Monday, March 31, 2014

Pucuk Betik Jantan

.


Diantara ulam-ulaman yang aku 'tiru' Emak makan ialah pucuk betik.



Hiasan seumpama itu menambah selera untuk memakannya...biar pun pahit.


Biar pun pahit, entah kenapa, ada keenakkan di hujung-hujung kepahitan itu. Mungkin juga kerana ada sambal belacan yang menjadi peneman rasa pahit itu. Jika aku harungi kepahitan itu tanpa ada peneman, aku rasa mungkin aku tak sanggup hendak telan pun.

Kata Emak, pucuk betik ini ada dua jenis. Satu betik 'jantan' (yang hanya mengeluarkan bunga putih) dan satu lagi betik 'betina' (yang berbuah). Tapi kata abang pula, pokok tak ada jantan atau betina sebab jantan dan betinanya ada pada struktur bunganya. Ia hanyalah 'berbuah atau tidak'.

Kata Emak, pucuk betik jantan lebih sesuai dibuat ulam sebab kurang pahit berbanding pucuk betik betina. Aku pernah rasa kedua-duanya dan aku rasa memang benar.

Aku makan ulam pucuk betik itu tanpa dicelurkan dahulu ke dalam air panas. Entahlah kenapa aku lebih suka yang 'fresh' begitu berbanding yang dah lecur. Mungkin kerana Emak juga ulamkan mentah-mentah begitu. Selain pucuk betik, bunga betik jantan juga boleh dicelur dan dibuat ulam atau kerabu.

Emak mempengaruhi corak pemakanan anak-anak....

... selain McD dan KFC dan PizzaHut.





.

Sunday, March 30, 2014

Ghecko...

.






Cicak adalah reptilia...berdarah sejuk. Untuk kekal aktif, cicak perlu panaskan badan. Pada waktu pagi yang sejuk di kampung, cicak berada dalam keadaan 'mamai' dan lebih senang didekati. Itulah yg berlaku kepada cicak dalam foto itu. Aku tak berikan dadah atau air tembakau.


Apa cerita cicak Tokek sekarang agaknya. Dulu gah dengan harganya.





.

Saturday, March 29, 2014

Mee basah...

.


Aku mula-mula mengenali Mee Basah ialah di Melaka. Sejak dari itu, aku dapati Mee Basah amat sinonim dengan Melaka.






Ini Mee Basah di Jasin, aku makan semalam. Di sebuah warung kecil di celah-celah bangunan berhampiran 'roundabout' bermotifkan tengkolok.


Oh ya, aku minum kopi O buatan Melaka...



.

Friday, March 28, 2014

Puing-puing di laut selatan...

.


Malam tadi
aku pulang ke kampung untuk bercuti
sesampai pun sudah mau mampir dinihari
disapa sang pungguk, bersuara memecah sunyi

Aku dengar, aku hayati
mana tau dari celah suaranya aku mengerti
faham akan ceritanya...
tentang puing-puing di laut selatan
yang kelihatan tapi tak nampak
yang dikata ada tapi tak berjumpa
yang sungguh yakin tapi tak pasti di mana
yang sekejap timbul kemudian tenggelam.

Mungkin aku patut berikan saranan
kepada pungguk itu aku berpesan
pintalah tolong kepada si hud-hud
agar terbang melintas awan
mana tau tajam mata dari cakarnya
akan ketemui jua sisa-sisa itu bermain busa
pintalah si hud-hud khabarkan berita
kepada insan-insan pewaham
yang mungkin masih keliru akan kuasaNya.





.

Wednesday, March 26, 2014

Trauma..

.


Aku tak pasti perbezaan diantara trauma dan fobia. Apa yang aku tahu ialah kedua-duanya berkait dengan perasaan takut. Tapi kadang-kadang perkataan trauma digunakan juga untuk sesuatu yang bukan rasa takut tetapi pengalaman yang dialami seperti kemalangan.


Ketakutan sehingga diklasifikasikan sebagai pengalaman trauma tidak sama dengan kebencian terhadap sesuatu yang kita tidak suka. Ini kerana takut dan benci tidak sama walaupun rasa benci terhadap sesuatu itu mungkin reaksi / hasil daripada rasa takut. Benci untuk mengalami pengalaman rasa takut itu? Mungkin juga.


Sebagai contoh, kita benci atau tak suka kepada orang yang menganiaya bayi kecil. Tapi rasa benci itu tak semestinya kita pernah didera semasa kecil sehingga mengalami trauma. Perasaan benci terhadap penderaan bayi itu mungkin wujud dari rasa perikemanusian atau akal yang waras atau kesedaran bahawa penderaan adalah sesuatu yang tidak baik.

Aku?


Aku tidak suka mendengar suara jeritan nyaring perempuan. Sama ada jeritan amuk, takut atau mengilai kerana suka sangat-sangat. Aku bukan sekadar tidak suka tetapi aku takut. Ya, apabila aku terdengar suara jeritan perempuan, aku rasa seperti meremang bulu roma. Bukan jengkel tetapi seram. Ini termasuklah suara hilaian puntianak.


Boleh juga dikatakan aku trauma (traumakah?) jika terdengar suara perempuan menjerit. Kadang-kadang seperti mahu menangis walau pun bukan sedih. Padahal perkara itu tak berlaku jika yang menjerit itu lelaki. Oleh sebab itu aku benci mendengar suara perempuan yang menjerit atau terjerit-jerit.

Jikalau aku trauma akibat pengalaman silam, aku tak terfikir pula pengalaman apa yang aku pernah alami dulu-dulu. Mungkin kakak-kakak aku pernah menjerit-jerit ketika bermain batu seremban atau getah gelang semasa aku masih bayi comel aga agoo goo goo... mungkin juga kerana puntianak pernah menjerit dekat telinga aku semasa aku di dalam buai dulu-dulu... kalau pengalaman dengan puntianak, itu memang benar-benar trauma...!

Anehnya, aku tak trauma jika dengar jeritan dracula walau pun dia juga penghisap darah.





.

Rahsia demi rahsia...

.


Rahsia dalam rahsia
terpendam dan diam-diam
kita boleh meneka apa sebenarnya
tapi mungkin belum cukup bersungguh
maka dibiarkan sahaja persoalan tertangguh-tangguh
hanyut dibawa masa
tapi mungkin kita lupa
bahawa setiap inci fikiran kita, selama itu
kenangan menambah, memekat
sayangnya, ini bukan puisi
dan ini tidak dapat meleraikan misteri.




.

Tuesday, March 25, 2014

Hari ini dalam sejarah kita...








.

Monday, March 24, 2014

Seronok menyiksa diri...tapi aku bukan gila

.

Bagaimanakah caranya lagi?
Sedih sungguh hati tapi aku biarkan ia meruntun lagi
Biarkan ia menjeruk pedih hati ini semahu-mahunya
Mencarik, merobek...bak sembilu menghiris dan berdarah
Rasa bisa pedih itu menarik turun air mata
Namun aku seka demi mereka
Sebaliknya, dalam hati ini aku biarkan saja,
tangan-tangan itu merentap-rentap urat nadi
Biarkan luluh seluluh-luluhnya
Biarkan hancur berdarah, sakitnya seperti siksa mati.
Entah kenapa, dalam siksa itu aku jumpa satu kepuasan.
Lebih aku sakit, lebih puas aku rasa.
Aku gila..?
Bukan!
Orang gila tidak merasai sakit siksa.
Dia, dia dan dia yang gila...!
Aku bukan gila
Orang gila tak kenal sakit merana
Dia,dia dan dia itu sudah gila
Aku tak gila...
Aku tak gila...
Aku belum gila...
Aku belum lagi gila...!


Sayangnya, ini bukan puisi
Ini sekadar luahan rasa hati.

.

Kisah si paku, gerudi dan jubin yang keras...

.

Aku nak gerudi jubin keras.
Aku perlu gerudi jubin itu atas sebab-sebab tertentu,
yang munasabah.
Aku ada minta kontraktor untuk buatkan sekali,
tapi kerja gerudi itu dia tak hendak.
Katanya, dia takut jubin pecah.

Jubin boleh pecah?
Aku tanya kawan yang jauh di Sarawak.
Dia kata jubin besar itu keras permukaannya.
Katanya, mata gerudi tak mampu tembusinya.
Lalu dia beri petua, yang keras mesti dipecah.
Pecah?

Dia suruh ambil paku dan ditukulkan dahulu.
Buang permukaan keras biar menyerpih,
barulah nanti digerudi.
Aku pun buat seperti petuanya.
Lalu aku ketuk paku di tempat yang mahu digerudi,
pada permukaan jubin yang keras tadi.
Jubin keras pun menyerpih,
nyaris yang pipeh menyerpih mata.

Lalu aku teringatkan kaca mata.
Aku pakai untuk melindungi mata.
Dan aku teruskan sehingga cukup hilang,
permukaan licau yang keras seluas jari.
Kemudian aku gerudi.
Dan ia pun tembus tanpa pecah isi.

Gerudi yang besar masih perlu paku yang kecil.
Sekeras jubin pun boleh ditembusi,
terima kasih paku tadi.
Tapi paku itu telah tumpul jadinya,
aku buang ke bakul sampah akhirnya.





.

Saturday, March 22, 2014

Aku sekadar mahu hidup penuh erti...

.


Hidup ini singkat.
Tak percaya?
Cuba tanyakan semalam, apa pendapatnya tentang esok.
"esok?"

Sesukar itu mencari jawapan.
Umur kita dikirakan setakat hari ini.
Bergembiralah, senyumlah.
Tak perlu difikirkan esok lagi.

Aku penat memikir, bukan tentang diri.
Tetapi tentang mereka, mereka.
Busuk hati.
Hanya menyemakkan fikiran, menyesakkan dada.
Aku sekadar mahu mengutip rezeki di sini.
Aku sekadar mahu hidup penuh erti.

Dan ini bukan puisi.
Tetapi sekadar ayat mudah, ringkas.
Kerana aku sudah malas.
Kerana aku sudah puas.
Kerana usia berlalu pantas.





.




Wednesday, March 19, 2014

Rahmat penentu syurga...

.

 
Hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu:
 

Dari Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. Bahwa beliau bersabda: Tidak seorang pun di antara kalian yang akan diselamatkan oleh amal perbuatannya. Seorang lelaki bertanya: Engkau pun tidak, wahai Rasulullah? Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam menjawab: Aku juga tidak, hanya saja Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku akan tetapi tetaplah kalian berusaha berbuat dan berkata yang benar. (Shahih Muslim - no. 2412-2416)

 

 Kesimpulan yang boleh dibuat ialah Allah memasukkan manusia ke Syurga dengan rahmatNya dan bukan semata-mata disebabkan amal kebajikkan yang dilakukan oleh manusia itu.

Jadi, fikirkan semula segala amal ibadah, sedekah jariah malah amalan-amalan wajib dan sunat itu apakah objektif sebenar yang kamu buat? Adakah diatas motivasi mahukan limpahan pahala yang banyak dan  tinggi untuk dibawa ke pintu syurga?

Pahala seumur amalan masih tidak dapat menebus setitis air hujan atau sehela nafas atau kesempatan dan kasih sayangNya kepada kita sebagaimana kita tidak dapat menebus air susu yang kita minum dari nenen ibu...

 
Jadi, apakah tujuannya dinyatakan sesuatu amalan baik itu mempunyai ketinggian beberapa darjat atau pahala yang sekian-sekian banyaknya?

Kata seorang teman, ia hanya menunjukkan magnitud kesukaan Allah terhadap amalan-amalan itu. Ia hanya menyatakan perbandingan bahawa Allah lebih suka amalan-amalan yang itu. Jadi fokuskan dihati bahawa jika darjat atau pahala itu dikatakan amat besar, kita ambil faham bahawa amalan yang itu sangat-sangat disukai Allah, maka kita lakukanya demi Allah dan semoga dilakukan dengan ikhlas. Ini kerana ukuran keikhlasan itu menentukan penerimaan sesuatu amalan kita, bukan banyak atau sikit sedekah atau puasa dan lain-lain.

Kita lakukannya untuk apa? Untuk menjadi hamba kesukaan Allah.... itu sahaja.

Jangan difikirkan sangat pasal pahala-pahala itu.... itu hanyalah motivasi bagi orang-orang yang masih memerlukan 'umpan' untuk berbuat baik, ia seperti umpan gula-gula kepada kanak-kanak kecil. Bagi kita yang dah dewasa seharusnya kita tidak perlukan gula-gula lagi...

 
Wallahu'alam.





.

Tuesday, March 18, 2014

Alam ini akan hancur...

.


Sebelum ini aku ada lekatkan satu hadis tentang bagaimana alam ini dilipat-musnahkan di hari kiamat. Ada beberapa hadis lagi, namun aku pilih hadis yang itu kerana ada sesuatu yang secara literalnya menarik.

Hadis riwayat Abdullah bin Umar, ia berkata:
Rasulullah bersabda: Allah Taala melipat langit-langit pada hari kiamat, kemudian menggenggam langit-langit itu dengan tangan kanan-Nya, lalu berfirman: Akulah Raja! Manakah orang-orang penguasa yang suka menindas? Manakah orang-orang yang sombong? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya, lalu berfirman: Akulah Raja! Manakah orang-orang penguasa yang suka menindas? Manakah orang-orang yang sombong? (Shahih Muslim No.4995)


Aku tidak mahu menafsirkan hadis tersebut kerana aku bukan ahli dalam bidang ilmu tafsir. Kerana untuk memberi tafsir itu memerlukan ilmu-ilmu yang lain pula, bergantung kepada konteksnya. Jadi aku hanya ambil keseluruhan cerita secara lilteral, iaitu begini: Pada hari kiamat nanti, Allah akan hancurkan segala apa yang di langit (diterjemahkan sebagai 'langit-langit') dan segala yang di bumi. Kemudian Allah akan bertanya kepada orang-orang yang berkuasa dan sombong tentang hari itu. Semestinya Allah bertanya kepada diriNya sendiri kerana semua yang dalam kategori makhluk telah musnah-hancur.

Semasa kecil dulu, ustaz pernah bercerita bagaimana pada hari kiamat nanti semua akan hancur, sehinggakan para malaikat juga akan mati...dan akhirnya Izrael sendiri akan mencabut nyawanya. Kemudian, apabila semuanya telah musnah, Allah akan hamparkan 'bumi' dan hidupkan semula kita semua untuk dihisab.

Baiklah... ini pula yang bermain dalam fikiran aku:

  • Bahawa semua yang dikategorikan sebagai makhluk akan musnah. Ini termasuk alam ini atau 'universe' atau semua planet-planet akan hancur. Bumi akan hancur hingga tiada lagi yang selamat.
  • (Di sini aku minta jangan difikirkan nasib perkara-perkara yang menjadi perdebatan ulamak seperti nasib Arasy, Luhil-mahfuz dan sebagainya sama ada mereka turut musnah atau tidak kerana status mereka dibahas sejak ulamak dulu sampai sekarang. Begitu juga dengan nasib Syurga dan Neraka, sama ada ia turut hancur ketika kiamat kerana Nabi pernah dibawa melihat syurga dan neraka, bermakna syurga dan neraka telah ada dan adakah nanti mereka dimusnahkan dan dibina semula. Sama seperti nasib ruh mereka yang meninggal dunia sama ada ruh-ruh itu akan mengalami kemusnahan seperti mana mereka yang masih hidup yang mengalami peristiwa kiamat itu).
  • (Juga bagaimanakah kemusnahan akibat kiamat itu kepada alam ini, adakah alam ini akan dihancurkan sehancur-hancurnya sehinggakan kewujudannya lenyap seperti mana keadaan asalnya yakni 'tiada'? Kerana segala makhluk ada permulaan termasuklah alam ini. Jadi kehancuran makhluk ini sehingga tahap mana? Adakah setakat musnah hancur jadi debu atau sehingga hilang kewujudannya kerana pada asalnya hanya ada Wujud Allah yang Maha Esa tanpa ada makhluk termasuklah alam ini. Jangan pula terlintas dihati yang kalau alam ini musnah dan lenyap dari segi fizikalnya, di manakah pula Allah kerana Wujud Allah itu tidak perlukan ruang tempat dan masa.)
  • Semua yang aku (....) adalah bukan dalam ilmu aku. Aku boleh bertanya tetapi aku tak punyai jawapannya.
  • Tetapi jika manusia mempunyai jawapannya akan membuatkan kita boleh memahami dari sudut ilmu fizik bagaimanakan alam ini dibentuk dan termusnah. Selagi tiada jawapan yang pasti, manusia hanya akan berteori sahaja.
  • Contohnya begini:
    • Jikalau kemusnahan kiamat itu seperti sebuah bandar besar dengan bangunan-bangunan tinggi diledakkan dengan bom yang kuat sehingga hancur dan rata, kemudian dibina semula bangunan-bangunan dan jalan raya dari puing-puing yang ada.
    • Atau kemusnahan kiamat itu kehancuran secara total di mana semua alam ini rosak dan hancur ke tahap partikel atomik dan kembali ke keadaan primordial seperti sup tenaga yang padat tetapi tidak berbentuk, sekitar sebelum Big Bang (jika benar wujud Big Bang).
    • Atau kemusnahan total seperti mana Allah belum wujudkan alam ini atau sebelum Allah memerintahkan "Kun" lalu "Fayakun".

Apakah kebaikan yang kita boleh dapat dengan pengetahuan seperti itu?
Bergantunglah kepada individu itu, mungkin tiada untung apa-apa pun tetapi bagi aku ia dapat membantu aku memahami Allah. Bukankah Allah perintahkan kita memikirkan kejadian-kejadian ini? Alam dan kiamat adalah diantara kejadian-kejadian milik Allah...





.

Monday, March 17, 2014

Apabila langit-langit dan bumi digulungkan...

.



Hadis riwayat Abdullah bin Umar, ia berkata:

Rasulullah bersabda: Allah Taala melipat langit-langit pada hari kiamat, kemudian menggenggam langit-langit itu dengan tangan kanan-Nya, lalu berfirman: Akulah Raja! Manakah orang-orang penguasa yang suka menindas? Manakah orang-orang yang sombong? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya, lalu berfirman: Akulah Raja! Manakah orang-orang penguasa yang suka menindas? Manakah orang-orang yang sombong? (Shahih Muslim No.4995)

 

Aku tergerak untuk menulis tentang 'alam yang dihancurkan semasa kiamat' setelah membaca satu artikel tentang nasib sesuatu maklumat apabila memasuki sebuah Lubang Hitam, dimana mengikut para ahlul fiziq moden, ' information will be destroyed in the black hole' sedangkan mengikut prinsip keabadian maklumat, yang juga didokong oleh ahlul fiziq moden, maklumat tidak termusnah. Maklumat yang dimaksudkan di sini bukanlah seperti data dari transponder MH370 itu tetapi ia adalah ciri-ciri, sejarah malahan fizikal yang menunjukkan keberadaan / kewujudan sesuatu benda itu sendiri.

 
Contohnya, walau pun Altantuya telah di C4 kan dan hancur luluh namun maklumat tentangnya telah tersebar kepada manusia malahan letupan itu turut dikongsi oleh pokok-pokok, batu-batu malah semua benda yang ada di tempat itu. Dengan kata lain, maklumat tentang Altantuya itu telah disebarkan ke benda-benda lain dan telah menjadi rekod. Bagi seorang yang mahir dengan forensik, dia pasti akan dapat kumpulkan semula maklumat itu dan dapat membentuk semula 'Altantuya'. Begitu juga planet yang musnah di langit, walau pun jasad itu meletup dan musnah, sebenarnya tenaga yang ia pernah ada telah tersebar dalam pelbagai bentuk termasuklah dalam bentuk gelombang. Beginilah caranya para ahlul fiziq ketemukan apa yang mereka gelar peristiwa 'Big Bang' sedangkan perkara itu berlaku berbillion tahun dulu.

 
Kita lihat amal perbuatan kita pula. Walau pun bumi dan langit telah musnah ketika kiamat, maklumat serta data tentang diri kita tidak musnah. Maklumat itulah nanti akan digunakan untuk menilai perbuatan yang telah kita lakukan ketika proses timbangan di Mizan. Bagaimana maklumat itu disimpan hanya Allah yang tahu. Setiap kali bila bercerita tentang maklumat amalan untuk digunakan di akhirat nanti, aku akan menjadi sentap dan menendang dalam jiwa. Banyak kesalahan dan kesilapan yang aku sudah buat. Aku amat berharap aku tak mempunyai dosa syirik - sama ada sedar atau tidak sedar.

 
Tapi sebenarnya aku nak bercerita pasal perkara lain, bukan pasal yang ini. Tapi ini pun dah panjang. Nanti-nantilah aku aku tulis (kalau aku tak lupa), inshaAllah...






.

Sunday, March 16, 2014

... ilmu kapal terbang..

.


Seminggu ini  banyak siaran TV memaparkan berita terkini tentang MH370. Bukan sekadar berita, mereka juga menjemput pakar-pakar yang terlibat dalam industri penerbangan untuk berkongsi ilmu. Bukan sahaja pakar-pakar dari industri, malah dari ahli-ahli akademik juga.

Tentang ilmu navigasi
Tentang ilmu mengemudi pesawat
Tentang ilmu radar
Tentang ilmu kejuruteraan informasi
Tentang ilmu satelite
Tentang ilmu geografi
Tentang ilmu strategi dan taktikal


Kalau kita mampu menonton dan memahami semuanya, kita semua menjadi orang celik ilmu-ilmu berkaitan aviation dalam tempoh seminggu....syabas!

Inilah express tuition untuk satu Malaysia.






.

Mereka itu jangan dilupa...

.


Dalam pada kita berdoa dan berharap akan keselamatan dan kesabaran MH370, penumpang dan keluarga mereka, kita jangan lupakan para anggota mencari dan menyelamat dan para penyiasat dan juruanalisa.

Para anggota itu juga perlukan sokongan dan doa kita. Mereka itu penat dan keliru dengan petunjuk-petunjuk yang ada, dan mungkin juga patah harapan jika kerja keras mereka masih belum membuahkan hasil. Mereka juga perlukan kita.






.

Thursday, March 13, 2014

U.S. America with its Spy Satellites hovering over Malaysia...

.



"Alamakkkkk...!!!" jerit Esah Janda kuat-kuat.

Setapa Mas'od yang berjiran dengannya cepat-cepat kuis lengan bininya manakala dagunya diangkat-angkat kepada bininya, tanda bertanyakan hal. Bininya buat endah tak endah sahaja. Tidak sampai seminit selepas itu, Setapa Mas'od pun turun ke bawah. Dia berjalan laju-laju ke belakang dapur rumah Esah Janda, menuju ke billik mandi Esah Janda yang berdindingkan zink dan beratapkan langit biru.

 Setapa Mas'od ingatkan dia yang terawal, rupa-rupanya Tok Ketua dan Man Panjang sudah pun elok tercegat berdiri di depan pintu bilik air yang masih tertutup rapat. 'Wuih... cepatnya.' fikir Setapa Mas'od dalam hati.

 "Errrr... aku minum kopi dengan Man Panjang kat kedai di tepi jalan tu. Tiba-tiba kami terdengar si Esah  menjerit, kami datanglah!" Terang Tok Ketua tanpa diminta oleh Setapa Mas'od, setelah melihat Setapa Mas'od berkerut dahi. "Ooo..." Setapa Mas'od cuba buat-buat faham.

 "Esah... kenapa Esah? Ada ularkah? Ada lipankah?" tanya Tok Ketua sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik air Esah Janda. Jiran-jiran mula datang berkerumun di depan pintu bilik air itu. Cepat-cepat Tok Ketua depang-depangkan tangan agar mereka berikan sedikit ruang di depan pintu bilik air itu, mana tahu kalau-kalau Esah Janda buka pintu dan keluar nanti.

 
Tiba-tiba mereka terdengar Esah menangis, Esah meraung. Serta-merta mereka rapati semula ke pintu bilik air, tertolak-tolakkan Tok Ketua dan Man Panjang.

"woo..woo.. yang depan ke depan, yang belakang ke belakanglah!" jerit Man Panjang tiba-tiba. Cepat-cepat Tok Ketua jegilkan mata kepada Man Panjang. Dalam mereka berposak-posak dan berasak-asak itu, pintu bilik air itu pun terbuka perlahan-lahan. Esah Janda julurkan kepala melalui pintu yang sedikit terbuka, 'huh... ramainyaaa' fikir Esah Janda dalam hati.

 
"Apa yang tak kena, Esah? Cer bagi tau kami." Kata Tok Ketua. Esah Janda pun keluar, berdiri di hadapan pintu, di depan semua yang ada dengan hanya berkembankan batik dan rambut lembab yang disanggul-siputkan. Mata masing-masing terjegil melihat Esah yang berkemban itu. Melopong tak berkata apa-apa. Mungkin nafas pun ada yang tersekat sekejap.

 "Bukannya apa.. ni... kalung Esah. Esah tak tahu Esah letak kat mana... dah hilang!"

 
"Hah! Dah hilang?" terkejut masing-masing.

 
"Macam mana ni, Tok? Dah puas Esah cari tapi tak jumpa. Biasanya Esah sangkutkan kat paku situ semasa mandi." lapor Esah Janda.

 
"Panjang mana kalung kamu tu, Esah?" tanya Tok Ketua lagi.

"Panjang jugalah... emm... kalau dipakai, loketnya terletak betul-betul di sini." Esah pun letakkan jari telunjuknya di belahan dada. Terbeliak mata masing-masing melihat jari telunjuk Esah Janda. Tok Ketua melopong, Man Panjang pun melopong. Ada juga yang mengesat air iur yang meleleh.

 
Setelah puas meneguk air liur beberapa kali, Tok Ketua pun berkata, "Ada siapa-siapa yang terambil atau ternampak kalung si Esah ni?"

"Mungkin terjatuh ke dalam kolam semasa tunduk ceduk air?" Usul Pandak. Mail Kerbau gelengkan kepala, Lan Todak pun gelengkan kepala, Usop Kulop pun gelengkan kepala. Melihat mereka begitu, Tok Ketua tolak usul itu.

"Mungkin tercicir semasa buka pakaian?"Usul Angah Bojan pula. Mail Kerbau gelengkan kepala, Lan Todak dan Usop Kulop pun sama. Dengan itu, usul itu pun ditolak oleh Tok Ketua.

"Kalung tu mesti ada dalam bilik air ini. Takkan kalung tu boleh terbang sendiri?" Usul Tok Ketua pula.

"T..takkk..." tiba-tiba Mail Kerbau ingin bersuara. Cepat-cepat Lan Todak tolak punggung Mail Kerbau. Cepat-cepat Usop Kulop siku perut Mail Kerbau. 'Diamlah!' getus Lan Todak perlahan tetapi tegas di telinga Mail Kerbau.

"Apa yang tak?" Tegur Tok Ketua kepada Mail Kerbau.

"Ye lah... apa yang tak tu, Mail?" Tanya Esah Janda pula sambil matanya memicing kecil dan tersenyum sinis.

"Err... tak ... tak ada apa-apa." Tergagap-gagap Mail Kerbau menjawabnya. Lan Todak urut-urut dadanya. Usop Kulop lepaskan keluhan nafas lega.

 
"Habis tu, kalau begitu, macam mana kalung tu boleh hilang dari dalam bilik air Esah ni? Ini mesti ada yang curi! Kalau beginilah, elok kita laporkan kepada polis." Tok Ketua utarakan cadangan kepada khalayak ramai yang ada di situ.

 
"Apa pulak! Esah masuk tadi dah memang tak pakai kalung." Tiba-tiba Man Panjang bersuara.

"Mana kamu tahu aku tak pakai kalung?" Esah pula bertanya. Terperangkap, Man Panjang terkulat-kulat. Matanya melihat ke sana sini, mencari-cari jawapan atau alasan.

 
Mail Kerbau, Lan Todak dan Usop Kulop pula tersentak, memicingkan mata melihat Man Panjang, tak percaya dengan kata-kata dia itu. Namun begitu, Tok Ketualah yang lebih gelabahnya daripada mereka semua.

Tammat. 

 


[Sungguh ironi jika seseorang itu cuba untuk memberikan maklumat tetapi tindakkan itu pula boleh mendedahkan dirinya kepada isu yang lain...] 



.



Wednesday, March 12, 2014

2 petua amalan mudah untuk kesan kerosakan kereta

.


Ini satu petua amalan yang bagus dan mudah untuk mengesan jika ada sesuatu yang 'kurang kena' dengan kereta kita. Ia mungkin tidak memberitahu cara-cara membaiki kereta tetapi ia memberi petunjuk untuk kita pergi ke pusat servis kereta.

 
Amalan 1 : Pusing di sekeliling kereta sebelum masuk.

Ambil masa 30 saat untuk berjalan mengelilingi kereta sebelum membuka pintu kereta. Ada banyak kebaikkannya. Biasakan menghampiri kereta dari bahagian hadapan dan pusing ikut sebelah kiri kereta hingga ke pintu pemandu.
  • Lihat jika keempat-empat tayar kereta kurang tekanan angin.
  • Lihat jika terdapat sesuatu objek yang mencurigakan tertancap pada tayar.
  • Lihat jika badan kereta ada kesan kemik yang baharu.
  • Lihat jika terdapat najis burung di atas kereta (bersihkan segera kerana najis burung berasid dan akan meninggalkan kesan pada kemasan 'clear coat').
  • Lihat jika terdapat kesan umpil atau cermin dipecahkan.
  • Lihat jika pintu kereta telah 'unlocked' sebelum kita tekan 'remote', mungkin ada tetamu tidak berundang di tempat duduk belakang.

 
Amalan 2 : Ketika undurkan kereta, lihat jika ternampak kesan minyak atau cecair pada lantai.

Seelok-eloknya kita letak kereta kita di satu tempat yang sama. Jadi, jika selepas mengundurkan kereta kita terlihat seperti ada tompokkan minyak atau cecair di atas lantai, hampir pasti ia datang dari kereta kita.
  • Jika ia sejenis minyak berwarna hitam, ia mungkin minyak enjin atau minyak gear (manual) yang telah bocor.
  • Jika ia sejenis minyak berwarna merah, ia mungkin minyak gear (automatik), minyak brek atau minyak power steering (jenis hydraulic).
  • Jika ia sejenis minyak tanpa warna, ia mungkin cecair pelincir yang bocor dari sistem pendingin hawa.
  • Jika terlihat seperti BEKAS tompokan cecair yang sudah kering, ia mungkin petrol yang tertumpah.
  • Jika ia sejenis cecair berwarna hijau, ia mungkin cecair radiator yang telah bocor (andai diguna cecair 'radiator coolant warna hijau').
  • Jika ia sejenis cecair tanpa warna, ia mungkin hanya air kondensasi pendingin hawa TETAPI jika kereta belum digerakkan e.g. di waktu pagi, ia mungkin kencing kucing!


 
Selamat mencuba...




.

Tuesday, March 11, 2014

Helang terbang tinggi...

.


Helang terbanglah kau tinggi
Pergilah kau susuri mentari, awal pagi
Sementelah embun menitis rezeki
Pergilah kau cari bahagia diri
Usah leka langit itu tinggi
Sudah lama terbang nanti
Jangan dilupa kami di bawah sini

Pulanglah.... kami telah lama menanti.






.

Monday, March 10, 2014

Cerita seorang teman di Freescale..

.


Pada awal pagi Sabtu lepas kami berkongsi cerita gempar tentang kehilangan MH370 di kalangan group whatsapp kami.

Tiba-tiba salah seorang teman lelaki seolah-olah menjerit di whatsapp, "ya Allah, kawan-kawan aku dalam tu..." lebih kurang begitulah tulisnya. Kami minta kepastian sebab dia sebut 'kawan-kawan', maknanya ramai.

Dia kata ada 29 orang pergi ke China untuk berkursus di sana. Mesej dari dia seterusnya menunjukkan keadaan panik dan sedih. Tidak berapa lama kemudian, keluarlah berita tentangnya. Pada ketika itu aku ada di bengkel kereta. Nasib baik ada TV di situ.


Pada pagi tadi, dia tulis di whatsapp lebih kurang begini...

'Hari yang suram. Back to office, teringat nasib kawan-kawan'  08:04.

'Sangat terkesan kalau orang yang terlibat itu sangat rapat dengan kita.'   12:48.


'Baru selesai solat hajat dan bacaan Yaasin. Itu yang termampu setakat ini.'   12:51.


'Suasana hiba bila MD bagi speech. Ramai yang melelehkan air mata. Seorang-seorang nama yang terlibat disebut.  Management assigned orang untuk take care each family member.'   12:54.


Kami faham perasaan beliau kerana beliau telah bekerja di situ lebih 17 tahun. Sudah tentu beliau rapat dengan rakan-rakannya yang terlibat.


Jadi, kepada mereka yang kurang sensitif atau bermulut lancang menulis dan bercerita yang bukan-bukan, tolonglah fikirkan perasaan keluarga dan teman-teman yang terlibat.





.

Saturday, March 8, 2014

Ironi sebuah harapan

.


"Nitaaaa....".

Panggil Kamal. Kamal tak menjerit tetapi sengaja dipanjangkan laungan panggilan itu. Bingkas Nita bangun dari kerusinya lalu berjalan masuk ke bilik Kamal.

"Di mana fail laporan yang....", "Itu... di kabinet kiri." Pantas Nita mencelah. Mereka berbalas senyuman dan pandangan sebelum Nita kembali ke meja kerjanya.

Kamal masih tersenyum. Matanya masih memandang Nita. Ada sesuatu yang Kamal perasan tentang gerak kerja Nita. Mungkin Nita juga sudah sebati dengan perangai ketuanya itu.

Kamal duduk semula, tidak jadi mengambil fail laporan yang tadi dicarinya. Tapi matanya masih memandang Nita. Lama dia berfikir apakah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan corak kerjasama mereka. Keserasian... .ya, itulah perkataan yang sesuai. Mereka serasi bekerja. Kamal tahu Nita, Nita juga tahu Kamal. Satu gandingan yang menjadi formula penting untuk sebuah kerjasama yang berjaya. Nita adalah seorang setiausaha yang terbaik yang pernah Kamal ada.

Namun pada hari itu Kamal memandang lebih jauh. Matanya melihat muka Nita tetapi yang Kamal nampak ialah wajah dua orang anaknya di rumah. Bila Kamal melihat baju kurung dipakai Nita, Kamal nampak baju-baju arwah isterinya. Bila Kamal melihat jari-jemari Nita, Kamal nampak sambal ikan bilis masakan arwah isterinya...kegemarannya.

Kamal sedar akan kecantikan yang Nita miliki: berkulit putih-kuning, berwajah bujur sireh yang sesuai dengan lebar matanya dan torehan kedua-dua bibirnya, lebar bahunya selebar pinggulnya, susuk dada yang sesuai dengan potongan pinggangnya, tingginya sesuai dengan panjang langkauan kakinya.

"Uuhhh....." Kamal mengeluh perlahan.

Walau pun keluhannya kecil, seharusnya bising pendingin hawa bisa menenggelamkannya, Nita masih dapat dengar. Nita menoleh kepada Kamal yang memekup mukanya. Apabila Kamal buka pekupannya, dia terbangak oleh tenungan mata Nita itu. Tenungannya yang tajam, tepat ke hati. Seolah-olah Nita tahu bahawa fikiran Kamal sedang meneroka dirinya.

Kamal gamit Nita. Nita pun masuk semula ke dalam bilik Kamal.

"Duduklah...." pinta Kamal. Nita duduk tanpa bersandar, gaya seorang setiausaha.

"Saya nak tanya sikit, boleh?". Berkerut dahi Nita. "Err... agak peribadi, kita ketepikan dulu hal-hal kerja, boleh?" Sambung Kamal sebelum wajah Nita tambah berkerut. Nita anggukkan kepala.

"Sehingga kini saya berpuas hati dengan gerak kerja Nita yang pantas tetapi tetap teratur. Saya nak bertanya, adakah tidak keterlaluan jika saya katakan Nita juga begitu di rumah?".

Nita tersenyum, menampakkan lesung pipitnya. "Errmm.. .mungkin." Jawabnya dengan santun.

"Ada sesuatu yang saya nak cakap tetapi saya tak pasti sama ada sesuai pada masanya."

"Apa dia, boss?

"Eh, janggal rasanya kalau Nita panggil saya 'boss' ketika bercakap tentang hal peribadi. Terasa kita ini jauh jaraknya." Kamal ketawa, Nita juga.

"Habis tu, nak saya panggil bagaimana?"

"Hendak panggil nama pun janggal juga." Kata Kamal.

Nita mencongak-congak sebentar. "Err.... abang?" Cadang Nita tiba-tiba.

"Abang?" Tersentak kecil Kamal dibuatnya kerana yang dia fikirkan mungkin 'I' dan 'You' sahaja, itu pun sudah memadai. Tak disangka Nita terfikirkan panggilan 'abang' pula.

Apabila melihat wajah Kamal yang terkejut sedikit begitu, serta-merta Nita berasa malu. Kemerah-merahan kulit wajahnya. Apabila wajahnya ditenung Kamal dengan senyuman, Nita palingkan pandangan ke luar bilik kaca itu. Namun begitu bibirnya pun turut menguntum senyuman, sebuah senyuman malu.

"Nita...?" Kamal cuba mencari kepastian.

Nita tidak berpaling. Dia bangun cepat-cepat lalu berjalan tergesa-gesa menuju ke tandas.


Kamal tersenyum panjang. Dadanya terasa lapang. Kini dia hampir pasti bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tapiiii.... ada sesuatu yang menyengkang senyumannnya. Kamal terpaksa memilih diantara dua: seorang setiausaha atau seorang isteri.

Kini senyumannya bertukar menjadi keluhan dalam....






.

Friday, March 7, 2014

Brand image boleh dibaiki dengan imej?

.

Brand image adalah persepsi. Persepsi yang dipahat dan ditukul dan ditatah dengan segalur pengalaman. Persepsi mungkin dimunculkan dengan gambaran-gambaran tetapi persepsi seperti itu adalah logamaya sifatnya.


Apabila satu ketika, individu itu akan bertanya. Dia akan cuba menikmati sendiri dalam gambaran-gambaran itu. Dia mahu mengerti dan masuk ke dalam imej tersebur.


Seterusnya, memang sifat manusia itu mahu mencari perkaitan diantara imej yang superfisial itu dengan realiti. Realiti dari pengalaman sendiri.


Jika didapati melalui pengalaman mereka bahawa perkaitan diantara imej dan realiti itu adalah logamaya, persepsi mereka akan dikemaskini. Mungkin persepsi mereka dianjakkan ke posisi yang lain, posisi ke sebelah satu lagi.


Oleh itu, imej-imej itu sekadar hamburan harapan yang lunak didengari namun realiti adalah tatahan galur-galur pengalaman pada akhirnya muncul membentuk objek kepercayaan.






.

Thursday, March 6, 2014

Mendapatkan Ulam Timun yang lebih rangup...

.


Sudah biasa makan ulam timun dicicahkan sambal belacan. Tapi aku dapati ulam timun di restoran lebih sedap daripada ulam yang aku potong di rumah. Bila aku tilik-tilik dan mencari apakah yang berbeza, aku dapati ulam timun di restoran lebih rangup dan lebih berjus.

Jadi, aku perhatikan perbezaannya. Selain timun itu direndamkan ke dalam air sejuk, ada sesuatu yang aku nampak dari segi potongannya.

Di restoran, timun dipotong berbentuk jejari, yakni sebiji timun dibelah 4 atau 6 dan dibuang isi tengahnya. Manakala aku pula potong timun secara membulat berkeping-keping. Walau pun kemudian aku letakkan ke dalam peti sejuk sebelum dimakan, timun aku itu tidak rangup.

Kemudian, aku tebalkan potongan aku tadi dan ia menjadi sedikit rangup. Aku terfikir, mesti ada sesuatu tentang cara timun dipotong.


Maka, aku pun menggunakan ilmu fizik-biologi tingkatan 5...istilahnya, Jumlah Luas Permukaan Berbanding Isipadu atau JLP / I.


Perghh....! Siapa kata timun tak ada dalam sains fizik-biologi. Silap-silap terung dan bunga kantan pun ada dalam fizik-matematik. Kalau tak perasan maknanya tak pergi ke sekolah semasa cikgu ajarkan itu.

Okey..

Timun yang dipotong bulat (seperti yang aku buat) mempunyai JLP/I lebih tinggi nilainya daripada timun yang yang dibelah 4. Ini kerana apabila dipotong membulat, ada dua permukaan besar terbentuk sedangkan kalau dibelah 4, timun akan lebih tebal dan bermakna lebih isipadunya.


Apa kena mengena JLI/I dengan kerangupan ulam timun?

Jika luas permukaan itu lebih besar berbanding isipadunya, cecair timun tadi akan lebih cepat keluar meninggalkan jisimnya. Apabila cecair itu keluar, timun akan jadi lebih lembik.... kejap... kejap....tukar ayat.... timun akan jadi lebih lembut. Aku tukar ayat sebab takut disalah-ertikan 18sx.

Berbanding timun yang dibelah 4, kebanyakkan cecair masih dikekalkan di dalam jisim timun. Ini menjadikan ulam timun itu lebih segar bugar dan rangup.






.

Wednesday, March 5, 2014

Kreativiti dan angan-angan...

.


Kawan aku pernah berkata, dalam satu perbincangan hangat di satu sesi mengeteh lewat tengah malam, bahawa sains perlukan imaginasi. Bukan setakat imaginasi, malah seni juga.


Sains bukan sekadar fakta dan data. Menjadi saintis memerlukan imaginasi dan kreativiti.

Dia ambil contoh Leonardo da Vinci dan beberapa tokoh sains silam. Mereka itu mempunyai kecenderungan seni masing-masing.

Saintis yang menghafal fakta dan data adalah tidak akan berkembang. Untuk meneroka satu kawasan yang baharu, sering dimulakan dengan imaginasi. Lihat sahaja bidang-bidang theoritical physic dll.


Oleh itu, dia menyarankan agar anak-anak digalakkan dengan muzik dan lukisan. Ini untuk merangsang minda seni dan imaginatif. Bahagian minda ini akan membantu minda bahagian fakta dan data dari segi menterjemahkankannya ke dalam bentuk yang komunitif...yang boleh orang lain fahami.

Cubalah teori dia...





.

Tuesday, March 4, 2014

Berpatah balik....

.


*Praaaakkk..!!*

Ada sesuatu yang aku dah langgar lewat petang tadi.

Di kiri bahu jalan, tidak jauh dari simpang jalan masuk ke perumahan itu, aku lihat seorang tua bersama-sama anak lelaki di atas motorsikal yang berhenti. Anaknya masih memakai pakaian seragam sekolah. Kedua-dua mereka sedang memerhatikan satu objek di atas jalan raya.

Dalam remang-remang petang itu, fokus aku ke laut, Daripada melihat objek yang bergolek, aku lebih memfokus kepada aksi orang tua dan anaknya itu.

Apabila telah *praaakkk...!*, baru aku perasan, aku telah langgar botol minuman anaknya itu.


Bagaimanakah perasaan anak kecil itu apabila melihat botol minuman hancur di depan mata?

Botol minuman yang jadi peneman di sekolah, botol yang diisikan air dengan penuh kasih sayang oleh ibunya setiap hari...kini hancur di depan mata. Betapa punahnya hati si anak kecil.

"Takpelah, nak. Nanti ayah belikan yang baharu..." Mungkin itu pujuk si ayah.

"Huhuhuhuhu...." Mungkin itu tangis si anak.

Sedihnya.


Perlukah aku berpatah balik?

Errr... hmmm....

It was an accident.... okey.
Accident just happen.
Lagi pun... lagi pun botol minuman itu bergolek-golek. Aku cuba elak sampaikan beroleng kereta aku. Tapi, takdir mendahului usaha aku. Botol itu terkena juga laluan tayar kereta aku. Dalam banyak-banyak kawasan, kenapakah botol itu mahu bergolek betul-betul di laluan tayar kereta?

Bayangkan kalau aku terus mencuba mengelak botol yang bergolek itu, mungkin aku terbabas ke laluan sebelah. Mungkin aku bertembung dengan kereta dari arah berlawanan. Atau mungkin aku melanggar tiang lampu kerana jalan itu sebenarnya sebuah selekoh. Amat berbahaya.


Adakah aku berpatah balik?




.

Meminta rahmat Tuhan..

.



Sudah dua kali aku dengar tentang pembenihan awan untuk menggalakkan hujan. Dan dua kali juga aku dengar yang pembenihan awan tidak dapat dilakukan dengan segera kerana ketiadaan awan yang sesuai untuk dibenihkan. Awan yang mereka cari ialah awan jenis Cumulus.


Sudah dua kali juga aku perasan, apabila krisis sedang memuncak dan ketiadaan awan yang sesuai untuk dibenihkan, orang-orang Islam melakukan solat hajat meminta diturunkan hujan. Dan beberapa hari kemudian, hujan lebat pun membasahi lembah yang kering.


Tiba-tiba muncul awan Cumulus yang entah datang entah dari mana, terus membusung dan membengkak dengan titisan-titisan air hujan, lalu mencurah turun.


Kalaulah ramai dari kita yang masih belum faham bahawa kemarau dan hujan itu adalah bahagian-bahagian rahmat dari Tuhan, tak tahulah apa yang nak dikatakan lagi.






.

Monday, March 3, 2014

Jerebu 2014...

.


Jerebu baru sedikit tapi kepala aku dah sakit. Macam migrain pun ada. Itulah tandanya jasad aku sedang menua...belum tua tapi dalam proses menuruni kemuncak kegemilangan seorang remaja...ahaks!


Jerebu yang sedang melanda di kawasan aku diapit pula dengan hawa panas yang melampaui batas. Siang terpaksa tutup pintu tingkap. Bukan sahaja tak mahu jerebu berebut masuk, juga untuk kurangkan hawa panas masuk tanpa izin.


Pabila malam, dengan suhu yang lebih sejuk, bolehlah dibukakan tingkap. Tapi aku silap. Aku terlupa hukum fizik asas. Bila udara sejuk, ia lebih tumpat dan turun ke bawah. Jadi udara sejuk bercampur debu jerebu akan menjadi lebih tumpat dan pekat.

Mahu tidak mahu, kena tutup semua tingkap rapat-rapat dan malam ini terpaksa bernafas dalam udara kitar-semula. Aku harap aku ada cukup oksigen untuk sel-sel tubuh mungil seksi ini bernafas dan esok pagi kepala tak sakit lagi...





.

Saturday, March 1, 2014

Hidup selepas mati???

.

"Jaga sikit apa yang kau makan tu." Aku beri nasihat, bukan amaran, kepadanya.

Itu bungkus kedua nasi lemak pada pagi itu. Dengan keadaan tubuhnya yang naik berisi selepas bernikah dengan mendadak, tentulah nasi lemak kedua bukan bagus.

"Aku nak nikmati apa yang ada pada ketika ini. Esok-esok, malah petang nanti cerita lain. Kalau nak mati, mati je lah, apa nak kisah sangat." Balasnya.

"Kalau kau dah bersedia..."

"Kau percaya ada kehidupan selepas mati ke?"


Ya, kawan-kawan. Aku ditanyakan soalan di atas. Mungkin dia tak temukan berita alam barzah di dalam al-Quran, mungkin dia belum terbaca hadith. Mungkin tiada yang bercerita tentangnya ketika dia di UIA dulu. Mungkin...tapi aku rasa tidak. Mungkin juga dia sedang cuba menghayati watak perangai Kassim Ahmad kerana sebelum itu kami berbincang tentangnya...kerana dia seorang yang gemar menghayati 'play' sebuah drama dan teater.

Apa aku jawab???


Aku tak jawab. Aku hanya tersenyum. Kerana aku tahu dia tahu apa jawapannya. Cuma sama ada dia mahu percaya atau tidak. Hmm...itu masalah dia, bukan aku.

Tapi, jauh di lubuk nurati, aku menjawab soalan itu. Cuma...aku bayangkan soalan itu datangnya dari mulut seorang yang berfikiran liberal, seperti katanya, seorang yang liberal menggunakan logik akal lebih daripada sumber yang lain. Jadi, jawapan aku perlukan logik, bukannya dari dalil atau nas dari keratan ayat-ayat yang orang itu sendiri tak percaya.


Kalaulah kematian itu adalah pengakhir satu kehidupan, tidak perlu dirisau tentang siksaan atau anugerah kebahagiaan selepas mati. Apa yang berlaku ketika hayat adalah apa yang berlaku ketika hayat. Jangan peduli akibat-akibatnya.

Bermakna, aku boleh buat sesuka hati tanpa perlu risau. Aku boleh hisap dadah, boleh mabuk...kerana jika aku murung, aku hanya perlu bunuh diri.

Atau, aku boleh bunuh sesiapa yang aku suka...malah aku boleh bunuh dia dan aku lari. Kalau pun tertangkap pun, habis teruk pun aku dihukum bunuh. Apabila aku mati, berakhirlah segalanya...tutup buku.

Okeylah. Mungkin katanya liberal pun masih perlukan undang-undang agar hidup lebih terurus dan masyarakat tidak menjadi kacau. Adakah menjadi baik itu sesuatu yang masih diperlukan jika hidup hanya sekali dan kematian adalah pengakhiran satu cerita?


Itulah yang aku mahu dia fikirkan.





.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com