Tuesday, April 30, 2013

Kegunaan lain susu getah asli...

.

Ada entri sebelum ini aku bercerita tentang pengalaman menoreh getah di Taman Rimba Alam di Putrajaya. Dan aku juga ceritakan kami dapat sedikit susu getah dara yang pekat dan berwarna putih kekuningan. Terasa macam nak minum je susu getah tu.... macam susu kacang soya.

Susu getah lambat untuk menjadi beku jika tiada agen perangsang yang juga agen jahat bernama cuka getah. Cuka getah yang berasid itu membantu untuk menyambungkan molekul susu getah menjadi satu polimer yang berantai panjang, menjadikan susu getah itu bergumpal dan memejal. Susu getah akan membeku juga akhirnya walau tanpa cuka getah tetapi proses itu agak lambat, mungkin berjam-jam lamanya. Cuka getah juga menjadi bahan simbahan sesetengah penjenayah. Akibat kepekatannya, cuka getah itu mampu mencairkan protin atau daging.

Semasa aku bujang-bujang dulu, sementara bercuti semester dan mahukan duit poket lebih, aku menoreh getah di kebun mak. Aku tak toreh semua pokok. Aku pilih-pilih pokok yang banyak keluarkan susu sahaja. Aku tak jual getah keping asap berbunga atau getah sekerap. Aku jual susu getah dalam bentuk cecair terus ke pusat pengumpulan susu getah.

Untuk mengelakkan susu getah dari bergumpal, aku akan campurkan sedikit cecair Ammonia. Baunya macam air kencing... hancing. Ammonia ini bertindak secara berlawanan daripada cuka getah. Ia menghalang polimer susu getah daripada bersambung dan menjadi panjang.


Apa lagi kegunaan susu getah?
Ia boleh digunakan sebagai bahan kecantikan!


Aku masih ingat lagi, semasa emak menoreh getah, aku lihat tangannya halus, putih dan tiada cela. Jadi aku anggap susu getah itu, entah macam mana, mampu membuatkan tangan emak jadi putih dan licin. Sebenarnya, beginilah yang berlaku...


Sapukan sedikit susu getah asli dan cair pada kulit yang tidak sensitif. Biarkan beberapa ketika untuk kering.



Apabila agak-agak kering, gosok susu getah tadi sehingga tertanggal dari kulit. Awas! Jangan biarkan susu getah menjadi terlalu kering.


Susu getah itu menjadi seperti 'masker' atau 'exfoliation agent'. Apabila digosok-gosok, ia akan turut membuang kotoran pada kulit... dan segala jenis bulu yang ada. Itulah sebabnya tangan emak menjadi putih dan licin.

Tetapi awas! Anda mungkin menjerit-jerit kesakitan ketika membuang susu getah itu.
Kulit tubuh yang terkena susu getah tidak dapat dimasuki air. Jika itu adalah anggota wudhuk, wudhuk anda tidak sah. Jika terkena bahagian lain pun, mandi junub tidak sah. Elakkan susu getah dari terkena rambut atau bulu mata. Jika terkena rambut dan susu getah itu menjadi kering, hanya satu penyelesaiannya... gunting atau cukur rambut itu.

Jadi jangan ada yang nak buat kelakar dengan menyimbah susu getah ke rambut orang. Itu mungkin menjadi satu perbuatan jenayah jika niat si pelaku itu didorong oleh rasa dengki dengan kecantikan rambut si mangsa.





.

Monday, April 29, 2013

Taman Rimba Alam di Putrajaya yang belum siap... menoreh getah

.

Hari ahad.
Di sana ada beberapa taman tetapi yang biasa aku pergi ialah taman warisan. Pada kali ini, aku jejaki beberapa taman lain. Salah satunya ialah Taman Rimba Alam yang diwartakan masih dalam pembinaan. Tapi, kami terjah sahaja. Kami mendaki dengan kereta (semestinya) sehinggalah sampai ke penghujung... jalan mati.

Namun kami tak mati akal begitu sahaja. Kami letakkan kereta dan kami pergi ke hujung jalan, di tepi tebing. Aku lihat ada banyak pokok getah liar. Terfikir nak berikan sedikit pengalaman menoreh getah kepada Ariff.



Torehan hanya menggunakan pisau lipat. Aku buat torehan 'V' pada kedalaman 0.5cm tetapi tak melukakan teras batang. Torehan itu membentuk longkang dan berpilin menurun pada kecerunan 30 darjah.



Kemudian aku kerat daun getah kering menjadi'pancur' getah supaya getah menitis ke takungan. Daun getah itu aku selitkan pada sedikit torehan mendatar supaya terkepit. Sehelai daun getah muda aku lipat menjadi 'mangkuk' dan aku cucuk dengan ranting.



Kemudian aku sangga 'mangkuk' tadi dengan kayu getah yang bercabang. Mangkuk getah itu diletakkan pada cabang itu supaya tak jatuh.



Dan aku biarkan susu getah itu mengalir dan menitis masuk ke mangkuk... dengan sabar. Aku kena pastikan tiada susu getah yang meleleh keluar dari longkang takukan 'V'.



Inilah hasilnya selepas 10 minit. Pokok getah itu masih muda dan masih dara. Tiada torehan lama pada batangnya. Susu getahnya pula pekat dan bergred tinggi (kurang kandungan air).



Itulah sedikit kreativiti ketika di taman rimba yang belum siap itu. Selepas lebih kurang 20 minit, kami dapat kumpulkan lebih kurang 1/4 tabung uji makmal kimia yang standard. Jadilah..

Esok-esok aku ceritakan apa yang aku buat pada susu getah yang kami kumpulkan itu.




.

Saturday, April 27, 2013

YB Superman...

.

Diantara dialog-dialog yang aku dapatkan dari TV ketika calon-calon YB ini ditemurah semasa mereka 'turun padang':

"Setelah buat tinjauan begini, kita dapati banyak lagi yang perlu dilakukan..."

Tettttt!!!!

"Saya dapat memahami dengan lebih dekat keadaan yang berlaku...."

Tetttttttttt!!!!

"Barulah saya tahu... setelah turun padang ..."

Laagiiiiii Tettttttttttttttttttttttttttttttttttt!!!!!!!


Mereka itu mungkin nak tunjukan kejujuran mereka. Mereka mungkin juga mahu menunjukkan keikhlasan mereka dengan membuat pernyataan seperti itu tetapi kata-kata mereka itu mengundang persoalan lain. Diantaranya, selama ini mereka tak tahukah? Setelah 5 tahun, takkan baru kali ini faham?


Lebih baik jika mereka mengatakan begini:

"Sebenarnya masalah Mak Cik Wok telah saya panjangkan ke pihak atas 3 bulan lepas. Saya akan 'follow-up' apa ceritanya nanti. Pasal Pak Yeop pula saya dah tengok minggu lepas, kertas kerja saya dah buatkan, lepas PRU13 nanti, kalaulah saya terpilih semula, saya akan bawak ke atas..."

atau

"Walau pun saya bukan terpilih semasa PRU12, masalah-masalah mereka ini saya cuba ringankan dengan bantuan dari poket saya sendiri setakat mana yang termampu sahajalah. Kalau PRU13 ni saya terpilih, saya pasti akan berusaha lebih lagi..."


Semua orang berharap YB mereka itu seorang yang 'superman'.
Mana boleh sebab YB-YB kita ni belum pakai seluar dalam di luar lagi.
Dan yang terpenting, seluar dalam mereka berwarna putih.... bukan warna merah.




.

Friday, April 26, 2013

Keindahan dan keajaiban

.

Pagi tadi, dalam perjalanan ke tempat kerja, aku mendengar celoteh di radio dan sehabisnya celoteh itu, deejay dendangkan sebuah lagu K-Pop. Aku tak suka lagu-lagu genre K-Pop. Tapi aku terpaksa tadahkan telinga juga.

Aku cuba fahamkan tutur katanya. Kemudian aku terfikir macam mana sebuah rentak lagu boleh dinyanyikan dalam pelbagai bahasa. 'Note' dan 'key' sebuah irama adalah sama tetapi nyanyiannya boleh dalam bentuk pelbagai bahasa yang ada di dunia.

Kita mempunyai mulut. Kita semua punyai lidah, gigi, rahang, pipi, kerongkong, peti suara ... yang binaannya adalah sama. Hatta orang di Sudan, di Afrika Selatan, di benua Eropah... malah orang Negrito, Senoi. Struktur binaan dan bahan binaan untuk bahagian yang bernama mulut dan sistem suara itu sama.

Tetapi, suara yang keluar adalah pelbagai. Lebih hairan lagi, bagaimanakah bahasa juga boleh menjadi pelbagai.

Kadang-kadang mereka nyanyikan rentak yang sama, runut bunyi "do re mi ..." juga sama tetapi irama-irama yang terhasil adalah pelbagai ... sejak dulu sampailah sekarang. Ada satu pepatah Cina purba tentang irama tapi aku dah lupa. Lebih kurang begini: irama sebuah lagu terhasil dari 4 'key' tetapi susunan 'key' itu menghasilkan irama yang indah-indah.


Samalah seperti 3 warna asas: biru, hijau, merah. Bercampur ketiga-tiganya, jadilah warna putih.
Warna putih itu satu warna. Putih bukan bermakna tiada warna.
Namun dalam warna putih itu sebenarnya adalah warna-warna pelangi indah.


Itulah keajaiban ciptaan Tuhan.
Salam hari Jumaat, sekalian.



.

Thursday, April 25, 2013

Hai Mambang Kuning, Mambang Tanah, Mambang Angin...

.

Pagi tadi aku berpeluang menjadi pengerusi mesyuarat pagi.
Sebagai pengerusi mesyuarat, aku berpeluang untuk bercerita lebih daripada orang lain.
Kerana jika orang lain cakap lebih-lebih, pengerusi boleh jegilkan biji mata dan suruh diam.

Diantara cerita aku ialah tentang Lead Management.
Baru satu tiang aku bagi asap, kawan-kawan semacam kabur.
Jadi aku katakan, Lead Management ini samalah dengan 'Prospecting'.
Istilah orang Sales.Aku bukan orang Sales. Aku jurutera.
Jadi, aku kata mari sama-sama belajar istilah ini.

Dan prospecting ini aku umpamakan seperti seekor ikan jerung yang lapar.
Ikan jerung ini sentiasa lihat ikan-ikan bilis, kembung, selar kuning dll. Jerung nak 'ngap!'
Jadi prospecting adalah satu aktiviti mencari orang supaya membeli produk.
Prospect bukanlah pelanggan. Belum lagi. Baru bakal sahaja...
Jadi, menguruskan aktiviti prospecting dan prospects ini adalah Lead Management.

Aku beritahu, pertukaran di jabatan yang melakukan Lead Management ini sedang berlaku.
Orang baharu masuk, orang lama di pindahkan. Jadi, mereka masih belum faham akan pelan.
Iaitu pelan perancangan projek yang kita sedang minta jabatan itu usahakan.
Mahu tidak mahu, kita terpaksa mulakan semula... redo.

Setelah 40 minit berlalu, cerita aku pun tamat.
Barulah setiap orang bergilir-gilir ceritakan cerita mereka pula... secara ringkas.

Apabila mesyuarat berakhir, aku ambil buku nota kepunyaan seorang rakan.
Dan aku tengok apa yang dia catatkan...



 

Serta merta aku teringatkan Sudin, Ramlee dan Aziz dalam cerita 'Pendekar Bujang Lapok'.
Dengan Pendekar Mustar... dan kisah 3 mambangnya.





.

Wednesday, April 24, 2013

Cerita tentang aku dan tentang Hasri...

.

Ada seorang tua. Usianya boleh dihitung dari renik-renik rambut. Duduk di tepi jalan, di atas bangku batu. Bumbungnya sekapas awan putih, lantainya sekajang simen tanpa jubin. Pakaiannya sepasang suit rendah diri, sepatunya segenggam onak di sepanjang hidupnya. Pandangannya sejauh liku-liku jalan yang berbiku-biku, bercermin tanpa bayang-bayang anak-isteri-saudara-mara. Dia seorang diri, hidup dalan dunianya sendiri. Dia itu Hasri.


Dia tak benarkan sesiapa pun wujud dalam dunianya. Semenjak anak-isterinya meninggalkannya entah kemana. Dalam dunia ini, dia sendiri. Namun dalam dunia yang itu, dialah maharaja. Bersemayam di atas peterakna emas, berbaju, bertengkolok sutera Cina.


Dia termenung. Dalam dunia ini, aku lihat Hasri bermenung jauh, bermenung kosong tanpa gerak. Namun dalam dunia yang itu, dia menerawang ke negeri inderaloka, terbang bersama-sama pari-pari syorga.


Khayal Hasri itu jauh. Sangat jauh untuk orang seperti aku mengerti di dunia ini. Namun di dunia yang itu, Hasri sedang membawa sedulang permata dan terbang diiringi pari-pari syorga... terbang mencari Nita.

Ya, Nita sudah tiada lagi berpuluh tahun dulu di dunia ini. Namun di dunia yang itu, Nita bermain sembunyi dan Hasri perlu mencari... Itu cerita Hasri.



Aku termenung. Apabila aku bermenung, khayal aku panjang... sepanjang jalan hidup yang berliku-liku dan berbiku-biku. Namun jalan yang paling selamat hanyalah jalan yang lurus.... kehadapan. Dan aku pun berkatalah " Sorrow has a human heart and how I wish for this night-time to last for a lifetime... "




.

Tuesday, April 23, 2013

Momok-momok yang wujud dalam dunia iklan....

.

Aku terdorong untuk menulis pada kali ini setelah melihat trend iklan-iklan tertentu yang seakan-akan 'terlalu' menggunakan emosi pengguna. Lihatlah sahaja iklan-iklan makanan untuk kesihatan, iklan-iklan produk kebersihan diri dll.

Kita sedia tahu bahawa pembelian berdasarkan emosi adalah satu pembelian yang paling banyak kita lakukan. Termasuk aku. Apabila emosi menjadi dasar pembelian, kita mungkin akan menyesal kemudiannya. Oleh sebab ini jugalah para penjual sering menggunakan emosi sebagai senjata dalam iklan.

Namun aku perlu buat disklaimer di sini.
Ada kawan-kawan yang pandai dalam marketing berkata bahawa emosi memang memainkan peranan penting dalam pembelian, terutamanya apabila ada pemilihan yang perlu dibuat. Apabila semua ciri-ciri adalah serupa, keputusan akhir yang dibuat biasanya berdasarkan emosi - suka atau tidak, preferences dsb. Terutamanya produk yang mengutamakan kepuasan seperti makanan dan pengalaman (experience) seperti makan di restoran atau bermain di taman tema, emosi menentukan kualiti pembelian itu.


Apa yang aku nak utarakan di sini ialah 'permainan' emosi yang dimainkan oleh iklan untuk mengujakan pengguna, untuk menggerakkan pengguna untuk membeli.

Contohnya:
Seorang ibu mengandung duduk berfikir sama ada zat-zat yang dimakannya boleh sampai kepada bayi yang sedang dikandungnya. Bukankah apa yang si ibu makan akan sampai kepada bayinya? Mungkin maksudnya ialah jumlah serapan oleh bayi itu kurang dan perlu dibantu dengan zat-zat tertentu. Entahlah.

Seorang ibu didatangi 'doktor' yang membawa mesin pengimbas kuman lalu mengatakan tangan anaknya yang sedang bermain di padang bola penuh dengan kuman dan kuman-kuman itu perlu dibasmi. Bukankah kuman itu memang banyak dan ada di mana-mana hatta di papan-kekunci laptop?


Persoalannya, kenapa pengguna perlu dimomok-momokkan dengan segala jenis ketakutan?


Motivasi membeli boleh dilakukan dalam 2 cara: "gula-gula atau/dan rotan" (sugar and cane).

Gula-gula - menunjukkan elemen-elemen yang boleh menarik pengguna untuk membeli seperti keriangan, kepuasan, kecantikan, kesedapan, kenikmatan, kelazatan... (errr.. lain macam je bunyinya)

Rotan - menunjukkan elemen-elemen yang boleh menolak pengguna untuk beralih ke suasana yang lebih selamat atau selesa atau sempurna. Ini termasuklah elemen-elemen yang menakutkan, elemen yang meragu-ragukan, syak-wasangka dsb.


Cuba lihat iklan-iklan yang ada dan perhatikan...

Tak ada pula iklan yang berkata "Anda boleh mati bila-bila masa sahaja. Oleh itu, cepat-cepatlah beli produk kami sebelum anda mati."

Elemen sakit dan mati adalah momok-momok paling digeruni dalam dunia iklan.


Menjadi resmi beriklan agaknya, mereka akan cuba mencari 'soft spots' dalam diri seseorang.
Contohnya, iklan makanan segera sering menonjolkan elemen kanak-kanak yang ceria sedangkan kanak-kanak itu bukannya bekerja, bergaji dan berduit. Kanak-kanak itu seperti 'digaji' untuk melembutkan hati ibu bapa yang berduit.


Seorang bekas CEO sebuah syarikat kreatif yang membantu membuat iklan-iklan untuk syarikat besar-besar pernah bercerita. Dia kata, bayangkan bagaimana susahnya seorang jurujual mahu menjual barang kepada orang yang tak dikenali, malah mungkin baharu pertama kali berjumpa. Namun kalau jurujual itu pandai (dan katanya sememangnya mereka itu dilatih), dia akan cari 'soft spots'.

Kalau orang itu berkata "saya kena tanya isteri dulu..." mungkin faktor 'keluarga' adalah salah satu 'soft spots'. Jurujual itu boleh menggunakan skrip begini "Kalau ence beli ini balang, saya rase mesti isteli ence suka ati sebab olang pelempuan suka walne pink. Mesti isteli ence sayaaaaang sama ence... ence boleh kasi supplais sama isteli ence loo..."


Sebagai tugasan, cuba kita cuba fahami lagu 'sayangi Selangor yakini BN' yang berkumandang 3 kali di Buletin Utama... apakah soft points yang digunakan... dan adakah soft points ini benar-benar menyentuh hati majoriti penduduk Selangor? Aku dengar lalu terasa menyampah pun ada. Itu akulah. Mungkin tak kena dengan titik-lembut di selunjur tubuh aku.





.

Kisah hidup aku dijadikan lagu...

.


Aku.
Berjalan sambil menyeluk saku
melihat dunia yang tiga-suku...
gila dengan masa hadapan yang entah jadi atau tidak.
Aku bukan sangsi, bukan skeptis.
Aku cuma tak gemar apabila saku aku orang seluk-seluk.
Kemudian orang ceritakan tentang indahnya masa hadapan.
Tentang peluang yang mungkin bertandang, mungkin juga tidak.

Kisah hidup aku orang jadikan lagu.
Maka berlagulah kisah hidup itu sebanyak 3 kali sehari.
Aku cuma tak gemar apabila kisah aku dijaja untuk memohon simpati.
Kerana saku aku kosong.
Apabila kosong maka janji-janji masa hadapan itu pun kosong.


(aku = makcik di pintu masuk masjid biru)





.

Monday, April 22, 2013

A fantastic, superb weekends...

.

Pagi itu selepas memberi salam dan berjabat salam dengan seorang sahabat di pejabat:

"So, how was your weekend, bro?" tanya dia.

"Ok je. Tak pernah rasa cukup..."

"What??!!! You should say 'it was fantastic, superb weekend'."

"Yea.... whatever..."

Perbualan yang ringkas tetapi penuh dengan maknanya yang tersendiri.

Dia cuba memasukkan fikiran positif untuk hari pertama bekerja dalam seminggu. Memasukkan elemen-elemen positif untuk pagi pertama setiap minggu adalah penting untuk produktiviti. Itu mungkin katanya dan kata pakar-pakar motivasi.

Namun adakah aku patut berbohong pada diri aku sendiri pada pagi pertama bekerja?
Kalaulah aku mulakan dengan satu pembohongan, aku akan berbohong lagi, bukan?

Ada sebabnya kenapa wujudnya perkataan 'merana', 'sengsara' (sanskritnya: samsara) dan lain-lain perkataan yang dianggap negatif. Salah satu sebabnya supaya kita mengetahui bahawa dunia tak sentiasa indah. Bahawa ada di salah satu pojok dunia ada manusia sedang berdoa agar mati itu lebih baik dari terus hidup. Itu kita tidak tahu secara pasti tetapi kita tahu itu ada.


Tapi pagi Sabtu dan Ahad aku baru-baru ini sebenarnya adalah indah.
Mungkin dia tak faham bahasa yang aku guna.
Atau dia tidak faham maksud "tak pernah rasa cukup" itu.
Kalau makan nasi goreng sampai tambah 2-3 kali, maknanya makanan itu sedap.
Tak cukup hanya sepinggan.
Begitulah hari minggu aku dan setiap hari minggu aku.




.

Rambut putih... sudah tua rupa-rupanya....

.

Di langit. (lihat langit). Ada bulan dan bintang.
Aku menghitung, membelai helai-helai rambut putih, banyak tak terhitung.
Aku mencongak, menilai setiap inci kedut dan keruping pada wajah hodoh.
Sudah lama... sudah tua.
Namun bulan dan bintang jauh lebih tua. Namun tiada kedut pun pada wajah bulan.
Tiada hilang pun kerdipan bintang.
Aku genggam tangan yang kurus dan tinggal tulang itu. Runcing jarinya.
Kuning sudah kukunya. Kotor.
Ibarat segala benda yang dipegang-genggam oleh tangan itu. Kotor.
Aku cium bau tubuhnya. Hapak. Busuk. Hanyir.
Daging-daging yang terbentuk dari makanan yang dimakan sepanjang hayat.

Aku tenung cermin yang tak memaparkan apa-apa bayang pun. Kosong.
Sedangkan aku sedang membelai rambut putih.
Sedang menatap wajah berkedut seribu dan berkeruping pula.
Sedang memegang tangan yang kurus, jari yang runcing, kuku yang tajam.
Sedang menghidu bau hapak, busuk dan hanyir.
Tapi pada cermin itu tiada paparan langsung.

Lalu aku lepaskan semuanya.
Aku jauhi semuanya.
Perlahan-lahan ia terapung-apung dan terbang.
Terbang meninggalkan aku.
Terbang menuju ke tanah perkuburan...




.

Sunday, April 21, 2013

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang...

.


Kadang kala kita (aku) terlalu taksub dalam memandang masa hadapan. Oleh kerana terlalu memikirkan masa hadapan, kita (aku) terlupa masa sekarang.

Kita (aku) selalu dianjurkan untuk memandang jauh ke hadapan. Apabila memandang jauh ke hadapan, dikatakan perancangan dapat fikirkan secara berhati-hati dan mendalam kerana masa masih ada banyak masa lagi. Bukan sudah terantuk baru terngadah. Tak bagus, katanya.

Oleh kerana terlalu memikirkan masa hadapan, segala pelan untuk masa hadapan akan dilaksanakan... dan hari-hari yang mendatang akan dipenuhi dan disibukkan dengan perlaksanaan pelan tersebut.

Lupakah kita (aku) yang kita (aku) ada hari ini?
Sekarang ini? Pada masa ini? Detik ini?
Adakah kita (aku) sanggup biarkan ianya berlalu begitu sahaja tanpa kita (aku) nikmati?
Patutkan kita (aku) 'korbankan' masa sekarang demi masa hadapan yang kita tidak tahu akan jadinya?

Kalaulah dibiarkan sekejap masa hadapan itu kekal di hadapan
dan kita pejamkan mata sejenak untuk menyedut bau hari ini... wangi, busuk, lemak, masin...
hanya sejenak pun cukuplah... sementara kita mempuyai hari ini sebelum ia bertukar menjadi semalam
nikmati kurniaan yang sekejap ini... lupakan tentang masa hadapan.
Supaya nanti kita (aku) tak menyesal kerana terasa rugi apabila hari ini berlalu pergi
tanpa kita (aku) rasainya, hayati sepuas-puasnya...


Adakalanya, peribahasa 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' itu amat bermakna
kerana bagi sesetengah orang (aku), peribahasa ini mengajarkan agar jangan dilupai hari ini,
kita ada hari ini.... dan jangan terlalu memikirkan masa depan sehingga kita kehilangan hari ni.




.

Friday, April 19, 2013

Relau PRU13... fitnah, dusta, bohong menjadi bahan bakarnya...

.


Gema belerang pecah di Lahad Datu, pada satu masa dulu, letupnya mampu memecahkan dada-dada suratkhabar pada setiap hari. Kalau secara online, berita mutakhir hampir setiap jam dikemas kini.

Puisi dan tangis sama pilunya. Jerit raung sama ngerinya di Lahad Datu. Pada masa itu.

Sekarang ini, masih ada sedu-sedan di sana. Masih ada arang dan abu yang belum dibasuh hujan. Masih ada ketakutan di balik batang kelapa sawit, di balik pintu rumah tinggal. Segala-galanya masih ada. Busuknya masih tercium. Hangitnya masih berasap di tempat-tempat tertentu.


Tapi sekarang ini juga kehangatan di Lahad Datu seolah-olah teduh-nyaman di bawah pokok ujan-ujan.
Kalau dibandingkan dengan teriknya, pijarnya, panasnya PRU13.

PRU13 tak panas. Tetapi fitnah, kutuk, cabar, maki, dusta, tipu daya..... itulah yang menjadi bahan bakar dalam PRU13. Bahan bakar yang menjadikan relau PRU13 itu panas... sepanas hati matahari!

Sudah-sudahlah... cukup-cukuplah...





.

Thursday, April 18, 2013

Kita berpantun mariiii...

.



Tanam pinang rapat-rapat
       biar senang puyuh berlari
Pinang-pinang kutak dapat
       kupunjut-punjut kubawa lari




Bunyinya macam ganas, keras tetapi kalau dah buat cara lembut beradab tak dapat, buat cara kasar pulalah. Hmm... bunyinya agak menasabah...




.

Memancing Masa Hadapan

.


Mungkin istilah memancing kurang kena di sina.
Tetapi aku rasa istilah memancing itu amat kena di sani.

Aku tak menulis tentang senario politik yang semakin hangat sekarang ini.
Hangat dengan berita-berita yang entahkan betul entahkan tidak.
Berita-berita yang hanya diambil dari 'tukang cerita' yang lembut gigi dari lidah.

Aku menulis tentang masa hadapan tempat aku kerja ini.
Kerana jika kita mahu memancing masa hadapan, umpannya perlu kena pada tekak si ikan.
Apabila ikan ada selera mahu menjamah umpan, barulah boleh dipancing masa hadapan itu.
Kerana pada masa hadapan, ikan-ikan pada masa kini perlu dibiak-tetaskan.
Supaya nanti pada masa hadapan, akan ada banyak ikan untuk dipancing dan dimakan.

Oh ya, apabila aku fikirkan semula, aku rasa istilah memancing itu kena sama ada di sini
atau di sana...






.

Wednesday, April 17, 2013

Tampar Nyamuk, Pukul Lalat

.

Keseorangan. Dia. Tanpa Qasidah.

Menjelma dari balik cermin. Muncul dari gelap. Berpandukan cahaya neon dari tiang setinggi 20 kaki.
Dia itu. Duduk berlunjur di depan sebuah bank. Menampar nyamuk dengan pemukul lalat.
Pap! Pap! Pap!

Dia itu. Di sebelahnya, ada bersusun kuih-kuih kering untuk ditukarkan dengan sekeping dua wang.
Dia itu. Dia tidak meminta wang. Dia itu. Dia hanya mahu menjual kuih-kuihnya.

Kalau encik beri not RM10 untuk kuih RM4, baki wang itu adalah untuk baki usianya.
Itu kalaulah encik sudi.
Kalau encik tak sudi, upah sedikit yang memang sedikit itulah baki hidupnya yang sedikit.
Bergantunglah pada niat encik.

Lagu-lagu Qasidah berkumandang dari corong radio.
Manakala menara biru gah dengan cahaya.







.

Tuesday, April 16, 2013

Bahang membahang... kian terasa menyapu muka

.

Panas terik tengahari semalam membawa ke rembang petang yang hangat.
Aku ingatkan menjelang sore, panas itu kan menjadi suam. Tidak rupa-rupanya.
Membawa ke malam, bahang masih membelengu di ruang.
Panasnya sekata di dalam dan di luar.

Kibaran bendera biru - hijau - biru muda gagal menghasilkan pusaran angin yang cukup.
Angin yang cukup untuk berolak masuk ke dalam rumah, apa lagi untuk menyejukkan.
Kipas seolah-olah terhenti bilah-bilahnya, gagal menghasilkan 'chill effect'.
TV juga semakin panas... luar dalam panas. Mulut panas. Imej pun panas. Mencik!

Terfikir juga aku untuk mengenakan buasana daripada kertas. Pada malam tadi.
Buasana kertas yang senang dikoyak dan senang diganti.
Kalau terlebih gerak, akan rabak dari celah ketiak hingga ke kelangkangan.
Nasib baik aku hanya baru terfikir, aku tak buat.

Janganlah nanti 'menang sorak kampung tergadai'
Janganlah nanti 'nak ke hulu air dah surut, nak ke hilir air dah pasang'
Janganlah nanti 'yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang''


Hmm.. .terfikir juga aku,
patutkan aku simpan sekampit beras, minyak, gula, garam, tepung, sardin
bagi melepasi tarikh keramat 5 Mei 2013?

Kalau nak terasa western sedikit,
aku simpan angle hair spaghetti, prego, fettucini alfredo, 




.

Monday, April 15, 2013

PRU13 ... At What Cost ???

.

Terima kasih kepada model yang dipaksa jadi model/pelakon aku...


Bukan kos untuk jalankan pilihanraya, bukan juga kos untuk beli bendera kempen.
Tetapi impak jangka masa sederhana dan panjang terhadap ekonomi, keselamatan dan lain lain yang negara terpaksa tanggung akibat 'perebutan' tampuk pemerintahan.


At what cost?




.

Saturday, April 13, 2013

Celcom oh Celcom... "alaaa, Celcooommmm"

.

Walau pun hanya dengan GPRS, dengan kelajuan maksima +/- 30kb/s.
walau terpaksa menunggu sehingga lebih 30 minit untuk buka dan buat entri ini,
aku sanggup!

Semata-mata hendak beritahu bahawasanya

Celcom Broadband Service di tempat aku adalah HAMPEH,

 Ini adalah kejadian kali ke-3 dalam tahun ini dan sekali kena Sabtu dan Ahad penuh.
Yang lepas pada  24Mar, aku sudah buat report.
Dan minggu ini kena lagi?

Ini baru tadi:
"Valued Customer, your case has been logged for further investigation. Pls keep this ref ID C130413-45136485 for your record.TQ"

Ini yang lepas:
"Valued Customer, your case has been logged for further investigation. Pls keep this ref ID C130324-44770936 for your record.TQ"


Dan satu lagi cerdiknya Celcom ni.
Sementara menunggu customer service bahagian teknikal menjawab panggilan aku,
Celcom boleh mainkan iklan membebel tentang cara bayar bil, tentang nak sambung balik talian...
Kurang cerdik sungguh Celcom.

Atau aku yang bodoh sebab zaman mobile broadband mungkin sudah berkubur
Orang zaman sekarang tak guna broadband lagi dah.
Orang zaman sekarang guna unifi, yes, streamix ...
Atau masuk internet guna smartphone, guna Ipad, Galaxy Tab atau note.

Dan Customer Servis pada panggilan yang lepas berjanji nak bagi diskaun sebab aku hilang air-time
Tapi aku terima bil sama saja jumlahnya...
aku kena tipu agaknya agar aku cepat letak telefon.

Ya, la... macam iklan dia dulu tu.... 'Celcommm..." *tangan kat dada, mata naik ke atas*




.

Friday, April 12, 2013

Aku suka dengar kicauan burung Murai...

.


Buat pertama kalinya, pada hari ni, aku terdengar suara Murai berkicau di luar pejabat.
Menjelang musim panas ini, mungkin si Murai mahu berkata tentang satu pesanan.
Pesanan yang ia pernah dengar dari datuk neneknya.
Bahawa pada satu hari nanti, tengkujuh akan kering dipanggang matahari.
Bakal nanti, tanah menjadi kering berkeruping, meretak seribu dan berdebu.

Aku suka mendengar cicipan si Murai.
Walau pun paruhnya becok berkata itu ini, entah macam mana, aku suka.
Sungguh terasa bahawa dunia ini penuh, galak dan ramai penghuninya
Hilang rasa sunyi, malah kadang-kadang itu seperti menyambut terbit matahari.
Mungkin sebabnya kicauan si Murai itu aku dengar ketika kecil dulu di waktu pagi.
Jadi, setiap kali si Murai menjerit 'bangun!', pada aku itu suara lunak memanggil aku.
Untuk aku turun bersarapan pagi.

Si Murai, celupar paruhnya, bingit cicipannya... adalah petanda matahari masih ada.





.

Kita sekadar tetamu di hari senja...

.

Senja memanggil pulang sang pengembara
Menangis ia melihat keperihan zaman pencarian
Katanya, " Aku sendiri ".

Perjuangan dulu hanyalah ujian, hanyalah bayangan
untuk menghadapi perang yang utama
hanyalah diriku sendiri

Dan hidayah selama ini
hanyalah Engkau yang kudambakan
dan semoga sejahteralah
Engkau padaku, oh hidayah
dan tanpamu apalah aku
apalah aku tanpa hidayah

Senja memanggil pulang sang pengembara
Menangis ia melihat keperihan zaman pencarian
Katanya, " Aku yatim ".


oleh: M.Nasir





Hari ini, hati aku tersentuh...lagi.

'Aku sendiri dan aku yatim' dalam peperangan yang utama.
dan aku salah seorang yang dipanggil pulang kerana hari kian senja.

fahamilah...



.

Reriang yang riang...

.

Hayati (bukan nama wanita)... dan jangan terkejut jika tertegur atau ternampak sesuatu...






Salam penghulu segala hari.




.

Thursday, April 11, 2013

Checklist 3 perkara yang perlu dilakukan ketika menerima barang...

.

Pagi-pagi tadi, bos ada lontarkan satu soalan di atas meja mesyuarat pagi. Dia bertanya, 'Apa yang patut kita lakukan untuk nak tahu satu-satu projek itu sudah berjaya atau tidak? '

Jawapan mudah yang diterimanya ialah ' Kita buat audit '.
(Nota: projek tersebut adalah projek naik taraf sistem, bukan projek buat bangunan atau jambatan)


Ya, memanglah kita kena buat audit untuk nak tahu keadaan sebenar projek itu tetapi apa yang nak diauditkan? Maka, aku pun buka mulut. Tak kisahlah apa yang telah aku katakan di dalam mesyuarat itu kerana hal pejabat tidak bagus jika diceritakan di luar pejabat. Yang penting, jawapan itu mungkin boleh atau memang kita gunakan sehari-harian. Itulah yang aku nak kongsikan di sini...


Katakanlah kita hendak beli sebuah mesin basuh.

Oleh kerana mesin basuh itu mahal, kita fikir semasak-masaknya sampai berbulan-bulan (itu aku), kemudian kena simpan duit berbulan-bulan (itu juga aku), maka kita anggap membeli sebuah mesin basuh itu sebagai satu projek yang mudah. Maksudnya, kita akan dapat sebuah mesin basuh yang baharu bagi menggantikan yang lahama.

Ketika merancang untuk beli, kita buatlah sedikit kajian. Kita tentukan jenis mesin yang bagaimana yang kita mahu - top loading, front loading, kapasitinya dan segala jenis teknikal yang lain.

Kemudian, kita fikirkan pula jenama-jenama mesin basuh yang ada dan terkenal. Kita kaitkan jenama-jenama ini dengan kualitinya - tahan lama atau tidak, banyak masalah atau tidak, warranty period. Juga kita kaitkan kualiti ini dengan harganya - sama ada kita sanggup membayar lebih untuk kualitinya atau pun tidak. Atau harga lebih itu hanya kerana jenama dan bukan kerana mesin basuh itu yang terbaik.

Kemudian, kita fikirkan pula servis lepas jualan. Sama ada sokongan servis lepas jualan itu baik dan lancar atau pun tidak. Kadang-kadang ada pakej yang menawarkan extended warranty kalau-kalau mesin basuh itu rosak selepas warranty period yang asal itu tamat (extended warranty sebenarnya adalah sejenis insurans dan ia adalah salah satu cara risiko diuruskan, yakni 'transfer to 3rd party').


Baiklah.

Sekarang tiba hari dan masanya mesin basuh yang baharu itu dihantar. Pada ketika ini, apakah yang kita lakukan untuk menerima atau tidak mesin basuh itu? Adakah projek membeli mesin basuh yang baharu itu berjaya atau tidak? Soalan ini lebih kurang sama dengan soalan di atas tadi.

Ada 3 perkara yang perlu kita pastikan. Dalam Project Management, fasa ini dipanggil Delivery Phase dan saat terakhir dalam Delivery Phase ialah Final Acceptance. Dalam kes projek membeli mesin basuh tadi, Final Acceptance berlaku ketika juruteknik telah pasangkan mesin basuh dan menyerahkan kita Delivery Note atau Invoice dan meminta tandatangan kita sebagai bukti penghantaran.

Maka aku syor 3 'checklist' ini. 3 perkara yang perlu dipastikan untuk ketahui sama ada projek kita akan berjaya atau tidak:
  • All the design intends were met - semua spesifikasi atau ciri-ciri teknikal seperti yang dipersetujui telah ada? Semua barang dan aksessori juga dihantar?
  • All the quality aspect and cost were met -  kualitinya adalah seperti yang kita persetujui dan pada harga yang dipersetujui? Semuanya dihantar dalam keadaan yang baik tiada calar atau pecah-pecah? Adakah ia dapat berfungsi dengan baik tanpa bunyi-bunyi yang menakutkan? Lakukan demonstrasi dan cubalah pelbagai senario basuhan dan lihat sama ada mesin basuh itu melakukan tugasnya tanpa terhenti atau pincang tugas.
  • All the associated risks were mitigated - risiko tak boleh dihapuskan kerana risiko adalah sesuatu pada masa depan dan belum berlaku lagi. Kalau dah berlaku, ianya bukan risiko lagi tetapi telah menjadi masalah atau isu. Tetapi, kita boleh merancang pelbagai pelan untuk mengatasinya jika risiko itu benar-benar terjadi. Lebih-lebih lagi kalau risiko itu tinggi akibatnya. Selagi sesuatu risiko itu tiada pelan tindakannya, risiko itu dianggap masih tinggi dan berbahaya. Diantara risiko yang tinggi pada mesin basuh ialah pincang tugas (system malfunction atau break down) tetapi kalau kualiti jenama itu bagus, kebarangkalian untuk pincang tugas adalah rendah (Jika kita faktorkan beberapa elemen in, ia menjadi apa yang kita panggil Risk Priority Number (RPN). Sesetengah orang panggil lain). Kita perlu pastikan yang kita tahu apa nak buat jika mesin basuh itu rosak. Kita kena pastikan kita ada nombor pusat servis untuk dihubungi, kad warranty ada pengesahan dsb...Ini termasuk cara-cara kita nak tahu untuk troubleshoot sendiri untuk masalah yang mudah-mudah dan senarai routine maintenance yang perlu kita lakukan sendiri. Segala DO's dan DON'Ts...


Kalau semuanya telah ada, kita bolehlah terima penghantaran tersebut dan bertawakkal agar segalanya baik. Begitulah jawapan aku di dalam mesyuarat itu. Kalau faham, fahamlah. Kalau tak faham, yo sudah...





.

Wednesday, April 10, 2013

Buku Mimpi, Parodi si Jebat dan sebuah Azam

.

Salah satu KPI aku ialah membuat sebuah buku setiap tahun.
Setakat ini aku telah keluarkan 3 buah buku dan yang ke-3 itu ialah pada tahun lepas, sebuah himpunan puisi yang aku pilih dari dalam blog-blog aku. Sudah tentu puisi tentang jiwa... sebab itulah tajuknya pun 'Jiwa-Jiwa Yang Parah'... dengan ilustrasi Sepa sebagai 'cover guy' yang sedang bersedih.

Pada tahun ini, aku akan buat sebuah atau dua buah buku lagi. Sekarang ini aku sedang kumpulkan dan edit mimpi-mimpi aku untuk dibukukan. Aku rasa aku perlu bukukan mimpi aku itu kerana kalau tidak ianya 'membazir' jika dibiarkan sahaja di alam siber.

Buku mimpi yang belum bertajuk ini aku dedikasikan kepada Cikgu Ahmad Lutfi, guru Bahasa Melayu ketika aku di darjah 5 dulu. Beliaulah yang mengalakkan kami menulis semula mimpi kami. Caranya itu amat berkesan bagi aku kerana sampai sekarang ini aku suka bercerita apabila aku bermimpi.

Menurut beliau, untuk menulis sebuah karangan dengan penceritaan / naratif yang baik seseorang itu perlu dapat bayangkan jalan cerita itu di dalam fikirannya seperti menonton cerita di wayang gambar. Untuk memahirkan diri dengan karangan, beliau menggunakan mimpi kerana mimpi sudah tergambar dalam kepala. Jadi, mudahlah sikit untuk menulisnya kerana jalan ceritanya kita telah 'tonton'. Hanya perlu ceritakan semula.



Buku kedua pula ialah 2 cerpen yang telah aku buat dahulu. Yang pertama tentang Jebat. Ianya sebuah karya parodi tetapi bersandarkan sejarah. Aku gunakan bahasa melayu klasik setakat mana yang aku mampu kerana 30% dari cerita Jebat itu diambil dari buku Sejarah Melayu menurut Richard Olaf Winstedt. Oleh kerana mahu supaya ianya menjadi parodi yang baik, gaya bahasa yang aku guna perlu hampir sama dengan buku Sejarah Melayu. Karya ini aku tulis pada tahun 2001 kalau tak silap.

Cerpen kedua pula ialah sebuah cerpen yang aku telah hantar untuk peraduan Formula Malaysia  pada tahun 2000. Karya itu telah memenangi hadiah saguhati dalam kategori umum. Ia tentang keazaman seorang budak sekolah. Bila aku baca balik cerpen itu aku terasa sungguh 'kerajaan' kerana sungguh bukan aku yang menulis begitu. Kerana apa? Kerana aku terpaksa memenuhi syarat-syarat pertandingan seperti memaparkan masyarakat berbilang kaum dan nilai-nilai nasionalisma.

Buku kedua itu aku bukukan kerana kedua-dua cerpen itu tiada 'softcopy' lagi. Sudah dimakan virus. Yang aku ada sekarang hanyalah manuskrip. Sebelum manuskrip itu musnah ditelan bubuk, aku perlu bukukan. Namun aku perlukan masa untuk menaip semula manuskrip-manuskrip tersebut.


Aku bukukan ini sebenarnya untuk koleksi peribadi dan kepuasan sendiri. Tetapi, seperti biasa, aku akan cetak lebih kerana kedai pembukuan itu memerlukan MoQ (minimum order quantity). Nanti bila dah siap, aku beritahu. Siapa cepat dia dapat. Aku hanya buat 10 salinan sahaja mengikut bajet ekonomi aku.

Ok. Itulah manifesto aku pada tahun ini.Maka sokonglah aku. Undilah aku.






.

Apa itu encok ?

.

Dulu, Bapak (arwah) sering mengadu sakit 'encok'. Bila aku tanya apa itu 'encok', Bapak terangkan kadang-kadang sakitnya pada tangan, kemudian sakit itu 'berpindah' ke bahu. Selang beberapa hari atau minggu, muncul pula dipinggang, beberapa hari atau minggu kemudian sakit itu muncul pula dikaki.

Mengikut keterangan itu, aku mula imbas diri aku. Aku dapati aku pun ada macam itu juga. Mula-mula di kaki, selang beberapa hari berpindah pula ke lutut. Kemudian naik ke pinggang. Kemudian naik ke bahu, ke tengkuk dan turun semula menuju ke bawah. Dalam beberapa minggu itu seolah-olah sakit itu berpindah-pindah. Adakah 'encok' itu berkaitan dengan Jin? Bapak kata tidak.


Apa itu 'encok'?

Oleh kerana 'encok' itu pada dasarnya bukan bahasa Melayu, aku mencari sumber dari negara seberang Selat Melaka. Sumbernya di sini...

"Encok merupakan penyakit yang disebabkan penumpukan kristal asam urat di dalam jaringan ikat, yaitu ruang antara dua tulang atau di dalam tulang itu sendiri. Penumpukan kristal ini menyebabkan peradangan artritis yang memicu pembengkakan, kemerahan, rasa panas, nyeri serta kekakuan di sendi. "
 


Namun deskripsi 'encok' itu seolah-olah tidak sebulu dengan keterangan Bapak. Tapi, mungkin juga ada kena mengena juga kerana semua kawasan sakit itu berada di sendi tetapi ia masih belum dapat menjawab kenapa sakit itu seolah-olah berpindah randah.

Kemudian, ada maklumat tambahan di berikan sebagai berikut:

"Encok sering disebut asam urat, tapi penyakit ini berbeda dengan rematik. Karena encok terkait dengan gangguan metabolisme pengeluaran kadar asam urat dalam darah yang tersumbat menjadi kristal. Sedangkan rematik adalah penyakit sendi karena adanya gangguan autoimun yang berlangsung lama."
 



Seterusnya, petua-petua untuk menghindari 'encok' diberikan olehnya sebagai berikut:

"Jika tubuh rentan terkena encok maka yang harus dilakukan:
  • Minum banyak cairan terutama air putih, karena cairan bisa membantu menghilangkan asam urat berlebih dari dalam tubuh.
  • Menghindari makanan yang mengandung banyak purin seperti bir, minuman alkohol, teri, ikan sardin, telur ikan, ragi, hati, ginjal, kacang-kacangan (kacang polong, melinjo), ekstrak daging, kaldu, jamur, asparagus, bayam dan kembang kol.
  • Menjaga berat badan dengan berolahraga secara teratur.
  • Jangan melakukan diet secara ekstrim, karena hal ini juga bisa meningkatkan kadar asam urat dalam darah."



Namun begitu, sakit 'encok' yang seperti mana diterangkan oleh Bapak dan kadang-kadang aku juga mengalaminya, masih menjadi tanda tanya...





.

Tuesday, April 9, 2013

Teluk Intan Luo Han Ghuo... setelah misi makan Rojak Mastan Ghani gagal

.

Hari itu petang Jumaat. Hajat nak singgah 'pekena' rojak Mastan Ghani yang terkenal itu tetapi tak ada. Kedainya ditutup pada hari Jumaat agaknya. Dalam pada aku berpusing-pusing itu, aku lalui sebatang jalan yang dulunya ada Supermarket Sungei Perak (sekarang dah bukan). Tiba-tiba aku terpandang orang ramai berpusu-pusu mengerumuni sebuah gerai yang berbumbungkan zink dan kanvas di tempat letak kereta.

Aku syak itu mungkin gerai Cendol. Hari pun panas, jadi bagus juga kalau dapat basahkan tekak dengan Cendol. Apabila aku hampiri, aku dapati bukan cendol tetapi Luo Han Ghuo. Apabila aku lihat lebih ramai Melayu daripada Cina yang 'pekena' air di situ, aku pun tertarik mahu mencuba.



Foto diambil dari dalam ruang kedai. Di depan itulah gerai asalnhya hanyalah lori.


Rupa-rupanya gerai (kini sudah ada kedai) itu sudah agak lama menjual air dan rojak buah

Aku bertanya kepada pelayan Melayu, air apa yang ramai minum? Dia kata ramai yang datang untuk minum air Luo Han Ghuo... tak pandai aku nak sebut, lebih-lebih lagi nak eja dengan betul. Apabila aku tanya lagi, barulah dia beritahu yang Luo Han Ghuo ialah Longan atau air Buah Mata Kucing. Apa yang istimewanya sampai ramai yang datang minum? Jadi aku pesan semangkuk untuk merasa... nanti taklah dikononkan dek orang.

Tahu tak istilah 'dikononkan dek orang'?
Maksudnya, taklah nanti orang kata "Kononnya kat sana tu ada makwe cantik jual roti jala" atau " aku dengar konon-kononnya ikan kat pasar basar lebih montok daripada pasar darat"... macam itulah lebih kurang. Jadi, elakkan diri daripada dikononkan dek orang.


Airnya dihidangkan di dalam mangkuk besi dan minum menggunakan sudu besi bersaiz senduk... hahaha


Selain daripada Luo Han Ghuo, air koktel Hawaiian Volcano (kalau tak silap) pun sedap. Buah itu adalah buah segar, bukan buah dalam tin

Luo Han Ghuo atau air Buah Mata Kucing itu memang segar. Sedap sungguh, menghirupnya dengan sudu besi dari mangkuk besi. Sejuk ais itu turut menyejukkan sudu besi itu. Maknanya, sejuknya hingga sampai ke dalam mulut. Air Buah Mata Kucing itu tidaklah manis. Ianya manis-manis buah sahaja.

Bila aku tanya pelayan lain, kenapa orang suka minum air Luo Han Ghuo di situ? Katanya, air itu boleh menyejukkan panas dalam badan, lebih-lebih lagi kalau cuaca panas terik seperti pada hari itu.





.

Monday, April 8, 2013

Mencari kedai makan dengan harga berbaloi di Shah Alam

.

Dalam misi mencari 'pelabuhan' (port) baharu, aku jelajahi segenap tempat yang baharu aku tinggal ini. Rata-rata harga makanan sudah naik/mahal. Kadang-kadang firasat jahat aku membuat satu kesimpulan: mereka mengenakan caj berdasarkan bilangan 'kepala' dan bukan apa yang dimakan. Kalau makan nasi campur untuk 3 orang harganya mencecah RM20 (dengan air minuman) tapi kadang-kadang di kedai yang sama tetapi lauk yang aku sudah 'downgrade' pun harganya masih boleh mencecah RM20 (dengan air minuman).

Bersarapan, kalau bukan roti canai atau nasi lemak, kadang-kadang boleh mencecah RM20 juga! Padahal antara menu yang kami pilih ialah pulut kuning+sambal kerang, nasi goreng+daging merah dsb... ya lah, asalkan bukan roti canai atau nasi lemak.Aku syak mereka ini dah kirakan kami ini buffet kut. Sekali masuk sudah ditentukan berapa harga dan keuntungan yang dia mahu sebat.

Kemudian, terlintas untuk aku mencuba di bangunan pusat zakat S.Alam. Lalu pada satu malam, aku singgah untuk makan di restoran Deeng di Blok 2. Hanya dibuka waktu malam. Standard di tempat baharu, aku selalu bertanya " apa yang femes kat sini? " dan dia pun kata Tom Yam merah.



Tom Yam kuah merah dan nasi putih.

Nasi goreng ayam

Nasi goreng Thai

Juadah itu tak perlukan dekorasi yag berlebihan, tak ada timun bersusun di tepi pinggan, tak ada hirisan tomato di tepi pinggan. Simple almost as it is. Tapiiiii.... segenap rasa dapat di rasai. Dan harganya pun berpatutan. Kalau tak silap Nasi goreng Thai itu harganya RM5 tetapi ada 4 ekor udang yang segar (rasa manis udang masih ada), seekor sotong (yang tak berbau), daging dan ayam. Siap ada petai dan telur yang digoreng dadar dan dibuat sebagai lapik. Rasa, jumlah hidangan dan bahan-bahannya aku rasakan amat berbaloi untuk harga RM5 itu. Aku rasa kalau di kedai lain mungkin harganya RM6.50 - RM7.90.

Dan yang pentingnya, pada malam itu, para pekerjanya (dan aku rasa tukang masak pun sama sebab aku tak nampak) bukan orang seberang. Mengapa dia boleh kekalkan rasa masakan dan harganya sebegitu? Aku rasa ianya berkaitan dengan sewa kedai di bangunan itu dan para pelanggannya yang rata-rata adalah pelajar.




.

Sunday, April 7, 2013

Cara-cara mendisiplinkan diri untuk menabung demi masa depan

.

Bijak pandai berkata, kita hanya ada 3 hari: Semalam, Hari Ini dan Esok.
Semalam telah berkubur, hari ini untuk dinikmati dan esok belum pasti. Oleh kerana Esok itu belum pasti, perancangan diperlukan.

Aku telah cuba beberapa kali untuk menabung secara tertib dan istiqamah. Dan cubaan beberapa kali itulah juga telah gagal, berkubur bersama-sama Semalam. Orang lain mungkin telah berjaya menabung tetapi aku masih gagal dalam bab-bab disiplin ini.

Pada kali ini, aku mendapat idea untuk mendisiplinkan diri setelah terlihatkan sebuah kotak kosong.
Aku lihat kotak ini seperti 'pigeon hole'.


Ada 6 petak untuk 6 bulan. Berapa keping setiap petak? Belum diputuskan oleh AJK.

Elok pulak 'pigeon hole' itu ada 6 x 3. Kami bertiga boleh ambil satu 'row' setiap seorang manakala ada 6 'column' untuk 6 bulan. Kenapa 6 bulan? Kerana kalau aku kumpul sikit, semacam tak berbaloi untuk pergi ke bank untuk disimpan melalui buku, lebih-lebih lagi bank-bank tidak dibuka pada hari Sabtu. Atas sebab itulah konon-kononnya duit untuk menabung itu 'disimpan' atau 'disisihkan' di dalam akaun gaji sahaja, dengan harapan duit itu tak berusik dan setelah 5-6 bulan barulah pergi ke bank dan masukkan ke dalam buku simpanan. Ahhh!.... Hampeh! Asyik 'terguna' sahaja duit peruntukan untuk tabung itu.

Ianya berbaloi untuk ke bank kalau sekali masuk itu ada berkeping-keping duit. Masalahnya, bukan senang nak dapatkan duit berkeping-keping apabila bekerja di sektor swasta yang bergantung kepada kesihatan pasaran dan ekonomi.


Nama dituliskan pada setiap 'row' bertujuan mewujudkan 'persaingan untuk menabung'

Dalam bidang perkilangan, sistem ini dikenali sebagai salah satu 'Visual Control'. Bermakna, kita dapat memastikan sesuatu itu dilaksanakan dan dikawal dengan hanya melihat statusnya tanpa perlu membuka fail atau komputer. Dan ianya mestilah mudah untuk difahami oleh setiap lapisan orang tidak kira apa pun latar belakang  pendidikannya. Kalau kotak itu kosong bermakna kosonglah ia. Kalau sepatutnya kotak itu berisi pada bulan itu, bermakna satu kepincangan telah berlaku dan kotak itu perlu diisikan segera.

Selebihnya, aku perlukan semangat untuk terus berdisiplin.




.

Saturday, April 6, 2013

Cara-cara ahli politik menjawab soalan spontan dalam PRU13 ini...

.

Dalam demam PRU13 ini, akan ada banyak temuramah, soalan-soalan dan isu-isu dibangkitkan. Dan kita boleh lihat nanti bagaimana mereka semua menjawabnya. Aku suka melihat cara mereka menjawab soalan-soalan tersebut. Bukan nak tahu jawapan mereka tetapi melihat cara mereka menjawab soalan-soalan itu.


Beberapa tahun dulu, seorang pensyarah veteran telah ditanya tentang bagaimana hendak menjawab soalan lebih-lebih lagi kalau soalan itu datang secara spontan. Dia berikan petua. Katanya, kita boleh 'uruskan' soalan itu dengan 4 cara:

  • Ignore it - buat-buat tak dengar lalu berpindah ke penanya yang lain.
  • Ask back - soalan itu dijawab dengan soalan yang lain tanpa memberikan sebarang jawapan. Contohnya kalau ditanya "Apa Dato' akan lakukan tentang isu hutan dara?" lalu si Dato' akan memberikan reaksi begini "Adakah kamu mahu saya tanam semula pokok di KLCC? Itukah cadangan awak?"
  • Give a respond - hanya memberikan reaksi kepada soalan tanpa menjawab soalan secara spesifik. Contohnya kalau ditanya "Isu air menjadi topik hangat dalam PRU kali ini, apa Dato' nak buat?" lalu si Dato' memberikan reaksi begni "Ya, tidak dinafikan air adalah asas untuk kita hidup. Sains mengatakan tubuh kita ini terdiri daripada majoritinya air, sudah tentu manusia tak mampu hidup dengan air. Dan yang lebih menarik lagi, isu air bukan sahaja ada di Selangor malah di seluruh dunia! Bayangkan bagaimana negara-negara Teluk mendapatkan bekalan air... cuba fikirkan kaum Badwi di padang pasir.... bla.. bla.. bla..."
  • Give an answer - memberikan jawapan spesifik kepada soalan yang ditanyakan. Contohnya, "Adakah Dato' mahu bertanding lagi?" lalu dijawabnya "Kalau Tok Mun masih mahu bertanding, sudah tentu saya akan bertanding!"

Berbekalkan sedikit ilmu ini, cuba kita lihat reaksi para ahlul-politik dalam menjawab soalan.
Kemudian, cuba kita lihat individu-individu ini tergolong dalam jenis yang mana satu.


Sebagai contoh, kita tonton video komedi ini. Ingat, aku dapatkan ini sebagai contoh dan bukan menyokong mana-mana pihak dalam isu yang diketengahkan.







.

Friday, April 5, 2013

Tok Mun mahu lawan...

.

Caya la, Tok Mun..!!!





Kalau Tok Mun bertanding kat S.Alam, mahu juga aku tolong naikkan poster Tok Mun.
Bukan susah sangat kalau setakat nak gantung kat tiang-tiang lampu atau pokok-pokok.
Kalau payah-payah nak panjat, aku boleh tampal je poster pada kain rentang milik BN atau PR.

Semangat yang tinggi.



.

Buah Jambu Bol a.k.a Jambu Ball...

.

Lupakan pasal politik dulu. Kita biarkan mereka mencatur strategi masing-masing.
Kita bercerita tentang sebatang pokok jambu yang mungkin kurang dikenali. Jambu Bol a.k.a Jambu Ball. Namanya mungkin diambil bersempena dengan nama orang yang menemuinya atau disebabkan bentuk buahnya yang bulat-bulat lonjong. Buahnya ketika muda berwarna hijau kekuningan tapi apabila sudah besar, warnanya bertukar kepada jalur merah.



Foto di atas diambil di sekitar S.Alam. Tapi ceritanya bermula sedari aku kanak-kanak lagi. Dulu, tanah Bapak ada 2 batang jambu ini. Manakala jiran pula ada 3 batang pokok ini. Itu dullu.

Dan dulu juga jika sakit perut cirit birit, daun pucuk mudanya boleh dimakan dengan sedikit garam. Itu hanya petua. Malah, nak dapat pucuk mudanya pun kenalah panjat tinggi-tinggi. dah namanya pun pucuk.

Setakat ini aku tak jumpa lagi sesiapa yang menjual buah jambu ini. Buahnya sedap dimakan dengan cara begitu sahaja kerana ianya 'juicy'. Tetapi lebih sedap kalau dicicahkan dengan kicap+cili. Lalat buah sangat gemar bertelur di dalam buah ini. Itulah sebabnya apabila kita makan buah jambu ini kita bakal mendapat 2 jenis protin. Protin berasaskan tumbuhan dan protin dari haiwan dalam bentuk telur lalat buah atau berenga... atau ulat.





.

Thursday, April 4, 2013

Maka bermulalah satu rally yang tegang...

.

Persiapkan diri untuk menerima tujahan-tujahan dari pelbagai sumber dan tempat.
- dari alam maya
- dari set TV
- dari sms liar
- dari risalah-risalah
- dari mulut-mulut
- di kedai-kedai kopi
- di dalam teksi, bas dan LRT
- di bilik operasi, pejabat tinggi
- di kaki lima
- di bawah pokok dan pondok bas

Telinga dan mata akan digomol dengan kelucahan fitnah melampau.
Kebenaran berbaur pembohongan.
Akan bakal penat menepis , menangkis dan menapis tangan-tangan milik tubuh seksi
mahu menarik muka ke dadanya, melemaskan, menyesakkan dengan umpan itu ini..
janji itu ini...

Mana yang termakan dan ditipu akan menyumpah seranah
Mana yang tak termakan dan selamat akan ketawakan yang menyumpah.
Tapi kedua-dua aksi itu tidak baik untuk tatapan budak-budak generasi akan datang
Kerana nanti mereka akan tiru meniru dan apabila selang beberapa lama begitu, itu menjadi budaya.

Aku penat melihat orang bertegang urat.




.

Wednesday, April 3, 2013

No reservation - Warung Ibu untuk nasi Ambeng..

.

Semasa di kedai Cendol Bakar memang tak nak makan kenyang-kenyang, sekadar alas perut sahaja. Kerana perjalanan kami baru bermula dan kami ingin mencari kedai makan Mee Udang Kuala Selangor pula. Dulu kami pernah singgah dan udangnya memang 'ganal-ganal' dan banyak.

Entah macam mana, kami terlepas kedai Mee Udang tu. Jadi, kami buat Pelan B. Kami jejaki Warung Ibu.



Sebelum ini pernah singgah tetapi makanan sudah habis sebab kami datang pukul 4pm...


Kami sampai pada kali itu hari tengah mendung. Ketika makan, hari pun hujan...


Ariff pilih nasi biasa tetapi ada pecal, begedel saiz XXXXXL dan semestinya serunding kelapa...


Manakala aku pula pilih Ikan Keli masak sambal santan... sambal santan yang menggunakan cekur

Kekuatan Nasi Ambeng ialah pada sambal gorengnya dan serunding kelapa. Sambal goreng itu sepatutnya mesti ada hati ayam/pedal ayam/perut lembu + foocuk + soohoon + tempe + tauhu + kacang panjang dan diuliti dengan kicap. Serunding kelapanya memang sedap, cuma Mama kata serundingnya agak manis.




.

Tuesday, April 2, 2013

Cendol Bakar Kuala Selangor

.

Dalam misi mengukur dunia pada minggu lepas, aku singgah ke sini. Tema perjalanan kami " No Reservation ". Inilah persinggahan pertama... gara-gara terpesona dengan jenama yang diletakkan di muka pintu.


Tidak jauh dari simpang ke Kuala Selangor.

 Premisnya di dirikan di tepi jalan, berbumbungkan atap rumbia atau nipah. Eh, rumbia dan nipah bukan pokok yang sama? Macam mana nak bezakan atap rumbia dan atap nipah?


Siap ada drive thru lagi.... kelasssss

Kaunter pandu-lalunya sesak juga. Aku terpaksa tunggu 10 minit untuk keluarkan kereta aku dari tempat letak kereta. Aku tak pandu-lalu, aku makan di situ.


Cendol Bakar Kuala Selangor.... aku pilih cendol durian

Rupa-rupanya bukan ais cendol tu dibakar. Menurut maklumat yang diperolehi dari 'bunting' di situ, Cendol Bakar diberikan nama sempena nama ahli keluarganya yang bernama Bakar. Selain daripada itu, menurutnya gula merah/melaka yang digunakan dalam resepi itu juga dibakar untuk menaikkan aroma gulanya dan sekaligus menjadikannya berbeza dengan yang lain, katanya.


Merakam suasana

Ramai juga yang datang singgah. Aku ke situ awal 30 minit, masih awal. Rojak King pun belum sedia lagi. Kami minum cendol dan makan laksa power dan bakso power kongsi bertiga. Untuk alas perut untuk perjalanan jauh dan santai.




.

Monday, April 1, 2013

Puncak Rebutan

.
Apalah yang hendak direbutkan sangat. The higher you are, the harder you will fall. Puncak itu tak ke mana. Satu hari nanti akan tersungkur jua menyembah bumi.




Aku cuba faham begini: Mereka itu berbuat begitu demi kebaikan rakyat Selangor. Cuma masing-masing dengan caranya, strategi masing-masing, pengurusan masing-masing. Aku cuba berbaik sangka kerana kalau tak baik sangka pun, apa yang aku boleh buat.... aku hanyalah insan kerdil yang tersepit diantara ludah-ludah berapi dan busuk yang bersembur apabila mereka bertikam lidah.

Foto itu aku ambil dari satu sudut dari hutan kecil ketika matahari baru celikkan mata, air liur basi pun masih meleleh, igaunya pun masih berbaki mimpi malam tadi. Namun sinarnya tertumpah pada bangunan itu, memberikannya kelihatan keemas-emasan. Mungkin itulah sebabnya ia menjadi rebutan sangat. Aku tak tahu, aku agak-agak sahaja.




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com