudian ke bahu, kemudian ke tangan. Muka aku terasa panas, disimbah darah aku sendiri.

Nafas aku masih tersekat. Kepala aku pening. Kaki aku longlai, lemah. Tangan aku pun sama, tak bermaya. Aku tak dengar apa-apa, terasa dunia ini amat sunyi. Teramat sunyi. Sebelum aku tutup mata aku, aku teringatkan Azilah dan Sirul Azhar, ya, aku tak tipu. Aku teringatkan mereka.


Aku terjaga dari tidur dan aku masih teringatkan mereka berdua. Jam pada handphone menunjukan pukul 5.38am. Dada aku berombak-ombak menarik nafas. Aku rasa, aku telah menahan nafas beberapa lama. Aku mengah sekejap. Aku bangun untuk minum segelas air di dapur.

Aku membunuh orang dan aku pula kena bunuh. Aku hargai saat-saat aku rebah itu, bukan senang nak rasa macam mana kena tembak kat dada.




.

Saturday, April 11, 2009

Jejak yang hilang...

Lupa nak introduce gambar kat atas tu...




Jejak itu jejak aku.
Jejak yang aku tinggalkan pada pasir pantai.
Pantai Puteri yang aku kira aku bisa berjumpa si puteri.
Puteri Gunung Ledang.
Aku tinggalkan jejak kalau-kalau si puteri mencari aku.

Itu harapan aku.
Harapan atas pasir yang resminya memang tak akan kekal.
Aku faham, tapi tak sangka pula hilangnya ia bukan dek angin tengkujuh.
Atau hilang dikais hujan monsun.

Ia hilang dek lidah ombak Selat Melaka.
Ombak yang sama beri aku ria.
Ombak yang sama juga beri aku duka.
Jejak aku hilang.
Dan aku sempat rakam detik-detik itu.
Lalu aku sidai ia di sini.
Kalau-kalau si puteri berkunjung kemari.

Aku tunggu ....






.

Thursday, April 9, 2009

Herba terlarang buat lelaki

.


Aku dan teman aku ke Tg. Malim tengah hari tadi. Ada temujanji dengan orang di sana.

Setelah parking kereta, dalam perjalanan ke bangunan pejabatnya, aku dan teman aku tadi berjalan sambil tertunduk-tunduk tengok rumput. Bukan tengok rumput sebenarnya, tapi tengok di celah-celah rumput. Kami cari satu spesis tumbuhan herba yang tumbuh di celah-celah rumput. Aku pesan kepada teman aku, jangan tunduk sangat nanti orang nampak, kena kontrol macho. Orang tak macho je yang perlukan tumbuhan herba itu. Kami pun mencari dari penjuru mata. Kontrol!

Sesampai ke pintu masuk, guard di situ sambut kami dengan senyuman. Mungkin menyindir. Mungkin dia perasankan kami yang berjalan macam orang patah leher.

"Cari Jarum Mas ke yeop? Kat situ tak ada, kat dalam sana ade le"

Kami berbalas senyum. Kami masuk tanpa ada masalah. Dalam perjalanan ke pintu pejabatnya yang terletak beberapa puluh meter dari pondok pengawal tu, kami berjalan sambil tertunduk-tunduk lagi. Kali ini hilang macho, pedulikan...

"Betul la kata guard tu. Aku jumpa yang bunganya warna merah" kata teman aku.

Aku belek betul-betul, aku jumpa yang berbunga kuning. Aku cabut dan tunjuk kepadanya. Dia simpan. Sehingga ke pejabat orang yang kami nak jumpa tu, dia dapat kumpulkan kira-kira segenggam.

Aku tanya dia, betul ke dia nak minum. Dia angguk. Aku tanya, untuk lelaki ke perempuan? Dia kata dua-dua boleh. Dia pernah minum, rasanya kelat. Ambil 3 batang dan rendamkan dalam secawan air panas.



Semasa melintasi pondok pengawal dalam perjalan pulang, pengawal tu tanya kami tentang Jarum Mas tu. Teman aku tunjukkan segenggam Jarum Mas. Pengawal tu ketawa. Suruh bini minum sikit-sikit, katanya.

Aku terhenti. Aku tanya balik kepada pengawal tu, lelaki tak boleh minum ke?

"...tu untuk mengecutkan 'benda' perempuan. Kalau encik minum, takut mengecut pulak karang, saya tak jamin..." dia ketawa berdekah-dekah!


Aku toleh kepada teman aku tadi. Eh, lelaki tak boleh minum, kata aku. Kemudian aku terdiam sejenak. Aku teringatkan kata kawan aku tadi. Aku pandang muka dia sambil berkerut dahi, lepas tu aku turunkan pandangan aku ke lokasi di bawah pinggangnya.

Dia tunjuk tanda lucah kat aku...... hahahaha




.

Wednesday, April 8, 2009

Sketsa: Bahasa bahasi yang sinis

.

Semua terkedu. Tak keluar sepatah bicara. Tok Ketua tergaru-garu kepala. Mat Tempe mengira-ngira jari tangannya...8...9...10. Tak cukup jari tangannya, dia tunduk, dia kira jari kakinya....12....15...


Sekejap tadi, pemilihan pucuk pimpinan kampung C.Balai yang baru, baru selesai. Sebelum ini, telah sepakat satu kampung, jawatan Ketua Kampung dikekalkan secara 'pakat-pakat' demi mengekalkan kesinabungan lestari Tok Ketua. Itu penting.

Tok Ketua dapat 39 undi,
Man RELA dapat 41 undi!

Tok Ketua bingung. Mat Tempe laaaaagii bingung. Tak cukup jari kaki, Mat Tempe pinjam tangan Minah Jeran....24....26....

Penduduk kampung cuma 40 orang. Macam mana boleh jadi begini? Tok Ketua jeling Man RELA. Man RELA jadi serba tak kena. Cepat-cepat dia capai mikrofon.

"Saya tidak AKAN minta pucuk pimpinan yang sedia ada untuk meletakkan jawatan, walaupun secara undiannya, Tok Ketua ternyata telah KALAH TERUK".



Tok Ketua merenung tajam kepada Man RELA. Man RELA menjeling takut, gentar. Lalu dia suakan mikrofon ke mulutnya semula.

"Dan saya tidak AKAN minta untuk ditabalkan menjadi Tok Ketua yang BARU, walaupun saya telah MENANG BESAR"


Penduduk kampung masih tercongak-congak berapa orang penduduk kampung sebenarnya. Man Tempe dah meniarap, dia pinjam jari kaki Minah Jeran dan Kak Bedah..... 32...35...39....40...err...err...err



"Tok, ada lagi tak bukak ni...nak kira sekali tak?"
Leman menjinjit tiga karung lagi undi pos yang baru dia keluarkan dari bonet keretanya.

Tok Ketua renung muka Leman tak berkelip-kelip, lepas tu dia toleh kepada Man RELA. Man RELA tersengih-sengih......




.

Kesejahteraan dan Kesihatan

.


Sekarang ni, tak perlu pergi ke farmasi kalau nak 'ubat kuat'. Tak payah nak pergi jumpa bomoh, tak payah pergi masuk hutan cari tulang harimau atau ke sungai cari 'cula' buaya. Buang masa je.

Dan ia datang dalam pelbagai bentuk dan rasa. Aku rasa, kalau air suam diletakkan label 'Baik Untuk Kesejahteraan BATIN', boleh jual harga RM1.00 segelas kut. Itu memang pelaris. Tag line 'Untuk Kesejahteraan BATIN' adalah sebagus 'Just Do It' atau 'Gunakan Tanpa Was-Was'.



Kat kotak rokok sekarang ni dah macam-macam gambar diaorang letak. Tapi, aku rasa promo-promo macam ni tak boleh jalan! Kurang berkesan. Tak masyuk. Tak ada 'feel'.

Aku syorkan, letak motto " Boleh Mengganggu Kesihatan Batin" kat kotak rokok tu. Aku rasa, ia mungkin lebih membantu mengurangkan jumlah perokok.





.

Monday, April 6, 2009

Every stroke counts....

.

Aku ambil kesempatan hari ponteng ini untuk mengecat pintu bilik air.


Aku perasan yang bahagian bawah pintu papan lapis tu dah nak berkulat dek lembapan yang tinggi di bilik air. Bukan semua, tapi di bahagian tepi dan bawah. Rumah ni baru berusia setahun, takkan dah berkulat.

Aku pun pergi beli berus cat kat kedai Ah Chong (nama sebenar aku tak tahu). Aku cakap aku mau murah punya, sekali pakai. Dia pun hulur yang murah punya. Aku belek-belek bulu berus tu. Warna putih. Aku minta tukar. Satu lagi pun murah punya. Made in China. Belum bukak sarung aku dah goyang tangan, tak mau. Aku minta yang halal punya. Eh, rupanya ada. Harganya pun sekali ganda. Tak pe, janji halal.



Aku pilih beberapa tin cat dari dalam stor. Tak banyak pilihan. Aku sambar yang warna sedikit pinky, biar sama dengan warna jubin. Aku alas beberapa keping suratkhabar. Paku payung merengek nak buat sama. Aku bagi berus tu. Baru 3 strokes, dia dah mengalah sebab tak tahan bau 'thinner'. Tak pe, aku buat sesorang.

Aku pun mulakan stroke aku. Dari bawah ke atas, dari atas ke bawah. Perlahan-lahan. Sambil hidung pengit melayan bau 'thinner' yang memenuhi ruang bilik air. Makin lama makin gemalai 'stroke' aku tu. Otak mula fikir yang bukan-bukan:

*
"Amacam' stroke' kamu?"
"Adalah dua tiga kali, badan aku dah mati sebelah ni. Kamu?"

*
"Dahsyat Dato'. Satu 'stroke' terus ke lubang. Hole in one!" kata si pengampu.

*
"Begini caranya, kamu 'stroke' dia perlahan-lahan dari pangkal ke hujung.... '" tunjuk bomoh lintah sambil memegang anu si dia.

*
"Apa la you, tak macho! Baru 10 'stroke' dah tumpas." kata ayang kepada anje...

Err... kat mana aku tadi? O ye... pasal hidu bau 'thinner'.





Aku rancang cuma nak cat bahagian dalam. Tapi, cat kat tepi pintu dah masuk ke sempadan luar daun pintu. Mana tidak, kalau ambik ujian alkohol pun boleh gagal ni. Calitan aku asyik tergelincir. 'Stroke' aku pun dah tak kemas. Nasib baik boleh bertahan. Ya, walau pun 'stroke' aku tak kemas tapi aku bukan jenis jantan yang mudah tumpas!

Aku pun cat sekali bahagian luar daun pintu. Nasib baik tak kena dinding. Kalau tak, dinding pun aku cat sekali dengan warna pink. Selesai! Dan aku tinggalkan bilik air dengan perasaan puas hati. Lega. Happy. Fikiran bebas. Sebebas-bebasnya. High!

Agak-agaknya, begini lah kalau hidu gam!





.

Pada pagi Isnin

.


Tak sangka. Sungguh!



Sungguh cantik rupanya. Sungguh tenang melihat cahaya matahari pagi-pagi begini dari dalam bilik tidur, pada pagi Isnin.

Baru aku perasan, cahayanya berjaya masuk melalui kaca jendela dan menyimbahi lantai bilik tidur aku, pada pagi Isnin.

Baru aku tahu bahawa setiap hari bukan hanya bermula di pejabat, tetapi juga bermula di rumah, di bilik tidur aku, pada pagi Isnin.

Melihat burung-burung terbang dari jendela, menuju ke pokok Sena, berkicau riang pagi-pagi begini, pada pagi Isnin.

Eh! Paku Payung bermain dengan Jagad, pada pagi Isnin. Tak sekolah le tu...


Dan aku terus menaip di blog sini, hanya nak bagi tahu kepada semua yang betapa indahnya cahaya mentari pagi, kalau di lihat dari dalam rumah bersama-sama kicau burung di pokok Sena, pada pagi ISNIN...


Hanya pada pagi ISNIN.






.

Saturday, April 4, 2009

Mari kita main masak-masak...

Jangan ingat senang nak masak lauk tu. Resepinya memang mudah tapi idea pembikinan resepi tu menjalani 'brainstorming' yang lama dan rumit! Kata orang, bukan puncak gunung itu yang penting, tapi perjalanan ke puncaknya, itu yang lebih penting.

Semuanya bermula apabila wujud beberapa masalah:
1. Asyik ikan goreng kosong je! kata Paku Payung.
2. Sabarla yang, pinggan mangkuk tak basuh lagi. kata Mama.

3. Kicap mana? Aku nak kicap buatan Zamani Hj Tamin. kata aku.

Wujud konflik sejagad. Aku perlu selesaikan konflik meja makan ni.


Menggunakan TRIZ, aku senaraikan prinsip-prinsip yang boleh dipakai. Mula-mula, kena setkan 'ideal goal'. Objektif yang prinsipal. Aku bermain-main dengan ayat kat atas:
> Ikan goreng yang tak kosong dan berkuah kicap dan tak perlu gunakan mangkuk!

Itu yang ideal. Menghampirinya pun kira ok. Takpe, kita buat ayat lagi:
> 'Ikan goreng' SHOULD 'ada kicap Zamani Hj. Tamin' BUT SHOULD NOT ' kena basuh mangkuk'.


Hah, konflik kat atas tu dah dapat didefinisikan. Seterusnya, aku buat analisa mengenai keadaan sekarang:
> Paku Payung tak suka ikan goreng kosong. Dia suka kalau dimasak towchoo, kari atau gulai lemak. Hmm... dia suka yang berkuah.
> Mama tak suka basuh pinggan mangkuk banyak-banyak. Letih berdiri, nanti nak 'perform' lagi ahaks!...

> Kicap! tak ada kompromi lagi... mesti ada kicap dan mesti pedas!


Kemudian, barulah kena korek prinsip-prinsip TRIZ untuk selesaikan konflik. Bila dah korek dalam-dalam, maka aku senaraikan prinsip-prinsip yang ada kena-mengena:
> Nesting, Intergration, Transform, Use Mediator, Rushing Through.


Penyelesaian pertama:



Ikan tu dipotong 'fillet' tapi tak sampai buang tulang. Lepas tu goreng gareng-gareng. Semasa menunggu ikan gareng, hiris bawang besar+cili besar+cili padi+tomato kecil. Gaulkan hirisan-hirisan tadi di dalam mangkuk guna tangan, tonggang kicap Tamin setengah botol, air asam dan sedikit gula. Bila ikan dah gareng, gaulkan sekali didalam mangkuk panas-panas. Walla..siap!

Untuk masalah Mama, takpe. Sayang punya pasal, kontrak masak lauk tu dah termasuk basuh mangkuk sekali.


Penyelesaian jangkamasa panjang:

Laen kali kalau masak, biarkan lauk dan sayur di dalam kuali kat dapur. Bila nak makan, buat stail 'buffet'. Ambil pinggan, bubuh nasik dan cedok lauk + sayur. Tak payah basuh banyak pinggan-mangkuk lagi....

Jom. Berani berubah?????




.

Friday, April 3, 2009

Apake jadahnya juadah pagi-pagi buta ni?

Aku tengok dia terkais-kasi sesuatu. Kupon bulan lepas kena dihabiskan hari ni. Kalau tidak, ianya lebur. Tak boleh ditukar kepada wang tunai. Kooperasi tak bertanggungjawab.



Aku tanya dia, dia cari apa. Dia jawab yang dia tengah cari 'cornflakes'. Cari benda tu kat kooperasi ? Mana ada. Biskut banyak le.

+ Anak-anak aku suka bersarapan 'cornflakes'.
- 'Cornflakes' tu macam hampas. Ngko bagi dia HAMPAS.

+ Anak ngko sarapan apa pagi-pagi?
- Kalau dia dah lewat, Mama dia kasi '3-in-1' cereal drink.


+ Ceh! Lagi teruk. Ngko kasi anak ngko makan DEDAK...!



Aku terdiam. Nak cakap apa lagi...?





.

Thursday, April 2, 2009

Bila ayam dan itik mula berbual, apakah topik utama?

Bagaimana agaknya kalau nak beli barang tanpa bertutur dengan si penjual?

Stesen minyak berjenama luar negara tu menjadi tempat mudah aku beli barang. Cuma, sejak kebelakangan ni, kedai runcitnya tutup cepat sangat. Pukul 8pm dah tak boleh masuk. Kalau nak beli, kena order dari tingkap cermin yang berlubang kecil. Aku faham masalah dia orang. Stesen minyak tu pernah kena samun beberapa bulan yang lepas.



Kelmarin, aku nak minum air buatan orang kampung, air akar kayu yang itu. Baru nak bukak pintu rumah, Mama ikut pesan air buatan orang kampung tapi air akar kayu yang lagi satu. Wow! Nak lawan agaknya. Lawan tetap lawan.

Bila sampai kat stesen tu pintu dah tutup, aku pesan air tu ikut tingkap cermin. Bangla tu faham aku nak air dalam tin tapi asyik sebut jemana air yang lain. Naik serak suara aku melawan bingit kenderaan yang bising di jalan raya. Akhirnya, bangla tu pergi ke peti sejuk minuman. Ada macam-macam jenis. Dia tunjuk satu tingkat, aku gelengkan kepala. Dia tunjuk tingkat lain, aku gelengkan kepala lagi. Aku dah naik angin. Nak menjerit, nanti takut orang cakap aku dah kebulur air, dah nak mampos.



Aku gunakan bahasa isyarat. Untuk air tin akar kayu aku punya, aku angkat tangan kanan. Aku genggam telapak tangan. Kemudian, tangan kiri aku topangkan dibawah lengan dan aku hayunkan kedua-dua tangan berirama. Dia faham, dia tunjukkan air tin yang aku nak. Tepat. Lalu aku angguk. Selesai satu perkara.

Kemudian, aku tunjukkan air tin yang sebelahnya. Air untuk Mama. Dia tak faham. Dia ambil air tin yang sama, 2 tin. Aku gelengkan kepala. Dia konfius. Dia angkat-angkat bahu tanda tak faham. Dia letak balik kedua-dua air tin tu. Susah ni.


Aku gunakan bahasa isyarat lagi.
Aku angkat tangan kiri. Aku temukan jari telunjuk dan ibu jari.
Aku angkat tangan kanan. Aku luruskan jari telunjuk kanan.
Aku masukkan jari telunjuk di dalam gelungan jari telunjuk-ibu jari tangan kiri.
Aku sorong jari telunjuk kanan 2-3 kali. Kemudian, aku keluarkan balik jari tu.

Aku goyangkan tangan kanan dan aku tunjukkan isyarat no. 1. Aku goyangkan tangan kiri dan aku tunjukkan isyarat no. 1.

Hah! Baru dia faham. Bangla tu senyum dan dia ambil 2 tin air minuman yang betul....fuh!

Selesai masalah.




.

Wednesday, April 1, 2009

R. A. H. M. A. N

Dengar kata, Tok Bendahara baru akan naik pelamin hari Jumaat ni. Kalau betul, maka Jumaat ni adalah hari pelengkap kepada teori itu.

R - Razak
A - Abd Rahman
H - Hussein Onn
M - Mahathir
A - Abdullah ? Anwar ... ok. Abdullah akhirnya....
N - Najib

Masa Mahathir dulu, heboh orang perkatakan sama ada "A" itu untuk Anwar. Tapi, hajat tak kesampaian dan orang pun heboh siapakah gerangan manusia yang menjadi "A" tu. Masa tu Abdullah lepas kena 'cold storage'. Ye la, Tuhan je yang tahu untung nasib seseorang. Abdullah adalah "A" yang sebenarnya.

Sekarang, teori tu dah nak lengkap, Jumaat ni, kalau diperkenankan Agong.

Dah habis R.A.H.M.A.N, apa pulak lepas ni...?


T.A.S.E.K ? A.S.H.L.E.Y? K.A.K.P.A.H? A.Z.A.N.I? H.E.G.I.R.A? L.I.Y.A.N.A? A.D.D.Y? S.H.I.M.I? dan yang lain-lain???

Tak boleh, Muhiddin mungkin jadi pengganti. Sape yang mula huruf 'M'?




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com