.
Usai urusan di bank, setelah usai nasi sepinggan, aku menunggu malam yang penuh harapan. Aku terlepas untuk memilikinya sepekan yang lalu. Malam ini harapan itu kembali membusut.
Jam 8.45pm, kami telah pun menjamu selera di restoran mamak WiFi di Alam Sentral. Tidak jauh dari situ, kedengaran lolongan dan gemerincing muzik liar dan 'raw'. Berseli dengan suara-suara halus gadis malam minggu bermikrofon. Aku biarkan dulu. Aku penuhkan kantung perut dan tembolok, mana-mana yang patut. Maksud aku, mana yang patut-patut. Patut ikut ukuran tebal dompet aku.
Jam 9.30pm, kami bergerak ke arah suara lolongan itu. Terfikir untuk baca doa tapi aku tak jadi baca. Biarlah, kalau ada pun tak apa. Kalau tak ada pun tak mengapa. Kami terus ke toko buku. Aku belek-belek satu -satu. Paku Payung dah kata 'wah' beberapa kali. Tak jumpa. Tapi aku malu nak bertanya kepada lelaki berbaju hitam berambut panjang bertopi dan berkamera mahal itu. Hanya bertentang mata tapi lidah kelu untuk berkata.
Aku buat-buat macho, jalan terus ke meja sebelah. Tak jumpa juga. Mana dia? Akhirnya, bila orang dah kurang aku beranikan diri bertanya kepada brader yang berjual di situ.
Soljah punya ada ka?
Ada satu ja, Kacip. Kat meja hujung yang jual baju-baju.
Yezzzz!
.............
Aku tau dia ada di situ. Ada sekitar situ tapi aku kurang pasti yang mana satu.
Aku tau dia ada di situ kerana namanya ada dalam poster itu tapi aku keliru. Aku rabun malam samar-samar begitu. Tapi aku tau dia ada, tapi yang mana satu?
Aku teringatkan Tasek Merah. Aku lepaskan satu das sms pembangkit selera perang malam minggu, kerana aku tau dia berkubu dengan darlingnya: Aku dapat Kacip. Dua Lauk pun ada. Dia tahu yang aku ada di pekan Frinjan 3.0. Sehingga akhir persembahan aku telah lepaskan berdas-das sms kepada Tasek Merah. Dia juga membalas dengan beberapa butir bom sms.
Aku nampak cahaya berwarna hijau tersusun bertindihan. Aku ambil tiga cahaya hijau itu. Satu untuk Mama, satu untuk Paku Payung dan satu lagi untuk aku. Kami duduk di atas cahaya hijau itu, di bawah naungan menara jam. Paku Payung sekali-sekala mengekek ketawa semasa membaca Dua Lauk. Dia baca buku itu walau cahaya amat samar di situ. Biarkanlah.
Mata aku meliar mencari sesiapa yang aku kenal tapi maaf, aku rabun malam. Aku tak sanggup pula nak menerjah seorang demi seorang yang duduk-duduk di situ. Siapalah aku.
Tapi, aku perasankan seseorang itu. Antara blogger pertama yang singgah ke laman aku. Dari blog dia juga aku dapat pergi ke Tasek Merah, ke Waterlily dan lain-lain yang bersangkut paut sampailah ke Addyaholic, CkLah, Azani, Kakpah, Ashley, Insyirah dan Cikgooden, dan semua yang ada di paparan laman aku.
Alina Abdullah, di mana kamu? Mama tahu yang aku pergi mencari yang dua ini: Kacip dan Alina Abdullah. Mama turut serta mencarikannya untuk aku. Tapi maaf, aku rabun malam dan aku terlalu malu untuk bertanya walau Mama suruh berkali-kali.
Aku rasa aku tahu dia di situ, sedang duduk bersimpuh bersama-sama teman-temannya yang lain. Dan kami duduk di belakangnya, tidak jauh dari situ. Ya, kami cuma 15 kaki dari gadis berbaju kemeja kotak. Adakalanya, aku ke depan untuk snap beberapa foto. Masa itu, jarak kami mungkin cuma 5 kaki. Tapi, aku kurang pasti, kurang berani untuk bertegur. Siapalah aku.
Seterusnya, aku menikmati malam Frinjan 3.0 itu dengan puas. Dalam pada itu, berdas-das sms aku hantar ke kubu pertahanan Tasek Merah. Antaranya, ada dua puisi spontan yang aku tujukan kepadanya:
Puisi Malam Frinjan 3.0 Spontan 1
Dia ada di situ
Tapi jauh dalam kelam
Kamu nun di sana
Tapi dekat
di dalam kocekku
Magis malam Frinjan!
[Nizam.Ariff 27.6.09]
Puisi Malam Frinjan 3.0 Spontan 2
Gegar malam Frinjan
Di depan sana ada bintang
Di atas juga ada bintang
Tapi di sini ada binatang
Merayap jadi jalang
Berembun jantan
Goyang-goyang.
[Nizam.Ariff 27.6.09]
Bab 'dalam kocekku' dan 'goyang-goyang' menjadi bom jeritan carut yang dihantar dari kubu Tasek Merah. Aku sambut bom itu dengan ketawa berdekah-dekah...
Malam pekan Frinjan 3.0, Shah Alam
.