Wednesday, July 31, 2013

Kuih istimewa di Pagi Syawal... Karipap Sengih

.


Edisi Karipap-Karipap Sengih boleh disediakan dengan resepi dan ramuan yang sama seperti karipap-karipap yang lain cuma ada beberapa proses yang ditambah untuk mendapatkan kelainan dan persembahan hidangan yang lebih menarik.

Karipap Sengih ini sesuai untuk dijadikan sebagai kuih hiasan dan diletakkan di atas karipap-karipap berbentuk biasa dan monotonous. Salah satu kelebihan Karipap Sengih ini selain bentuknya 3D dan menarik, ialah ianya edible ! Boleh dimakan sekali sama seperti karipap yang biasa dan monotonous itu.

Kepada mereka yang dikategorikan mempunyai imaginasi tahap tinggi, Karipap Sengih itu seperti mulut yang terbuka dan bibir yang lembab, seperti ingin membisikkan sesuatu di telinganya... 'Tunggu apalagi, nikmatilah (kelazatan) I semasa masih panas-panas...'






Inilah yang terjadi apabila karipap yang telah di kelim tetapi lambat di goreng... dan dibiarkan di bawah kipas angin dan terlupa pula nak ditutup dengan tuala lembab...




.

Tuesday, July 30, 2013

Memori minyak tanah di bulan puasa...

.


Minggu lepas, aku dah beli dua botol minyak tanah. Sampai hari ini, aku masih terfikir apa aku nak buat dengan minyak tanah itu. Kemudian aku berfikir, apakah yang aku fikirkan ketika aku terfikir nak beli minyak tanah itu.
.
..
... ?

Tak ada.

Pada ketika itu, aku ternampak botol-botol minyak tanah itu di hipermarket, bersebelahan dengan selonggokkan pelita-pelita minyak tanah yang dikepitkan pada batang buluh. Aku tak rasa ada kaitan di antara niat untuk membeli minyak tanah dan selonggokkan pelita-pelita itu, sebab Ariff ada suruh beli sebuah tapi aku tak mahu.

Jadi, minyak tanah yang aku beli itu pada asalnya bukan diniatkan untuk pelita minyak tanah.

Habis tu kenapakah aku belinya?
Biarkan sahaja soalan tu.


Semasa aku kecik-kecik dahulu, bau minyak tanah adalah sinonim dengan waktu senja juga reban ayam. Di bulan ramadhan, bau minyak tanah adalah sinonim dengan meriam tanah juga mercun dan bunga api. Kalau diluar bulan ramadhan, bau minyak tanah adalah sinonim dengan basikal dan motorsikal. Apakah kaitannya? Hanya yang tahu sahaja boleh kaitkannya.

Dulu-dulu, aku gunakan minyak tanah atau 'minyak gas'  untuk:
  • Pelita untuk menerangi reban anak ayam yang kesejukkan
  • Pelita untuk tidur malam (sebelum tidur, arwah Bapak guna jenerator elektrik)
  • Pelita diikatkan kepada buluh galah lalu ditegakkan pada waktu malam hampir kepada tangkai-tangkai rambutan yang masak ranum di atas pokok untuk elak dari dimakan kelawar dan musang.
  • Membuang kesan minyak gris dan minyak hitam di tangan selepas pomen basikal
  • Merendam karbaid meriam untuk elakkan daripada teroksida di dalam udara lembab
  • Merendam getah gelang di dalam botol, menjadikan getah gelang itu mengembang 10 kali ganda saiz asal
  • Menyapukan pada hidung kucing sebelum ditinggalkan di tepi jalan
  • Membakar kedap-kedap padi yang lembab
  • Membunuh semut api

Tapi sekarang ini, aku tak tahu untuk dibuat apa. Dan aku tak tahu kenapa aku beli minyak tanah di hipermarket pada hari tu.



.

Monday, July 29, 2013

Sama sedondon memeriahkan suasana

.


Corak kain hampir serupa...


satu untuk dipakai malam dan satu untuk ke pejabat tapi...

Menjadi seorang lelaki, secara umumnya, tidak kisah sangat dalam hal-hal begitu.
Menjaga seorang lelaki, pada umumnya, tidaklah susah sangat dalam hal-hal begitu.

Aku mencari, memilih dan membeli pakaian secara purata tidak lebih 30 minit.
Ini kerana, jika tak nampak apa yang dikenankan, aku terus melangkah keluar.
Dan biasanya aku tentukan apa yang aku mahu cari.
Kemudian aku fikirkan tempat-tempat yang mungkin ada dan barulah aku pergi.
Amat jarang sekali aku buat 'window shopping'.

Tapi, itulah jadinya...
Sudah berbulan pakai, baru kelmarin perasan...



.

Sunday, July 28, 2013

Monolog malam sekuntum mawar merah

.

Malam ini sunyinya berbeza sekali
Degup jantungku berirama melati
Warnanya putih, bersih, tampak seri
Tapi kelopaknya pernah kucarik, kugentas
Kubuang disepanjang lorong itu
Tanpa wujud rasa sesal, malah
Derap kaki kurasa makin gagah.

Lalu kucari mawar merah
Kerana aku tahu dia ada di situ
Setiap langkahku, setiap pintu kuketuk
Sesiapa jengah kan terkulai layu
Melutut dikaki, merayu-rayu
Meminta belas, namun
Aku rentap bayang-bayang
Dari kujur-kujur tubuh terluka mereka
Dan kutaburkan kelopak mawar
Dikujur tubuh-tubuh kaku itu.

Langkah demi langkah kuhayun
Kelopak mawar merah jatuh bersusun
Disepanjang lorong jelek itu
Semakin banyak bayang-bayang mengekoriku
Memaut kaki, memaut hati mati
Sampai saatnya aku terfikir, sampai bila?
Hidup pincang fikiran begini
Sunyinya menyusun kenangan
Dalam kotak fikiran.

Cukuplah, aku sudah penat mengumpul mimpi
Asyik hilang disambar mentari pagi
Tiada ertinya untuk aku terus mencari
Jika jiwa tiada seri
Lantas aku putuskan
Tanpa perlu kujelaskan
Suatu pengakhiran
Diantara dua batang nesan.

Malam ini memang berbeza
Kerana aku serahkan kau sekuntum mawar merah
Nanti tolong kau cabut kelopaknya
Kau bacakan semulia-mulia bahasa
Dan taburkan di atas kujur tubuhku yang parah.




.

Saturday, July 27, 2013

Semangat untuk beraya dah hilang

.


Tak sampai 2 minggu lagi, Insha Allah, akan tiba bulan Syawal.
Cumanya, aku tak terasa sangat bahang beraya itu seperti tahun-tahun dulu.
(tahun-tahun dulu tu maksudnya 10-20 tahun dulu).

Kenapakah agaknya?


Mungkin ini kerana aku nak masuk diusia tua makanya hari raya itu dilihat dari sudut yang lain. Aku lihat hari raya sebagai satu episod nostalgia... mahukan kalau boleh seperti aku kanak-kanak dulu. Aku pandang hari raya itu sebagai satu period yang sepatutnya klasik... segala-galanya berkaitan dengan kehidupan yang lepas-lepas.


Atau mungkin kerana tinggal di sini tak dapat dengar letupan meriam dan mercun. Tak nampak lampu minyak tanah. Tak ada bau sawah gambut. Tak ada dengar bunyi daun-daun pisang di tiup angin petang. Tak ada bau asap dari bakaran daun-daun yang disapu oleh anak dara sunti.


Atau mungkin kerana Bapak sudah tiada untuk memberikan aku sehelai kain pellikat di pagi hari raya... seperti mana selalunya...





.

Friday, July 26, 2013

boikot buffet ramadhan, jom?

.

Pendapat yang mengatakan buffet ramadhan di restoran dan hotel hotel lebih menjurus kepada aspek mengkomersialkan agama berbanding aspek ibadah, aku hampir terima bulat bulat.

Kalau mahu anjurkan juga, kenapa tak dibuat di masjid masjid atau surau surau atau di dewan dewan asrama?

Oh, itu kurang memberikan impak keuntungan kepada pengusaha. Jadi benarlah bahawa aspek ibadah berbuka puasa sudah dikomersialkan. Melambai orang islam agar terjerumus dalam 'lampiaskan nafsu anda dengan lebih 150 jenis juadah pada harga hanya rm66++'.

Mungkin mereka kata, 'kami tak suruh makan semua, mereka patut pilih yang mereka mahu sahaja'. Itu samalah seperti meletakkan madu di dalam mulut tetapi disuruh jangan ditelan, disuruh luahkan.


Sudah sampai masanya ibadah berpuasa tidak digunakan untuk komersial. Kekalkanlah ia itu ibadah untuk menjaga jiwa daripada nafsu.

Katakan 'TIDAK!' kepada buffet ramadhan yang bersifat komersial.




.

Thursday, July 25, 2013

Buffet Ramadhan versus Ruh Ramadhan... satu pendapat seorang sahabat.

.

Seorang sahabat aku berkata tentang bulan Ramadhan dan 'budaya' yang orang kita bawakan bersama-samanya. Katanya...

Kita tak menghayati ruh sebenar Ramadhan jika sepatutnya kita rasai kerendahan diri lebih rendah dari bulan-bulan lain tetapi tidak. 

Sepatutnya Ramadhan adalah satu period dimana kita keluar dari belengu nafsu dan meningkatkan keimanan, dan selepas Ramadhan kita istiqamah bebas dari belengu nafsu itu.

Katanya, 'acid test' atau ujian ringkasnya ialah jika kita berbelanja di bulan Ramadhan melebihi dari bulan-bulan lain, kita telah pun gagal untuk menghayati ruh Ramadhan.



Itu katanya. Dan aku rasa kita perlu perhalusi kerana 'acid test' itu terlalu umum.

Aku rasa maksudnya ialah jika kita berbelanja untuk makanan atau memakan makanan yang 'berkelas' sedangkan pada bulan-bulan lain kita tak ada perasaan teruja seperti ketika mahu berbuka, maka kita telah gagal. Ia tak bermaksud berbelanja membeli pakaian kerana pakaian itu kita pakai berbulan-bulan atau bertahun, cuma kita beli untuk Hari Raya.

Bulan Ramadhan sepatutnya menundukkan nafsu dengan cara 'melaparkannya'. Sebaliknya, kita lebih teruja untuk 'meraikan' berbuka dengan makanan yang melebihi daripada bulan-bulan lain seolah-olah ingin 'membalas dendam' akibat berpuasa sepanjang harinya.

Memang benar bahawa Tuhan menyatakan bahawa berpuasa itu akan mendapat dua jenis kegembiraan dan salah satunya kegembiraan di kala berbuka namun janganlah cara kita meraikan kegembiraan itu dengan mahu makan itu ini. Makan itu ini tak bermaksud makan banyak sahaja. Ia termasuk makanan yang walau sedikit tetapi 'berkelas' dan lazimnya jarang dimakan ketika bulan-bulan lain. Mudahnya, salah satu contoh, berbuka puasa secara buffet di restoran atau hotel.

Kalaulah pada bulan-bulan lain, nak makan buffet di restoran atau hotel terpaksa berkira-kira, kenapakah ketika di bulan Ramadhan kita mahu pula (walau pun orang belanja)?

Bukankah sepatutnya kalau bulan biasa makan buffet maka di bulan Ramadhan menahan diri dari makan buffet? Barulah kita kata Ramadahan mengajar kita tentang manahan nafsu. Apatah lagi kalau bulan-bulan lain tidak pernah makan buffet, sepatutnya perkataan 'buffet' itu tidak langsung terlintas di kepala semasa Ramadhan.

Jadi, kalau 'acid test' itu boleh diterima, bolehkah kita kata sesiapa yang makan buffet itu ialah orang yang kurang menghayati ruh Ramadhan (walau apa pun alasannya seperti orang belanja, family gathering, sekali-sekala nak makan, ada promosi, ada diskaun... dsb)?

Ini kerana bukan buffet itu yang menjadi masalahnya tetapi niat kita yang tiba-tiba nak merasa segala jenis makanan yang terhidang (kata lain 'lahap'). Jadi, tidak salah kalau kita berbuka secara buffet tetapi cuma makan ala kadar seperti sebiji kurma, sepotong kuih, segelas air dan mungkin sepiring meehoon. Masalahnya, bolehkah begitu?

Dan kalaulah kita hanya makan ala kadar pun, harga buffet tadi itu semestinya lebih mahal daripada juadah ala kadar itu. Dan ini menjadikan kita berbelanja lebih banyak daripada bulan-bulan biasa.

Promosi buffet Ramadhan yang membazir sepatutnya dijadikan 'cobaan' oleh kita semua. Anggaplah itu lambaian 'setan manusia' yang cuba untuk meruntuhkan penghayatan kita terhadap Ruh Ramadhan. Katakan 'Tidak' kepada buffet Ramadhan yang membazir...


Jangan salah anggap pula. Ada juga buffet Ramadhan yang menyajikan sajian ala kadar, ianya lebih dikenali sebagai 'set berbuka puasa'. Untuk yang ini, terpulanglah...



Gambar hiasan.

Adakah kalau bulan-bulan lain aku makan nasi maka bulan ini mee segera mungkin dapat menyedarkan aku akan hakikat 'kepayahan'? Apa salahnya, kan?




.

Wednesday, July 24, 2013

Juadah berbuka yang ringkas dan siap dalam 5 minit...

.

Sejak awal Ramadhan pada tahun ini, selain daripada kurma dan air, aku makan juadah yang ringkas ini...





Susu, beberapa keping roti atau biskut lemak, taburkan kismis kecil dan kismis hitam besar dan biarkan seketika agar susu itu diserap oleh roti atau biskut tadi. Dalam foto di atas itu, aku taburkan juga 'lentil'. Mungkin sesetengah orang, adunan ini kemudiannya dibakar pula tapi aku lebih suka makan dengan cara begitu sahaja.

Boleh disediakan dalam 5 minit sahaja... tetapi sediakan paling tidak 15 minit sebelum berbuka.




.

Bulan romantika...

.


Di bilik tidur, dia sibak langsir, melihat ke luar, ke langit.

"Abanggg..."

Dia rapatkan wajahnya ke kekisi.

"Kenapa bulan warna merah?"


Hasri datang dari belakang, merapati tubuh Nita.

"Tak suka bulan warna merah eh?"

Hasri hidu rambut, merangkul pinggang Nita. Sama-sama memandang bulan.

"Takpe, nanti abang cat warna lain..."






.

Tuesday, July 23, 2013

Berdikit-dikit kalau adanya sedikit...

.

Berdikit-dikit kalau dah sedap, jangan nak dihabiskan sekali 'rap'.

Itulah pesan yang biasa aku (atau mungkin sebahagian kita) ketika kecil-kecil dulu, agar berjimat cermat dan beringat-ingat sebab orang lain pun nak merasa juga.

Jadi, eloklah kita catu...





Kejamkah?




.

Monday, July 22, 2013

Kucing liar... yang tak berkalung atau bertali leher

.

Pagi tadi aku dapat email dari Tuan Pengerusi persatuan penduduk di petempatan aku, berkenaan kucing-kucing kejiranan yang sering membuang onar merata tempat.

Tulisnya:

Assalamualaikum / Salam Sejahtera.
 

Terima kasih dan tahniah kerana menggunakan sangkar untuk mengurung kucing masing-masing dari berkeliaran. Pihak AJK sentiasa membuat aduan secara berkala dengan MBSA berkenaan dengan penangkapan kucing liar.

Walaubagaimana pun, masih terdapat kucing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan. Menurut Pn Suhaila, Unit Haiwan, MBSA, mereka pun menghantar kucing-kucing yang ditangkap ke PAWS Subang. Charge yang dikenakan adalah RM30 utk kucing 1 tahun keatas, RM50 utk 1 tahun ke bawah. Penghantar perlu mengisi borang yang dilampirkan. Rujuk web Paws..http://www.paws.org.my

Terima kasih




Dan tanpa teragak-agak, aku pun balas emailnya begini:

Salam,

Di rumah saya dah ada bunyi tikus di atas siling.
Ingat nak beli racun tikus
Gaulkan racun dengan makanan kucing.
Dan letakkan kat tepi pagar... mana tau kalau ada tikus lapar datang ke situ..
Rasa-rasanya tak ada ayam itik belaan jiran, jadi tak ada masalah lah kut.


Sekian.

Dino el-Junaidi


Mama tanya, kenapa gaulkan racun tikus dengan makanan kucing? kenapa letak kat pagar sedangkan tikus ada di atas siling? Dan apa kaitan dengan ayam itik sedangkan memang tak ada ayam itik pun? Aku tak jawab terus. Aku tersengih-sengih saja umpama kerang busuk yang bertanduk.... hehehe

Apalah agak-agaknya yang bermain di kepala-kepala tuan punya kucing yang tak bertuan agak-agaknya?



.

Sunday, July 21, 2013

Kias kata sindir nasihat

.



Degar-degar jaja Wak Dogo,
Asal segenggam jadi segantang. yang segantang jadi segudang
Yang secupak tetaplah secupak, tambah tidak kurang pun tidak.


Guruh berdentum langit mengaum, pasir di bumi terusiknya tidak
Ombak menggunung biduk melambung, sehelai rambut berganjaknya tidak.


Asal melukut tak segantang, dikata orang penuh segudang
Kalau diikut katanya orang, abu pun boleh menjadi arang






.

Saturday, July 20, 2013

Pantun gundah di bulan Ramadhan

.


Punai sekawan terbangnya tinggi
Kujerat seekor dibuat rendang
    Aduhai sawan serasa dihati
    Katak kodok kuat berdendang

Kujerat seekor dibuat rendang
Isinya manis santan berlada
    Katak kodok kuat berdendang
    Hujan gerimis tak tiba-tiba

Isinya manis santan berlada
Enak dicicah ketupat lemang
    Hujan gerimis tak tiba-tiba
    Air tempayan sudah kubuang  

Enak dicicah ketupat lemang
Jangan dilupa peyek dan tumpi
    Air tempayan sudah kubuang
    Gayanya hangus seguni mimpi



.

Friday, July 19, 2013

Tips keselamatan rumah sepeninggalan untuk cuti panjang...

.

Kejadian pecah rumah semakin menjadi-jadi. Kejadian rumah dijengah orang tak dikenali juga bertambah-tambah. Mungkin kerana masing-masing mahu mencari duit lebih untuk dibawa balik ke kampung untuk beraya, mungkin juga untuk beli mercun.

Aku mahu kongsi sedikit cerita tentang keselamatan rumah seperti mana diberitahu oleh seorang pensyarah. Sayugia diberitahukan bahawa domain cerita ini ialah Risk Management. Jadi, ceritanya adalah berkaitan bagaimanakah kita boleh mengurangi risiko kecurian atau pecah rumah.

Risiko pecah rumah itu tetap ada dan tak boleh dihilangkan kerana namanya sahaja risiko, tapi sedikit usaha dan tawakkal boleh mengurangi kebarangkalian untuk terjadi dan minimakan kesan impak jika ia terjadi.

Strategi atau taktik yang boleh digunakan ialah ' 3D '. Yang dimaksudkan dengan 3D ialah:

1. Deter (hindarkan) yakni berusaha untuk hindarkan pecah rumah dari berlaku.
  • Hindar ini bersifat preventif. Tujuannya ialah menghindarkan si polan yang ingin pecah rumah dengan cara melepaskan dan membatalkan niatnya di atas sebab-sebab tertentu.
  • Contoh-contohnya: Menggaji pengawal keselamatan, membela anjing pengawal, membela harimau atau singa pengawal, membiarkan segala jenis binatang berbisa berkeliaran di sekeliling rumah, rukun tetangga, memasang lampu sorot di sekeliling rumah, suruh saudara untuk tinggal si rumah selama berpergian, mengupah jiran-jiran untuk tinggal sementara, memberikan kebenaran kepada pihak-pihak tertentu untuk buat 'bachelor party' di rumah itu sementara berpergian, membela hantu raya atau saka atau pelesit.. dsb
2. Detect (mengesan) yakni memasang peralatan yang boleh mengesan jika kejadian berlaku.
  • Mengesan ini boleh bersifat pasif atau aktif tetapi massih bersifat defensif, bergantung kepada jenisnya. Alat-alat ini akan memberitahu kita atau jiran-jiran atau pihak berkuasa jika rumah dipecah masuk.
  • Cara senang ialah memasang alat penggera. Cara lain ialah CCTV, loceng dan lampu berpusing (revolving light), mengupah orang menjadi tukang tinjau sementara berpergian, UAV terbang setiap 30 minit, teropong atau kalau berpergian jauh sedikit mungkin perlukan teleskop... dsb.
3. Delay (lengahkan) yakni menjadikan proses pecah masuk itu lambat.
  • Melambatkan proses pecah masuk itu dengan harapan si polan itu tidak sempat untuk melakukan kerugian yang lebih teruk atau memungkinkan pihak berkuasa atau jiran-jiran sempat datang untuk membantu.
  • Yang biasa kita buat ialah memasang jeriji dan kunci. Cara-cara lain ialah menukarkan daun pintu kepada jenis yang lebih tahan, menambahkan engsel pintu, menukar kunci utama rumah sekali setiap 1 tahun, setiap bilik dan ruang di dalam rumah mempunyai pintu dan jeriji, membina pagar yang tinggi seperti penjara, cermin tingkap jenis kalis pecah, rumah dibina tanpa pintu dan tingkap (masuk ikut ruang bumbung macam burung walit)... dsb.  

Walau pun pelbagai usaha kita telah buat, jikalau tekad si polan ingin memecah masuk itu kokoh, rumah kita tetap boleh dimasukinya tidak kiralah bagaimana pun caranya, sama ada dia mengumpil dan kalau tak boleh diumpil, dia potong dan kalau memotong itu lambat, dia tebuk dengan gerudi dan kalau itu pun dirasakan leceh, dia mungkin sodok menggunakan jentolak atau buldoza dan kalau itu pun dirasakan lambat, dia mungkin letupkan... yang menjadi persoalannya sama ada cepat atau lambat sahaja.

Sebagai contoh, kes-kes kecurian wang di mesin ATM yang menggunakan pelbagai cara termasuklah menggunakan lori dan jentolak. Oleh itu, eloklah kita minta keselamatan daripada pemilik jiwa si polan iaitu Allah Yang Maha Kuasa. Semoga dipalingkan niat jahat si polan tadi daripada kediaman kita.


Kita juga boleh berusaha untuk mengurangkan kesan impak pecah masuk itu. Kesan itu boleh dikelaskan kepada dua iaitu kerosakan harta akibat aktiviti pecah masuk dan kerugian harta setelah dipecah masuk.
  • Untuk mengelakkan kerosakkan harta akibat pecah masuk adalah sukar kerana tujuan kita letakkan macam-macam ialah untuk menghalang pecah masuk. Namun begitu, jika si polan itu mendapati pecah masuk itu terlalu payah, dia akan ambil jalan mudah... pecahkan atau letupkan sahaja. Kerosakan menjadi lebih teruk. Dengan kata lain, untuk mengelakkan kerosakan harta benda akibat pecah masuk ialah seperti membuka pintu seluas-luasnya untuk si polan itu masuk dan ambil apa-apa barang yang diingininya. Pintu pasti tak dipecahkannya kerana telah sedia dibuka luas-luas.
  • Kita boleh kurangi jumlah kerugian dengan pelbagai cara. Salah satunya ialah menginsuranskan harta benda. Cara lain ialah dengan memisah-misahkan harta kepada beberapa bahagian dan disimpan di tempat-tempat berasingan, menyimpan di bank atau peti keselamatan, membuat salinan palsu sebagai 'decoy', memasang peranti GPS untuk dapatkan semula... dsb atau lebih senang, jangan ada barang-barang berharga.

Walau apa-apa pun usaha kita, kita perlu percaya dengan takdir. Kita berserah kerana kita bukan ada daya nak menolaknya pun.




.

Thursday, July 18, 2013

Tips untuk kenderaan sebelum pulang berhari raya...

.

Assalamualaikum semua.

Aku nak fokus satu perkara pada kereta yang sering dipandang remeh tetapi sebenarnya ia memegang satu amanah terpenting dalam aspek keselamatan ketika memandu. Selalunya, orang akan fokus kepada enjin, bateri, radiator ... dsb. Tidak kurang juga yang mementingkan cat yang berkilat seperti 'basah' dan bau wangi dalam kereta. Tapi aku nak fokuskan kepada TAYAR. Dulu aku pernah tulis tapi tak mengapalah, aku tulis lagi.

Ramai yang tak fokus kepada TAYAR sedangkan itulah satu-satunya komponen kenderaan yang memastikan kereta kita masih berada di atas jalan raya!

Kita sering memandu laju-laju tetapi tahukah kita bahawa bahagian kereta kita yang menyentuh jalan raya adalah kecil? Kalau dilihat dari sisi memanglah tayar itu besar dan lebar dan ada empat (4) pula. Cuba lihat betul-betul, permukaan tayar yang menyentuh jalan hanyalah sebesar TAPAK TANGAN setiap satu.

Ianya seperti kita merangkak dengan dua kaki dan dua tangan, dan kita merangkak pada kelajuan 100km/j atau lebih. Jangan ambil sambil lewa tentang tayar.

1. Tayar terpaksa menampung berat kereta dan segala bebannya. Dan jumlah berat itu ditampung oleh permukaan tayar seluas empat tapak tangan sahaja.
  • Kereta jenis sedan biasanya mempunyai berat melebihi 1 tan (tanpa muatan). Kalau kereta itu sendat dengan penumpang yang puratanya 60kg setiap seorang, berat kereta sedan itu akan bertambah lagi sebanyak 240kg atau lebih. Kereta yang lebih mewah dan kukuh mempunyai berat yang lebih tinggi.
  • Kereta jenis kompak seperti kancil dan viva mempunyai berat kira-kira 800kg dan lebih. Kalau ditambah dengan penumpang dan segala beban yang dibawa, jumlah beratnya akan melebihi 1 tan juga.
2. Tayar mempunyai tempoh hayat tertentu dan tempoh 'shelf life' tertentu juga.
  • Biasanya, tempoh hayat 'shelf life' adalah 3 tahun dari tarik ia dikilangkan.
  • Jika sedang digunakan, tempoh hayatnya adalah bergantung kepada kadar kehausan (wear) tayar. Secara teori, kadar kehausan tayar adalah berkadar langsung dengan jarak pemanduan. Secara purata, tayar akan haus dalam tempoh 35,000km - 40,000km, jadi sila lihat meter anda. Namun begitu, ianya bergantung kepada jenis / jenama tayar. Tayar yang lembut agak sedap dipandu kerana lebih senyap dan lebih mencengkam tetapi cepat haus.
  • Tayar yang 'keras' akan haus lebih lambat dan kadang-kadang melebihi 40,000km. Tapi kalau sudah melebihi tempoh hayatnya (lebih kurang 3 tahun) tayar mesti ditukar juga.
  • Jarak 40,000km itu secara puratanya dicapai dalam tempoh 2 tahun. Jadi, 6 bulan sebelum mencecah jarak itu, eloklah mula menabung. Harga sebiji tayar lebih kurang RM160 - RM200, itu tak termasuk upah 'alignment' dan 'balancing'.
  • Getah tayar akan menjadi 'tua' apabila terdedah dengan panas dan cuaca. Getah yang telah tua akan mengeras. Selain menjadi keras, sempadan butir (grain boundary) akan menjadi nyata atau dengan kata lain, permukaan tayar akan merekah kerana rantaian polimer getah itu sudah mulai putus-putus. Jika tidak ditukar, dikhuatiri tayar akan meletup akibat tekanan.
3. Alur (groove) atau 'bunga' pada tayar berfungsi untuk 'menyalirkan' air pada permukaan jalan. Jika air tidak dialirkan dengan cepat dan sempurna, tayar tidak dapat mencengkam jalan dan fenomena ini digelar 'aqua planning/panning'.
  • Berat kereta akan menekan tayar kepada permukaan jalan yang basah. Bunga tayar bertindak seperti 'pam air' yang akan memancutkan air ke dalam alur bunga tayar itu dan juga keluar dari tayar.
  • Jika bunga tayar sudah nipis, proses 'mengepam air' menjadi tidak cekap dan tidak efektif. Ini akan menyebabkan kereta tidak mampu bertindak seperti yang kita inginkan. Maksudnya, kalau kita nak brek, kereta tak mahu berhenti. Kalau kita membelok, kereta akan meluncur terus dan terlajak atau terbabas.
  • Pada tayar jenama tertentu, ada tanda yang diletakkan. Biasanya pada alur itu akan terdapat satu 'jambatan' atau 'bridge' getah yang biasanya kita anggap itu adalah 'menufacturing defect' atau lebihan getah ketika acuan. Sebenarnya, jika permukaan tayar sudah sama rata dengan 'bridge' itu bermakna bunga tayar sudah nipis. Ada juga tanda tiga segi atau 'diamond' atau 'arrow' di tepi tayar. Jika ada kesan lelas pada 'diamond' ini bermakna bunga tayar sudah nipis.
4. Fungsi tayar dibantu oleh sistem suspensi (sistem spring) dan penyerap hentak (absorber). Jika dua sistem ini gagal, tayar akan gagal berfungsi secara optimum.
  • Sistem suspensi bertujuan untuk menjadikan pemanduan itu selesa. Jika tidak, kita terasa seperti memandu kereta lembu. Namun, spring akan menjadikan kereta membuai-buai jika jalan tidak rata atau jalan berlopak. Penyerap hentak pula akan bertindak pada arah berlawanan daripada arah hayunan spring tadi, menjadikan kereta tidak berbuai-buai.
  • Kereta yang membuai-buai adalah bahaya, lebih-lebih lagi jika mengambil selekoh dan menjadi lebih bahaya jika kereta membawa ramai orang.
  • Sebenarnya cengkaman tayar berfungsi dengan berat kereta yakni daya geseran (atau cengkaman) berkadaran dengan koefisien geseran dan berat kereta. Jikalau kita mengambil selekoh dan pada ketika itu kereta melambung ke atas dek kereta berbuai, berat kereta pada ketika itu berada di udara dan cengkaman tayar akan menjadi lemah dan kereta boleh terbabas.
  • Sila tukar penyerap hentak jika didapati kereta anda 'berbuai-buai'.
5. Periksa tekanan angin tayar, ia mungkin boleh mengurangkan lelasan (wear) pada tayar.... selain menjimatkan minyak petrol.
  • Tayar yang kurang tekanan angin akan menggunakan permukaan bunga yang lebih. Ini akan menjadikan tayar itu lelas pada kadar yang bukan sepatutnya. Ini merugikan kita kerana harga tayar bukanlah murah.
  • Cengkaman tayar yang berlebihan akan menjadi 'beban' kepada kuasa enjin. Kuasa enjin diperlukan pula untuk melawan (overcome) beban atau 'drag' ini, menjadikan kita terpaksa menekan lebih pendikit minyak.
  • Tapi jika tekanan angin terlalu tinggi, pemanduan akan menjadi tidak ceria kerana nanti terlanggar seketul batu kelikir pun kereta terasa terhentak. Hentakkan dan gegaran ini akan menyebabkan 'letih lesu' atau fatigue. Kesan lesu ini bukan sahaja masuk melalui gegaran badan (yang menyebabkan bola mata bergerak-gerak lebih cepat untuk terus fokus), bunyi bising juga akan memasuki gegendang telinga dan menyebabkan kita lesu. Pemandu yang lesu adalah pemandu yang berbahaya.
6. Pilih jenis tayar yang bersesuaian dengan kereta anda. Dengan lebih tepat, pilih tayar yang sesuai dengan berat kereta dan sistem brek.
  • Ketika mengambil selekoh atau membrek, momentum kereta (yakni berat dan kelajuan kereta) akan bertindak terus kepada dinding tayar.
  • Bayangkan begini, kereta ingin terus bergerak akibat momentum atau lajakkan tetapi tayar pula mencengkam erat permukaan jalan. Dinding tayar akan menerima 'stress' yang tinggi pada ketika ini. Jika tayar yang tidak sesuai digunakan, dinding tayar akan pecah akibat daya ini.
  • Sila ikut saranan pihak pengeluar kereta tentang saiz tayar anda kerana saiz tayar tersebut telah pun diuji di litar ujian. Percayalah, ada tayar yang pecah ketika mengambil selekoh di litar ujian sebelum ketemu dengan saiz dan rekabentuk tayar yang sesuai. 
  • Sebagai panduan mudah, kalau hendak tukar saiz tayar sekalipun, sila jangan terlalu jauh daripada saiz asal yang dipasangkan oleh pihak pengeluar kereta. Atau untuk lebih selamat, kalau masih mahu menukar tayar kepada yang lebih 'fancy', sila beli yang berjenama dan ianya pasti bukan murah.

Cukup dulu buat masa ini. Setakat ini sahaja yang dapat aku fikirkan. Kalau ada terfikir yang lain, silakan tambah.




.

Wednesday, July 17, 2013

Berbuka puasa... mulakan dengan yang lembut-lembut

.

Sayangi perut kita. Setelah dormant selama lebih 8 jam, mengejutkan perut dari tidur dengan makanan yang pedas dan berminyak dan berkuah kompleks adalah satu kezaliman.

Menurut seorang teman, kejap tadi, dia berikan definisi 'adil' dan 'zalim'. Katanya, 'adil itu apabila meletakkan sesuatu itu benar pada tempatnya manakala zalim itu apabila meletakkan sesuatu itu tidak pada tempat yang sepatutnya'. Jadi, aku rasakan aktiviti berbuka puasa dengan cara memasukkan makanan yang pedas-pedas, berminyak dan kompleks itu sebagai satu kezaliman juga.

Sejak kecil lagi, aku berbuka puasa dengan tamar dan pengat atau bubur atau kuih-kuih ringkas. Setelah itu, bersolat maghrib dahulu. Kemudian barulah makan nasi atau mee atau 'main course'. Oleh sebab itu juga, aku terapkan cara itu kepada Mama-muahs dan Ariff.

Makanan berbuka puasa yang aku suka dan ada nilai-nilai nostalgia, diantaranya, ialah Pengat Pisang Awak + biskut lutut.

Ada pandan dan sedikit kayu manis, menggunakan gula pasir dan santan dan sedikti garam. Pisangnya adalah pisang Awak, jika pisang lain aku kurang gemar kerana kembang atau terlalu masam, contohnya pisang Nangka. Tapi bukan makan begitu sahaja. Kira-kira 30 minit sebelum berbuka, aku akan rendamkan biskut lutut ke dalam pengat tadi biar lembut dan sebati. Kalau tak ada biskut lutut, roti pound pun ok juga. Kalau itu pun tak ada, biskut lemak pun ok.

Sebab apa? Sebab itulah juga juadah berbuka puasa yang Emak makan.
Anak Emak akan makan ikut Emak juga...




.

Tuesday, July 16, 2013

Tidur di bulan Ramadhan...

.

Puasa-puasa begini, di tengahari rembang, alangkah sedapnya biji mata tatkala kepala dilabuhkan di atas sofa kulit empuk di bilik yang berhawa dingin ... di pejabat.



Foto diambil sejurus sebelum terlelap 'sebentar' tengahari tadi



Dan dikejutkan oleh boss dengan suara yang lembut dan lunak didengar... setelah 'cat nap' lebih 30 minit daripada waktu rehat sebenarnya...

(Mungkin suaranya lembut kerana takut kalau dijerkah, aku terkejut dan dalam keadaan mamai itu aku cekik-cekik semua orang di pejabat sampai mampus).




.

... dan pada hari ni aku isytiharkan...

.

Aku dan kuih bahulu seperti aur dengan tebing. Saling bergandingan ketika menyambut hari raya.

Ada beberapa orang bertanya kalau-kalau aku mahu buat pesanan kuih raya. Bila aku tengok senarai kuih-kuihnya, kebanyakkan jenis moden kotemporari sedangkan aku ini lelaki yang masih mengaitkan hari raya dengan nostalgia. Kepada orang itu, aku buat pesanan bahulu dan kek lapis pelangi. Selang beberapa hari, katanya tak ada orang nak buat hari raya ini... huhuhu.

Bagi aku, hari raya adalah penuh dengan bayang-bayang silam. Aku sedaya upaya cuba mencari elemen-elemen yang boleh membawa aku kembali ke hari raya ketika aku di sekolah rendah dahulu. Antara elemen-elemen itu ialah juadah hari raya.

Makanan di pagi raya yang aku harapkan ada -
Ayam Semur Mama,
Rendang Kerang Kak Idah,
Daging Hitam Manis Kak Yah,
Ketupat Nasi,
Ketupat Pulut,
Sambal Goreng Emak,
Air oren atau sirap pandan...

Kuih-muih di hari raya yang aku harapkan ada -
Bahulu kampung berperisa asap sabut kelapa,
Kek pelangi berlapiskan jem nanas,
agar-agar sirap dan pandan,
Buah 'kolang-kaling' merah hijau...

Terutamanya bahulu. Bahulu yang biasanya aku rendamkan ke dalam air oren sebelum masuk ke mulut.


Maka, aku isytiharkan mulai hari ini, misi pencarian bahulu kampung pun bermula... dan aku namakan misi ini sebagai "Ada Bahulu Kampung?"



.

Monday, July 15, 2013

Aku faham begitu , kau faham begini

.


Aku sering terdengar istilah 'fahaman politik' tapi aku sendiri kurang faham apakah maksudnya. Seringkali ungkapannya begini "walau pun mempunyai fahaman politik yang berbeza, kita mesti bersatu apabila negara diancam musuh luar..."

Aku rasa penggunaan istilah 'fahaman politik' dalam konteks tersebut kurang kenalah sebab tak pastilah sama ada orang itu benar-benar faham tentang politik partinya. Kadang-kadang pemimpin cakap lain dan orang itu faham ke lain pula. Mungkin terjadi 'communication breakdown'. Oleh itu perbezaan fahaman berlaku bukan di luar parti malah di dalam parti itu sendiri. Jadi, ungkapan di atas yang digunakan untuk membezakan keahlian parti tidak boleh digunakan lagi. Fahaman kini bersifat individu sebab masing-masing punyai pendapat. Jarang yang mempunyai pendapat yang benar-benar sama... sipi-sipi tu biasa.

Aku rasa istilah yang patut diguna ialah 'naungan politik' seperti contoh ungkapan "walau pun naungan politik berbeza, bla.. bla.. bla.. ". Seperti duduk dibawah 'payung'... bergantung kepada cap parti apakah yang ada pada payung itu.



.

Sunday, July 14, 2013

kau, aku dan malam

.

Malam ini meriba aku
Dalam hangat dakap
Mimpi aku mahu lena
Empuknya tilam
Lembutnya gebar
Hanya sekelumit tinggal
Untuk hari esok
Aku mimpi kamu
Dalam antara sedar nyata
Seolah-olah bersama-sama masuk
Dalam kamar mimpiku
Beradu dalam ribaan malam
Di atas empuk tilam
Di bawah lembut gebar
Kita menanti fajar hari
Diam-diam...shhhh
Nanti momok datang
Menabur debu seram
Gigil kita takut
Nanti kita terlepas
Rahsia kehebatan malam ini
Warna-warna pelangi
Menghiasi dada malam
Kau aku bintang
Memandu musafir tersesat
Dalam rimba hidup
Atau gurun gersang

Kau aku dan malam
Bersatu jadi sebahagian alam.



.


Saturday, July 13, 2013

Boikot ayam??? Apa salah si ayam...?

.

Pagi pagi tadi aku sudah keluar rumah kerana Ariff ada kelas gantian dek jerebu tempohari. Dalam perjalanan balik, aku singgah di pasar untuk beli ayam dan sayur. Apabila sampai di rumah, aku gunting rumput, aku 'trim' rumput sebenarnya.

Tengahari tadi, aku jemput Ariff di sekolah. Dalam perjalanan pulang, aku singgah di kedai barangan keras (hardware) untuk beli sebatang kayu 1'x1' dan paku konkrit.

Petang tadi, ribut dan hujan melanda lebat. Selepas reda sedikit, kami ke bazar ramadhan di stadium S.A. kami beli nasi ambeng berlauk ayam dan daging, dan untuk Ariff pula nasi kukus berlauk ayam. Ada juga murtabak dan kuih muih kami beli.

Bila kami congak, hari ini kami telah belanjakan hampir RM50.

Mungkin ada yang kata, itu dah keperluan, beli sajalah. Takkan tak beli, habis tu nak makan apa? Tapi aku berkata dari dimensi lain.

Tak bolehkah aku dapat semua tu dengan harga RM30 sahaja?

Berkenaan dengan harga ayam yang meningkat, kerajaan ada beritahu akan import ayam 'bulat' untuk paksa harga ayam mentah turun. Alih alih hari ini keluar pula saranan rakyat patut boikot ayam. Kenapa tak teruskan dengan import ayam itu?

Menyuruh rakyat boikot ayam sebenarnya seperti mengatakan 'kalau tak mampu nak beli, janganlah beli'.

Ini bukan masalah perlu atau tak perlu beli ayam. Ini masalah harga ayam naik dan pokok soalan ialah bagaimana nak turunkan dan stabilkan harga ayam. Itu barulah mengutamakan pengguna namanya. Gunakanlah mekanisme yang telah dikenali untuk bantu rakyat.

Penyataan 'boikot' itu sebenarnya sejenis penyataan politik. Penyataan yang tak kacau penternak dan industri ayam dan tak tempelak pengguna ayam. Tengah tengah. Penyataan yang secara politiknya selamat jika untuk pilihanraya.

Dari dimensi lain, boikot itu seperti berkata 'hah! padan muka dua duanya, sorang tak dapat jual ayam, sorang lagi tak dapat makan ayam'. Seperti dua orang budak rebutkan mainan, si bapa ambil mainan yang direbutkan dan simpan. Dua dua budak tak dapat main, padan muka.

Apabila penternak tak dapat jual ayam dan pengguna tak makan ayam, ayam ayam di reban akan tetap membesar dan perlu diberi makan. Dan anak anak ayam perlu dimusnahkan. Ingat lagikah kes pembakaran beribu ribu anak ayam dek harga ayam merudum dan kos makanan ayam naik?

Pada akhirnya, ayam juga yang ditimpa masalah. Ayam jugalah yang merana...tapi apa apa pun, ayam tetap mati.



.

Friday, July 12, 2013

Mercun roket!

.


Emak telah siap-siapkan petang tadi lagi. Kuih lapis merah putih setalam. Bihun goreng ditaburkan bawang goreng seperiuk. Air teh panas secerek pun ada walau pun sudah diberitahu di surau ada dibuat air panas. Tapi Emak suruh bawak juga. Untuk elakkan tertumpah, muncung cerek itu disumbatkan dengan gulungan kecil kertas suratkhabar.

"Cukup ke?"
"Cukupppp... rumah lain pun bawak juga."

Meriah. Jerit pekik kelolong budak-budak yang menjadikan malam Ramadhan di kampung itu meriah. Kerap kali jeritan mereka itu melampaui bacaan Tok Imam yang membaca surah ketika solat sunah Tarawikh.

Sepanjang jalan ke surau itu, juga di rumah-rumah, lampu minyak tanah atau panjut menerangi. Lain sedikit di surau kerana di surau ada lampu 'gasoline' dua buah. Satu diletakkan di anjung manakala satu lagi di ruang solat di tingkat atas. Budak-budak riuh tadi itu bermain di luar surau, diterangi lampu 'gasoline' di anjung itu. Apabila cahaya dari lampu itu menjadi sedikit malap, akan ada abang yang mengepam lampu itu, maka teranglah cahayanya.

Selang seli solat sunat 21 rakaat itu, para jamaah akan duduk mengelilingi dulang-dulang juadah dari 2-3 rumah orang kampung. Dulang-dulang besi yang berbagai-bagai corak bunga, berwarna-warni. Manakala air teh dan kopi pula dituangkan juga. Mana-mana yang telah kenyang, akan bersandar pula pada dinding papan sambil menggulung rokok daun nipah dan menghisapnya. Sembang ala kadar, usik-mengusik ala kadar, kemudian Tok Imam akan mengajak untuk sambung beberapa rakaat lagi. Begitulah hingga akhirnya selesai kira-kira pada pukul 10.30 malam.

Sebelum pulang, pinggan mangkuk dan gelas cawan yang masih belum berbasuh akan dikumpulkan ke dalam dulang. Mana-mana juadah yang masih berbaki, jamaah yang berkenan akan membungkusnya dengan plastik atau daun pisang... atau dengan sehelai kertas suratkhabar. Bekas-bekas yang kotor akan diletakkan di anjung.

Sejeurus sebelum pulang ke rumah masing-masing, lampu 'gasoline' akan dimatikan. Lampu itu diletakkan ke bawah secara cermat, tidak boleh bergocang sangat atau nanti 'mentol'nya yang diperbuat daripada sejenis kain dan telah pun terbakar menjadi abu akan pecah. Jika pecah, ia perlu digantikan dengan yang baharu yang beharga 25 sen pada ketika itu.

Ada yang menaiki motorsikal. Kepada yang menaiki basikal, perjalanan mereka disuluh dengan lampu basikal ber'dinamo'. Walau pun agak memberati kayuhan kerana 'dinamo' tersebut di pusingkan oleh tayar hadapan, ia lebih baik daripada berbasikal di dalam gelap.


Esok harinya...
Menjadi satu tugas kepada budak-budak yang terpilih untuk datang ke surau dan membasuh pinggan mangkuk, talam besi dan gelas-gelas. Sudah tentu ada upahnya. 20 sen sahaja tetapi cukup untuk pergi ke kedai runcit di hujung jalan untuk 'tikam' mercun. 20 sen itu boleh digunakan untuk 'tikam' sebanyak 4 kali. Sekali 'tikam', kena bayar 5 sen. Apabila dibayar 5 sen, mereka boleh mencarik sehelai kertas kecil berlipat kemudian lipatan kertas itu dibuka. Ada satu nombor di kertas itu. Pada plastik-plastik bergantungan yang terisi dengan pelbagai jenis mercun, daripada mercun tarik sehinggalah kepada bunga api dan yang menjadi idaman budak-budak pada ketika itu.. mercun roket!, plastik-plastik pembungkus itu juga ada nombor tertentu.

Jika nombor yang tertera pada kertas 'tikam' tadi itu sama dengan nombor pada salah satu mercun tadi, mercun tersebut menjadi miliknya. Ya, dengan hanya bermodalkan 5 sen, budak itu boleh mendapat mercun kebanggaan semua... mercun roket!

Maka, tugas membasuh pinggan mangkuk, talam dan gelas cawan seolah-olah menjadi rebutan. Gara-gara mahukan upah daripada Tok Siak yang baik hati. Sudah tentu upah 20 sen itu datangnya dari poket Tok Siak itu sendiri kerana surau tiada tabung syiling.


Malam-malam Ramadhan meriah dengan gelak ketawa budak-budak bermain aci... dan siang-siangnya, sunyi kerana masing-masing ketiduran...




.

Thursday, July 11, 2013

Sebuah puisi plastik ...

.

Aku beriadah di sebuah hipermarket yang terkenal. Itulah salah satu cara aku mendapatkan 10,000 langkah. Tanpa aku sedari, aku telah pun berpusing-pusing di dalam hipermarket itu berkali-kali, tak terkira sambil bermain-main troli pasaraya tersebut.

Ketika berjalan di lorong dengan rak-rak dipenuhi barang-barang keperluan dapur, Ariff membaca sesuatu. Aku hampirinya dan dia tunjukkan beberapa puisi di belakang plastik pembungkus. Ya, puisi di plastik pembungkus.



seperti merakam perjalanan hidupnya


seperti tak puas hati tentang sesuatu

Soalannya:
Siapakah yang menulis puisi-puisi itu? Dan kenapakah kilang itu mahu mencetak puisi-puisi itu di plastik pembungkus itu sedangkan itu adalah kos tambahan?


* puisi itu dicetak di bahagian belakang pembungkus plastik bungkusan.




.

Wednesday, July 10, 2013

Kena potong...

.

Jangan terlupa... nanti kena potong





Ini salah satu cara untuk mendisiplinkan orang...
Untuk bulan puasa, elok lekatkan juga...
"Lupa 'tutup mata', potong pahala..."

Selamat berpuasa semua..




.

Tuesday, July 9, 2013

Stem Cell bersumberkan tumbuhan..

.

Aku dapat ilham untuk 'menanam' taugeh setelah melihat seorang blogger Melayu yang tinggal di bumi Fiji. Selama ini aku ingatkan 'menanam' taugeh perlukan persekitaran seperti menanam cendawan tiram. Rupa-rupanya, ianya boleh tumbuh di dalam periuk sahaja!




Aku perhalusi ilmu menanam taugeh ini dari boss aku. Rupa-rupanya, dulu semasa zaman kemelesetan ekonomi di Malaysia, dia ada pergi berkursus. Dia ceritakan satu per satu cara-cara menanam taugeh. Tapi, aku kata, aku cuma nak buat sekali makan sahaja dan aku tak perlukan segala jenis 'aparatus' seperti seorang towkeh taugeh. Jadi, dia berikan petuanya sahaja.

Aku ikut petua itu. Aku rendam segenggam kacang hijau lebih kurang 4-6 jam atau sehingga ada kulitnya yang sudah pecah. Kemudian, lapikkan satu bekas plastik dengan kain bersih atau sapu tangan bersih, tapi dalam foto itu aku gunakan sejenis tisu dari sejenis sabun basuh baju (tisu tersebut mempunyai sabun) tetapi telah pun digunakan... dah tak ada kesan sabun lagi. Aku gunakan tisu itu kerana ianya liat (kalau tak liat sudah tentu habis hancur tisu itu dai dalam kain baju yang dibasuh). Aku lipat-lipat tisu itu agar tebal untuk memisahkan air dari kacang hijau.

Kemudian, aku taburkan kacang hijau rata-rata di dalam bekas plastik. Aku renjis-renjiskan air sehingga tisu itu lembab tetapi kacang hijau tidak sampai terendam. Kemudian aku letakkan bekas itu di dalam sebuah periuk dan aku tutup. Tujuannya, untuk elakkan cahaya masuk.

Sebelum pergi kerja, aku renjiskan air lagi. Apabila balik dari kerja, aku renjiskan air lagi. Sebelum tidur, aku renjiskan air lagi. Dalam 3-4 hari, jadilah seperti di atas itu.

Taugeh yang kita tanam sendiri, kita yakin ianya bersih tanpa was-was. Ianya boleh dimakan begitu sahaja dan aku percaya sel stem taugeh itu ada. Sebelum ini, aku pernah dengar ada kes tentang cara murah / mudah untuk menggemukkan taugeh iaitu dengan air kencing (air kencing ada urea). Jadi, taugeh aku itu sedikit liat dan taklah gemuk sangat sebab aku tak kencing di situ...




.

Monday, July 8, 2013

Gelandangan di tengah-tengah kota...

.

Malam Sabtu baru-baru ini, aku ke sini untuk melihat sesuatu...




Tak... ini bukan siang tetapi malam. Dan aku bukan makan di situ kerana pada waktu itu kedai itu sudah pun ditutup. Aku cuma menumpang duduk di tubir siar kakinya sahaja kerana apa yang aku tonton sebenarnya ada di seberang jalan sana, iaitu...




Sebuah lokasi dimana pada gelandangan akan berkumpul saban malam untuk mendapatkan makanan dari pihak majlis agama. Dan pada setiap malam Khamis dan Jumaat, pihak NGO pula akan mengambil alih untuk memberikan makanan percuma kepada mereka. Ada juga yang aku lihat sepasang suami isteri muda menolak kereta sorong bayinya, datang mengambil makanan dan minuman, makan dan minum di situ, kemudian berlalu pergi.


Dan pada malam itu...
Renjis kasih turun dari dada langit
Bukti rahmat di bumi yang di situ
Buat membelai hati yang melihat dari sini.





.

Friday, July 5, 2013

Video memancing anak ikan dari desa..

.

Sejenis video memancing anak ikan di kolam semulajadi ...





Sekarang orang memancing ikan di kolam simen atau kolam buatan. Senang. Tak ada gangguan cuaca. Tapi, perasaan 'ummph!' tu tak ada. Perasaan takut ular patuk atau harimau menjenguk atau babi meranduk tak ada. Tak ada kisah tentang pacat atau lintah. Tak kisah pasal nak kencing berak. Dan tak kisah tentang pontianak dan langsuir.

Memancing di hutan perlu peka. Peka kepada cuaca, kepada angin. Kena pandai baca air. Kena tahu hidu bau hutan.




.

Sebelum disusun betul-betul, susun dulu dalam kepala....

.


Diantara kebaikan menanam bunga di dalam pasu ialah kita boleh ubah-ubah kedudukannya.
Kalau sudah bosan dengan susun-atur begitu, kita boleh susun-atur begini.
Bila itu pun sudah bosan, digubah cara lain pula.
Sekejap disusun memanjang, sekejap dikumpul-kumpulkan.
Sekejap dipisah-pisahkan, sekejap disusun ikut jenis bunga.

Tapi, ada kelemahan dari aspek lain pula.
Contohnya, kalau kita tak pasti bagaimanakah susun-atur yang menarik pada kali ini.
Sekejap diangkat dari sini dan diletakkan ke situ.
Bila tak menjadi, pidahkan pula ke sana.
Bila tak menarik, pindahkan lagi ke sini.
Kemudian... kemudian.... bila tenung-tenung, bila kepala sudah digaru-garu,
"letakkan macam tadilah kut?"

Terfikir sejenak kalaulah aku ada butang 'UNDO'...haih...




.

Thursday, July 4, 2013

Memproses daun Stevia untuk menggantikan gula

.

Sekarang ini, orang heboh dengan sejenis pengganti gula, sebagai pemanis yang dihasilkan dari daun Stevia. Abang aku salah seorang yang menggunakan daun ini sebagai pemanis. Sesetengah orang kata pokok Stevia ini payah hendak dibela tapi aku tengok pokok-pokok di rumah abang aku elok je suburnya. Tanamnya pun cara cucuk batang sahaja.


Beberapa pasu pokok Stevia, daunnya baru sahaja dituai...

Daun Stevia yang dikeringkan boleh dimasukkan ke dalam secangkir teh panas sebagai pengganti gula yang kosong kalori. Untuk menggunakan daun Stevia kering secara terus, prosesnya mudah sahaja. Kalau dalam bentuk serbuk, atau yang lebih 'advanced' dalam bentuk pil berkepekatan standard, aku tak tahu caranya. Mungkin memerlukan proses tertentu untuk mengekstrak protin pemanis itu dari daunnya.


Daun-daun Stevia dipilih dan dipetik.

Daun-daun tadi dibasuh dengan air yang bersih dan ditoskan


Kemudian, dijemur dibawah terik mentari untuk meningkatkan kepekatan protin pemanis
(dengan cara penyejatan air lebihan)

Namun begitu, daun Stevia kering yang direndam ke dalam air teh masih terasa rasa daunnya. Tapi, apa ada hal.... teh pun sejenis daun juga. Lama-lama, lidah itu akan biasa dan boleh menerima.





.

Wednesday, July 3, 2013

Ikan di sawah, asam di pokok... dalam periuk bikin muafakat...

.

Dua entri sebelum ini, aku menulis tentang memancing ikan sawah dan sejenis sayuran kampung yang aku panggil 'genjer' atau paku rawan atau... aku tak tahu. Malam tadi, Mama masakkan salah satu resepi istimewa keluarga aku.


Puyu dan Haruan di goreng dan disimbah dengan kuah sambal bersantan

Aku panggil ini Sambal Santan kerana sambal tumisnya bersantan dan ianya adalah versi Jawa. Kalau Sambal Santan biasa, ianya aku rasa lebih kepada sambal bilis atau udang atau sotong yang dimasukkan santan. Sambal Santan versi aku ini adalah versi Jawa.

Aku pernah tulis tentang ini dalam entri sebelum-sebelum ini. Sebenarnya, ianya macam masak lemak cili api. Bezanya, kami gunakan ubi Cekur dan daun Cekur, dan bertumis. Ubi cekur, sedikit halia, cili padi sehangat rasa, bawang merah, bawang putih, kunyit dan ikan bilis ditumbuk halus. Tumiskan semuanya.

Sesudah naik bau, masukkan sedikit air dan kemudian masukkan santan kotak. Kalau guna santan kelapa 'fresh' diperah, masukkan dahulu santan cair dan apabila sudah menggelegak barulah masukkan santan pekat. Hiriskan daun Cekur yang muda dan taburkan. Kalau ada daun kunyit, lagi baik. Hiris dan campurkan sekali. Asam keping dan garam secukup rasa. Ikan tu boleh digoreng atau dibakar atau disalai, kemudian dimasukkan sekali sejurus api dimatikan.

Dan lawannya...



Genjer celur dan pucuk betik, juga dicelur.

Genjer itu direndam di dalam air garam dalam 30 minit sebelum di celur sehingga layu. Pucuk betik itu sebenarnya diambil dari pokok betik yang aku tanam di depan rumah. Bunganya asyik tak mahu melekat. Jadi, aku ambil keputusan untuk disayurkan sahaja pucuknya dan aku buang popkok betik itu.

Genjer itu agak pahit rasanya. Pucuk betik pula sememangnya pahit. Tapi sekali-sekala, apa salahnya makan pahit-pahit ini. Orang kata, ubat.  Panadol pun pahit juga... cuma orang tak pernah cicahkan Panadol dengan Sambal Santan untuk dimakan dengan nasi...





.

Tuesday, July 2, 2013

Genjer - sejenis sayur yang jarang orang makan ...

.

Ada orang panggil ia 'Paku Rawan' tapi aku panggil 'genjer' sahaja. Aku tak tahu orang di daerah lain panggil pokok ini apa.


Selain daripada nama Genjer dan Paku Rawan, apa nama lain dia?
 
 
Tumbuhnya banyak di tanah selut dan hidup subur di tanah yang berair. Kadang-kadang, dalam longkang pun aku pernah nampak. Dengan kata lain, ia sejenis tumbuhan air.
 


Hidup subur menumpang baja Urea yang ditaburkan untuk padi.
 

Di kampung aku, pokok ini tumbuh banyak di sawah-sawah. Malah, ianya menjadi musuh kepada anak padi kerana daun lebarnya itu menaung cahaya matahari jika mereka itu tumbuh rapat-rapat. Ia ada bunga berwarna kuning dan apabila matang, ia akan berbiji. Daripada biji inilah ia akan tumbuh.
 
 
Pucuk mudanya boleh dibuat sayur..

Walau pun ia dikatakan musuh kepada pokok padi di sawah, pucuk mudanya boleh dimasak dan dimakan. Ada dua jenis pucuk yang boleh dimakan. Tangkai bunga mudanya dan tangkai pucuk daun mudanya. Foto di atas tu ada nampak dua jenis tu. Yang kudup kuncup itu jenis daun dan yang bulat macam anak panak tu bunga mudanya.



Pangkal pucuk itu berwarna merah jambu atau pink... lebih lembut dan lebih sedap
 
Rasanya agak pahit. Untuk hilangkan sedikit rasa pahit itu, biasanya pucuk-pucuk ini direndamkan ke dalam air dicampurkan garam buat seketika. Kalau nak kurangkan lagi, ramas-ramas sayur ini dalam air garam tadi. Pahitnya datang daripada sejenis getah, kalau dibuang getah itu, akan kuranglah rasa pahitnya.
 
 
Ini contoh pucuk muda yang keluar dari pangkal pokok. Nampak macam pendek
tetapi sebahagian batangnya yang berwarna merah jambu ada tersorok di
dalam tangkai induk.
 
 
Biasanya, aku masak sayur ini dalam 3 jenis: masak lemak putih, tumis belacan dan direbus sahaja untuk dicicahkan dengan sambal belacan. Sekali-sekala, kalau ada, sayur yang direbus boleh menjadi sebahagian daripada ramuan berdaun untuk Pecal. 
 

Orang kata, sayur ini bagus untuk awet muda...






.

Monday, July 1, 2013

Memancing ikan Puyu dan Haruan cara tradisional di londang sawah

.

Aku dah pendamkan hasrat nak memancing ikan itu agak lama. Tapi, kalau bukan musim padi masak, jangan harap nak memancing ikan di sawah sebab air sawah masih banyak melimpah. Ikan puyu dan haruan bersepah-sepah kedudukannya serata bendang. Bila air sawah dikeringkan kerana padi sudah berbuah, ikan-ikan akan 'dipaksa' untuk berkumpul di lopak-lopak air atau londang, dan juga di kolam. Musim itu  sudah tiba...!

Dan idea untuk memancing semalam sejujurnya disebabkan Ariff terjumpa seekor 'bakal' ratu kerengga yang telah bersayap. Seperti yang aku katakan, kerengge bersayap ini menjadi salah satu umpan kegemaran ikan-ikan sawah. Kalau dalam dunia kita, dapat makan kerengge ini umpama kita dapat makan pizza + extra cheese...


Aku panggil ini anak kerengge walau pun sebenarnya dah nak jadi mak kerengge.

Aku cuba cari sarangnya tapi kebanyakkannya dah kosong. Kalau banyak, sedap juga memancing guna umpan ini. Kalau tidak, cacing saja la..


Anak kerengge setelah dicucukkan pada mata kail
subjek sengaja dikaburkan kerana foto agak mengerikan.
 
Di sinilah tempat aku memancing pada kali ini. Ianya sebuah kolam ikan lama. Kalau sawah kering, anak-anak ikan akan dikutip dan akan dipindahkan ke dalam kolam ini supaya dapat terus hidup. Jadi, apabila sampai masanya, kami akan pancing ikan-ikan itu...
 
 
 
Kolam ikan ini telah berusia lebih 25 tahun...
 
 
Baru letak sahaja umpan anak kerengge ke permukaan air, seekor puyu menyambar lalu dibawa masuk ke celah-celah ranting kayu yang terendam dalam air. Sekali sentap sahaja, umpan anak kerengge pun hilang. Itulah kekurangan umpan anak kerengge ini. Ia senang terburai dan cepat habis berbanding dengan umpan cacing tanah.
 
Mahu tidak mahu, aku terpaksa suruh Ariff pergi ambil sebatang cangkul dan cacing tanah menjadi umpan seterusnya..
 


Cacing tanah yang segar dari ladang.. masih menguit-nguit dan merah


Cacing tanah yang telah menjadi umpan... geli?
Kalau nak memancing, jangan nak geli-geli...

Selang beberapa minit setelah umpan dilabuhkan, naiklah beberapa ekor ikan sawah yang biasa-biasa ... yakni ikan Puyu dan ikan Haruan..


Kepada yang tak kenal, inilah ikan Puyu atau ikan Betok atau ikan Kereta Kebal..


Ini anak Haruan. Tak sangka dia pun nak makan cacing...
Selalunya jarang makan pancing kerana ikan ini sensitif kepada
kalibat manusia... dah lapar sangat kut.


Warna ikan Puyu yang ini agak berlainan daripada yang pertama tadi.
Mungkin ini ikan Puyu spesis lain kut


Aku ada dapat beberapa ekor anak Puyu lagi di londang lain pula. Nanti aku tunjukkan videonya. Dan ikan-ikan ini bakal aku goreng dan dicelur dengan Sambal Santan.




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com